Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦32

Lia yang dari tadi sibuk melihat kerja dalam komputer ribanya, menoleh apabila pemandunya memperlahankan kenderaan meskipun itu merupakan jalan besar.

"Kenapa Pakcik?" Tanya Lia sebelum memanjangkan leher untuk melihat apa yang berlaku di luar.

"Saya rasa accident lah, Cik Muda... Ramai orang yang berkerumun tu," ujar pemandu lelaki itu.

Mendengarkan itu, Lia mula berasa tidak sedap hati. Degupan jantungnya tiba-tiba laju seolah baru selesai melakukan kerja berat. Entah kenapa, hatinya ketika itu mengatakan ingin melihat tempat kemalangan walaupun sebelum ini, dia akan mengelak tempat sebegitu kerana teringatkan akan ibubapanya yang meninggal dalam kemalangan jalanraya.

"Pakcik, berhenti di tepi... Saya nak turun tengok keadaan," arah Lia. Tidak banyak soal, pemandunya segera menurunkan Lia seperti yang diminta.

Pintu kereta ditutup sebelum Lia berlari kecil menuju ke kawasan kemalangan itu. Telinganya dapat menangkap perbualan di antara orang ramai yang berada di situ, mengatakan kemalangan itu baru saja terjadi semasa lampu isyarat pejalan kaki menyalakan lampu merah. Lia meminta laluan dari orang awam yang ada untuk melihat mangsa.

Sebaik saja susuk tubuh yang terbaring di atas jalan, Lia terus terduduk apabila mendapati mangsa itu ialah Seungmin. Tangannya mula terasa sejuk sebelum Lia mendekati lelaki yang disayanginya itu.

"Seung- Seungmin... Ba- bangun," ujar Lia tersekat-sekat kerana tidak kuat melihat keadaan Seungmin ketika itu namun sebaik saja menyedari Seungmin masih lagi separa sedar, Lia menguatkan semangatnya.

Wajahnya mula bercucuran airmata manakala tangannya menggenggam erat tangan Seungmin yang sudah tidak sedarkan diri.

Lia menunggu di ruang kecemasan atas arahan doktor yang bertugas. Tangan yang masih berlumuran darah tidak diendahkan. Dia berdoa dalam hatinya supaya tiada perkara yang serius terjadi pada Seungmin. Selepas beberapa minit menunggu di situ, barulah dia teringat untuk menghubungi Changbin bagi memaklumkan kemalangan yang menimpa Seungmin sebelum menghubungi Daniel pula. Dia pasti yang Seungmin datang ke Gangnam untuk berjumpa dengan Areum.

Telefon terus diletakkan di sisinya sebaik saja selesai memberitahu Changbin dan Daniel. Kedua lelaki itu akan tiba di hospital tidak lama lagi. Sesekali Lia melihat bilik yang merawat Seungmin namun hampa kerana tiada tanda-tanda yang doktor akan keluar untuk memaklumkan keadaan Seungmin. Beg sandang hitam Seungmin dipeluk erat dalam keadaan menangis. Selepas apa yang menimpa kedua ibubapanya, dia tidak mahu perkara yang sama berulang kembali.

Lia yang tertidur di kerusi menunggu selepas mengisi borang maklumat di kaunter, tersentak apabila terdengar suara pintu dibuka. Sebaik saja melihat lelaki berpakaian doktor itu, Lia pantas bangun mendapatkan doktor tadi.

"Cik, penjaga bagi pesakit bernama Kim Seungmin?" Tanya doktor lelaki itu dan Lia mengangguk laju.

"Macam mana dengan keadaan Seungmin, doktor? Dia baik-baik saja kan?" Soal Lia dalam keadaan terdesak.

"Jangan risau, Cik... Seungmin buat masa ni dalam keadaan stabil dan akan ditempatkan di wad untuk pemulihan. Cuma sekarang, dia masih belum sedarkan diri kerana kesan bius yang belum hilang sepenuhnya. Dia bernasib baik sebab tak tercedera teruk selain retak tulang tangan dan terluka di bahagian belakang kepala disebabkan terjatuh terlentang. Selebihnya, saya akan periksa dia selepas dia sedar nanti... Saya minta diri dulu," jelas doktor tadi panjang lebar.

Lia menarik nafas lega sejurus doktor memberitahu berita baik. Dia menunduk beberapa kali lalu mengambil tempat semula di kerusi tadi, menunggu kehadiran Daniel. Changbin pula mungkin akan mengambil sedikit masa kerana perlu bertolak dari kampung.

✾✾✾✾✾

Pak Sooman sudah buntu hendak tenangkan Changbin bagaimana lagi. Jejaka berbadan sasa itu menangis tidak henti-henti sebaik saja mendapat tahu berita tentang Seungmin.

"Changbin, bawa bersabar. Macam mana kamu nak memandu kalau asyik menangis dari tadi. Pak Sooman yakin yang Seungmin tak apa-apa," pujuk orang tua itu meskipun dia hanya mengulang ayat yang sama sejak tadi.

Changbin mengelap airmatanya yang dari tadi tidak berhenti mengalir. "Pak Sooman pergi sekali... Saya tak rasa saya boleh drive kalau macam ni, Pak Sooman," ujar Changbin teresak-esak.

"Ha yalah... Kita pergi naik kereta Pak Sooman. Eunbi, kamu pergi ambilkan kunci kereta Ayah dan kunci pintu rumah. Kita kena bertolak sekarang sebab hari dah nak gelap ni," arah Pak Sooman dan Eunbi mengangguk akur.

Kurang dari lima minit, mereka bertiga mula bertolak menuju ke Gangnam untuk melihat keadaan Seungmin.

"Lia..," panggil Daniel sebaik saja melihat gadis itu sedang bersendirian di luar wad.

Lia mengangkat wajah sebaik saja mendengar namanya dipanggil. Seperti yang disangkakan, Daniel tiba di situ terlebih dulu.

"Macam mana dengan Seungmin? Dia okey saja kan?" Tanya Daniel risau lalu menghela nafas lega apabila Lia mengangguk mengiyakan soalannya.

"Areum tak tahu pasal ni kan?" Soal Lia.

"Tak... Saya terus datang ke sini lepas meeting. Lagipun, saya tak rasa ni masa yang sesuai untuk beritahu Areum. Tunggu Seungmin sembuh sedikit, baru saya akan beritahu dia," ujar Daniel dan dibalas dengan anggukan dari Lia.

"Macam mana awak boleh ada dengan Seungmin?" Daniel bertanya lagi kerana hairan Lia ada di tempat kejadian. Adakah mereka berdua sudah berjumpa sebelum kemalangan itu berlaku.

"Kebetulan waktu saya balik dari pejabat, saya lalu dekat kawasan yang sama... Saya rasa tak sedap hati dan buat keputusan untuk tengok siapa... Saya tak sangka pula orang tu ialah Seungmin," cerita Lia. Suaranya juga kedengaran bergetar kerana menahan tangis.

Daniel memegang bahu Lia, cuba menyalurkan semangat buat gadis itu. Kalau dia beritahu yang Seungmin sebenarnya datang ke Gangnam untuk berjumpa dengan dia, mungkin Lia akan lebih salahkan dirinya atas apa yang berlaku jadi, Daniel membuat keputusan untuk diam sahaja.

Selang beberapa minit, Changbin bersama Pak Sooman dan juga Eunbi tiba di hospital. Sebaik saja ternampak Lia, Changbin terus menghampiri gadis itu untuk mengetahui keadaan Seungmin.

"Seungmin mana?" Tanya Changbin sementara matanya melilau mencari nama Seungmin di mana-mana wad yang berhampiran.

"Dia okey... Cuma sekarang doktor tak bagi pelawat masuk sebab dia perlukan rehat. Awak jangan risau... Seungmin cuma retak tulang tangan dan belakang kepala dia terluka sebab terhentak tapi tak ada apa yang serius," beritahu Lia yang mana membuatkan Changbin menarik nafas lega lantas terduduk. Mana tidaknya, sepanjang perjalanan dia tidak lepas dari memikirkan keadaan kawannya itu.

"Lia, kamu pergilah bersihkan diri dulu... Nak tunggu Seungmin sedar, Pak Sooman rasa lambat lagi sebab kesan ubat bius kuat," tegur Pak Sooman yang dari tadi menyedari tahan Lia comot dengan kesan darah yang menjelaskan Lia dari tadi hanya duduk di situ tanpa pergi ke mana-mana.

"Biar saya temankan awak." Eunbi mencelah dan Lia mengangguk perlahan.

Seungmin yang baru saja terjaga, menutup matanya kembali apabila cahaya lampu wad menyilaukan penglihatannya dan seiring dengan itu, terasa belakang kepalanya berdenyut namun tidaklah sakit mana. Selepas dua minit dari sedar, barulah dia teringatkan akan kemalangan yang menimpanya.

"Seungmin, kau dah bangun?"

Seungmin menoleh ke arah empunya suara tetapi apa yang dilihatnya hanyalah satu bayang hitam seorang manusia. Walaupun buat masa itu penglihatannya masih samar-samar, dia tahu yang orang tadi ialah Changbin. Kedua mata digosok beberapa kali malangnya tiada apa-apa yang berubah. Pandangannya kabur hingga setiap inci wajah Changbin terlihat kosong.

"Wei, kau kenapa ni?" Soal Changbin yang mula resah apabila Seungmin terus menggosok matanya berulang kali tanpa berkata sepatah apa pun.

"Changbin, kenapa aku tak nampak muka kau? Kenapa dengan mata aku?" Tanya Seungmin. Suaranya juga kedengaran bergetar pada waktu itu kerana ketakutan.

Tidak tahu mahu melakukan apa-apa, Changbin terus mendapatkan doktor untuk memeriksa keadaan Seungmin yang baru saja tersedar itu sementara Seungmin masih lagi menggosok matanya sebelum mengelipkan kelopak mata beberapa kali untuk menjelaskan penglihatannya.

Changbin melangkah keluar dari bilik wad, mengekori langkah doktor kerana ada sesuatu yang ingin diberitahu kepadanya tentang Seungmin. Dengan perasaan berdebar, Changbin berharap berita itu ialah berita baik walaupun hatinya masih risau setelah melihat keadaan Seungmin sebentar tadi.

"Apa maksud doktor?" Soal Changbin kerana pasti yang dia ada tersalah dengar.

"Maafkan saya, Encik tapi... Berdasarkan pemeriksaan, saluran optik Seungmin tercedera, kesan sampingan akibat hentakan kuat, yang mana membuatkan Seungmin tak dapat menggambarkan apa yang dilihatnya. Apa yang saya boleh beritahu sekarang ni, saluran optik terletak di bahagian otak, berbeza pula dengan saraf optik yang terletak di belakang bebola mata," jelas doktor itu panjang lebar.

"Tapi, semuanya masih dapat disembuhkan macam sebelum ni kan?" Tanya Changbin dengan harapan keadaan ini hanya untuk sementara sahaja.

Doktor diam sejenak sebelum menggeleng. "Untuk pembedahan saluran optik, ianya akan merisikokan Seungmin oleh kerana saluran tu di bahagian otak. Kamu faham kan apa yang saya cuba maksudkan? Sebarang pembedahan yang berkaitan dengan bahagian kepala sangat bahaya dan kebanyakan doktor akan menolak untuk jalankan pembedahan macam ni."

"Maksud doktor, Seungmin akan buta kekal? Macam tu?" Changbin mula tidak senang duduk.

"Maafkan saya untuk katakan ni tapi jawapannya, ya. Seungmin akan buta tapi bukan untuk sepenuhnya. Seungmin masih lagi dapat melihat sesuatu bergerak walaupun hanya bayangnya saja memandangkan saraf optiknya tidak terjejas," terang doktor itu dengan nada kesal. Kesal kerana tidak dapat membantu Seungmin dalam hal ini.

Changbin menutup wajahnya dengan tangan kerana memikirkan reaksi Seungmin saat tahu soal matanya. Disebabkan dia berat hati untuk memberitahu Seungmin sendiri, doktor menawarkan diri untuk menjelaskan segalanya pada kawannya itu.

Seungmin memandang pintu wad sebelum berpaling ke arah lain. Dia sudah tahu semuanya kerana baru saja dimaklumkan doktor yang merawatnya akan penglihatannya dan itu juga membuatkan dirinya patah semangat sekaligus tidak mahu berbual dengan sesiapa.

"Seungmin, kau nak makan apa-apa?" Tanya Changbin memulakan bicara meskipun dia ragu-ragu jika Seungmin akan menjawab soalannya.

Changbin mengeluh perlahan apabila Seungmin terus mendiamkan diri. Dia faham bagaimana perasaan Seungmin ketika itu. Siapa saja yang akan menerima kenyataan selepas mendapat tahu mereka kehilangan anggota penglihatannya.

"Tak apalah... Kau rehat dulu. Kalau nak apa-apa, aku ada dekat sini." Changbin mengalah. Dia tidak mahu terlalu banyak bertanya, risau Seungmin akan tertekan.

"Changbin..," panggil Seungmin yang mana membuatkan Changbin berpaling semula ke arahnya.

"Ya?"

"Tolong rahsiakan hal ni daripada Lia... Aku tak nak dia tahu," pesan Seungmin.

"Baiklah kalau itu yang kau nak. Aku akan tunggu di luar," balas Changbin sambil menahan tangis seboleh-bolehnya.

"Changbin... Seungmin dah sedar ke?" Tanya Lia yang baru datang. Dia meninggalkan hospital sebentar untuk meminta surat cuti dengan kakaknya. Pak Sooman dan Eunbi terlebih dulu pulang kerana hari sudah lewat manakala Daniel pula sudah pulang lebih awal.

Changbin mengangkat wajahnya sebelum menatap Lia yang pada ketika itu berdiri di hadapannya. Gadis itu perlu tahu tentang Seungmin namun terpaksa menahan dirinya oleh disebabkan permintaan Seungmin sendiri.

"Kenapa awak menangis ni? Ada apa-apa yang berlaku pada Seungmin ke?" Lia mula membuat andaian sendiri sebaik saja melihat Changbin yang sedang menangis itu.

"Eh tak adalah... Saya cuma sedih tengok Seungmin sakit macam tu, tak ada apa pun. Kalau awak nak melawat Seungmin, pergilah sebab dia pun dah sedar," beritahu Changbin supaya dirinya tidak terlepas cakap.

"Seungmin nak lagi ke jumpa saya?" Soal Lia dengan nada sedih. Dia yakin yang Changbin sudah tahu apa yang berlaku di antara mereka berdua.

"Lia... Kalau awak nak tahu, Seungmin datang ke Gangnam jumpa dengan awak... Untuk jelaskan masalah korang berdua. Jadi, awak pergilah tengok dia, cuba bercakap dengan dia..." Changbin meyakinkan Lia. Sekurang-kurangnya, biarlah gadis itu melihat Seungmin walaupun tidak tahu keadaan sebenar.

Lia mengemam bibirnya sebaik saja menutup pintu wad. Kelihatan Seungmin dalam keadaan duduk dan memandang ke luar tingkap. Dia menapak menghampiri Seungmin lalu menarik kerusi pelawat yang terletak bersebelahan dengan katil Seungmin. Dia hanya seorang diri memandangkan Changbin membuat keputusan untuk menunggu di bangku yang terletak di luar wad.

"Seungmin..," panggil Lia, meminta untuk Seungmin menoleh ke arahnya oleh kerana jejaka itu memandang ke arah lain.

"Saya perlukan masa bersendirian, Lia," ujar Seungmin tanpa berpaling. Dia tidak boleh baring mengiring oleh kerana tangan kanannya tercedera.

"Saya tahu yang awak datang ke sini untuk jumpa saya. Changbin dah ceritakan semuanya pada saya, jadi janganlah macam ni," pujuk Lia. Mulutnya juga sudah mencebik kerana ingin menangis.

Seungmin memejamkan matanya dan bibirnya diketap perlahan. Jujur dia kata, betapa dia rindukan suara itu walaupun tidak sampai sehari Lia meninggalkannya. Teringatkan pesanan Changbin, akhirnya Seungmin mengalahkan egonya lantas berpaling ke arah Lia.

"Maafkan saya, Lia..." Itu saja yang mampu dituturkannya saat itu. Meskipun jarak mereka tidak jauh, wajah Lia yang selalu menceriakan harinya, tidak lagi dapat ditatapnya. Hal itu membuatkan dirinya bertambah kesal.

"Saya yang patut minta maaf pada awak... Kalau saya tak buat semua tu, mesti benda ni tak akan berlaku dan awak tak akan tercedera macam ni," ujar Lia yang mula teresak-esak kerana sebak. Tangan Seungmin diraih lembut lalu digenggam erat.

"Apa yang berlaku ialah takdir saya, Lia. Halang macam mana sekalipun, semuanya dah tertulis lagipun keadaan saya tak teruk dan semua ni bukan salah awak. Ingat tu," kata Seungmin.

"Seungmin... Sebelum ni, awak pernah tanya saya, boleh tak untuk terus menetap di kampung dan saya belum berkesempatan untuk jawab soalan tu," ujar Lia, sengaja mengungkit hal itu semula.

"Jawapan saya... Saya akan selalu ada di sisi awak walaupun apa yang terjadi. Saya janji pada awak," beritahu Lia yang mana membuatkan Seungmin menggeleng perlahan.

"Semuanya dah terlambat, Lia. Soal tu, awak boleh lupakan saja dan fokuskan pada pekerjaan yang awak ada sekarang. Kita dah maafkan sesama sendiri dan selesaikan masalah antara kita... jadi, semuanya dah berakhir di sini. Kalau dah tak apa-apa, saya nak berehat." Seungmin menarik selimut, menyelubungi tubuhnya sementara pandangan dihalakan semula ke arah tingkap.

Lia diam tidak berkata apa sebaliknya bangun dari kerusi, bersedia untuk meninggalkan Seungmin bersendirian. Baiklah kalau itu apa yang diinginkan Seungmin kerana dirinya juga ada caranya yang tersendiri untuk dapatkan semula hati jejaka itu semula, walau dengan apa cara sekalipun.

"Selamat malam," ucap Lia sebelum keluar dari situ.

✾✾✾✾✾

Selepas berehat selama dua hari di rumah, Lia akan bekerja semula pada pagi itu. Changbin juga ada menelefonnya, memaklumkan yang Seungmin akan keluar dari wad hari itu dan akan terus bertolak pulang ke kampung. Lia yang sedang menaip sesuatu, termenung sejenak kerana teringatkan Seungmin. Dengan halangan kerja, dia tidak dapat berjumpa dengan Seungmin sebelum pulang. Kehadiran setiausahanya, menarik Lia kembali ke dunia nyata semula.

"Ketua Choi, Puan Jung nak berjumpa dengan Ketua Choi di pejabat dia sekarang," beritahu wanita itu lalu meninggalkan pejabat.

Lia mendengus geram. Dia tahu tiada perkara lain yang ingin dibincangkan Jessica melainkan fail kontrak. Dengan rasa malas, dia bangun kerusinya menuju ke pejabat Jessica.

Jessica menguntumkan senyuman lebar apabila Lia menampakkan dirinya di syarikat selepas dua hari mengambil cuti dan selama itu juga, dia bersabar kerana adik perempuannya itu masih belum menyerahkan kontrak persetujuan padanya walaupun sudah masuk tiga hari Lia pulang ke Gangnam.

"Mana fail kontrak company?" Soal Jessica sejurus melihat Lia datang dengan tangan kosong.

"Lia tak akan serahkan fail kontrak tu selagi Kakak tak minta maaf pada Seungmin selepas apa yang Kakak buat pada dia," tegas Lia untuk kali pertamanya.

Jessica tertawa sendiri mendengarkan bicara kosong Lia. Tidak tahu pula menetap di kampung selama dua bulan dapat membuatkan adiknya begitu berani berkata begitu padanya. Suara tawanya tidak lagi kedengaran lantas Jessica menatap Lia dengan pandangan tajam.

"Kau siapa nak arah aku buat macam tu?" Soal Jessica seraya mengetap giginya menahan geram.

"Lia juga anak perempuan kepada Park Minyoung, pemilik syarikat Beauté pertama dan juga ibu kandung kita, Kakak. Walaupun jawatan Lia dalam company cuma ketua pengurus tapi itu tak bermakna Lia tak ada sebarang kuasa dekat sini dan ikut telunjuk Kakak sepanjang masa," balas Lia semula.

"Kau-"

"Apa? Selama ni, Lia cuba tahan perasaan Lia sendiri dan ikut semua arahan Kakak, hormat Kakak tapi apa yang Kakak balas? Kakak pergunakan Lia untuk buat kerja kotor supaya dapatkan formula kamomil daripada Seungmin. Hasilnya? Hubungan baik Lia dengan Seungmin hancur macam tu saja sedangkan Kakak boleh bersuka ria tanpa rasa bersalah..."

"... Kakak sibuk tanya Lia mana kontrak sedangkan Kakak tak melawat langsung Seungmin sepanjang dia ada dekat hospital padahal Seungmin dah sah jadi main supplier untuk company kita. Kakak rasa dengan latar belakang Seungmin yang sederhana tu, boleh pandang rendah dia sesuka hati? Silap-silap, Kakak yang nampak lagi hina dari dia," sambung Lia.

"Lepas ni, Lia tak kisah kalau Kakak nak buang Lia dari company ataupun dari hidup Kakak sekali pun but one more thing, Lia tak akan serahkan kontrak tu selagi Kakak tak pergi jumpa Seungmin untuk minta maaf." Lia mengakhirkan katanya lalu beredar dari situ, meninggalkan Jessica tercengang seorang diri.

Nafas Jessica turun naik sebaik saja Lia keluar dari pejabatnya. Segala barang yang berada di atas mejanya, dicampak ke mana-mana bagi melepaskan marahnya. Sekarang, Lia yang selalu takut akan dirinya sudah berani mengugutnya. Sekarang ini, tiada yang lebih penting melainkan kontrak persetujuan itu.

✾✾✾✾✾

Seungmin yang mengambil angin di beranda rumahnya, sedikit hairan apabila mendengar kereta memasuki halaman rumahnya. Entah mengapa, dia berasa sedikit cemas kerana dia tidak tahu siapakah gerangan yang datang.

"Ayah! Areum balik!" Seungmin menghentikan langkah sebaik saja terdengar suara anaknya.

Areum terus berlari menaiki anak tangga sebelum memeluk Seungmin yang masih tercegat di beranda.

"Areum?" Soal Seungmin. Dia masih tidak percaya yang Daniel akan membawa Areum ke kampung kerana sekarang bukanlah cuti sekolah sepertimana yang pernah dijanjikan Daniel sebelum ini.

"Kenapa Ayah macam tak gembira je Areum balik?" Areum mencebik kerana respon Seungmin tidak seperti yang dibayangkannya.

"Mana ada. Ayah cuma terkejut... Areum sihat?" Tanya Seungmin seraya memegang wajah anak perempuannya sebelum membelai rambut Areum pula. Tanpa disedari, dia menangis kerana sebak. Wajah kesayangannya kini tidak dapat lagi ditatap.

"Kenapa Ayah menangis?" Tanya Areum lantas airmata ayahnya dilap dengan kedua ibu jarinya.

"Sebab Ayah gembira sangat-sangat. Pakcik Daniel mana?" Seungmin menjawab pertanyaan Areum sekaligus bertanya.

"Papa tengah cakap telefon dalam kereta... Kejap lagi Papa turun," beritahu Areum.

Mendengarkan gelaran yang digunakan Areum, Seungmin tersenyum kecil kerana dia tahu yang hubungan Areum dan Daniel akrab seperti yang diinginkannya.

"Ayah, Areum nak ke rumah Jinhee sekejap tau. Areum rindu nak berborak dengan dia... Tak lama pun, nanti Areum balik rumah semula, okey?" Ujar Areum dan Seungmin mengangguk faham. Nampaknya Areum tidak tahu berita tentang kemalangannya kerana gadis kecil itu ceria seperti biasa.

Seungmin menghela nafas perlahan. Agaknya, apalah reaksi Areum jika mendapat tahu yang dirinya tidak lagi boleh melihat.

"Seungmin, macam mana dengan keadaan kau?" Tanya Daniel yang baru saja keluar dari keretanya. Dia tidak sempat melawat Seungmin ketika masih dirawat kerana sibuk dengan kerjanya. Changbin ada menghubunginya, memberitahu yang Seungmin sudah keluar wad dan kebetulan pula, hari ini dia cuti. Jadi bolehlah dia membawa Areum pulang ke kampung untuk melawatnya.

"Macam yang kau tengok lah. Kenapa kau tak beritahu aku yang kau nak datang dengan Areum?" Tanya Seungmin.

"Memang aku ingat nak beritahu kau tapi terlupa. Rancangan aku nak bertolak tengahari ni tapi Areum sibuk ajak pergi pagi ni juga. Itu yang terlupa tu," jelas Daniel sebelum tertawa perlahan.

Seungmin mengangguk kecil. Dia menjemput Daniel duduk di kerusi beranda rumahnya sambil berbual kosong.

"Daniel, sebenarnya aku ada benda nak beritahu kau dan benda ni penting untuk kau tahu," ujar Seungmin. Dia sudah fikir masak-masak untuk memaklumkan pada Daniel tentang penglihatannya.

"Apa dia?" Tanya Daniel seraya menoleh ke arah Seungmin.

"Sebenarnya, aku tak nampak apa-apa pun selain bayang yang bergerak. Doktor beritahu aku yang saluran mata aku rosak disebabkan accident tu. Jadi, aku fikir kau kena tahu soal ni dan aku harap kau rahsiakan tentang ni dari Areum. Nanti bila dah bersedia, aku sendiri yang akan beritahu Areum pasal ni." Seungmin tersenyum tawar sebaik saja mengakhirkan katanya.

"Memang tak boleh rawat ke?" Tanya Daniel dengan penuh prihatin. Jujur dia kata, tidak pernah terlintas langsung di fikirannya yang Seungmin tidak dapat melihat kerana dari luaran, jejaka itu berkelakuan seperti biasa, tiada sebarang kejanggalan.

"Doktor kata terlalu berisiko untuk buat pembedahan sebab saluran tu pada bahagian otak dan buat keputusan untuk tak lakukan pembedahan," beritahu Seungmin lagi.

Daniel termenung sejenak selepas mendengarkan itu. Dia juga tidak tahu hendak kata apa lagi. Bahu Seungmin ditepuk perlahan.

"Kalau kau perlukan apa-apa, beritahu je. Aku janji akan tolong kau," kata Daniel.

Seungmin mengangguk perlahan. Tidak lama kemudian, Areum pulang dari rumah Jinhee lalu berlari mendapatkan Seungmin yang sedang berbual dengan Daniel di beranda. Menyaksikan itu, Daniel tersenyum kecil kerana dapat melihat Areum senang hati boleh meluangkan masa bersama dengan Seungmin.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro