Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦4

Melihat Ok Soon mengangkat tinggi senduk nasi, Lia dengan pantas menyembunyikan kepalanya di bawah meja. Lia menoleh apabila mendengar suara tawa Areum lalu tersengih sumbing. Dia menyangka Ok Soon ingin menyerang kepalanya sebaliknya wanita tua itu menyendukkan nasi untuk cucunya. Kain meja yang ditarik sebentar tadi, dikemaskan semula.

"Tambah nasi Seungmin... Sudahlah suap orangnya," tegur Ok Soon. Kalau ikutkan hatinya, memang ingin diluku saja kepala gadis itu namun disebabkan mereka sedang makan, Ok Soon menyimpan saja niatnya untuk digunakan kemudian hari.

Mulut Lia muncung sedepa. Jejaka itu belum menyuapkan nasi lagi tetapi Ok Soon sudah memerli. Isi ayam dicubit kecil tetapi hanya kulit saja yang tertanggal. Seungmin yang memerhati tingkah laku Lia tertawa dalam diam. Teguran neneknya itu bukanlah kerana dia benci tetapi lebih kepada menyampah. Maklumlah orang tua mana saja yang bertahan bila berhadapan dengan gadis bandar seperti Lia.

"Buka mulut awak..." Arahan Seungmin membuatkan Lia cair. Sebegitu sekali kah jejaka itu mengambil berat terhadapnya? Terpancar keikhlasan pada riak wajah Seungmin sewaktu menyuakan nasi untuknya. Dengan senang hati, Lia membuka mulutnya.

Areum yang menjadi saksi di tengah-tengah pasangan itu tersenyum gembira manakala Ok Soon hanya mampu menggeleng perlahan. Lebih baik dia menghabiskan makanannya dengan cepat sebelum kepala gadis itu benar-benar menjadi tempat senduk nasi mendarat.

"Wah, sedapnya Nenek masak... Lia tak pernah makan lauk macam ni masa di Gangnam." Lia memuji seraya mengunyah makanan.

"Memanglah, nama pun kari ayam kampung... Tak kan lah ada di bandar pula kan? Setakat chicken chop, apa barang. Aku boleh buat lagi sedap dari tu," bidas Ok Soon. Lia tergelak mendengarkan itu. Tidak sangka nenek Seungmin pandai bercanda.

"Areum, nak tambah lauk lagi?" Seungmin bertanya bila melihat pinggan anaknya sudah kehabisan lauk. Mulut yang comot, dilap menggunakan tisu yang disediakan di atas meja makan. Lia memegang dadanya kerana tersentuh dengan keprihatinan Seungmin. Kalau beginilah sikapnya, tidak kisahlah duda sekalipun, akan dia dapatkan juga jejaka itu.

Nasi di dalam pinggan yang masih belum terusik dari tadi diambil dalam kadar sejemput sebelum dimakan. Matanya pula sedikit pun tidak beralih ke mana-mana selain memandang ke arah Seungmin.

✾✾✾✾✾

Bunyi kokokan ayam peliharaan Ok Soon menandakan matahari sudah memunculkan diri di ufuk timur. Seungmin yang bangun lebih awal, mengemas alat tulis Areum yang sedikit berselerakan di atas meja. Anak perempuannya masih lagi lena memandangkan hari itu merupakan hari cutinya. Dia mencari kelibat neneknya sebelum menuju ke pintu belakang sebaik terdengar suara batuk dari arah situ.

"Nek, Seungmin pergi ke ladang bunga kejap ni. Tengahari nanti Seungmin balik makan," beritahunya. Ok Soon yang ketika itu sedang membungkus ikan masin ke dalam plastik, mengangguk. Baru saja Seungmin ingin melangkah, Ok Soon memanggil semula apabila teringatkan sesuatu.

"Pak Sooman suruh Nenek beritahu kamu semalam. Dia nak minta tolong kamu baiki paip bocor dekat belakang rumah dia. Sebelum balik makan, kamu pergilah ya? Kesian pula orang tua tu menunggu nanti," ujar Ok Soon.

"Baik, Nek." Pendek saja jawapan jejaka itu lalu menuju ke pintu hadapan oleh kerana kasutnya berada di situ.

Senyuman diukirkan apabila ternampak Lia sudah terpacak di depan pintu rumahnya. Entah apa yang dilakukan gadis itu namun dibiarkan saja.

"Selamat pagi, Seungmin... Nak ke mana pagi-pagi ni?" Ramah Lia sebelum menuju ke arah Seungmin yang sedang memakai kasut.

"Saya nak ke rumah hijau, tengok bunga. Awal bangun?" Seungmin membalas sapaan Lia. Sedikit pun dia tidak rasa terganggu dengan kehadiran Lia di situ.

"Itulah... Saya tak biasa tidur beralaskan sleeping bag. Baru nak ambil angin, nampak awak keluar... Itu yang saya tegur. Hehe," Lia menyisir rambutnya menggunakan jari.

"Hahaha... Tak apa, saya faham. Nanti lama-lama awak biasalah kan? Okeylah, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu." Seungmin bangun dari tangga selepas selesai mengikat tali kasutnya.

Lia baru saja ingin bersuara namun deringan telefon bimbit membatalkan niatnya. Nama Jessica yang tertera pada skrin membuatkan Lia mendengus geram yang mana kelakuan itu hanya mampu ditunjukkan semasa ketiadaan kakaknya.

"Ya, kenapa Kakak?" Mendatar saja suaranya menjawab panggilan kerana melihat Seungmin sudah pun meninggalkan halaman rumah. Mata digulingkan ke atas apabila Jessica bertanya soal persetujuan kontrak dengan pemilik ladang kamomil.

"Kak, Lia baru jejak kaki dekat kampung dua hari lepas. Apa Kakak expect senang ke nak dapatkan persetujuan tu? Lia bukan kena pujuk je, kena yakinkan owner ladang bunga sekali... tahu tak?" Bebel Lia. Sekurang-kurangnya berilah dia masa untuk menyesuaikan diri di situ. Hati budi Seungmin pun belum digali lebih dalam.

Batu kecil ditendang ke tepi sementara telinga menadah apa yang dikatakan Jessica di corong telefon. Selepas hampir seminit, panggilan ditamatkan. Lia mengeluh perlahan kerana tidak tahu mahu melakukan aktiviti apa. Baru saja dia ingin menegur Ok Soon yang bersendirian di bangsal belakang namun dia berpatah semula apabila melihat wanita tua itu sedang menguruskan ikan masin. Tidak mahu menjadi mangsa, Lia membuat keputusan untuk pulang saja ke rumahnya.

Fail yang berisi kontrak dipandang kosong sebelum Lia tersenyum penuh makna. Ya, dia akan menggunakan kertas itu sebagai alasannya berkunjung ke rumah hijau Seungmin. Beg yang berisi set penjagaan wajah dibuka. Krim bb dipicit sebenar saiz kacang pis pada hujung jari sebelum disapu rata ke kulit muka. Pelembap bibir berwarna juga dioles pada bibir mungilnya lalu kedua bibir dirapatkan untuk membuatkan warnanya sekata. Sekarang dia sudah bersedia untuk melawat Seungmin di tempat kerjanya.

Seungmin menarik nafas terkejut sebaik saja dia keluar dari bilik pengeringan bunga. Rasanya belum sempat lima minit dia berada di ruang itu apabila melihat Lia sedang menunggu di meja kecil yang diletakkan berhampiran pintu masuk.

"Awak buat apa dekat sini?" Soal Seungmin sebaik saja Lia menoleh ke arahnya. Dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman, Lia mengorak selangkah.

"Tadi, Kakak saya call tanya pasal kontrak... Sebab itu saya datang ke sini. Awak jangan salah faham pula sebab saya tak ada niat pun nak paksa soal ni. Kalau tak keberatan, awak baca sikit-sikit pun tak apa... Nah." Lia menghulurkan fail kepada Seungmin.

Demi menjaga hati gadis itu, Seungmin mengambil fail tadi. Helaian kertas yang dianggar ada lima belas helai, dilihat sekali imbas seraya memandang ke arah Lia. "Kalau saya kata, tak berminat... Apa jawapan awak?" Soal Seungmin.

"Jawapan saya, awak kena baca sampai berminat lah. Saya yakin awak baca muka surat pertama saja, awak akan suka. Trust me," ujar Lia dengan bersungguh. Seungmin mengemam mulutnya lalu mengangguk perlahan. Semangat yang ada pada Lia membuatnya sedikit kagum. Fail tadi kemudiannya diletakkan di atas meja.

"Kalau macam tu, saya akan cuba baca tapi tak janji lah bila masanya," kata Seungmin. Lia tidak membantah sebaliknya bersetuju. Lagi lambat, lagi lamalah dia menetap di situ, seperti yang diinginkannya.

Tanaman bunga berkelopak putih di situ menarik perhatian Lia. Sebelum ini dia hanya melihat sekilas lalu tanpa menghampirinya. Bau manis yang datang dari bunga membuatkan Lia mengukirkan senyuman.

"Tak sangka pula bau dia macam ni. Nampak macam bunga daisi pun ada kan?" Tanya Lia seraya tangannya memegang tangkai bunga kamomil yang tingginya separuh dari badan Lia.

Seungmin mengangguk tanda mengiyakan. "Bunga kamomil boleh dikatakan sejenis dari bunga daisi. Beza dia cuma daisi tak boleh dimanfaatkan, sekadar perhiasan laman rumah. Kamomil pula banyak khasiat dia," jelas Seungmin lebih kurang. Kalau ingin diceritakan selok beloknya, mahu mengambil masa yang lama.

"Awak jaga ladang bunga ni seorang diri? Tak ada upah pembantu ke?" Soal Lia lagi. Melihat keluasan tempat itu, sedikit sukar jika hanya diuruskan Seungmin seorang diri.

"Saya lebih selesa bekerja sendiri. Kadang-kadang Changbin datang juga melawat memandangkan bunga kamomil di sinilah yang dia gunakan untuk teh di kafe. Pernah dia offer nak upah pekerja, tapi saya tolak. Lagipun, bunga ni bukan jenis yang perlu diperhatikan selalu," terang Seungmin.

Seungmin memandang ralit ke arah Lia. Personaliti gadis itu sedikit sebanyak membuatkan dia ingin mengenalinya secara lebih dekat. "Jadi, memang tujuan awak ke kampung ni semata-mata untuk dapatkan kontrak dengan ladang kamomil saya?"

Mendengar soalan Seungmin, Lia menoleh sebelum mengangguk. "Tapi saya tak sangka pula awak pemiliknya. Ya lah, sebelum ni kan kita pernah terserempak. Lepas dari tu, saya tak boleh lupakan awak. Orang kata first impression... Ha begitu."

"Ya ke? Entah-entah awak sengaja datang ke sini sebab dapat tahu saya bekerja di kampung ni. Kan?" Seungmin mengusik lantas tertawa melihat gelengan Lia. Gadis itu begitu polos hingga kadangkala dia teringatkan Areum setiap kali berbual dengan Lia.

"Mana ada! Kakak saya yang paksa padahal boleh je dia hantar pekerja lain. Katanya sebab saya tak pernah bekerja dari bawah. Mula-mula, saya rasa tak puas hati tapi bila terjumpa awak, saya fikir ni mungkin takdir kita berdua bukan? Hahahaha!" Suara tawa Lia memeranjatkan Seungmin sebelum dia turut tergelak sama.

"Kenapa awak perlukan masa untuk sign kontrak? Beauté bukan company biasa-biasa tau... Setiap kali kita orang tawarkan kerjasama dengan mana-mana pihak, mereka akan bersetuju. Itu yang saya pelik bila awak tolak kontrak ni." Lia inginkan jawapan dari Seungmin.

"Saya tak pernah dengar pun nama produk ataupun company Beauté. Mungkin produk tu terkenal di kawasan bandar saja," jujur Seungmin. Kali pertama dia mendengar nama itu ialah ketika Changbin memujuknya tempoh hari. Sebelum itu, sekali pun dia tidak pernah tahu.

Lia menutup mulutnya dengan penuh dramatik. Wujud lagi manusia yang tidak mengetahui nama syarikatnya yang terkemuka. Seungmin ialah lelaki satu dalam sejuta!

"Seriuslah? I can't believe it! " Ujar Lia separuh menjerit.

"Lagi satu, saya bukan perempuan untuk ambil tahu pasal produk kecantikan," kata Seungmin lagi.

Seungmin membelakangkan badan apabila Lia mendekatkan wajahnya. Mata gadis itu membesar seolah meneropong sesuatu. "Awak jujur ke yang awak tak pakai skincare? Soal Lia dengan nada tidak puas hati. Seungmin mengerutkan keningnya sebelum mengangguk perlahan.

"Mana adil macam tu! Kenapa kulit awak yang tak diberikan rawatan khusus, lebih halus dari kulit saya?? Awak ada tips untuk dapat kulit sihat macam awak??" Soalan Lia membuatkan Seungmin ketawa di situ juga.

"Kadang-kadang saya terhibur dengan awak, Lia. Soalan awak kalah soalan budak tadika tau tak? Janganlah cakap macam tu, awak dah cukup cantik bagi saya," puji Seungmin.

Jantung lia seakan berhenti berdegup mendengarkan pujian yang keluar dari mulut Seungmin sendiri. Perasaan sukanya pada Seungmin makin menggunung. Tidak sampai seminggu dia berkenalan dengan jejaka itu, dirinya sudah tidak keruan. Kalau sebulan, tidak mustahil kalau dia diserang sakit jantung akibat ayat manis Seungmin.

"Aduh, mata saya! Awak, tolong tengokkan!" Lia menutup mata kanannya.

"Kenapa? Masuk habuk ke?" Soal Seungmin sambil meniup perlahan mata Lia.

"Mata saya sakit disebabkan ketampanan awak, Seungmin," gumam Lia lalu tertawa nakal. Menyedari dirinya dipermainkan gadis itu, Seungmin menapak beberapa langkah ke belakang. Sangkanya, mata gadis itu dimasuki habuk sebaliknya dia dikenakan secara sengaja.

"Okey lah Lia... Saya nak singgah rumah orang sekejap. Awak baliklah dulu. Nanti tengahari kita makan sama-sama." Seungmin meminta diri sebaik saja teringatkan pesan Ok Soon pagi tadi.

"Saya jalan kaki? Tak nak tumpangkan saya?" Tanya Lia tanpa segan silu.

"Hmm, awak balik sendiri lah sebab saya tak pasti pukul berapa boleh balik. Nanti awak bosan pula terpaksa menunggu. Lain kali, ya?" Seungmin memujuk Lia. Gadis itu hanya mengangguk akur kerana dia juga tidak sanggup berlama-lama di rumah orang yang tidak dikenali.

"Makcik Cantik!" Areum menjerit keriangan apabila Lia memasuki halaman rumahnya. Kertas lukisan ditinggalkan sebentar sebelum menyarungkan selipar yang tersusun di atas tangga.

"Wow, ada panggilan baru?" Tanya Lia. Rasanya baru semalam kanak-kanak itu menggelarnya hanya dengan panggilan makcik. Areum tersengih lalu menarik tangan Lia menuju ke beranda.

"Sebab Makcik Cantik bagi Areum snek semalam," beritahu Areum. Lia mencebik mendengarkan alasan yang diberikan. Semua budak di dunia ini sama saja. Pantang diberi snek ataupun apa-apa ganjaran, barulah mereka tahu erti menghargai. Lia tersenyum sendiri kerana merasakan kehadirannya sudah diterima Areum. Itu salah satu petanda baik.

"Maksudnya, sebelum ni Makcik tak cantiklah? Macam tu?" Sengaja Lia berkata begitu.

"Bukan... Ayah pernah cakap dekat Areum. Kalau kita nak hargai seseorang, bukan berdasarkan rupa tapi berdasarkan kebaikan yang dia buat pada kita. Lepas tu, Ayah pun ada cakap... Ciptaan Tuhan semuanya sama rata, tak ada lebih tak ada kurang jadi, kita tak boleh bezakan sesama manusia... Macam tulah." Panjang lebar Areum berhujah.

Kepetahan Areum membuatkan Lia kagum. Bukan saja perwatakan Seungmin saja yang merendah diri, sikapnya itu turut dididik pada anak perempuannya. Rambut Areum diusap perlahan.

"Pandai betul bakal anak tiri Makcik ni... Belajar rajin-rajin, jadi anak yang berbakti pada Ayah tau?" Ujar Lia.

"Anak tiri tu apa? Areum tahu anak kandung je." Jari telunjuk diletakkan pada dagu sambil memikirkan maksud perkataan itu.

Lia terkedu sejenak setelah menyedari yang dia terlepas cakap. "Anak tiri tu macam Areum dengan Makcik sekarang ni lah. Duduk rumah sebelah menyebelah. Ha macam tu, faham?" Lia mereka jawapannya sendiri. Dia menarik nafas lega apabila Areum mengangguk tanpa banyak soal.

"Nenek mana?" Tanya Lia apabila kelibat wanita tua itu tidak kelihatan.

"Pergi hantar ikan masin dekat kedai depan. Kejap lagi baliklah tu," ujar Areum. Lukisan yang tergantung tadi, disambung semula.

"Areum tinggal seorang diri je? Tak bahaya ke?" Soal Lia kehairanan.

Areum menggeleng. "Tak bahaya pun. Selalunya Areum ikut nenek sekali tapi hari ni Nenek suruh tunggu dekat rumah je. Ayah pun nak balik kejap lagi. Makcik Cantik pun ada temankan Areum," katanya dengan senyuman manis.

✾✾✾✾✾

Seungmin melepaskan penat di bangku halaman rumah Pak Sooman. Besar juga bocor pada paip belakang rumah hingga terpaksa digantikan dengan paip yang baru.

"Terima kasih banyak-banyak, Seungmin sebab datang tolong. Pak Sooman pun tak tahu dah nak minta tolong siapa dalam kampung ni," ucap lelaki separuh usia itu.

"Tak ada apalah... Benda boleh tolong, Seungmin tolong tapi paip tu bukan bocor Pak Sooman. Pecah macam kena langgar sesuatu," beritahu Seungmin.

"Binatang apa lagi yang selalu buat masalah dekat kampung ni selain babi. Entah apa yang disondol batang paip tu, tak tahulah. Berapa kali dah jiran-jiran mengadu tapi nak buat macam mana, kan? Sabar je lah. Ladang bunga kamu tu pun kena jaga-jaga." Sempat Pak Sooman berpesan dalam leterannya.

Seungmin mengangguk faham. Tidak dapat dibayangkan jika binatang buas itu memusnahkan tanaman bunganya. Nasib baik ladang kamomil terletak di tanah yang lebih tinggi yang mana menyukarkan binatang itu untuk menghampiri.

Eunbi, anak tunggal Pak Sooman keluar bersama dulang air di tangan. Dengan penuh lemah lembut, gadis itu menuang air ke dalam cawan sebelum diberikan kepada ayahnya dan juga Seungmin. Selesai melakukan itu, Eunbi masuk semula ke dalam rumah.

Pak Sooman memandang Seungmin yang sedang menghirup air teh bagi menghilangkan dahaga. "Seungmin, kamu setuju tak kalau Pak Sooman jodohkan kamu dengan Eunbi?"

Kelakuan Seungmin terhenti sebaik mendengar soalan Pak Sooman. "Saya bukan tak setuju cuma belum bersedia. Maaflah Pak Sooman kalau terasa."

"Eh, nak terasa apanya... Sebab itu Pak Sooman tanya kamu. Bukan apa, Eunbi tu lah satu-satunya anak Pak Sooman. Jadi, Pak Sooman harap lah dia berkenalan dengan lelaki yang baik-baik," ujar lelaki separuh usia itu seraya menepuk bahu Seungmin.

✾✾✾✾✾

Ok Soon akhirnya pulang dari kedai. Melihat halaman rumah yang bersih dari daun-daun kering yang bertaburan, Ok Soon mengukirkan senyuman tanpa sedar. Kakinya melangkah menuju ke halaman belakang apabila terdengar suara orang berbual.

"Lia dengan Areum? Kamu berdua ke yang buat semua ni?" Tanya Ok Soon dengan nada tidak percaya.

"Ya Nek... Kita orang bosan tadi tak tahu nak buat apa. Areum yang ajak Lia sapu halaman rumah sebenarnya." Lia menjawab soalan Ok Soon.

"Tapi Makcik Cantik tak pandai pegang penyapu Nek Yang... Penat Areum ajar," adu gadis kecil itu pula. Lia mencuit bahu Areum lantas dia menutup mulutnya. Terlupa pula yang mereka berdua sudah membuat perjanjian untuk merahsiakan hal itu.

Ok Soon tertawa kecil. "Tak pelik lah kalau dia tak pandai pegang penyapu. Sudahlah tu... Hari panas ni, hangus kulit nanti. Kalau nak sambung, petang ni. Bolehlah bakar daun kering tu sekali," ujar Ok Soon. Lia dan Areum mengangguk faham. Penyapu dan penyodok sampah disandarkan pada dinding rumah sebelum mereka masuk melalui pintu dapur.

Areum mengajak Lia masuk ke dalam bilik tidurnya. Setiap buku sekolah dikeluarkan dari beg lalu ditunjukkan kepada Lia. Markah cemerlang yang diperolehi Areum di setiap latihan, dipuji Lia yang mana membuatkan Areum tersenyum bangga. Tidak cukup dengan itu, Areum turut bercerita tentang hari persekolahannya kepada Lia. Kawan rapat, budak lelaki yang suka mengacau hinggalah ke guru kesayangannya. Sedikit pun tidak tertinggal.

Ok Soon yang menyaksikan itu, tiba-tiba berasa sedih. Sikap Areum yang gemar bercerita itu bukanlah perkara asing tetapi apabila melihat Areum gembira berada di samping Lia, menyebabkan dirinya dihuni rasa sebak. Airmata mula mengalir perlahan lantas segera diseka dengan hujung lengan baju. Gadis kecil itu masih belum puas merasa kasih sayang daripada seorang ibu apabila ditinggalkan semasa berusia tiga tahun, di mana dia masih belum mengerti apa-apa. Pemergian cucu menantunya merupakan sebuah kehilangan yang tidak mungkin akan kembali lagi.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro