Bab 13
DARI dalam kereta, Rozie melihat suasana di luar tadika Eiyad. Dia melihat ibu bapa sudah mula mengambil anak-anak balik dari tadika. Sudah beberapa minggu dia memerhati tadika ini. Dia sudah hafal siapa yang akan ambil Eiyad dari tadika. Hari ini selalunya Eiman yang akan ambil Eiyad dan dia menyedari Eiman akan lewat datang sepuluh minit. Dia bertekad untuk berjumpa dengan Eiyad. Amaran bekas suaminya itu tidak diendahkan langsung. Dia tetap nak jumpa Eiyad. Dia yang mengandungkan Eiyad dan dia juga bertarung nyawa melahirkan Eiyad. Tiada siapa berhak nak halang dia berjumpa Eiyad.
Setelah ramai ibu bapa mula beredar, Rozie segera keluar dari kereta dan mendekati pintu pagar tadika.
"Ya, puan. Boleh saya bantu?" tanya Cikgu Hani yang berdiri di situ. Pertama kali dia melihat wanita ini.
"Saya nak jumpa Eiyad," jawab Rozie.
"Eiyad Erjaz ke?" tanya Cikgu Hani.
"Ya! Ya! Saya ibu dia, Rozie. Boleh saya jumpa Eiyad?"
Air muka Cikgu Hani berubah. Dia menoleh ke belakang. Mujur la Eiyad ada di dalam bermain dengan Mastura.
"Maaf, puan. Doktor Erjaz cakap yang boleh ambil Eiyad hanya ibu dan adik-adik dia saja. Harap puan faham."
"Tapi saya bukan nak ambil Eiyad. Saya hanya nak jumpa sekejap saja. Please!" Rozie merayu.
"Maafkan saya, puan. Harap puan faham. Saya hanya menjalankan amanah. Saya minta jasa baik puan supaya beredar dari sini. Lebih baik puan bertanya kepada Doktor Erjaz dulu," kata Cikgu Hani.
"Tapi..." Wajah Rozie jelas hampa apabila permintaannya ditolak.
"What are you doing here? Bila you balik Malaysia?"
Tubuh Rozie terus keras apabila mendengar suara itu. Seboleh-bolehnya dia mahu mengelak dari pemilik suara ini. Rupa-rupanya bukan Eiman yang datang. Dia terus membuat keputusan untuk melarikan diri. Dia berjalan pantas ke keretanya tapi dihalang oleh bekas adik iparnya itu.
"Selepas apa yang terjadi, berani you tunjuk muka kat sini?" Dina merenung Rozie.
"I nak jumpa anak I, salah ke?" jawab Rozie. Dia memberanikan diri memandang Dina. Apa yang dia buat sekarang ini tak salah pun. Dia ibu Eiyad. Sememangnya dia boleh jumpa Eiyad.
"Anak? Siapa? Siapa anak you, hah?!" jerkah Dina. Melihat wajah Rozie, dia teringat semula bagaimana abangnya membesarkan Eiyad seorang diri. Abangnya cuti tanpa gaji semata-mata ingin menjaga Eiyad yang masih kecil ketika itu.
"Eiyad! I mengandung dan lahirkan Eiyad. Itu hakikatnya. Apa hak you dan Erjaz nak halang I daripada jumpa anak kandung I sendiri?!" marah Rozie. Dia hilang sabar.
"Ya, memang you mengandung dan lahirkan Eiyad tapi mana you selama lima tahun ini? Mana you masa Eiyad tengah merangkak? Mana you masa Eiyad baru mula berjalan? Mana you masa Eiyad sakit demam? Mana you masa Eiyad mula bercakap? Mana you masa Eiyad sambut hari lahir yang pertama? Mana you masa tu, hah?!" tanya Dina dengan mata terbeliak luas.
Rozie tersentak.
"You gunakan alasan nak abang I ceraikan you sebab nak sambung belajar konon. Tetapi sebenarnya you pergi London sebab nak kejar balik ex-boyfriend you, kan? Tak sampai setahun you bercerai dengan abang I, you dah kahwin dengan ex-boyfriend you. Ingat kami kat sini tak tahu apa you buat kat sana ke? Kami tahu semuanya, Rozie!" tambah Dina lagi.
"I... I..." Rozie mula gagap.
"Dan I nak ingatkan you, bukan kami atau Abang Erjaz yang tak bagi you jumpa Eiyad. You sendiri yang cakap selepas Abang Erjaz ceraikan you, you hilang hak you sebagai seorang ibu dan Eiyad bukan anak you lagi. You juga janji takkan jumpa Eiyad sampai mati. You dah lupa ke? Itu semua datang dari mulut you sendiri." Dina mengingatkan semula apa yang Rozie pernah cakap kepada mereka suatu ketika dahulu.
Rozie terdiam.
"Sekarang ini lepas you dah bercerai, lepas lima tahun baru you ingat you ada anak kat sini?! Semua tu dah terlambat. Benda yang you dah ludah, sekarang ni you nak jilat balik. You memang jenis perempuan tak tahu malu, kan? Dengar sini baik-baik. Kalau I dapat tahu you cuba jumpa Eiyad lagi, tunggu dan lihat apa I akan buat nanti. Nak tahu, cuba la cabar I." Wajah Dina serius memberi amaran. Kemarahan yang membuak-buak cuba dikawal. Tanpa membuang masa, dia meninggalkan Rozie.
Rozie menangis teresak-esak. Dibiarkan air matanya deras mengalir. Dia berjalan ke arah keretanya dan terus masuk ke dalam kereta. Kata-kata Dina buatkan dia tersedar. Dia yang mulakan semua ini. Semuanya salah dia. Sukar untuk dia mengawal sebak di dada ini. Dia menyesal sangat-sangat dengan perbuatannya.
PUAN DARIAH bergegas pulang selepas mendapat panggilan daripada Dina. Terkejut besar selepas Dina beritahu yang Rozie sudah pulang ke Malaysia. Yang lebih mengejutkan lagi, Rozie muncul di tadika Eiyad.
Tibanya di rumah banglo dua tingkat itu, Puan Dariah melihat suaminya, Darina, Dina dan Eiman berkumpul di ruang tamu.
"Eiyad mana? Mana Eiyad?" tanya Puan Dariah sebaik saja masuk ke dalam rumah. Dia mencari kelibat cucu tunggalnya.
"Eiyad kat rumah Auntie Yus. Bagi Eiyad main dengan Mastura," jawab Dina. Dia sengaja hantar Eiyad ke rumah jiran sebelah kerana tak mahu Eiyad mendengar apa yang mereka sekeluarga ingin bincangkan.
Puan Dariah menarik nafas lega. Kemudian dia baru menyedari Erjaz tiada.
"Erjaz mana pula?"
"Pergi jumpa Rozie," jawab Dina.
"Kenapa Erjaz nak jumpa perempuan tu?!" Nada suara Puan Dariah terus tinggi. Dia tak suka anaknya jumpa dengan Rozie lagi.
"Nak bagi last warning supaya tak kacau Eiyad lagi."
Puan Dariah mengetap bibir.
"Macam mana ibu lambat tahu yang perempuan tu dah balik Malaysia? Dah tiga bulan balik sini rupa-rupanya." Puan Dariah rasa terkilan. Sepatutnya dia tahu awal-awal lagi.
"Ibu, kita berdua saja yang tak tahu yang Rozie dah balik Malaysia. Kalau Dina tak terserempak dengan Rozie kat tadika tadi, alamatnya sampai bila-bila semua orang dalam rumah ini rahsiakan pasal hal ini." Dina memandang ayah, kakak dan adiknya. Masa dia bercerita pasal Rozie datang ke tadika Eiyad, tiba-tiba Eiman terlepas cakap. Terus dia syak sesuatu. Apabila ditekan baru Eiman menceritakan hal yang sebenar. Terus berapi kepala dia masa itu. Dia telefon mereka semua termasuk la ayahnya sekali.
Encik Ehsan, Darina dan Eiman duduk diam membisu di sofa.
"Apa? Jadi abang tahu la pasal ni?" Mata Puan Dariah tepat ke arah suaminya.
"Ya," jawab Encik Ehsan dengan lemah.
Puan Dariah mengetap bibir. Tergamak suaminya tipu dia! Pandangan beralih pula kepada Darina dan Eiman.
"Darina! Eiman! Kamu berdua memang awal-awal lagi tahu ke pasal ni?" Puan Dariah bertanya pula kepada dua orang anaknya.
Darina dan Eiman mengangguk kepala perlahan-lahan.
"Tengok, ibu! Mereka semua tahu pasal Rozie! Abang Erjaz pun tahu. Sekarang ni Rozie tu kerja kat hospital Kak Darina," beritahu Dina lagi. Kecik hati juga apabila adik-beradiknya merahsiakan hal ini daripada dia.
"Apa?!" Suara Puan Dariah terus tinggi kemudian dia mencekak pinggang.
"Bukan Darina tak nak beritahu tapi kalau Darina cakap hal sebenar, Darina pasti reaksi ibu dengan Dina macam ni. Freaking out!" Darina bersuara. Tengok sekarang ni. Dah kecoh satu rumah. Macam la dia tak tahu apa yang akan berlaku kalau ibunya dan Dina tahu.
"Habis tu, kamu nak kami buat macam mana? Tepuk tangan dan tersenyum bila dapat tahu perempuan tu balik sini?" sindir Puan Dariah.
Darina terdiam.
"Dariah... Abang rasa ini bukan masalah besar pun. Apa salahnya Rozie jumpa dengan Eiyad? Dia bukannya nak ambil Eiyad daripada Erjaz. Just nak jumpa saja, tak salah, kan?" Encik Ehsan bersuara.
"Senangnya abang cakap! Yalah, mula-mula bagi jumpa, lepas tu ambil terus. Kita ni susah payah jaga Eiyad tu dari kecil, bila Eiyad tu dah besar terus muncul. Perempuan tu tak ada hak nak jumpa Eiyad. Abang dah lupa apa dia cakap lima tahun yang lalu? Dia sendiri cakap Eiyad bukan anak dia lagi lepas Erjaz ceraikan dia."
Encik Ehsan terdiam dan mengeluh perlahan. Bercakap pasal hal ini dengan isterinya, dia pasti kalah.
"Walau apapun yang terjadi, perempuan itu takkan dapat dekat dengan Eiyad lagi," kata Puan Dariah. Dia mengetap bibir. Rasa bencinya kepada bekas menantunya itu semakin mendalam.
HAMPIR 30 minit Erjaz menunggu di tempat parkir hospital. Sebaik saja nampak kelibat Rozie berjalan ke arah kereta, dia terus keluar. Pintu kereta dihempas dengan kuat. Dia berjalan mendekati Rozie.
"Rozie!" panggil Erjaz. Wajahnya jelas bengang. Tak sangka Rozie berani datang jumpa Eiyad walaupun dia sudah memberi amaran.
Air muka Rozie berubah. Dia sudah menjangka pasti Erjaz akan datang jumpa dia.
"Apa masalah you, hah? I dah bagi amaran banyak kali tapi you tetap juga datang nak jumpa Eiyad!" marah Erjaz.
"You dengan famili you sama saja. Pentingkan diri sendiri. Sikit pun tak nak faham perasaan I sebagai seorang ibu." Rozie turut sama geram.
"Pentingkan diri sendiri? Siapa? You tu yang pentingkan diri sendiri selama ini. Bila Eiyad tu dah besar, baru nak ingat. Kalau betul la you ibu yang baik, sekurang-kurangnya setiap kali hari jadi Eiyad, you pasti teringat dan hantar hadiah untuk Eiyad. Tapi habuk pun tak ada." Semakin mendidih darah Erjaz apabila dituduh sebegitu.
Rozie tersentak. Kenapa dia tak terfikir begitu? Dia akui silapnya. Ketika itu dia sikit pun tak ingat pasal Eiyad dan Erjaz. Maklum la dirinya dilamun cinta dengan Mikail. Dia gembira apabila Mikail menerimanya semula. Selepas itu mereka berkahwin tetapi kebahagiaan dan kegembiraan mereka berdua hanya sementara saja.
"Ini last warning daripada I, Rozie. Kalau you cuba lagi nak jumpa Eiyad, I takkan teragak-agak nak buat report polis. Faham!" Erjaz menuding jari telunjuk kepada Rozie. Selepas ini dia takkan beri muka kepada bekas isterinya lagi.
Tiba-tiba Rozie memegang tangan Erjaz.
"Erjaz, I tahu I bukan ibu yang baik tapi I berharap sangat I diberi peluang sekali lagi untuk perbaiki kesilapan I. I tak nak ulangi lagi kesilapan I yang dulu. I hanya nak jumpa Eiyad saja. Sumpah, I tak ada niat nak ambil Eiyad daripada you. I merayu sangat-sangat bagi I jumpa Eiyad. Sekejap pun jadi la." Rozie merayu. Tubir mata mula berair. Harapannya hanya satu, dia mahu berjumpa dengan Eiyad. Dia mahu tebus balik kesilapannya.
Erjaz menarik tangannya dengan kasar.
"Dulu I pernah merayu kat you supaya jangan tinggalkan Eiyad tapi you sikit pun tak peduli. Kononnya you nak kejar impian you. Sekarang ni you nak I dengar rayuan you pula? You rasa I nak dengar ke? Nonsense! Semua yang berlaku salah you, Rozie! Kan bagus kalau you stay terus kat London!" jawab Erjaz. Dia terus melangkah pergi ke kereta. Dulu dia pernah cinta Rozie sepenuh jiwa dan raganya tetapi Rozie tak pernah cintakan dia. Rozie kahwin dengan dia sebab desakan keluarga.
Pintu kereta dibuka dengan kasar dan Erjaz terus masuk. Dia menggenggam erat kedua-dua tangannya menahan geram. Kenapa Rozie mesti muncul semula dalam hidupnya? Melalui cermin pandang belakang, dia nampak Rozie menangis. Namun Erjaz terus menghidupkan enjin kereta dan bergerak keluar dari hospital.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro