-'➑'-
Jeongin hanya berjalan tanpa memikirkan apa-apa. Gerai-gerai dipandang tanpa sebarang keinginan untuk membeli. Pertunjukan api di tepi pantai sedikit sebanyak menarik minatnya lalu dia menuju ke situ.
Jeongin hanya berdiri dari jauh memandangkan orang ramai sudah memenuhi kawasan itu. Matanya memerhati keadaan sekeliling dan Hyunjin kelihatan berada di situ tetapi hanya bersendirian. Dia menuju ke arah abangnya tetapi tidak sempat apabila Hyunjin sudah berlari ke arah lain.
Dahi dikerutkan melihat Hyunjin yang tergesa-gesa itu. Persoalannya, di mana Ji Ah? Bukankah Hyunjin dan Ji Ah keluar bersama tadi? Jeongin membuat keputusan untuk pergi ke tempat di mana dia ternampak Hyunjin tadi.
Tiba di situ, Jeongin mencari Ji Ah. Langkahnya terhenti sebaik saja melihat gadis itu sedang duduk bersendirian di sebuah jeti lama. Tanpa berkata apa-apa, Jeongin mengambil tempat di sebelah gadis itu.
"Awak buat apa kat sini? Bukan awak tak suka tempat ramai orang ke?" Soal Ji Ah dan suaranya bergetar seperti sedang menahan tangisan.
Jeongin menatap wajah Ji Ah yang kelihatan dalam samar-samar cahaya lampu. "Saya datang sini untuk teman awak."
Ji Ah tercengang mendengarkan itu dan perhatiannya dialihkan ke arah bunga api yang kelihatan di langit. Senyuman perlahan-lahan terukir di wajahnya melihat keindahan bunga api. Tanpa disedari, kesedihan di hatinya sebentar tadi terubat dengan menyaksikan itu.
Beberapa minit kemudian, Ji Ah bersuara semula. "Macam mana awak tahu saya ada kat sini?"
"Dah lewat ni. Jom balik, saya mengantuk." Jeongin mencari alasan. Dia tidak mahu memberitahu kerana risau gadis itu akan bersedih lagi. Jeongin memandang Ji Ah yang masih belum berdiri.
"Tak jawab pun." Ji Ah mencebik. Malas hendak memaksa, dia hanya membiarkan soalannya itu tidak berjawab. Kalau ditanya lagi, Jeongin mungkin akan meninggalkannya di situ.
Jeongin membiarkan Ji Ah berjalan terlebih dulu. Baru saja mahu melangkah, Jeongin terpijak sesuatu lalu mengutip barang itu.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
"Nah, Hwa Ra. Awak bukaklah." Han menghulurkan kotak yang dibawa Jeongin tadi. Tidak banyak soal, Hwa Ra mengambil kotak itu lalu membukanya. Barang di dalam kotak itu dikeluarkan. Senyuman gembira jelas terpapar pada wajah Hwa Ra.
"Awak belikan subang ni untuk saya?" Hwa Ra masih lagi tidak percaya. Subang dalam bentuk ladybird itu diletakkan di tapak tangannya.
Han mengangguk. "Saya cari subang bentuk kumbang tanduk tapi tak ada lah pulak. Jadi, saya beli yang ni. Awak suka tak?"
"Seriuslah awak cari bentuk kumbang tanduk? Hahahahaha!" Hwa Ra tidak dapat menahan tawanya. Tidak pernah dia melihat sebarang aksesori yang diinspirasikan dari kumbang tanduk.
Han terdiam bila melihat Hwa Ra tertawa besar. "Kenapa, awak tak suka ke dengan hadiah tu?"
"Eh tak! Saya suka sangat. Terima kasih, Han...," ucap Hwa Ra setulus hatinya. Senyuman juga diukirkan menandakan yang dia gembira menerima hadiah itu.
Han tersengih sebelum mulutnya dikemam. Dia cuba mengingati skrip yang dihafalnya tengah malam semalam. Perkara itu tidak boleh ditangguhkan lagi. Han menarik nafas sedalamnya untuk kekal bertenang.
"Hwa Ra...," panggil Han dan gadis itu menoleh. Subang ladybird tadi sudah dipakaikan di telinganya.
"Saya... "
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Hyunjin menuju ke kaunter pertanyaan sebaik saja tiba di unit kecemasan. Selepas diberikan maklumat, Hyunjin mencari Erika untuk memastikan keadaan gadis itu dalam keadaan baik.
"Hyunjin..," panggil Erika yang berdiri tidak jauh dari Hyunjin. Mendengarkan suara yang sangat dikenalinya itu, Hyunjin berpaling.
Tanpa melengahkan masa, Hyunjin berlari kecil ke arah Erika. Kepala yang dibalut itu dipandang lama. Timbul rasa kasihan dalam hatinya. "Awak okay?"
Erika mengangguk seraya tersenyum kelat. "Tapi... Manager saya, masih tak sedarkan diri."
Tangisan mula kedengaran bila Erika menyebut tentang pengurusnya. Hyunjin tidak berbuat apa-apa melainkan hanya memeluk gadis itu supaya bertenang.
"Saya yakin semuanya akan okey. Awak doalah yang terbaik." Hyunjin memujuk. Erika pula tidak berkata apa-apa sebaliknya terus melepaskan tangisan di bahu Hyunjin.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
"Abang pergi mana?" Tanya Jeongin. Bila teringatkan Hyunjin tadi, dia pasti yang sesuatu sedang berlaku.
"Ouh. Dia cakap yang Erika accident. Macam manalah agaknya keadaan dia sekarang." Ji Ah mengeluh perlahan mengenang nasib yang menimpa gadis itu. Jeongin mempamerkan riak menyampah. Apa lagi yang perempuan itu mahukan dari abangnya.
Jeongin memandang Ji Ah yang berjalan beriringan dengannya. Kelihatan gadis itu dalam keadaan yang baik tetapi, tidak tahulah jika gadis itu menyembunyikan perasaan sebenarnya.
"Saya suka awak," luah Jeongin secara spontan. Ji Ah terpaku di tempatnya.
"Apa? Awak suka saya?" Soalnya meminta kepastian. Mulutnya ternganga bila Jeongin mengangguk tanpa ragu-ragu. Riak wajahnya pula ketat seperti biasa. Semudah itu sajakah dia meluahkan perasaannya?
"Tapi-"
"Kalau kita rasa sedih bila seseorang tu sedih, gembira bila seseorang tu gembira dan tersenyum bila seseorang tu tersenyum... Maksudnya kita sukakan orang tu lah kan?" Soal Jeongin untuk memastikan apa yang dikatakan itu benar.
Ji Ah terdiam. Dia segera mengalihkan pandangan ke arah lain dan mempercepatkan langkahnya.
"Saya tak paksa awak untuk suka saya balik," kata Jeongin. Asalkan dia mengungkapkan perasaannya, itu pun sudah cukup.
Ji Ah menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Awak bagi saya masa."
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
"Saya... Nak pergi tandas kejap. Hehe."
Han membenamkan mukanya ke bantal setiap kali kata-kata itu bermain di ingatannya. Dia berasa sedih kerana tidak dapat mengungkapkan perasaan kepada Hwa Ra sekaligus melepaskan peluang yang ada.
Hyunjin yang baru saja pulang dari hospital, memandang pelik ke arah Han yang sedang menonggeng dengan mukanya disembam pada bantal. Mahu ditegur, risau mengganggu pula.
"Kau sakit ke?" Hyunjin mula risau bila terdengar Han menangis perlahan.
Han memandang Hyunjin dengan bekas airmata kelihatan di wajahnya. Hyunjin mengambil tempat di sebelah Han. Niatnya hendak masuk tidur tadi, ditangguh dulu.
"Kenapa ni? Frust sampai menongg- Hwa Ra reject kau ke?? Seriuslah Han?? Wey, aku tumpang simpati!" Hyunjin memeluk badan Han, kononnya memberi semangat kepada Han yang sedang bersedih itu.
Han menolak badan Hyunjin. "Bukanlah! Aku tak sempat nak luah pun. Tak tahu kenapa mulut aku padahal aku dah hafal skrip yang kau bagi semalam." Han mengadu nasibnya yang tidak berapa baik itu. Balik-balik mulutnya pula dipersalahkan.
Perbualan mereka berdua terhenti bila Jeongin melangkah masuk. "Eh, Iyen datang dari mana?"
"Pantai. Erika macam mana? Hidup lagi?" Hyunjin terkedu sebaik saja Jeongin bertanyakan tentang Erika padanya. Han pula terkebil-kebil memandang Hyunjin dan Jeongin silih berganti. Kenapa Jeongin bertanya tentang Erika pada Hyunjin?
"Iyen... Macam mana Iyen tahu pasal Erika? Siapa yang- Iyen berjumpa dengan Ji Ah ke?" Hyunjin cuba menebak. Seingatnya, hanya Ji Ah yang berada bersama ketika dia menjawab panggilan kecemasan tadi.
Jeongin menjeling lalu melangkah menuju ke bilik tidurnya.
"Erika, Ji Ah? Kenapa dengan diorang?" Han minta penjelasan.
Hyunjin bangun dari sofa, ingin pergi kepada Jeongin. "Nanti aku cerita dekat kau."
Jeongin termenung. Dia tidak berniat hendak berkelakuan begitu tetapi, hatinya sakit bila Hyunjin meninggalkan Ji Ah demi Erika, gadis yang pernah menyakitinya dulu. Badan berpaling menghadap dinding sebaik saja terdengar Hyunjin mengetuk pintu biliknya.
Hyunjin menggenggam tangan, mengumpul kekuatan untuk menghampiri Jeongin. Dia tahu yang adiknya itu belum melelapkan mata. "Iyen, Abang minta maaf kalau buat Iyen marah."
Jeongin bangun dari pembaringannya lalu memandang ke arah Hyunjin. "Kenapa Abang tinggalkan Ji Ah sorang-sorang dekat jeti, kalau apa-apa berlaku pada dia? Iyen tak percaya yang Abang lebih pilih Erika, perempuan yang pernah sakitkan hati Abang dulu."
"Iyen, boleh tak dengar dulu penjelasan Abang? Erika accident dan pihak hospital yang maklumkan pada Abang. Takkan abang nak abaikan je." Hyunjin menjelaskan perkara sebenar walaupun Jeongin sudah sedia maklum dengan hal itu.
"Habis tu, kenapa tak mati je terus?? Hidup tak menyusahkan orang, tak sah. Dasar perempuan tak guna," ujar Jeongin dengan nada geram.
Hyunjin tersentak dengan kata-kata pedas yang keluar dari mulut Jeongin. "Iyen! Abang tahu yang Iyen marah tapi tak perlu cakap macam tu tentang Erika!"
Jeongin tersenyum sinis. Kini, Hyunjin meninggikan suara semata-mata mempertahankan Erika. "Apa?? Salah ke apa yang Iyen cakap tu?? "
Hyunjin terdiam bila Jeongin menengkingnya. "Iy... Iyen, Abang mintak maaf. Abang tak sengaja tinggikan suara."
"Keluarlah Abang. Iyen nak tidur, mengantuk." Jeongin menolak badan Hyunjin keluar dari biliknya.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Ji Ah tidak dapat melelapkan matanya, memikirkan apa yang diluahkan Jeongin padanya tadi. Setiap kali cuba tidur, bayang wajah Jeongin dan Hyunjin terawang-awang di kepalanya. Kemudian dia bangun, pergi ke bilik Hwa Ra. Kelihatan kawan baiknya itu belum tidur.
"Tak tidur lagi? Angau lah tu." Hwa Ra mengusik tanpa mengetahui tujuan Ji Ah datang ke biliknya.
"Angau apa bendanya. Hwa Ra, tolong aku." Ji Ah mengusutkan rambutnya sebelum menutup wajahnya.
Hwa Ra memandang pelik. "Tolong apa?"
Ji Ah menarik nafas panjang lalu menceritakan apa yang berlaku malam itu. Bermula dari Hyunjin meninggalkannya hinggalah Jeongin meluahkan perasaannya secara tiba-tiba. Hwa Ra diam sejenak. Nampaknya inilah punca Ji Ah tidak dapat tidur.
"Baguslah kalau macam tu. Jeongin suka kau, terima jelah. Daripada kau kejar Hyunjin, tak dapat apa-apa." Hwa Ra memberi pendapatnya.
Ji Ah menjeling. "Kau ingat senang ke aku nak lupakan Hyunjin macam tu je? Tolonglah aku, Hwa Ra."
"Aku dah tolong, kau pulak mengada-ngada. Habis tu kau nak aku buat apa lagi??" Marah Hwa Ra. Geram pula dibuatnya dengan perangai Ji Ah. Dia terdiam bila teringatkan sesuatu.
"Kau cakap Hyunjin pergi hospital sebab Erika accident, kan?" Ji Ah mengangguk tanda mengiyakan soalan Hwa Ra.
"Nampak sangat yang dia sukakan Erika lagi. Dahlah, Ji Ah. Benda dah terang lagi bersuluh kot." Hwa Ra cuba membantu Ji Ah melupakan Hyunjin.
Ji Ah mencebik lalu memandang ke luar tingkap bilik Hwa Ra. Sejujurnya, dia juga memikirkan perkara yang sama. Pandangannya dialihkan ke arah Hwa Ra dan dia perasan sesuatu yang lain pada kawannya itu.
"Aik, bila masa kau beli subang tu?" Tanya Ji Ah. Hwa Ra memegang subang yang dipakainya lalu tersenyum malu.
"Ni? Han yang bagi, hehe. Cantik kan?" Ji Ah hanya mengangguk malas. Menyampah pula melihat Hwa Ra yang malu-malu kucing itu.
:・゚✧:・゚✧✧・゚: ✧゚・:
Han menelan air liurnya perlahan sebaik saja Jeongin keluar dari bilik. Pergaduhan malam semalam masih segar di ingatannya walaupun dia tidak terlibat dalam hal itu. Matanya perhatikan gerak geri Jeongin yang hanya mendiamkan diri. Hyunjin yang duduk berhadapan dengannya, dipandang.
"Iyen... Abang mintak maaf pasal semalam." Hyunjin bersuara.
"Pergi mintak maaf dengan Ji Ah bukan Iyen," ujar Jeongin lalu beredar dari situ.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro