Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦9

Berkerut wajah Lia apabila Ok Soon mengurut kakinya yang terseliuh. Bengkak pada buku lali kelihatan sedikit surut kerana urutan yang diberikan sebelum Ok Soon membalut kakinya menggunakan bandage.

"Sikit je tu... Sehari dua lagi, boleh lah berlari semula," ujar Ok Soon sambil menyimpan minyak urut yang digunakan ke dalam bakul kecil.

"Sakit sangat ke Makcik Cantik?" Soal Areum ingin tahu. Maklumlah ini kali pertama dia melihat orang tercedera di depan mata. Kaki Lia yang berbalut disentuh perlahan.

"Dah kurang lepas Nenek urut," balas Lia seraya tersenyum. Seungmin yang baru selesai mandi, menghampiri Lia bersama mangkuk yang berisi bubur di tangannya.

Seungmin meletakkan mangkuk tadi ke atas meja. Lia menjenguk untuk melihat isi di dalam sebelum hairan. Bubur kacang? Rasanya plastik kacang hijau tadi tercampak di dalam hujan. Seungmin yang memerhati gelagat Lia menyimpulkan senyuman. Dia dapat mengagak yang gadis itu tertanya-tanya dengan kewujudan bubur kacang itu.

"Saya bawa balik sekali kacang hijau tadi sebab masih elok. Makanlah sementara masih panas tu," ujar Seungmin.

"Erm, sebenarnya saya tak makan bubur kacang. Sorry." Lia tersengih. Rasa bersalah pula kerana Seungmin sudah membawa mangkuk bubur itu ke ruang tamu.

Seungmin mengangguk faham. "Ouh, tak apalah kalau macam tu. Areum, habiskan... Nanti Nek Yang marah pula tengok bubur tak berusik." Mangkuk itu dihulurkan kepada anak perempuannya yang memang meminati bubur kacang.

"Awak ada alergi kacang ke?" Tanya Seungmin setelah mengambil tempat di sebelah Areum. Jejaka itu menganga bila anak perempuannya menyuakan bubur ke mulutnya.

"Tak pun cuma tak minat. Sebenarnya, masa kecil, saya suka sangat bubur kacang tapi lepas saya muntah... Terus tak makan langsung," cerita Lia bersungguh.

Sudu bubur bertukar tangan. Seungmin mengambil sedikit bubur lalu disuakan ke mulut Lia. "Kalau macam tu, awak kena jamah. Rasalah, kesian Nenek penat buatkan," pujuk Seungmin seraya tersenyum.

Dia boleh pula senyum macam tu! Oh my god, Aku terseksa!

Lia merasa sedikit bubur kacang tadi. Dengan riak muka yang tidak dapat dikawal, Lia menelan juga bubur yang disuap Seungmin. Dia menarik nafas lega apabila bubur tadi selamat ditelan tanpa dikeluarkan dari mulut semula. Seungmin tertawa kecil melihat reaksi Lia yang tidak kalah seperti kanak-kanak yang dipaksa makan ubat.

"Ayah, suaplah Areum juga..," rengek gadis kecil itu sambil menggoyangkan tangan Seungmin.

"Eleh, makanlah sendiri... Bukan Areum sakit pun," marah Lia sebelum mencebik.

"Makcik Cantik sakit kaki bukan sakit tangan. Ayah cepatlah..," balas Areum lalu membuka mulutnya seluas yang mungkin. Seungmin yang berada di antara Lia dan Areum, hanya mampu menggeleng melayan kerenah mereka berdua. Terasa seperti menjaga dua orang kanak-kanak pula.

Ok Soon yang datang dari dapur, menghampiri mereka bertiga yang sedang bersantai di ruang tamu. Kaki Lia dipandang sekilas sebelum mengambil tempat di atas kerusi.

Kemesraan mereka tidak ubah seperti sebuah keluarga yang bahagia. Sepasang suami isteri bersama seorang anak namun itu hanyalah sekadar bayangan. Menyaksikan itu, Ok Soon sangat berharap cucu lelakinya segera menjumpai gadis yang akan menjadi peneman hidupnya. Terasa senak di dada apabila dia terbatuk-batuk di situ.

"Nek, okey ke? Dari tadi lagi asyik batuk je," soal Seungmin.

"Biasalah dah tua... Banyaklah penyakitnya. Kaki tu macam mana?" Soalan diberikan kepada Lia bagi mengubah topik perbualan.

"Dah kurang rasa sakit tu." Lia menjawab pertanyaan Ok Soon.

"Nek Yang, Ayah... Biarlah Makcik Cantik tidur dengan Areum hari ni. Kan Makcik Cantik tengah sakit. Boleh lah..," pinta Areum.

Lia sedikit terkejut dengan permintaan spontan Areum tetapi dalam pada masa itu, dia juga menginginkan perkara yang sama. Lebih mudah jika dia bermalam di sini memandangkan dia hanya berseorangan di rumahnya.

Seungmin memandang Ok Soon oleh kerana segala keputusan dibuat oleh wanita tua itu. Jika bertanya padanya, dia tidak kisah kalau Lia bermalam di situ.

"Ikut kamulah... Kalau kamu selesa, Nenek tak kisah." Jawapan yang diberikan membuatkan Areum bersorak gembira begitu juga dengan Lia yang mula tersenyum dalam diam.

"Nanti kalau awak nak masuk bilik Areum, beritahu saya. Biar saya papah awak ke sana," ujar Seungmin. Gadis itu hanya menjawab sekadar mengangguk.

Ok Soon memandang Lia dan Seungmin silih berganti sebelum mengeluh perlahan. Pada pandangannya, Seungmin benar-benar tidak mengetahui perasaan sebenar Lia terhadapnya manakala Lia pula secara terang-terangan mempamerkan perasaannya. Dia tidak boleh melakukan apa kerana dirinya sendiri belum pasti dengan perkara sebenar antara pasangan itu.

"Nenek masuk tidur dulu... Jangan lupa tutup lampu beranda," pesan Ok Soon sebelum bangun dari kerusi.

Seungmin masuk ke dalam biliknya selepas menghantar Lia ke bilik Areum. Sebelum merebahkan badannya ke atas katil, Seungmin membuka laci kecil yang terletak di sebelah katilnya. Fail kontrak syarikat Beauté dikeluarkan sebelum diselak satu demi satu muka surat.

Melihat persetujuan dan syarat yang tertera di dalamnya, membuatkan Seungmin teringatkan sesuatu lantas buku tebal yang tersimpan di dalam laci yang sama, diambil. Buku itu merupakan buku catatan harian Minjeong tentang bunga kamomil. Seungmin membaca formula yang tertulis di dalam buku itu tanpa memahami satu pun.
Malas hendak berfikir lama, dia menyimpan fail kontrak bersama buku Minjeong ke dalam laci semula.

Tulisan pada bekas alat solek Minjeong dibaca sebelum Seungmin menyedari sesuatu.

"Beaute'?" Gumamnya sendirian apabila nama produk itu sama dengan nama syarikat keluarga Lia.

✾✾✾✾✾

Seungmin mengeluh di muka pintu rumah sebaik saja mendapati kasut yang selalu dipakainya, basah kerana hujan semalam. Nasib baiklah cuaca hari itu tidak mendung jadi dapatlah dia mengeringkan kasutnya di halaman rumah. Selipar yang jarang dipakai disarungkan pada kaki.

"Ayah! Nak ikut boleh??" Soal Areum yang menyergah dari belakang.

"Kalau Areum ikut, siapa yang nak temankan Makcik Lia dekat rumah? Dia tak boleh ikut sebab kaki dia sakit..," ujar Seungmin.

"Haahlah kan... Hurmm, nanti kalau Makcik Lia dah sihat, kita pergi rumah hijau sama-sama boleh?" Tanya Areum dan Seungmin mengangguk.

"Okey... Ayah pergi dulu, ya? Jangan nakal-nakal... Tanya Makcik Lia kalau dia nak apa-apa." Sempat Seungmin berpesan pada anaknya. Areum bukan kira, pantang kawan-kawan datang ajaknya bermain, tidak mustahil Lia ditinggal bersendirian di rumah.

"Nek Ok Soon!" Suara yang kedengaran dari jauh membuatkan wanita tua itu berpaling ke belakang.

"Lah, Pak Sooman. Kenapa panggil? Paip rumah bocor lagi?" Perli Ok Soon memandangkan lelaki separuh usia itu sering meminta pertolongan cucunya untuk membaiki paip.

"Janganlah perli saya macam tu. Datang dari kedai ke ni?" Sooman berbasa-basi. Dia memanggil Ok Soon kerana ingin mengajaknya ke rumah untuk berbincang sesuatu.

"Kamu nak cakap apa sebenarnya ni?" Soal Ok Soon kerana malas hendak memanjangkan perbualan.

"Tak boleh dekat sini... Jomlah ke rumah dulu. Sambil berbual boleh minum air," pelawa Sooman. Tidak membantah, Ok Soon bersetuju untuk singgah di rumah Sooman terlebih dulu sebelum pulang ke rumah.

Sooman menjemput Ok Soon minum teh di pangkin yang terletak di bawah pokok mempelam. Eunbi melirik sekilas sebelum masuk ke dalam rumah semula. Dia mula berdebar melihat kehadiran Ok Soon pada petang itu.

Cawan diletakkan ke atas piring kecil semula sebelum Sooman membuka bicara. "Seungmin ada cakap apa-apa tentang Eunbi? Ya lah mana tahu dia ada beritahu sebab masa saya tanya hari tu, belum bersedia katanya."

"Itulah jawapan dia. Kenapa kamu nak sangat Seungmin jadi menantu? Padahal ada je budak lelaki yang sebaya cucu aku tu, kerja bagus-bagus lagi. Setakat Seungmin jaga ladang bunga dengan kerja sambilan di kampung ni, bukan ada untung pun," soal Ok Soon.

"Nek Ok Soon, saya bukanlah pandang semua tu. Seungmin baik budaknya, rajin, bertanggungjawab... Itulah yang saya berkenan sangat dengan dia. Nek Ok Soon tak nak pujuk Seungmin? Mana tahu lembut hati dia..." Sooman memberi cadangan.

Wanita tua itu diam sejenak setelah mendengarkan cadangan Sooman. "Aku malas bukan apa tau... Seungmin dah besar, boleh fikir sendiri. Lagipun si Eunbi tu kamu minta persetujuan dia dulu tak? Mana tahu dia dah berkenan ke orang lain, kesian dia nanti," ujar Ok Soon.

"Eunbi nak berkenan dekat siapa? Kerja dia jaga kedai lepastu balik rumah. Bercakap dengan lelaki pun segan... Jadi, Nek Ok Soon tak bersetuju lah saya nak jodohkan anak saya dengan Seungmin?" Sooman minta penjelasan. Isu itu bukanlah perkara yang dibesarkan kerana perkahwinan bukan hal yang boleh dibuat main.

"Ya, aku tak setuju. Biarlah Seungmin tu cari peneman hidup dia sendiri lepas semua yang dia dah lalui. Kalau tak ada apa-apa, aku balik dulu lah. Nak pergi ke pasar cari lauk nak dimasak." Ok Soon meminta diri. Harap inilah kali terakhir Sooman bertanyakan tentang ini. Sekali lagi lelaki itu bertanya hal yang sama, jangan harap dia akan benarkan Seungmin menolongnya lagi.

Melihat wanita tua itu sudah beredar, Eunbi menarik nafas lega. Dia tidak pasti apa yang dibincangkan ayahnya dengan nenek Seungmin tetapi dia meminta agar perbualan dua orang tua itu ke arah yang diinginkannya.

"Hah, kamu buat apa berdiri belakang langsir tu?" Sergah Sooman sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.

Eunbi menggeleng seraya tersengih. Sejak bila pula ayahnya masuk sedangkan dia memerhatikan semuanya dari tingkap. "Tak ada apa, banyak habuk dekat sini. Hehe." Gadis berambut panjang itu terus menuju ke dapur, meninggalkan ayahnya yang masih tertanya-tanya dengan tindakannya.

✾✾✾✾✾

Lia melangkah ke beranda dalam keadaan terhincut-hincut sambil matanya melilau mencari Areum. Rasanya kanak-kanak itu memberitahu yang dia ingin bermain di beranda. Patung dan beberapa barang mainan yang tersusun rapi ditinggalkan begitu saja.

"Areum scam aku ke apa? Menghilang macam tu je," bebel Lia sendirian. Lenguh mula terasa pada kaki lantas gadis itu duduk di depan muka pintu. Skrin telefon dilihat sekilas kerana dia tidak dapat melakukan apapun memandangkan signal di kawasan situ agak bermasalah.

Bibir mungilnya mula menguntumkan senyuman apabila menerima kehadiran Eunbi. Sedikit sebanyak, tidaklah dia berasa bosan menghabiskan masanya di depan pintu itu. Kelihatan Eunbi sedang memegang plastik dan dia mengagak yang itu merupakan bekas makanan.

"Hai, Lia... Awak seorang je?" Soal Eunbi sebaik saja menghampiri tangga beranda rumah Seungmin.

"Hmm... Areum entah pergi ke mana," beritahu Lia. Eunbi tersenyum manis lantas plastik diserahkan kepada Lia.

"Areum bermain dengan kawan-kawan dia dekat padang. Awak makanlah kuih donat ni, saja buat lebih tadi. Kenapa dengan kaki?" Tanya Eunbi yang baru menyedari kaki Lia dalam keadaan berbalut.

Donut yang dibawa Eunbi dijamah terlebih dulu sebelum menjawab soalan gadis itu. "Terjatuh dalam hujan, balik dari kedai awak petang semalam. Terseliuh tapi Nenek dah tolong urutkan. Nampaklah surut sikit," beritahu Lia lalu menjemput Eunbi untuk duduk di kerusi kayu yang diletakkan di beranda.

Eunbi mengangguk kecil mendengarkan itu. "Habis macam mana awak balik? Jalan kaki sendiri?" Soal Eunbi lagi.

Lia menghela nafas panjang. Banyak pula soalan yang diberikan. Beria betul Eunbi hendak tahu. Terasa seperti disoal siasat pula namun disebabkan gadis itu memberikannya donut, layan sajalah.

"Seungmin datang cari... Lepastu dia gendong saya bawa balik rumah. Sweet kan? Dah macam drama," beritahu Lia sambil tersenyum lebar kerana teringatkan kejadian yang berlaku petang semalam.

"Ouu, macam tu ke. Nasib baiklah tak cedera teruk... Macam mana rasa donut, sedap tak?" Eunbi menukar topik. Jika hendak meluahkan hasrat sebenarnya, dia perlu bermesra dengan Lia memandangkan hanya gadis itu saja yang mampu menolongnya.

Lia tersenyum sinis apabila melihat perubahan riak wajah Eunbi. Sengaja dia bercerita tentang itu walaupun boleh saja dia mereka cerita lain. Buat masa sekarang, dirinya perlu berwaspada dengan Eunbi oleh kerana kehadirannya kelihatan mencurigakan. Apa-apa jua keadaan sekalipun, Seungmin tidak boleh terlepas ke tangan orang lain.

"Mestilah sedap. Gebu dia lain macam... Tak nak jual? Mesti laku, lagi-lagi kalau awak yang jual. Confirm meletup kebaboom, maklumlah orang yang menjualnya cantik. Cubalah buka bisnes," cadang Lia. Pujian terhadap donut itu tetap ikhlas dari hatinya dan tiada sebarang sindiran.

"Terima kasih. Saya memang nak buka bisnes donut tapi masih dalam perbincangan lagi. Tengah cari idea untuk pelbagaikan resepi donut," ujar Eunbi seraya tersengih.

Ok Soon yang baru pulang dari pasar hairan melihat Lia dan Eunbi yang sedang berbual di beranda. Sejak bila pula dua gadis itu berteman?

"Rancak berbual... Tengah cerita pasal jodoh ke?" Perli Ok Soon ketika hendak masuk ke dalam rumahnya.

"Eh tak adalah, Nek... Saya saja hantar donut untuk Lia, alang-alang tu kita orang berbual kosong." Eunbi bersuara sebelum menolong Ok Soon mengambil plastik yang berisi ayam mentah pada tangannya.

"Terima kasih. Kamu letak saja dekat atas meja dapur tu," arah Ok Soon dan Eunbi mengangguk faham. Selepas selesai melakukan itu, Eunbi meminta diri untuk pulang ke rumah.

"Cantik betul orangnya... Lemah lembut, pandai memasak pula tu. Untung siapa yang jadi suami dia nanti," kata Ok Soon sambil matanya memandang Eunbi yang masih kelihatan dari situ. Dia menjeling Lia dalam diam untuk melihat reaksi gadis itu sebelum tersenyum sendiri.

"Lia tak cantik ke, Nek?" Soal Lia tidak puas hati apabila Ok Soon memuji Eunbi sedangkan dirinya tidak pernah menerima pujian dari nenek Seungmin.

Mata Ok Soon memandang wajah Lia dengan mulut dimuncungkan. "Boleh lah.. tak cantik tak hodoh," ujar Ok Soon seraya menahan tawanya. Terhibur hatinya dapat mengusik Lia yang kadang-kadang sifat polosnya tidak boleh dibawa bincang.

"Ya ya je, Nenek. Kalau Lia tak cantik, tak ada maknanya Areum panggil Lia, Makcik Cantik," ujar Lia sambil melibas rambut yang dibiarkan lepas ke belakang.

"Budak kecil biasalah, pantang buat baik... Membodek lah kerjanya. Itu pun kamu boleh terpedaya ke? Hmm, lemah..," usik Ok Soon lalu bangun dari kerusi. Dari pergaduhan tercetus, lebih baik dia melarikan diri terlebih dulu.

"Nek! Tak baiklah cakap macam tu!!" Marah Lia namun tidak diendahkan apabila wanita tua itu pun sudah turun ke dapur. Kaki yang berbalut dipandang sebelum mencebik. Kalau kakinya tidak tercedera, sudah lama dia mengejar orang tua itu sehingga dirinya dikatakan cantik.

Kamera telefon dibuka dijadikan sebagai cermin. Satu persatu anggota wajahnya diperhatikan lama. "Mata besar, hidung mancung... Tak cukup cantik lagi? Ke bibir aku tak cukup mungil?" Lia memuncungkan mulutnya sambil mengomel sendiri.

"Makcik Cantik!" Dengar saja suara itu, Lia terus tersenyum lebar. Dia sangat berterima kasih kepada Areum kerana telah mengembalikan keyakinan dirinya setelah kecantikannya dipertikaikan Ok Soon.

Gadis kecil itu kemudiannya naik ke beranda selepas puas bermain dengan kawan-kawannya di padang. Patung Elsa diserahkan kepada Lia manakala dia 'membancuh' teh untuk diminum. Lia pula hanya melayan saja keletah Areum asalkan dia gembira berada di sampingnya.

✾✾✾✾✾

Changbin yang baru menjenguk ke dalam rumah hijau tersengih bila Seungmin menjeling tajam ke arahnya. Tidak mempedulikan pandangan yang diberikan, Changbin tetap melangkah masuk seperti biasa.

"Aku bawa air boba untuk kau. Nah." Segelas air diletakkan ke atas meja.

"Aku tak minum air manis. Kau minum jelah." Seungmin berbasa-basi sambil membuang daun-daun kering ke dalam plastik sampah hitam.

"Wey, kenapa kau marahkan aku? Beritahu apa salah aku supaya aku tak ulang lagi. Aku lonely tau tak?" Luah Changbin dengan nada sebak yang sengaja dibuat. Lengan Seungmin ditarik sebelum melentokkan kepalanya ke bahu jejaka itu.

Tidak berkata apa-apa, Seungmin mengangkat gunting pokok yang mana membuatkan Changbin menjauhkan dirinya serta merta. "Mana ada aku marah... Kau yang fikir macam tu." Akhirnya dia membuka mulut.

"Habis tu kenapa kau heret aku keluar dari rumah kau? Boleh je kan kau tunggu aku habiskan teh sebelum aku balik. Huh! Aku pun tak tahu kenapa aku tetap nak cari kau walaupun layanan yang diberikan tak setanding dengan kebaikan aku." Changbin memeluk tubuh manakala kepala berpaling ke arah lain.

"Entah, aku rasa teringin nak heret kau. Dah sekarang aku dah jawab soalan kau, beritahu kenapa kau datang sini? Semata-mata nak suruh aku tengok drama murahan kau?" Soal Seungmin.

Changbin ketawa mengekek lalu tersipu malu. Mulut dikemam seraya menunduk memandang tanah.

"Sebenarnya, aku nak confess dekat Lia yang aku suka dia. Sebelum tu, aku ajak lah dia minum dekat kafe aku dulu. Kalau petang esok, okey kan?" Tanya Changbin.

Seungmin menarik nafas lama selepas mendengarkan hal itu. Wajah Changbin dipandang sekilas sebelum fokus kepada kerjanya semula. Bibirnya diketap perlahan tanpa mengetahui sebab dia berkelakuan begitu.

"Entah... Jangan tanya aku," jawab Seungmin sebelum melangkah keluar bersama plastik yang berisi daun-daun kering.

✾✾✾✾✾

Pekerja yang bertugas di bahagian kilang syarikat, menunduk hormat apabila menerima lawatan ketua eksekutif syarikat, Jessica Jung secara mengejut.

Heejin, pekerja yang menggantikan posisi Lia untuk sementara waktu mengiringi wanita itu sambil memerhatikan keadaan di dalam kilang.

"Macam mana, ada apa-apa masalah selama awak handle tempat ni?" Tanya Jessica.

"Tak ada, Puan Jung. Semuanya berjalan seperti biasa macam yang Puan Jung tengok. Walaupun stok yang dikeluarkan tak begitu banyak tapi, kilang tetap bekerja keras untuk usahakan produk yang berkualiti tinggi," lapor Heejin dan Jessica membalasnya dengan anggukan perlahan.

"Hmm baiklah... Saya pergi dulu dan kalau ada apa-apa masalah, terus laporkan pada pihak pengurusan. Saya tak nak terima apa-apa aduan negatif tentang produk Beauté," tegas Jessica.

Beg tangan diletakkan ke atas meja sebelum kerusi ditarik untuk melabuhkan punggung. Komputer riba yang memaparkan graf penjualan produk Beauté diperhatikan lama sambil jarinya mengetuk perlahan permukaan meja, merisaukan sesuatu.

Meskipun kadar penjualan sedikit meningkat dari sebelum ini namun tetap tidak dapat memuaskan hati Jessica memandangkan itu merupakan kali pertama syarikatnya hampir kerugian besar.

Cadangan bunga kamomil bukanlah perkara yang tidak disengajakan tetapi lebih kepada rancangan yang sudah disimpan lama. Rancangan itu pernah diusulkan bekas setiausahanya beberapa tahun yang lepas namun ditolak mentah-mentah oleh banyak pihak. Disebabkan itu, bekas setiausahanya meletakkan jawatan sebelum wanita itu membawa diri ke luar negara dan terputus hubungan. Jessica mengurut dahinya perlahan memikirkan cara untuk mencari formula produk berasaskan bunga kamomil itu.

"Lee Minjee... Kau ada dekat mana sekarang ni..,' getusnya apabila teringatkan gadis muda itu.

Kalendar dipandang dan masih berbaki lebih kurang dua minggu lagi untuk Lia dapatkan persetujuan kontrak dengan pemilik ladang kamomil. Kalau adiknya masih tidak berjaya dalam hal itu, dia terpaksa campur tangan demi menyelamatkan nama baik syarikatnya.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro