Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Alexandria Terbakar!

Alekos Gavras hanyalah seorang pemuda yang sepatutnya menjadi perantis ilmuwan di Perpustakaan Agung Alexandria. Bertugas menyalin ilmu di lembaran papyrus, atau menyusun gulungan di khutub khanah teragung. Barangkali juga dia akan menyertai ilmuwan lain di dewan makan dan menyelusuri laluan peripatos, iaitu laluan berbumbung dengan tiang-tiang yang cantik.

Namun begitu, perpustakaan yang dibangunkan oleh Ptolemy I Soter, seorang general Makedonia yang mewarisi Raja Agung Alexander, itu akhirnya musnah dalam kebakaran yang dicetus Julius Caesar. Sekelip mata ratusan ribu gulungan ilmu, hasil daripada jerih-perih para ilmuan hangus begitu sahaja.

Kini Alekos berdiri di hadapan runtuhan perpustakaan. Bukan lagi sebagai bakal ketua perpustakawan, tetapi sebagai perantis Vitruvius, seorang ilmuwan konkrit. Arah tuju hidupnya telah berubah.

"Kau patut bersyukur," Tegur rakannya, Christos. Lelaki berbadan sasa yang memang dilahirkan untuk membuat kerja berat.

Soal Alekos kembali, "Kenapa saya patut bersyukur? Caesar musnahkan perpustakaan dan hidup saya. Dia berpihak kepada Cleopatra dan menentang Ptolemy ke-tiga belas. Kemudian membakar kapal, lalu api merebak membakar bandar dan Perpustakaan Agung. Meskipun sebahagian makalah dan lembaran ilmu telah dipindahkan ke kuil Serapeum, namun kuil itu kecil sahaja. Mereka tidak perlukan perantis seperti saya."

"Apakah tugas yang kau lakukan di perpustakaan? Menyalin ilmu ke dalam lembaran papyrus untuk dijual ke tempat lain? Adakah kau pernah praktiskan ilmu yang kau salin?"

Apabila Alekos hanya berdiam diri, Christos menyambung, "Sebab itu aku kata, kau patut bersyukur. Bekerja dengan aku sebagai perantis Vitruvius, kau dapat ilmu konkrit dan gunakan ilmu itu terus. Kita boleh bina semula Perpustakaan Agung dengan lebih indah."

"Apa yang menariknya ilmu membancuh konkrit?" Alekos mencebik. Lengannya yang kurus tidak terbiasa membuat kerja fizikal. Kerja berat yang dilakukan hanyalah mengangkat gulungan ilmu.

"Dulu, sebelum Vitruvius tahu cara membancuh konkrit, kita terpaksa memotong batu gunung untuk membina bangunan. Kerjanya sangat susah dan batu-batu itu sangat berat. Kemudian, apabila Vitruvius mengajar ilmu konkrit, kerja pembinaan lebih mudah. Kita boleh bina tiang tinggi yang cantik, serta kubah dan gerbang melengkung. Bukankah lebih baik kau perolehi ilmu dan kau amalkan?"

"Apa guna membina bangunan perpustakaan cantik-cantik, tetapi di dalamnya kosong. Ilmu yang terbakar itu tidak ternilai!" Alekos masih marah. Namun dia tetap mengikut arahan Christos untuk mengangkat dan menghimpunkan batu kerikil.

"Ilmu membina juga satu cabang ilmu. Usah sempitkan fikiran, bahawa ilmu itu mesti diperolehi di perpustakaan. Vitruvius mengajar bahawa setiap bangunan yang dibina perlu ada tiga ciri utama iaitu firmitas, utilitas, venustas - kukuh, berguna dan cantik."

Christos menggaru-garu dagu. "Tentu kau belum pernah lihat teknologi yang dicipta Vitruvius untuk membina rumah mandi awam? Kalau kau lihat susunan paip dan kaedah pemanasan berpusat yang dicadangkan beliau, tentu sekali ilmuwan seperti kau akan kagum."

"Oh ya, tuan Vitruvius juga ada menulis buku. Kalau tak silap, tajuknya De Architectura."

Mata Alekos membulat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro