Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Beberapa tahun yang lalu...

"Abang Rey, jomlah kita balik."

"Kenapa nak balik pula? Abang dah drive dua jam lebih nak sampai ke sini tau! Abang tak kira, selagi tak terbukti apa yang Farouk beritahu, kita tak akan balik."

Reyhan kembali mengatur langkah. Sudahlah kena menapak agak jauh untuk ke rumah banglo di dalam kawasan ladang teh itu.

"Aira takut..."

"Takut apa? Takut dengan Andi? Abang kan ada..."

"Takut kalau kita salah terjah!"

"Ni, kunci rumah yang Farouk bagi. Jaga Bangladesh kat pondok depan sana pun dah bagi kita masuk. Takkanlah Farouk tu nak hantar kita salah tempat." Reyhan menarik tangan Aira. Mereka terus mengatur langkah menghampiri rumah banglo yang tidak berpagar. Sampai di halaman, Aira nampak sebuah kereta BMW bewarna hitam milik Andika.

"Tengok tu... Kereta dia pun ada kat sini," bisik Reyhan.

Kemudian mereka tiba di pintu rumah. Kali ini ada sepasang kasut lelaki dan perempuan di atas rak tepi pintu. Muka Aira berubah sebaik saja melihat kasut tumit tinggi itu. Jadi, betulah kata Farouk. Andika ke Cameron Highland bukan dengannya tetapi dengan orang lain.

Patutlah sejak semalam dia telefon Andika tidak berjawab. Rupa-rupanya, sedang berdua-duaan dengan perempuan lain di kawasan tanah tinggi itu.

Suhu yang sejuk dan pagi yang masih awal sebegitu, entah apalah yang dibuat oleh suaminya di dalam rumah itu bersama perempuan lain! Ya Allah... Aku tak sanggup nak terima semua ni.

"Kita masuk," ajak Reyhan. Hatinya juga sudah mula panas. Dia sudah nekad datang ke situ sebaik saja mendengar cerita daripada Aira bahawa Andika curang dengannya. Andai salah apa yang diberitahu Farouk, dia sendiri yang akan pastikan lelaki itu tak mampu gunakan mulutnya untuk memfitnah sesiapa lagi!

Tanpa berlengah, Reyhan membuka pintu yang berkunci dengan kunci yang diberikan Farouk kepadanya. Perlahan-lahan dia membuka pintu utama rumah itu.

"Kita kena masuk senyap-senyap..."

Aira angguk.

Reyhan masuk terlebih dahulu diikuti Aira. Kemudian pintu itu ditutup semula. Rumah itu agak besar dengan ruang tamu yang luas. Ada beberapa perabot yang bertutup dengan kain putih.

Beberapa hari yang lalu, Andika ada beritahu dia mahu ke Cameron Highland dengan Farouk untuk melihat ladang teh yang baru dibelinya dengan Farouk sebagai orang tengah. Kata Andika, ladang itu ada rumah dan kemungkinan besar dia akan bermalam di situ. Aira tidak begitu ambil kesah apa yang Andika lakukan semenjak lelaki itu menipu dan memindah hak milik tanahnya.

Sejak mereka bertengkar soal tanah itu, dia juga sudah tidak tidur sebilik dengan Andika. Dia banyak menghabiskan masanya bersama Sofia dan lebih memilih untuk tidur bersama bayinya berbanding tidur sekatil dengan suami yang penipu. Mungkin kerana tidak dilayan oleh isteri dengan baik, Andika memilih mencari hiburan dengan perempuan lain.

Aira pejam mata. Dia takut saat itu. Redah masuk rumah itu tanpa pengetahuan Andika satu hal, nak tengok apa yang suaminya buat di rumah itu lebih menakutkan.

Ruang tamu sunyi sepi. Akan tetapi sebaik saja mereka mendekati bahagian dapur, terdengar ada suara nyanyian kecil. Suara perempuan!

Aira rasa cuak. Dia lebih rela tersalah rumah daripada terpaksa terima hakikat suaminya ada perempuan simpanan.

"Kita nak serang sekarang ke, abang?"

"Jangan lagi. Kita tak tahu Andika ada di mana."

Reyhan sendiri tak tahu nak buat apa.

"Vee!"

Tiba-tiba ada suara memanggil seseorang dari tingkat atas serentak bunyi derapan kaki menuruni anak tangga. Spontan Reyhan menarik tangan Aira dan masuk ke sebuah bilik berhampiran dapur.

"Itu suara abang!" Aira memegang kuat tangan Reyhan.

"Syhhh... Bertenang dulu." Reyhan menutup mulut Aira. Suasana di dalam bilik itu gelap lalu dia membuka sedikit pintu bilik.

"Viona! Mana baju I?"

Suara garau Andika makin jelas kedengaran. Dari celahan pintu itu, Reyhan dan Aira nampak susuk Andika melewati bilik itu tanpa baju dan hanya berseluar slack sahaja.

Bagai nak luruh jantung Aira melihat suaminya dalam keadaan begitu di depan perempuan lain.

Ada tawa manja kedengaran.

"I pinjam," jawab perempuan yang dipanggil Viona itu.

"Pulangkan balik!"

Suara Andika kedengaran tegas.

"Kejaplah... I baru siapkan sarapan. Jom, I buat sandwic spesial untuk you ni."

"I nak kemeja yang you pakai tu, Vee..."

Suara itu seperti menahan sabar.

"You nak, you kena tanggalkan sendirilah..."

Makin mengada-ada suara yang satu itu. Makin membara jugalah hati Aira. Dia sudah memegang tombol pintu. Bersedia untuk keluar.

"Jangan main-main boleh tak? I nak balik sekarang. Kalau isteri I tahu yang I bermalam kat sini dengan you..."

"Kalau Aira tahu kenapa?"

Reyhan sudah pun keluar dari bilik. Kali ini jelas pada pandangannya, Andika yang tidak berbaju dan seorang gadis pan-Asian berada di meja makan dalam keadaan hanya berbaju kemeja.

"Rey?" Mata Andika membulat.

"Ni, isteri kau ada sekali. Sekarang, kau beritahu aku, kalau Aira tahu kau bermalam dengan perempuan lain, apa jadi?" Reyhan semakin menghampiri.

Andika pandang Aira, dia nampak isterinya itu menggeleng dengan riak wajah kecewa.

"Sayang..." Andika mahu mendekati Aira tetapi tapak tangan Reyhan sudah dilayangkan ke dadanya. Andika terdorong beberapa langkah ke belakang.

"Jangan dekat dengan adik aku..."

Andika melawan pandangan Reyhan.

"Adik kau... Tapi dia isteri aku!"

"Isteri? Habis yang itu siapa? Perempuan simpanan kau?"

"Ini urusan aku dengan Aira! Kau tak payah nak masuk campur!

"Kepala hangguk kau!" Reyhan melayangkan dua kali tumbukan ke muka Andika. Tepat tetapi masih tidak mampu menjatuhkan lelaki itu.

Andika memegang muka. Tumbukan padu itu cukup menyakitkan bahkan menjatuhkan egonya di hadapan Aira yang hanya diam membatu.

"Aku tak nak gaduh dengan kau, Rey! Biar aku jelaskan apa yang berlaku sebenarnya."

"Aku tak nak dengar apa-apa dari lidah bercabang kau, Andi! Kau dah tipu Aira sebelum ni. Kalau tak sebab aku nak jaga aib kau, dah lama aku adukan perbuatan kau pada pak long!"

Andika gigit bibir yang mula mengalir darah. Rupa-rupanya bibir itu pecah kerana tumbukan Reyhan tadi.

"Kau siapa? Apa hubungan kau dengan Andi?" Reyhan bertanya kepada Viona yang sudah bangun dari kerusi. Dia berlindung di sebalik meja kerana kemeja yang dipakainya hanya separas paha. Yang lain semuanya terdedah.

Aira turut memandang tajam ke arahnya.

"I... Errr... I ikut Abang Andi saja... Dia ajak I bermalam kat sini."

"You cakap apa ni, Vee? Lebih baik you diam saja!"

"Kau tu yang diam!" tengking Reyhan.

"Kau dalam keadaan macam ni dengan seorang perempuan dalam satu rumah pun dah boleh mendatangkan fitnah. Aku tak mahu fikir apa lagi yang kau dah buat dengan perempuan ni. Aku akan bawa Aira balik. Kau jelaskan di rumah sana."

Andika tak pedulikan kata-kata Reyhan dia masih mahu mendekati Aira.

"Jangan dekat!" Aira menahan Andika.

Reyhan segera berdiri di hadapan Aira sebagai penghalang.

Andika menjeling Reyhan.

"Aira akan ingat apa yang jadi hari ni, abang. Selagi Aira tak boleh lupa muka perempuan ni, selagi tu Aira tak maafkan abang!"

Aira sedaya upaya menahan air matanya daripada jatuh. Dia berpaling dan segera keluar dari rumah.

Andika cuba mengejar tetapi kakinya disengkang oleh Reyhan hingga tersembam ke atas lantai. Oleh kerana terlalu geram dia menumbuk lantai itu untuk melepaskan rasa sebalnya.

"Kau ni betul-betul memalukan nama baik tok ayah. Kalau bukan sebab kau ni darah daging aku, dah lama aku lumatkan muka kau, Andi. Mana maruah kau hah?! Isteri sebaik Aira tu kau langsung tak umpamakan harga diri dia." Reyhan menggeleng kepala lalu mengekori langkah Aira.

Walaupun Andika tua tiga tahun daripadanya, perbuatan Andika yang curang dan menyakiti hati adiknya membuatkan dia sudah hilang rasa hormat.

"You... Okey ke?" Viona mendekati Andika yang rasa malu dengan sindiran Reyhan. Dia memegang pipi Andika untuk melihat luka di bibirnya.

"Lepaslah! Jangan pegang aku! Sebab kaulah, isteri aku salah faham!"

"Assalamualaikum!"

Aira yang sedang termenung sambil menghadap pakaian yang berlipat tersedar apabila mendengar suara memberi salam. Sebenarnya, dia sedang berkemas sebagai persediaan untuk berangkat kembali ke Cibubur beberapa hari lagi.

Balik dari Lata Pelangi semalam, fikirannya kerap sangat teringat peristiwa lama. Hati rasa berat untuk kembali ke tempat kerjanya. Berbolak-balik juga untuk terus menyambung kontrak kerja. Alangkah baiknya jika dia terus tinggal di situ sahaja. Dapat bermain bersama Sofia dan ditemani adik-beradik serta ibu bapanya.

Cuma, apabila terkenangkan kisah duka kegagalan perkahwinannya dahulu dan rasa sakit hati yang masih berbekas, tak sanggup untuk dia terus hidup di situ dengan melihat wajah Andika setiap hari. Cinta itu masih ada tetapi sukar untuk dia menerima.

Selagi peristiwa di Cameron Highland dahulu masih segar dalam ingatannya, selagi itu dia tidak akan menerima Andika kembali dalam hidupnya.

Raut wajah perempuan cantik yang bersama Andika itupun masih kerap membayanginya. Sungguh dia tahu dia tidak cukup sempurna untuk menandingi perempuan secantik itu yang lebih layak membahagiakan Andika.

"Assalamualaikum!"

Aira terus bangun dan turun ke tingkat bawah.

Entah siapa pula yang datang. Reyhan sudah tentu berada di ladang pada waktu pagi begitu. Aisyah pula, ada urusan di Biodiversiti Kebangsaan berkaitan kajian sampel-sampel yang diambil dari ladang tempoh hari.

Aira membuka pintu dan agak terkejut melihat Andika di depan rumah abangnya itu.

Nak apa pula dia ni datang ke sini?

"Ada apa abang datang sini? Abang Rey tak ada," tanya Aira sambil membetulkan tudung yang baru disarung. Dia rasa Andika tentu tahu yang hanya dia saja yang berada di rumah ketika itu.

"Bukan nak jumpa Rey. Aku... Errr... Abang nak jumpa Aira."

Suara bekas suaminya tergagap-gagap. Nampak macam malu-malu pun ada.

"Nak jumpa saya?" Dahi Aira berkerut.

Dia tahu Andika tak puas hati dengan tindakannya yang kerap mengambil Sofia tanpa izin. Mungkin bekas suaminya itu mahu berbincang soal itu.

"Ya... Nak jumpa awak la. Boleh kita bercakap kat dalam?" tanya Andika.

Aira jadi serba salah. Sudahlah dia saja di rumah itu.

"Kat luar sajalah... Tak ada sesiapa di rumah. Nanti tak manis pula orang nampak."

"Kak Yam ada kat rumah dia. Abang bukan nak buat apa pun. Bercakap kat dalam tak ada yang mendengar perbincangan kita."

Andika begitu bersungguh-sungguh.

Apalah yang penting sangat sampai tak boleh berbincang di luar? Aira membuka luas pintu utama rumah abangnya itu.

"Masuklah..."

Aira berlalu ke ruang tamu selepas mengajak Andika masuk. Dia rasa tak selesa berdua-duaan dengan Andika. Sejak dia balik dua bulan yang lalu, ini kali pertama mereka berjumpa berdua untuk membincangkan sesuatu.

"Nak minum apa-apa?"

Sepatutnya dia tak perlu bertanya. Jika ada tetamu, hidangkan saja minuman yang sesuai tetapi bertanya soalan itu kepada Andika adalah perbuatan biasa satu ketika dulu.

"Tak apalah... Tak haus."

Andika duduk di atas sofa tanpa dipelawa. Aira turut duduk berdepan dengan Andika.

"Reyhan ada beritahu yang Aira nak balik Indonesia. Betul ke?"

Aira sekadar mengangguk.

Andika tarik nafas.

"Kenapa nak ke sana? Kat sini pun ada banyak sekolah. Lagipun, Sofia dah biasa dengan awak. Walaupun dia masih tak tahu awak mama dia tapi setiap hari pun asyik nak cerita pasal awak aja. Sekarang, dia sedih sebab awak dah nak pergi."

Aira diam tanpa reaksi.

"Jangan pergi..." sambung Andika.

Permintaan itu memang mengejutkan Aira. Salah dia kerana tak mampu menahan keinginan berjumpa Sofia.

Pada awalnya dia merancang untuk bertemu sekali saja. Dapat peluk Sofia sekali saja cukuplah. Akan tetapi sebaik saja anak comel itu dipeluk, naluri keibuannya tidak dapat dibendung. Itu anak yang dia rindukan setiap hari, sudah di depan mata kenapa mesti nak biarkan masa berlalu begitu saja?

"Saya tak boleh..." jawab Aira.

Biarlah dia pergi dari situ sebelum hubungan dia dan Sofia bertambah akrab dan hatinya meminta lebih sedangkan jiwanya tak mampu lagi bertahan.

Biarlah keindahan sebentar itu menjadi memori paling berharga dalam hidup dia dan Sofia. Anak itu masih kecil. Mungkin sebulan dua tak melihatnya, ingatan anak itu terhadapnya semakin pudar. Umpama pelangi yang munculnya sekejap tapi rasa gembira melihat pelangi itu sentiasa ada.

"Kenapa?"

"Saya tak ada jawapan. Yang saya tahu, saya tak mahu ada kat sini."

"Apa yang berlaku dulu tu tak boleh ke kita lupa saja? Kita balik macam dulu sebagai suami isteri."

Aira tak menyangka Andika masih ada keberanian dan rasa tidak malu untuk meminta dia kembali. Kalaulah dia nak balik kepada Andika, buat apalah dia minta dilepaskan? Ibarat sudah ludah jilat semula! Dia tak akan lupa pada harga dirinya sebagai seorang isteri yang tidak dihargai.

"Saya tak ada rasa cinta pada abang. Kalau masih ada pun, saya tak boleh maafkan perbuatan abang yang gunakan saya semata-mata untuk capai impian dan cita-cita abang. Abang dah bakar hangus semua kepercayaan dan cinta yang saya berikan. Kalau bukan sebab kita sepupu, hormat saya pada abang memang dah tak ada."

Andika terkedu. Dia rasa seperti Aira menampar pipinya dengan kata-kata yang menyakitkan dan memijak ego lelakinya.

Ada senyuman puas hati di bibir Aira. Namun jauh dalam sudut hati kecilnya masih tertanya, apa yang dia dapat dengan memalukan Andika sebegitu? Bukankah aib itu sudah tidak perlu diungkit dan disimpan supaya hubungan keluarga mereka tidak berpecah?

"Kalau tak sebab abang... Fikirlah pasal Sofia. Dia perlukan mama dia."

Aira nampak ketelusan dalam mata Andika. Seperti ada suara yang berbisik kepadanya untuk menerima sahaja permintaan itu demi kebaikan Sofia. Perkara yang berlalu biarkan berlalu. Tiba-tiba dia terbayangkan peristiwa di Cameron Highlanda lalu ada suara pula berisik.

Lelaki inilah yang telah menghancurkan kepercayaan dan memijak-mijak harga dirinya sebagai isteri yang tulus dan setia mencintai. Bukankah Andika memilih perempuan cantik itu kenapa mesti dia pula yang masih dikejar-kejar? Bahkan dengan status duda kaya, sesiapa saja Andika boleh pilih sebagai pengganti atau kali ini, Andika ada agenda lain?

"Baru sekarang nak fikir pasal kepentingan Sofia? Dulu abang cakap, Sofia ada papa dia. Sofia tak perlukan mama dia. Abang kata, saya bukan sesiapa lagi dalam hidup abang dan Sofia... Saya dah tak ada apa-apa lagi untuk diberikan. Semuanya abang dah ambil."

Aira tidak akan lupa bagaimana kejinya Andika mengugut dengan menggunakan Sofia. Jika mahu bercerai, dia akan hilang segalanya. Mentang-mentanglah selama berkahwin dia bergantung sepenuhnya kepada Andika, apa lelaki itu fikir dia tak boleh cari makan dan hidup berdikari tanpa kekayaannya? Dia lagi rela tak hidup mewah daripada bersuamikan lelaki curang dan penipu!

"Kau nak aku buat apa lagi supaya kau boleh maafkan aku, Aira? Dulu kau tak keras kepala macam ni! Apa aku cakap kau ikut aja. Kau tahu tak sebab sikap keras kepala kau ni, Sofia hidup tanpa mama dia? Bukan aku tak pernah merayu tapi kau yang tak bersikap pemaaf."

Andika bangun. Dia sudah bersedia untuk pulang ke rumah. Sia-sia dia datang untuk berbaik tetapi Aira masih menyimpan dendam kepadanya.

"Kadang-kadang saya terfikir, kenapa abang langsung tak bersikap macam Abang Rey? Tak tamak... Tak ambil kesempatan pada orang yang dia sayang. Dia jujur dan tak pandai nak menipu. Kenapa saya tak bertuah macam Aisyah? Apa kurangnya cinta saya pada abang sampai saya hanya dapat balasan cinta palsu? Tak ikhlas. Pura-pura... Dan pengkhianatan."

Aira turut bangun dan sebelum bekas suaminya itu keluar dia meluahkan rasa yang terbuku dalam hatinya untuk kali yang terakhir. Sebelum dia pergi dari situ dia nak Andika tahu betapa dia masih kecewa dengan perbuatan Andika. Cinta yang dia beri tapi racun yang dibalas.

Andika berhenti dan berpaling. Dia dah mula hilang sabar. Apatah lagi mendengar pujian melangit Aira terhadap Reyhan. Sedangkan Reyhan ada juga melakukan kesalahan.

"Reyhan pun manusia biasa. Dia pun ada buat salah. Kami bukan malaikat untuk jadi begitu sempurna. Abang kau dengan aku sama aja. Kau ingat Reyhan nikah dengan Aisyah atas dasar cinta semata-mata? Kalau tak sebab aku yang pujuk dia masa Aisyah kantoi menyamar jadi Deniz dulu, Reyhan takkan mahu nikah dengan orang yang dah tipu dia."

"Oh, pleaselah Andika Iman... Reyhan yang saya kenal memang pemaaf orangnya. Dia terima Aisyah seadanya. Jangan nak samakan abang dengan dia."

Aira masak sangat dengan perangai ego Andika. Tidak mahu dirinya dipersalahkan. Kali ini Andika nak bawa masuk perkahwinan Reyhan pula. Apa dia ingat Abang Rey tu sama perangai macam dia?

"Fikir logiklah. Abang kau paling pantang orang perbodohkan dia. Aisyah tu dah lukakan hati dia sampai dia ambil keputusan tak nak jumpa Aisyah tu lagi tapi sebab Rey dah tak ada calon isteri yang sesuai dalam masa beberapa bulan tempoh untuk dia dapat warisan tok ayah. Aku cadangkan dia kahwin saja dengan Aisyah sampai dia dapat hak warisan dia. Kemudian kalau dia tak mahukan Aisyah lagi dia boleh lepaskan Aisyah. Abang kau terima cadangan aku. So sekarang, kau beritahu aku... Apa bezanya Reyhan tu dengan aku?"

Aira tak bersuara. Matanya membulat memandang Andika. Sebetulnya orang di belakang Andika.

"Apa pasal diam? Terkejut dengan apa yang kau dengar? Percayalah, Aira. Itu hakikat sebenar. Hidup kita ni tak cukup dengan cinta aja. Tak ada orang yang tak mahukan duit dan kekayaan."

"Aisyah..."

"Apa?" Dahi Andika berkerut.

Dia menoleh ke belakang dan wajahnya bertukar. Aisyah sedang menekup mulut kerana menahan tangis. Isteri sepupunya itu terus berlari mendaki anak tangga. Andika hilang kata-kata.

Aduhai... Bila masa pula dia ni balik?

Aira menggeleng kepala sambil berpandangan dengan Andika. Sungguh, dia tak rasa menyesal menolak permintaan Andika tadi. Lelaki di depannya ini memang spesies lagu Yuna... Lelaki tak guna!

"Abang ni memang teruk! Sudahlah rumah tangga sendiri tak tahu nak jaga, sekarang rumah tangga orang lain pun abang nak rosakkan!"

Aira segera mendaki anak tangga. Dia perlu melihat keadaan kakak iparnya.

Menyesal dia berbincang dengan Andika. Sekarang terpaksa pula hadap masalah baru!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro