Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 21

Awani membatu di meja paling belakang selepas eksperimen yang dijalankan pelajar 5 Sains sudah siap dia lakukan. Dia perasankan kedatangan Encik Faizal, guru mata pelajaran Kimia yang semakin mendekatinya. Awani memasang senyuman manis.

"Kenapa saya tak nampak kamu bergerak macam yang lain, Awani Safiah? Kamu tak tahu macam mana nak buat?" Tutur Encik Faizal dalam suara garaunya.

Pipinya yang tak gatal digaru. "Bukan tak tahu, Cikgu. Tapi kerja saya dah siap..."

Tanpa dipinta, Awani memberikan buku laporan Kimia yang sudah siap dicatatnya kepada guru lelaki yang hampir mencecah usia 50-an itu dengan sedikit perasaan cemas. Encik Faizal melirik wajah resah anak muridnya seketika sebelum menyelak buku laporan yang diserahkan Awani.

"Hm..." Dagunya yang berjanggut diusap perlahan sambil meneliti setiap satu butir maklumat yang tertera di dalam buku tersebut. Awani menanti dalam debaran.

Sejurus selepas buku ditutup, Awani langsung menegakkan badannya lurus dan bersiap untuk menerima sebarang kritikan atas hasil kerjanya. Encik Faizal berdehem kecil sebelum bersuara.

"Bagus, Awani. Hasil kerja kamu kemas dan teratur. Cuma saya jumpa beberapa kecuaian yang perlu kamu perhatikan semula. Ulang semakan dan hantar pada saya nanti." Encik Faizal memulangkan buku laporan Awani dan berlalu pergi untuk memantau anak muridnya yang lain.

Nafas lega ditarik Awani seraya dia memeriksa ulang buku laporan Kimianya. Mendapati bahawa dia tidak tahu di mana titik kesalahannya, Awani mula tak senang duduk. Dia meliarkan pandangan untuk mencari sesiapa yang boleh dijadikan rujukan.

Menemui targetnya, Awani membuka langkah menghampiri Adira yang selang dua meja di hadapan. Sosok Adira yang sibuk berkutat dengan radas makmal di tangannya, seketika membuat Awani berfikir dua kali. Langkah si gadis berkaca mata terhenti dan dia mengubah arah ke meja sebelah.

"Izlyn, minta tolong sikit boleh?" Awani mencuit bahu gadis kembar berstatus kakak itu dengan senyuman.

Izlyn menoleh dan mendapati Awani berdiri di sampingnya. Kelopak matanya berkedip beberapa kali sebelum dia bersuara.

"Kau cakap apa tadi?"

"Ah...aku nak minta tolong kau sikit. Pasal laporan aku, cikgu cakap ada beberapa kesalahan tapi aku tak tahu mana satu yang salah. Boleh tolong tengokkan?" Pinta Awani yang memasang wajah memohon. 

Izlyn yang sememangnya lemah dengan rayuan manusia, tidak dapat tidak, terpaksa mengalah dengan Awani. Izlyn mendesah perlahan lalu menghulurkan tangan. "Yelah, yelah. Aku tolong kau. Mana buku laporan kau?"

Dengan gembiranya, Awani memberikan bukunya. Dia dengan penuh sabar menunggu Izlyn selesai membuat semakan pada keputusan eksperimen yang ditulisnya. Awani kemudian menjadi sedikit cemas apabila dia mendapati ada kerutan yang tercipta di dahi licin Izlyn ketika membaca data-data miliknya.

"Apa yang salah, beb? Aku tengok lengkap je kerja kau. Cikgu rabun ke apa?" Lancang Izlyn dalam berbicara.

Awani mengangkat bahu tidak tahu. Saat dia baru hendak meminta bukunya kembali, sebuah tangan panjang menarik buku laporan itu dari pegangan Izlyn. Keduanya terkesiap dan serentak menghadap ke depan.

"Ikut suka-suki kau aje rembat buku orang, Alfi! Bukan nak tanya tuan dia dulu!" Marah Izlyn pada lelaki poyo yang bersandar santai pada meja makmal yang menjadi penghalang antara mereka bertiga.

"Kau ni bisinglah, Lyn. Tuan dia tak kata apa, yang kau sibuk pahal?" Tukas Alfi tak mengaku bersalah. Dia masih membelek-belek buku tersebut walaupun mulutnya tetap mengoceh membakar hati sesiapa yang mendengarnya.

Tepat pada detik Izlyn mahu mengeluarkan gaumannya, Alfi berdecak sinis. Dia mendongak dan melihat Awani yang tidak berkutik sama sekali di sebelah Izlyn yang sedang bercekak pinggang. Dia menunjukkan pada Awani di mana kesilapan yang telah dilakukannya.

"Ni, kau lupa letakkan titik perpuluhan dan sifar pada bacaan termometer. Satu lagi, kau tak buat jalan kira macam mana kau dapat formula empirik ni. Itu je dan kau dah boleh hantar dekat cikgu." Jelas Alfi semasa buku bertukar tangan.

Bukaan kecil pada mulut Awani menunjukkan dia faham apa yang dijelaskan Alfi dan dia segera menambah apa yang patut. Ketika Awani membuat pembetulan, Izlyn menarik Alfi ke dalam pembicaraan semula.

"Kau punya dah siap ke?" Tanya Izlyn yang melabuhkan punggung di kerusinya dan mencapai pen untuk menulis.

"Baru lapan puluh peratus siap. Budak-budak tu berebut nak tiru buku aku! Jahanam betul!" Umpat Alfi yang ditujukan kepada sekumpulan budak lelaki yang terdiri daripada rakan-rakan sekelasnya yang sedang meniru buku laporannya.

Izlyn tergelak kecil sambil memukul meja makmal. Di dalam hati, dia tumpang simpati dengan Alfi yang selalu dijadikan sasaran untuk meniru setiap kali mereka menjalankan eksperimen di makmal. Tetapi pada masa yang sama, dia rasa geli hati melihat mimik muka tidak puas hati Alfi yang sebenarnya tidak rela hasil kerjanya ditiru sesuka hati.

"Padanlah dengan muka kau! Suka sangat berlagak pandai kan? Kononnya subjek kimia ni macam kuman celah kuku? Ha.. biarlah diorang tiru jawapan kau. Kecik punya hal lah bro..." Perli Izlyn sambil menjongketkan keningnya mengusik Alfi.

Dengusan kasar dari Alfi jelas menunjukkan yang dia sudah kalah telak dengan Izlyn. Seperti yang dijangkakan daripada ketua pasukan debat sekolah mereka, Izlyn memang penuh dengan idea untuk menyerang pihak lawannya dan menyudutkan mereka sehingga terdiam. Alfi berdecak kagum tanpa sedar.

"Kau datang meja aku ni sebenarnya nak cari apa, Alfi?" Tanya Izlyn yang baru menyedari sesuatu yang pelik.

"Oh, ya tak ya. Aku sebenarnya nak pinjam pembaris panjang kau." Alfi ketawa setelahnya disusuli oleh kekehan Izlyn.

Awani yang memasang telinga mendengarkan perbualan kosong dua orang rakan sekelasnya, hanya tersenyum dalam diam. Dia mengintai sedikit untuk melihat wajah Alfi dan berjaya menangkap senyuman lebar yang terukir di bibir tipis jejaka tampan idaman ramai itu.

Terdetik di hati Awani, Alfi dah cool down sikit ke daripada kes coklat tadi? Harap-harapnya lah... Muka Alfi memang gerun habis bila dia naik angin. Pertama kali dalam hidup aku, aku tengok dia macam tu. Moga-moga, aku takkan nampak raut wajah macam tu lagi lepas ni. Aamiin..

"Berambuslah! Kau nak apa lagi Alfi, oi? Pembaris dah dapat kan?" Usir Izlyn sebaik sahaja dia memberikan pembarisnya kepada Alfi.

Alfi tak mengendahkan kata-kata Izlyn dan menancapkan pandangan ke arah Awani. Awani yang mengangkat kepala kerana terlalu lama menunduk, tak sengaja bertemu mata dengan Alfi yang sedang merenungnya.

"Apa?" Tanya Awani spontan sambil mengurut tengkuknya yang lenguh.

"Lepas habis sekolah, kita pergi jumpa Cikgu Balqis. Ada benda aku nak cakapkan. Important."

Dahi Awani berkerut seribu. Dia memandang Izlyn yang turut sama memandang dirinya. Kemudian, Izlyn mengangkat bahu tidak tahu apabila Awani membuat mimik muka 'ada apa sebenarnya?'. Pandangan kembali dialihkan pada Alfi.

"Nak jumpa cikgu buat apa?"

"Ada lah. Urusan pemimpin kelas. Kau tak payah banyak bunyilah. Ikut je apa aku suruh. Hmph!" Dengus Alfi lalu kembali ke mejanya yang sudah tidak dikerumuni lagi oleh 'semut-semut' yang menghurung 'gulanya'.

Terkunci mulut Awani setelahnya. Dia bertatapan dengan Izlyn dan menunjukkan riak muka yang jelas tampak gusar.

"Dia nak report pasal hal tadi ke, Lyn?" Tanya Awani berkongsi apa yang ada di fikirannya.

Izlyn bertongkat dagu. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab.

"Mungkin."

Serentak dengan itu, kedua bahu Awani melorot jatuh.

"Habislah aku kali ni..."


To be continue.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro