Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦29

Keadaan rumah yang gelap gelita menandakan penghuni rumah sudah pun lena. Lampu suluh kecil yang dibawa bersama, dibuka bagi menyuluh ruang tamu.  Perkara pertama yang dilihatnya ialah kabinet televisyen sebelum gerangan tadi menapak perlahan.

Lampu suluh yang dipegang, diletakkan ke atas lantai sementara tangannya menarik laci kabinet untuk mencari barang yang diminta iaitu buku formula kamomil milik Minjee. Beberapa buah majalah lama dikeluarkan namun buku yang dicari tiada di situ. Nafas yang tidak stabil dilepaskan sebelum meneruskan pencarian di tempat almari kayu yang terletak bersebelahan dengan kabinet televisyen tadi.

Seperti yang diharapkan, buku formula kamomil ada tersimpan di situ. Apa yang membuatnya yakin ialah dia pernah melihat buku itu sebelum ini. Telefon yang tersimpan di dalam poket segera dikeluarkan lantas mengambil gambar setiap halaman muka surat tanpa tertinggal sehelai pun. Gerangan misteri itu membuat keputusan tidak mengambil buku itu sekali kerana tidak mahu Seungmin mengesyaki sesuatu.

Sebaik saja menyelesaikan tugasannya, dia memeriksa untuk kali kedua gambar-gambar yang telah diambil tadi. Risau jika ada helaian yang tidak jelas dalam kameranya. Selepas memastikan hal itu, buku formula itu disimpan semula ke dalam laci dengan berhati-hati. Telefon disimpan semula ke tempat asal. Baru saja hendak melangkah pergi, orang tadi terlanggar meja kopi yang terletak di hadapan kabinet televisyen manakala lampu suluh yang dipegang pula terlepas dari tangan.

Seungmin tersentak apabila deria pendengarannya menangkap satu bunyi. Risaukan keadaan Areum yang tidur di bilik berlainan, Seungmin membuat keputusan untuk keluar menjenguk keadaan anaknya. Pintu bilik dibuka lalu Seungmin terus menuju ke bilik Areum.

Gerangan yang bersembunyi di sebalik kerusi, menahan nafasnya sejurus Seungmin keluar dari bilik. Dia mengintai melalui bawah kerusi untuk memastikan sama ada Seungmin sudah kembali ke biliknya atau belum. Nafas berat terus dilepaskan sebaik saja Seungmin masuk ke biliknya semula selepas menjenguk Areum. Selepas mengambil masa lebih kurang tiga minit, gerangan itu bangun dari tempatnya lantas meninggalkan rumah dengan berjaya.

Topeng muka yang dipakai terus ditanggalkan bagi menghirup udara segar. Telefon dikeluarkan dan jarinya menekan ruangan sembang. Ikon kamera ditekan lalu gambar-gambar helaian muka surat buku formula tadi dihantar ke nombor Jessica.

Jessica

Ini semua sekali...

Harap semuanya dah selesai

Good job...

See you later

Selesai memberitahu Jessica, gerangan misteri itu menyimpan semula telefonnya sebelum meneruskan langkah.

✾✾✾✾✾

Lia perasan yang Areum tidak banyak berceloteh pada pagi itu seperti kebiasaannya. Kalau tidak, ada saja yang hendak diceritakan termasuklah mimpi yang dialaminya semasa tidur.

"Kenapa sedih je? Tak comel lah kalau Areum muram macam ni," ujar Lia seraya menyisir rambut kanak-kanak itu memandangkan baru saja selesai mandi.

"Biar lah tak comel. Ayah bukan kisah pun," jawab Areum acuh tidak acuh. Anak patung Elsa sejak dari tadi tidak lepas dari pegangan tangannya.

"Areum... Ayah buat semua ni untuk kebaikan Areum juga. Makcik rasa Ayah dah jelaskan semuanya pada Areum semalam, kan?" Pujuk Lia. Dia mengerti yang Areum masih belum menerima sepenuhnya apa yang dikatakan Seungmin.

Areum mengangguk perlahan, mengiyakan kata-kata Lia. Beg bagasi yang bersaiz sederhana dipandang lama. Awal-awal pagi lagi, Seungmin sudah meletakkan pakaiannya ke dalam beg itu hingga hanya beberapa helai saja pakaiannya yang dibiarkan di dalam almari bajunya.

"Nanti bila Makcik dah balik Gangnam, kita boleh jumpa selalu sebab rumah Makcik dekat je dengan rumah Pakcik Daniel. Boleh Areum teman Makcik shopping... Mesti best kan?" Pujuk Lia sekaligus berjanji dengan Areum supaya kanak-kanak itu tidak berasa sedih kerana berjauhan dengan Seungmin namun reaksi yang diberikan Areum tidak seperti yang dibayangkannya.

"Kenapa? Areum tak suka ke keluar dengan Makcik?" Tanya Lia ingin mencari jawapan di sebalik wajah mendung Areum.

"Kalau Makcik balik Gangnam, maksudnya Ayah tinggal seorang diri dekat kampung? Siapa yang nak temankan Ayah nanti?" Soal Areum yang lebih risaukan keadaan Seungmin berbanding dirinya sendiri.

Lia tergamam apabila Areum berkata begitu. Secara tidak sengaja, dia mula menyedari yang masanya untuk menetap di kampung sudah tidak lama. Bagaimana dengan Seungmin? Sudah tentu jejaka itu akan berasa kesunyian dengan ketiadaan mereka berdua di rumah itu.

"Areum, dah siap ke belum?" Seungmin yang berdiri di muka pintu bilik membuatkan Lia kembali ke dunia nyata setelah mengelamun. 

Seungmin mengemam bibirnya apabila Areum hanya sekadar mengangguk. Dia kemudiannya memandang ke arah Lia pula lalu menyimpulkan senyuman yang sukar ditafsirkan. Areum bangun dari tempatnya lalu mengheret beg bagasinya untuk diletakkan di ruang tamu sementara menunggu Daniel sampai.

Lia menghampiri Seungmin sebaik saja Areum pergi ke ruangan beranda. "Awak janganlah ambil hati dengan dia. Saya tanya pun dia nak tak nak je jawab. Mungkin dia sengaja buat macam tu sebab nak suruh kita pujuk dia," beritahu Lia.

"Saya pun dah tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau ikutkan, banyak perkara yang saya nak pesan pada Areum tapi semuanya hilang macam tu je setiap kali tengok muka sedih Areum," luah Seungmin sementara Lia hanya menunduk memandang lantai.

Kereta Daniel masuk ke perkarangan rumah Seungmin selang beberapa minit kemudian. Menyedari hal itu, Seungmin dan Lia sama-sama melangkah keluar. Senyuman manis Daniel tidak dihiraukan sebaliknya Seungmin menghampiri Areum yang masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

"Areum, ingat pesan Ayah semalam kan?" Tanya Seungmin lembut. Waktu yang sangat tidak dinantikan akhirnya tiba. Kali ini dia akan berpisah dengan Areum untuk waktu yang sangat lama.

Areum diam tidak menjawab melainkan hanya airmata yang mengalir, sama seperti semalam. Dirinya berasa begitu sedih kerana ayahnya tidak melakukan apa pun supaya dia tidak pergi bersama Daniel. Seharian dia cuba berkelakuan baik tetapi itu semua hanya sia-sia.

Seungmin menahan sebak. Kedua ibu jarinya mengesat airmata Areum yang bercucuran membasahi wajah. Tangan kecil Areum diraih lembut kemudian ditatap penuh perasaan. Dia masih ingat hari pertama dia memegang Areum sebaik saja dilahirkan. Betapa kekoknya dia saat itu kerana tidak biasa namun sebaik saja jari halus Areum menggenggam jarinya, segala masalah hilang begitu saja dan perasaan sayang terbit jauh dari sudut hatinya meskipun Areum bukanlah darah dagingnya.

"Areum, pandang Ayah..," minta Seungmin dan gadis kecil itu akur dalam diam.

"Dengar cakap Pakcik Daniel dan jangan nakal-nakal... Faham? Ayah nak Areum selalu ingat betapa sayangnya Ayah pada Areum, okey?" Kata Seungmin. Suaranya bergetar saat itu kerana menahan tangis.

Areum tidak bersuara sebaliknya terus mendakap erat tubuh lelaki yang telah membesarkannya selama ini. Dalam pelukan itu jugalah Areum melepaskan tangisan sekuat hatinya. Baju Seungmin digenggam erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan itu.

"Areum pun sa- sayangkan Ayah... Areum jan- janji akan ingat semua pesanan Ayah..," ujar Areum teresak-esak.

Lia yang menyaksikan itu, turut bergenang airmata. Selama hampir dua bulan dia menetap di kampung itu, kasih sayang dua beranak itu memang tidak dapat dinafikan lagi. Daniel yang berdiri di tangga pula tidak tahu mahu berkata apa dan memilih untuk menjadi pemerhati.

Seungmin meleraikan pelukan. Kedua pipi Areum ditekup lantas mencium dahi anaknya lama. Selepas ini, dia tidak lagi berpeluang melakukan semua itu lagi. Segaris senyuman diukirkan supaya dirinya terlihat kuat di hadapan Areum.

"Jumpa lagi," ucap Seungmin sayu.

Areum mengelap airmatanya seraya mengangguk. Pipi Seungmin dicium sebelum menghampiri Lia pula. Sama seperti ayahnya, Areum memeluk erat tubuh makcik kesayangannya.

"Makcik janji kan nak bawa Areum jalan-jalan nanti?" Tanya Areum inginkan kepastian.

"Ya... Makcik janji," jawab Lia.

Daniel yang tadinya hanya berdiri tanpa melakukan apa-apa, menanggalkan kasutnya untuk mengambil beg bagasi Areum. Sebaik saja beg itu diletakkan di bonet belakang, Daniel menapak ke arah Seungmin semula.

"Seungmin, hal sekolah Areum biar aku saja yang uruskan," ujar Daniel setelah lama mendiamkan diri kerana memberi ruang untuk Seungmin meluangkan masa terakhir bersama anaknya.

"Lagi satu... Walaupun pihak mahkamah beri hak penjagaan penuh pada aku tapi aku janji, setiap kali musim cuti sekolah, aku akan hantar Areum balik ke kampung," sambungnya lagi.

Seungmin mengangguk perlahan. Sekurang-kurangnya, Daniel masih ada sifat bertolak-ansur yang mana menunjukkan jejaka itu mempunyai sisi baiknya.

"Terima kasih sebab sudi beri kerjasama. Aku harap kau jaga Areum elok-elok, jangan sesekali kau abaikan dia dengan alasan sibuk bekerja." Seungmin memberi pesanan dan Daniel mengangguk faham.

"Aku pergi dulu. Nanti dah sampai, aku akan maklumkan pada kau," kata Daniel lantas menuju ke keretanya, mengiringi langkah Areum.

Seungmin menahan sebak melihat anak perempuan yang tidak pernah berpisah dengannya sejak kecil, akan pergi meninggalkannya untuk memulakan fasa hidup baru di samping ayah kandungnya.

Daniel membukakan pintu untuk Areum namun gadis kecil hanya mengeras di tempatnya seolah-olah tidak mahu berganjak sebelum memandang ke arah Seungmin yang berdiri di anak tangga. Tidak menutur sebarang kata, Areum terus berlari ke arah Seungmin sebelum memeluk tubuh jejaka itu sekuat-kuatnya.

"Areum minta maaf sebab tinggalkan Ayah... Ayah jangan lupa, Areum sayangkan Ayah... Jumpa lagi, Ayah..," ucap Areum sambil menangis.

Seungmin membalas dakapan Areum tanpa berkata apa-apa. Tidak lama selepas itu, Seungmin meleraikan pelukan seraya mengusap kepala Areum dengan senyuman yang terukir, meyakinkan Areum yang dirinya baik-baik sahaja.

"Ya, Ayah tak akan lupa. Dah, pergi masuk kereta... Jangan biarkan Pakcik Daniel tunggu lama. Ingat pesan Ayah, jadi anak yang baik," ujar Seungmin lalu membalas lambaian Areum.

Daniel menunduk hormat sebagai tanda pamit sebelum masuk ke tempat pemandu. Enjin dihidupkan dan kereta yang dipandu Daniel mula meninggalkan halaman rumah.

Seungmin menoleh apabila terasa bahunya disentuh dari belakang lantas bibirnya menguntumkan senyuman kecil. "Rasa sunyi kan?" Katanya.

"Awak okey? Kalau awak ada apa-apa yang nak diluahkan, saya sudi mendengar. Saya tak nak awak pendam perasaan sendiri," ujar Lia yang dalam pada masa yang sama, risau dengan Seungmin. Tangannya yang masih di bahu jejaka itu, dicapai lalu diturunkan. Pegangan tangan mereka dieratkan sebelum Seungmin menatap wajah Lia yang berdiri di sebelahnya.

"Saya sendiri yang relakan Areum ikut Daniel, Lia. Itu semua sebab saya yakin yang keputusan ni ialah benda yang betul. Jadi, awak tak perlu risaukan saya tentang hal ni. Macam yang awak tengok sendiri, Areum pun pergi tanpa dipaksa. Hanya dengan sedikit penjelasan, dia dah faham yang mana buatkan saya lega. Sedih, sunyi tu perkara biasa tapi saya dapat hadapi semuanya. Lagipun kita orang bukan terpisah selamanya," kata Seungmin panjang lebar sekaligus cuba memujuk hatinya dengan kata-kata yang menyenangkan. Mana tahu dengan itu, dirinya tidak menyesal.

Lia tersenyum mendengarkannya. Jika itulah apa yang difikirkan Seungmin, dia turut gembira. Senyuman pada wajahnya perlahan mengendur sebaik saja teringatkan satu perkara. Pegangan tangan mereka juga dilepaskan yang membuatkan Seungmin memandang Lia hairan.

"Kenapa?" Soal Seungmin. Aneh dengan perubahan tingkah laku Lia.

"Bukan apa... Saya cuma teringat yang saya ada beberapa hari saja lagi sebelum balik ke Gangnam dan benda tu buatkan saya rasa bersalah," jelas Lia seraya memandang tanah.

"Awak... Tak boleh terus menetap di sini?" Akhirnya Seungmin meluahkan juga perkara yang ingin ditanyakan pada Lia setelah lama dia pendam.

Lia mengangkat wajahnya mendengarkan pertanyaan Seungmin. "Saya-"

"Abaikan sajalah soalan saya tadi, awak tak perlu jawab. Sejak kebelakangan ni saya suka tanya benda yang tak penting. Okeylah, saya nak ke ladang bunga. Nanti jumpa lagi." Seungmin menukar topik lantas meminta diri sebelum Lia menjawab soalannya.

Langkah Seungmin hanya diperhatikan tanpa ada niat menghalang walaupun dia ingin menjawab pertanyaan Seungmin. Lia mengeluh berat setiap kali memikirkan hal itu. Mungkin bila tiba waktu yang sesuai, dia akan berterus terang dengan Seungmin.

✾✾✾✾✾

Changbin menyilangkan kedua tangannya sambil perhatikan Seungmin yang termenung di tasik belakang kafenya. Situasi yang sama namun waktu yang berbeza. Bukan itu saja, kali ini dia tidak bertindak gelabah dengan menyerang Seungmin seperti sebelum ini.

Jejaka berbadan sasa itu menundukkan kepalanya beberapa kali setiap kali berselisih dengan pelanggan hadir ke kafenya sebelum menghampiri Seungmin. Mana tahu kawannya seorang itu perlukan teman untuk berbicara. Lebih-lebih lagi dirinya sudah dimaklumkan Lia yang Daniel sudah mengambil Areum hari itu.

"Jauh termenung sampai nak terkeluar biji mata tu aku tengok," tegur Changbin. Beberapa helai daun kering, disepak perlahan sebelum melabuhkan punggung di sebelah Seungmin.

"Mana ada. Kenapa kau ada dekat sini? Bukan tengah bekerja ke?" Tanya Seungmin dengan nada mendatar.

"Untuk kali ke berapa entah, aku beritahu kau... Aku ni bos jadi suka hati akulah nak keluar ke, nak balik ke... Aku yang bayar gaji bukan dibayar gaji. Ada faham??" Jelas Changbin. Baru saja hendak memulakan perbualan, Seungmin sengaja menaikkan darahnya tanpa sebab.

Seungmin tersenyum senget. Terhibur sekejap hatinya setelah mendengar suara Changbin yang selalu memenuhi ruang pendengarannya.

"Areum macam mana tadi? Aku tak sempat nak jumpa dia buat kali terakhir sebab nak uruskan kaunter." Changbin cuba membuka topik.

"Okey... Menangis tu perkara biasalah tapi tak adalah dia memberontak. Areum kan anak aku, jadi mestilah perangai dia ikut aku... Memahami," ujar Seungmin yang mana sekaligus memuji dirinya sendiri.

"Ya... Memahami sangat-sangat. Maknanya kau okey lah ni? Bukan frust ? Jangan aku pergi nanti, kau terjun tasik pula... Ingat, apa-apa benda kau yang nak buat jangan ada kaitan dengan kafe aku," pesan Changbin. Walaupun ada unsur gurauan dalam katanya tetapi nada yang digunakan kedengaran agak serius.

Seungmin menjeling tajam saat Changbin berkata begitu. Adakah dia terlalu terdesak untuk mati sedangkan masih banyak perkara yang perlu dia lakukan. Kadang-kadang dia keliru dengan Changbin sama ada jejaka itu sedang bergurau atau sebaliknya.

Changbin memuncungkan mulut sebelum menangis perlahan. Rengekannnya membuatkan Seungmin mengerut dahinya kerana hairan. Tiada angin tiada ribut, sudah kenapa Changbin menangis pula. Seungmin memandang sekeliling, risau jika mereka berdua diperhatikan dari jauh oleh kerana dinding kaca kafe Changbin yang menampakkan segalanya dari dalam.

"Kau dah kenapa? Kena sampuk ke?" Soal Seungmin seraya menendang kaki Changbin perlahan.

Changbin menyedut hingusnya yang hampir meleleh sambil mengesat airmata menggunakan apron yang tersarung pada badannya. "Aku tiba-tiba terdengar suara Areum panggil aku Pakcik Besar... Walaupun gelaran tu bukanlah pujian tapi semua tu buatkan aku rindukan Areum... Huaaaaa!" Kali ini Changbin mula menangis kuat.

Bengang bercampur malu mula menjadi satu. Tidak memberi sebarang amaran, Seungmin memukul lengan kekar Changbin sambil mengetap bibirnya menahan geram.

"Areum tu anak aku jadi kau jangan nak melebih macam kau ayah dia... Baik kau masuk kerja sekarang sebelum aku tolak kau dalam tasik," ugut Seungmin. Suaranya juga sudah ditekankan menandakan dia sedang serius.

Changbin memegang lengannya yang terasa perit akibat tamparan Seungmin. Sempat dia melihat lengannya sebelum matanya membulat apabila terdapat kesan tiga jari Seungmin pada kulit cerahnya.

"Yah! Sampai hati kau pukul aku!" Changbin menyambung semula tangisan dramatisnya di situ.

"Dah lah, Changbin. Aku datang sini nak tenangkan fikiran. Muncul je kau, terus bertambah serabut kepala otak aku. Balik dulu... Kulit kau melecet baru kau datang jumpa aku, kalau tak jangan harap aku nak layan kau lagi." Seungmin membuat keputusan untuk mengangkat langkah. Lebih lama dia di situ, risau Changbin akan menjadi makhluk pertama yang menghuni tasik selain sekumpulan itik yang ada.

✾✾✾✾✾

Yoojin sudah tersenyum lebar apabila Daniel memberitahunya yang dia akan makan petang di rumah. Apa yang lebih mengujakan lagi, Daniel turut mengatakan yang dia akan membawa tetamu istimewa untuk menyertai mereka pada petang itu. Siapalah agaknya gerangan yang dimaksudkan anak lelakinya itu.

Yoojin menyelak sedikit langsir lantas berlari kecil ke arah pintu sebelum terkejut sebaik saja membuka pintu rumahnya. Dia yang tadinya teruja melihat kereta Daniel memasuki garaj rumah, kini tercengang apabila anak terunanya itu tidak datang bersama seorang gadis seperti yang dibayangkan sebaliknya bersama kanak-kanak perempuan di sisinya.

"Daniel... Siapa budak ni?" Tanya Yoojin. Wanita itu cuba mengawal suaranya supaya tidak mengguriskan hati anak lelakinya dan juga kanak-kanak perempuan itu.

Tidak menunggu Daniel memberi arahan, Areum terlebih membongkokkan badan sebagai tanda perkenalan. "Selamat petang, Makcik... Nama saya Areum." Gadis kecil itu memperkenalkan dirinya tanpa sebarang ragu-ragu.

Yoojin terus memandang Daniel untuk meminta penjelasan lebih lanjut sebaik saja Areum berkata demikian. Tidak dinafikan kanak-kanak perempuan itu sangat manis namun dia juga perlukan pengesahan dari Daniel.

"Mama, ingat tak Daniel pernah beritahu Mama yang Daniel ada anak? Inilah anak Daniel, Areum," jelas jejaka itu sementara Yoojin tidak memberi sebarang reaksi kerana masih terpegun.

"Maksud Daniel, ni cucu Mama?" Soal Yoojin sebelum tersenyum gembira. Tangan kecil Areum diraih dan wajah comel kanak-kanak itu dipandang lama.

Daniel hanya sekadar mengangguk perlahan. Dia berasa lega kerana ibunya menerima kehadiran Areum dengan hati yang terbuka. Sekarang dia perlu berhadapan dengan ayah dan juga kakaknya yang belum tentu akan memberikan pandangan yang sama seperti ibunya. Daniel memerhatikan Yoojin yang masih ralit memandang Areum.

"Tapi kenapa Daniel datang berdua je? Mana mak Areum?" Tanya Yoojin ingin tahu. Bukan apa, dia juga mahu berkenalan dengan gadis yang telah memenangi hati satu-satunya anak lelakinya itu.

"Mak Areum dah meninggal masa umur Areum tiga tahun. Sebelum ni Areum tinggal dengan Ayah dan Nek Yang tapi sebulan yang lepas, Nek Yang pula meninggal," beritahu Areum sebelum sempat Daniel menjawab pertanyaan Yoojin.

"Oh, Nek Ma minta maaf sebab tanya. Nek Ma tak tahu," ujar Yoojin seraya mengusap kepala Areum bersertakan senyuman manis.

"Tak apa... Areum tak kisah pun. Pakcik Daniel, bila kita boleh makan? Areum dah lapar," adu Areum sambil memegang perutnya yang mula berkeroncong.

Yoojin tertawa kerana terhibur dengan celoteh Areum. Walaupun itu kali pertama Areum menjejakkan kaki di rumahnya, gadis kecil itu sudah pun menyesuaikan diri. Yoojin kemudian mengalihkan perhatian ke arah Daniel pula oleh kerana anaknya itu hanya mendiamkan diri sejak tadi. Dia dapat mengagak yang anak lelakinya itu risaukan tentang ayahnya.

"Daniel, bawa Areum ke meja makan dulu. Tadi Papa ada call Mama, beritahu dalam pukul 4 lebih dia akan balik. Sementara tunggu Papa balik, Mama akan suruh pembantu rumah sediakan snek untuk Areum," beritahu Yoojin dan Daniel hanya mengangguk faham.

✾✾✾✾✾

Seungmin mengemas bilik Areum yang sedikit berselerak dengan barang mainan. Areum hanya membawa beberapa anak patung saja sementara barangan yang lain ditinggalkan di rumah itu. Tangan Seungmin sibuk menyusun barang ke dalam bakul yang dikhaskan untuk mainan Areum.

Cadar katil dirapikan seraya tersenyum tawar. Tipulah jika dia tidak merindui susuk tubuh anak perempuannya namun itu bukanlah tanda dia tidak merelakan pemergian Areum apatah lagi hari sudah malam, yang mana menambahkan lagi kesunyian.

Buku lukisan kesayangan Areum yang ditinggalkan di atas meja belajar diselak helaian demi helaian. Di dalam buku itu, hanya ada lukisan keluarga mereka, tiada perkara lain. Telefon yang berdering mengalihkan perhatian Seungmin lantas jejaka itu bangun meninggalkan bilik.

Butang hijau dileret ke atas bagi menjawab panggilan masuk. Satu suara yang kedengaran terus membuatkan Seungmin tersenyum lebar.

"Ayah! Areum ni!"

"Areum! Tak tidur lagi? Tengah buat apa tu?" Tanya Seungmin. Nada suara Areum yang ceria menunjukkan yang dia baik-baik saja di sana.

"Areum baru siap kemas bilik. Lagipun esok Areum belum mula sekolah jadi Pakcik Daniel izinkan Areum tidur lewat. Hehe."

Seungmin tertawa perlahan. Nampaknya naluri hatinya benar apabila memikirkan yang Daniel akan menjaga Areum sebaiknya. Perbualan di antara mereka berlarutan hingga hampir setengah jam.

"Areum... Dah lama kita bercakap ni. Esok kita sambung semula, ya? Kesian Pakcik Daniel nak guna telefon. Selamat malam, Sayang..."

"Hmm... Okey. Selamat malam, Ayah... Areum sayangkan dan rindukan Ayah."

"Ayah pun sama, Sayang."

Seungmin menamatkan panggilan setelah lama berbual. Meskipun mereka berdua terpisah jauh namun itu tidak memutuskan hubungan mereka sebagai seorang ayah dan anak. Seungmin bersyukur kerana dapat merasai pengalaman sebagai seorang bapa walaupun dirinya sendiri tidak pernah mendirikan rumahtangga dan berharap dia berpeluang merasai pengalaman itu untuk sekali lagi pada suatu hari nanti.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro