❦35
Lia berlari kecil ke arah Changbin yang ketika itu sedang melakukan hal sendiri di tepi keretanya. Sebelum ke situ, dia ada menelefon Changbin untuk bertanya di mana mereka berdua lalu terus ke pantai.
"Mana Seungmin?" Soal Lia dalam keadaan termengah-mengah akibat berlari tadi.
"Dekat sana... Saya ingatkan awak tak balik sini sebab dah lewat. Pergilah kejar dia," beritahu Changbin seraya menunjuk ke arah Seungmin yang berjalan tidak jauh dari mereka.
Lia mengangguk perlahan lalu terus membuka langkah, menuju ke arah Seungmin. Pasti jejaka itu sudah menunggunya oleh kerana dia ada berjanji untuk datang semula pada hari itu. Lia perhatikan langkah Seungmin dari belakang sebelum perlahan-lahan mencapai tangan jejaka itu.
"Maaf, saya buat awak tunggu. Rindukan saya?" Tanya Lia bersama senyuman meskipun tidak dapat disaksikan Seungmin. Tangan mereka yang saling bergandingan, dihayun perlahan, sama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Seungmin tergamam dengan tindakan spontan Lia lantas memberhentikan langkah. Sama seperti yang diharapkannya, kini mereka berdua saling berhadapan antara satu sama lain. Tidak menunggu lama, Seungmin menarik Lia ke dalam dakapannya dan dalam pada masa yang sama, dia tidak mahu melepaskan gadis itu.
"Terima kasih sebab tunaikan janji awak... Tolong jangan tinggalkan saya lagi," rayu Seungmin sepenuh hatinya dan Lia mengangguk.
"I'm still here always... By your side, Kim Seungmin," balas Lia.
Mereka berdua meleraikan pelukan. Lia memandang lama wajah Seungmin sebelum menunduk memandang pasir pantai. Hatinya terasa begitu bahagia kerana masih dapat bersama Seungmin lagi selepas apa yang berlaku di antara mereka berdua. Memori pahit itu akhirnya digantikan dengan sesuatu yang lebih manis. Tanpa disedari, cecair jernih mula mengalir perlahan di pipinya.
"Kenapa awak menangis? Jangan comotkan muka awak dengan airmata lagi..," ujar Seungmin yang menyedari hal itu lantas mengesat airmata Lia dengan kedua ibu jarinya.
"Saya cuma tak sangka yang kita akan luangkan masa sama-sama lagi dan perkara ni buatkan saya happy sangat-sangat," jelas Lia sebab dia menitiskan airmata.
Seungmin tersenyum kecil. Mereka berdua meneruskan langkah sambil berpegangan tangan. Untuk seketika, suasana terasa sunyi tanpa suara. Hanya bunyi ombak dan burung-burung yang berkicauan saja yang menjadi muzik latar belakang. Angin petang yang tidak terlalu kuat, seakan menyambut kehadiran mereka berdua di pantai itu.
"Kenapa awak masih berkeras dengan perasaan awak walaupun dah tahu kekurangan saya?" Tanya Seungmin, memecahkan suasana sepi antara mereka.
"Sebab saya percaya yang cinta tu datang dari hati ke hati... Itulah apa yang saya rasakan setiap kali berada di samping awak. Setiap orang ada kekurangan masing-masing dan tiada seorang pun sempurna, Seungmin," jawab Lia seraya menoleh ke arah Seungmin yang berdiri di sebelahnya.
"Perasaan ni dah datang sejak awal lagi dan tak akan hilang sampai bila-bila. Setiap kali saya pandang awak, ada dengan awak... Setiap kali itu jugalah rasa sayang saya pada awak makin bertambah termasuklah sekarang ni... Tiada apa pun yang berubah," sambung Lia lagi bagi meyakinkan Seungmin yang kekurangannya bukanlah halangan untuk dia terus menyayangi dirinya.
"Terima kasih, Lia... Sebab sudi terima saya dalam hidup awak walaupun dengan keadaan saya sekarang, akan lebih bebankan diri awak. Saya tak nak susahkan awak tapi dalam masa yang sama... Saya juga tak nak kehilangan awak. Cukuplah dengan apa yang berlaku antara kita sebelum ni. Saya tak nak perkara yang sama berulang untuk kali kedua," luah Seungmin panjang lebar. Segala yang terbuku di dadanya, dilepaskan pada waktu itu juga.
"Saya tahu mungkin benda ni macam saya pentingkan diri sendiri tapi... Boleh awak janji untuk terus ada di sisi saya walau apa yang terjadi sekalipun?" Tanya Seungmin, inginkan jawapan yang akan membuang segala perasaan ragu-ragu yang hadir dalam hatinya.
Lia tersenyum gembira saat mendengarkan soalan Seungmin. Dia faham perasaan jejaka itu. Perasaan takut akan kehilangan orang yang disayangi, sama seperti apa yang pernah dirasakannya sendiri dan hanya ada satu sahaja jawapan untuk soalan itu.
"Sekadar dengan sebuah janji yang belum tentu akan ditunaikan, itu semua tak cukup untuk yakinkan awak," ujar Lia sebelum menarik nafas panjang.
"Saya nak hidup dengan awak sampai ajal yang memisahkan kita berdua... Saya nak kahwin dengan awak, Seungmin." Lia mengatakan perkara yang pernah menjadi salah satu impiannya iaitu bergelar seorang isteri buat lelaki yang dicintai sepenuh hatinya.
Seungmin tergamam saat Lia berkata demikian. Sekalipun dia tidak pernah terfikir yang Lia akan melamar dirinya untuk menjadi peneman hidup gadis itu. Untuk seketika, lidahnya terasa kelu untuk menuturkan kata.
"Saya... Tak tahu nak cakap apa. Semuanya berlalu begitu pantas. Perkara ni bukan boleh dipandang remeh... Berikan saya masa sehari untuk fikirkan hal ni sebelum saya beritahu awak jawapan saya," ujar Seungmin meskipun dirinya juga menginginkan hal yang sama dengan Lia.
"Okey... Saya nak jawapan tu esok petang, boleh?" Balas Lia, sedikit pun tidak marah dengan jawapan yang diberikan Seungmin. Dia tahu dirinya terlalu spontan dalam mengatakan hal itu namun dia hanya mengikut gerak hatinya. Seungmin mengangguk perlahan seraya tersenyum.
"Seungmin!" Suara lantang Changbin membuatkan pasangan itu menoleh serentak. Lia tertawa perlahan apabila melihat Changbin berlari ke arah mereka berdua.
"Dah lebih dari lima belas minit. Jomlah kita balik, lagipun hari dah gelap ni," beritahu Changbin yang masih lagi termengah-mengah, mengambil nafas.
"Awak tak balik sekali?" Tanya Seungmin kepada Lia, mengharapkan gadis itu akan bermalam di kampung.
"Erm... Mungkin saya akan balik Gangnam dan akan datang ke sini semula sampailah awak sedia nak beri jawapan awak. Lagipun, kerja di Gangnam masih banyak, tak sempat kalau nak settle dalam masa sehari dan saya tak boleh lari macam tu je. Esok petang lepas kerja, saya terus bertolak ke sini semula untuk tahu jawapan awak," ujar Lia. Sengaja dia berkata begitu kerana ingin melihat reaksi Seungmin dan jelas kelihatan jejaka itu sedang sedih.
Changbin yang menjadi orang tengah, ternganga kerana tidak faham apa yang sedang dibualkan Lia ketika ini. Jawapan? Soalan apa yang diberikan Lia sehingga Seungmin perlu mengambil masa untuk menjawabnya.
"Baiklah... Saya janji akan jawab soalan awak secepat mungkin," balas Seungmin semula dan dalam masa yang sama, enggan melepaskan pegangan tangan mereka.
"Okey... Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Jaga diri." Lia meminta diri. Tangan Seungmin yang masih dalam pegangannya, diletakkan pada wajahnya. "Saya akan datang semula untuk tuntut jawapan awak, Seungmin," ujar Lia bagi meyakinkan jejaka itu.
Changbin yang menjadi orang ketika mengalihkan pandangan ke arah lain. Waktu inilah pasangan itu hendak menunjuk sisi romantik mereka. Tidak tahan menyaksikan adegan itu, Changbin berdaham perlahan. "Ha yalah... Kita orang pun nak balik ni. Hati-hati memandu..." Changbin mencelah kerana tidak sanggup membiarkan dirinya terseksa melihat kemesraan itu.
"Eleh, cemburu lah tu. Bye, Seungmin... Jangan lupa rindukan saya," ujar Lia sebelum bayangnya semakin menjauh.
Changbin membuat muka lalu menoleh ke arah Seungmin yang masih tersenyum sendiri. Tangannya juga tidak berhenti melambai perlahan. "Sudahlah melambai tu... Lia dah masuk kereta pun," beritahu Changbin.
"Lia tanya apa dekat kau? Aku nak tahu..," rengek Changbin apabila teringatkan hal itu.
"Adalah... Kau tak perlu tahu pun," balas Seungmin sebelum mengorak langkah, meninggalkan Changbin di belakangnya.
✾✾✾✾✾
Lia yang baru melangkah masuk, memandang Jessica yang sedang melakukan halnya sendiri di ruang tamu sebelum menunduk hormat. Tidak menegur kakaknya, Lia terus melangkah anak tangga yang menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas.
Pintu bilik ditutup perlahan lalu Lia terus merebahkan dirinya ke atas katil lantas membenamkan wajahnya di bantal. Dia bersorak girang manakala kakinya menendang angin. Puas melepaskan perasaan gembiranya, Lia baring dalam keadaan terlentang, memandang siling tinggi biliknya dengan senyuman yang masih meleret.
Tidak sangka yang dia akan melamar Seungmin untuk mengahwininya. Jujur dia katakan, dirinya sendiri terkejut kerana dapat melakukan demikian, di mana tidak semua perempuan berani membuat perkara yang sama sepertinya. Wajah keliru Seungmin sewaktu di pantai masih terbayang di fikirannya. Lia tertawa perlahan kerana geli hati. Pasti Seungmin sendiri terkesima dengan lamaran spontannya.
Lia mengubah posisi baringnya kepada duduk lalu terpandang ke arah fail kontrak yang sudah ditandatangani Seungmin. Gadis itu mula tertanya-tanya bilakah masa yang sesuai untuk serahkan fail itu kepada Jessica memandangkan kakaknya sudah meminta maaf kepada Seungmin, sepertimana yang dipinta.
Jessica berpaling ke arah Lia yang sedang menuruni anak tangga. Segaris senyuman diberikan sebelum meneruskan kerjanya di meja kopi ruang tamu.
"Kenapa? Ada apa yang Lia nak bincangkan?" Tanya Jessica yang membuatkan Lia tergamam. Nada suara Jessica kali ini kedengaran lebih mesra, tidak tegas seperti sebelum ini.
"Erm, memang ada tapi bukan dekat sini. Esok Lia akan beritahu Kakak di company, boleh?" Ujar Lia sambil menantikan Jessica membuka suara.
"Sure..," jawab Jessica tanpa menoleh ke arah Lia.
"Kakak..," panggil Lia sekali lagi.
"Hmm?"
"Lia minta maaf sebab tinggikan suara dekat Kakak... Lia tak berniat pun nak lukakan hati Kakak..," gumam Lia. Memang meluahkan perasaan itu tidak salah namun cara dia menyampaikannya itu tidak betul. Jessica juga seperti seorang ibu kerana telah membesarkannya selepas mereka berdua sama-sama kehilangan orang tua.
"It's okay, Lia... Apa yang Lia katakan pada Kakak tu tak ada yang salah. Kalau Lia tak buat macam tu, mungkin sampai bila-bila Kakak terus pentingkan diri sendiri. Kakak pun minta maaf dengan Lia sebab kurang beri perhatian pada Lia," luah Jessica.
Lia mengangguk perlahan. Akhirnya, hubungan mesra yang selalu diimpikannya, terjadi. Jessica di sebelahnya sekarang bukanlah Puan Jung yang dikenalinya di syarikat tetapi seorang kakak yang mengambil berat akan dirinya.
"Boleh Lia peluk Kakak?" Pinta Lia dan Jessica tidak menjawab sebaliknya terus mendakap Lia erat.
"Hope our relationship after this will be better ... I love you," ucap Jessica.
✾✾✾✾✾
Changbin menghidangkan mi goreng yang diberikan Eunbi petang tadi ke dalam pinggan. Sesekali dia melirik ke arah Seungmin yang kelihatan sedang termenung di meja makan. Entah apalah yang difikirkannya. Kerusi ditarik sebelum melabuhkan punggungnya di situ kemudian menarik tangan Seungmin, memberi jejaka itu garfu untuk menjamah mi goreng.
"Kenapa kau ni asyik termenung je... Nak kata sedih, tadi baru jumpa Lia. Nak kata gembira pun nampak macam tak. Jadi apa yang sebenarnya kau tengah fikir sekarang ni?" Soal Changbin yang hairan dengan tingkah laku Seungmin.
Seungmin menjamah mi goreng terlebih dulu sebelum menjawab soalan Changbin. Mungkin dia perlukan nasihat dari kawannya itu tentang lamaran Lia di pantai petang tadi.
"Sebenarnya aku tengah fikirkan jawapan untuk Lia esok," beritahu Seungmin.
"Dia tanya apa sampai kau kena tunggu esok nak jawab?" Tanya Changbin lagi. Mi goreng yang tersisa di pinggannya, terus dihabiskan dengan sekali suap.
"Lia ajak aku kahwin," ujar Seungmin yang mana hampir membuatkan Changbin tercekik garfu. Segelas air kosong terus diteguk beberapa kali.
"Weh, Seriuslah?? Lia yang ajak kau kahwin, bukan kau???" Soal Changbin yang ketika itu sudah bangun dari kerusinya kerana terlalu terkejut manakala Seungmin mengangguk, mengiyakan pertanyaannya.
"Habis, apa yang susah sangat kau nak jawab?? Terima je lah, jangan buang masa!" Ujar Changbin dengan nada suara yang agak lantang.
"Kau cakap senanglah, kau tak duduk dekat tempat aku..," kata Seungmin. Makanan yang masih belum habis, dibiarkan.
"Seungmin... Aku kadang-kadang geram dengan kau tapi kali ni aku terpaksa juga cakap macam ni... Jangan jadi bebal boleh tak? Kau ingat zaman sekarang ni, senang ke perempuan nak melamar lelaki? Jangan cakap kau ragu-ragu nak terima lamaran dia sebab keadaan kau sekarang." Changbin menghela nafas panjang sebaik saja Seungmin mengangguk.
"Wahai kawan yang aku sayangi... Terima je lah lamaran Lia tu... Takkan dekat situ kau tak nampak lagi usaha Lia nak buktikan cinta dia pada kau. Kalau betul lah perasaan dia berubah, sejak dia tahu pasal ni lagi dia boleh hilangkan diri dia... Tak payah habiskan minyak kereta nak datang kampung semata-mata nak jumpa kau. Apa benda lah kau ni, Seungmin. Sekarang jelas tak apa yang aku cakap ni?" Tanya Changbin inginkan kepastian. Kalau Seungmin berani menggelengkan kepala, dia tidak akan ragu-ragu untuk menamparnya supaya sedar.
Seungmin diam sejenak sebelum mengangguk. Apa yang dikatakan Changbin sama seperti yang difikirkannya sejak tadi lagi tetapi dia sendiri tidak tahu kenapa dirinya ragu-ragu dengan suara hatinya sendiri.
"Ha bagus... Tunggu apa lagi, call Lia... Beritahu yang kau setuju nak kahwin dengan dia," arah Changbin sebelum pergi ke ruang tamu. Tidak sampai seminit, dia kembali semula ke dapur dengan telefonnya.
"Sekarang ke?" Soal Seungmin.
"Benda boleh call buat apa kau nak tunggu dia datang esok. Kalau kau beritahu Lia malam ni, lagi mudah kerja dia. Lia boleh terus beritahu Jessica tentang ni... Benda mudah jangan disusahkan, Kim Seungmin," kata Changbin sebelum meletakkan telefonnya di atas meja makan, menunggu Lia menjawab panggilannya. Pembesar suara juga sudah dipasang.
"Hello? Kenapa, Changbin?"
Changbin mencuit lengan Seungmin, menyuruh jejaka itu menjawab soalan Lia sementara dia hanya berdiri di situ sebagai pemerhati.
"Lia... Ni saya, Seungmin. Awak dah makan?" Tanya Seungmin, membuatkan Changbin menepuk dahinya. Sekarang bukan masanya untuk bertanya khabar.
"Seungmin... Dah makan tadi. Kenapa? Awak rindukan saya, ea... Hahahaha!"
"Pasal lamaran awak petang tadi... Saya terima," beritahu Seungmin sementara Lia terus mendiamkan dirinya sebaik saja mendengarkan itu. Belum sempat Seungmin hendak menunggu Lia berkata sepatah, Changbin terlebih dulu mengambil telefonnya.
"Okey, itu saja sebenarnya Seungmin nak call awak... Apa-apa lagi yang nak dibincangkan, esok ya... Selamat malam." Changbin menamatkan panggilan seraya tersenyum bangga.
"Lia cakap dekat kau, goodnight. Sekarang dah settle... Mudah kan?" Ujar Changbin.
"Memanglah mudah, sekurang-kurangnya berilah aku cakap dengan Lia lama sikit," balas Seungmin tidak puas hati.
"Habislah kredit aku nanti cakap lama-lama... Dah, tunggu jelah esok." Changbin memberi alasan. Sebenarnya dia ingin menghubungi Eunbi pula oleh kerana sudah berjanji dengan gadis itu untuk berbual malam itu.
"Tsk, dasar tauke Boba kedekut," kutuk Seungmin lantas bangun dari kerusinya. Pinggan yang sudah kosong, dibawa ke sinki untuk dibasuh.
✾✾✾✾✾
Lia melangkah masuk ke dalam pejabat Jessica sebaik saja mendengar suara kakaknya dari dalam. Pagi itu, dia akan memberitahu semuanya pada Jessica tentang rancangannya untuk mengahwini Seungmin.
Jessica memandang sekilas ke arah Lia sebelum matanya tertumpu pada fail kertas pada tangan Lia. Rasanya dia belum memaklumkan kepada adiknya yang dia sudah meminta maaf kepada Seungmin. Mungkin jejaka itu yang memberitahu Lia sendiri.
"Ni fail kontrak, macam yang Lia janjikan pada Kakak." Lia menghulurkan fail kertas tadi sebelum kertas itu diambil Jessica. Baru saja hendak menyelak helaian pertama, satu sampul surat berwarna putih terkeluar lalu terjatuh ke lantai. Jessica mengambil semula sampul putih tadi sebelum riak wajahnya berubah lantas memandang ke arah Lia yang berdiri di hadapannya.
"Surat berhenti? Are you kidding me?" Soal Jessica, meminta penjelasan.
"Inilah apa yang Lia nak beritahu Kakak semalam. Lia nak berhenti bekerja di company... Selepas dua bulan menetap di kampung, Lia dah jumpa kebahagiaan Lia yang sebenarnya di sana. Lia nak kahwin dengan Seungmin." Gadis berambut panjang itu berterus terang tanpa berkias sedikit pun. Selepas mendapat jawapan daripada Seungmin malam tadi, membuatkan dirinya lebih yakin dengan keputusannya.
Jessica tercengang mendengarkan apa yang keluar dari mulut Lia. Kahwin? Pada usia muda begitu?
"Lia tahu, Kakak mesti terkejut sebab semua ni berlaku tiba-tiba tapi Lia dah fikir panjang tentang hal ni," sambung Lia lagi, cuba memahamkan Jessica akan kehendaknya.
"Kakak bukan nak halang Lia tapi, perkara ni bukan boleh dibuat main-main apatah lagi dengan usia Lia yang masih muda... Masih banyak perkara yang Lia perlu buat," ujar Jessica yang masih lagi tidak percaya.
"Mungkin Kakak tak tahu lagi tentang ni tapi... Selepas accident, Seungmin kehilangan penglihatan dia dan perkara tu buatkan Lia rasa yang Lia perlu sentiasa ada di samping dia. Lia betul-betul cintakan Seungmin dan nak teruskan hidup Lia dengan Seungmin... Tolong izinkan Lia kahwin dengan dia." Lia membongkokkan badannya, merayu supaya Jessica menerima keputusannya.
Jessica mengurut dahinya, memikirkan jawapan yang akan diberikan. Kertas kerja di atas meja pejabatnya, dipandang sekilas.
"Baiklah, Kakak setuju tapi dengan satu syarat. Lia perlu bawa Seungmin untuk majlis perasmian produk kecantikan Beauté yang terbaru hujung minggu ni. Pastikan korang berdua datang ke majlis tu nanti," ujar Jessica, sekaligus memberi keizinan kepada Lia.
"Lia janji! Terima kasih, Kakak!" Lia sudah tidak duduk diam kerana terlalu gembira.
"It's okay, as long as you're happy. Perkara baik tak perlu ditangguh lama," ujar Jessica dengan senyuman manis. Kemudian mereka berdua saling berpelukan, meraikan khabar gembira itu.
✾✾✾✾✾
Lia membetulkan tali leher yang dipakai Seungmin. Sut hitam yang tersarung pada badan Seungmin dirapikan untuk kali terakhir sebelum mereka berdua bertolak ke majlis perasmian di syarikat Beauté. Sudah seminggu dia menetap di kampung dan sepanjang itu juga, mereka berdua sama-sama membuat persiapan untuk perkahwinan mereka.
"Mana Changbin?" Tanya Seungmin kerana tidak mendengar suara kawannya itu.
"Dia pergi ke rumah Pak Sooman, ada kerja katanya," beritahu Lia sebelum Seungmin tertawa sendiri.
"Okey, dah siap! Jom kita pergi sekarang? Takut jalan sesak pula nanti," ajak Lia sementara Seungmin hanya mengangguk akur.
Selepas menerima beberapa ucapan dari orang berpangkat tinggi di syarikat, akhirnya tiba giliran Jessica untuk merasmikan pelancaran produk kecantikan terbaru. Seluruh isi dewan bergema dengan tepukan gemuruh para tetamu.
"Selamat pagi kepada semua yang hadir. Terima kasih sebab sudi memeriahkan lagi majlis ini. Saya, selaku pengasas syarikat Beauté, merasmikan keluaran produk kecantikan terbaru iaitu MJ Beauty. Wujudnya nama MJ ni untuk memberi penghormatan kepada Kim Minjee, pekerja yang telah menemukan formula kamomil yang digunakan untuk produk kali ini," ucap Jessica sebelum disambut dengan tepukan.
Seungmin tersenyum bangga kerana hajat Minjeong, akhirnya terlaksana. Meskipun gadis itu tidak lagi ada di sini namun dia yakin betapa gembiranya Minjeong saat ini. Lia menoleh ke arah Seungmin lalu mengukirkan senyuman.
Sebaik saja Jessica menghabiskan ucapannya, semua tetamu dijemput menjamu selera. Tidak membuang masa, Jessica terus menemui Lia dan Seungmin untuk memberitahu sesuatu kepada pasangan itu. Bahu adik perempuannya itu disentuh perlahan.
"Lia dengan Seungmin dah nak balik?" Tanya Jessica.
"Haah... Banyak kerja lagi nak buat dekat kampung. Kenapa, Kakak?" Lia bertanya semula.
Jessica menggeleng sebelum menghulurkan satu kad bisnes kepada Lia, membuatkan gadis itu mengerut dahi kerana hairan. Tulisan yang tertera pada kad itu dibaca. Butik busana pengantin.
"Ni hadiah daripada Kakak untuk korang berdua. Nanti seminggu sebelum majlis perkahwinan korang, datanglah ke butik kawan Kakak ni. Lepas dah buat pilihan, beritahu saja Kakak, okey?" Ujar Jessica.
"Terima kasih, Kakak," ucap Lia.
"Terima kasih juga, Jessica..." Seungmin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan itu kepada bakal kakak iparnya.
"Sama-sama... Hati-hati memandu," pesan Jessica.
Areum berlari ke arah Seungmin dengan wajah yang ceria. Betapa gembiranya selepas dia mendapat tahu yang ayahnya akan berkahwin dengan makcik kesayangannya.
Tentang penglihatan Seungmin, Areum sudah dimaklumkan hal itu beberapa hari yang lepas melalui panggilan telefon. Pada mulanya dia berasa sedih kerana ayahnya tidak lagi dapat melihat namun selepas Seungmin memberitahunya tentang perkahwinan, Areum kembali ceria dan tidak lagi bersedih kerana ayahnya tidak lagi akan bersendirian.
"Ayah! Areum rindukan Ayah!" Jerit Areum saat berlari lantas memeluk Seungmin.
"Ayah pun rindukan Areum," balas Seungmin lembut. Rambut anak perempuannya diusap perlahan. Areum kemudiannya memandang lama kedua anak mata Seungmin.
"Ayah dah tak nampak muka Areum lagi?" Soal gadis kecil itu polos.
Seungmin tertawa perlahan sebelum mengangguk. "Jangan risau, Ayah tak akan lupakan muka cantik anak Ayah ni sampai bila-bila," pujuk Seungmin.
"Kalau Areum dah besar, macam mana Ayah nak tahu muka Areum?" Soalnya lagi yang membuatkan Seungmin tertawa lebih kuat.
"Ayah akan buat macam ni." Seungmin memegang lembut wajah anaknya. Kening, mata, hidung dan juga mulut Areum disentuh satu persatu. "Dengan cara macam ni, Ayah dapat tahu muka Areum macam mana," ujar Seungmin bagi meyakinkan gadis kecil itu.
"Amboi! Rindu Ayah je? Makcik tak rindu??" Lia sudah mencekak pinggang apabila dirinya yang turut ada di situ, diabaikan Areum.
"Makcik Cantik! Areum pun rindukan Makcik Cantik!" Kini Areum berlari ke arah Lia pula. Seungmin yang mendengarkan semua itu tersenyum gembira. Kekosongan dalam hidupnya kini terasa kembali bermakna dengan kehadiran dua gadis yang telah menceriakan harinya.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro