Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦31

Lia mengetuk pintu rumah Seungmin berkali-kali namun masih tiada sebarang jawapan. Matanya mula menitiskan cecair jernih kerana rasa bersalah yang amat sangat. Dia cuba untuk meminta maaf tetapi Seungmin terlebih dulu pergi meninggalkannya.

"Seungmin..," panggil Lia meskipun mustahil untuk Seungmin menyahut panggilannya.

"Saya tahu awak dekat dalam... Beri saya peluang untuk tebus semua kesalahan saya pada awak," rayu Lia lagi.

Tidak lama selepas itu, Lia mengangkat wajahnya apabila Seungmin membuka pintu dari dalam. Airmata yang membasahi wajah mula diseka. Wajah tegang Seungmin membuatkan Lia tidak berani bertentangan mata lalu menunduk semula. Rasa bersalah mula menghuni dirinya.

"Ni kontrak company awak dan juga buku formula yang kakak awak tergila-gilakan sangat tu. Cukup sampai di sini saja. Kontrak tu saya dah tandatangan seperti yang saya janjikan. Rasanya sekarang awak dah boleh kemas baju awak, Lia," ujar Seungmin. Belum sempat dia hendak menutup pintu semula, Lia lebih pantas meraih pergelangan tangannya.

"Maafkan saya, Seungmin... Beri saya peluang untuk baiki kesilapan saya pada awak," pinta Lia bersungguh.

"Peluang? Walaupun selepas apa yang awak buat pada saya? Kalau awak nak tahu, saya memang berniat nak serahkan sekali buku formula tu pada awak cuma tunggu waktu yang sesuai tapi apa yang awak buat? Awak dah khianati kepercayaan saya... Saya anggap awak sebagai seorang yang mengisi kekosongan dalam hidup saya tapi semua tu hanya sangkaan saya je. Saya rasa dah tak ada apa-apa lagi untuk dibincangkan. Sebelum ni awak kata awak tak akan balik ke Gangnam tanpa kontrak tu dan sekarang apa yang awak nak, saya beri. Jadi sila tinggalkan rumah tu esok." Seungmin merentap tangannya dari pegangan Lia.

"Kenapa awak tak faham niat saya? Saya cuma nak tolong awak, Seungmin. Dengan kebaikan awak pada saya selama ni, hanya dengan cara ni saja saya dapat balas... Saya akui apa yang saya buat tu salah tapi tak boleh ke awak maafkan saya untuk kali ni?" Kata Lia dalam tangisnya. Meskipun perbuatannya itu tidak betul tetapi dia yakin apa yang dilakukannya masih lagi dapat dimaafkan.

"Saya lebih rela awak tak balas kebaikan saya daripada awak khianati saya, Lia." Seungmin mengakhiri kata sebelum menutup pintu rumahnya.

Lia memejamkan matanya dengan perasaan yang sebak tidak terkata. Sungguh, hatinya tidak kuat untuk hadapi semua ini. Hubungan baik mereka berdua musnah begitu saja. Lia menuruni anak tangga dengan berat hati. Dia berpaling ke arah rumah Seungmin sebelum pulang ke kediamannya.

Seungmin yang masih berdiri di belakang pintu hanya mampu mendiamkan dirinya. Dia kemudiannya perlahan-lahan duduk memeluk lutut lalu menangis teresak-esak. Dalam keadaan itu, dia mula mempersoalkan kenapa semua ini berlaku padanya. Di saat dirinya menyerahkan semua kepercayaan serta hatinya, di saat itu juga lah orang yang dipercayai, menyakiti perasaannya.

✾✾✾✾✾

Cahaya matahari mula menerangi langit menandakan hari sudah pagi. Lia yang tidak tidur semalaman, termenung ke luar tingkap. Wajahnya kelihatan sembap dan juga comot dengan bekas airmata. Fail yang berisi kontrak dan juga buku formula yang diberikan Seungmin, dipandang kosong. Sekarang, semua itu sudah tidak bererti lagi.

Beg bagasi yang sudah dikemas, diheret keluar. Seperti arahan yang diberikan Seungmin, dia akan keluar dari rumah pada pagi itu. Lia memerhatikan keadaan dalam rumah untuk kali terakhir. Dia masih ingat betapa dia tidak suka akan rumah itu pada kali pertama melihatnya namun sekarang, dia sendiri berat hati untuk melangkah keluar.

Selepas memastikan pintu selamat dikunci, Lia memandang rumah Seungmin sebelum menapak menuju ke sana untuk menyerahkan kunci. Beberapa kali dia mengetuk pintu, barulah dia sedar yang Seungmin tiada di rumah pada ketika itu. Lia melepaskan keluhan di tangga sambil memikirkan di mana dia hendak meninggalkan kunci itu.



Changbin menguap seraya menggaru kepalanya. Rambut yang kusut masai dibiarkan begitu saja sebelum membuka pintu rumah. Matanya yang masih mengantuk serta merta menjadi segar apabila melihat Lia berdiri di hadapan pagar rumahnya bersama beg bagasi di sisinya.

"Lia? Awak buat apa dekat sini?" Tanya Changbin sebelum menguap untuk kedua kalinya. Selipar disarung lalu dia menghampiri Lia yang tercegat di sebalik pagar.

"Maaf saya mengganggu tapi boleh awak pulangkan kunci rumah ni pada Seungmin?" Pinta Lia sambil menghulurkan gugusan kunci kepada Changbin.

"Bukan balik esok ke? Lagi satu kenapa awak tak pulangkan sendiri kunci ni pada dia? Seungmin mana ada tempat lain lagi selain rumah hijau," ujar Changbin yang kehairanan.

"Tak apalah lagipun driver saya dah tunggu depan sana. Jumpa lagi, Changbin dan terima kasih atas semua kebaikan awak pada saya. Sampaikan salam saya pada Seungmin. Pergi dulu." Lia meminta diri tanpa sempat Changbin hendak membuka mulut.

Pemergian Lia hanya dihantar dengan pandangan mata. Changbin tahu ada sesuatu yang tidak kena antara Seungmin dan Lia. Niat hendak bertanya dibatalkan apabila dia mula menguap lagi. Soal itu biarlah dulu. Sekarang ini matanya masih lagi terasa berat oleh kerana masih awal pagi dan jejaka itu membuat keputusan untuk sambung tidur semula.

Lia berhenti sejenak sebaik saja tiba di kafe Changbin. Memandangkan masih pagi, kedai itu belum beroperasi. Lia tersenyum tawar sambil menahan sebak. Bangunan setingkat itu merupakan tempat persinggahan pertamanya sewaktu kali pertama menjejakkan kaki di kampung itu. Kini semuanya menjadi kenangan untuknya.  Terlalu banyak memori manis di situ jika hendak dilupakan begitu saja.

"Cik muda..."

Lia tersedar dari lamunan sebaik saja pemandu memanggilnya. Beg bagasi besarnya diserahkan kepada pemandu untuk diletakkan di bonet belakang kereta. Lia menarik nafas dalam lalu masuk ke dalam perut kereta. Tali pinggang keselamatan dipakai dan pandangan dihalakan ke luar tingkap sebelum perlahan-lahan kereta yang dinaikinya bergerak meninggalkan perkampungan Seo-guk.

"Saya harap kita akan bertemu lagi, Seungmin... Semoga dengan berlalunya masa, semua yang terjadi akan digantikan dengan perkara yang lebih baik..."

✾✾✾✾✾

Jessica sudah menunggu depan pintu dengan senyuman yang meleret apabila kereta yang dipandu pemandunya, memasuki garaj rumah. Setelah diberitahu Lia yang dia akan pulang ke Gangnam sehari lebih awal, Jessica dapat merasakan yang adiknya sudah berjaya mendapatkan persetujuan kontrak.

"How's your day? " Tanya Jessica sebaik saja Lia keluar dari kereta.

"Not bad." Pendek saja Lia menjawab. Selepas mengucapkan terima kasih kepada pemandunya, Lia mengheret sendiri beg bagasi tanpa memerlukan bantuan sesiapa. Lihat saja wajah kakaknya yang sedang tersenyum, membuatkan dirinya naik meluat.

Jessica menahan tangan Lia dari terus melangkah masuk ke dalam rumah. "Macam mana dengan kontrak?" Jessica menghulurkan tangan, meminta Lia menyerahkan fail kepadanya ketika itu juga.

"Kak, Lia baru balik. Penat tahu tak? Bukannya kontrak tu boleh lari pun. Lia nak rehat dulu..," ujar Lia malas. Tidak mengendahkan kakaknya, gadis itu meneruskan langkah menuju ke biliknya yang terletak di tingkat atas.

Pintu bilik dibuka perlahan. Sudah dua bulan sejak dia meninggalkan rumahnya kerana dihantar ke perkampungan Seo-guk. Beg bagasi diletak di tepi dinding sebelum merebahkan badan ke atas tilam empuk katilnya. Stiker bintang yang ditampal pada siling putih biliknya dipandang kosong sebelum mengubah posisinya kepada mengiring. Secara tidak sedar, dia mula mengalirkan airmata kerana merindukan suasana di kampung lantas membenamkan wajahnya pada bantal.



Changbin memerhati Seungmin dari pintu rumah hijau. Kelihatan kawannya itu melakukan kerja tanpa sebarang masalah. Gugusan kunci pada tangannya dipandang sekilas lalu mengangkat kaki menuju ke arah Seungmin.

"Wei, ni Lia suruh aku pulangkan kunci rumah pada kau." Changbin menghulurkan gugusan kunci tadi kepada Seungmin.

"Hmm... Kau letaklah dulu dekat atas meja tu," ujar Seungmin yang mana sibuk mencabut mana-mana bunga yang sudah layu.

Tidak banyak soal, Changbin melakukan seperti yang dikatakan Seungmin. Kerusi ditarik sebelum dia melabuhkan punggung di situ. Badan disandarkan manakala kaki sudah disilang seraya memandang Seungmin yang membelakanginya ketika itu.

"Semalam kau cakap nak pergi jalan-jalan dengan Lia... Korang pergi mana?" Changbin memulakan perbualan di antara mereka.

"Pantai, tempat kau confess dekat Lia dulu." Seungmin menjawab dengan nada bersahaja.

Changbin mengemam bibirnya mendengarkan itu. Adakah Seungmin dan Lia bergaduh kerana mendapat tahu tentang itu? Tetapi perkara itu berlaku sudah lama, kenapa pula Seungmin hendak marah?

"Oh macam tu. Bukan kau kata Lia balik esok ke? Kenapa dia balik hari ni? Awal pagi pula tu... Dia tak jumpa kau dulu sebelum balik ke Gangnam?" Bermacam soalan diajukan Changbin kerana rasa ingin tahu. Bukan kerana dia ingin menyibuk tetapi air muka Lia pada pagi tadi kelihatan sangat sedih, tidak ceria seperti selalu yang membuatkan dirinya rasa tertanya-tanya.

"Kalau dia nak jumpa pun, aku tak nak. Hadap muka pengkhianat, buat sakit hati aku je," ujar Seungmin geram.

"Pengkhianat? Apa maksud kau sekarang ni, aku tak faham? Korang bergaduh ke?" Desak Changbin kerana terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Seungmin.

Seungmin meletakkan bunga-bunga yang dikutipnya tadi ke dalam kereta sorong. Tidak berkata apa-apa, Seungmin menghampiri Changbin sebelum duduk berhadapan jejaka itu.

"Lia tak ada cakap apa-apa pada kau?" Soal Seungmin ingin kepastian dan Changbin menggeleng laju.

"Dia tikam belakang aku, Changbin. Dia ambil gambar buku formula Minjee, lepastu dia hantar pada Jessica. Kau tahu tak betapa sakitnya hati aku bila dapat tahu tentang ni? Apa yang buat aku lagi marah, Lia boleh bagi alasan, cakap yang dia buat semua tu sebab nak tolong aku dapatkan peguam. Dalam banyak cara, kenapa dia perlu pilih cara kotor ni? Kau tahu kan, macam mana aku percayakan Lia?" Luah Seungmin panjang lebar.

Changbin terdiam setelah mendapat tahu perkara sebenar. Jadi, inilah perkara yang berlaku di antara mereka berdua. Changbin menggaru hujung keningnya sambil memikirkan apa yang patut dikatakan memandangkan dia tiada sesiapa dalam hal ini.

"Seungmin, aku faham perasaan kau tapi bukan kau patut beri peluang untuk Lia tebus kesalahan dia? Aku tahu aku tak patut beri apa-apa pendapat dalam hal ni tapi waktu Lia jumpa aku pagi tadi, muka dia jelas-jelas nampak sedih dan dia ada cakap terima kasih untuk segalanya. Kau faham tak maksud aku apa? Ayat tu seolah-olah dia tak akan datang ke sini lagi... Bukan itu kan yang kau nak, Seungmin?" Kata Changbin dengan penuh berhati-hati supaya tidak tersalah cakap.

"Baguslah kalau macam tu... Biar dia sedar apa yang dia buat tu salah," balas Seungmin, tidak membenarkan apa yang dikatakan Changbin.

"Seungmin... Sekarang bukan masanya untuk kau tunjuk ego kau. Memang Lia buat kesalahan tapi untuk kali pertama. Selama ni? Dia selalu ada dengan kau dan dia terpaksa buat kerja tu sebab dia faham kasih sayang kau pada Areum, pengorbanan kau dan usaha untuk tolong kau walaupun akhirnya nasib tak menyebelahi kau. Fikirlah, Seungmin. Takkanlah disebabkan buku yang tak boleh buat apa-apa tu, kau sanggup lupakan Lia, perempuan yang ada setiap waktu susah senang kau..," ujar Changbin lagi supaya Seungmin boleh fikirkan semula tentang itu.

"Aku tahu kau menyesal sekarang... Aku dah kenal kau lama, Seungmin. Memang kau marah tapi semua tu untuk sementara je. Jujurlah dengan perasaan sendiri, tak rugi apa-apa pun," sambung Changbin lagi.

Seungmin mula membisu sebaik saja Changbin berkata begitu. Memang benar apa yang diujarkan kawannya. Mengetahui yang Lia sudah pulang, membuatkan dia menyalahi dirinya sendiri. Ya, dia masih marah namun buat masa sekarang, rasa menyesal sudah melebih perasaan marahnya.

"Lia... Tak ada cakap apa-apa lagi sebelum dia balik?" Tanya Seungmin.

"Dia suruh aku kirimkan salam untuk kau. Aku nasihatkan kau, call ataupun mesej dia... Selesaikan masalah korang berdua. Aku tahu, aku tak ada pengalaman dalam bab bercinta ni sebab aku pun baru nak berjinak-jinak dalam dunia percintaan tapi aku yakin yang semuanya akan okey semula sebab benda ni bukanlah seberat kes curang." Sempat Changbin menyelit secebis gurauan dalam katanya.

"Betul ke kau rasa macam tu? Mana tahu, Lia terasa hati dengan aku sebab kena halau," kata Seungmin ragu-ragu.

"Dalam hal ni, korang berdua sama-sama terasa hati... Memandangkan Lia yang bersalah dalam hal ni, mesti dia lebih rasa bersalah sampailah kau yang mulakan semuanya. Ikut je lah cakap aku... Call dia... Bukan susah pun. Hak alah..." Changbin mula berasa geram apabila Seungmin kurang percaya dengan cadangannya.

"Aku tak biasalah cakap dalam telefon dengan Lia. Kalau aku pergi jumpa dia di Gangnam, kau rasa macam mana?" Soal Seungmin minta pendapat.

"Lagi bagus tapi seriuslah kau nak pergi ke Gangnam? Bila?" Tanya Changbin pula.

"Lagi cepat lagi bagus kan? Petang ni pun aku boleh pergi sebab aku bukan ada kerja nak dibuat," kata Seungmin dan Changbin mengangguk perlahan.

"Kau tahu ke rumah Lia dekat mana? Gangnam bukan kecil macam kampung kita," ujar Changbin dengan bersungguh sementara Seungmin sudah memandangnya dengan pandangan kosong.

"Aku tahulah... Aku dah pernah pergi ke sana pun. Pasal rumah dia tu, aku boleh je tanya Daniel sebab Lia pernah beritahu yang rumah dia dekat dengan rumah Daniel, alang-alang dah pergi ke sana, boleh aku jumpa Areum sekali," beritahu Seungmin.

"Kau nak ikut aku?" Pelawa Seungmin.

"Nak eh- tak boleh sebab aku dah janji dengan Pak Sooman nak pergi ke rumah dia petang ni. Sorry lah sebab tak dapat nak teman kau." Changbin memuncungkan mulutnya.

"Tak apalah kalau macam tu. Aku boleh je pergi sendiri," balas Seungmin.

✾✾✾✾✾

Daniel menemani Areum menyiapkan tugasan sekolah oleh kerana sudah memulakan sesi persekolahannya pada hari itu. Daniel mengalih pandangan sebaik saja telefonnya yang terletak di ruang tamu berdering lantas bangun untuk mendapatkan telefonnya.

Melihat nama Lia yang tertera, Daniel menekan butang hijau lalu telefon dilekapkan pada telinga, menunggu Lia memulakan kata.

"Ermm, Daniel. Kau free tak petang ni?"

"Petang ni? Sorry lah tapi aku ada mesyuarat. Kenapa kau tanya? Kejap, kau dah balik Gangnam?"

"Ya, aku balik pagi tadi... Kalau kau sibuk  tak apalah... Sebab aku ingat nak jumpa Areum. Nanti bila kau free, kau beritahu aku."

"Ha ya lah... Lagipun aku hantar Areum ke rumah Mama aku nanti. Tengoklah kalau esok aku free, aku beritahu kau semula. Okey." Daniel mengakhirkan panggilan sebelum menghampiri Areum yang sibuk menyiapkan kerja sekolahnya.

"Siapa Papa?" Tanya Areum sebaik saja Daniel duduk di sebelahnya semula.

"Makcik Lia... Dia nak jumpa Areum tapi Papa kan ada meeting. Nanti bila ada masa, kita jumpa Makcik Lia, ya?" Ujar Daniel bersama senyuman di wajahnya.

"Okey. Papa, malam ni boleh tak Areum nak telefon Ayah?" Minta Areum.

"Mestilah boleh," balas Daniel yang mana membuatkan Areum terus tersengih lebar dan menyambung tugasannya dengan penuh bersemangat. Daniel mengelus lembut rambut anaknya itu.



Tali leher berwarna biru gelap dikemaskan. Jam tangan yang tersimpan di dalam laci, diambil sebelum dipakaikan pada pergelangan tangannya. Minyak wangi juga disembur beberapa kali sebelum meninggalkan bilik pakaiannya.

"Areum, dah siap ke belum?" Tanya Daniel apabila bayang gadis kecil itu tidak kelihatan.

Sambil menunggu, Daniel memeriksa pesanan dalam telefonnya, kalau-kalau setiausahanya ada memberitahu apa-apa. Sedang meleret skrin, satu panggilan masuk. Tidak menunggu lama, Daniel terus menjawab panggilan tadi.

"Ya, Seungmin. Ada apa?" Tanya Daniel. Kalau hendak bercakap dengan Areum, dia tiada masa oleh kerana perlu bertolak ke syarikat.

"Daniel... Boleh tak aku minta location rumah Lia? Kau tahu kan rumah dia dekat mana."

"Rumah Lia? Okey, nanti aku hantar. Kau nak datang Gangnam ke?" Soal Daniel.

"Haah... Kau jangan beritahu sesiapa tau aku nak datang sana... Nanti bila dah sampai, aku nak jumpa Areum sekali."

"Aku sebenarnya ada urusan dekat company tapi tak apalah... Aku hantar location rumah Mama aku sebab Areum ada di sana nanti," beritahu Daniel.

"Okey... Terima kasih."

Sebaik saja menamatkan panggilan, Daniel berpaling ke belakang sebaik saja Areum memanggilnya. Telefon disimpan ke dalam poket seluarnya. Tentang Seungmin akan datang ke Gangnam dirahsiakan terlebih dulu dari pengetahuan Areum seperti yang diminta Seungmin.

✾✾✾✾✾

Seungmin singgah di rumah Pak Sooman sebelum bertolak ke Gangnam. Walaupun Changbin tidak akan pergi bersamanya, jejaka itu sudah berjanji akan menghantarnya ke perhentian bas yang terletak tidak jauh dari perkampungan.

"Kirim salam rindu Pak Sooman pada Lia dengan Areum. Dua-dua Pak Sooman tak sempat nak jumpa," pesan Pak Sooman.

"Saya pun sama, Seungmin." Eunbi mencelah manakala Seungmin mengangguk faham.

"Kita orang pergi dulu," ujar Changbin kerana tidak mahu membuang masa. Meskipun jarak kampung itu dengan Gangnam tidaklah jauh mana namun dengan menaiki bas, tetap akan mengambil masa yang lama.

"Hati-hati bawa kereta." Sempat Pak Sooman memberi pesanan terakhir.

Bas ekspress yang membawa Seungmin ke Gangnam akhirnya tiba setelah mengambil masa hampir sejam setengah untuk tiba di stesen bas bandar itu. Seungmin menunggu penumpang yang lain turun terlebih dulu kerana tidak mahu berpusu-pusu.

Sebaik saja kaki menjejak tanah, Seungmin meregangkan badannya yang terasa agak lenguh kerana duduk lama. Melihat badan bas dari luar, Seungmin tiba-tiba teringat waktu kali pertama dia berjumpa dengan Lia. Meskipun bas yang dinaikinya ialah bas awam namun masih dapat menggamit kenangan itu. Seungmin memegang dadanya yang terasa berdebar. Entah bagaimana reaksi gadis itu nanti.

Beg sandang hitamnya dikemaskan sebelum memulakan langkah. Telefon yang sedia ada pada tangan dibuka untuk melihat lokasi rumah Lia yang dihantar Daniel melalui aplikasi mesej. Sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ, segera ditahan.

"Terima kasih..," ucap Seungmin kepada pemandu teksi seraya menghulurkan duit tambang.

Seungmin membuat keputusan untuk singgah di sebuah kedai yang menyediakan barang aksesori. Sengaja dia berhenti di situ oleh kerana dia datang ke Gangnam dengan tangan kosong. Beberapa jenis klip rambut, subang telinga dan juga cekak rambut yang dijual, dilihat satu persatu. Tidak mahu membuang masa di situ, Seungmin memilih gelang tangan untuk Areum manakala Lia pula dia memilih set subang telinga dan rantai leher.

Plastik yang berisi barangan tadi, disimpan ke dalam beg sandangnya. Seungmin berdiri sementara menunggu lampu isyarat pejalan kaki bertukar kepada lampu hijau. Sambil itu, dia menikmati pandangan di sekitar situ meskipun tiada yang menarik selain bangunan tinggi mencecah langit sebelum matanya tertumpu ke arah seorang nenek bersama seorang cucu perempuannya di sebelahnya. Tanpa disedari, dia mula tersenyum sendiri kerana mengingatkannya pada Ok Soon dan juga Areum dulu.

"Nenek, nak pergi situ!" Kanak-kanak perempuan itu merengek sambil menunjuk ke arah kedai aksesori yang dikunjungi Seungmin tadi.

"Nantilah.. kamu ajak Daddy pergi situ, ya? Nenek tak ada duit," ujar wanita tua tadi.

Kanak-kanak itu mula merengek dan menghentak kaki kerana neneknya tidak mengendahkan kemahuannya. Seungmin yang menyaksikan itu tidak mampu berbuat apa-apa selain mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak, sikap budak itu menyebalkan hatinya.

Tidak puas hati, kanak-kanak tadi berlari ke arah jalan raya sedangkan lampu isyarat masih lagi berwarna merah. Dengan pantas, Seungmin berlari mengekori langkah kanak-kanak perempuan itu tanpa mempedulikan kereta yang lalu lalang. Tangan budak tadi sempat dicapai lalu tubuh kecil itu ditolak ke tepi jalan.

Seungmin menoleh ke kiri dan sebuah kereta meluru laju ke arahnya. Kakinya seakan lemah, membuatkan Seungmin tidak berganjak dari tempatnya lalu dilanggar kereta tadi dan dalam pada masa yang sama, lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau. Orang awam mula mengerumuni tempat kemalangan.

Seungmin menelan liurnya dengan payah dalam keadaan terlentang. Pandangan mata mula bertukar kabur dan perkara terakhir yang dilihatnya ialah Lia sebelum dirinya tidak sedarkan diri di situ.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro