❦8
Lia menghampiri Areum yang kelihatan muram di beranda rumahnya. Wajah kanak-kanak itu juga comot dengan bekas airmata. Dia terjaga apabila mendengar suara Seungmin yang memarahi Areum dan menyaksikan segalanya melalui celahan tingkap.
"Areum buat apa tu?" Teguran Lia membuatkan Areum menoleh sebelum tersenyum tawar.
"Tunggu Ayah... Dari tadi lagi Ayah tak balik," beritahu gadis kecil sambil memandang ke satu tempat dengan harapan Seungmin pulang ketika itu.
"Kejap lagi Ayah balik lah tu. Janganlah sedih macam ni, tak comel." Lia cuba memujuk. Pipi Areum dicuit perlahan.
Gadis kecil itu mencebik. "Mesti Ayah dah tak sayangkan Areum lagi sebab Areum tak jadi anak yang baik. Macam mana kalau Ayah tak nak balik rumah dah? Siapa yang nak hantar Areum pergi sekolah, main dengan Areum."
Lia menarik nafas panjang sementara menyusun ayat. Dia tidak pernah memujuk sesiapa sebelum ini namun dia juga tidak sanggup melihat kanak-kanak itu terus bersedih. Kepala Areum diusap perlahan sebelum bersuara.
"Ayah bukan tak sayang. Ayah cuma sedih, itu saja. Cuba Areum bayangkan kawan Areum rosakkan anak patung Elsa, rasa-rasanya Areum marah ke tak?" Soal Lia. Areum mengangguk dengan mulut yang muncung sedepa.
"Macam tulah apa yang Ayah rasa. Jadi, bila Ayah balik nanti, Areum kena minta maaf tau? Janji jadi anak yang baik dan tak akan buat Ayah marah lagi," pesan Lia.
"Okey." Pendek saja jawapan Areum namun dapat dilihat yang riak wajahnya sedikit ceria. Lia mula tersenyum sendiri kerana berjaya memujuk hati Areum.
"Kita nak main apa petang ni?" Mendengar soalan Lia, serta merta Areum tersengih gembira lalu berlari masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang mainan yang merupakan alatan memasak. Patung Elsa dan Anna juga tidak dilupakan. Lia membantu menyusun barang-barang mengikut urutan.
Ok Soon yang melihat cicitnya bermain bersama Lia, tersenyum lega. Garaj rumah dipandang sementara kepalanya memikirkan apa yang dilakukan Seungmin.
"Areum, Nek Yang nak ke kedai sekejap. Jangan nakal-nakal dengan Makcik Lia," pesan Ok Soon.
"Okey!" Jawab mereka berdua serentak.
✾✾✾✾✾
Ladang kamomil dipandang tanpa sebarang reaksi. Wajah Areum yang ketakutan kerana dimarahi, masih berlegar-legar di ruang fikirannya. Seungmin meletakkan kepalanya di atas meja seraya memejamkan mata.
Tidak lama kemudian, kedengaran pintu dibuka lantas jejaka itu mengangkat wajahnya. Posisi badan dibetulkan namun tidak pula dia bersuara. Lia tersenyum kekok melihat respon yang diberikan Seungmin. Risau jika dirinya pula yang dimarahi jejaka itu. Tanpa dipelawa, Lia menarik kerusi yang terletak bersebelahan dan pandangannya dihalakan ke arah ladang kamomil, sama seperti Seungmin.
"Kenapa awak datang ke sini?" Seungmin bersuara.
"Erm, Nenek suruh saya cari awak. Saya datanglah ke sini sebab ni je tempat yang awak selalu pergi," jelas Lia. Kalau diikutkan, dia juga tidak mahu berhadapan dengan Seungmin memandangkan mood lelaki itu kurang baik.
Seungmin menunduk, memandang tanah. Jika nenek yang memberi arahan, bermakna Lia sudah pun tahu dengan perkara yang berlaku. Rasa malu membuatkannya dia tidak mampu untuk menoleh ke arah Lia.
"Seungmin, saya minta maaf," ucap Lia. Bibir bawahnya digigit apabila jejaka itu mula berpaling ke arahnya. Tatapan mata Seungmin membuatkan jantungnya berdegup kencang. Bagaimana dalam keadaan marah begitu, Seungmin masih kelihatan tampan bahkan lebih mendebarkan hatinya. Lia menelan liur sebelum melemparkan pandangannya ke arah lain.
"Kenapa awak minta maaf pula?" Tanya Seungmin ingin tahu. Rasanya gadis itu tiada melakukan kesalahan apa pun.
"Se- sebab Areum terpengaruh de- dengan saya. Kalau tak, me- mesti dia tak usik barang Minjeong." Tergagap Lia dibuatnya apabila ditenung Seungmin begitu. Ingin saja dia menyembunyikan wajahnya di sebalik bunga-bunga kamomil pada masa itu juga.
Seungmin menghela nafas panjang. "Tak apa... Areum terlalu sukakan awak sampai semua yang awak buat, dia nak ikut. Itulah apa yang Nenek beritahu saya. Areum macam mana?" Ujar Seungmin sekaligus bertanyakan tentang anaknya.
"Mula-mula dia sedih sebab ingat awak dah tak sayangkan dia lagi tapi, saya dah pujuk dia. Sempatlah kita orang main pondok-pondok tadi sementara Nenek hantar ikan masin ke kedai," cerita Lia sambil tersenyum. Kadang-kadang dia juga tidak tahu bagaimana dia boleh akrab dengan Areum sebegitu sekali. Padahal sebelum ini, dia tiada pengalaman bermain dengan gadis yang lebih muda memandangkan dia anak bongsu dalam carta keluarganya.
"Baguslah kalau macam tu. Terima kasih, Lia," ucap Seungmin.
"Awak masih marah lagi ke tentang barang Minjeong?" Lia memberanikan dirinya bertanya.
"Tak marah... Cuma sekarang saya rasa bersalah dengan Areum sebab tinggikan suara pada dia. Mesti dia terkejut sebab selama ni saya tak pernah marah dia teruk macam tu. Soal barang Minjeong pula, dah lebih tujuh tahun saya simpan. Mungkin sebab itu mudah rosak. Bila fikirkan semula, rasa bodoh sebab sanggup pertahankan barang lama berbanding anak sendiri. Saya ayah yang teruk kan?" Seungmin meluahkan perasaan yang terpendam di lubuk hati.
"Janganlah cakap macam tu... Kalau saya jadi awak pun, saya pun akan sedih. Setiap manusia ada had kesabaran, Seungmin. Tindakan awak tak salah sepenuhnya... Mungkin lepas ni, Areum akan lebih berhati-hati dalam buat satu perkara sebab tak nak awak marah lagi. Kadang-kadang, sebagai orang tua, kita perlu guna sedikit ketegasan supaya anak lebih hormat pada kita," ujar Lia sebelum terpana.
Dari mana datangnya idea untuk memberi kata-kata semangat begitu kepada Seungmin? Tiba-tiba dia berasa seram sejuk dan memikirkan dirinya mungkin dikawal 'sesuatu'. Kerusi yang didudukinya, dirapatkan sedikit dengan kerusi Seungmin.
"Saya tak sangka pula ada sisi matang dalam diri awak. Selama ni, saya cuma nampak perangai kebudak-budakan awak. Terima kasih, Lia sebab sudi dengar luahan saya. Selama ni, saya cuma pendam seorang diri memandangkan tiada siapa yang menemani saya kalau saya tengah kesedihan. Sekarang, saya dapat luahkan semua yang terbuku dalam hati saya dan rasa lega sangat," gumam Seungmin. Kepala Lia diusap perlahan yang mana menyebabkan gadis itu hampir terkena strok.
Menyedari tindakannya, Seungmin menarik semula tangannya. "Maaf sebab sentuh awak. Saya dah terbiasa buat macam tu pada Areum." Seungmin menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda maaf.
Lia yang masih lagi terkejut dengan tindakan Seungmin, menggeleng perlahan. Dadanya terasa kencang seolah-olah berlari sekeliling kampung. Pipi yang mula terasa bahang, disentuh. "Tak apa-..."
Terbeliak mata Seungmin apabila Lia rebah di hadapannya. Kepala Lia diangkat seraya menepuk perlahan pipi gadis itu untuk memastikan tahap kesedarannya.
"Lia, Lia??" Panggil Seungmin cemas. Tapak tangannya dilihat namun dia pasti yang dia tidak menyentuh mana-mana bahan beracun tetapi jika ada sekalipun, tidak mungkin akan memberi kesan sampingan teruk begitu sekali.
Wajah cuak Seungmin dilihat dalam keadaan samar-samar sebelum dirinya pengsan sepenuhnya.
Telefon dikeluarkan lalu Seungmin mendail nombor Changbin. Hanya kawannya itu saja yang mampu menolong memandangkan dia mempunyai kereta untuk membawa pulang Lia ke rumah.
Kelopak mata yang masih terasa berat, dibuka perlahan. Lia mengelipkan matanya beberapa kali sebelum menarik nafas terkejut apabila melihat wajah Changbin yang ketika itu ralit memandang ke arahnya.
"Apa yang awak buat dekat sini?" Soal Lia sambil matanya mencari kelibat penghuni rumah itu. Dia menarik nafas lega apabila Seungmin mula menampakkan dirinya.
"Dia boleh tanya pula... Awak pengsan di rumah hijau tadi. Seungmin call saya minta tolong bawa awak balik rumah," Changbin menjelaskan keadaan sebenar kepada gadis itu.
Lia cuba mengingat semula situasi sebelum dia tidak sedarkan diri. Belakang tangannya dilekapkan pada dahi. Normal saja suhu badannya. Seungmin yang sedang menuang air ke dalam cawan dipandang lama sebelum pipinya menaik apabila teringatkan Seungmin membelainya.
Changbin yang memerhati kelakuan Lia, mengerutkan wajahnya. "Tengok! Dia senyum lagi! Kau santau apa dekat Lia, Seungmin??" Tuduh Changbin. Mana tidaknya, ketika dia melihat keadaan Lia semasa tidak sedarkan diri tadi, gadis itu pengsan dalam keadaan tersenyum.
"Lia, awak okey tak ni? Nak ke hospital? Dah dua jam awak tak sedarkan diri." Seungmin bersuara. Apa yang berlaku kepada Lia sebenarnya? Bila ditanya, dia hanya menjawab dengan sekadar mengangguk ataupun menggeleng. Nasib baik neneknya sibuk berada di dapur. Jika tidak, ada juga wanita tua itu memukul mulut Lia menggunakan daun kari.
"Saya tersangat, sangat, sangatlah okey. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu." Lia melipat selimut yang menutup badannya. Bantal yang dibuat alas kepalanya, ditepuk beberapa kali lalu disusun ke tepi dinding.
Seungmin hanya mengganguk perlahan walaupun dia tidak faham dengan gelagat Lia. Setelah gadis itu pulang, Changbin menghampiri kawannya sebelum bersuara.
"Aku syak, Lia kena sampuk dengan makhluk halus. Baik kau bawa dia berubat dengan pawang kampung sebelum bertambah kronik. First time weh, aku jumpa orang pengsan senyum. Tak pernah dibuat orang," ujar Changbin. Cawan yang sudah dituang air diangkat lalu dihirup perlahan.
"Jangan nak mengarutlah. Makhluk halus pun takut nak dekat dengan Lia," bantah Seungmin sebelum dia menyedari sesuatu lalu Changbin dipandang serong. "Rasanya aku minta tolong hantarkan Lia je, kenapa kau masuk rumah aku sekali? Siap minum air lagi." Soal Seungmin.
"Kau patut bersyukur aku tak minta duit tambang tau tak? Walaupun aku tengah sibuk dekat bandar tu, aku sanggup tinggalkan kerja aku lepas kau call aku. Ini secawan air pun nak berkira." Terherot-berot mulut Changbin ketika berbicara kerana tidak berpuas hati dengan layanan dingin Seungmin.
"Cakap je lah kau buat semua tu untuk Lia, kan?" Seungmin berbasa-basi.
"Memang pun. Kalau kau yang pengsan, cara apa aku. Lantaklah kau mereput dekat ladang tu sekalipun," balas Changbin dengan nada geram. Sehari kalau tidak bertikam lidah dengan jejaka itu, memang tidak sah.
Mendengar jawapan kawannya, hati Seungmin mula terasa panas. Changbin yang sedang menghirup air kali kedua, tersedak apabila lengannya ditarik Seungmin. Lebih tidak masuk akal, badan besarnya terheret di atas lantai akibat tarikan Seungmin meskipun badannya lebih kecil dari Changbin.
"Woi! Aku cuma jujur, apa yang salah?? Hobi kau suka halau aku ke apa??" Teriak Changbin sebaik saja Seungmin menutup pintu rumah. Marahnya tidak dapat lama memandangkan waktu sudah malam. Tidak Seungmin, tidak mustahil jika Ok Soon pula yang keluar bersama penyapu untuk mengusirnya.
"Kenapa bising-bising tu, Seungmin?" Soal Ok Soon yang baru melangkah naik dari tangga dapur.
"Tak ada apa. Biawak bertelur kot," jawabnya.
Seungmin menjenguk bilik Areum untuk melihat keadaan anaknya. Pintu bilik dikuak perlahan kerana tidak mahu mengganggu Areum yang sudah tidur. Selepas pulang tadi, dia tidak menemui Areum memandangkan anaknya masih lagi merajuk dengannya.
Rambut hitam Areum diusap lembut. Selimut yang terjatuh ke lantai, diambil lalu diselimuti badan kecil anaknya. Seungmin tersenyum kecil melihat kecomelan Areum yang sedang lena. Wajah manis anaknya dipandang lama sebelum Seungmin mengucup dahi Areum.
"Sweet dreams, Sayang," gumamnya perlahan.
✾✾✾✾✾
Senyuman Lia mengendur apabila melihat skuter Seungmin sudah tiada di garaj. Ini semua kerana dia terbangun lewat memandangkan cuaca agak redup. Paginya terasa tidak lengkap tanpa melihat wajah tampan Seungmin yang mana selalu menjadi penyejuk hatinya sejak menetap di kampung.
Kasut tinggi disarung sebelum Lia menghirup udara segar di halaman rumahnya. Pemandangan yang menghijau sedikit sebanyak menyamankan matanya. Kepalanya disentuh sebelum gadis itu tersengih sendiri. Detak jantungnya juga bergerak lebih laju setiap kali teringatkan momen terindahnya bersama Seungmin petang semalam.
Ok Soon yang berdiri di muka pintu dapur, hanya memerhatikan kelakuan Lia yang sedang tersenyum-senyum di hadapan rumahnya. Wanita tua itu mengangkat kakinya menuju ke arah Lia. Dia ingin meminta tolong gadis itu melakukan sesuatu untuknya.
"Oh mak kau jatuh parit!" Latah Lia apabila bahunya disentuh secara tiba-tiba dari arah belakang. Laju saja tangan menutup mulutnya selepas melihat Ok Soon berdiri di belakangnya.
"Berangan apa sampai melatah macam tu sekali?" Sindir Ok Soon. Tahulah dia apa yang bermain di fikiran gadis itu. Apa lagi jika bukan teringatkan cucu lelakinya, Seungmin.
"Kenapa Nek?" Tanya Lia seraya tersenyum menahan geram. Angan-angan bersama Seungmin yang dibayangkannya hilang begitu saja kerana Ok Soon.
Keningnya berkerut apabila Ok Soon menghulurkan beberapa not duit kepadanya. Dengan rasa teragak-agak, Lia mengambil duit itu tanpa banyak soal.
"Tolong belikan kacang hijau dekat kedai runcit. Nenek nak buat bubur kacang petang ni. Lutut Nenek sakit nak berjalan ke sana," ujar Ok Soon.
"Ouh, boleh-boleh. Nak berapa banyak kacang hijau tu?" Lia meminta kepastian. Risau pula dia tersalah beli jumlah yang ingin digunakan.
"Dekat kedai runcit tu, dah siap timbang. Jadi kamu beli saja dua paket. Jangan tersalah beli kacang pis pula, kamu tu bukan kira." pesan Ok Soon.
"Ya, Lia tahu lah rupa dia. Masa sekolah dulu pernah buat aktiviti tanam taugeh guna kacang hijau," jawab Lia dan Ok Soon hanya mengangguk malas. Banyak pula celoteh gadis itu.
Cuaca yang sedikit mendung membuatkan Lia menyanyi kecil kerana tidak perlulah dia perlu berjalan kaki di bawah terik matahari. Langkah Lia terhenti sebaik tiba di sebuah persimpangan. Kepala yang tidak gatal digaru dengan wajah yang berkerut. Ok Soon tidak memberitahunya jalan mana yang patut diambil untuk ke kedai. Malas hendak berdiri lama, Lia membuat keputusan untuk melalui jalan di sebelah kirinya.
Senyuman bangga terpapar di wajah apabila ternampak sebuah kedai runcit. Dengan senang hati, kakinya melangkah masuk bagi membeli kacang hijau yang dipesan Ok Soon.
Dua paket kacang hijau diletak ke atas kaunter untuk membuat bayaran. Matanya membulat apabila juruwang di situ merupakan Eunbi, perempuan yang dianggap watak tambahan dalam ceritanya.
"Eh, awak yang sewa dengan Nenek kan?", Tegur Eunbi dengan senyuman manis. Tidak memandang wajah gadis itu, Lia mengangguk sambil matanya memandang barang yang tersusun di atas rak. Duit diletakkan ke atas kaunter. Plastik yang berisi kacang hijau segera diambil.
"Boleh saya tahu nama awak apa?" Tanya Eunbi. Lia melirik ke arah gadis itu sebelum memalingkan badannya menghadap ke arah Eunbi.
"Nama saya Julia Choi tapi boleh panggil Lia. Kenapa awak nak tahu nama saya?" Soal Lia selepas memperkenalkan dirinya.
"Ouh tak ada apa pun sebenarnya. Saya excited bila jumpa perempuan yang sebaya dengan saya. Dalam kampung ni, saya seorang je anak dara yang tinggal. Ya lah, yang lain semua ke luar bandar untuk bekerja. Awak tak kisah kan kalau saya nak berkawan dengan awak?" Eunbi menghulurkan tangannya sebagai salam perkenalan.
Tidak mahu dilabel berlagak, Lia menyambut huluran tangan Eunbi. "Mestilah boleh. Okeylah, saya balik dulu... Nanti Nenek tunggu pula kacang hijau dia. Jumpa lagi." Lia meminta diri terlebih dulu.
Mata Eunbi mengekori langkah Lia yang meninggalkan kedai. Bibirnya menguntumkan senyuman apabila rancangannya untuk berteman dengan gadis bandar itu berjaya. Memang dia ikhlas mahu menjadi kawan kepada Lia tetapi dalam pada masa yang sama, dia ada rancangannya sendiri.
"Next step," getusnya.
✾✾✾✾✾
Lia memuncungkan mulut sambil memikirkan sesuatu. Keramahan Eunbi kepadanya sebentar tadi kelihatan dibuat-buat. Tidak lama kemudian, kepala digeleng perlahan bagi membuang perasaan negatif yang hadir.
"Sepatutnya aku kena bersyukur dia nak berkawan dengan aku." Lia mengomel seraya memukul dahinya beberapa kali kerana berfikiran begitu.
Getaran telefon yang diletakkan ke dalam poket seluar membuatkan Lia mendecit dalam diam. Dia sudah dapat mengagak siapa gerangan yang menelefonnya. Siapa lagi kalau bukan Jessica Jung.
"Selamat tengahari, CEO Jung. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Sengaja dia menjawab dengan panggilan formal yang selalu digunakan semasa bekerja.
"Kakak... please stop asking me about the contract. Kan sebulan masa yang dibagi, kenapa Kakak tanya?" Marah Lia. Sikap mendesak Jessica kadang-kadang menyerabutkan kepala.
"Sekarang dah dua minggu kau ada dekat kampung, tak kan tak dapat persetujuan lagi? Apa yang susah sangat nak yakinkan owner ladang kamomil tu?"
"Listen to me... Orang kampung tak sama dengan orang bandar untuk pengetahuan Kakak. Diorang bukan kisahkan sangat duit macam sesetengah business partner company kita yang pantang dapat tawaran. Jadi, Lia perlu tunggu sebab dia belum beri jawapan apa-apa pasal kontrak. Mungkin dia perlukan masa untuk buat keputusan," jelas Lia panjang lebar.
"Dah lah, Lia letak dulu. Jangan call Lia sebelum Lia sendiri yang call Kakak. Kalau tak, Lia akan balik semula ke bandar tanpa hasil apa pun," ugut Lia.
Tut!
Kalau diikutkan hatinya, ingin saja dia menjerit di situ kerana terlalu geram. Perangai Jessica yang besar kepala itu membuatkannya rimas. Hendak berkata lebih, dia sendiri tidak berani memandangkan jawatan yang dipegang Jessica akan memberi kesan pada pekerjaannya.
Lia mendongakkan kepala ke atas apabila terasa titisan air pada wajahnya. Langkah dipercepatkan sebelum hujan turun dengan lebih lebat. Sedang berlari menuju ke perhentian bas yang terletak di persimpangan jalan, Lia tersalah langkah lalu terjatuh ke bahu jalan. Plastik yang berisi kacang hijau pula terlepas dari tangannya dan tercampak ke hadapan.
"Argh!" Wajah Lia berkerut menahan sakit. Tapak tangannya sudah tercalar manakala seluar yang dipakainya, terkoyak di bahagian lutut. Hujan mula turun dengan lebat namun Lia masih terkial-kial ingin bangun. Tumit kasutnya juga sudah patah akibat jatuhan tadi.
Guruh yang kedengaran menyebabkan Lia menutup telinganya kerana ketakutan. Mulutnya mula mencebik sebelum menangis perlahan. Oleh kerana terlalu takut, dia tidak dapat berdiri dan membuat keputusan untuk terus berdiam di situ dalam keadaan memeluk lututnya.
Lia perlahan-lahan mengangkat wajahnya apabila melihat sepasang kasut yang sangat dikenali, berhenti di hadapannya.
"Seungmin?" Soalnya dengan nada tidak percaya sebaik saja melihat jejaka itu sedang memayungkannya. Adakah itu realiti ataupun sekadar bayangannya kerana terlalu gelisah?
"Awak okey?" Tanya Seungmin. Betapa resah hatinya apabila diberitahu Ok Soon yang gadis itu belum pulang dari kedai sedangkan hujan turun dengan lebatnya. Tidak membuang masa, dia terus keluar mencari gadis itu. Sedikit sebanyak dia berasa lega kerana Lia tiada apa-apa kecuali cedera ringan. Baju sejuk yang tersarung pada tubuhnya ditanggal lalu dipakaikan pada Lia yang dalam keadaan basah.
"Awak boleh berjalan?" Tanya Seungmin lagi dan dibalas dengan gelengan. Pergelangan kaki Lia terseliuh dan dia tidak dapat berdiri dengan baik apatah lagi mahu berjalan.
Melihat jawapan yang diberikan Lia, Seungmin menarik kedua tangan gadis itu sebelum diletakkan atas bahunya. "Maafkan saya kalau awak tak selesa. Tolong pegang payung ni," ujar Seungmin lalu berdiri sambil menggendong Lia di belakangnya.
Saat Lia ketakutan kerana bersendirian, kehadiran Seungmin berjaya mengubah titisan air hujan menjadi alunan melodi yang menyamankan hati. Lia ingin Seungmin tahu bahawa ketika itu, dia telah menitipkan harapannya bersama beribu-ribu rintikan hujan yang mencurah ke bumi bahawa dirinya berharap supaya Seungmin segera menyedari rasa cinta yang hadir dalam hatinya.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro