Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

bab 14

▥▥▥

DAY 6-DAY 9

Tak kenal maka tak cinta,

Dah kenal kenalah bercinta kan?

Belajar untuk jatuh.

Jangan risau, jatuh yang ini takkan buat kau sakit.

Itu janji aku.

▥▥▥

Hampir tersembul mata bundar Saffiyyah tatkala membaca tulisan tangan itu. Kertas di tangan dibaca berulang kali. Laju mindanya memproses makna tersirat Putera. Tak percaya dia dibuatnya. Bercinta dengan Putera? Memang taklah! Serius, inilah permintaan Putera yang paling tak masuk akal dan langsung tak boleh diterima.

Jatuh cinta? Untuk empat hari? Mustahil! Putera fikir dia ini robot agaknya yang boleh diprogram dan diarah sesuka hati. Saffiyyah sendiri tak yakin dengan kemampuannya belajar mencintai seseorang. Lebih-lebih lagi seseorang itu ialah Putera, insan yang kehadirannya dianggap sebagai bala. Lagi satu, bagaimana dia hendak cintakan Putera jika rasa benci kian menebal dan bertimpa-timpa?

Automatik helaan nafasnya terasa berat.

Saffiyyah tak tahu apa yang Putera sedang rancangkan. Mula-mula, berkenalan. Kemudian, belajar masak lauk kegemaran lelaki itu. Sekarang, belajar untuk jatuh cinta pula. Gilalah! Apa tujuan asal Putera sebenarnya? Dia sendiri masih kabur dengan permainan Putera. Saat ini, hanya satu yang diharapkan.

15 hari, lekaslah berakhir!

DAY 7

"Kak Long! Nah, Abang Putera bagi."

Tahu-tahu saja sebuah kotak bersaiz sederhana menyapa ruang mata. Saffiyyah tak terus ambil, sebaliknya mendongakkan kepala mencari seraut wajah yang menghulur. Arina masih dalam posisi yang sama, memegang kotak putih dan menunggu hulurannya diterima. Saffiyyah mengeluh. Walaupun berat hati, kiriman tersebut dicapai juga.

"Rin pergi jumpa Abang Putera ke tadi? Kak Long suruh singgah beli aiskrim kan, bukannya jumpa dia," gerutu Saffiyyah. Arina yang mendengar sudah berkerut dahi.

"Aik? Lain macam cara Kak Long ni. Takkan jealous kot?" Kak Longnya dipandang bersama sebuah senyuman yang tak lekang dari bibir. Senyuman mengusik. Saffiyyah pantas mengangkat muka. Terhenti tingkahnya membelek kotak tersebut tatkala mendengar ulah si bongsu.

"Amboi, ada orang tukar topik nampak? Kak Long tanya ni, jumpa Abang Putera ke tadi?" Dia memulangkan soalan yang sama kepada Arina. Batang tubuh gadis yang berada di hadapannya direnung tajam menanti jawapan.

"Mana ada Rin jumpa dia. Terjumpa adalah. Hehehe..." Arina tersengih dengan jawapan sendiri. Lagi-lagi melihat wajah kakaknya yang sedia keruh bertambah kekeruhannya.

"Terjumpa? Oh, terserempaklah ni?" tanya Saffiyyah lagi. Perasaan ingin tahunya menggunung tinggi. Entah kenapa, dia seperti dapat merasakan sesuatu.

"Ish, Kak Long ni. Banyak tanya pula dia. Orang dah bagi tu, terima jelah." Kurang senang Arina jadinya dengan lantunan pertanyaan bertalu-talu daripada Saffiyyah. Tambahan pula dia dah rancang baik-baik dengan Putera tadi. Mana boleh sampai kakaknya tahu!

"Abang Putera kata Kak Long suka sangat dengan hadiah ni. Sweet betul Abang Putera. Sebab ini ke Kak Long sayang bagai nak rak?" Bibir Arina sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk. Saffiyyah ingin membalas tetapi tindakan si adik lebih pantas. Jari telunjuk mendarat tepat di atas bibir si kakak.

"Shhh... Kak Long tak perlu cakap apa-apa. Rin faham." Sebelah mata dikenyitkan usai menghabiskan kata. Kemudian, langkahnya laju mencicit jauh. Kelibat pelik Arina diiringi dengan pandangan bingung milik Saffiyyah. Dah kenapa dengan budak tu? Sawan ke apa?

Malas hendak mengambil tahu, gelagat aneh Arina tadi dipadamkan dari ingatan. Perhatian Saffiyyah kini lebih tertumpu kepada kotak putih yang berada di pangkuannya. Apa isi kandung yang terdapat di dalam kotak kiriman Putera? Dia pula yang berdebar.

Saat penutup kotak disingkap, kening lebat milik gadis itu hampir saja bercantum. Perlahan-lahan isinya dikeluarkan. Sebuah album yang penuh dengan gambar milik Putera. Sejak lelaki itu kecil hingga dewasa. Sebaik terlihat gambar-gambar tersebut, secara tak langsung terbit senyuman di tepi bibir Saffiyyah.

Helaian album tersebut lantas diselak satu persatu. Ditatap dari kulit ke kulit. Senyumannya semakin melebar. Putera tak malu ke tayangkan gambar dia sewaktu zaman hingusan di alam menengah dulu? Dengan rambut pacak ala-ala mat rempit dikenakan pula bersama baju T-shirt besar. Langsung tak padan dengan tubuhnya yang kurus kering bak lidi. Sekali tengok, macam penagih dadah pun ada.

Tetapi, semua itu dululah. Menginjak dewasa, tubuh kurus lidi itu sudah berisi tegap. Helaian rambutnya juga digayakan kemas. Putera sudah berubah menjadi lelaki idaman Malaya. Lagi-lagi selepas lima tahun, penampilannya kelihatan lebih matang. Jauh di sudut hati, Saffiyyah sempat memuji.

Pemerhatian gadis itu terhenti tatkala menangkap sekeping kad yang terselit di helaian terakhir album tersebut.

▥▥▥

Putera tak adalah kacak mana,
Putera tak adalah kaya raya,
Putera pun bukanlah yang dipuja-puja.
Cuma dia istimewa.

Putera inilah yang boleh buat Saffiyyah jatuh cinta.

-Putera milik Saffiyyah-

▥▥▥

Saffiyyah menekup mulutnya sekuat hati. Menahan tawa miliknya daripada terburai keluar. Pfft, apa yang Putera merepek ni? Entah kenapa, serta-merta bulu romanya tegak mencacak menatap bait-bait aksara di atas kad itu. Lelaki itu sudah hilang akal ke? Sungguh, sukar betul untuk terima perubahan Putera yang ini.

Seorang Putera yang dia kenal dulu 360 darjah songsang daripada Putera yang sekarang. Jejaka itu mana pernah 'bergula' begini. Kata-kata dan sindirannya saja memang cukup pedas menyentap jiwa. Kadang-kadang itu sampai boleh dibawa bergaduh jugalah. Nasib baik Putera pandai memujuk dan meredakan keadaan.

Kepingan kad itu dibaca sekilas lagi sebelum diselitkan di tempat asal. Helaian album ditutup. Tidak terlalu ingin menghadam isi kata-kata Putera tadi. Baginya, tiada guna pun berbuat demikian. Hatinya sudah keras dan takkan mampu dilunturkan lagi. Semuanya disebabkan peristiwa dulu telah menjadikan Saffiyyah seorang yang lebih berhati-hati.

DAY 8

"Kak Long! Rin nak tanya sedikit boleh?" Tanpa salam mahupun ketukan di pintu, tiba-tiba sahaja Arina meluru masuk ke dalam bilik lalu mencampakkan diri di atas katil bercadar biru milik Saffiyyah. Si kakak mengurut dada yang terasa hendak luruh. Mana taknya, tingkah Arina tadi hampir saja membuatkan tilamnya berlubang dek tekanan maksima.

Arina sekadar mengorak sengih sehingga jelas terserlah gigi taringnya. Tiada secebis pun riak bersalah di seraut wajah itu. Sempat lagi tubuh kurusnya dilantun-lantunkan di atas katil lagak budak kecil. Saffiyyah menjeling geram. Bertambah lagi seorang makhluk yang dianggap bala dalam hidupnya selain Putera. Pembetulan, selain Putera dan Hilman.

"Alah Kak Long ini. Chill la, jangan marah-marah," ujar Arina. Sedar angin kakaknya yang tidak berapa baik pada hari ini. Saffiyyah diam tanpa kata. Pandangan kembali diluruskan pada gajet di tangan. Tidak betah dia hendak melayan ragam adiknya yang seorang ini. Suka sangat cari pasal!

"Kak Long, Rin nak tanya something ni." Jemari gadis berusia 17 tahun itu bertindak menarik-narik hujung lengan baju tidur kakaknya.

"Hmm... tanyalah. Kak Long dengar." Mata Saffiyyah masih tidak lepas dari skrin telefon.

Tahu-tahu saja, telefon Saffiyyah sudah beralih tempat. Sempat pula Arina merampas alat tersebut dari genggaman. Hendak dimarah pun tiada guna. Anak bongsu Tuan Nizam yang ini memang suka sangat cari gaduh. Lain perangainya dengan Rayyan. Lebih memahami. Saffiyyah menghela nafas berat. Dia mengalah.

"Okey, Kak Long sedia mendengar. Apanya?"

"Kak Long... cintakan Abang Putera tak?" Shoot! Soalan daripada Arina cukup membuatkannya kelu tanpa sebarang kata. Terkedu pun ya. Tak sangka itu soalan yang bakal keluar dari mulut adiknya.

"Err... soalan jenis apa ni? Mestilah cinta! Kalau tak, takkanlah kami setuju kahwin?" gugup suaranya berbohong menutup rasa hati yang hakiki.

"Oh, kalau macam itu boleh Rin tahu apa definisi cinta Kak Long?" tanya Arina lagi. Soalan kedua inilah yang paling penting! Penting untuk Abang Puteranya. Dia sendiri pun tak sabar mendengar penjelasan Saffiyyah.

"Cinta? Bagi Kak Long, cinta itu ibarat janji. Sukar untuk dijaga namun mudah untuk dilafaz. Oleh itu, dengan mudahnya manusia menabur cinta. Tanpa mereka sedar, cuainya dalam menjaga akan mendatangkan sakit dan melukakan hati sendiri serta orang yang dicintai."

Giliran Arina pula terdiam. Seolah-olah sedang cuba memproses apa yang dikatakan kakaknya.

"Definisi cinta Kak Long lain sangat dengan Abang Putera. Tadi Rina pun sempat tanya Abang Putera pasal benda ni sebab Rina tengah buat research untuk presentation esok. Kak Long nak tahu tak apa Abang Putera cakap?"

"Cinta membawa maksud pengorbanan. Seseorang sanggup melakukan dan menerima apa sahaja asalkan membawa bahagia kepada orang yang dicintai. Namun, itu tak bermakna cinta itu menyakitkan. Cinta hanyalah sebuah rasa yang lahir dari hati yang tulus ikhlas."

DAY 9

Entah apa yang sudah merasukinya kini dia pun tidak tahu. Sejak malam semalam, Saffiyyah tak henti-henti termenung. Gadis itu seolah-olah khayal dalam lamunan panjang. Dalam mindanya hanya berlegar-legar dengan definisi cinta Putera.

Jujur, saat dia mendengarkan definisi Putera daripada mulut Arina malam itu, serta-merta lidahnya kelu. Saffiyyah rasa dirinya seperti terkena tamparan hebat. Putera seolah-olah sedang menyedarkannya tentang makna cinta yang hakiki. Erti cinta yang selama ini Saffiyyah sendiri kabur untuk menyedari.

Takrifan cinta Putera sangat padan dengan setiap tindak-tanduk yang lelaki itu lakukan sekarang. Putera sudah mengorbankan lima tahun semata-mata hendak menunggunya. Malah lelaki itu sanggup berkorban sekali lagi dengan memberi Saffiyyah peluang kedua.

Sebaliknya, apa yang gadis itu lakukan? Cinta seorang lelaki yang selayaknya dibalas kasih, dihulur duri. Cinta yang hadir sejak azali, dianggap sekadar mimpi tak bertepi.

Bukan ini kehendak Saffiyyah. Dia sekadar berpegang dengan hakikat yang tersurat.

Selama-lamanya Saffiyyah takkan layak. Tak layak untuk seorang Putera dalam hidupnya.


Hola! I'm back! Yuhuuuu~ 😄✌🏻

So, how's reading? Okey tak tu? Agak-agak lepas ni apa jadi? Hmmm tashabarrr! 😆

Jemput baca... 😄

MairaAdh mayiraa xxATULxx LoveSky19 Angel_k20 Frustngell RoseFelinne berry_yumm

nrsyfqhab Syafqaira_ samperitmilo sleepyhed_ MentegaRoti_ ImanAira08 FatanahNasuha_

nrullfatini reenmedina Fahizah_Reena

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro