Bab 14
"TUNGGU!" Terkocoh-kocoh Iman berlari ke arah pintu lif yang hampir tertutup. Dengan beg sukan yang digalas membuatkan dia sedikit semput. Sudah lewat 10 minit dari waktu yang dijanjikan. Sah Karmila membebel! Cikgu sorang tu begitu punctual kalau bab masa ni!
Iman hampir pengsan melihatkan gerangan penghuni di dalam lif waktu itu. Bukan hantu tapi... My lift partner! Zariel! Aduh! Di dalam lif lagi jumpa mamat ni. Rasa macam tidak cukup nafas dibuatnya.
Melihatkan pandangan tajam daripada Zariel, serta-merta Iman terkelu. Janganlah dia berdendam sebab kalah dalam perebutan tender tu. Cukuplah dengan gencatan yang dibuat sempena perkahwinan mereka yang kurang tiga minggu lagi. Dia berdiri agak jauh. Butang aras 5 ditekan. Aras yang menempatkan gelanggang futsal. Zariel diam tak berkutik.
Dengan ekor mata, Iman mengerling penampilan santai tunangnya tu. Baju T putih dan seluar pendek paras lutut, berkasut sukan bagai, jangan cakap dia pun menghala ke destinasi yang sama juga. Adeh... Kalau betul, mahu aku jadi pemerhati aje nanti.
Lambat pula lif ni gerak. Tingkat 5 aje kut. Bukan 15! bebel hatinya tak keruan.
"Tahniah sebab dapat tender hari tu."
Nafas Iman seakan-akan tersekat mendengarkan suara yang keluar dari mulut jejaka di sebelahnya. Macam tak percaya aje.
"Terima kasih." Iman cuba berlagak biasa. Senyuman paksa diukir namun serta-merta mati apabila melihatkan wajah kelat lelaki itu. Mahal sangat ke senyuman dia tu sekarang? Dulu bukan main menyengih lagi. Aku ni dah nak jadi bini dia kut!
"Kirim salam kepada Encik Hariz," ujar Zariel sebelum berlalu keluar sebaik saja pintu lif terbuka.
Dingin betul! Iman turut melangkah keluar menuju ke arah teman-temannya yang sedia menanti di gelanggang yang paling hujung. Hala tuju mamat dingin tadi tak diambil pusing.
"Sorry guys, I am late." Lebar sengihannya.
"Kau datang dengan mamat handsome tu, ek?" Karmila mula menempel. Bibirnya dimuncungkan ke arah satu sudut.
Iman menjeling ke arah yang dimaksudkan tu. Kelihatan Zariel sedang rancak berborak dengan geng-gengnya.
"Tak ada maknanya!" balas Iman selamba. Rambut lurus keperangan itu diikat tinggi menyerlahkan lagi leher jinjangnya yang melepak.
"Mmm... Macam kau tak kenal Mila ni. Tadi bukan main duk pot pet-pot pet. Bila nampak mamat tu terus hilang segala garangnya tadi." Nadia berseloroh sambil membetulkan tali kasut.
Iman tergelak kecil. Karmila menghadiahkan jelingan.
"Mamat tu dah bujang kembali sekarang ni. Tu yang aku excited terlebih. Mana tahu ada can nak mengurat."
Apa yang keluar dari mulut Karmila menarik minat Iman, namun dikontrol agar tidak nampak terlalu ketara. Kembali bujang? Nak tanya segan. Hatinya berdoa agar Nadia akan mengemukakan soalan cepumas tu.
"Kau ni memang minah gosip, kan? Mana kau tahu dia bujang? Memandai aje!" Nah! Macam itulah. Ayat selamba Nadia mampu merungkai persoalannya.
"Dah kau kata aku ni minah gosip, aku tahulah."
Jawapan tu belum cukup! jerit hati Iman.
"Awek dia dah ke luar negara. Nak jadi supermodel katakan. Aku tak kata la mamat tu dah putus dengan awek dia. Mungkin bercinta jarak jauhlah kut. Sementara menunggu awek dia tu kembali."
Iman terkedu. Betul ke? Mmm... Nampak gayanya belum kahwin lagi aku dah ada ciri-ciri nak bergelar janda ni. Terbayang layanan dingin Zariel selama mereka bertunang. Macam mana? Wajarkah aku teruskan majlis ni?
"Hei, berangan pula minah ni! Tunggu apa lagi? Jomlah main. Kau tu dahlah sepuluh minit lewat, lagi nak termenung." Sergahan Karmila mengejutkan dia. Haaa... Itu baru Karmila yang sebenar. Mulut yang kadang-kadang tak ada insurans!
"Yalah... Aku datanglah ni. Membebel macam nenek aku!" Iman membuntuti langkah membernya yang mula memasuki gelanggang. Otaknya dah malas nak fikir pasal majlis perkahwinannya tu. Dia berserah aje kepada Ilahi andai itu yang termaktub dalam catatan perjalanan hidupnya.
Sekarang masa untuk menghilangkan stres. Posisi diambil. Tumpuannya kini hanya bola di hadapannya. Setiap kali tendangan dibuat, ibarat dia menendang kepala Zariel! Mamat tu punca hidupnya berserabut. Mamat tu jugalah dia pertaruhkan masa depannya. Gelap cerah hidupnya yang akan datang semua berpunca daripada permainan yang dimulakan oleh mamat tu. Hidup mesti diteruskan! Amek ni! Dia melepaskan satu tendangan kuat.
"Yes! Good job, Iman!"
1-0 pada awal permainan. Mmm... Boleh tahan. Puas hati aku! Masing-masing berbalas tepukan. Secara tidak sengaja anak matanya bertentang dengan anak mata Zariel yang duduk di sudut penonton betul-betul di luar gelanggang mereka. Bila masa pula Zariel tercongok kat situ? Nak mengintai skil ke apa? Ini yang aku tak boleh tahan ni. Mahu kelaut bola aku nanti. Haiyakkk!!! Tenang, Iman. Anggap aje dia tak wujud kat situ, pujuk hatinya.
Nafas ditarik. Permainan kembali dimulakan. Sedaya upaya dia cuba mengawal corak permainannya agar tidak kelihatan canggung di mata jejaka idaman Malaya tu. Laju aje kakinya mengelecek bola di kaki lawan.
"Iman sini!" Bola ditendang ke arah Nadia yang berada di hadapan pintu gol. Namun belum sempat sampai ke sasaran, pihak lawan terlebih dahulu berjaya memintas. Masing-masing sedaya upaya cuba menyelamatkan gawang.
"Mila, jaga-jaga!" Karmila sudah bersedia di pintu gol. Bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Gol!!!" Pasukan lawan bersorak.
Aiseyyy... Iman mengusap rambut lurusnya. Nafas dihela. Penat mengejar bola belum hilang. Terpamer riak kecewa pada wajah Karmila apabila gagal menyelamatkan gawang. Ala, baru lima belas minit main. 1-1 lumrah permainan.
Masing-masing kembali ke posisi. Bersedia untuk memulakan tendangan. Bola sudah sedia di kaki Iman. Sempat anak matanya mengerling ke luar gelanggang. Kelihatan Zariel turut memandang ke arahnya sambil berpeluk tubuh. Senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu sebelum kakinya melangkah meninggalkan ruangan penonton untuk kembali ke pasukannya. Sempat dia menunjukkan tanda ibu jari ke arah Iman.
Iman mengetap bibir. Apa maksudnya tu? Sindiran sebab gawang bolos ke atau skilnya yang dilihat tak seberapa? Melampaulah tu! Aku wakil futsal antara universiti tau! Jangan pandang tak ada mata.
Permainan berlangsung hampir sejam lebih. Masing-masing kelihatan enjoy. Lebih-lebih lagi Iman. Buat seketika dia dapat melupakan bebanan yang digalas. Penat berlari keliling gelanggang demi sebiji bola tidak dihiraukan.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3. Masing-masing berbalas salam sebelum keluar meninggalkan gelanggang.
Iman mengelap peluh dengan tuala kecil yang sentiasa dibawa bersama. Wajahnya agak kemerahan menahan panas. Jam di tangan dikerling. Hampir menunjukkan angka 11.30 malam. Huh! Esok dahlah kerja!
"Kau orang perasan tak mamat handsome tu tengok kita main tadi?" soal Karmila seakan-akan berbisik. Matanya meliar ke arah gelanggang yang menempatkan pasukan Zariel.
Iman sekadar memasang telinga. Terfikir juga reaksi kawan-kawannya seandainya mereka tahu perihal dia dengan Zariel. Boleh jadi Karmila melopong! Air mineral diteguk rakus.
"Mmm... Tu yang gol kau bolos. Mata ke lain. Huh!" Nadia menyindir. Kening dijongket ke arah Iman yang tersengih. Sedia maklum betapa obsesinya Karmila kepada anak bilionair Malaysia tu.
Karmila tersengih mempamerkan giginya yang tersusun rapi.
"Hilang fokus sekejap."
Mereka bertiga bersedia untuk pulang. Masing-masing sudah kepenatan. Esok dah mula kerja. Mulalah nak Monday blues!
"Amanda Iman!"
Iman terkaku. Jarang sekali namanya disebut dengan penuh. Matanya menghala ke arah datangnya suara tadi. Nadia dan Karmila turut sama memandang. Iman mengecilkan anak mata. Siapa tu?
"Wow! Look at him. Berapa ramai jejaka handsome yang kau kenal ni, Iman? Jealousnya aku!" Karmila menyiku lengan Iman.
Iman masih berkerut. Cuba mengingati di mana dia pernah jumpa lelaki itu. Muka macam familiar. Tapi memori otaknya masih gagal berfungsi. Siapa, ek?
Jejaka tampan tinggi lampai berhenti betul-betul di hadapan Iman dan kawan-kawannya. Bibirnya mengukir senyum yang menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Ya ampun! Ganteng amat sih! Wajah teruna Melayu sejati dengan kulit tanned. Memang cukup pakej.
"Amanda Iman, kan?"
Iman mengangguk perlahan. Dahi masih berkerut. Kotak memorinya dikerah sehabis mungkin.
"UKM, sesi 2000, Mass Com..."
Mata Iman membulat. Bibirnya turut mengukir senyum.
"You, Hisyam?"
Laju aje lelaki di hadapannya mengangguk.
"I ingat you dah tak kenal I lagi."
"I hampir tak cam you. You dah banyak berubah."
Atas bawah ditilik. Terbayang wajah lelaki itu sepuluh tahun lepas. Dengan badan yang kurus kering. Berkaca mata bingkai hitam dan berseluar skinny amat terserlah gaya retronya. Juniornya dua tahun. Belum tamat pengajian, dia hilang tanpa berita. Khabarnya dihantar ke luar negara oleh orang tua atas sebab-sebab yang tak diketahui.
"You are totally look different." Dalam diam, hati Iman memuji. Memang kacak! Tanpa kaca mata, wajahnya lebih terserlah gaya maskulin dengan alis mata tebal
"Same goes to you, Iman. You still look gorgeous as always." Hisyam tersengih.
"Mana you menghilang? Tak pernah nampak pun you kat sini?" soal Iman.
"Dah sebulan I balik Malaysia. Baru first time kita orang try game kat sini. Sebelum ni selalu main dekat KJ," jawab Hisyam.
"Oh, I see..." Iman mengangguk. Baru dia sedar yang Hisyam ni sekumpulan dengan Zariel. Kawan rupa-rupanya. Tak hairanlah tak pernah nampak mereka di sini.
"Oh, please meet my friends, Karmila, Nadia."
Karmila yang sedari tadi menyiku lengan Iman mula mempamerkan sengihan lebar kepada mamat handsome di hadapannya. Laju aje tangannya menyambut huluran salam lelaki tu.
"You model, ek?" Hah... Sudah!
"Rasanya pernah nampak wajah you dalam majalah." Aduh! Ayat mengurat zaman Ogy Ahmad Daud ke apa ni?
Iman melopong. Nadia menjongket bahu.
"Cuma part time aje. Ada job... Free time... I on aje," jawab Hisyam. Masih lagi dengan killer smile dia tu.
"Kan... I memang dah agak dah. No wonder you look so familiar to me!" tutur Karmila teruja.
"Eh... Syam. Dah lewat ni. Kita orang balik dululah. Esok kerja. Nanti-nanti kita sambung." Iman segera memotong. Jika dibiarkan, ada yang bakal bermalam di gelanggang tu nanti.
"Okay. Give me your phone number. We will keep in touch later."
"Sure."
Mereka bertukar-tukar nombor telefon sebelum ketiga-tiga gadis pingitan itu mengatur langkah menuju ke lif. Iman mengambil langkah menamatkan perbualan apabila nampak kelibat Zariel melangkah ke arah mereka. Dia tahu hati kecilnya akan menikus apabila diterjah dengan renungan tajam daripada anak kacukan tu. Nasib baik tindakannya itu tidak disedari oleh rakan-rakannya mahupun Hisyam sendiri.
Iman, Karmila dan Nadia berpisah hala tuju. Langkah Iman dilajukan apabila menyedari kawasan parkir agak sunyi. Walaupun dia memiliki kemahiran tae kwan do, namum kaedah berhati-hati masih diambil kira juga. Laju tangannya menekan alarm Honda Jazz merahnya yang berkilat.
"Iman!"
Gugusan kunci di tangan terlepas dek terkejut dengan panggilan tersebut. Darahnya berderau. Siapakah? Atau apakah? Hesy...
Bunyi tapak kaki makin mendekat. Iman sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Badan dipusing perlahan-lahan. Matanya membuntang melihatkan makhluk yang berdiri di hadapannya dengan jarak kurang dari dua meter.
"Zariel?" Terkaku dia sekejap.
Lelaki tersebut melangkah merapati gadis di hadapannya. Iman mula cuak. Kakinya mengundur setapak ke belakang. Jangan cari pasal!
Tanpa diduga Zariel membongkok. Rupa-rupanya kunci Iman yang terjatuh tadi diambilnya balik.
"Maaf buat you terkejut."
Iman mengambil huluran kuncinya dari tangan Zariel. Gentlemanlah pula.
"Ada apa?"
Zariel merenung tunangnya yang berwajah pucat.
"Sebenarnya, I ada perkara nak bincang dengan you. If you don't mind spend masa sekejap." Lembut bicaranya.
Bincang? Iman seperti sudah boleh mengagak. Akhirnya lelaki itu memulakan langkah pertama. Jam bertali putih Solvil et Titus dikerling. Hampir jam 12 malam. Esok pula merupakan hari yang sibuk baginya.
"Saya nak kena balik. Dah lewat sangat ni. Lagipun esok saya kerja. Awak tak apalah, bos. Masuk lambat pun tak ada hal. Saya kerja dengan orang. Kena on time." Berjela pula alasannya.
Zariel kelihatan mengeluh. Melihatkan wajah mulus gadis itu agak kepenatan, dia serba salah ingin memaksa.
"Okey. Kita jumpa lunch esok. Boleh?"
Iman teragak-agak. Jumpa Zariel Imran Dato Ariff? Mahu kecoh satu Malaysia!
"Please?"
Melihatkan muka merayu Zariel, Iman mula lembut hati. Boleh aje mamat ni kalau nak berlembut pun. Ini tak, mata tu kalau tengok macam nak telan orang!
"Okey."
"Good. I will see you tomorrow afternoon. Drive safe." Zariel berlalu.
Iman menjengilkan mata. Mulut separuh ternganga. Blah macam tu aje? Kat mana nak jumpanya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro