❦26
Bibir Changbin muncung sedepa. Sesekali kedengaran dia mendesis kesakitan apabila bungkusan ais diletakkan pada benjolan di dahinya. Lirikan tajam diberikan kepada Seungmin yang ketika itu dengan senang hatinya sedang menjamah kek batik di meja makan.
"Ada lagi ke ais tu, Changbin?" Tanya Lia kemudian dibalas dengan anggukan. Hidangan nasi goreng disendukkan ke dalam pinggan lalu dihulur kepada Changbin. Benjolan di dahi jejaka itu boleh tahan besar juga.
Seungmin yang menyedari dirinya dipandang lama, terus mengunyah sebelum dia tergelak kecil kerana geli hati melihat reaksi Changbin. Tahulah dia yang kawannya itu sedang cuba menahan marah.
"Kenapa kau ni... Malu aku bila kau pandang macam tu," sakat Seungmin.
"Kepala otak kau lah... Yang kau pergi tutup pintu tu kenapa?? Kalau aku hilang ingatan, kau nak bertanggungjawab??" Akhirnya Changbin melampiaskan rasa tidak puas hati. Mana tidaknya, belum sempat dia hendak melangkah masuk, Seungmin terlebih dulu menutup pintu rumah yang membuatkan dia bertembung dengan pintu kayu itu. Hasrat hendak membuang hajat juga terus dilupakan begitu saja.
"Maaf lah... Aku bukan sengaja. Itu tindakan refleks orang kata. Daripada kau rempuh aku dengan Lia, lagi parah. Setakat benjol, sehari dua dah sembuh," jawab Seungmin selamba. Rasa bersalah itu ada tetapi itu bukanlah perkara serius cuma Changbin yang sengaja membesarkan hal itu.
"Ayah! Areum nak main dengan Haneul dekat rumah Jinhee, boleh?" Soal Areum yang berlari dari ruang tamu. Mulutnya pula comot dengan kesan coklat yang mana membuatkan Seungmin tersenyum kecil.
"Okey... Jangan nakal-nakal dekat rumah orang pula," jawab Seungmin. Tisu yang disediakan di atas meja makan segera dicapai untuk membersihkan tepi bibir Areum.
"Areum pergi dulu, Bye!" Kanak-kanak itu melambaikan tangan bersama senyuman yang meleret kerana diberi keizinan untuk bermain di rumah kawannya.
Seungmin membalas lambaian anak gadisnya sebelum kepalanya menoleh ke arah Lia. Kelihatan gadis itu sibuk membasuh bekas di sinki hingga belum menjamah sedikit pun makanan yang terhidang di atas meja.
"Lia, tinggal lah dulu kerja tu. Jom makan dengan kita orang sekali," ajak Seungmin. Changbin yang baru saja ingin menyuapkan nasi ke dalam mulutnya, membatalkan niatnya terlebih dulu lantas mengangguk laju.
"Dah siap pun," balas Lia. Kepala paip ditutup manakala cawan yang sudah dibasuh, disusun rapi.
"Kau tak ajak Eunbi sekali?" Tanya Seungmin, menghilangkan suasana sepi di meja makan.
"Aku ajak tapi dia kata sibuk. Ada orang tempah kuih kek lapis dengan dia," beritahu Changbin. Sebut saja kek lapis, teringat pula kejadian tarik rambut di bangsal rumah Pak Sooman. Perasaan dia ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Seungmin mengambil sekeping daging bakar lalu diletakkan ke dalam pinggan Lia untuk gadis itu makan bersama nasi goreng.
"Terima kasih, Lia sebab sediakan semua ni," ucapnya. Kepala gadis itu diusap perlahan tanpa menyedari perbuatannya itu diperhatikan Changbin yang duduk berhadapan mereka berdua.
"Sama-sama tapi Changbin yang rancang nak buat ni. Kalau tak, saya pun tak tahu hari ni birthday awak. Kek batik tu pun Changbin yang buatkan," jelas Lia. Tidak adil pula kalau Seungmin hanya menghargai usahanya sedangkan semua ini merupakan idea asal Changbin.
Seungmin agak terkejut setelah mendapat tahu tentang itu. Changbin yang hanya membuat muka selamba dipandang lama. Selalunya Changbin akan terlebih dulu memberitahu apa saja yang ada kaitan dengannya namun kali ini jejaka itu hanya mendiamkan diri sambil menikmati hidangan.
"Kenapa? Mesti kau terharu kan sebab aku ingat birthday kau," teka Changbin.
"Terharu apa... Seram adalah. Aku tak tahu pula kau obses dengan aku sampai tahu bila birthday aku. Changbin, kau normal lagi kan? Aku risau betul ni," ujar Seungmin seraya memeluk tubuh, sengaja menyakat Changbin.
"Huh, aku dah agak kau akan cakap macam ni. Tak apalah, aku akan anggap ini cara kau tunjukkan keprihatinan pada aku. Lagipun, aku dah biasa dengan semua ni. Diabaikan, ditinggalkan, dihalau... Bahagia betul hidup aku," luah Changbin. Airmata yang tidak kelihatan diseka perlahan.
"Pandai pun..," ujar Seungmin lantas tertawa. Entahlah, dia sendiri tidak tahu mengapa layanannya kepada Changbin berbeza dengan orang lain. Hendak kata jejaka itu ada menyakitkan hatinya, tiada pula. Mungkin benar kata Changbin yang itulah caranya menunjukkan perasaannya pada Changbin.
Lia yang memilih untuk mendiamkan diri, turut tertawa bersama Seungmin namun senyuman pada wajah Lia perlahan mengendur sebaik saja dia teringat yang hanya tinggal lebih kurang sepuluh hari lagi untuk dia menetap di kampung. Mengenangkan hal itu, sedikit sebanyak membuatkan Lia berasa sedih untuk pulang ke Gangnam semula.
"Lia, kenapa awak nampak sedih?" Soal Seungmin setelah menyedari perubahan air muka gadis itu.
"Eh, mana ada... Kenapa pula saya nak sedih. Mengarut lah awak ni," dalih Lia seraya menguntumkan senyuman. Tidak berkata apa lagi, Seungmin hanya mengangguk kecil sebelum sambung menjamah nasi goreng.
Lia dan Changbin sama-sama meminta diri seusai menjamu selera. Kalau diikutkan, Seungmin menyuruh mereka berdua untuk bersantai di rumahnya namun Changbin menolak dengan alasan ada urusan kerja di kafe manakala Lia pula ingin mengemas rumah.
"Malam ni kita jumpa sebab saya dah berjanji dengan Areum nak temankan dia buat kerja sekolah," maklum Lia.
"Okey... Changbin, hati-hati bawa kereta tu." Sempat Seungmin berpesan pada kawannya seorang itu. Kalau tidak, Changbin akan mengungkit semula di kemudian hari kerana telah mengabaikan kehadirannya.
Changbin tersenyum lebar seraya mengangguk faham. Tidak dapat teman wanita yang memberi pesanan begitu, kawan lelaki pun jadilah. Asalkan dirinya terasa dihargai dan juga disayangi.
Seungmin termenung seketika selepas Lia dan Changbin menghilang dari pandangan. Rumah yang dihuni Lia dipandang sekilas sebelum meneruskan langkahnya.
Baru saja hendak melabuhkan punggung, Lia mengeluh perlahan apabila kedengaran orang mengetuk pintu rumahnya namun dia bangun juga setelah memikirkan gerangan itu ialah Seungmin. Mungkin dia ada tertinggal sesuatu hingga jejaka itu pergi ke rumahnya.
"Ya kenap- eh, Changbin? Bukan awak dah pergi ke tadi?" Soal Lia kehairanan.
"Lia, saya nak ajak awak keluar sekejap boleh tak? Ada benda saya nak tanya," jelas Changbin niat sebenarnya datang berkunjung ke situ.
Lia menggaru kepalanya yang tidak gatal sebelum menjawab. "Saya nak kemas rumah lah... Lagipun awak kan ada urusan dekat kafe. Esok tak boleh ke?"
"Alah... Kemas rumah apanya dah bersih tu. Jomlah keluar sekejap. Saya belanja YoOoH Boba... Awak dah lama kan tak minum air kafe saya. Macam mana, okey?" Changbin sengaja mengumpan Lia dengan harapan gadis itu bersetuju.
Perkataan belanja membuatkan Lia mengangguk tanpa berfikir panjang. Setakat kemas rumah, berapa minit sangat memandangkan keadaan rumahnya bukanlah bersepah mana pun melainkan habuk halus.
"Okey, jom kita pergi sekarang," ujar Lia dengan penuh bersemangat sementara Changbin sudah tersenyum menang kerana taktiknya menjadi.
✾✾✾✾✾
Kaki dihentak perlahan sambil menunggu minumannya tiba di meja. Suasana di dalam kafe terasa berbeza oleh kerana sudah lama dia tidak singgah ke situ. Pemandangan tasik yang jelas kelihatan melalui dinding kaca kafe itu sangatlah menyamankan hati.
"Awak nak tanya apa? Padahal boleh je tanya dekat rumah saya tadi," tanya Lia.
"Oh... Erm... Saya takut nak tanya awak sebenarnya sebab benda ni berkaitan dengan Seungmin. Betul ni awak tak kisah saya tanya?" Changbin meminta kepastian.
Lia menyengetkan mulutnya apabila Changbin berkata begitu. Kalau tidak difikirkan tentang minuman boba yang dibelanja Changbin, dia tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kafe pada waktu itu juga.
"Tanya je lah... Belum tanya macam mana aku nak jawab. Apa dia? Kenapa kalau ada kaitan dengan Seungmin?" Soal Lia seraya menongkat dagu.
"First time awak jatuh cinta dekat Seungmin... Jantung awak berdegup laju tak?" Akhirnya Changbin mengajukan soalan.
"Mestilah... Walaupun dia pandang saya tanpa perasaan, saya berdebar macam lepas berlari pusing satu kampung. Itu baru pandang, belum lagi dia senyum. Hampir koma," cerita Lia bersungguh. Pipinya juga menaik saat memberitahu tentang itu sambil tersenyum lebar.
Changbin termenung sejenak. Nafas ditarik sedalam-dalamnya lalu dihembus perlahan, seolah-olah sedang susah hati. Kepala diletakkan ke atas meja manakala jarinya mengetuk perlahan permukaan meja.
Lia yang melihat kelakuan Changbin berkerut hairan. Sudah kenapa jejaka itu tiba-tiba menjadi tidak bersemangat setelah dia menjawab pertanyaan Changbin. Jawapan yang diberikan diingat semula, kalau-kalau dia ada tersalah kata. Matanya serta merta membulat apabila sesuatu yang tidak dapat dibayangkan, terlintas di kepalanya.
"Awak suka Seungmin ke?? Oh my god !" Lia menutup mulutnya dengan penuh dramatik sekali. Kerusi yang dijadikan tempat duduknya, terseret ke belakang oleh kerana Lia bangun secara mengejut. Beberapa orang pelanggan yang berkunjung ke kafe mula memberi pandangan pelik ke arah mereka.
"Yah!!! Bukan macam tu lah!!" Kali ini giliran Changbin meninggikan suaranya kerana terkejut dengan tuduhan yang diberikan Lia. Tidak mahu mereka terus menjadi perhatian orang sekeliling, Changbin menyuruh Lia supaya duduk semula untuk menjelaskan salah faham antara mereka berdua.
Lia mula berasa seram sejuk. Bila teringatkan kesungguhan Changbin untuk mendapat perhatian Seungmin, makin bertambah seram dibuatnya. Patutlah jejaka itu teragak-agak untuk bertanya soalan kepadanya. Sekarang semuanya sudah jelas.
"Awak dah salah faham ni, Lia. Tak kanlah saya sukakan Seungmin, eww... Awak ingat saya tak laku sangat ke sampai nak terpesong macam itu sekali??" Jelas Changbin.
"Habis tu, kenapa awak kata ada kaitan dengan Seungmin? Jujur sajalah. Patutlah awak beria nak rapat dengan Seungmin... Ini rupanya niat sebenar awak," bidas Lia semula. Dia membuat keputusan untuk tidak mempercayai Changbin lagi. Jiwa perempuannya rasa tergugat apabila Changbin turut menyimpan perasaan pada cinta pertamanya.
"Lia, apa yang awak merepek sangat ni. Saya cakap ada kaitan dengan Seungmin sebab kan awak kata yang awak jatuh cinta dekat dia dulu. Itu saya tanya, jantung awak berdegup laju tak. Bukannya saya sukakan Seungmin. Faham? Jelas?" Ujar Changbin.
"Oh, macam tu ke. Sorry sebab salah faham. Lain kali nak bertanya tu, please straight to the point. Okey, berbalik semula kepada soalan awak tadi. Boleh saya tahu siapa yang buat jantung awak berdegup laju tu?" Lia menukar kepada topik asal semula. Tentang salah faham itu biarlah ia berlalu begitu saja.
"Erm... Anak Pak Sooman," kias Changbin. Dia tidak mampu untuk menyebut nama anak gadis Pak Sooman kerana itu akan membuatkan dia berdebar tanpa sebab.
"Anak Pak Sooman? Siap- Maksud awak, Eunbi??? Betul kan???" Lia sudah bersemangat seakan-akan gadis yang dimaksudkan Changbin itu ialah dirinya sendiri.
"Shh!! Janganlah bising... Kalau orang dengar macam mana? Dahlah satu kampung kenal Pak Sooman, malu saya nanti," tegur Changbin seraya meletakkan jari telunjuk pada bibirnya.
"Okey-okey... Sorry lah, saya excited. Patutlah selalu pergi rumah Pak Sooman... Ada udang di sebalik batu rupanya. Habis tu, awak dah beritahu Eunbi belum pasal ni?" Tanya Lia. Kedua keningnya diangkat beberapa kali bersama senyuman nakal.
Changbin menggeleng bersertakan riak pasrah. Kadang-kadang, dia penat nak menghadap perangai Lia yang ada waktunya seperti kanak-kanak. Jika dia sudah memberitahu, tidak pula dia bersusah payah membawanya ke kafe untuk bertanyakan soal tadi.
"Lah, kenapa belum? Dah suka tu, beritahu terus! Itulah yang dinamakan gentleman! Ke awak malu takut kena reject lagi? Macam sebelum ni, hehe," sakat Lia. Sengaja dia mengungkit memori pahit itu untuk mengusik Changbin.
"Haha, kelakar sangat." Changbin menjeling kecil manakala bibirnya sudah menjuih. "Bukan macam tu lah. Saya tengah risaukan Pak Sooman sekarang ni... Nanti orang tua tu fikir saya sengaja lepak rumah dia petang-petang sebab nak usha Eunbi padahal saya baru lagi rasa suka pada Eunbi," sambung Changbin.
Lia menyedut minuman boba yang baru saja dihantar pekerja sambil otaknya berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah Changbin yang tidak seberapa ini.
"Hmm... Saya rasa, Pak Sooman okey je sebab awak bukan lelaki yang jahat. Nak kata nakal pun tak. Jadi, sesuai je dengan Eunbi dan lagi satu, Eunbi dah lama sukakan awak," beritahu Lia yang mana membuatkan Changbin tergamam.
"Seriuslah?" Soalnya tidak percaya.
"Ya... Eunbi sendiri yang beritahu saya. Pak Sooman kan sayangkan anak dia, so kalau korang sama-sama suka, mesti Pak Sooman tak boleh nak halang. Eunbi pula jenis tak bergaul dengan lelaki jadi kalau Pak Sooman halang, mana tahu Eunbi merajuk tak nak kahwin sampai bila-bila. Kan?" Lia meminta pendapat untuk andaian yang dibuatnya.
"Macam jauh sangat je teori awak tu. Saya masih tak percaya yang ada juga orang suka saya dalam diam," ujar Changbin sambil tersenyum malu.
"Dah lah berangan tu... Minum air awak, lepas ni kita sambung semula," arah Lia.
✾✾✾✾✾
Areum menghampiri Jinhee yang dari tadi ralit memandang sesuatu. Haneul pula tidak mengendahkan dua orang kawannya kerana sibuk mengacau periuk mainan.
"Awak pandang apa?" Tanya Areum sebelum turut memerhatikan jalan kecil yang terletak di hadapan rumah Jinhee.
"Tu bukan pakcik yang peluk Areum tu ke? Kenapa dia ada dekat sini?" Bisik Jinhee lantas menunjuk ke arah Daniel yang kelihatan sedang bercakap dengan telefonnya.
"Ya lah... Tak ada apa rasanya. Jomlah, kita sambung main. Haneul dah siap masak tu," ajak Areum. Selepas Areum berkata demikian, Jinhee mengangguk perlahan lalu menyusul langkah kawannya dari belakang.
Sedang bermain di pondok kecil yang terletak di tepi rumah Jinhee, mereka bertiga memandang ke arah Daniel secara serentak. Tidak menunggu tiga sekawan itu bersuara, Daniel mengambil tempat di pondok itu sekali.
"Kenapa Pakcik datang sini?" Soal Areum seraya mencekak pinggangnya. Dia masih ingat perbalahan kecil yang berlaku di antara Seungmin dan Daniel di tangga rumahnya.
"Nak jumpa Areum," jawab Daniel selamba. Dia tidak mahu berbohong kerana memang itu niatnya dan perkara itu bukanlah satu kesalahan.
"Tak apalah... Lagipun Pakcik bukan buat apa-apa pun. Nanti dah bosan, Pakcik balik lah," ujar Haneul pula yang dari tadi sibuk dengan kerjanya.
Daniel mengangguk setuju sebelum tertawa perlahan. Terhibur pula hatinya melayan kerenah mereka bertiga. Meskipun masih muda, sifat ambil berat sudah ada dalam diri mereka. Areum yang sedang menyikat rambut anak patung, dipandang lama sebelum matanya tertumpu pada mainan yang ada pada tangan anaknya itu.
"Areum nak mainan baru tak?" Tanya Daniel.
"Kenapa? Patung Areum elok lagi," balas Areum.
"Kalau Pakcik nak belanja mainan baru untuk Areum, nak tak? Apa-apa saja yang Areum nak beli," pujuk Daniel lagi lantas tersenyum gembira apabila melihat Areum mengangguk.
"Betul ni, apa-apa je yang Areum nak?" Soal Areum inginkan kepastian dan Daniel mengangguk tanda mengiyakan.
Baru saja hendak turun dari pondok, Jinhee menarik tangan Areum, tidak memberi kawannya mengikut Daniel. "Mak Jinhee ajar, jangan ikut orang yang sembarangan. Kita tak tahu Pakcik ni baik ke jahat. Lagi satu Ayah awak tak tahu awak ikut Pakcik ni," nasihat Jinhee.
Mendengarkan itu, Areum mula ragu-ragu. Ada benar juga apa yang dikatakan Jinhee. Gadis kecil itu mendongak, memandang Daniel.
"Areum, Pakcik kan kawan Ayah. Nanti Pakcik telefon Ayah, beritahu yang Pakcik bawa Areum jalan-jalan... Bila dah siap beli mainan, kita baliklah semula. Okey?" Pujuk Daniel. Telefonnya juga dikeluarkan lantas ditunjukkan kepada Areum.
"Nombor Makcik Lia pun, Pakcik ada," sambung Daniel lagi untuk meyakinkan Areum.
"Okey... Areum ikut Pakcik. Jinhee, Haneul esok kita main lagi." Akhirnya Areum membuat keputusan untuk pergi bersama Daniel.
"Hmm, ya lah... Kalau kena culik, saya tak tahu." Selamba saja Jinhee berkata begitu sementara Haneul hanya mengangguk setuju.
✾✾✾✾✾
Seungmin meregangkan badannya sebaik saja terjaga dari lena. Kerana terlalu penat, dia terlena di ruang tamu tanpa sedar. Jam dinding diperhatikan untuk memastikan waktu pada ketika itu. Jarum pendek menunjuk ke arah nombor enam manakala jarum panjang pula menghala ke nombor sembilan.
Seungmin bangun dari pembaringannya. Suasana rumah yang terasa sunyi, diperhatikan lama sehinggalah dia menyedari ketiadaan Areum. Tidak membuang masa, Seungmin lantas bangun dari tempatnya.
Rumah Lia diperhatikan dan selipar yang selalu dipakai gadis itu tiada tersusun di depan pintu. Seungmin membuat andaian yang Areum keluar bersiar-siar dengan Lia namun sangkaannya jauh meleset apabila kereta Changbin memasuki halaman rumahnya. Apa yang lebih merisaukan, hanya Lia dan Changbin saja di dalam kereta itu.
"Lia, mana Areum?" Tanya Seungmin tanpa sempat gadis itu menutup pintu kereta.
"Eh, Areum belum balik lagi? Bukan tadi dia kata nak main di rumah Jinhee ke?" Soal Lia semula.
Seungmin terdiam manakala nafasnya sudah turun naik kerana cemas dengan ketiadaan anak perempuannya apatah lagi hari sudah hampir malam. Tidak berkata apa-apa Seungmin terus berlari menuju ke rumah Jinhee, meninggalkan Lia yang masih terpinga-pinga.
"Kenapa, Lia?" Tanya Changbin.
"Areum tak balik lagi," beritahu Lia. Dia mula berfikir bukan-bukan. Tiba-tiba dia teringatkan Daniel. Adakah lelaki itu ada kaitan dengan kehilangan Areum?
"Maaf menganggu, Kak Namhee tapi Areum ada di sini tak?" Tanya Seungmin apabila ibu kepada Jinhee membuka pintu rumah.
"Tak ada pula, kenapa ni Seungmin? Areum tak balik lagi ke??" Soal Namhee risau.
"Tadi, Areum ikut seorang Pakcik ni... Pakcik tu kata nak belikan Areum mainan. Jinhee dah halang tapi Areum degil nak ikut juga sebab dia kata Pakcik tu kawan Pakcik Seungmin," beritahu Jinhee.
"Oh macam tu.. okeylah, terima kasih sebab beritahu Pakcik." Seungmin menunduk hormat sebelum beredar dari situ. Gigi diketap kuat kerana menahan marah dan dalam pada masa yang sama, Lia menelefonnya, memberitahu yang Areum sudah pulang.
Bibir sudah menggeletar manakala kedua tangannya digenggam erat sebaik saja melihat Daniel berdiri di halaman rumahnya. Tidak menunggu jejaka itu membuka mulut terlebih dulu, satu tumbukan mendarat di wajah Daniel hingga membuatkan jejaka itu hilang keseimbangan lalu terjatuh ke tanah. Changbin yang masih ada di situ, terkedu hingga tidak tahu hendak melakukan apa kerana terlalu takut. Mujurlah Lia sudah membawa Areum masuk sebelum Seungmin pulang.
Daniel meludah darah mulutnya sebelum tersenyum sinis. Untuk seketika, kepalanya terasa pening akibat dipukul kuat. Wajah Seungmin sudah kemerahan tetapi sedikit pun dia tidak berasa gerun.
"Aku tak tahu pula bawa anak kandung pergi jalan-jalan merupakan satu kesalahan," ujar Daniel berbaur ejekan.
"Jangan sentuh anak aku!" Seungmin mula meninggikan suara sebelum merentap kolar baju Daniel pula. Jejaka itu tidak melatah sebaliknya menolak badan Seungmin menjauhinya. Kolar baju yang berkedut itu dirapikan semula.
"Aku cuma bawa dia pergi belikan mainan, salah ke? Lagipun aku tak paksa dia melainkan atas kerelaan dia sendiri. Kalau tak percaya, kau boleh tanya kawan-kawan dia," kata Daniel, membela dirinya.
"Tak payah! Aku boleh belikan apa saja yang Areum perlukan. Kau yang tak tahu apa-apa, tak perlu nak berlagak yang kau dah tunaikan tanggungjawab kau sebagai ayah kandung Areum. Jijik, kau tahu??" Tempelak Seungmin sementara Daniel tertawa mengejek.
"Oh ya? Bukan apa... Areum ada beritahu yang dia dah lama anak patung tapi kau tak cukup duit. Apa salahnya aku tunaikan permintaan dia... Itu pun satu tanggungjawab, kan? Kau jual rumah ni pun, belum tentu boleh penuhkan semua keperluan Areum, Seungmin. Jadi, apa kata kau serahkan hak penjagaan pada aku. Selama tujuh tahun kau bekerja keras nak besarkan Areum, inilah masanya untuk kau berehat dan biarlah aku gantikan tempat kau pula. Setuju?" Kata Daniel tanpa sebarang rasa malu.
Changbin yang dari tadi menjadi saksi, mula berasa geram dengan kelakuan kurang ajar Daniel. Baru saja dia hendak melangkah, Seungmin terlebih dulu menghalang. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia akur oleh kerana dia tiada hak untuk masuk campur.
"Kau balik sekarang sebelum aku bunuh kau dekat sini juga. Pergi sementara aku masih boleh kawal diri aku, Daniel," ujar Seungmin. Matanya menatap anak mata Daniel dengan penuh kebencian.
"Okey, aku minta diri dulu. Oh ya... Sebelum aku lupa. Dalam minggu ni, surat mahkamah akan dihantar. Jumpa di mahkamah lah kalau macam tu. Sampaikan salam aku pada Areum, ya?" Sindir Daniel sebelum masuk ke tempat pemandu dan perlahan-lahan keretanya meninggalkan halaman rumah.
Seungmin diam membisu. Tanah dipandang lama tanpa bergerak sedikit pun. Mengenangkan yang dia mungkin akan kehilangan Areum, cecair jernih mula mengalir tanpa sedar. Selepas seorang demi seorang pergi meninggalkannya, kali ini dia akan melakukan apa saja supaya Areum tetap tinggal bersamanya.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro