Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦24

Areum tercengang apabila dirinya dipeluk oleh seorang lelaki yang tidak dikenaliya. Jinhee yang menyaksikan itu lantas berlari ke arah sahabatnya sebelum menolak badan Daniel supaya menjauhi Areum.

"Pakcik siapa?? Sesuka hati saja peluk-peluk kawan baik saya!" Marah Jinhee seraya mencekak pinggangnya. Menyedari hal itu, Areum terus menapak beberapa langkah ke belakang.

"Tapi pakcik ni tahu nama Areum," ujar Areum dan itu juga satu sebab dia hanya membiarkan saja lelaki asing itu memeluknya sebentar tadi.

Jinhee segera menggeleng. "Jangan percayakan sesiapa, Areum. Entah-entah, pakcik ni dah lama tengok awak sebab tu dia tahu nama awak. Sekarang ni, baik awak balik rumah lepas tu beritahu Makcik Cantik pasal ni," pesan Jinhee sebelum memandang ke arah Daniel pula.

"Kenapa Pakcik belum jawab Pakcik ni siapa?" Soal Jinhee, lagak seorang ibu yang sedang mempertahankan anaknya.

Daniel tertawa kecil sebelum bangun berdiri. Terhibur hatinya melayan kerenah dua orang kanak-kanak di hadapannya.

"Nama Pakcik, Daniel. Pakcik bukan orang jahatlah. Pakcik kawan kepada Seungmin, ayah Areum, bukan?" Kata Daniel. Dia tidak memberitahu perkara sebenar buat masa ini, biarlah dia bertemu dengan Seungmin terlebih dulu.

"Oh macam tu ke? Hehe, minta maaf." Jinhee menundukkan kepalanya seraya tersengih. Areum pula ralit memerhatikan susuk tubuh Daniel yang tinggi lampai itu sehingga dia yang selalunya bermulut becok, membisu.

"Boleh Areum tunjukkan mana rumah Areum? Pakcik nak berjumpa dengan Ayah," beritahu Daniel dan gadis kecil itu mengangguk.

"Bye, Jinhee! Esok jumpa dekat sekolah!" Lambai Areum dan kawan baiknya itu turut melakukan hal yang sama.





Tiba di halaman rumahnya, Areum menghentikan langkah sebaik saja melihat skuter milik ayahnya tiada. "Ayah tak adalah, Pakcik. Nak tunggu Ayah balik ke?" Soal Areum.

Baru hendak menjawab soalan kanak-kanak itu, Daniel menoleh apabila seorang gadis yang sangat dikenalinya, memunculkan diri. Melihat makcik kesayangannya keluar dari rumah, Areum terus berlari menuju ke arah Lia, meninggalkan Daniel yang masih tidak berganjak di tempatnya.

"Makcik Cantik, Pakcik tu kata dia kawan Ayah dan dia nak jumpa Ayah tapi Ayah tak ada. Makcik Cantik tak nak jemput dia masuk ke?" Tanya Areum yang masih belum tahu hal sebenar.

Lia memandang Areum sambil tersenyum. Melihat kehadiran Daniel di kampung itu, dia dapat merasakan perkara yang kurang enak akan berlaku apatah lagi dia sudah mengetahui tentang hubungan antara Minjee dan Daniel. Tidak mahu Areum mendengar perbualan mereka, dia menyuruh kanak-kanak itu masuk ke dalam rumah terlebih dulu.

"Apa yang kau buat dekat sini?" Tanya Lia tanpa menjemput jejaka itu naik ke rumah.

"Sekurang-kurangnya, tanyalah khabar aku dulu. Last time kita jumpa tujuh tahun yang lepas rasanya. Jadi, kurang sopan kalau kau layan aku macam ni," balas Daniel.

"Siapa yang kurang sopan sekarang ni? Kau datang ke sini tiba-tiba. Aku rasa kau tak ada apa-apa yang nak dibuat dekat kampung ni," ujar Lia.

Daniel tersenyum senget. Hujung kening digaru perlahan sebelum matanya memandang wajah Lia. "Aku datang sini nak ambil anak aku. Jessica tak beritahu kau pasal ni?"

Skuter Seungmin yang memasuki halaman membuatkan perbualan mereka tergantung. Seungmin yang baru pulang dari menghantar Changbin ke rumah Pak Sooman, sedikit hairan melihat kehadiran seorang lelaki di rumahnya apatah lagi jejaka itu berbual dengan Lia. Tiada pula gadis itu memaklumkan kepadanya kalau ada teman yang ingin datang berkunjung.

Kereta mewah yang terparkir di tepi jalan, dipandang sekilas sebelum Seungmin menghampiri Lia dan lelaki asing tadi.

"Siapa ni? Kawan awak ke, Lia?" Tanya Seungmin.

Jejaka tinggi lampai itu menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan bersama segaris senyuman. "Selamat berkenalan, Seungmin. Nama aku Kang Daniel," katanya.

Seungmin sedikit hairan apabila lelaki itu mengetahui namanya. Huluran tangan tadi disambut meskipun dia sendiri berasa ragu-ragu. Seungmin memandang Lia pula, meminta gadis itu memberi penjelasan.

"Erm, Daniel ni bekas business partner untuk company Beauté. Dia-"

"Let me explain this... Aku sebenarnya kekasih Minjee dan tujuan aku datang ke sini untuk bawa balik anak kandung aku, Areum. Harap semuanya jelas," terang Daniel.

Seungmin tergamam sebelum mengekek ketawa saat diberitahu tentang itu. Kelakuannya membuatkan Lia tidak senang duduk. Dia mula risau jika berlakunya perbalahan di situ dan dirinya terpaksa menjadi orang tengah. Memandangkan dia tiada kaitan dalam hal ini, Lia terlebih dulu meminta diri, memberi ruang untuk dua jejaka itu berbual.

"Apa yang kelakar?" Tanya Daniel dengan nada bengang. Dirinya rasa tercabar apabila Seungmin tertawa begitu.

"Seriuslah? Apa kau cakap tadi? Anak kandung? Aku tak pernah lagi jumpa orang yang yakin macam kau. Untuk pengetahuan kau, aku tak kenal siapa Minjee dan Areum ialah anak aku dengan mendiang isteri aku dulu," ujar Seungmin. Dia yang tadinya tertawa, perlahan-lahan menukar riak wajahnya.

"Okeylah, kita berbincang secara baik. Aku dah tahu semuanya. Minjee tukar nama dia selepas menetap di sini dan aku juga tahu yang kau bakal suami dia. Jadi, kau tak perlu nak berdalih lagi. Niat aku cuma nak tuntut hak aku semula iaitu bawa pulang Areum. Itu saja." Daniel mula menukar nada suaranya.

"Mudah betul kau bercakap. Selama tujuh tahun yang lepas, aku yang jaga Minjeong dan besarkan Areum dari dia lahir sampailah sekarang. Sekarang kau dengan senangnya datang, kononnya nak tuntut hak. Mana perasaan kau sebagai manusia?" Seungmin mula bengang. Giginya diketap bagi menahan geram.

"Ya, aku tahu tapi itu kisah lama. Waktu tu, aku masih muda dan tak bersedia untuk semua ini. Sekarang, aku dah sedar dan sebab itu aku datang sini sebab nak tebus kesalahan aku pada Minjee. Aku betul-betul menyesal sekarang," ujar Daniel ataupun lebih tepat, merayu.

Seungmin tidak memberi sebarang reaksi. Setiap bait perkataan yang keluar dari mulut jejaka itu, semuanya sangat menyakitkan hatinya. Lebih-lebih lagi, Daniel mengatakan dia ingin menebus kesalahannya pada Minjee, yang kini sudah tiada di dunia lagi.

"Masih muda, huh? Alasan sampah. Aku dah tak ada apa-apa yang nak dibincangkan lagi dengan kau jadi pergi balik sajalah." Seungmin mengakhirkan perbualan. Jika hendak bersembang pasal muda, dia yang tiada kaitan apa-apa dengan Minjeong, sanggup mengorbankan masa mudanya untuk gadis itu. Sudah jelas yang Daniel tidak lain dan tidak bukan, hanya seorang lelaki pengecut.

"Baiklah aku akan balik tapi kau jangan anggap aku tak akan datang semula untuk ambil anak aku. Kalau kau nak nafikan sekalipun, aku akan buat ujian DNA untuk buktikan yang Areum tu anak kandung aku," ujar Daniel yang masih belum berganjak dari tempatnya berdiri.

Seungmin menggenggam buku limanya seraya mengetap gigi. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia melayangkan penumbuk kepada Daniel agar sedar diri.

"Boleh tak kau fikir perasaan Areum. Dia baru umur tujuh tahun dan untuk terima semua ni bukan mudah. Tolong, jangan buat keputusan ikut kepala otak kau saja," kata Seungmin. Selagi Daniel tidak mahu mengalah, selagi itulah dia akan melakukan hal yang sama.

"Sebab itu aku nak ambil dia sekarang. Dia masih kecil dan lama kelamaan dia akan terima keadaan yang sebenarnya. Kau sebagai ayah angkat dia, tak ada hak nak halang aku, ayah kandung Areum sendiri." Kali ini Daniel mula mengaitkan perkara itu tanpa mencerminkan dirinya terlebih dulu.

"Disebabkan kau tak nak bertolak ansur, aku akan bawa kes ni ke mahkamah dan biarkan hakim tentukan siapa yang lebih layak. Aku pasti, dengan pekerjaan aku sebagai pemilik sebuah syarikat, aku akan menang tanpa perlu berusaha lebih kalau nak dibandingkan dengan pekerjaan kampung kau," kata Daniel dengan angkuh sekali lalu meninggalkan Seungmin.

Seungmin tersentak apabila lelaki itu mula meremehkan pekerjaannya pula namun dia memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Jika itu apa yang dimahukan Daniel, dia akur. Kereta mewah yang dipandu Daniel, dipandang lama hingga kenderaan itu menghilang dari pandangannya.

Bagaimana Daniel bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hak penjagaan penuh, begitu juga dengan dirinya. Dia akan lakukan apa saja supaya haknya tidak dirampas dengan begitu mudah apatah lagi dia yang membesarkan Areum tanpa bantuan sesiapa pun. Malas hendak serabutkan fikirannya, Seungmin melangkah masuk ke dalam rumah.

✾✾✾✾✾

Changbin tersenyum lebar sebaik saja melihat Eunbi menghidangkan sepiring kuih kek lapis bersama minuman strawberi ais untuknya.

"Alah, menyusahkan awak pula. Saya datang nak isi minyak kereta je pun," kata Changbin meskipun dalam hati, berkata sebaliknya.

"Biarlah... Simpan dalam rumah pun tak ada orang makan juga." Pak Sooman yang ketika itu sedang membakar sampah, mencelah.

"Kalau Pak Sooman cakap macam tu, saya tak boleh nak menolak lah. Hehehe... Eunbi, jomlah makan sekali," ajak Changbin. Riuh suasana dibuatnya. Ditambah lagi dengan lagaknya tidak ubah seperti tuan rumah yang menjemput tetamu menjamu selera.

"Ayah kamu sihat?" Tanya Pak Sooman selepas mengambil tempat di bangsal yang terletak di bawah pokok mempelam rumahnya.

"Sihat je cuma sekarang dia ke luar bandar. Ada urusan kerja. Hujung bulan ni rasanya dia balik. Kenapa Pak Sooman tanya? Rindu Daddy ke?" Changbin bertanya semula.

Eunbi yang pada masa itu sedang menyisip minuman, hampir saja tersembur kerana menahan tawa selepas mendapat tahu panggilan yang digunakan Changbin untuk ayahnya ialah 'Daddy'. Bukan apa, dia merasakan panggilan itu terlalu lucu bagi Changbin yang berbadan sasa.

"Tak ada masa lah Pak Sooman nak rindu ayah kamu tu. Saja tanya, sebab lama tak nampak dia. Ke luar bandar rupanya," jawab Pak Sooman.

"Kalau kamu nak tahu, dulu Pak Sooman tak suka berkawan dengan ayah kamu tu. Boleh dikatakan setiap hari bermasam muka." Pak Sooman mula membuka cerita.

"Sebab apa? Pak Sooman cerita lah!" Desak Changbin yang sudah teruja untuk tahu tentang kisah silam ayahnya. Eunbi yang duduk bersebelahan ayahnya juga turut mengangguk sama.

"Macam ni ceritanya. Zaman sekolah dulu, Pak Sooman rapat dengan Hyunjoong, mendiang ayah Seungmin tapi kalau Changmin, ayah kamu tu memang Pak Sooman tak boleh ngam langsung sebab kita orang minat dekat perempuan yang sama. Jadi, kita orang macam bersaing lah... Siapa dapat pelajar perempuan tu, dia paling hebat sebab pelajar perempuan tu memang tak layan lelaki langsung," cerita Pak Sooman bersungguh.

"Siapa nama perempuan tu, Pak Sooman?" Tanya Changbin ingin tahu.

"Han Seungyeon. Pak Sooman boleh ingat lagi macam mana muka dia. Cantik dia memang kalah artis," kata lelaki separuh usia itu sebelum Eunbi berdaham perlahan.

"Maksud Ayah, waktu sekolah dulu. Kamu jangan salah faham pula," ujar Pak Sooman lantas Changbin ketawa.

"Okey, sambung semula. Pak Sooman dengan Changmin pun hari-hari buat challenge untuk dapatkan Seungyeon sampailah satu hari tu... Seungyeon datang jumpa kita orang berdua. Yang kami ni pula, ingatkan Seungyeon nak buat pemilihan antara Pak Sooman dengan ayah kamu. Rupa-rupanya, dia beritahu yang dia dah sukakan orang lain." Mendatar saja suara Pak Sooman saat memberitahu itu. Seakan-akan parut hatinya kembali berdarah semula.

"Hahahaha! Peritnya! Pak Sooman tak tahu ke siapa lelaki tu?" Soal Changbin ingin tahu.

"Ha'ah... Siapa lelaki tu, Ayah?" Eunbi turut mencelah.

"Lelaki yang Seungyeon minat tu, Hyunjoong... Ayah kepada Seungmin. Kita orang tak sangka langsung. Ya lah, Hyunjoong tu pendiam orangnya. Bercakap pun dengan kawan-kawan dia je, tahu-tahu dia yang dapat si Seungyeon," luah Pak Sooman selepas beberapa saat mendiamkan diri. Mungkin rasa dikhianati itu terasa semula.

Changbin dan Eunbi sama-sama ternganga sebelum mereka berdua ketawa serentak. Betapa lucunya kisah Pak Sooman sewaktu persekolahan dulu.

"Seriuslah?? Lepas tu, Pak Sooman bermusuh dengan ayah Seungmin pula ke?" Changbin membuat andaian sendiri.

"Tak ada lah sampai macam tu. Lagipun, Seungyeon yang minat Hyunjoong. Lepas daripada tu, Pak Sooman, Hyunjoong dengan Changmin jadi kawan baik. Tak ada gaduh-gaduh dah sebab masing-masing dah jumpa pasangan sendiri," beritahu Pak Sooman seraya tertawa perlahan.

"Mereka berdua memang dah ditakdirkan bersama. Orang lain semuanya cinta monyet tapi Hyunjoong dengan Seungyeon, kekal sampai ke jinjang pelamin. Sampai akhir hayat pun, mereka bersama." Sayu saja suara Pak Sooman ketika itu kerana mengenangkan dua orang insan yang pernah bergelar sahabatnya. Senyuman kecil juga turut diukirkan.

"Kelakar juga kisah orang dulu-dulu, ya? Bergaduh sebab berebut perempuan. Hahahaha!" Changbin cuba mengembalikan suasana ceria.

"Ya lah... Dah nama pun zaman sekolah. Fikir pun tak jelas mana, sibuk nak bercinta. Nanti ayah kamu balik, beritahulah Pak Sooman. Lama tak berbual dengan dia," ujar lelaki separuh usia itu dan Changbin mengangguk faham.

Sepotong kuih lapis diambil sebelum Changbin menyuapkan terus ke dalam mulut tanpa digigit terlebih dulu. Kerana teksturnya yang melekit, kuih itu terlekat di kerongkongnya. Changbin memegang lehernya manakala tangan kanannya menepuk lengan Eunbi, meminta bantuan.

"Ya Tuhan! Kamu makan kuih ke makan racun ni?? Minum air dulu!" Cemas dibuatnya orang tua itu. Lebih teruk lagi, Changbin menarik rambut Eunbi, membuatkan gadis itu menjerit kecil.

"Woi! Tercabut kepala anak aku tu!"

✾✾✾✾✾

Seungmin termenung di beranda rumahnya bagi memikirkan masalah yang baru datang. Kenapa semua ini perlu berlaku setelah apa yang dia perlu lalui. Setelah kehilangan Minjeong dan Ok Soon, dia tidak mahu kehilangan sesiapa lagi. Cukuplah dirinya menempuh semua itu buat masa sekarang.

Lia mengambil tempat di sebelah Seungmin bersama secawan teh lalu diberikan kepada jejaka itu. Seungmin mengukirkan senyuman sebelum mengambil minuman yang dibawa Lia.

"Areum mana?" Tanya Seungmin. Selalunya Areum tidak benarkan Lia ke mana-mana sehinggalah kerja sekolahnya disiapkan.

"Ada, tengah mewarna. Sementara tunggu dia siap, saya tinggal sekejap," beritahu Lia dan Seungmin mengangguk kecil.

"Awak tengah fikirkan pasal Daniel ke?" Soal Lia memandangkan dia juga tahu niat sebenar Daniel datang ke rumah petang tadi.

"Memang awak kenal dia sebagai business partner ke? Sebab dari apa yang saya tengok, cara awak dengan dia berbual, nampak lain," ujar Seungmin ingin tahu.

Lia mengemam bibirnya sebelum bersuara. Rasanya tidak salah jika dia memberitahu perkara sebenar kepada Seungmin. Jejaka itu juga berhak untuk tahu hal penting itu.

"Sebenarnya, Daniel tu bakal tunang saya tapi semuanya berubah lepas saya tak hadir waktu janji temu pertama kita orang. Macam biasa, bila orang yang ada syarikat ni... Diorang akan aturkan perkahwinan  anak mereka untuk gabungkan syarikat masing-masing, sama seperti Jessica lakukan pada saya." Lia mula membuka cerita manakala Seungmin mendiamkan diri, memberi ruang untuk gadis itu menghabiskan ceritanya.

"Saya tak bersetuju dan dalam pada masa yang sama, saya tak berani nak menolak arahan Jessica tapi bekas setiausaha Jessica faham perasaan saya dan tawarkan diri dia untuk tolong gantikan saya. Orang tu ialah Minjee ataupun Minjeong yang awak kenal," beritahu Lia sementara Seungmin sudah terkejut mendengarkan hal itu. Dia tidak pernah menyangka yang Lia mengenal mendiang Minjeong.

"Saya tahu awak terkejut tapi percayalah. Saya memang nak beritahu awak tentang ni cuma waktu tak menyebelahi dan sekarang ialah masa yang sesuai. Jadi, sebab itulah saya beritahu awak semuanya sekarang ni," jelas Lia.

"Selepas tu, apa yang terjadi?" Tanya Seungmin ingin tahu. Tentang Minjeong ialah bekas setiausaha Jessica, ditolak tepi dahulu kerana itu semua tidak penting.

"Saya pun bersetuju dengan cadangan Minjee memandangkan Daniel tak tahu rupa saya macam mana, begitu juga dengan saya. Pada mulanya, saya ingatkan semua berjalan lancar macam yang kita orang bincangkan tapi tak. Daniel terus dapat tahu yang Minjee menyamar sebagai saya disebabkan Jessica ada beritahu ciri-ciri saya pada dia..."

"... Tapi Daniel tak kisah semua tu sebab dia dah jatuh cinta pada Minjee pada kali pertama diorang berjumpa dan terus beritahu Jessica yang dia tak sukakan saya. Selepas beberapa bulan diorang bercinta, Minjee dibuang kerja. Atas sebab apa, saya sendiri tak tahu dan tak lama lepas Minjee dibuang kerja, Daniel datang ke company untuk  batalkan kontrak. Masa itulah, first time kita orang bertemu. Sejak daripada tu, saya dah tak dengar apa-apa pasal Minjee." Lia menceritakan segalanya yang dia tahu.

Seungmin membuang pandangannya ke arah jalan. Apa yang diceritakan Lia terasa seperti kisah yang tertulis dalam sebuah novel fiksyen. Dia mula berasa kasihan pada Minjeong. Perjalanan hidup gadis itu begitu perit sekali. Dirinya dibuang kerja sekaligus dikhianati oleh lelaki yang sangat dipercayainya.

"Selepas apa yang saya ceritakan pada awak, saya tak kisah kalau awak nak ubah keputusan awak tentang kontrak yang saya bawa tu. Saya minta maaf sebab lambat jelaskan semua ni," ujar Lia dengan perasaan bersalah.

"Awak tak perlu buat semua tu sebab bukan salah awak," jawab Seungmin namun tidak pula dia berkata apa-apa tentang kontrak yang disebutkan Lia.

Kehadiran Areum membuatkan pasangan itu berpaling serentak. Kelihatan gadis kecil itu sedang memegang sehelai kertas lukisannya. Kemudian Areum menghampiri ayahnya untuk menunjukkan hasil tangannya.

"Wah! Cantiknya Areum lukis," Puji Seungmin. Nada suaranya juga sengaja diceriakan kerana sebelum ini Areum pernah merajuk kerana pujian Seungmin kedengaran tidak ikhlas katanya.

"Hehe. Ni Makcik Cantik, ni Ayah, yang ni pula Nek Yang. Sebelah Nek Yang tu pula, Mak. Areum lukis Nek Yang dekat atas sebab Nek Yang kan sekarang dekat syurga dengan Mak." beritahu Areum seraya menunjuk ke arah satu-satu lukisannya.

Seungmin dan Lia sama-sama tersenyum mendengar penjelasan Areum. Kepala gadis kecil itu diusap perlahan lantas kedua pipi tembamnya dicubit perlahan. Areum menatap wajah ayahnya lama, yang mana tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Kelakuan aneh Areum, sedikit sebanyak membuatkan Seungmin hairan.

"Ayah, siapa pakcik yang datang rumah kita petang tadi?" Soal kanak-kanak perempuan itu.

Seungmin mengerutkan keningnya lalu menoleh ke arah Lia sekilas. Adakah Areum terdengar perbualan mereka sebentar tadi?

"Kawan Ayah. Kenapa Areum tanya?" Bohongnya Seungmin sekaligus bertanya semula, inginkan kepastian.

"Tak adalah sebab petang tadi, pakcik tu tiba-tiba peluk Areum lepas tu dia cakap macam ni 'maafkan, Papa...' Bukan tu panggilan selain ayah ke? Areum ada berapa orang ayah?" Tanya Areum yang masih lagi keliru dengan apa yang berlaku padanya siang tadi.

Seungmin terkedu sejenak mendengar soalan yang diberikan Areum sebelum bersuara. "Areum percayakan Ayah tak?" Gadis kecil itu mengangguk laju.

"Areum sayangkan Ayah tak?" Soal Seungmin lagi dan Areum tetap memberikan jawapan yang sama.

"Jadi, kalau ada sesiapa yang cakap benda pelik macam tu pada Areum... Areum perlu ingat satu perkara saja. Areum hanya ada Ayah dengan Makcik Lia saja. Faham?" Pesan Seungmin.

"Faham!" Jawab Areum dengan bersemangat lalu memeluk erat tubuh Seungmin sebelum memeluk Lia pula.

Seungmin memerhatikan Areum yang duduk di atas riba Lia sambil kepalanya ligat memikirkan cara supaya kebahagiannya bersama Areum tidak dirampas Daniel begitu saja.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro