Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Epilog

HARI ini merupakan hari ulang tahun jubli emas bagi stesen angkasa Athria-Gemilang. Hari ini jugalah merupakan ulang tahun ke-50 selepas peristiwa letupan besar di bumi. Stesen angkasa Athria-Gemilang yang sedang menerawang mengorbit bumi masih gagah lagi menjalankan tugasannya meskipun sudah berusia lima dekad. Sudah banyak perkara yang telah disaksikan di dalam stesen angkasa ini. Beberapa siri rampasan kuasa, pemerintah dan kapten yang bersilih ganti, pengkhianatan, momen-momen Athria-Gemilang hampir melanggar stesen angkasa milik negara lain dan sebagainya melatari turun naik episod perjalanan kehidupan sementara penduduk di situ selama lima puluh tahun. Daripada pemerintah diktator ke pemerintah demokrasi, kesemuanya sudah dilalui oleh penduduk dua generasi yang terkandung di dalamnya.

Masalah-masalah berbangkit seperti populasi yang berlebihan dan kekurangan sumber bekalan makanan turut dibicarakan menjelangnya pesta sambutan besar-besaran jubli emas stesen angkasa ini. Hari ini juga menandakan bahawa sudah dua generasi terlahir di angkasaraya dengan jumlah populasi penduduk hampir mencecah ke angka tiga ribu orang telah berada dalam stesen angkasa ini. Masalah-masalah seperti pemimpin yang tidak berupaya untuk mengemudi stesen athria-gemilang ini turut menjadi tajuk perbualan masyarakat di sini. Masalah populasi berlebih boleh memberi kesan bahaya kepada keseluruhan koloni. Stesen Athria-Gemilang boleh menjadi terlalu berat dan lama kelamaan, stesen angkasa ini boleh jatuh ke permukaan bumi dan membunuh keseluruhan koloni yang ada. Masing-masing menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan kapten yang ada sekarang.

Bagi penduduk di Athria-gemilang, permukaan planet bumi pula dipercayai masih diselubungi sinaran radiasi yang berbahaya meskipun telah lima puluh tahun peristiwa 'Letupan Besar' berlaku. Tidak ada data-data terkini yang dapat diambil daripada kawasan permukaan kerana alatan yang ada samada telah rosak ataupun sudah tidak boleh digunakan lagi. Mereka bergantung kepada pemerhatian dan cerapan dari kawasan orbit buni. Catatan mengenai keadaan bumi akan dibuat pada setiap hari seperti data warna air laut, warna hutan belantara, kemunculan ribut radiasi, aktiviti volkanik serta pembentukan benua-benua yang baru jikalau ada. Pada ketika itu, benua Afrika sedang mengalami perubahan. Benua ini sedang mengalami pemisahan daripada benua asalnya lalu membentuk satu lautan baharu.

Di dalam bunker pula lain ceritanya. Oleh kerana pintu utama untuk keluar daripada bunker sudah tidak boleh dibuka lagi, maka, seluruh koloni bunker sedang memikirkan cara untuk keluar daripada perut bumi. Pintu utama bunker difahamkan telah disekat dengan runtuhan konkrit selepas episod 'Letupan Besar' dahulu. Alat-alat komunikasi tercanggih yang dipasang lima puluh tahun dahulu sudah tidak boleh digunakan lagi oleh kerana samada telah terlalu uzur ataupun sudah musnah dihancurkan oleh gelombang sinaran radiasi yang membadai bahagian permukaan bumi. Komputer pula sudah tidak boleh digunakan lagi disebabkan oleh sudah rosak akibat tidak mendapat kemaskini. Mujur sahajalah tenaga elektrik yang digunakan di dalam bunker berkenaan dijana oleh sumber radiasi yang boleh bertahan selama seribu tahun lagi.

Komuniti bunker berusaha sedaya upaya selama beberapa tahun untuk mencari jalan keluar daripada bunker berkenaan. Mereka menggali, mengorek serta menghancurkan batu-batu untuk menghasilkan lubang keluar sehinggalah ke bahagian permukaan. Sumber makanan juga semakin hari semakin berkurangan ditambah dengan pertambahan populasi yang tidak terkawal di dalam bunker berkenaan. Pada saat ini, mereka sudah tidak lagi menggunakan teknologi terkini. Mereka sudah kembali kepada alam dan pokok-pokok yang ditanam di dalam bunker berkenaan. Risikonya jikalau mereka keluar ke permukaan, kadar penerimaan sinaran radiasi oleh badan tidak dapat ditentukan dengan menggunakan apa-apa alat sekalipun. Namun, mahu tidak mahu, mereka terpaksa juga untuk keluar dan membina kehidupan baharu meskipun terpaksa berdepan dengan risiko dedahan kadar sinaran radiasi yang tinggi selain haiwan yang telah termutasi akibat cemaran radiasi yang berselerak ke seluruh dunia.

Suasana di dalam bunker yang dahulunya tersusun, kemas dan bersih kini tidak ubah seperti sebuah kawasan yang sempit, kotor dan menakutkan. Mereka seakan-akan sebuah koloni distopia yang datangnya daripada makhluk planet lain yang hidup di sebuah tempat yang maha sempit, gelap, kotor serta menakutkan. Pakaian mereka juga compang-camping, tidak ubah seperti koloni barbarian yang hidup secara nomad dan terasing. Cumanya, koloni ini hidup di dalam tempat yang telah tertanam 50 meter daripada permukaan bumi. Sudah tiga generasi koloni ini berada di dalam bunker berkenaan, dan rata-rata daripada mereka tidak pernah lagi melihat dunia di permukaan. Jadi, mereka perlu keluar daripada kepompong koloni distopia yang kotor dan barbaric itu untuk membina kehidupan yang baharu. Gaya bahasa dan percakapan mereka juga sudah tidak sama seperti lima puluh tahun sudah. Mereka menggunakan pantun sebagai dialog komunikasi utama ketika berkomunikasi antara satu sama lain.

***

Tujuh puluh lima tahun sudah berlalu, kini dua dunia yang berbeza menjalani kehidupan pada alam semesta yang sama. Satu koloni meneruskan kehidupan di cakerawala dan di panggil sebagai koloni 'Skyblood', manakala satu lagi koloni berada di permukaan bumi. Satu koloni sedang bergelut untuk kekal survival dan relevan dalam apa jua cara sekalipun di angkasaraya, manakala satu lagi koloni pula sedang berhempas pulas untuk kekal hidup dengan bertemankan peralatan kuno seperti tombak, keris dan juga bahan-bahan yang diperbuat daripada alam semulajadi. Adakalanya koloni berpecah belah, membentuk koloni-koloni baru yang lebih besar, dan adakalanya, koloni-koloni ini akan berperang sesama sendiri. Mereka ini dipanggil sebagai koloni utopia 'Knightblood', dengan darah kesatria mengalir di dalam diri setiap koloni.

Ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bikin muafakat. Adakah dua koloni ini akan bertemu akhirnya? Mungkinkah pertembungan dua budaya daripada dua koloni yang cukup berbeza ini bakal mencetuskan rasa, derita dan perasaan cinta? Masih wujudkah perasaan kemanusiaan dikala ini?

-Bersambung di siri yang kedua-

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro