❦30
Seungmin menghadiahkan senyuman sebaik saja membuka pintu dapur rumahnya. Lia yang sedang menyidai pakaiannya ketika itu turut membalas perkara yang sama. Selepas menjemur beberapa baju yang terakhir, Lia menapak menuju ke arah rumah Seungmin.
Keadaan dapur dijenguk sebelum Seungmin menjemputnya masuk ke dalam. Kerusi meja makan ditarik sebelum dijadikan tempat duduknya sementara menunggu Seungmin menyiapkan kerjanya di sinki.
"Lia, nanti kita jalan-jalan nak?" Ajak Seungmin yang masih berdiri di tempatnya.
"Nak! Awak nak bawa saya pergi mana?" Tanya Lia semula.
Seungmin tidak menjawab soalan Lia sebaliknya menghabiskan tugasnya. Selang beberapa minit kemudian, Seungmin mengambil tempat berhadapan dengan Lia. Dia juga membawa sedikit bihun goreng untuk disantap mereka berdua.
"Entahlah, saya pun tak tahu... Awak ada nak pergi mana-mana? Saya saja ajak awak sebab nak hilangkan bosan. Lagi satu, sebelum ni kita kurang luangkan masa sama-sama, jadi saya rasa ni waktu yang sesuai," ujar Seungmin. Air kopi dituang ke dalam cawan sebelum dihulurkan kepada Lia.
"Saya pun tak tahu nak pergi mana... Erm, apa kata tanya Changbin? Mana tahu dia tahu tempat yang best sebab dia kan selalu keluar atas urusan kafe dia." Lia memberi cadangan oleh kerana masing-masing tiada idea ke mana hendak pergi manakala Seungmin sudah mengangguk setuju.
"Nanti saya tanya dia." Pendek saja jawapan Seungmin.
"Semalam, Areum ada call saya... Dia cakap dia rindukan saya dengan awak tapi suara dia happy je, jadi saya tak adalah nak risaukan sangat." Seungmin membuka topik lain untuk dijadikan perbualan.
Lia tersenyum mendengarkan itu. Sebut saja nama Areum, terbit rasa rindu pada kanak-kanak itu. Mana tidaknya, sebelum ini paginya mesti akan diceriakan dengan celoteh Areum. Lia memerhatikan wajah Seungmin dalam diam. Entah apa agaknya yang difikirkan jejaka itu sekarang. Dari luaran memang nampak seperti biasa sahaja tetapi siapa yang tahu isi hatinya?
"Seungmin... Sebenarnya tujuan saya datang ke sini sebab nak beritahu awak yang lusa, saya akan balik ke Gangnam," kata Lia sambil menunggu respon yang akan diberikan Seungmin selepas dia memaklumkan hal itu.
"Oh, maksudnya awak ada lagi tiga hari lah ni. Sebelum awak balik, awak ada apa-apa yang nak dibuat? Kalau boleh, saya tak nak menyesal sebab tak dapat buat apa yang awak nak sepanjang di kampung," tanya Seungmin sebelum mengukirkan senyuman. Nada suaranya juga kedengaran biasa.
"Saya cuma nak luangkan masa dengan awak. Itu saja," beritahu Lia akan keinginannya.
Seungmin mengangguk faham. Harap tingkahlaku yang kelihatan biasa itu dapat menutup perasaan sedih yang hadir di sudut hatinya. Nampaknya selepas ini dia akan menghabiskan sendirian di kampung tanpa ditemani sesiapa lagi.
"Tentang apa yang awak tanya saya semalam, saya janji akan jawab petang ni," sambung Lia. Bibir bawahnya dikemam dengan berharap apa yang akan dilakukannya itu ialah perkara yang betul.
Seungmin tergamam. Adakah masih ada harapan untuk Lia terus menetap di kampung? Apa yang dituturkan Lia membuatkan dia gembira meskipun tidak tahu apa jawapannya.
"Okey," balas Seungmin seraya tersenyum lebar.
✾✾✾✾✾
Daniel menyikat rambut Areum sebaik saja gadis kecil itu selesai menyarungkan gaun. Dia akui yang dirinya kekok untuk melakukan hal demikian tetapi dia juga sudah nekad untuk membiasakan dirinya dengan melakukan itu. Apatah lagi, Areum ialah anak kandungnya sendiri.
"Kita nak pergi mana hari ni, Pakcik Daniel?" Tanya Areum sambil memandang ke arah cermin yang mana menampakkan Daniel di dalamnya.
"Kita pergi sarapan di rumah Nek Ma... Pakcik nak kenalkan Areum pada ayah Pakcik pula," beritahu Daniel. Jika diikutkan, mereka sudah makan bersama petang semalam namun terpaksa dibatalkan apabila ayahnya ada urusan mendadak di pejabat. Sebagai ganti, mereka akan bertemu pada pagi itu.
"Oh, okey. Areum suka Nek Ma sebab Nek Ma baik," kata Areum yang mana mencetuskan tawa Daniel.
"Habis tu, Areum ingat Nek Ma jahat ke?" Tanya Daniel inginkan kepastian tentang apa yang difikirkan gadis kecil itu sebelum ini. Areum mengangguk tanpa berfikir lama. Memang itu apa yang dirasakannya sebelum tiba di rumah banglo Yoojin semalam.
"Lepas tu, Areum perasan yang Nek Ma pun ada tahi lalat di bawah mata. Sama macam kita, cuma tahi lalat Nek Ma di bawah mata kiri," ujar Areum dengan nada teruja sementara Daniel hanya tertawa dari tadi kerana terhibur.
"Areum tak bosan duduk dengan Pakcik?" Soal Daniel sebelum tersenyum apabila Areum menggeleng.
"Tak bosan tapi Areum rindukan Ayah," luahnya. Bibir mungilnya juga sudah mencebik sebaik saja mengatakan perasaan rindu.
Daniel mengusap perlahan pundak kepala anaknya. "Nanti setiap kali cuti sekolah, Pakcik akan bawa Areum jumpa Ayah dekat kampung tapi dengan satu syarat."
"Apa? Apa?" Soal Areum tidak sabar.
"Areum kena tukar panggilan Pakcik kepada Papa... Boleh?" Ujar Daniel. Dia sangat ingin mendengar gelaran itu keluar dari mulut Areum sejak kali pertama mereka berjumpa lagi.
"Okey, Papa!" Jawab Areum tanpa sebarang masalah sebaliknya bersama senyuman manisnya. Daniel mula berasa terharu apabila dapat mendengar perkataan itu lantas memeluk tubuh kecil Areum. "Terima kasih sebab sudi terima Papa dalam hidup Areum."
"Sama-sama," balas Areum semula meskipun dia sendiri kurang faham dengan apa yang cuba dimaksudkan Daniel.
"Jom, kita pergi sekarang. Mesti Nek Ma dah tunggu kita," ajak Daniel dan dibalas dengan anggukan kecil dari Areum.
✾✾✾✾✾
Changbin melepaskan lelah sambil terbatuk-batuk. Nafas ditarik sedalam-dalamnya setelah penat melakukan kerja yang tidak pernah dibuatnya sebelum ini. Baru saja hendak mengelap peluh di dahi, Changbin mengeluh berat namun digagahkan jua kaki untuk melangkah ke arah gerangan yang memanggil.
"Ya, Pak Sooman." Lemah saja suaranya saat menuturkan kata.
"Lah, baru seikat kayu api kamu potong... Dah penat?" Tanya Pak Sooman sebaik saja melihat Changbin seperti tidak bermaya.
"Hmm... Tak apalah kalau kamu dah penat. Pak Sooman minta to-"
"Mana ada penat! Tengok badanlah Pak Sooman. Mana lagi kayu api yang nak dipotong?" Potong Changbin tanpa menunggu orang tua itu menghabiskan kata.
Pak Sooman tersenyum senget. Tahu takut. Hendak menerima restunya, bukanlah semudah memetik jari. Dia perlu memastikan jejaka itu pandai dalam melakukan pelbagai kerja kampung. Seikat kayu api dipikul sebelum diletakkan di atas tanah.
Changbin menelan liurnya dalam diam. Wajah penat serta merta dimaniskan dengan senyuman tidak ikhlas apabila Pak Sooman memandangnya.
"Banyak betul kayu api, Pak Sooman. Nak kata musim sejuk, sekarang musim panas. Ke Pak Sooman nak buat barbeku? Kalau ya, jangan lupa ajak saya, tau?" Sempat Changbin mencuri masa dengan berbual. Biarlah dia berehat beberapa minit sebelum menyambung tugasan yang tidak masuk akal itu.
"Tak adalah... Pak Sooman saja minta tolong kamu. Nak buat persediaan awal-awal. Nanti tak payah susah-susah nak buat semua ni," ujar Pak Sooman dengan selamba.
"Oh... Bersemangat betul ya Pak Sooman nak sambut musim sejuk, hehe," kata Changbin ataupun lebih kepada sindiran.
"Kamu potong lah dulu kayu api tu. Pak Sooman nak ke tandas sekejap." Lelaki separuh usia itu meminta diri sebentar. Changbin pula hanya mengangguk.
Tidak lama selepas Pak Sooman masuk ke dalam rumah, Eunbi keluar bersama dulang air pada tangannya. Melihat Changbin bergelut dengan kayu api, dia mula bersimpati. Mana tidaknya, sudah jelas yang jejaka itu tidak mahir menggunakan kapak. Lihat saja cara pegangannya. Eunbi menggeleng perlahan.
"Changbin, awak minumlah air dulu," pelawa Eunbi sebaik saja meletakkan dulang di atas bangsal.
"Terima kasih," ucap Changbin lantas mencapai segelas air sirap bandung yang dibawa Eunbi tadi.
"Saya minta maaf kalau ayah saya menyusahkan awak tapi memang itulah sikap dia setiap kali ada lelaki yang cuba nak berkawan dengan saya," ujar Eunbi dengan rasa bersalah. Kasihan dia melihat Changbin yang sudah bermandi peluh kerana disuruh memotong kayu api.
"Biar saya teka... Semua lelaki yang nak berkawan dengan awak tu, mesti larikan diri kan? Sebab tak tahan... Betul tak tekaan saya?" Changbin mula berasa yakin selepas mendapat tahu hal itu.
"Betul lah tu, lagipun siapa je yang tahan dengan ayah saya tu. Tegas tak kena tempat. Waktu berbual memang masuk air tapi kalau dah datang mood serius, suruh panjat pokok kelapa pun tak mustahil," jawab Eunbi sebelum tertawa sendiri. Terbayang pula Changbin disuruh memanjat pokok kelapa. Silap-silap, pokok kelapa pun menyerah diri.
"Hahahaha! Sekarang barulah saya faham kenapa awak tak berkawan dengan lelaki sejak dari sekolah lagi. Inilah sebab dia rupanya. Nasib baik dekat lelaki je Pak Sooman buat syarat tu... Kalau dekat perempuan, mahu kera sumbang awak dibuatnya," seloroh Changbin yang kemudiannya disambut dengan suara tawa Eunbi.
"Amboi bukan main lagi kamu berdua bergelak sakan. Bila nak siap potong kayu api macam tu?" Tegur Pak Sooman dari jauh.
"Kejaplah Pak Sooman... Bagilah saya habiskan air ni dulu," rengek Changbin.
"Ya lah... Kamu berhentilah dulu kerja tu. Dah masuk tengahari ni, nanti tak pasal-pasal kamu pengsan tengah panas. Kamu baliklah dulu, bersihkan diri... Nanti datang sini semula... Makan tengahari sekali," ujar Pak Sooman yang mana membuatkan mata Changbin bersinar.
"Okey, Pak Sooman! Kalau macam tu saya balik dululah." Changbin segera bangun dari tempat duduknya, bersedia untuk pulang.
"Jangan lupa datang semula. Eunbi dah masak lebih ni," pesan Pak Sooman.
"Baik, Pak Sooman. Saya minta diri dulu... Jumpa nanti, Eunbi." Sempat Changbin melambai perlahan ke arah gadis cantik itu sebelum tergelak apabila Pak Sooman memandangnya tajam.
✾✾✾✾✾
Seungmin menolak pintu gelangsar kafe Changbin sambil matanya melilau mencari kelibat kawannya itu. Selalunya Changbin akan berada di kaunter ataupun bahagian dapur.
"Selamat datang, nak order air apa?" Ramah salah seorang pekerja yang bertugas di bahagian kaunter. Tangannya juga sudah bersedia untuk menulis pesanan yang akan dibuat.
"Oh, saya datang sini bukan nak beli air tapi cari Changbin. Dia ada?" Tanya Seungmin.
"Bos? Hari ni dia belum datang ke sini lagi. Kalau nak sampaikan apa-apa pesanan, encik boleh beritahu pada saya," ujar pekerja tadi bersama senyuman manis.
"Eh tak apalah... Saya saja cari di-"
"Seungmin? Seriuslah kau datang sini nak beli air aku?" Untuk sesaat, suasana kafe lengang tanpa sebarang suara.
Dengar saja suara lantang itu, Seungmin menghela nafas perlahan. Senyuman diberikan kepada pekerja lantas dia berpaling ke arah Changbin manakala jejaka berbadan sasa itu sudah berlari kecil ke arahnya meskipun jarak tidak jauh.
"Dah order air? Kau beli air apa?" Soal Changbin tanpa bertanya terlebih dulu tujuan sebenar Seungmin singgah di kafenya.
"Ish! Aku bukan datang sini nak beli air... Aku nak jumpa kau," beritahu Seungmin.
"Ju-jumpa aku?" Changbin menutup mulutnya tanda tidak percaya sebaik mendengarkan itu dari mulut Seungmin, lelaki yang selalu berkelakuan dingin padanya.
"Ya, aku ada benda nak tanya dekat kau tapi bukan dekat sini. Kita cakap di tepi tasik," ujar Seungmin lalu melangkah keluar tanpa menunggu Changbin.
"Okey, kau nak tanya aku pasal apa?" Tanya Changbin tidak sabar. Jika Seungmin ingin meminta pertolongan darinya, dia tidak akan teragak-agak untuk membantu memandangkan Seungmin bersendirian sekarang.
"Kau tahu mana-mana tempat yang menarik? Aku ingat nak keluar dengan Lia petang ni," tanya Seungmin.
Changbin meraut dagunya, cuba memikir tempat menarik seperti yang ditanyakan Seungmin. "Hmm... Tak pastilah lagipun aku tak tahu sangat tempat. Sorry lah... Aku tak dapat tolong kau kali ni." Bahu Seungmin ditepuk perlahan.
"Tak apalah kalau kau cakap macam tu. Nanti pandailah aku cari sendiri tempat. Aku tanya pekerja kau tadi, dia kata kau dari pagi tak datang kafe... Pergi mana? Bukan selalunya kau dekat sini ke?" Soal Seungmin bagi menukar topik perbualan.
"Aku dekat rumah Pak Sooman. Orang tua tu suruh aku potong kayu api dekat rumah dia. Bukan sikit, dua ikat kau tahu? Nasib baiklah aku penyabar orangnya," beritahu Changbin sekaligus mengadu kepada Seungmin.
"Buat apa kayu api?" Tanya Seungmin kehairanan. Hendak kata musim sejuk, sekarang sedang musim panas yang mana baru saja bermula.
"Dia saja buat macam tu. Eunbi beritahu aku yang kalau setiap kali lelaki nak kenal dia, mesti Pak Sooman dera buat kerja. Kalau lulus, dapatlah berkawan dengan Eunbi dan setakat ni, aku orang pertama yang dapat sabar dengan Pak Sooman," ujar Changbin dengan bangga.
Seungmin mengherotkan mulutnya tanda menyampah. Dia bertanya sedikit saja tetapi melebih pula si Changbin menjawab.
"Weh, Lia dah nak balik Gangnam kan? Seingat aku haritu dia ada beritahu aku yang dia dah tak lama duduk sini," soal Changbin inginkan kepastian.
"Hmm... Lusa dia dah balik sebab tu aku nak luangkan masa dengan dia," balas Seungmin.
Changbin memandang sisi wajah Seungmin dan kelihatan kawannya itu seperti sedang menyembunyikan perasaannya seorang diri. Siapa saja yang tidak sedih apabila seorang demi seorang pergi meninggalkannya.
"Macam mana dengan kontrak tu? Kau bersetuju ke?" Tanya Changbin lagi.
Seungmin mengangguk, mengiyakan soalan Changbin. "Aku ingat nak serahkan ladang bunga tu pada Lia... Kau rasa macam mana?" Seungmin meminta pendapat.
"Aik? Kenapa pula? Bukan kau sayang ke ladang bunga kau tu sampai semua tawaran kau tolak. Kali ni dah ubah fikiran pula?" Changbin mengerutkan dahi kehairanan.
"Bukan apa... Dengan cara tu, dapatlah aku jumpa Lia lagi. Kalau setakat jadi pembekal, aku bukan ada peluang pun nak jumpa dia lagi-lagi Lia pegang jawatan yang berlainan dalam company dia. Kau rasa benda yang sama?" Tanya Seungmin lagi memandangkan Changbin masih belum menjawab soalannya.
"Aku rasa okey je kalau itulah alasan kau tapi... Kalau kau serahkan ladang bunga tu pada Lia, apa ganjaran yang kau akan dapat? Tak ke rugi dekat situ? Ataupun macam ni... Kau bahagi bahagian ladang tu sama rata antara kau dengan Lia, dengan cara macam tu, kau pun akan dapat untung," cadang Changbin.
Seungmin diam sejenak bagi menghadam apa yang dicadangkan Changbin. "Betul juga apa yang kau kata tu. Tak sia-sia aku tanya pendapat kau," ujar Seungmin.
"Mestilah... Aku kan pakar bab macam ni. Maksudnya, kau belum beritahu Lia lah tentang ni, kan?" Tanya Changbin dan Seungmin mengangguk perlahan.
"Aku ingat, nak beritahu dia petang ni. Sebenarnya aku berat hati nak biarkan Lia balik tapi aku ni siapa nak buat macam tu. Sekurang-kurangnya dengan cara ni, aku masih dapat jumpa dia lagi," luah Seungmin.
"Oh ya, Areum macam mana? Daniel tak ada cakap apa-apa, ke?" Soal Changbin sebaik saja teringatkan gadis kecil itu.
"Malam semalam Areum call aku. Dia happy dekat sana, cuma rindukan aku dengan Lia. Aku rasa Daniel layan dia dengan baik sebab suara dia pun ceria je," beritahu Seungmin.
"Kau dengan Lia je? Aku? Dia tak ada sebut pasal aku ke?" Changbin mula menarik muncung apabila namanya tidak termasuk dalam senarai.
"Tak ada pula... Alah, takkanlah itu pun nak berkira. Lama-lama nanti dia rindulah tu tapi bukan kau lah... Air boba kau sebab Areum kan suka air boba kau," seloroh Seungmin lalu tertawa kecil.
"Okeylah, aku minta diri dulu. Pergi sambung kerja kau tu... Makan gaji buta je tahu," sakat Seungmin lagi.
"Yah! Aku bos! Apa yang makan gaji buta??" Marah Changbin sementara Seungmin sudah melarikan diri selepas dapat mengusiknya.
✾✾✾✾✾
Seungmin merapikan kolar kemeja-T yang dipakainya. Sikat yang terletak di atas almari cerminnya diambil untuk merapikan rambut lalu jejaka itu melangkah keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup dan kunci motor yang tersangkut pada tempat kekunci diambil.
Baru saja hendak membuka pintu, kunci yang dipegangnya terjatuh ke atas lantai. Seungmin mengeluh kecil sebelum membongkokkan badannya untuk mengutip kuncinya dan ketika itu matanya menangkap sesuatu yang bersinar dari bawah kerusi. Tidak memikirkan apa-apa, Seungmin mengambil barang tadi lantas mengerut dahinya kerana hairan.
"Rantai tangan Lia?" Soalnya sendiri. Suara Lia yang kedengaran dari luar membuatkan Seungmin membuka pintu rumahnya.
Segaris senyuman dilemparkan sebaik saja mereka berdua bertentang muka. Seungmin mengunci pintu rumahnya lalu menghampiri Lia.
"Awak... Ni, saya jumpa rantai tangan awak bawah kerusi." Seungmin memulangkan barang kemas itu kepada Lia tanpa sebarang syak memandangkan gadis itu sering berkunjung ke rumah dia semasa Areum masih di situ.
"Eh, patutlah saya cari tak jumpa. Ingatkan dah tercicir dekat mana-mana. Terima kasih," ucap Lia lantas mengambil rantai tangannya.
"Sama-sama." Seungmin tersenyum seperti biasa. Tidak membuang masa, pasangan itu mula meninggalkan perkarangan rumah untuk ke satu tempat sepertimana yang dijanjikan.
Angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa menerbangkan rambut panjang Lia yang dibiarkan tidak berikat. Sambil berjalan di persisiran pantai, Lia menyelit rambutnya di belakang telinga.
"Awak tak pernah pergi ke sini lagi kan?" Tanya Seungmin. Tangan mereka yang saling bergandingan itu dihayun perlahan.
"Dah... Saya pernah pergi ke sini sekali," beritahu Lia. Seungmin yang tadinya menikmati pemandangan di situ terus menoleh ke arah Lia.
"Bila? Dengan siapa? Kenapa saya tak tahu pun?" Soal Seungmin bernada cemburu. Mulutnya juga sudah muncung sedepa.
Lia tertawa kecil melihat reaksi Seungmin. Tidak sangka pula pergi ke pantai pun mampu membuatkan jejaka itu cemburu.
"Dengan Changbin... Masa tu awak jual mahal lagi dengan saya," ujar Lia.
"Ha... Okey, saya tahu bila. Mesti masa Changbin confess dekat awak, kan?" Teka Seungmin lalu tersenyum lebar apabila tekaannya tepat.
Pandangan Seungmin jatuh pada pegangan tangan mereka saat itu. Untuk kali pertama, dia berasa begitu bahagia selepas semua yang berlaku di dalam hidupnya. Selepas kehilangan nenek, Lia ada untuk memberi semangat kepadanya begitu juga dengan pemergian Areum. Dalam erti kata lain, Lia sentiasa berada di sisinya bukan saja pada waktu gembiranya namun juga pada waktu sukarnya.
"Mesti lagi best kalau kita dapat luangkan masa kita macam ni setiap hari, kan?" kata Seungmin, membuatkan Lia mendongak memandangnya.
"Awak jangan risau. Saya akan pastikan yang semua tu akan terjadi, cuma awak perlu beri masa dan bersabar. Boleh?" Balas Lia seraya mengintai wajah Seungmin.
"Yakin betul," ujar Seungmin sebelum tertawa sendiri.
"Jom kita ambil gambar. Boleh buat kenangan," ajak Lia dengan nada teruja. Tambahan pula ketika itu, langit sudah mula bertukar warna oleh kerana matahari hampir terbenam di ufuk barat.
"Alah... Saya tertinggal telefon dekat rumah. Kita ambil gambar guna telefon awak dulu, nanti awak hantar gambar dekat saya," cadang Seungmin dan Lia hanya mengangguk akur.
Lia mengeluarkan telefon dari beg sandangnya. Beberapa gambar mereka berdua diambil dengan berlatarkan matahari terbenam. Selepas mengambil gambar mereka berdua, Seungmin menawarkan untuk memotret gambar Lia seorang diri. Tidak banyak soal, Lia terus membuat gaya.
Seungmin tersenyum saat melakukan itu kerana geli hati dengan gaya yang dibuat Lia. Baru saja hendak menekan butang kamera, Seungmin secara tidak sengaja meleret skrin telefon yang mana terus menunjukkan ruangan galeri telefon. Melihat gambar yang tertera, senyuman Seungmin terus menghilang sebelum matanya memandang ke arah Lia.
"Dah siap?" Soal Lia sebelum menyedari perubahan riak wajah Seungmin.
"Apa semua ni?" Tanya Seungmin sambil menunjukkan gambar nota formula kamomil yang terpapar pada skrin telefon.
Lia tergamam di tempatnya. "Seungmin... Saya boleh jelaskan semuanya pada awak. Gamb-"
"Awak curi-curi ambil gambar formula kamomil Minjee? Lepas tu apa yang awak buat? Hantar kepada Jessica? Jawab soalan saya, Lia." Suara Seungmin mula mengeras.
"Saya terpaksa buat semua ni untuk tolong awak, Seungmin. Saya minta tolong Jessica untuk dapatkan peguam awak dan saya perlu beri formula kamomil sebagai balasan. Saya minta maaf... Saya betul-betul minta maaf, Seungmin." Lia menunduk memandang tanah, malu untuk bersemuka dengan Seungmin saat itu.
"Sampai hati awak buat macam ni pada saya, Lia. Saya sangka awak lain daripada yang lain tapi sangkaan saya salah," luah Seungmin sayu.
"Saya cuma nak tolong-"
"Awak tak perlu beri alasan untuk betulkan perbuatan awak. Dalam banyak-banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya, pengkhianatan awak yang paling menyakitkan hati saya. Saya percayakan awak sepenuhnya tapi apa yang awak buat? Awak tikam saya dari belakang, Lia..," sambung Seungmin dengan nada sebak.
"Pagi esok, saya nak awak kosongkan rumah tu. Saya tak nak tengok muka awak lagi." Seungmin mengakhiri kata tanpa memberi peluang untuk Lia berkata apa-apa. Hatinya terlalu sakit untuk berdiri di situ lebih lama. Gadis yang dianggap sebagai cinta hatinya, bergelar pengkhianat dalam sekelip mata.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro