Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 28

Tiga hari selepas itu..

Sekolah Menengah Tinggi Haji Osman sedikit tenang selepas peristiwa Kamal dihentam oleh Zunirah habis-habisan selama tiga hari yang lalu. Tak dikira ini minggu peperiksaan atau bukan, denda tetap dijalankan.

Sudah menjadi peraturan sekolah, pengawas perlu dihormati lebih-lebih lagi yang berpangkat tinggi. Walaupun ramai pelajar yang protes, tetapi peraturan tetaplah peraturan. Jika dilanggar peraturan yang bahkan tercatat dalam buku peraturan sekolah itu...

.. akibatnya akan berakhir fatal seperti Kamal.

"Taufik! Tolong aku pujuk Zunirah! Dia dah gila!"

Di pagi hari Jumaat yang penuh barakah ini, Kamal datang membuat kecoh di dalam kelas 5 Sains. Habis Taufik yang mahu melaksanakan tabiat tidur paginya, digoncang bagaikan air kotak berperisa soya. Kuyu sahaja mata lelaki itu saat cuba membuka mata yang berat.

"Oi, oi! Kawan aku tu!" Khairul datang sebagai penyelamat dan menghentikan perbuatan Kamal. Tangan Kamal ditampar supaya tidak mendarat pada badan Taufik.

Kamal meringis perlahan sambil mengusap tangannya yang kebas, penangan penampar Khairul.

Kepala Taufik ditolak Khairul pelan ke atas meja dan lelaki itu serta-merta dibuai mimpi. Tercengang Kamal yang melihat interaksi antara dua sahabat tersebut. Kenapa dia tak tahu pun yang dia boleh tolak kepala Taufik untuk buat dia tidur?

"Sleepy head." Komen Khairul yang tergeleng kepala melihat telatah rakannya yang satu itu.

Bahu Khairul ditepuk Kamal.

"Macam mana kau buat tadi, Khai? Ajar aku sama!"

"Ajar apa? Aku cuma main letak je kepala dia atas meja tadi. Tak sangka pulak aku dia betul-betul akan tidur." Jujur Khairul yang menepis tangan Kamal di bahunya. Kamal yang tak berkutik dengan hal itu merangkul pula bahu sahabatnya.

Mereka bertiga sebenarnya berkawan baik semenjak masuk ke tingkatan empat tahun lepas. Walaupun mereka berbeza personaliti, tetapi disebabkan masing-masing mempunyai minat yang sama terhadap subjek Fizik, entah bila mereka mula menjadi rapat.

Taufik si kaki tidur, Kamal si mulut murai, dan Khairul si putera ais. Ketiga-tiganya popular dalam kalangan pelajar perempuan tetapi masih tak mampu menandingi populariti ketua kelas mereka, Mohamad Alfi. Heh.

"This is Taufik, man.. Si kaki tidur kelas 5 Sains!" Ketawa Kamal terbahak-bahak sambil menepuk bahu Khairul berulang kali tanpa ampun.

Khairul hanya memutar bebola matanya jengah dengan perangai Kamal yang tak peka ni. Nasib baiklah badannya mampu menahan rasa sakit yang diberikan oleh tangan besar lelaki bermulut murai tu, kalau tidak, dah lama disikunya perut mamat annoying ni.

Tengah seronok bergelak ketawa, Kamal terlupa sesuatu yang penting. Dia lupa kenapa dia berlari ke kelas untuk mendapatkan Taufik sebentar tadi. Ada perkara yang berkaitan dengan Zunirah yang hanya mampu diselesaikan dengan bantuan seorang Taufik..

"Kamal Zulkifli!"

Teriakan di muka pintu mengejutkan seisi kelas 5 Sains dari kegiatan masing-masing. Semua mata tertumpu ke arah Zunirah yang tercungap-cungap di muka pintu.

"Huh, checkmate." Gumam Khairul sinis sambil melihat Zunirah berjalan ke arah mereka dengan Kamal yang menyorok di belakang badannya.

"Dekat sini rupanya kau! Habis satu sekolah aku tawaf semata-mata nak cari kau! Berani kau lari dari denda!" Zunirah memulas lengan Kamal cukup kuat sehingga merintih lelaki itu memohon ampun.

"Ahhh, sakit! Kau tak dengar ke aku kata sakit, Zu?! Lepaslaahhh!" Raung Kamal yang diseret Zunirah keluar dari kelas.

Alfi mengintai melalui tingkap berhampiran. Di bawah sana, kelihatan Zunirah membawa Kamal menuju ke padang sekolah mereka yang cukup luas seluas padang bola. Entah apalah denda yang Zunirah kenakan pada Kamal kali ni...

"Kenapa kau tak cakap apa-apa, Alfi?"

Alfi menoleh apabila namanya diseru. Awani yang sedang meletakkan beg di kerusi dipandang dengan kening yang terjongket sebelah.

"Pardon? "

Awani menghela nafas perlahan sebelum menghadap muka blur Alfi.

"Aku tanya, kenapa kau tak hentikan Zu bila dia seret Kamal keluar tadi? Kan kelas dah nak mula..." Terang Awani apabila dirasakan soalannya tadi kurang jelas ditangkap Alfi.

Alfi mengangkat bahu tak peduli lalu bertongkat dagu.

"Itu urusan diorang.. Aku tak nak masuk campur. Lagipun exam baru je habis.. Nanti pandai-pandailah Zunirah explain pada cikgu kenapa dia tak masuk kelas pagi ni. Kau tak perlulah risau pasal hal tu." Ujar Alfi tenang.

Mulut Awani terlopong kecil menandakan dia faham perkataan Alfi tadi. Senyuman tipis menguntum di bibir kecil itu sembari Awani bertatapan mata dengan lelaki berkenaan. Alfi pula balas mendengus dan melihat ke hadapan semula.

"Jangan tengok aku lama-lama. Nanti kau jatuh cinta dengan aku, aku jugak yang susah." Ejek Alfi yang menghadiahkan sengihan nakal kepada penolongnya.

Awani tersentak lalu cepat-cepat dia memandang ke arah lain. Sempat dia mendengus apabila mendengar usikan nakal Alfi yang ditujukan padanya.

"Jatuh cinta dengan kau? Dalam mimpi jerlah." Gumam Awani dengan muka menyampah.

Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang memandang cemburu dengan interaksi antara ketua dan penolong ketua kelas itu dari kejauhan.

Giginya digertak rapat menandakan yang dia tidak suka dengan pemandangan yang disajikan di depan mata.

"Dasar manusia talam dua muka."

* * * * *

Zunirah mendongak untuk mencari namanya di papan kenyataan yang ditampal keputusan peperiksaan awal tahun mereka. Pelajar-pelajar lain yang sedang bertolakan di belakangnya tidak dihiraukan.

Menjumpai sahaja namanya di kalangan sepuluh pelajar terbaik, Zunirah melepaskan keluhan berat. Dia melangkah keluar dari kerumunan lalu menghampiri Amelia dan Uzma yang menunggunya.

"Macam mana result kau? Kau dapat kedudukan nombor berapa? Ada subjek yang fail tak?" Uzma terus menyerang Zunirah dengan pertanyaan yang bertubi-tubi sebaik sahaja rakannya itu bergabung dengan mereka.

Bibir bawah Zunirah terjuih ke depan sebagai respon pertama setelah mendapat pertanyaan bertih jagung dari Uzma. Walaupun malas untuk menjawab, digagahkan juga mulutnya supaya mengeluarkan suara.

"Tak ada peningkatan sangat pun dari exam akhir tahun tingkatan 4. Dari nombor lapan naik jadi nombor tujuh. Tak ada fail tapi aku tak puas hati dengan keputusan aku.. " Rungut Zunirah yang mengajak kedua rakannya itu ke kantin.

Amelia dan Uzma saling berpandangan sebelum berlari anak mendapatkan Zunirah yang sudah berjalan mendahului mereka. Bahu Zunirah ditampar Amelia perlahan.

"Kau tak puas hati apa lagi, Irah? Dapat masuk Top 10 tu kira bertuah tau! Kau kena dapat sekurang-kurangnya lima subjek gred A+ baru kau boleh ada dalam kedudukan tu!" Ujar Amelia yang tidak dapat memahami isi hati Zunirah.

Zunirah mengerling Amelia dengan ekor mata. Memang apa yang Amelia katakan tu betul. Nak masuk Top 10 bukan sesenang kupas kulit kacang pistachio. Kesemua 220 orang pelajar tingkatan lima berebut untuk berada dalam kedudukan terbaik tu.

Zunirah tahu dia sepatutnya bersyukur, tapi dia masih kecewa dengan keputusannya. Sebab..

"Tapi aku nak masuk Top 5, Meli!" Bentak Zunirah. Kakinya menendang bebatuan kecil yang menghalang laluan.

"Kenapa mesti Top 5? " Tanya Uzma pula yang juga tidak faham dengan kehendak rakannya yang berjawatan pengawas berkenaan.

"Sebab.."

"Wahhh, kau dapat nombor empat lah, Fik! Jauhnya kau daki anak tangga... Khai pulak nombor enam. Kau tengok aku punya nama, dekat nombor dua puluh empat, duh!"

Ketiga rakan baik itu lantas menoleh ke belakang apabila mendengar suara nyaring seseorang yang sangat dikenali semua warga sekolah. Siapa lagi kalau tak lain tak bukan pelajar lelaki yang bernama Kamal Zulkifli bin Mohamad Azmi.

Pelajar paling bising yang pernah ada sepanjang sekolah ni beroperasi. Mungkin dia tak serik kena denda agaknya. Mengganggu ketenteraman pelajar lain pun dikira satu kesalahan, mengingat sebentar tadi suara Kamal berjaya menarik perhatian pelajar lain untuk memandangnya.

"Walaupun aku belajar tinggi macam mana pun, aku tetap tak mampu berdiri setaraf dengan korang. Terasa diri ini bodoh pulak.. " Sayu Kamal bersuara untuk melihat reaksi Taufik dan Khairul di sampingnya.

Taufik tersenyum tipis sementara Khairul berdecak sinis.

"Kau tak bodohlah.. Kan kau dapat markah tinggi untuk semua subjek elektif?" Taufik dengan mata kuyunya cuba memujuk. Nampak naif sungguh si Taufik ni di mata kedua rakannya.

Sementara Khairul pula, dia menghadiahkan jentikan tepat di dahi Kamal yang membuat muka sepuluh sen itu. Bunyi jetakan yang cukup kuat dihasilkan daripada jentikan tersebut. Sesaat kemudian, pekikan ikan lumba-lumba pun kedengaran.

"Jangan nak mengada! Kau sendiri yang malas nak ulangkaji dengan kitorang waktu kita lepak rumah Taufik. Sekarang kau tengok hasilnya bila kau pilih untuk jadi pemalas! Dahlah Fik, jangan cakap banyak dengan Kamal ni. Menyampah aku dengan dia!"

Selesai menghamburkan kata-kata pedas, Khairul menarik Taufik pergi dari situ. Kamal pula terpinga-pinga apabila diherdik sebegitu rupa lalu ditinggalkan sendirian dan menjadikan tontonan ramai. Selepas beberapa detik, barulah lelaki itu berlari sambil menyumpahi Khairul semula dengan perkataan kesat yang patut di censored.

Mulut ketiga gadis itu terkunci rapat. Fahamlah Amelia dan Uzma kini, mengapa Zunirah beria-ria untuk berada dalam kedudukan lima terbaik itu.

"Ini sebab.. dia ke?" Tunjuk Uzma ke arah Kamal berlari tadi.

Zunirah tak menjawab sebaliknya terus berjalan dengan langkah kaki yang besar seperti mahu melarikan diri daripada menjawab soalan Uzma. Amelia berpeluk tubuh lalu dengan selambanya berkata,

"Memang sah sebab Taufik, dia pun nak masuk dalam Top 5. Dah nama pun suka.. Semua benda nak pair." Lalu dia tersenyum senget.

Uzma merenung dalam wajah Amelia yang tersengih-sengih itu. Amelia yang perasankan renungan tajam rakannya, berhenti tersengih dan melepaskan batuk kecil.

"Kenapa pandang aku macam tu?" Cemberut Amelia, menunjal dahi Uzma supaya tidak merenungnya lagi.

"Apa kau cakap tadi tu.. kau maksudkan Irah ke.. kau?" Sindir Uzma lalu berlari mendapatkan Zunirah yang sedang bertugas di kantin.

Uzma tahu apa nasibnya selepas ini. Jadi lebih baik dia cari perlindungan terlebih dahulu.

Dahi Amelia berkerut sebentar, sebelum akhirnya dia faham apa yang dimaksudkan Uzma tadi. Kurang asam jawa punya kawan! Sempat lagi dia sindir aku dalam diam!

"Sini kau, badak berendam kaki pendek!"

Kemudian, Amelia pun turut berlari untuk menghukum Uzma yang sudah menjadikan Zunirah sebagai perisainya.

To be continue.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro