❦33
Areum tersenyum sendiri saat menjumpai buku lukisannya yang disimpan di dalam laci meja belajarnya. Betapa dia merindukan buku itu kerana tidak dibawa bersama. Pensil warna dikeluarkan dari beg galasnya lalu mula melukis.
Bayang Seungmin dicari di ruang tamu sebelum melangkah menuju ke ayahnya bersama buku lukisan pada tangannya. Sudah lama dia tidak menunjukkan hasil lukisan pada ayahnya kerana berpindah ke rumah Daniel.
Tempat kosong di sebelah Seungmin dijadikan tempat duduknya. Helaian muka surat diselak untuk menunjukkan lukisan barunya yang dilukis di bahagian belakang.
"Kenapa tangan Ayah berbalut?" Tanya Areum yang baru saja menyedari hal itu.
"Ayah terjatuh motor," bohong Seungmin dan lega kerana Areum tidak banyak tanya tentang itu.
"Ayah, tengok ni... Areum lukis. Cantik tak?" Tanya Areum seraya mengangkat buku itu sedikit tinggi.
"Mestilah cantik... Bila je Areum lukis tak cantik," puji Seungmin lalu tersenyum meskipun dia tidak dapat melihat apa-apa walau benda itu berada di depan matanya sekalipun. Kemudian Seungmin menoleh ke arah anaknya yang berada di sebelahnya sebelum mengelus lembut rambut Areum.
"Hehe, terima kasih. Areum saja je tinggal buku lukisan ni dekat rumah sebab kalau Ayah rindukan Areum, boleh tengok lukisan Areum. Kalau Areum rindukan Ayah pula, Areum akan peluk patung Elsa kuat-kuat," ujar Areum ceria.
Seungmin tertawa kecil mendengarkan itu. Sebenarnya dia sudah dapat mengagak yang Areum sengaja meninggalkan buku lukisan itu di rumah kerana Areum tidak akan mudah lupa barang yang disayanginya.
"Papa mana?" Soal Areum sebaik menyedari ketiadaan Daniel di situ. Dia mengintai di luar rumah untuk melihat jika Daniel duduk di beranda namun tiada.
"Papa pergi belikan makanan untuk kita. Kejap lagi dia baliklah tu," beritahu Seungmin.
Areum memuncungkan mulutnya. "Tapi Areum rindu masakan Ayah... Dah lama Areum tak makan makanan yang Ayah masak. Kenapa Ayah tak masak je? Areum boleh tolong Ayah," gumam Areum.
Seungmin mengemam bibirnya kerana rasa bersalah. Memang itu yang akan dilakukannya jika Areum pulang ke kampung namun dengan keadaannya sekarang, perkara itu mustahil untuk dia lakukan.
"Memang Ayah nak masakkan untuk Areum tapi tak ada apa yang nak dimasak. Kan Areum balik sini tak beritahu Ayah... Kalau Papa beritahu awal-awal, bolehlah Ayah belikan lauk untuk masak dengan Areum." Seungmin mencari alasan.
"Okey lah tapi nanti bila Areum balik kampung semula, Ayah kena janji untuk masak makanan kegemaran Areum, boleh?" Areum mengangkat jari kelingkingnya sebagai tanda perjanjian.
"Ya, Ayah janji," jawab Seungmin. Dia sedikit terkejut apabila Areum menarik tangannya lalu jari kelingking mereka berdua bertaut antara satu sama lain. "Macam ni baru janji," kata Areum tanpa mengesyaki sesuatu.
Seungmin mengangguk kecil. Sementara menunggu Daniel pulang, Seungmin meluangkan masa mendengar Areum bercerita tentang kehidupan barunya di Gangnam. Dari hari pertama dia menjejakkan kaki ke rumah Yoojin, hari persekolahannya, kawan dan cikgu baru termasuklah cerita dia memujuk Daniel untuk pulang ke kampung pada pagi tadi. Semuanya dimasukkan tanpa tertinggal satu pun.
✾✾✾✾✾
Lia menghirup minumannya sambil termenung jauh. Selepas apa yang berlaku antaranya dengan Jessica semalam, dia yakin yang kakaknya itu tidak akan duduk diam tanpa melakukan sebarang tindakan. Keluhan berat dilepaskan.
Selesai membuat bayaran di kaunter kafe, Lia menapak keluar sambil memandang barisan kedai yang berada di dalam pusat beli belah. Tanpa berfikir panjang, dia singgah di setiap kedai dan membeli satu barang dari semua kedai yang dikunjunginya. Dia ingin menghabiskan duit sebelum Jessica membekukan akaun banknya.
Pelbagai jenis beg kertas sudah penuh pada tangannya. Beg tangan, baju, gelang, rantai dan pelbagai lagi barangan sudah dibelinya. Dengan cara itu, sedikit sebanyak dia dapat mengosongkan fikirannya yang bercelaru. Jam tangan dilihat sekilas dan barulah dia sedar yang ketika itu sudah petang. Hampir seharian dia meluangkan masa di pusat beli belah itu.
"Aku nak pergi mana lagi ni?" Lia merungut sendirian. Beg kertas yang dipegangnya dipandang apabila tangannya mula terasa lenguh kerana dari tadi lagi dia berjalan-jalan di dalam bangunan itu dan membuat keputusan untuk meletakkan barangannya ke dalam kereta terlebih dulu sebelum memikirkan destinasi seterusnya.
Rambut yang ditiup angin pantai, dibiarkan menutup wajahnya. Ombak kecil yang menghempas persisiran pantai dilihat dengan senyuman tawar. Walaupun itu bukanlah tempat yang sama tetapi cukup untuk mengenangkannya pada Seungmin. Pantai merupakan destinasi terakhir mereka berdua meluangkan masa sebelum semuanya musnah.
Ranting kayu diambil lalu Lia mengukir nama Seungmin di atas pasir pantai. "Saya rindukan awak..," luah Lia meskipun tiada siapa yang mendengarnya. Nama yang diukir tadi menghilang dibawa air. "Pantai pun tak bagi saya tulis nama awak." Lia mencebik sebelum meneruskan langkah.
Sebuah bangku yang terletak di bawah sebatang pokok besar, dijadikan tempat untuknya berteduh. Dengan pemandangan menghadap ke arah pantai, membuatkan Lia berasa sebak. Aiskrim yang sempat dibelinya tadi juga dibiarkan cair kerana sibuk melayan perasaannya.
"Makcik Cantik!"
Lia tersenyum sendiri. Betapa dia merindukan Areum hinggakan suara gadis kecil itu kedengaran di telinganya.
"Makcik Cantik!" Sekali lagi Lia mendengar suara itu sebelum menoleh ke kanannya. Matanya membulat apabila melihat Areum sedang melambai dan berlari ke arahnya.
"Areum? Areum!!" Lia menjerit gembira lalu melompat kecil hingga terjatuh aiskrimnya tadi. Mengabaikan hal itu, Lia turut berlari mendapatkan Areum yang tidak jauh darinya.
Tidak berkata apa-apa, mereka berdua terus berpelukan lama bagi melepaskan rindu masing-masing. Lia meleraikan pelukan dengan senyuman manis.
"Macam mana Areum boleh nampak Makcik?" Tanya Lia. Rasanya tempat itu agak jauh dari persisiran pantai dan dia juga hampir tidak perasan dengan kehadiran Areum di situ.
"Sebenarnya Areum ternampak Makcik dekat kedai aiskrim lagi jadi Areum carilah Makcik sampai jumpa. Hehe," beritahu Areum.
"Areum?" Lia dan Areum memandang ke arah Daniel serentak.
"Papa! Areum dah jumpa Makcik Cantik! Kan betul Areum kata tadi yang tu Makcik Cantik!" Ujar Areum bersungguh.
"Ha ya lah... Bukan apa, saya takut Areum tersalah orang je. Lagipun sekarang ni kan selalunya awak ada dekat office lagi. Cuti ke hari ni?" Tanya Daniel.
"Erm... Lebih kurang macam tu lah. Hahaha." Lia tertawa hambar.
"Papa, Areum nak tengok orang main main layang-layang dekat situ boleh?" Pinta Areum sambil menunjukkan ke arah sekumpulan kanak-kanak sebayanya yang berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri ketika itu.
"Okey... Jangan pergi jauh sangat," pesan Daniel dan Areum hanya mengangguk sebelum pergi dari situ.
Daniel menoleh ke arah Lia semula. "Apa maksud awak lebih kurang?" Tanya Daniel yang masih belum faham dengan apa yang dikatakan Lia sebentar tadi.
"Entahlah... Semalam saya ada bergaduh dengan Jessica pasal kontrak. Jadi, saya pun tak tahu nasib saya sekarang ni. Sama ada dibuang ataupun digantung. Dia pun tak bercakap dengan saya lagi," jelas Lia.
"Awak pula, datang dari mana?" Lia bertanya Daniel pula. Malas hendak berbual panjang tentang Jessica, buat sakit hati saja.
"Saya sebenarnya baru balik dari rumah Seungmin. Selama dia dekat hospital, saya tak sempat nak melawat, itulah saya pergi ke rumah dia... Alang-alang tu, boleh Areum jumpa dia," maklum Daniel dan Lia mengangguk kecil.
"Seungmin macam mana? Dia okey?" Soal Lia ingin tahu memandangkan dia juga tidak datang melawat kerana merasakan Seungmin tidak mahu melihatnya lagi.
"Seungmin okey. Saya sedih tengok keadaan dia macam tu tapi dia tetap kuatkan semangat, nak tunjuk yang dia tak apa-apa," ujar Daniel yang mana membuatkan Lia mengerut dahi kerana hairan.
"Kenapa dengan dia?" Kali ini Lia mula kerisauan setelah Daniel berkata begitu.
✾✾✾✾✾
Changbin menyusun selipar yang ada di atas tangga. Sengaja dia datang ke rumah Seungmin, mana tahu kawannya perlukan sebarang bantuan lagipun dia ada bawa makanan walaupun tidak mustahil jika dirinya masih akan dihalau. Tiada apa yang berubah tentang Seungmin selain dia kehilangan penglihatannya.
"Seungmin, kau dekat mana??" Laung Changbin apabila tidak melihat sesiapa di ruang tamu sedangkan pintu terbuka luas. Malas menunggu lama, Changbin kemudiannya masuk ke dalam rumah.
"Seung- wei apa benda kau buat ni??" Changbin ternganga apabila melihat keadaan dapur yang agak tersusun sementara Seungmin sedang membasuh pinggan dan cawan dalam keadaan sebelah tangannya berbalut.
"Tengah makan," jawab Seungmin sarkastik. Changbin mencebik tidak puas hati. Dia sudah cakap, tiada apa yang berubah tentang Seungmin. Sifat dinginnya memang tidak dapat dibendung lagi.
"Mata kau dah boleh nampak semula ke?" Soal Changbin. Dirinya tahu soalan itu kedengaran bodoh tetapi melihat pinggan mangkuk yang tersusun kemas, membuatkan dirinya tertanya-tanya dengan keadaan Seungmin yang sebenarnya.
"Changbin, kau sendiri berjumpa dengan doktor dan dah sedia maklum pasal mata aku takkan boleh sembuh melainkan pembedahan. Tetap juga nak tanya soalan tu... Kau tahu tak aku terasa?" Kata Seungmin sebelum berehat di kerusi meja makan.
"Eh bukan macam tu maksud aku, cuma pelik tengok kau buat kerja macam biasa. Janganlah marah aku." Changbin menuruni anak tangga lantas duduk di kerusi yang bersebelahan dengan Seungmin.
"Aku duduk sini dari kecil, Changbin. Jadi aku dah boleh hafal kedudukan semua barang dalam rumah ni... Lagipun, aku boleh nampak walaupun tak jelas, benda ni tak pelik pun. Satu lagi, aku kena juga buat semua ni sendiri, takkan nak harapkan bantuan orang je," jelas Seungmin sebelum Changbin terus merepek.
"Tangan kau sakit lagi? Kau ni degil, Seungmin. Doktor suruh duduk dekat hospital, kau sibuk nak balik rumah. Ni ubat dah makan belum?" Bebel Changbin.
"Aku dah tak sakit buat apa nak makan ubat. Tangan pun dah boleh gerak. Kan retak je, bukan patah," jawab Seungmin.
Changbin menghela nafas panjang. Buku limanya digenggam lalu diacah-acahkan ke wajah Seungmin sambil mulutnya bergerak-gerak tidak puas hati.
"Aku tahu kau buat apa, Changbin." Seungmin bersuara, yang mana membuatkan jejaka berbadan sasa itu cepat-cepat menurunkan tangannya seraya tersengih.
"Oh, ya... Kau basuh pinggan siapa? Bukan kau seorang je ke dekat rumah ni?" Changbin segera mengubah topik perbualan.
"Pagi tadi Daniel dengan Areum datang sini. Tengahari baru diorang balik ke Gangnam semula," beritahu Seungmin.
"Areum balik sini?? Yah! Kenapa tak beritahu aku??" Marah Changbin kerana Seungmin tidak memaklumkan hal itu kepadanya.
"Kan aku dah beritahu kau, Areum tak rindukan kau. Buat apa nak beritahu kau yang dia ada di sini tadi." Sengaja Seungmin mengusik Changbin. Dia tahu yang kawannya itu sedikit sensitif tentang itu.
"Ya lah... Aku sedar aku ni bukan sesiapa pun. Dahlah, jom kita makan. Aku bawa makanan, nak makan sekali dengan kau," ajak Changbin dengan nada pasrah manakala Seungmin sudah tertawa sendiri.
Changbin turut tersenyum apabila melihat Seungmin gembira walaupun diberi ujian yang tidak semua orang mampu hadapi dengan hati yang terbuka. Kehilangan anggota penglihatan bukanlah perkara kecil namun Seungmin menempuh semua itu dengan berjaya. Senyuman yang diberikan Seungmin masih kelihatan sama, sedikit pun tidak berubah.
"Changbin, mana makanannya?" Tanya Seungmin apabila jejaka itu hanya mendiamkan diri, membuatkan dirinya tertunggu.
"Eh, kejap. Aku ambil pinggan." Changbin tersedar dari lamunan lantas mengambil pinggan di rak. Kemudian mereka berdua menikmati hidangan bersama sambil berbual kosong. Sesekali terdengar suara lantang Changbin sementara Seungmin tertawa kerana dapat mengusik kawannya.
Changbin memalingkan wajahnya ke arah Seungmin yang berdiri di ambang pintu rumah. Tidak sampai hati pula hendak meninggalkan Seungmin sendirian di rumah dengan keadaannya begitu.
"Seungmin, kau tak nak pergi ke mana-mana?" Tanya Changbin selepas lama berdiam diri.
Seungmin tersenyum saat Changbin bertanya begitu padanya lantas mengangguk laju. "Aku nak ke ladang bunga, boleh?" Ujar Seungmin manakala Changbin sudah mengangguk perlahan.
"Kenapa kau diam je? Tak boleh ke?" Tanya Seungmin kerana dia tidak mendengar Changbin menjawab permintaannya.
"Eh, boleh-boleh! Jom, kita pergi sekarang." Changbin menggaru kepalanya. Lupa pula yang Seungmin tidak dapat melihat anggukannya tadi. Dia kemudiannya melangkah menghampiri Seungmin untuk membantunya menuruni anak tangga. Sandal Seungmin disusun bagi memudahkan pergerakan.
✾✾✾✾✾
Seungmin menyentuh tanaman kamomilnya. Kini, dia tidak dapat lagi melihat bunga-bunga yang telah dijaga selama tujuh tahun lamanya. Seungmin memejamkan matanya, cuba mengingat kembali betapa indahnya ladang bunga kamomil yang mekar memutih.
Changbin yang hanya memerhatikan Seungmin dari pintu, menunduk kerana sedih melihat Seungmin. Mata yang mula kabur dengan airmata segera digosok seraya mengelipkan kelopak matanya beberapa kali sebelum mengangkat wajahnya semula.
Seungmin bangun dari tempatnya. Rumah hijau itu menyimpan begitu banyak kenangan indah. Di situlah kali pertama dia bersemuka dengan Lia secara rasmi. Masih segar di ingatannya, di mana gadis itu menceroboh masuk ke situ untuk menawarkan kontrak kepadanya.
"Ehem! Excuse me... Saya Julia Choi, ketua pengurus di syarikat Beauté yang terkenal di Gangnam. Boleh saya nak berjumpa dengan pemilik ladang kamomil ni?"
Segaris senyuman terukir pada wajahnya. Itulah perkenalan pertama mereka bahkan dia masih ingat pakaian Lia pada hari itu dan apa yang tersemat di ingatannya ialah kasut tumit tinggi merah jambu kesayangan Lia. Dengan melihat kasut itulah dia tahu yang Lia memarahi Areum dalam keadaan baru bangun dari tidur dan semua itu kini hanya kenangan yang tidak mungkin dapat berulang kembali.
Kerana kontrak itu mereka bertemu dan memulakan segalanya dan kerana helaian kertas itu jugalah mereka terpisah. Tidak dapat menahan perasaan bersalahnya, Seungmin terduduk di atas kerusi lantas menangis perlahan. Changbin pula hanya membiarkan saja Seungmin melepaskan perasaannya di situ lalu membuat keputusan untuk menunggu di luar.
Sebuah kereta yang berhenti di perkarangan rumah hijau, membuatkan Changbin sedikit hairan. Dia belum pernah melihat kereta itu sebelum ini. Kemudian seorang wanita berkaca mata hitam, keluar dari perut kereta.
"Maaf, ada apa yang saya boleh bantu?" Tanya Changbin sopan. Mungkin wanita itu tersesat dan ingin meminta tolongnya menunjukkan arah.
"Saya Jessica Jung, kakak kepada Lia. Boleh saya berjumpa dengan Seungmin? Ada perkara yang saya nak cakap dengan dia," beritahu Jessica.
Changbin diam. Jejaka itu tidak mengangguk dan juga tidak menggeleng. "Erm, kejap ya." Changbin meminta diri sebentar lalu masuk ke dalam rumah hijau untuk memaklumkan kehadiran bernama Jessica itu kepada Seungmin.
"Seungmin! Seungmin!" Changbin menjerit perlahan sambil berlari ke arah kawannya. Mendengar suara Changbin, segera Seungmin menoleh.
"Kakak Lia datang nak jumpa kau. Dia kata ada benda nak cakap dengan kau. Macam mana ni?" Tanya Changbin, inginkan jawapan segera.
"Suruh dia masuk," arah Seungmin dan Changbin mengangguk faham. Tidak lama kemudian, Jessica melangkah masuk untuk menemui Seungmin.
Changbin berdiri di sisi Seungmin, risau jika wanita asing itu akan apa-apakan Seungmin. Dari luarannya saja sudah kelihatan menakutkan. Dengan gincu berwarna merah menyala persis mak janda di pasar ikan, membuatkan Changbin ingin lebih berhati-hati.
"Kenapa kau datang ke sini? Rasanya aku dah bagi apa yang kau nak," tanya Seungmin, cuba berlagak biasa kerana tidak mahu Jessica mengetahui keadaan dirinya.
"Ya, aku tahu dan aku datang sini bukan untuk bercakap pasal tu. Tujuan aku datang ke sini sebab nak minta maaf pada kau. Ya, aku mengaku yang aku banyak salah dengan kau, pergunakan Lia untuk curi formula kamomil dari kau. Akhirnya aku sedar, yang kelakuan aku salah dan semuanya sebab Lia. Kalau dia tak luahkan perasaan dia semalam dan suruh aku minta maaf pada kau, mesti aku tak akan sedar sampai bila-bila," jelas Jessica, ikhlas dari sudut hatinya. Selama semalaman juga dia tidak dapat tidur kerana memikirkan hal ini hinggalah membuat keputusan untuk berjumpa dengan Seungmin.
"Baiklah, aku akan maafkan kau. Sekarang kau boleh balik," ujar Seungmin, malas hendak memanjangkan keadaan.
Jessica hanya mengangguk tanpa banyak soal. Sebelum bangun, sempat dia menghulurkan tangannya, ingin berjabat dengan Seungmin sebagai tanda perdamaian.
"Seungmin, dia nak salam dengan kau," bisik Changbin lantas Seungmin menyambut huluran tangan Jessica.
"Selamat bekerjasama," ujar Jessica dan Seungmin mengangguk kecil. Sebaik mereka melepaskan tangan, Jessica meminta diri untuk pulang terlebih dulu.
"Changbin, jom kita balik," ajak Seungmin manakala Changbin hanya mengikut saja kehendak kawannya lalu mereka berdua meninggalkan rumah hijau selang beberapa minit selepas Jessica pergi dari situ.
✾✾✾✾✾
"Terima kasih." Ringkas saja ucapan yang dituturkan Seungmin sebaik saja turun dari kereta.
Tidak berpuas hati, Changbin mematikan enjin kereta lantas berlari kecil untuk membantu Seungmin menaiki anak tangga rumahnya. Bahu Seungmin dipegang perlahan sambil mengiringi langkah jejaka itu dengan berhati-hati.
"Seungmin, aku tidur rumah kau ya malam ni. Lagipun tangan kau tu baru nak sembuh, buatnya kau tersinggung apa-apa, sakit semula. Untuk beberapa hari je, lepas seminggu macam tu, lepas kau dah biasa dengan keadaan ni... Aku baliklah rumah aku semula. Ya?" Changbin menawarkan dirinya sekaligus memujuk Seungmin untuk mengizinkannya bermalam di situ untuk beberapa hari.
"Hmm... Ikutlah, aku tak kisah pun. Kalau kau teman aku, tak adalah aku sunyi sangat," balas Seungmin yang mana membuatkan Changbin tersengih menampakkan barisan giginya.
"Hehe, okey. Oh ya... Malam ni kita nak makan apa? Rumah kau ada apa-apa lauk nak dimakan?" Tanya Changbin sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
"Entahlah, seingat aku... Ada ayam dalam peti tapi belum masak lagi. Kau boleh ke memasak?" Soal Seungmin semula.
"Masak? Err... Malangnya itu bukan kepakaran aku. Tak apalah, aku beli burger je lah malam ni, jimat masa," ujar Changbin. Dirinya lebih rela mengeluarkan duit dari menyentuh dapur gas. Buat terbakar dapur Seungmin, tidak ke naya dibuatnya.
"Ya lah." Pendek saja Seungmin menjawab. Kini kerusi yang terletak di beranda menjadi tempat dia meluangkan masa kerana di situ saja dia dapat merasakan angin yang meniup dan dalam pada yang sama, menenangkan fikirannya.
Changbin melihat jam tangannya dan sudah hampir waktu untuk kafenya tutup. "Seungmin, aku nak ke kafe kejap. Kau ada apa-apa nak pesan?" Sempat Changbin bertanya dan Seungmin menggeleng.
"Aku pergi dulu. Kau jangan buat apa-apa kerja pula. Duduk situ diam-diam," pesan Changbin sebelum beredar dari situ.
Seungmin menarik nafas dalam. Tidak sampai beberapa saat, dia mula berasa sunyi. Entah bagaimana dirinya akan menyesuaikan diri begitu tambahan pula dia bersendirian, tanpa ditemani sesiapa. Seungmin kemudiannya menoleh apabila terdengar kereta berhenti di halaman rumahnya. Mungkin Changbin ingin mengambil sesuatu yang tertinggal di rumah oleh kerana dia ada singgah di situ tadi. Dengan berhati-hati, Seungmin berdiri di tempatnya.
"Kenapa, Changbin? Ada tertinggal barang ke?" Soal Seungmin seraya memandang ke arah bayang seseorang yang masih berdiri di depan anak tangga.
Seungmin berkerut hairan oleh kerana gerangan itu tidak mengeluarkan suara sebelum dia tergamam apabila seseorang memeluk tubuhnya dan sekaligus dia mengetahui siapakah gerangan yang memeluknya ketika itu.
"L- Lia?" Ujar Seungmin tidak percaya. Masih tiada sebarang jawapan selain suara gadis menangis.
Lia mendakap Seungmin seeratnya. Apa yang diberitahu Daniel benar. Seungmin tidak lagi dapat mengecam sesiapa kecuali orang itu bersuara. Kenapa? Kenapa perlu Seungmin yang menanggung semua penderitaan ini sedangkan jejaka itu sudah melalui bermacam-macam ujian dalam hidupnya.
"Kenapa awak rahsiakan perkara ni daripada saya?" Tanya Lia dalam tangisnya yang masih belum berhenti.
"Se- sebab saya tak nak buat awak sedih lagi selepas apa yang saya dah buat pada awak," balas Seungmin perlahan.
Lia meleraikan pelukan lantas menatap wajah Seungmin. Mata yang pernah memberinya pandangan kasih sayang, kini hanya memberi pandangan kosong. Menyaksikan itu sendiri, sangat meluluhkan hatinya lalu menangis dengan lebih kuat.
"Lia... baliklah, awak tak patut ada dekat sini." Seungmin perlahan-lahan melepas pegangan tangan Lia seraya menunduk namun kali ini, Lia tidak membiarkannya melakukan itu untuk kali kedua.
"Seungmin, saya tak akan pergi mana-mana. Awak tahu kan, orang yang ditinggalkan lebih sakit dari orang yang meninggalkan dan saya tak akan biarkan awak hadapinya lagi. Saya akan tetap ada dengan awak, macam yang saya pernah janji sebelum ni dan tolong... Tolong jangan halang saya. Saya tak sanggup untuk rasa sakit kerana keseorangan dan saya juga tak nak awak rasa benda yang sama, Seungmin. Saya cintakan awak." Akhirnya Lia meluahkan segala yang terbuku di hatinya.
Seungmin tidak berkata apa-apa selain menangis di tempatnya. Nafas dihela perlahan sebelum mengangkat wajahnya.
"Saya pun tak nak awak pergi, Lia. Tanpa awak, hidup saya terasa kosong. Tak kisah berapa banyak kali saya cuba untuk lupakan awak tapi semuanya... Terlalu susah bagi saya dan semua itu hanya ada satu saja jawapan..." Seungmin diam sejenak sebelum menyambung katanya semula.
"Saya pun cintakan awak dan tak nak kehilangan awak lagi," balas Seungmin.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro