Bab 46
Alfi tergesa-gesa menuruni tangga rumahnya setelah menerima panggilan daripada Tengku Naufal. Mereka berempat sudah pun tiba di luar rumahnya. Dia berjalan melepasi ruang tamu dan baru sahaja memakai kasut apabila namanya diseru oleh bonda.
"Nak pergi mana tu, Alfi? Kan bonda dah kata sehari ni kamu kena ada dekat rumah?" Tegur Puan Rohani apabila dilihatnya anak terunanya itu sudah berada di muka pintu.
Alfi mengeluh perlahan. Muncung hidungnya yang tinggi itu dipicit dengan perasaan rimas. Dia menjengukkan kepala untuk melihat bondanya yang duduk bersimpuh di ruang tamu bersama dengan ibu-ibu saudaranya yang lain. Alfi bersuara dengan nada malas.
"Alfi nak jemput kawan sekelas Alfi. Alfi dah cakapkan tadi Alfi ada group discussion hari ni? Tapi bonda yang tak bagi Alfi keluar. Jadi Alfi suruhlah dorang datang sini." Beritahu Alfi lalu terus berlalu dari situ. Menghiraukan panggilan bondanya yang menyahut namanya di belakang.
Bukan niatnya untuk mengacuhkan bonda kesayangannya itu, tapi dia dah penat duduk di rumah sepanjang hari ni dengan mulut-mulut ibu saudaranya yang tak habis-habis mahu bertanya itu ini tentang dirinya.
Dia tak kisah bila dirinya dipuji kacak, segak, tinggi, dan segala macam pujian dilontarkan padanya. Tapi bila ada yang bertanya dia ada teman wanita ke, bila rancang nak kahwin, atau yang cuba padankan anak dara mereka dengannya, rasa menyampah mula bersarang di hati.
"Aku habis SPM pun belum dah tanya pasal kahwin. Taulah dorang tu dulu kahwin muda, tapi aku ni bukan gatal sangat nak berbini waktu remaja macam ni." Omel Alfi ketika dia membuka pagar rumahnya yang tidak berkunci.
Wajah empat orang rakan sekelasnya yang bermacam reaksi menggamit pandangannya setelah pintu pagar itu terbuka sepenuhnya. Bibirnya terangkat sebelah seraya berpeluk tubuh.
"Welcome to my house?" Alfi berseloroh kecil dengan keningnya yang terangkat sebelah.
Puteri Nazmina yang sedang melindungi mukanya dengan telapak tangan memukul bahu Alfi dengan beg silangnya. Dia menjeling lelaki itu yang mengaduh sakit dengan muka bengis.
"Welcome kepala engkau! Cepatlah ajak kitorang masuk! Panas kau tau tak dekat luar ni!" Amarah yang menggelegak di hati akhirnya dilampiaskan juga pada punca sebenar permasalahan mereka hari ini.
Alfi cemberut. Niatnya untuk bergurau berakhir dengan dirinya yang dipukul dengan sadis. Dia kemudian menyuruh mereka masuk terlebih dahulu sebelum menutup pintu pagar rumahnya dengan rapat. Semasa dia berpaling, dia mendapati mereka masih tercegat di belakangnya dan tidak bergerak seinci pun.
"Lah, kenapa ada dekat sini lagi? Kata panas sangat kan tadi? Masuklah, Naz." Perli Alfi yang mendapat tatapan mematikan dari Nazmina yang mengipas mukanya dengan tangan.
Tengku Naufal yang melihat deretan kereta pelbagai jenama yang tersadai di perkarangan rumah mula merasa tidak sedap hati. Dia menoleh ke arah Alfi dengan muka bimbang.
"Er.. Kenapa banyak sangat kereta dekat rumah kau ni, Alfi? Ada orang meninggal ke?" Dia meneguk ludahnya yang terasa seperti pasir di kerongkong. Takut-takut kalau mereka datang pada waktu yang salah.
Amelia yang mendengar kata-kata Tengku Naufal terkejut sendiri dan pantas menoleh ke arah Alfi dengan mata yang membulat besar.
"Weh, kau gila ke! Kenapa suruh kitorang datang bila ada orang mati dekat rumah kau? Nak kitorang bacakan surah yassin sekali ke?" Amelia melototkan matanya pada Alfi yang berkerut seribu dengan spekulasi mengarut rakan sekumpulannya.
Awani di sisi lain mengernyit buat sekian kali dengan ungkapan perkataan yang dipilih Amelia. Seketika tadi dia mahu melupakan sahaja apa yang berlaku di taman, tapi apabila Amelia mengulangi perbuatannya lagi, dia tak boleh duduk diam lagi kali ni.
"Amelia, tak baiklah cakap macam tu! Kita sepatutnya doakan jenazah bila dengar ada orang meninggal. Bukannya merungut." Tegurnya sesopan mungkin. Namun Amelia hanya menanggapi dengan dengusan kasar lalu berpeluk tubuh.
Awani mengguling bebola matanya jengah dengan perilaku Amelia yang keras kepala. Tak nak dengar nasihat orang langsung!
Alfi yang menjadi permerhati segera mencelah bagi menghentikan spekulasi mengarut rakan-rakannya.
"Woi! Korang boleh bertenang tak? Siapa cakap ada orang meninggal, hah?" Alfi menatap satu-persatu wajah rakan-rakannya yang saling berpandangan antara satu sama lain.
"Habis tu, ramai-ramai ni kenapa?" Amelia bertanya menuntut penjelasan lanjut.
Alfi menghela nafas panjang sebelum memberitahu hal sebenar yang menyebabkan dia terpaksa meminta ahli kumpulannya supaya datang ke rumah keramatnya hari ini. Dia menunjuk ke arah pintu rumahnya di belakang dengan ibu jari.
"Family aku tengah busy buat preparation untuk wedding akak aku bulan depan. Jadi bonda aku tak benarkan aku keluar hari ni sebab dia perlukan aku untuk beli apa-apa barang yang terlupa nanti."
Alfi melihat rakan sekumpulannya ber'oh' ria sambil menganggukan kepala mereka faham. Wajah masing-masing yang tadinya tegang kini mula kendur apabila mereka yakin tiada mayat yang terbaring di rumah ketua kelas mereka. Alfi melepaskan keluhan panjang.
"Dahlah. Jom masuk."
* * * * *
"Weh, Alfi. Kau tak nak hidang air ke?"
Alfi yang sedang menyusun kertas-kertas bertuliskan formula matematik tambahan itu berhenti melakukan kerjanya apabila suara serak Puteri Nazmina menyapa telinga. Dia mengerling ke samping kirinya di mana gadis yang dimaksudkan sedang berlunjur di atas sofa. Mereka kini hanya berlima di ruang tamu tingkat dua rumah banglo milik Alfi yang semestinya besar ini.
"Kau tak bawa minuman sendiri ke?" Tanya Alfi yang sebenarnya malas untuk turun ke bawah hanya untuk mengambil segelas air untuk Puteri Nazmina.
Malang bagi Alfi kerana balasannya itu mendapat tendangan kuat dari gadis tersebut kerana dia duduk di hujung sofa yang memuatkan mereka berdua. Alfi mengerang kesakitan sambil memegang bahagian pinggangnya yang disepak oleh Puteri Nazmina.
"Sakitlah, Naz! Perlu ke kau guna kaki?!" Marah Alfi yang baru sahaja mengangkat tangan mahu memukul kaki yang dengan kurang ajar menendangnya tadi. Namun dengan adanya Tengku Naufal di sisi, keinginannya untuk membalas dendam terbantut.
Lengannya sudah terlebih dahulu ditahan sebelum sempat ianya jatuh ke kaki Puteri Nazmina yang nampak menggoda untuk ditampar. Alfi berdecak kesal. Dia terlupa bahawa Tengku Naufal adalah lelaki budiman sejati yang tak suka melihat perempuan dipukuli atau dianaiya.
Jadi dia menukar sasaran dan menampar paha Tengku Naufal dengan kuat. Tiga orang gadis yang melihat adegan itu menahan ketawa apabila melihat wajah berkerut Tengku Naufal yang sedang menahan kesakitan itu. Manakala Alfi hanya tersenyum puas mendengar rintihan sang jejaka yang tengah mengusap pahanya yang pedih.
"Kuatnya kau tampar.. Kalau kau pukul Naz macam ni, aku rasa boleh berbekas kaki dia tau!" Dalam kesakitan, sempat lagi Tengku Naufal melindungi Puteri Nazmina yang sedang bersiul kemenangan mengejek kekalahan Alfi. Alfi memutar bebola matanya malas.
Dia tak berniat pun nak pukul Puteri Nazmina sekuat tu. Dia masih ingat bahawa Puteri Nazmina tu seorang perempuan dan tak mungkin dia segila tu untuk pukul Puteri Nazmina sampai berbekas. Tapi bila Tengku Naufal mencegah perbuatannya, dia hilang sabar dan berakhir dengan menampar paha lelaki itu dengan kuat.
Monolog Alfi kemudian diganggu oleh suara Amelia yang tiba-tiba terkesiap terkejut. Alfi memusingkan kepala untuk melihat apa yang berlaku sehingga menyebabkan gadis itu bereaksi sedemikian.
"Eh, bukan kita ada beli air ke tadi? Mana kau letak botol-botol tu, Awani?" Amelia yang teringatkan minuman yang dibelanjakan mereka menatap Awani yang duduk bersimpuh di tepi meja kaca. Kini seluruh perhatian diarahkan ke arah gadis bermata empat itu.
Awani menoleh ke arah Amelia sebelum menggaru pipinya yang tiba-tiba terasa gatal.
"Er.. Ada dalam kereta Naufal. Aku terlupa nak bawa keluar sekali. Nak aku ambilkan ke?" Awani memasang raut wajah bersalah kepada Amelia dan Puteri Nazmina yang memandangnya. Dia kemudian melihat ke arah Tengku Naufal yang sibuk merogoh poket seluar. Mencari kunci keretanya mungkin.
Alfi yang mendengar kata-kata Awani memicit dahinya pening. Salahnya juga, sepatutnya dia minta tolong bonda untuk sediakan minuman untuk diorang. Tapi dia terlupa untuk beritahu sebab terlalu asyik merungut tentang kaum kerabatnya sepanjang hari.
"Takpe. Aku pergi ambil. Korang sambung lah buat kerja dulu, aku– eh, hey, Alfi?!"
"Biar aku yang ambil. Kerja kau tu banyak lagi yang belum siap. Kang sampai ke malam kau duduk sini nanti." Alfi memintas percakapan Tengku Naufal dan merampas kasar kunci kereta dari tangan lelaki itu yang baru sahaja hendak bangkit dari duduknya.
Alfi sudah berjalan sehingga ke tangga apabila suara Awani menghentikannya.
"Um.. Makanan ringan tu tak payah ambil sekali ke?" Tanya Awani yang tidak ditujukan kepada sesiapa. Amelia mengusap dagunya sambil berfikir sejenak sementara Puteri Nazmina terus menjawab tanpa berfikir panjang.
"Ambil je semua yang ada dalam kereta Naufal tu. Memang korang beli untuk makan kan? Jadi buat apa nak simpan." Ujarnya yang kini sudah berbaring malas di atas sofa setelah Alfi tidak lagi duduk di situ.
Kerjanya sudah hampir siap dan hanya perlu disusun mengikut turutan sahaja, kerana itu dia boleh berbaring sambil goyang kaki sekarang ni. Sementara Amelia yang melihat posisi berbaring Puteri Nazmina hanya mencebik cemburu. Dia juga ingin bermalas-malasan seperti gadis itu tetapi melihat semula bahagiannya yang baru siap separuh, dia melepaskan keluhan berat.
Kening Alfi bercantum menjadi satu. Merasa tugasnya bertambah apabila dia perlu mengambil makanan ringan yang dibeli mereka juga. Dia melirik Awani yang hanya diam memerhati kelakuan ahli kumpulannya yang lain kerana blur tak tahu mahu melakukan apa setelah kerjanya selesai.
Seulas senyuman senget terbentuk di bibir Alfi.
"Uit, nerd. Dah siap folio kau?" Alfi bersiul kecil bagi menarik perhatian si gadis. Dia lihat Awani terperanjat kecil sebelum berkalih menatapnya. Senyuman Alfi semakin melebar apabila gadis bermata empat itu mengangguk lambat-lambat.
"Kenapa?" Tanya Awani semula sambil mengemas alat tulisnya yang berselerakkan. Ketika dia telah menutup zip bekas penselnya, suara rendah Alfi kembali singgah di pendengaran.
"Ikut aku turun ambil barang. Sebarang bantahan tak diterima."
Setelah itu, lelaki itu terus melesap turun ke bawah tangga tanpa menunggu balasan darinya lagi. Awani terpana buat seketika sebelum akhirnya dia menurut. Kakinya diseret ke arah tangga.
"Urgh. Dasar bossy."
To be continue...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro