-'⑫'-
Ji Ah mengeluarkan telefonnya lalu menghampiri Jeongin. "Iyen, pandang sini."
Jeongin menoleh dan satu gambar diambil. Ji Ah tergelak kecil melihat ekspresi wajah Jeongin yang tidak bersedia itu. Kemudian, Ji Ah menyuruh Jeongin supaya tersenyum ketika gambar diambil untuk kali kedua.
"Ha barulah okey. Nanti saya hantar kat awak gambar ni," kata Ji Ah. Jeongin sekadar mengangguk.
"Memandangkan awak setuju, saya nak tanya awak soalan. Yang pertama, awak suka ayam goreng atau ayam pedas?" Ji Ah mengajukan soalan.
Jeongin mengerutkan dahinya. "Soalan apa ni?"
"Ya lah. Saya kena tahu awak suka apa... Cepatlah jawab." Ji Ah meminta jawapan. Dahinya diurut perlahan. Kalau dia tahu yang Ji Ah akan bertanya soalan begini, mesti dia tidak akan memberi muka kepada gadis itu.
"Ayam goreng." Mata Ji Ah bersinar mendengar pilihan Jeongin. Perasaan teruja semakin terasa hingga membuatkan Ji Ah melompat kecil.
"Kan?? Saya pun lagi suka ayam goreng dari ayam pedas. Okey soalan seterusnya. Makan sosej dengan sos cili atau sos mustard?" Ji Ah mengajukan telefonnya ke arah Jeongin seperti yang selalu dilakukan wartawan ketika menemu ramah.
"Sos cili? Entah saya suka je dua-dua." Jeongin menjawab seraya memegang telinganya yang mula terasa panas. Sekali lagi gadis itu bersorak, membuatkan Jeongin memandangnya pelik.
"Next question- Iyen!" Jerit Ji Ah bila Jeongin meninggalkannya sebelum sempat dia bertanya soalan selanjutnya. Dia berlari kecil menuju ke arah Jeongin.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Hyunjin merebahkan badannya ke atas sofa sebaik saja tiba di rumah. Suasana yang sepi itu menunjukkan yang Han dan Jeongin tiada di situ. Hyunjin termenung memikirkan apa yang dikatakan Erika sebelum menggeleng perlahan. Sekarang gadis itu sudah jauh darinya dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Lama kelamaan, kelopak mata mula terasa berat dan Hyunjin terlelap kerana kepenatan.
"Hyunjin! Bila kau balik?? Aku rindu kau!!" Suara nyaring Han membuatkan Hyunjin tersentak. Kalaulah dia ada penyakit lemah jantung, pasti roh dan jasad sudah terpisah buat selamanya. Hyunjin bangun dari pembaringannya sambil menggosok mata.
"Kau ni, Han... Terkejut aku. Pukul berapa ni?" Tanya Hyunjin dalam keadaan matanya terpejam. Han tertawa perlahan lalu melihat jam tangan.
"7 pagi." Mata Hyunjin membulat mendengarkan itu. Begitu lama sekali kah dia tertidur di sofa?
"Aku gurau je. Sekarang ni dah pukul 7.30 malam. Kau balik lama dah ke?" Han memberitahu waktu sebenar. Kaki Hyunjin ditolak ke bawah untuk dia melabuhkan punggungnya di situ.
Hyunjin meregangkan badan lalu menyandarkan kepalanya pada sofa. "Aku sampai dalam pukul 6 tadi lepastu tertidur. Iyen mana?"
"Dia keluar dengan Ji Ah. Kejap lagi dia baliklah tu. Dah makan? Kalau belum, aku boleh pergi beli." Han bertanya.
"Belum lagi. Kau nak belanja ke?" Hyunjin memandang kawannya itu dengan senyuman penuh makna. Han menjeling bila Hyunjin bertanyakan tentang itu.
"Sebab kau baru balik, aku belanja. Lepas ni jangan haraplah." Han membebel. Hyunjin menunjukkan ibu jarinya sebagai tanda setuju meskipun dia sendiri tidak pasti jika persetujuan itu akan bertahan lama.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Ji Ah menunggu Jeongin yang sedang bercakap dengan salah seorang penduduk di situ. Kemudian, Jeongin jalan menuju ke arah Ji Ah.
"Jom," ajak Jeongin sebelum dia masuk ke dalam sampan yang tersedia di tepi sebuah jeti kecil. Ji Ah hanya menurut tanpa banyak soal. Tangannya dipegang Jeongin ketika dia hendak turun dari jeti tadi.
Sampan yang dikendali oleh Jeongin itu perlahan-lahan menyelusuri sungai. Selepas beberapa minit mendayung, Jeongin berhenti di satu tempat. Ji Ah memandang sekelilingnya sebelum bertanya.
"Kenapa awak berhenti dekat sini?" Soal Ji Ah kehairanan. Jika hendak kata ada pemandangan yang menarik, tiada apa-apa di situ.
"Tunggu jelah. Nanti awak tahu kenapa." Jeongin bersuara. Ji Ah hanya akur lalu menongkat dagunya, menunggu seperti yang dikatakan Jeongin. Tidak sempat beberapa minit, Ji Ah mula tersengguk menahan rasa mengantuk.
"Awak, tengok tu." Ji Ah memaksa diri untuk membuka matanya yang terasa berat itu. Melihatkan cahaya-cahaya kecil yang berterbangan di sekitarnya membuatkan Ji Ah segar semula.
Mulutnya ternganga bila melihat cahaya yang datang dari perut kunang-kunang itu. Rasanya seperti melihat bintang secara dekat. Jeongin yang memerhatikan reaksi Ji Ah, tersenyum gembira.
"Macam mana, awak suka?" Tanya Jeongin. Ji Ah mengangguk teruja. Ingin sekali dia memegang serangga unik itu tetapi dia tahu perkara itu mustahil.
"Saya peliklah dengan awak, Iyen. Selalu jumpa tempat yang cantik. Mula-mula air terjun, hari ni tempat kunang-kunang pulak. Saya yang tinggal dekat sini pun tak tahu tempat ni wujud." Ji Ah meluahkan rasa hairan sekaligus rasa kagumnya.
Jeongin tidak memberi sebarang reaksi. Dia juga tahu tempat itu melalui penduduk yang menetap berhampiran di situ. Jeongin memandang tumbuhan bakau liar yang dipenuhi dengan kunang-kunang. Sekali pandang, tidak ubah seperti pokok Krismas.
"Cantiknya... Saya rasa tak nak balik." Ji Ah mengungkapkan rasa kagum. Dia juga mengambil beberapa gambar pemandangan di situ termasuklah gambar Jeongin secara senyap-senyap.
"Iyen, awak tahu tak kenapa kunang-kunang keluarkan cahaya?" Ji Ah membuka soalan. Jeongin diam sejenak sebelum menggeleng.
Ji Ah tersenyum menang. Sekarang ialah waktu dia menunjukkan kepandaiannya tentang kehidupan alam. Ji Ah berdehem sebelum memberitahu fakta mengenai serangga itu.
"Kunang-kunang jantan akan keluarkan cahaya dia untuk tarik perhatian kunang-kunang betina. Kalau yang betina tertarik, dia pun akan balas dengan mengelipkan cahaya. Romantik kan?" Ujar Ji Ah dengan penuh perasaan.
"Kalau manusia diberi kelebihan macam tu kan senang. Tak payah nak tunggu lama," kata Jeongin dengan makna yang tersirat.
"Ha? Maksud awak?" Tanya Ji Ah.
Melihatkan reaksi Ji Ah yang masih belum dapat menangkap maksudnya itu, Jeongin segera mengalih perbualan.
"Sayangnya, kunang-kunang tak hidup lama. Cuma dua minggu je." Jeongin menghela nafas perlahan.
Ji Ah menarik nafas terkejut. Tidak pernah pula dia mengambil tahu tentang jangka hayat serangga itu. Ji Ah memberi pandangan tajam bila Jeongin memberitahunya hal yang dianggap sensitif itu.
"Ish! Kenapa awak bagitahu saya?" Marah Ji Ah.
"Saya ingatkan awak tahu semua pasal kunang-kunang. Tak sangka pulak yang awak ambik tahu kisah percintaan diorang je." Jeongin mengusik yang mana membuatkan gadis itu menjeling. Ji Ah memalingkan wajahnya ke arah lain. Lebih baik menikmati panorama malam yang indah itu daripada melayan ejekan Jeongin.
Jam pada tangan dilihat dan menunjukkan sudah hampir pukul 9 malam. "Jom kita balik. Dah lewat ni."
Ji Ah hanya akur walaupun dia masih belum puas menyaksikan pemandangan itu. Jeongin mula mendayung, meninggalkan habitat serangga penyeri malam itu.
Ji Ah mengucapkan selamat malam sebelum masuk ke dalam rumahnya. Jeongin dapat mengagak yang Hyunjin sudah pun pulang kerana keretanya ada terparkir di garaj.
"Ha! Iyen dah balik! Jom makan sekali dengan kita orang!" Pelawa Han sejurus Jeongin melangkah masuk. Suaranya yang seakan ditetapkan dalam not tinggi itu membuatkan Hyunjin menutup telinganya. Tidak mustahil kalau satu hari nanti, Hyunjin akan tersenarai dalam golongan kelainan upaya akibat kelantangan suara Han itu.
"Abang balik bila?" Soal Jeongin sebelum menarik kerusi di sebelah Hyunjin.
Hyunjin yang sedang mengunyah mi goreng yang dibeli Han tadi, menjawab. "Petang tadi. Iyen pergi mana?"
"Keluar dengan Ji Ah. Abang tak payah risau lah." Jeongin menepuk bahu Hyunjin lantas tersenyum.
Hyunjin mengangguk faham. Nampaknya hubungan Jeongin dan Ji Ah bertambah baik dari sebelum ini. Han menghulurkan bungkusan nasi berlauk kepada Jeongin.
"Makan-makan. Mesti Iyen lapar kan? Hari ni Abang Han yang belanja." Han tidak lupa untuk menyebut perkataan belanja. Jeongin mengambil bungkusan makanan itu lalu mengucapkan terima kasih.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Jeongin menghampiri Hyunjin yang sedang berehat di ruang tamu. "Abang, Mama tak bagitahu ke kenapa suruh kita stay dekat sini? Selalunya tak habis-habis tanya bila nak balik."
"Mama dengan Papa kan kerja dekat luar. Mungkin diorang kena duduk sana lama lagi. Kenapa, Jeongin nak balik ke?" soal Hyunjin.
"Eh taklah. Iyen tak kisah lagipun, cuti kan panjang lagi," ujar Jeongin.
Han yang baru bangun dari alam mimpi itu, menuju ke arah dapur dalam keadaan mamai. Selepas meneguk air sejuk, Han menapak ke ruang tamu kerana mendengar suara dari arah itu.
"Dah bangun? Ingatkan esok baru nak bukak mata." Hyunjin menyindir. Han itu kalau tiada apa-apa kerja yang mahu dibuat, bukan mahu bangun awal pagi. Han tersengih mendengarkan itu lalu membuat tanda peace.
Ji Ah hanya perhatikan Hwa Ra yang angau dalam dunianya sendiri. Kalau dibaling bom sebelah telinga pun, belum tentu dia akan tersedar dari lamunannya.
"Amboi... Teruk betul kau ni." Ji Ah menegur. Rasanya, ketika dia jatuh cinta buat kali pertama dulu, tidaklah seteruk ini.
"Ji Ah. Aku tak boleh lah lupakan Han. Lagi-lagi waktu dia makan, pipi dia mesti penuh macam tupai. Nak je aku tepuk pipi dia tu," ujar Hwa Ra.
"Tak ke tersembur makanan kalau kau tepuk pipi dia? Kau ni agak-agaklah terfikir nak buat macam tu? Makanan depan mata tu dari tadi tak terusik," ujar Ji Ah dengan nada bengang. Merepek betul kawan baiknya itu.
Hwa Ra tertawa sendiri bila terbayangkan wajah Han tersembur, mesti comel. Tidak makan seharian pun tidak mengapa kerana kenyang dengan hanya memikirkan Han. Ji Ah menggeleng kepalanya melihat Hwa Ra. Bagai kena rasuk pun ada dia tengok.
Jeongin menyarungkan sandalnya untuk membuang sampah. Sebenarnya, Hyunjin yang ingin melakukan itu tetapi Jeongin menawarkan dirinya. Lagipun, tong sampah besar tidaklah jauh mana dari rumah penginapan mereka.
Jeongin memberhentikan langkahnya bila dia merasakan seperti diekori seseorang. Jeongin menoleh ke belakang dan kelihatan seorang lelaki berdiri tidak jauh dari tempatnya.
"Cari siapa?" Jeongin memberanikan dirinya untuk bertanya apabila orang tadi memandang tepat ke arahnya. Wajah lelaki itu tidak kelihatan jelas kerana memakai baju berhud.
"Iyen!" Jeongin berpaling bila terdengar Han memanggil namanya. Sebaik saja dia berpusing semula, lelaki misteri tadi sudah pun menghilangkan diri. Jeongin mula berasa hairan dengan apa yang berlaku. Adakah itu sekadar perasaannya?
"Iyen, teman pergi pasaraya kejap. Teringin nak makan kek keju lah," ajak Han sebaik saja menghampiri Jeongin. Malas hendak berfikir panjang, Jeongin membiarkan perkara tadi berlalu begitu saja.
Lelaki yang bersembunyi di sebalik dinding, mengintai dari jauh. Dia memegang sekeping gambar di tangannya. Seperti yang diharapkan, pemuda yang diekorinya tadi ialah orang yang sama dalam gambar itu.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Hyunjin meregangkan bahunya yang terasa lenguh itu. Disebabkan tiada kerja yang hendak dibuat, dia melipat baju-baju yang tersidai pada ampaian. Pintu bilik Jeongin dibuka. Hyunjin melangkah masuk untuk meletakkan baju Jeongin yang dilipat tadi di atas katil.
Langkah Hyunjin terhenti apabila secara tidak sengaja dia terlanggar meja kecil yang terletak di sebelah katil Jeongin. Beberapa barang yang terjatuh ke lantai itu dikutipnya hinggalah satu barang yang menarik perhatiannya. Klip rambut yang merupakan hadiahnya kepada Ji Ah.
"Abang buat apa dalam bilik Iyen?" Tanya Jeongin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro