Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

-'²⁵'-

Bunyi kicauan burung menandakan matahari perlahan-lahan kelihatan di kaki langit. Ketika ini, bunga-bunga mulai mekar bersama titisan air embun yang jernih. Langit yang gelap mula bertukar ke warna jingga kekuningan. Semakin lama semakin pudar ditelan terikan matahari.

Jika orang lain akan menyambut pagi sebagai permulaan hari yang baru namun tidak bagi Han. Pagi itu merupakan hari terakhirnya berada di Pulau Jeju setelah hampir sebulan menghabiskan masa di situ. Dengan hati yang berat, Han mengubah posisi baringnya kepada duduk. Nasib baiklah Hyunjin akan bertolak ke Seoul petang nanti. Jadi, masih ada masa untuk diluangkan bersama Hwa Ra.

"Selamat pagi! Kenapa muram je ni?" Soal Hyunjin. Selalunya pantang buka mata, terus mulut hendak bersuara. Kali ini, diam pula sahabatnya.

Jeongin tersenyum penuh makna. Apa lagi kalau bukan kerana mereka akan pulang hari itu. "Abang ni... Kan nak balik Seoul. Sedihlah nak berpisah dengan buah hati pengarang jantung dia..."

Han mengangguk seraya mencebik. Jika dia terus menetap di situ, tidak perlulah dia berpisah dengan Hwa Ra dan merindui gadis itu setiap jam, minit dan saat. Air kosong dituang ke dalam gelas sebelum mengambil tempat di antara Hyunjin dan Jeongin.

"Biasalah Han. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan... Lagipun, bukannya duduk luar negara pun, luar negeri je.. sedih sangat konon." Hyunjin menggeleng perlahan. Pagi hari sudah mula berdrama.

"Okeylah... Aku nak mandi dulu. Nak keluar dengan Hwa Ra. Petang ni aku balik jadi, jangan cari aku." Han berpesan. Segala barangannya sudah dikemas malam semalam. Dia melakukan itu kerana sudah merancang semuanya awal-awal.

"Pergilah... Nanti tak boleh jumpa, kan? Kesian," ejek Hyunjin disambut dengan tawa. Han memekakkan telinga kerana tahu yang Hyunjin sengaja menyakitkan hatinya.

Jeongin mengupas kulit buah epal yang diambil tadi. Hirisan buah itu kemudiannya dicampurkan dengan susu segar. Seterusnya, campuran dua bahan itu dimasukkan ke dalam mulut.

"Iyen.. tak keluar dengan Ji Ah hari ni?" Soal Hyunjin bila melihat Jeongin bertingkah seperti biasa.

"Tak sebab Iyen nak keluar dengan Abang.. petang ni baru Iyen jumpa Ji Ah." Jeongin menjawab. Hal itu juga sudah diberitahu kepada Ji Ah semalam.

Hyunjin mengerutkan keningnya. "Kenapa pulak? Hari ni kan nak balik dah. Luangkan masa dengan Abang, dekat Seoul nanti boleh."

Jeongin mengunyah epal sambil pandangannya menghala ke luar. "Iyen nak date dengan Abang. Sepanjang percutian kita, tak pernah lagi kita keluar berdua. Tak salah kan Iyen nak buat macam tu?"

"Mestilah tak... Iyen ni suka buat Abang terharu." Hyunjin mengelap air mata palsunya. Jeongin yang memandang sekilas, tersengih. Selepas pengorbanan Hyunjin selama ini, dia juga berhasrat untuk menggembirakan hati abangnya.



Ji Ah terbersin sebaik saja Hwa Ra berjalan melepasinya. Wangian apakah yang dipakai Hwa Ra hingga hidungnya menjadi sensitif? Wangian belacan? Hwa Ra yang sedang mengikat rambut di depan cermin, diperhatikan. Bukan main lebar lagi senyuman. Kalau boleh, sampai ke hujung mata.

"Cantik tak aku pakai hari ni?" Soal Hwa Ra sambil berpusing di depan cermin. Gaun merah kegemarannya menjadi pilihan. Ji Ah memandang dengan pandangan kosong.

"Hmm.. bolehlah tapi, ni bukan gaun yang aku pinjam hari tu ke?" Ji Ah meminta kepastian.

"Ya lah... Buat-buat tanya pula. Gaun ni bernasib baik sebab sempurna lagi," ujar Hwa Ra. Kejadian seluar yang tercabut butang masih lagi segar di ingatannya.

"Sesempurna tuannya... Hehe." Ji Ah segera menukar topik. Kalau dibiarkan, ada juga diungkit kembali kisah silam. Hwa Ra tersenyum puas mendengar pujian Ji Ah.

"Okeylah... Bye! Aku keluar dulu, ya?" Bayang Hwa Ra menghilang dari muka pintu.

Disebabkan masih banyak masa, Ji Ah mencari filem yang menarik untuk ditonton. Butang alat kawalan jauh, ditekan beberapa kali hinggalah menemui saluran yang dicari.

Han ternganga melihat penampilan berbeza Hwa Ra. Gadis yang selalu mengenakan seluar dan kemeja itu, kini tampil ayu memakai gaun merah. Hampir saja air liurnya meleleh akibat mulut yang terbuka sebentar tadi. Suara Hwa Ra membuatkan Han kembali ke dunia nyata.

"Cant- cantiknya awak..." Puji Han tulus. Hwa Ra pula sudah malu-malu kucing di tempatnya. Memang itu pun yang ditunggu dari tadi.

"Terima kasih.. awak pun comel macam biasa." Hwa Ra membalas pujian Han pula. Walaupun pemakaian kekasihnya itu sama namun, tetap menyerlahkan kecomelan sekaligus ketampanan Han.

Tangan dihulurkan sebelum Hwa Ra menyambut tangan Han. Memandangkan hari itu merupakan hari terakhir mereka keluar bersama, Hwa Ra membuat keputusan untuk memandu. Jadi tidaklah dia perlu berjalan kaki menuju ke perhentian bas dengan memakai gaun.

:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:

Hyunjin mengetuk pintu bilik Jeongin sebelum tombol dipulas. Dia tersenyum melihat Jeongin yang sudah bersiap untuk keluar bersama. Kaki menapak masuk tanpa dipelawa lalu menghampiri adiknya.

"Kita nak pergi mana?" Tanya Hyunjin.

"Adalah... Rahsia." Jeongin tersenyum penuh makna. Mulut Hyunjin muncung sedepa. Kenapa pula perlu berahsia? Ada-ada saja Jeongin itu.

Hyunjin melabuhkan punggung di tas tilam Jeongin sambil menongkat dahinya di kepala katil. Jeongin yang sedang mengemaskan baju, ditenung lama. Dari pemakaian Jeongin, sama saja seperti selalu. Tiada yang berbeza.

"Okey dah siap. Jom, Abang bawa kereta ya?" Ujar Jeongin dan Hyunjin hanya mengangguk perlahan.



Hyunjin memerlahankan kereta sebaik saja tiba di satu kawasan. Dia berasa hairan namun tidak pula bertanya. Jeongin juga hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa. Kereta hitam Hyunjin diparkir di petak yang disediakan. Pedal brek ditekan perlahan dan gear dibebaskan. Brek tangan ditarik sebelum enjin dimatikan.

"Iyen buat apa pergi sini? Sakit ke?" Soal Hyunjin risau. Mana tidaknya, Jeongin hanya memberi arahan jalan saja kepadanya tanpa berkata apa-apa. Tiba di pintu gerbang, barulah Hyunjin perasan yang itu merupakan sebuah hospital.

"Bukanlah... Iyen nak bawa Abang berkenalan dengan Mak. Selepas ni, mesti susah Iyen nak jumpa," jelas Jeongin.

Hyunjin tersenyum kekok. Dia tidak tahu reaksi apa yang perlu dipamerkan ketika itu. "Ouh... Kalau macam tu, Abang tunggu dekat luar jelah?"

"Tak boleh... Abang kena ikut Iyen sekali. Kan tadi dah cakap nak suruh Abang berkenalan dengan Mak. Dah cepat. Nanti waktu melawat habis pulak." Jeongin tetap dengan pendiriannya. Tangan Hyunjin ditarik supaya mengikut langkahnya menuju ke pintu masuk hospital.

Hyunjin teragak-agak untuk menemui ibu kandung Jeongin. Disebabkan itu, dia berhenti di depan pintu wad. Jeongin yang masuk terlebih dulu, berpatah semula untuk mendapatkan Hyunjin yang tidak berganjak di tempatnya.

"Eh? Jeongin? Tak bagitahu pun nak melawat Mak hari ni... Sihat?" Wanita separuh usia menyambut kehadiran anak bongsunya dengan senyuman mesra.

"Sihat... Abang Jinhyuk mana?" Tanya Jeongin apabila melihat ibunya bersendirian.

"Beli makanan katanya. Nanti baliklah tu," jawab Dohee.

Hyunjin yang berdiri di belakang hanya membisu. Malu rasanya hendak memperkenalkan dirinya kepada ibu kandung Jeongin. Kehadiran Hyunjin disedari Dohee lantas mengajak pemuda itu menyertai mereka sekali. Tidak mampu menolak, Hyunjin akur.

"Jadi, nilah Hyunjin yang Jeongin ceritakan pada Mak sebelum ni?" Dohee meminta kepastian. Dengan senyuman yang masih kelihatan di wajah, Jeongin mengangguk.

Hyunjin rasa seperti kehadirannya dialu-alukan. Wanita itu melayan dirinya dengan sangat ramah yang mana membuatkan dia berasa selesa berada di situ.

"Selamat tengahari, Makcik." Hyunjin menunduk hormat. Dohee mengangguk lalu meraih lembut tangan Hyunjin.

"Panggil Mak... Kamu pun anak Mak juga," kata Dohee.

"Betul tu.. sebelum ni Iyen cerita pasal Abang pada Mak. Lepas tu, Mak ada cakap nak jumpa Abang." Jeongin mencelah.

Dohee mengusap pipi anak bongsunya sebelum tangannya beralih mengelus rambut Hyunjin pula.

"Mak gembira sangat-sangat dapat jumpa Hyunjin hari ni. Jadi, bolehlah Mak berterima kasih pada kamu sebab tolong jagakan Jeongin," ungkap Dohee. Semasa Jeongin menceritakan tentang Hyunjin, naluri seorang ibu dapat merasakan yang Hyunjin abang yang sangat baik hati. Nampaknya, sangkaan hari itu tidak salah apabila dapat bersua muka dengan Hyunjin.

"Tak ada apa, Makcik- eh Mak. Iyen kan adik Hyunjin.. jadi dah memang tanggungjawab Hyunjin untuk pastikan Iyen selalu gembira." Hyunjin bersuara.

Sedang berbual, Jinhyuk pulang dari membeli makanan. Hyunjin bersalaman dengan Jinhyuk kerana itu kali pertama mereka bertemu. Makanan yang dibeli, dikongsi berempat. Kadang-kadang terdengar suara tawa dari arah wad Dohee. Sekali lagi, hari terasa begitu bermakna dalam hidupnya.



"Kami balik dulu.. Mak, Abang Jinhyuk." Jeongin meminta diri. Lagipun waktu melawat hanya berbaki lagi 10 minit. Jadi, sebelum pengawal keselamatan datang lebih baik mereka beransur dulu.

"Bawa kereta elok-elok... Bila-bila datanglah jumpa Mak. Sampaikan salam pada Mama dan Papa, ya?" Pesan Dohee. Penglihatannya mula kabur kerana airmata. Berat rasa hatinya untuk berpisah dengan dua beradik itu.

"Okey... Semoga cepat sembuh. Jaga pemakanan." Hyunjin pula bersuara. Sebelum melangkah pergi, mereka berdua memeluk lama tubuh Dohee.

"Jangan gaduh-gaduh, tau..," seloroh Jinhyuk cuba menghiburkan suasana. Hyunjin tertawa perlahan sebelum mengangguk. Siapa sangka dia mendapat 'kembar' hari itu. Pelukan dileraikan lalu bayang Jeongin dan Hyunjin menghilang dari pandangan.

:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:

Seperti yang dijanjikan, Jeongin keluar bersama Ji Ah sebelum pulang ke Seoul. Suasana sepi tanpa sebarang suara yang menemani. Ji Ah memandang Jeongin lalu menyengetkan mulut. Dia menyangka yang Jeongin akan mengucapkan kata-kata manis memandangkan itu hari terakhir mereka keluar berdua.

Jeongin dan Ji Ah berjalan melepasi sebuah restoran. Pantai yang selalu dikunjungi Jeongin, menjadi tempat mereka meluangkan masa yang ada.

"Iyen.. awak tak nak cakap apa-apa ke?" Soal Ji Ah. Memang bukan dirinya jika hanya mendiamkan diri tanpa berbual.

"Cakap apa?" Jeongin bertanya semula. Riak wajah Ji Ah mendatar. Ada pula Jeongin bertanya kepadanya. Sepatutnya dialah yang memberi pesanan memandangkan dia yang akan pulang.

"Ish! Awak ni... Lagi berapa jam awak nak balik Seoul. Takkanlah awak tak nak cakap apa-apa? Suruh jaga diri ke... jaga hati ke? Tak romantik betul." Ji Ah meluahkan rasa tidak puas hati.

Jeongin tersenyum sinis. Dia sengaja mengusik Ji Ah. Memang ada perkara yang ingin ditanya namun menunggu masa yang sesuai. Lagipun, mereka baru tiba di situ.

"Kenapa saya nak pesan macam tu? Saya percayakan diri awak, Ji Ah. Tak payah cakap pun mesti awak akan buat kan?" Jeongin meminta kepastian.

"Ya lah.. Kalau terangkan pun, bukan awak faham. Buat apa je, balik Seoul nanti?" Ji Ah menukar topik perbualan.

"Tak tau lagi.. mungkin cari kerja sambilan." Jeongin menjawab. Dia juga masih belum menentukan apa yang akan dilakukan.

Hembusan bayu dingin bagaikan menyapa dengan lembut. Membawa kesegaran dan kenikmatan. Jeongin memandang Ji Ah yang berdiri di sebelahnya.

"Ji Ah... Kenapa awak pilih saya berbanding Abang, cinta pertama awak?" Soal Jeongin. Sebenarnya sudah lama dia ingin bertanya tentang itu.

Bibir nipis Ji Ah mengukirkan senyuman manis. "Mula-mula, saya pun tak faham sampailah saya terjumpa satu kata-kata ni. Kalau kita suka dua orang dalam masa yang sama, pilihlah orang kedua. Kerana, jika kita menyukai orang pertama... Kita tak akan jatuh cinta pada orang kedua. So, itulah jawapan dia," terang Ji Ah panjang lebar.

"Kalau ada orang ketiga, macam mana pulak?" Jeongin mengusik. Ji Ah mendengus geram. Boleh pula Jeongin main-main ketika dia sedang serius. Adakah itu merupakan dugaan apabila menyukai orang yang lebih muda?

"Ji Ah, jomlah kita balik... Nanti Abang tunggu lama pulak," ajak Jeongin selamba.

Ji Ah mengangguk perlahan. Kalau diikutkan hati, dia mahu merajuk namun kerana tidak mahu membuang masa, Ji Ah hanya akur.




Hyunjin menelefon Han beberapa kali  tetapi tidak dijawab. Entah ke mana Han melencong dengan Hwa Ra. Dia tidak mahu bertolak terlalu lambat kerana waktu malam, jalan lebih sesak.

Tidak lama kemudian, kereta Hwa Ra memasuki perkarangan rumah. Hyunjin menghela nafas lega. Dia sudah memikir bukan-bukan tadi. Kemudian, Jeongin dan Ji Ah tiba di rumah.

"Kenapa tak angkat call?" Soal Hyunjin sebaik saja Han turun dari kereta.

"Telefon aku mati. Sorry... Hehe." Han tersengih di tempatnya.




Beg-beg pakaian dimasukkan ke dalam bonet kereta. Han menahan tangisnya seboleh mungkin. Dia menghampiri Hwa Ra yang masih menunggu di depan pagar.

"Jaga diri elok-elok, Hwa Ra. Kalau rindu saya.. pasang je lampu yang saya hadiahkan tu. Janji jangan lupakan saya." Han menghulurkan jari kelingkingnya.

Hwa Ra mengangguk lalu jari kelingking mereka berdua bertaut, sebagai tanda perjanjian. Hyunjin tertawa dari jauh. Sungguh menyentuh hati adegan yang ditunjukkan Han.

Jeongin pergi ke arah Ji Ah. Dia memegang sebuah kotak kecil lalu diberikan kepada Ji Ah.

"Ni hadiah untuk awak... Maaf tak seberapa," ujar Jeongin.

"Terima kasih, Iyen." Ji Ah menyimpulkan senyuman gembira. Siapa sangka yang Jeongin menyediakan hadiah untuknya.

"Pergi dulu... Jaga diri dan jaga hati awak untuk saya," ucap Jeongin secara spontan.

Kemudian Jeongin mengorak langkah sebelum sempat gadis itu berkata apa. Bayang Jeongin yang memasuki perut kereta itu, diperhatikan dari jauh. Hyunjin membunyikan hon lalu perlahan-lahan kereta yang dinaiki mereka bertiga meninggalkan perkarangan rumah.

Perpisahan seperti takdir yang selalu menemui setiap insan di dalam sebuah kehidupan. Memang sedih apabila berbicara tentang perpisahan apatah lagi dengan orang yang tersayang. Namun sebuah kepercayaan mampu membuat seseorang merelakan perpisahan kerana yakin bila tiba masanya, mereka akan bertemu semula.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro