-'⑰'-
Sebelumnya,
Jeongin dan Ji Ah mengikut langkah Jinhyuk dari belakang. Mereka mematikan langkah sebaik saja tiba di satu tempat.
"Iyen... Awak berbual lah dulu. Saya tunggu dekat pondok depan tu." Ji Ah meminta diri. Dia tidak mahu mengganggu privasi antara dua pemuda itu memandangkan Jinhyuk hanya bertanya pada Jeongin tadi. Jeongin sekadar mengangguk, tidak menghalang.
Selepas Ji Ah pergi, Jeongin berpaling semula ke arah Jinyuk yang duduk berhadapan dengannya. "Kenapa awak nak jumpa saya?"
"Jeongin, mungkin apa yang saya beritahu ni kedengaran mustahil tapi... Saya sebenarnya abang kandung awak. Setahun lepas awak dilahirkan, Ayah meninggal disebabkan kanser. Sejak itulah, Mak buat keputusan untuk serahkan Jeongin kepada keluarga Hwang sebagai anak angkat. Mak tak boleh nak sara dua orang anak sekaligus sebab masalah kewangan... " jelas Jinhyuk.
"... Sekarang ni, Mak sakit dan dia minta saya cari Jeongin. Saya ada call Pakcik Hwang tapi, dia beritahu yang Jeongin tak ada di Seoul. Selepas merayu pada Pakcik untuk awak menetap lebih lama di sini, akhirnya saya dapat jumpa Jeongin. Jeongin... Ikut saya jumpa Mak? Dia nak minta maaf pada Jeongin sebab tak melawat Jeongin langsung di Seoul. Ni permintaan terakhir Mak ...," Sambung Jinhyuk lagi.
Senyuman pahit jelas kelihatan pada wajah Jeongin. Apa yang dia dengarkan sekarang ini? Abang kandung? Mak?
"Maaf tapi, saya rasa yang awak tersalah orang." Jeongin bangun dari kerusinya. Tidak sanggup meneruskan lagi perbualan ini. Jinhyuk bingkas bangun mendapatkan Jeongin. Sebuah fail kertas dihulurkan.
"Dalam ni ada bukti... Yang awak adik kandung saya, Jeongin." Jinhyuk belum berputus asa untuk meyakinkan Jeongin. Dia faham akan perasaan Jeongin tetapi, dengan keadaan ibunya yang semakin tenat membuatkan dia terdesak.
Beberapa helai kertas dikeluarkan. Jeongin membaca satu persatu maklumat yang tertera. Dia mengemam mulutnya, menahan tangis. Tanpa berkata apa-apa, Jeongin membuka langkah. Sekarang ini, dia perlukan Hyunjin untuk menerangkan segalanya. Ji Ah yang sedang berteduh di pondok, bergegas mengejar Jeongin.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
"Iyen... Bukan adik kandung Abang, kan?" Jeongin bertanya dengan nada sayu.
Perkataan yang keluar dari mulut Jeongin, membuatkan Hyunjin lemah lutut. Hampir saja dia terduduk di depan pintu. Mata Jeongin masih memandang Hyunjin dengan penuh harapan. Di dalam hatinya, dia meminta supaya Hyunjin menafikan apa yang ditanyakan tadi. Kepercayaannya mula retak secara perlahan sebaik saja Hyunjin mengangguk.
Ji Ah yang mendengarkan semua itu menutup mulutnya, tanda tidak percaya.
"Kenapa Abang tak bagitahu Iyen awal-awal? Kenapa Iyen perlu dengar semua ni dari mulut orang lain? Kenapa Abang??" Bertalu-talu soalan diajukan. Suaranya juga sudah serak kerana tangisan.
Tidak tahan melihat Hyunjin yang terus membisu, Han mencelah. "Bukan macam tu, Iyen. Hyunjin memang nak bagitau perkara sebenar tapi-"
Pandangan dialihkan ke arah Han pula. "Abang Han pun tahu pasal ni? Sampai hati korang rahsiakan benda penting macam ni daripada Iyen..."
Han terdiam. Dia sudah agak yang perkara ini akan berlaku. Kalaulah Hyunjin bertindak lebih awal, pasti semua ini tidak akan terjadi. Malangnya, masa tidak boleh diputarkan kembali dan mereka perlu menerima hakikat yang sebenarnya.
"Jangan cari Iyen." Jeongin membentak lalu membawa dirinya. Ketika hendak keluar pagar, dia sempat memandang Ji Ah yang berdiri di sebalik dinding pemisah rumah mereka. Tidak mengendahkan gadis itu, dia meneruskan langkah.
Hyunjin terduduk di tempatnya. Perlahan-perlahan dia memeluk lututnya lalu melepaskan tangisan sepuasnya. Han tidak tahu mahu melakukan apa sebaliknya menepuk perlahan bahu Hyunjin. Biarlah kawan baiknya itu melepaskan semuanya.
Hwa Ra menepuk dadanya apabila tertelan seketul daging ayam yang belum habis dikunyah. Dia memandang Ji Ah dengan mata terbuka luas.
"Seriuslah? Iyen anak angk- Kau tersalah dengar kot." Hwa Ra menolak untuk percaya dengan apa yang disampaikan Ji Ah. Terlalu mustahil baginya untuk perkara itu terjadi di alam realiti apatah lagi dia mengenali orang itu.
Ji Ah mendengus geram. Dua telinga yang dikurniakan kepadanya masih lagi sempurna. Tidak mungkin dia tersalah dengar.
"Macam mana ni... Sekarang Iyen dah lari. Aku tak dapat nak bayangkan perasaan dia sekarang..." Ji Ah meluahkan rasa gusarnya. Hwa Ra segera menghabiskan hidangan tengaharinya sebelum menghampiri Ji Ah. Selesai membasuh pinggan, Hwa Ra sempat mencapai kerepek sebelum bertanya lebih lanjut.
"Hyunjin pulak... Apa reaksi dia?" Soal Hwa Ra. Ji Ah mengeluh perlahan sebaik saja teringatkan Hyunjin. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
"Aku nampak Hyunjin menangis tadi. Han yang pujuk dia...," beritahu Ji Ah. Televisyen yang terpasang dipandang kosong.
Hwa Ra mengangguk faham, tidak bertanya lagi. Sekurang-kurangnya Han ada untuk menemani Hyunjin.
Hyunjin hanya termenung memandang luar. Buat masa sekarang, membiarkan Jeongin sendirian mungkin perkara yang baik. Siapa saja yang tidak terkejut mendengar berita seperti itu.
"Kau janganlah sedih macam ni..." Han bersuara. Tidak sanggup dia melihat Hyunjin bersedih begitu.
"Entahlah... Sekarang ni aku nak tahu siapa yang bagitahu Iyen. Apa function dia nak buat macam tu?" Hyunjin meraup rambutnya ke belakang. Mulutnya diketap sambil memikirkan gerangan yang berjumpa dengan Jeongin.
"Erika?" Hyunjin menggeleng. Tidak mungkin gadis itu yang membocorkan rahsianya. Walaupun Erika kerap mengugutnya, dia yakin yang Erika tidak melakukan hal begitu tanpa pengetahuannya.
Satu nama yang terlintas di kepalanya membuatkan Hyunjin mengangkat wajah. Dua sahabat itu saling berpandangan antara satu sama lain.
"Jinhyuk," ujar mereka serentak.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Keindahan bulan di langit malam, tidak dapat disaksikan sepenuhnya apabila sekumpulan awan mula berarak perlahan melepasi sang bulan.
Bayang-bayang yang terpantul di permukaan air, menghilang sebaik saja Jeongin mencampakkan batu. Dengan melakukan itu, Jeongin dapat melepaskan rasa marah yang terbuku di dada. Hatinya berasa begitu sakit hingga tidak mampu mengeluarkan airmata lagi. Cukuplah dia diperdaya sepanjang hidupnya. Kini, kasih sayang yang diterima selama ini terasa palsu. Sama seperti status dirinya.
"Iyen..." Jeongin tidak menoleh. Dia tiada mood untuk melayan sesiapa ketika itu. Dia terus mengutip batu-batu kecil di tanah sebelum membaling ke dalam air.
Ji Ah memberanikan dirinya untuk mendekati Jeongin. Walau apa pun yang berlaku, Jeongin perlukan teman untuk meluahkan perasaannya. Jika dibiarkan terpendam, kelak pasti akan memakan dirinya sendiri.
"Kenapa tak balik lagi? Dah lewat ni... Hyunjin pun tunggu awak." Ji Ah membuka suara. Matanya bergerak seiring pergerakan tangan Jeongin.
Jeongin terus mendiamkan diri. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Ji Ah. Entah kenapa, dia berasa malu dan marah dalam pada yang sama. Malu untuk berhadapan dengan Ji Ah dan marah kerana Hyunjin tidak datang mencarinya.
"Hidup saya ni menyedihkan, bukan?" Jeongin bersuara. Bulan yang bersinar terang, dipandang lama. Ji Ah menatap sisi wajah Jeongin sebelum menggeleng perlahan. Tiada apa yang tidak menyedihkan dalam sebuah kehidupan.
"Kalau awak rasa hidup ni menyedihkan, dekat luar sana masih ada lagi bahagian yang menyenangkan. Apa yang awak perlu buat ialah cari bahagian tu dan bila dah jumpa, jangan lepaskan. Kita tak tahu dan tak akan pernah tahu sampailah semuanya berlalu. Betul atau tidak, terima atau tak... Akhirnya hanya waktu saja yang akan membuktikan segalanya dan itulah apa yang awak lalui sekarang...," Ujar Ji Ah seraya mengukirkan senyuman manis.
Kata-kata Ji Ah seakan mengetuk pintu hatinya yang tertutup rapat. Setiap bait perkataan gadis itu serta merta menenangkan hati dan fikirannya. Jeongin berpaling ke arah Ji Ah.
"Kebahagiaan yang awak cakap jangan lepaskan tu... Abang?" Tanya Jeongin meminta kepastian.
Ji Ah mengangguk. "Awak pernah cakap dekat saya yang awak tak dapat bayangkan hidup awak tanpa Hyunjin. Macam itu jugalah Hyunjin, Jeongin. Sekarang ni, awak balik dulu. Mesti dia risau fikirkan awak. Nanti bila dah sedia, awak cubalah bercakap dengan dia.
Jeongin mengemam mulutnya. Ada benar apa yang dikatakan Ji Ah itu. Hyunjin pasti risau memikirkan keadaannya di luar pada waktu malam begini. Kemudian Jeongin bangun dari tempatnya. Belakang baju dikebas perlahan. Ji Ah mendongakkan kepalanya melihat Jeongin.
"Awak nak pergi mana?" Soal Ji Ah.
Jeongin menarik tangan Ji Ah supaya berdiri. "Saya nak balik. Nak balik sekali?"
Ji Ah segera tersenyum lebar lalu mengangguk.
Hyunjin menarik nafas lega sebaik saja ternampak Jeongin. Tidak salah dia mempercayai Ji Ah untuk memujuk adiknya. Jeongin menyuruh Ji Ah masuk terlebih dulu sebelum dia masuk ke dalam pagar.
"Iyen..." Hyunjin memanggil. Jeongin hanya memandang sekilas lalu melangkah masuk ke dalam rumah.
Hyunjin menoleh ke arah Ji Ah yang masih lagi berada di luar. "Terima kasih sebab bawa Iyen balik."
"Sama-sama... Selamat malam." Ji Ah meminta diri. Hyunjin hanya mengangguk sebelum menyusul langkah Jeongin.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Pagi itu, Han bangun awal dan menyediakan sarapan. Hwa Ra dan Ji Ah juga diajak bersarapan sekali di rumah mereka. Hyunjin mengetuk pintu bilik Jeongin, untuk bersarapan sekali.
"Iyen... Jom makan sekali." Hyunjin memanggil namun tiada sahutan kedengaran. Ji Ah yang sedang menyediakan pinggan, memerhatikan Hyunjin yang masih berdiri di situ.
Selepas beberapa kali memanggil, Hyunjin memulas tombol pintu. Dia tercengang bila Jeongin tiada di dalam bilik. Ke mana adiknya pergi pagi-pagi begitu?
"Kenapa Hyunjin?" Tanya Ji Ah yang baru selesaikan pekerjaannya.
"Iyen... Tak ada dalam bilik." Hyunjin mula resah. Seingatnya semalam, Jeongin terus masuk tidur sebaik saja pulang. Hyunjin menuju ke biliknya untuk mengambil telefon. Nombor Jeongin ditekan dan panggilan dibuat.
Ji Ah mengambil telefon Jeongin yang ditinggalkan di atas katil. "Iyen tak bawak telefon dia."
Hyunjin pergi ke arah Han. Mana tahu Jeongin ada berpesan apa-apa pada kawan baiknya itu seperti sebelum ini. Han terjerit kecil bila Hyunjin menarik bahunya dari arah belakang.
"Iyen ada cakap apa-apa dekat kau?" Soal Hyunjin ingin tahu.
"Tak ada... Kenapa? Iyen keluar senyap-senyap ke?" Han bertanya semula. Melihatkan reaksi Hyunjin, Han dapat mengagak yang tekaannya itu betul.
"Saya rasa... Saya tahu Iyen pergi mana..," ujar Ji Ah. Sebelah tangannya memegang sehelai kertas. Kemudian dia menyerahkan kertas yang dipercayai rekod kesihatan ibu kandung Jeongin itu kepada Hyunjin.
"Hospital Hankuk?" Gumam Hyunjin perlahan.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Jeongin turun dari bas sebaik saja sampai ke tempat yang ditujunya. Selepas berfikir panjang, Jeongin membuat keputusan untuk berjumpa ibu kandungnya di hospital. Apa pun yang berlaku, dia tidak boleh menyangkal takdir yang sudah tertulis. Mana tahu, dengan kehadirannya pada hari itu dapat memulihkan keadaan ibunya.
Sehelai kertas kecil dikeluarkan dari poket seluar. Pada kertas itu, tertulis tingkat bangunan dan nombor bilik wad. Kaki memulakan langkah menuju ke lobi hospital.
Di situ, Jeongin berjumpa dengan Jinhyuk yang baru saja pulang dari membeli makanan. Jinhyuk menyimpulkan senyuman mesra manakala Jeongin hanya mengekalkan riak bersahaja.
"Jom? Mak mesti dah tak sabar nak jumpa Jeongin," ujar Jinhyuk dan Jeongin mengangguk perlahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro