Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦27

Lia memandang Seungmin yang bersendirian di beranda rumahnya. Selepas pergaduhan yang berlaku, Seungmin tidak banyak bercakap dan menghabiskan masa sendirian yang mana membuatkan Lia kerisauan. Dia menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Seungmin menyerang Daniel petang tadi.

Areum yang sudah lena, diperhatikan sekilas lantas pintu bilik Areum ditutup perlahan. Beberapa barang rawatan dikeluarkan dari peti kecemasan sebelum menghampiri Seungmin.

Lamunan Seungmin terhenti sebaik saja Lia mengambil tempat di sebelahnya. Tidak berkata apa-apa, Lia menarik tangan kiri Seungmin. Cecair yang digunakan untuk membersihkan luka dituang pada kapas lalu dicuci tulang buku limanya yang tercedera. Selesai mencuci bahagian luka, Lia menyapu sedikit krim pereda bengkak sebelum dibalut dengan plaster memandangkan luka pada tangannya tidaklah teruk mana. Seungmin tidak melatah saat Lia menatap wajahnya.

"Terima kasih." Pendek saja ucapan Seungmin oleh kerana dia sendiri tidak tahu mahu berbual tentang apa.

"Kenapa awak pukul Daniel?" Tanya Lia, inginkan jawapan di sebalik kelakuan kurang matang Seungmin.

"Salah ke saya bagi pengajaran pada dia? Dia yang mulakan semuanya," jawab Seungmin, membela dirinya kerana merasakan perbuatannya tidak salah.

Lia menghela nafas panjang. Sesungguhnya dia memahami bagaimana perasaan Seungmin tetapi perbuatan itu bukanlah perkara yang patut dilakukan oleh mereka berdua.

"Seungmin, kalau awak pukul Daniel... Itu bukan perkara yang tepat. Saya faham awak marah pada dia sebab bawa Areum tanpa kebenaran awak tapi seeloknya awak tak gunakan kekasaran. Macam mana kalau dia buat kenyataan pasal tadi di mahkamah nanti dan benda tu akan jejaskan situasi awak untuk dapatkan hak penjagaan, nak macam tu?" Jelas Lia supaya Seungmin belajar dari kesilapannya.

Seungmin mengemam bibirnya mendengarkan itu. "Kalau apa yang awak katakan tu betul, saya tak berpeluang untuk jalankan tanggungjawab saya sebagai ayah kepada Areum? Saya pukul Daniel, bukan Areum. Kenapa benda tu akan termasuk dalam masalah ni di mahkamah?" Soal Seungmin tidak puas hati.

"Mungkin awak kurang faham dalam hal ni tapi semuanya tidak mustahil. Daniel akan upah peguam terbaik demi dapatkan apa yang dia nak. Jadi, dia akan gunakan apa saja kekurangan awak untuk jatuhkan awak dan dapatkan hak penjagaan penuh. Sebab itu saya kata, pergaduhan bukanlah penyelesaian," terang Lia lagi. Meskipun dia tidak arif dalam masalah ini namun apa yang diberitahunya sudah pernah berlaku. Memanipulasi kenyataan bukanlah perkara asing dalam persidangan.

Seungmin melihat tangannya yang dibalut dan mula rasa menyesal dengan kelakuan terburu-burunya. Wajah diangkat apabila Lia memegang tangannya bersama senyuman. Sedikit sebanyak senyuman Lia dapat menenangkan hatinya yang resah.

"Awak jangan risau, saya janji akan tolong awak untuk dapatkan peguam yang dipercayai. Ini saja yang dapat saya bantu," ujar Lia dan dalam masa yang sama dia memujuk hati Seungmin.

"Tapi dengan satu syarat..." Seungmin memandang Lia, menunggu gadis itu menghabiskan kata.

"Janji jangan pukul Daniel lagi. Walau macam mana sekalipun, awak kena tahan diri awak dari gunakan kekasaran sebelum perbicaraan di mahkamah. Boleh?" Sambung Lia. Jari kelingking ditunjuk, menunggu Seungmin menyambut janjinya.

"Okey, saya janji," jawab Seungmin lantas kedua jari mereka bertaut antara satu sama lain. Lia tersenyum manis kerana Seungmin kelihatan lebih ceria dari sebelum ini.

"Good boy," puji Lia lalu tergamam apabila Seungmin menariknya ke dalam pelukan. Nafas terasa sukar untuk dilepaskan kerana terkejut. Seungmin merehatkan dagunya di atas bahu Lia sebelum mengeratkan lagi dakapan.

"Terima kasih, Lia sebab selalu ada di samping saya," ujar Seungmin sambil memejamkan kedua matanya, cuba mengamati suasana nyaman ketika itu.

Mendengarkan kata-kata Seungmin, Lia perlahan-lahan membalas pelukan jejaka itu seraya tersenyum lebar. "Sama-sama, Seungmin."

✾✾✾✾✾

Changbin mengintai Seungmin di sebalik pokok mempelam. Jika dilihat dari jauh, Seungmin kelihatan baik-baik saja seperti tiada apa yang berlaku. Hendak menghampiri kawannya itu, naluri hatinya kuat mengatakan jangan. Perlukah dia membuat keputusan berpandukan gerak hatinya? Namun dalam masa yang sama, dia juga ingin tahu perkara sebenar di sebalik kejadian semalam. Siapakah lelaki yang menjadi mangsa tumbukan padu Seungmin semalam?

Seungmin menoleh sejurus dapat merasakan kehadiran Changbin di halaman tepi rumahnya. Seungmin menggeleng perlahan namun dia hanya membiarkan saja jejaka itu menghampirinya terlebih dulu. Jika perkara yang dibualkan tidak menarik perhatiannya, maka Changbin akan dihalau seperti biasa.

"Hai, Seungmin. Sihat?" Sapa Changbin dengan soalan bodoh. Mulut ditampar perlahan apabila menyedari kesilapannya sebelum tersenyum sumbing sebaik saja Seungmin memandangnya.

"Kau nampak aku sakit ke?" Balas Seungmin. Pokok bunga ros yang dijadikan perhiasan laman rumahnya disiram sementara menunggu Changbin bersuara.

"Tak adalah macam tu. Hehe... Kenapa kau tak pergi ke rumah hijau hari ni? Bunga tak ada stok ke?" Soal Changbin lagi dan kali ini pertanyaannya kedengaran lebih tidak masuk dek akal.

Seungmin menghentikan tugasnya. Bekas air yang digunakan untuk menyiram tumbuhan bunga diketepikan terlebih dulu. Ada perkara lebih penting yang perlu diuruskan.

"Kau tak ada kerja, pergi balik. Kau sibuk tanya aku, yang kau ni... Boba dah habis stok ke sampai hari-hari datang jumpa aku? Baik kau beritahu kenapa datang rumah aku sebelum aku heret kau." Seungmin memberi amaran. Masanya sangat terhad dan tidak boleh disia-siakan dengan perkara yang tidak penting.

Changbin tersengih seraya menggeleng. Teringatkan betapa kuatnya lelaki semalam ditumbuk Seungmin, Changbin menelan liurnya perlahan.

"Sebe- sebenarnya tujuan aku datang ke sini sebab nak tahu siapa lelaki kurang ajar dengan kau semalam. Itu saja. Boleh aku tahu kenapa kau bergaduh dengan dia?" Akhirnya Changbin menjelaskan niatnya bertandang ke situ.

Seungmin mengeluh perlahan. Dia melirik ke arah Changbin dalam diam. Patutkah dia beritahu identiti sebenar Daniel kepada Changbin? Memikirkan yang jejaka itu banyak membantunya, Seungmin membuat keputusan untuk berkongsi cerita.

"Kita berbual di beranda lah. Boleh duduk," ajak Seungmin manakala Changbin sudah tersenyum lebar kerana kawannya sudi bercerita kepadanya.

Sebaik saja mereka berdua melabuhkan punggung di tempat masing-masing, Seungmin mula membuka cerita tentang Daniel. Siapa dia, apa hubungan dia dengan Areum, semuanya diberitahu tanpa tertinggal sedikit pun. Changbin yang mendapat tahu tentang itu, sangatlah terkejut. Patutlah sewaktu pergaduhan berlaku, mereka berdua ada menyebut tentang Areum. Rupanya inilah perkara sebenarnya.

"Aku beritahu kau tentang ni sebab waktu Areum lahir dulu, kaulah orang yang tolong bawa Minjeong ke hospital. Jadi, aku rasa kau berhak untuk tahu perkara sebenar," ujar Seungmin sebagai penutup cerita.

"Habis tu, kau nak buat apa? Tak kanlah kau nak biarkan lelaki tu ambil Areum?" Tanya Changbin tidak puas hati.

"Tak apa, Lia akan tolong aku cari peguam. Aku harap sangat-sangat nasib menyebelahi aku sebab aku tak dapat bayangkan hidup tanpa Areum," luah Seungmin. Changbin menepuk bahu kawannya bagi menyalurkan semangat.

"Dengan semua kerja keras kau selama ni, aku pasti mahkamah akan buat keputusan yang bijak. Walaupun kau bukan ayah kandung Areum tapi kau dah tunaikan tanggungjawab kau lebih dari segalanya, ingat tu," kata Changbin.

"Terima kasih, Changbin," ucap Seungmin.

"Sama-sama, kau kan kawan aku... Mestilah aku kena bagi semangat untuk kau, kan?" Ujar Changbin dengan harapan yang Seungmin akan berkata perkara sama dengannya.

"Okeylah, aku nak sambung siram bunga. Tergendala kerja aku sebab melayan kau." Seungmin bangun dari tempatnya tanpa membalas kata-kata Changbin yang mana membuatkan jejaka berbadan sasa itu kecewa.

"Ya lah... Memang pokok bunga tu selalu tolong kau pun selama ni. Aku balik dulu." Changbin mengalah.

"Hati-hati bawa kereta," pesan Seungmin seraya melambai kecil. Sebaik saja Changbin sudah menjauh, Seungmin tergelak sendiri apabila teringatkan wajah cemberut Changbin. Dia sengaja tidak mengendahkan kata-kata Changbin untuk melihat sejauh mana jejaka itu dapat bertahan dengannya.

✾✾✾✾✾

Jessica segera menjawab panggilan telefonnya apabila tertera nama Lia pada skrin. Setelah sekian lama adiknya itu mendiamkan diri, pasti dia ingin menyampaikan perkara baik.

"Dah lama tak dengar suara kau. Ada berita baik ke?" Soal Jessica sejurus telefon ditekap pada telinganya.

"Hmm, Kakak... Sebenarnya Lia nak minta tolong dengan Kakak boleh? Lia janji ini kali terakhir Lia minta pertolongan dengan Kakak."

Jessica mengangkat sebelah keningnya sebaik saja Lia berkata demikian. Kedengaran dari suara adik perempuannya, Lia seperti benar-benar terdesak. Apakah pula masalah yang dihadapi adiknya sekarang?

"Tolong apa lagi? Kau sedar tak lagi berapa hari je lagi kau akan balik ke Gangnam semula. Kakak dah bagi kau masa lebih, takkan itu tak cukup?" Jessica mula mendengus geram kerana apa yang disangkakan, jauh meleset sebaliknya Lia meminta pertolongan daripadanya pula.

"Benda apa yang kau nak Kakak tolong?" Tanya Jessica setelah lama berdiam diri. Kalau dia tidak membantu Lia, dirinya juga akan berada dalam kesusahan memandangkan urusan Lia juga urusan dia.

"Dapatkan peguam untuk Lia. Boleh?"

"Peguam? For what?" Jessica sudah mengerutkan dahinya kerana tidak faham dengan permintaan adiknya. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Lia inginkan peguam.

"Seungmin. Lia rasa Kakak dah tahu semua pasal Daniel dan sekarang ni Lia perlukan peguam untuk tolong Seungmin dapatkan hak penjagaan anak dia. Lia tahu Lia tak patut cakap benda ni tapi semua masalah ni, Kakak sendiri puncanya. Kalau Kakak tak beritahu Daniel apa-apa pasal Minjee dan anak diorang, Daniel tak akan datang buat masalah dekat sini. Harap Kakak faham kenapa Lia perlukan peguam."

Jessica tertawa tidak percaya apabila Lia sempat menyalahkan dirinya di atas apa yang berlaku di kampung. Kalau Daniel tidak menawarkan kontrak padanya, dia juga tidak akan membantu lelaki itu. Kesimpulannya, segala keputusan yang dibuat ialah kerana mementingkan syarikat semata-mata.

"Tak, sekarang ni apa kaitan kau dengan anak Daniel? Kakak rasa kau tak perlu masuk campur dalam hal keluarga Daniel, lagipun itu anak kandung dia jadi dia berhak tuntut penjagaan. Lebih baik kau fokus pada kontrak saja dan jangan nak buang masa dengan perkara yang tak ada kaitan dengan company." Jessica memberi kata putus. Dia tidak mahu terbabit dalam masalah Daniel oleh kerana dia sudah pun menandatangani kontrak bersama syarikat pemuda itu.

"Kakak, please... Lia dah janji untuk tolong Seungmin. Walaupun peluang Seungmin tipis dalam hal ni, sekurang-kurangnya Lia dapat tolong dengan dapatkan peguam. Seungmin juga akan jadi pengeluar stok untuk company kita, apa salahnya Lia tolong dia. Bolehlah, Kakak."

Jessica menjeling walaupun tiada siapa yang melihatnya. Setelah Lia mengingatkan Seungmin akan bekerjasama dengan syarikat mereka, Jessica mula teringatkan sesuatu sebelum tersenyum sendiri. Minjee pernah menetap bersama Seungmin yang mana itu bermakna, pasti jejaka itu ada mengetahui apa-apa pasal formula produk kamomil.

"Kalau macam tu, okey Kakak akan tolong kau dapatkan peguam tapi dengan satu syarat," ujar Jessica.



Lia termenung sejurus mematikan panggilan Jessica. Kakaknya sudah bersetuju mencari peguam untuk Seungmin tetapi syarat yang dikenakan wanita itu sangat berat untuk dia tunaikan. Malangnya semua terlambat memandangkan dia sendiri sudah bersetuju.

"Awak dah makan?" Tanya Seungmin sebaik saja menghampiri Lia namun gadis itu hanya diam tidak menjawab soalannya. Seungmin mengintai wajah Lia lalu tersenyum apabila mengetahui gadis itu sedang termenung.

"Aduh!" Lia mengaduh kesakitan bila pipinya terasa perit akibat dicubit Seungmin. Bibirnya mula memuncung sementara jejaka itu sudah tergelak nakal kerana berjaya menyakatnya.

"Jauh betul termenung sampai saya tanya pun, awak tak perasan," ujar Seungmin lantas duduk bersebelahan Lia.

"Tanya? Awak tanya apa? Sorry lah.. hehe." Lia tersengih malu.

"Entah, tak ingat dah saya tanya apa tadi," jawab Seungmin selamba yang membuatkan Lia menjeling kecil. Hendak menipu pun tidak pandai.

"Oh ya... Seungmin, saya dah dapat peguam untuk tolong awak nanti. Jangan risau sebab dia akan datang sini dua hari sebelum perbicaraan untuk beritahu awak tentang perkara yang awak patut buat. Jadi, sekarang ni awak tak payah fikir panjang soal ni, okey?" Beritahu Lia seraya tersenyum lebar. Dia berasa gembira kerana dapat membantu Seungmin untuk kali pertamanya.

"Terima kasih, Lia dan minta maaf sebab dah menyusahkan awak," kata Seungmin dengan rasa bersalah.

"Tak ada apalah, awak pun dah banyak tolong saya sebelum ni," balas Lia dan Seungmin mengangguk kecil.


Kereta milik Daniel berhenti di rumah hijau Seungmin. Sebelum dia pulang ke Gangnam, dia ingin menyapa jejaka itu terlebih dulu. Pintu rumah hijau ditolak sebelum Daniel memanjangkan lehernya, mencari kelibat Seungmin.

Melihat ladang bunga kamomil yang mekar memutih, Daniel berasa sebak kerana teringatkan Minjee. Gadis itu sangat menggemarkan bunga kamomil hingga berhasrat untuk wujudkan produk berasas tumbuhan itu satu hari nanti namun semuanya tidak tercapai kerana Minjee terlebih dulu dijemput sang pencipta.

"Kau buat apa dekat sini?" Daniel menarik nafas terkejut apabila Seungmin tiba-tiba muncul di belakangnya.

Secalit senyuman sedikit pun tidak terlihat pada wajah Seungmin saat bertanyakan hal itu. Kehadiran Daniel ke rumah hijaunya merupakan kunjungan yang tidak dialu-alukan.

"Aku dah nak balik ke Gangnam petang ni. Jadi sebelum tu, aku datang sini sebab teringatkan yang kau ada ladang bunga. Kau jaga seorang diri je?" Tanya Daniel ingin tahu.

"Dah tengok kan? Sekarang kau boleh pergi memandangkan tak ada apa yang boleh kau buat dekat sini," kata Seungmin. Mendatar saja suaranya ketika itu.

"Seungmin... Aku minta maaf pasal semalam. Aku memang nak beritahu kau yang aku bawa Areum jalan-jalan tapi telefon aku habis bateri. Petang semalam pula, aku ingat nak jelaskan semuanya tapi tak sempat sebab kau tiba-tiba pukul aku. Siapa je yang tak marah bila dipukul tanpa sebab, bukan?" Ujar Daniel, sengaja membangkitkan kemarahan Seungmin.

"Kau boleh pergi sekarang." Itu saja perkataan yang keluar dari mulut Seungmin. Dia sedikit pun tidak berminat untuk membuang masanya bersama lelaki tidak tahu malu itu.

"Okey, aku pergi sekarang. Dasar lelaki kampung tak sedar diri." Hina Daniel sebelum meninggalkan rumah hijau.

Seungmin yang mendengarkan itu, mengetap giginya menahan sabar. Kalau tidak teringatkan pesanan Lia, sudah lama wajah Daniel lebam ditumbuknya. Pintu rumah hijau yang tidak tertutup sempurna, ditendang bagi melepaskan perasaannya.

✾✾✾✾✾

Masa yang berlalu terasa begitu pantas. Hari persidangan di mahkamah akan berlangsung dalam beberapa jam lagi. Seungmin beberapa kali membetulkan pakaian yang dikenakannya untuk memastikan dirinya kelihatan kemas.

"Pukul berapa Peguam Lee akan ambil awak?" Tanya Lia apabila melihat Seungmin sudah bersiap.

Seungmin melihat jam tangannya sekilas sebelum menjawab soalan Lia. "Kalau ikutkan pukul 9.30 pagi. Tadi waktu saya call dia, katanya dia akan sampai dalam lima minit. Jadi, saya tunggu sajalah, senang sikit," beritahu Seungmin.

"Betul juga... Habis je persidangan tu nanti, awak terus call saya, okey?" Pesan Lia dan dibalas dengan anggukan kecil. Sebenarnya Lia ingin menemani Seungmin pada hari itu namun tidak jadi kerana Lia perlu menemani Areum di rumah.

Seungmin berjalan di belakang peguamnya sepanjang perjalanannya menuju ke bilik rehat. Semua yang sudah dibincangkan mereka berdua beberapa hari yang lepas, dibualkan semula supaya Seungmin dapat mengingatnya dengan baik. Selepas mengambil masa lebih kurang dua puluh minit, Seungmin dan peguamnya mula melangkah ke bilik yang ditetapkan pihak mahkamah.

Dalam pada masa yang sama, Seungmin terserempak dengan Daniel. Kelihatan lelaki itu tersenyum ke arahnya sebelum melangkah masuk terlebih dulu. Seungmin membuat keputusan untuk mengabaikan Daniel dan fokus pada perkara yang lebih penting dari lelaki itu.

Mereka berempat bangun bagi memberi penghormatan kepada hakim yang bertugas pada hari itu. Beberapa helai kertas diserahkan kepada hakim sebelum perbicaraan dimulakan.




Lia menghampiri Areum yang sedang menyiapkan tugasan sekolahnya di ruang tamu. Lia sedikit hairan kerana kanak-kanak itu tiada pula meminta pertolongan seperti kebiasaannya.

"Areum buat kerja apa tu? Oh, Matematik ke... patutlah tak minta tolong Makcik," ujar Lia sambil memerhatikan Areum yang tekun mengira sebelum mengisi jawapan di tempat kosong.

"Hehe... Lepas ni Makcik Cantik tolong Areum buat kerja sekolah Bahasa Inggeris, ya?" Areum mula tersenyum lebar apabila Lia mengangguk setuju.

"Areum... Makcik nak tanya sikit boleh?" Lia sengaja bertanya terlebih dulu kerana tidak mahu Areum berasa terganggu.

"Sepanjang Areum keluar dengan Pakcik Daniel, ada tak dia cakap apa-apa?" Tanya Lia ingin tahu. Tidak mustahil jika Daniel ada memberitahu Areum tentang status dirinya yang sebenar.

Areum diam sejenak, cuba mengingat semula memandangkan sudah seminggu selepas dia keluar bersama Daniel. Lama dia termenung, Areum menggeleng.

"Tak ada cakap apa pun tapi masa Areum tanya kenapa dia bawa Areum jalan-jalan, Pakcik Daniel suruh tanya Ayah siapa Pakcik Daniel tu sebenarnya. Areum memang nak tanya tapi terlupa pula. Lagipun, Pakcik Daniel pun dah tak datang sini jadi Areum abaikan sajalah," cerita Areum tentang apa yang diingatnya.

"Oh, ya ke? Tak apalah kalau Areum cakap macam tu." Lia tersenyum sambil mengusap lembut rambut Areum. Dalam pada masa yang sama, dia tertanya-tanya adakah perbicaraan Seungmin di mahkamah berjalan dengan baik?

✾✾✾✾✾

Seungmin melangkah keluar dari mahkamah sebaik saja perbicaraan tamat. Segaris senyuman terpapar pada wajah Seungmin apabila peguam yang mewakilinya, menepuk bahunya.

"Terima kasih untuk hari ni, Peguam Lee," ucap Seungmin seraya menunduk sebagai tanda hormat.

"Sama-sama. Saya harap lepas ni kita boleh berjumpa lagi. Betul ni, tak nak saya hantarkan?" Tanya Peguam Lee inginkan kepastian oleh kerana Seungmin menyuruhnya pulang terlebih dulu.

"Ya, betul sebab saya perlu ke satu tempat dulu. Terima kasih sekali lagi," kata Seungmin dan peguam tadi hanya mengangguk faham.

Seungmin berjalan tanpa mengetahui ke manakah tujuannya. Kedai-kedai yang terletak di tepi jalan hanya dipandang kosong, sekosong suasana hatinya ketika itu.

Telefon yang tersimpan dalam poket sut hitamnya, dikeluarkan apabila menerima satu mesej. Seungmin hanya membaca pesanan itu tanpa membalas semula kepada gerangan yang menghantar mesej tadi. Seungmin meneruskan langkah hinggalah dia ternampak sebuah gerai yang menjual snek kegemaran Areum.




Lia menyambut kepulangan Seungmin bersertakan senyuman sebelum Lia menyedari riak wajah Seungmin kelihatan berbeza walaupun jejaka itu turut menguntumkan senyuman.

"Macam man-"

"Ayah dah balik! Yeay!" Kemunculan Areum membuatkan Lia melupakan terlebih dulu niatnya untuk bertanya Seungmin tentang perbicaraan.

Seungmin merendahkan badannya lantas memeluk tubuh kecil Areum. Hidung anak perempuannya dicuit perlahan.

"Ayah ada belikan snek untuk Areum. Jom kita makan sama-sama," ajak Seungmin seraya menunjukkan plastik yang berisi bungkusan tteobeokki. Areum yang sudah teruja melihat makanan kegemarannya, pantas mengambil plastik itu lalu dibawa ke dapur.

"Lia, saya tahu apa yang awak fikirkan, nanti saya beritahu awak. Sekarang ni, kita makan dulu," ujar Seungmin sebelum sempat Lia bertanya. Oleh kerana Seungmin berkata begitu, Lia hanya akur.

Areum yang bermain dengan anak patungnya di dalam bilik, dibiarkan sendirian. Lia berpesan kepada Areum supaya duduk di dalam bilik hinggalah namanya dipanggil kerana ada perkara yang ingin dibualkan.

"Macam mana? Hakim dah beri keputusan?" Tanya Lia sebaik saja mengambil tempat di sebelah Seungmin.

"Saya..." Seungmin diam sejenak sebelum menghela nafas panjang.

"Tak dapat hak penjagaan tu. Hakim berikan hak sepenuhnya kepada Daniel atas alasan Daniel merupakan ayah kandung Areum. Macam itu saja," beritahu Seungmin. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah lain kerana tidak dapat menahan sebak di dada.

"Walaupun selama ni awak yang besarkan Areum? Kenapa keputusan hakim tak adil macam ni sekali?" Soal Lia tidak puas hati.

Seungmin mengangkat bahu kerana dia juga terkilan dengan keputusan yang diberikan. Segala penat lelahnya terasa disia-siakan begitu saja. Seungmin mengemam bibirnya sementara airmatanya sudah menitis. Lia yang menyedari hal itu, segera memeluk bahu Seungmin walaupun dengan cara itu, tidak dapat memulihkan luka di hati Seungmin.

"Saya dah kehilangan segalanya, Lia," luah Seungmin dalam esakannya.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro