❦6
Suis lampu tandas ditutup. Dalam keadaan mengantuk, Seungmin perasan yang bilik tidur Areum masih lagi terang menandakan anaknya masih belum tidur.
Seungmin menghampiri Areum yang sibuk melakukan aktivitinya sendiri. Pensel warna ditukar silih berganti lalu tangannya laju mewarna sesuatu di permukaan kertas. Mulutnya juga turut dimuncungkan sewaktu melakukan itu hingga mengundang tawa Seungmin.
Gambar yang diwarnakan Areum sedikit mengundang rasa hairan sebaik saja melihat lukisan sosok seorang lelaki bersama seorang perempuan yang sama-sama memegang tangan seorang kanak-kanak perempuan. Nama yang ditulis di bahagian atas lukisan tadi membuatkan Seungmin terkedu.
Ayah, Areum, Makcik Cantik
Tidak mahu terus menegur, Seungmin mengambil tempat di sebelah Areum. Selepas apa yang diadukan anaknya semasa pulang dari sekolah tengahari tadi, Seungmin faham mengapa Areum melukis sesuatu seperti itu. Nampaknya, dia perlu menjelaskan sekali lagi supaya gadis kecil itu dapat memahami situasi sebenar.
"Areum buat apa ni?" Seungmin sengaja bertanya walaupun semuanya sudah jelas di matanya.
"Kerja sekolah. Cikgu suruh lukis gambar keluarga dan kena hantar esok. Jadi, Areum tengah siapkan lah ni," jawabnya sementara matanya fokus pada kerja.
"Kenapa Areum lukis Makcik Lia sekali? Memang Ayah ada cakap pada Areum yang kita perlu anggap orang yang rapat sebagai ahli keluarga tapi, Makcik Lia bukan emak Areum." Seungmin cuba menjelaskan perkara sebenar.
Tangan yang laju mewarna, terhenti. Areum berpaling ke arah ayahnya. "Makcik Cantik tak boleh jadi mak Areum?" Soalan anaknya terpaksa dibalas dengan gelengan. Dia tidak mahu membohongi anaknya dalam hal penting begitu. Melihat gelengan Seungmin, Areum mula mencebik kerana ingin menangis.
"Kenapa? Makcik Cantik sendiri cakap yang Areum ni anak tiri dia. Areum tanya cikgu dekat sekolah tadi apa maksud anak tiri lepas tu cikgu beritahu yang anak tiri bermaksud bila ayah atau mak kita berjumpa dengan orang lain, kita pun jadi anak diorang dan dianggap anak kandung sendiri. Ayah kan jumpa dengan Makcik Cantik, samalah maksud dengan apa yang cikgu Areum beritahu." Soal Areum tidak puas hati.
Seungmin kehilangan kata-katanya. Mengapa pula Lia menggelar Areum sebagai anak tirinya? Ibu jarinya mula mengelap airmata Areum yang sudah mengalir di pipi tembam anaknya.
"Sayang... Makcik Lia dengan Ayah cuma kawan saja. Untuk Makcik Lia jadi ibu Areum, Ayah perlu berkahwin dulu... Bukan berjumpa saja. Areum kena faham tentang tu sebab Ayah tak nak Areum salah erti dengan apa yang cikgu beritahu." Lembut saja Seungmin berbicara. Untuk memberi kefahaman kepada kanak-kanak yang baru berusia tujuh tahun, bukanlah perkara mudah. Banyak usaha perlu dilakukan supaya dia benar-benar memahaminya.
"Ayah tak boleh ke kahwin dengan Makcik Cantik? Areum nak Makcik Cantik jadi ibu Areum," soalnya dengan penuh harapan.
"Tak boleh, Sayang..," jawab Seungmin yang mana membuatkan Areum terus bangun dari tempatnya. Tidak sempat Seungmin memanggil, kanak-kanak itu sudah pun berlari keluar sambil menangis. Keluhan berat dilepaskan lalu Seungmin menyusul langkah anaknya.
Ketukan pintu rumah diiringi suara tangisan seorang kanak-kanak membuatkan Lia takut untuk menjenguk ke luar rumah. Tambahan pula waktu yang sudah malam, menambahkan lagi rasa gerunnya. Sekali lagi bunyi ketukan kedengaran.
"Makcik Cantik..." Terdengar saja panggilan itu, Lia segera membuka pintu lantas menarik nafas terkejut apabila Areum terus memeluk erat tubuhnya dalam keadaan menangis.
"Areum, kenapa menangis ni? Ada apa-apa yang berlaku ke??" Soal Lia cemas lalu memanjangkan lehernya mengintai rumah sebelah namun tiada perkara yang aneh kelihatan.
"Ayah kata... Mak- Makcik Cantik tak boleh jadi ibu Areum..," adunya dalam sedu sedan.
Lia menggaru kepalanya buntu. Kenapa pula Areum berkata demikian? Tidak mahu tangisannya berpanjangan, Lia cuba memujuk gadis kecil itu. "Ya, Makcik Cantik jadi ibu Areum. Jangan menangis lagi."
Pujukan Lia berhasil apabila Areum mengangguk faham. Sisa airmata dilap menggunakan belakang tangannya.
Seungmin menarik nafas lega sebaik saja melihat Areum ada bersama Lia. Dia sudah risau memikirkan anaknya melarikan diri ke tempat lain. Selipar disarung lalu jejaka itu bergegas menuju ke rumah Lia.
"Ha, itu Ayah datang," beritahu Lia sebelum Areum berdiri di belakangnya, tidak mahu berjumpa dengan Seungmin.
"Areum, Ayah minta maaf kalau buat Areum sedih. Jom, balik?" Pujuk Seungmin namun dibalas dengan gelengan Areum. Sepertinya dia memang benar-benar merajuk hati dengan ayahnya.
"Tak nak balik... Nak tidur dengan Makcik Cantik," ujar Areum sebelum berlari masuk ke dalam rumah Lia.
Melihat kelakuan Areum, Lia terpaksa bersuara walaupun dia kurang pasti apa yang berlaku antara dua beranak itu.
"Hmm, Seungmin... Biar jelah Areum tidur dengan saya malam ni. Nanti saya cuba pujuk dia," kata Lia. Lagipun sudah lewat malam, jadi tiada masalah jika Areum ingin bermalam di rumahnya.
Seungmin mengangguk perlahan. Riak wajahnya kelihatan agak sedih, mungkin kerana Areum tidak pernah merajuk begitu sekali. "Saya minta maaf lah kalau menyusahkan awak. Sebelum ni, dia tak pernah buat perangai macam tu," ujar Seungmin.
"Eh tak apa... Saya tak kisah pun. Awak nampak penat, awak berehatlah... Jangan risaukan Areum," kata Lia pula. Tidak berkata apa-apa, Seungmin meminta diri terlebih dulu.
Sudah banyak kali jejaka itu cuba melelapkan mata tetapi sedikit pun dia tidak berasa mengantuk. Puas memusingkan badan, Seungmin mengubah kepada posisi duduk. Selepas apa yang berlaku, dia mula teringatkan semula mendiang ibu kandung Areum, Lee Minjeong.
Potret mereka bertiga yang terletak di dalam bingkai gambar ditatap lama. Dalam gambar itu, Minjeong sedang mendukung Areum yang ketika itu baru menginjak usia setahun. Seungmin mencapai bingkai gambar itu untuk dilihat lebih dekat.
"Maafkan saya, Minjeong sebab tak dapat jadi ayah yang baik untuk Areum," gunanya sendirian. Keluhan perlahan dilepaskan sebelum bingkai gambar itu diletakkan semula di tempat asalnya.
Oleh kerana tidak dapat melelapkan mata, Seungmin mengambil angin di beranda rumahnya. Bunyi cengkerik diiringi bunyi katak seolah-olah menemani menjadikan suasana tidak terlalu sunyi. Bintang-bintang di langit juga kelihatan lebih jelas pada malam itu.
Kertas lukisan Areum yang diambil di bilik anaknya itu dibawa bersama. Teringatkan kata-kata Areum, adakah dia terlalu mesra dengan Lia sehingga anak perempuannya tersalah sangka? Seungmin menutup wajah dengan kedua tangannya untuk menghilangkan segala perasaan yang hadir.
Kehadiran Lia di sebelahnya membuatkan Seungmin menarik nafas terkejut. Mana tidaknya, dengan wajah yang dipakaikan masker, boleh menyebabkan sesiapa saja yang melihat diserang sakit jantung.
"Kenapa tak tidur lagi?" Soal Seungmin seraya memberi ruang untuk gadis itu.
"Kalau awak nak tahu, sekarang bukan waktu saya tidur. Sebenarnya, saya nak layan video di YouTube tapi saya lupa nak cas telefon tadi," jelas Lia.
"Areum macam mana?" Tanya Seungmin tentang anaknya. Maklumlah selama ini dia tidak pernah berpisah dengan anak gadisnya seorang itu.
"Dia dah tidur lepas saya pujuk tadi. Siap berdengkur lagi," beritahu Lia lalu tertawa perlahan. Seungmin tersenyum mendengarkan itu. Lega hatinya mendapat tahu Areum tidur dengan lena.
Kertas lukisan yang berhampiran Seungmin dipandang. Lia menebak yang lukisan itulah punca bagaimana boleh tercetusnya masalah di antara Seungmin dan Areum.
"Jadi, sebab ini ke Areum merajuk dengan awak?" Tanya Lia ingin kepastian. Seungmin menoleh sekilas lalu mengangguk.
"Mesti awak terfikirkan kenapa dia merajuk sebab lukisan tu? Saya terpaksa jelaskan yang awak bukan ibu dia tapi biasalah budak kecil, mungkin dia belum faham. Saya tak nak bohong tentang perkara penting macam ni sebab tak nak Areum rasa dikhianati," cerita Seungmin.
Lia hanya diam. Betul juga apa yang dikatakan Seungmin. Mereka sebagai orang dewasa, tidak patut memberi harapan palsu kepada kanak-kanak seperti Areum. Lia mula rasa bersalah pada Seungmin kerana dia ada mengiyakan soalan Areum tadi.
"Areum belum puas rasa kasih sayang mendiang ibu dia. Minjeong meninggal sehari sebelum tarikh perkahwinan kita orang sebab sakit." Seungmin mula membuka cerita kerana baginya Lia layak untuk tahu kisah sebenar.
"Maksudnya, Areum bukan anak kandung awak?" Tanya Lia dengan penuh berhati-hati. Risau pula soalannya akan mengguriskan hati Seungmin.
"Bukan anak kandung tetapi dia tetap anak saya sampai bila-bila. Saya lah yang membesarkan Areum sampai sekarang dengan bantuan Nenek," jawab Seungmin lantas tersenyum kecil.
Lia hanya mendiamkan diri. Maksudnya, Seungmin belum pernah berkahwin memandangkan mendiang ibu Areum meninggal sehari sebelum majlis bahagia mereka dan Areum merupakan anak Minjeong bersama lelaki lain. "Kalau awak tak kisah, boleh saya tanya macam mana awak boleh kenal dengan Minjeong?"
"Masa tu saya baru nak balik rumah dari bandar. Dalam perjalanan tu, saya terjumpa Minjeong tak sedarkan diri di perhentian bas dan telefon ambulans untuk bawa dia ke hospital. Lepas dia tersedar, dia mula menangis dan ceritakan semuanya pada saya. Minjeong ditinggalkan kekasihnya lepas dapat tahu yang dia mengandung. Jadi, saya pun buat keputusan untuk jaga dia sampailah dia melahirkan Areum..."
"... Selepas Areum lahir, Minjeong bawa diri ke bandar dengan alasan untuk mulakan hidup baru. Lebih kurang setahun kemudian, Minjeong balik semula ke kampung dan beritahu yang dia ada menghidap kanser limfoma tahap dua. Hampir dua tahun dia menetap di kampung, Nenek sarankan supaya kita orang berkahwin supaya dapat jamin masa depan Areum dan kami berdua pun bersetuju tapi jodoh kita orang tak panjang. Minjeong meninggal sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Sejak dari itu, saya berjanji dengan diri sendiri akan jaga Areum sepenuh hati saya." Seungmin mengakhirkan ceritanya bersertakan senyuman kecil.
Lia menyeka airmata yang mengalir kerana tersentuh dengan kisah pertemuan antara Seungmin dan mendiang ibu Areum. Walaupun Minjeong merupakan orang luar, Seungmin tetap menawarkan bantuan dan menjaganya sehingga Areum dilahirkan. Bahkan setelah mengetahui Minjeong menghidapi penyakit, Seungmin juga sanggup menerima wanita tu sebagai isterinya. Tiba-tiba Lia berasa kerdil jika hendak dibandingkan dengan jejaka yang berhati mulia itu.
"Lia, terima kasih sebab layan Areum dengan baik. Sebelum ni, dia tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan sebaya awak tapi lepas awak datang ke sini, saya tengok Areum lebih bahagia dan saya tak nak dia berharap apa-apa sebab satu hari nanti, awak akan balik ke bandar semula," ujar Seungmin.
"Okey, saya faham maksud awak. Jangan risau... Pandailah saya pujuk Areum nanti," balas Lia.
"Kalau macam tu, saya masuk dulu... Selamat malam." Seungmin meminta diri terlebih dulu.
✾✾✾✾✾
Ok Soon membuka pintu bilik Areum untuk membangunkannya pergi ke sekolah namun bilik itu kosong tidak berpenghuni. Ke mana pula cicitnya pergi sedangkan sebelum ini bukan main susah lagi hendak membuka mata setiap kali hendak ke sekolah.
Seungmin yang sedang melakukan kerjanya di belakang rumah, menoleh apabila Ok Soon menghampirinya. "Kenapa Nek?" Soal Seungmin.
"Areum mana? Nenek tengok dalam bilik tak ada, dalam tandas pun sama. Takkan kamu dah hantar ke sekolah?" Ok Soon bertanya semula.
"Ouh, dia tidur rumah Lia semalam. Tadi Seungmin dah hantar dia sebab nak ke sekolah awal katanya," beritahu Seungmin sambil mencangkul tanah.
Ok Soon hairan sebaik saja mendapat tahu tentang itu. Tiada angin tiada ribut, Areum bermalam di rumah Lia? Wajah Seungmin diperhatikan lama. "Kamu ada marah dia ke semalam? Areum tak kan sesuka hati pergi rumah orang," kata Ok Soon.
Tidak mahu neneknya terus menunggu, Seungmin menceritakan hal sebenar yang menyebabkan Areum bermalam di rumah Lia. Ok Soon melabuhkan punggung di bangsal yang selalu dijadikan tempat membungkus ikan masin. Nampaknya, Areum mula menerima kehadiran Lia dengan hati terbuka hingga menganggap gadis bandar itu sebagai pengganti ibunya.
"Areum makin membesar Seungmin dan dia mesti teringin nak ada ibu yang boleh beri kasih sayang pada dia macam kawan-kawan yang lain. Nenek tak kata kamu abaikan dia tapi, kamu fikirlah sendiri. Kadang-kadang Nenek terpaksa tinggalkan dia sendirian di rumah kalau kamu bekerja di ladang tu. Bukan tak nak bawa, cuma Nenek dah tua jadi nenek risau sebab kedai tu dekat dengan jalan besar," nasihat Ok Soon kepada cucu lelakinya.
Dia bukanlah hendak memaksa Seungmin untuk segera mendirikan rumah tangga tetapi lebih kepada fikirkan masa depan. Umurnya juga tidak pasti sampai bila. Entah esok ataupun lusa, dirinya pergi meninggalkan dunia. Seungmin tidak pula bersuara mendengarkan itu malah meneruskan kerjanya.
"Pak Sooman ada cakap pada Nenek sebelum dia minta tolong baiki paip rumah dia tempoh hari. Dia ada niat nak jodohkan kamu dengan anak dara dia, Eunbi. Apa jawapan kamu?" Ok Soon membuka cerita tentang hal itu.
"Seungmin tak bersedia, Nenek. Seungmin tak nak lah bersetuju terus. Mana tahu Eunbi dah berpunya... Lagipun sekarang bukan macam zaman dulu, orang tua yang jodohkan. Jadi Seungmin tolak lah," jelasnya.
Ok Soon sekadar mengangguk malas. Siapa dia hendak menentukan hidup Seungmin. Jika itulah alasannya, Ok Soon tidak boleh membantah.
Cangkul disandarkan pada batang pokok setelah menyiapkan kerjanya. Seungmin mengambil tempat di sebelah Ok Soon. Dia ingin berehat sebentar sebelum pergi ke rumah hijau.
"Kamu gali apa tu? Dari tadi lagi Nenek tengok kamu mencangkul," tanya Ok Soon apabila melihat tiada sebarang perubahan walaupun Seungmin telah menyelesaikan kerjanya.
"Ada air bertakung, Seungmin kambus dengan tanah kalau tak nanti tanah mendap. Entah air datang dari mana. Nak kata hujan, hari elok je panas," ujar Seungmin.
"Kamu suka Lia? Nampak cara kamu layan dia, mesra bukan main." Sengaja Ok Soon membangkitkan soal itu. Tidak menjawab, Seungmin tertawa sendiri.
"Nek, Seungmin kenal Lia pun tak sampai sebulan. Seungmin selesa dengan Lia, itu saja," nafinya. Terlalu mesra kah layanannya kepada gadis itu? Ataupun dia yang terlalu selesa apabila bersamanya hingga neneknya salah menafsir.
Ok Soon tersenyum sinis. "Ya lah kalau itu yang kamu kata. Nenek nak pesan satu benda, kamu boleh tipu orang lain tapi kamu tak boleh tipu diri kamu sendiri. Jadi, Nenek nak kamu jujur dengan perasaan kamu tu. Dahlah, Nenek nak ke rumah Makcik Goonja kejap. Berjanji dengan dia nak berurut pagi ni." Seungmin membantu Ok Soon turun dari bangsal. Selipar disusun bagi memudahkan neneknya hendak menyarungkan pada kaki.
"Nak Seungmin hantar naik skuter? Cepat sikit sampai," seloroh Seungmin.
"Jangan nak mengada! Aku boleh lagi berjalan." Bersungguh Ok Soon menjawab walaupun Seungmin hanyalah bergurau. Jejaka itu hanya tergelak apabila neneknya siap membuat gaya penampar kerana tidak ingin membonceng skuternya.
"Hai, Lia," ramah Seungmin apabila melihat gadis itu sedang menjemur pakaiannya. Keadaan baju dan seluar yang disidai secara rawak membuatkan Seungmin menahan tawa.
Tidak tahu Seungmin sedang memerhatikan tingkah lakunya, Lia membalas dengan senyuman. "Hai! Nak ke rumah hijau ke tu?"
"Haah... Tak nak ikut?" Pelawa Seungmin. Selalunya gadis itu belum sempat dipelawa, dia dulu yang bertanya. Hari ini tidak pula.
"Tak boleh rasanya sebab saya dah janji dengan Areum nak teman dia buat kerja sekolah nanti. Ouh ya, lupa nak beritahu yang tengahari ni saya pergi jemput Areum balik sekolah. Awak tak kisah kan?" Beritahu Lia.
"Eh mestilah tak kisah. Boleh saya lama sikit buat kerja di ladang bunga. Apa-apa, awak call saya," pesan Seungmin.
"Okey..."
✾✾✾✾✾
Lia memerhati gelagat Areum yang sibuk menyiapkan tugasan sekolah yang diberikan guru. Melihat kepintaran Areum dalam menjawab soalan Matematik, Lia agak kagum kerana jarang kanak-kanak seperti Areum faham dalam bab membahagi nombor. Lia memuji dalam diam apabila kesemua jawapan yang ditulis Areum merupakan jawapan yang betul.
"Lia!" Dengar saja namanya diseru, Lia terus bangun untuk melihat gerangan yang memanggilnya.
"Eh, Nenek. Kenapa panggil?" Tanya Lia sambil tersengih. Sudah kenapa pula Ok Soon berkunjung ke rumahnya. Jika hendak meminta duit sewa, rasanya Jessica sudah selesaikan semuanya.
"Nak minta tolong kamu bersihkan halaman belakang tu. Daun gugur banyak semula sebab angin kuat. Ajak lah Areum sekali, dia sukalah buat kerja macam tu," ujar Ok Soon.
"Okey Nek... Kejap, nak suruh Areum kemas beg sekolah dia dulu," ujar Lia. Tidak menunggu lebih lama, Ok Soon pulang ke rumahnya semula.
Lia mula kepenatan apabila mencakar daun kering selama sepuluh minit tanpa henti. Halaman belakang yang sekali ganda lebih luas dari halaman depan membuatkan Lia hampir pengsan. Areum yang masih aktif mengumpulkan daun-daun kering dalam satu kumpulan, menggeleng kepalanya melihat Lia sudah tersandar pada tangga bangsal.
"Apa lah Makcik Cantik ni... Baru sapu sikit dah penat. Kalau Ayah kan, selagi belum siap kerja, selagi tu lah Ayah sapu halaman sampai bersih. Sorang-sorang pula tu," bebel Areum sama seperti neneknya.
"Alah, Areum ni... Jangan cakap macam tu. Makcik ni perempuan, Ayah tu lelaki... Tenaga lain-lain." Lia memberi alasan untuk melengahkan kerjanya.
Ok Soon yang baru keluar dari dapur bersama dulang air, tersenyum. Nampaknya sifat membebelnya sudah diwariskan kepada Areum. Mulut becoknya mengalahkan makcik-makcik bawang di kampung.
"Areum berhentilah dulu, minum air sirap ni bagi hilang dahaga." Dengar arahan neneknya, serta merta penyapu dilepaskan lalu berlari menuju ke bangsal.
"Eleh, dia pun sama," ujar Lia sambil mulutnya mencebik. Kemudian Areum menjelirkan lidahnya ke arah Lia.
"Areum, Ayah tak ajar anak ayah buat macam tu dekat orang dewasa." Teguran Seungmin yang baru pulang membuatkan Lia tersenyum menang. Padan muka!
Areum menarik muncung. "Ya lah, Areum minta maaf," ucapnya dengan nada terpaksa.
Lia menuang air ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Seungmin yang baru saja melabuhkan punggungnya. Ok Soon yang berada di antara pasangan itu mula tersenyum sendiri. Dari kelakuan saja, dia sudah dapat membaca yang Lia menyimpan perasaan pada Seungmin cuma cucunya saja yang belum menyedari akan hal itu. Satu idea mula terlintas di benak fikirannya.
"Tadi Lia ada beritahu Nenek yang dia nak belajar masak kari ayam kampung, lauk kegemaran kamu, Seungmin." Ok Soon memulakan strateginya.
"Wah! Seriuslah?" Soal Seungmin dengan nada tidak percaya.
Gelas yang berada pada tangan Lia ketika itu hampir saja terjatuh ke tanah kerana terkejut. Sejak bila, waktu dan keadaannya dia berkata begitu kepada Nenek? Memasak? Bukan kata terlintas bahkan datang menjenguk pun tidak pernah di ruang fikirannya. Wajah Seungmin yang sudah pun teruja membuatkan Lia gagal bersuara untuk mempertahankan dirinya yang difitnah Ok Soon. Dengan rasa berat hati, Lia mengangguk seraya tersengih.
"Mampus aku," gumamnya.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro