Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦23

"Boleh tak awak terus menetap dekat sini?" Tanya Seungmin, membuatkan Lia yang ketika itu sedang mengunyah rumpai laut, terkedu sebelum kuah meleleh keluar semula dari mulutnya.

Menyedari hal itu, Lia pantas mengelap tepi bibirnya yang comot dengan lengan bajunya sebelum tersengih malu.

"Sorry... Awak cakap apa tadi? Saya tengah mengunyah tadi, dengar awak kata 'dekat sini' je... Hehe." Lia menunjukkan barisan giginya sewaktu mengatakan itu. Belakang kepalanya juga digaru meskipun tidak terasa gatal.

"Tak ada apa... Saya cuma nak beritahu, yang rumpai laut melekat dekat sini," bohong Seungmin sebelum ibu jarinya mengelap sisa makanan yang kebetulan melekat di tepi bibir Lia.

"Erk... Terima kasih. Nak tambah lagi?" Soal Lia, cuba mengawal perasaannya.

"Tak apa... Saya dah kenyang. Sedap awak masak," puji Seungmin seraya bibir nipisnya mengukirkan senyuman yang sentiasa akan membuatkan hati Lia tidak keruan. Seungmin kemudiannya bangun dari kerusi menuju ke sinki untuk membasuh mangkuk yang digunakan.

Lia mengemam mulutnya, menahan dari melepaskan jeritan di situ juga. Bagi mengalihkan perhatiannya, baki sup rumpai laut yang terletak di atas meja, diambil untuk disimpan ke dalam peti.

"Saya masuk tidur dulu." Lia berpaling sekilas semasa Seungmin memberitahu itu lalu mengangguk kecil. Pintu peti ditutup semula lantas Lia memanjangkan lehernya untuk memastikan Seungmin sudah masuk ke dalam bilik. Dengar sahaja bunyi pintu bilik tertutup, Lia melompat setempat bagi menghabiskan perasaan terujanya yang ditahan sejak tadi.

"Dia memang tak pandang masa setiap kali buat aku meroyan. Huaa!!" Lia menukup wajahnya dalam keadaan tersenyum lebar. Setelah mengambil masa lebih kurang seminit, Lia mengangkat semula wajahnya lalu menarik nafas dalam. Sudah puas menggelupur semdirian, gadis itu naik semula ke bilik untuk melelapkan mata.

✾✾✾✾✾

Areum mengerutkan wajahnya saat Lia menyapu rata bedak pada kulit mukanya. Selesai bahagian itu, Lia mengambil pula sikat untuk menyisir rambutmya. Rambut panjang ikal mayang milik Areum dibahagi kepada dua bahagian lalu ditocang halus.

"Okey, dah comel pun Areum," puji Lia sambil tersenyum bangga melihat hasil dandanannya yang tidak seberapa itu.

Kerana tidak percaya dengan kata-kata pujian Lia, Areum menuju ke almari cerminnya untuk melihat sendiri. Ketinggian rambut yang tidak sama rata itu membuatkan Areum mencebik tidak puas hati.

"Apa ni Makcik Cantik... Kata comel tapi kenapa senget?" Rungut kanak-kanak itu dengan mata yang masih lagi melihat cermin besar dalam biliknya. Tangan pula sibuk membetulkan kedudukan ikatan rambutnya.

"Hei, comel apa. Tocang senget ni trend sekarang, tahu tak?" Lia memberi alasan untuk membela dirinya.

Kedua kening Areum terangkat. "Ya eh? Hmm... Okeylah kalau macam tu." Akhirnya gadis kecil itu akur dengan kedudukan rambutnya yang senget setelah hampir dua minit berdebat.

Seungmin memerhatikan penampilan anak perempuannya atas bawah. Semuanya kelihatan sempurna kecuali dandanan rambut yang dikenakan.

"Ayah, cantik tak Areum hari ni?" Soal Areum dengan nada ceria. Tangan kecilnya pula menggenggam erat tangan Lia.

"Mestilah..," jawab Seungmin walaupun dia sendiri kurang berkenan dengan rambut Areum. Asalkan anak perempuannya gembira, dia tidak kisah. Lagipun, Lia yang menguruskan Areum dan semestinya gadis itu lebih arif dalam hal begitu jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

"Okeylah... Areum pergi sekolah dulu, Makcik Cantik. Jumpa petang nanti," ucap Areum seraya melambai ke arah Lia.





Seungmin berpaling ke belakang apabila telinganya menangkap bunyi orang berjalan. Jejaka itu kemudiannya menyimpulkan senyuman kecil sejurus melihat gerangan itu ialah Lia. Mesti gadis itu kebosanan sehingga datang ke ladang bunganya.

"Buat apa tu?" Tanya Lia seraya tersengih.

Seungmin memandang beg baja yang dipegangnya sebelum menoleh ke arah Lia semula. "Nak tanam benih. Lepas hujan lebat tempoh hari, banyak pokok yang baru nak tumbuh mati. Itu yang nak ganti semula," beritahu Lia.

"Saya nak belajar tanam bunga dengan awak boleh?" Lia bertanya. Sebenarnya sudah lama dia ingin belajar cara menanam tumbuhan itu namun tiada kesempatan. Jadi dia rasa mungkin itu ialah waktu yang sesuai  memandangkan Seungmin juga ingin menanam biji benih.

"Mestilah boleh. Sebelum tu, ambil sarung tangan dalam laci dekat bilik pengeringan. Ada sepasang yang belum dipakai, bolehlah awak guna," kata Seungmin dan Lia mengangguk faham sebelum mengorak langkah menuju ke bilik kecil seperti yang diberitahu Seungmin.

Tidak mengambil masa yang lama, Lia keluar semula dari bilik itu dengan sarung tangan yang sudah tersarung pada tangannya.

Seungmin menggali satu lubang sedalam dua puluh hingga tiga puluh sentimeter dalam dengan menggunakan kedua tangannya. Tiga biji benih yang berusia empat minggu diletakkan ke dalam lubang tadi sebelum mengambus tanah di atas biji benih tadi.

"Awak tengok kan macam mana saya buat tadi. Sekarang awak pula buat." Seungmin memberi ruang untuk Lia belajar melakukan itu.

Seperti yang disuruh, Lia mula mengikut semua langkah-langkah yang telah ditunjukkan Seungmin tadi dengan begitu sempurna. Lia menoleh ke arah Seungmin, menunggu respon jejaka itu.

"Semuanya betul tapi satu saja yang salah. Sepatutnya awak kena gali lubang yang lain dengan jarak kira-kira empat puluh sentimeter. Jadi sekarang awak kena korek balik tanah tu," jelas Seungmin sebelum tertawa kecil apabila melihat riak wajah Lia.

"Awak tak cakap pun kena jarak? Nasib baik sayang... Kalau tak, dengan awak sekali saya tanam dekat sini," bebel Lia sementara tangannya sibuk menggali semula biji benih yang sudah ditanamnya tadi.

Seungmin tergamam beberapa saat apabila mendengar perkataan 'sayang' yang keluar dari mulut gadis itu. Tidak mahu terus hanyut dengan lamunannya, Seungmin berdaham perlahan lalu memberi perhatian kepada Lia yang ketika itu sibuk melakukan tugasnya.

Selepas siap menanam tanaman dengan jumlah yang sudah ditetapkan, pasangan itu melepaskan penat di sebuah bangku yang berhadapan dengan ladang bunga kamomil yang memutih.

"Awak tahu tak apa yang istimewa tentang bunga kamomil?" Tanya Seungmin bagi memecahkan kesunyian yang hadir di antara mereka berdua. Seungmin melirik ke arah Lia dan kelihatan gadis itu menggeleng tidak tahu.

"Bunga kamomil ni istimewa sebab dapat tolong pertumbuhan tanaman lain juga. Contohnya macam herba spearmint, sage dengan oregano. Sesetengah orang panggil kamomil ni sebagai 'tanaman doktor'," beritahu Seungmin.

"Wah! Saya tak tahu pula pasal tu. Sebelum ni pun saya cuma tahu yang bunga kamomil boleh buat ubat, herba macam itu saja," ujar Lia dengan nada teruja.

Seungmin memandang tanah sambil tersenyum sendiri. "Kan? Dah lah cantik, dapat tolong tumbuhan lain pula tu. Sama macam dengan perempuan yang saya kenal," kata Seungmin dengan maksud yang tersembunyi.

Lia memandang ke arah Seungmin dengan perasaan tertanya-tanya. "Maksud awak siapa perempuan tu? Mendiang Minjeong?" Soal Lia yang tidak menangkap makna yang cuba disampaikan jejaka di sebelahnya.

Seungmin menarik nafas dalam sebelum menggeleng. "Memang Minjeong pernah jadi orang istimewa dalam hidup saya tapi bukan dia yang saya maksudkan..." Kini Seungmin memberanikan dirinya untuk menatap sepasang mata milik Lia yang mana sebelum ini hanya dipandang sekilas lalu.

"Perempuan tu awak, Lia. Sepanjang hidup saya, awak perempuan pertama yang selalu ada setiap kali saya berasa sedih selain daripada Nenek. Awak selalu pujuk saya bila saya kesunyian dan cuba gembirakan saya semula, sama macam mana kamomil menghidupkan tumbuhan yang lain. Jadi, disebabkan semua yang awak dah buat... Terima kasih sebab sentiasa ada untuk saya dan minta maaf sebab awak terpaksa lalui semua ni," luah Seungmin sepenuh hatinya.

Tubir mata Lia mula bergenang dengan cecair jernih kerana rasa terharu yang tidak terkata. Itu kali pertama dia merasakan kehadirannya sangat dihargai dan bukan itu sahaja. Seungmin juga menganggapnya sebagai seseorang yang sangat bermakna buatnya. Lia menyedut hingus yang hampir sahaja mengalir keluar.

"Kenapa awak menangis? Saya ada tersalah cakap ke?" Tanya Seungmin sebaik saja melihat Lia bersungguh mengelap wajahnya menggunakan lengan baju.

Lia menggeleng laju, menidakkan soalan yang diberikan Seungmin. Airmata yang tidak berhenti bergenang tidak lagi dapat ditahan manakala bibirnya sudah mencebik.

"Saya tak pernah rasa dihargai macam ni sekali. Selama ni, saya selalu tertanya-tanya macam mana rasanya bila seseorang menganggap saya sebagai orang yang istimewa. Keluarga saya sendiri tak pernah buat saya rasa terharu tapi sekarang saya dah jumpa orang tu." Lia menjelaskan puncanya melepaskan tangisan sejurus jejaka itu menghabiskan kata-katanya.

Seungmin tersenyum seraya tertawa kecil. Pundak kepala Lia diusap perlahan sebelum ibu jarinya mengelap mutiara jernih yang membasahi wajah Lia pada waktu itu.

"Saya gembira yang saya jadi orang pertama tu," kata Seungmin bersama segaris senyuman yang masih lekang pada wajah tampannya.

✾✾✾✾✾

Changbin menjenguk Pak Sooman yang ketika itu sedang memeriksa enjin keretanya. Dia berkunjung ke rumah orang tua itu kerana hendak memulangkan sepana yang tertinggal di dalam keretanya. Tiba-tiba sewaktu hendak pulang, keretanya buat hal. Nasib baiklah orang tua itu mahir dalam bab begitu. Kalau tidak, dia juga buntu hendak buat bagaimana lagi memandangkan satu-satunya bengkel kereta di kampung itu tidak beroperasi.

"Cuba kamu hidupkan enjin kereta," arah Pak Sooman. Mendengarkan itu, Changbin terus masuk ke tempat pemandu bagi melakukan apa yang diarahkan orang tua itu.

Kunci dimasukkan ke tempatnya sebelum dipulas. Setelah beberapa kali mencuba, kereta tetap tidak hidup seperti biasa. Changbin mengeluh perlahan. Tanpa keretanya, dia sukar hendak bergerak ke mana-mana.

"Tak boleh lah, Pak Sooman. Rosak apa tak tahulah. Tadi masa datang ke sini elok je bergerak," keluh Changbin seraya memerhatikan bahagian enjin dengan pandangan kosong.

"Entahlah. Kalau tengok dekat sini, tak ada apa-apa masalah pun. Biar Pak Sooman pula cuba hidupkan." Kali ini lelaki separuh usia itu menawarkan dirinya dan Changbin hanya akur saja memandangkan sudah mati akal hendak memikirkan cara.

Baru saja melabuhkan tempat di atas kerusi, tumpuan Pak Sooman terhenti pada bahagian speedometer lantas punca kereta Changbin tidak hidup, diketahui.

"Ya Tuhan, Changbin. Kamu tak isi minyak, macam mana nak berjalan? Buat penat je Pak Sooman intai enjin rupanya dia yang lupa isi minyak," bebel orang tua itu sejurus melangkah keluar.

Changbin tidak menjawab sebaliknya terus tersengih di tempatnya. Lupa pula yang semalam dia berulang-alik dari bandar kerana membeli barangan kafe bersama pekerjanya. "Hehe... Maaf Pak Sooman sebab menyusahkan," ucapnya dengan rasa bersalah.

Pak Sooman hanya menggelengkan kepala. Terhibur pula hatinya apabila memikirkan hal itu. Tidak pernah lagi orang minta tolong tengokkan kereta yang sudah kehabisan minyak. Kemudian Pak Sooman berpaling ke kanan dan kelihatan anak daranya, Eunbi menghampiri mereka bersama dulang air pada tangannya.

"Tak ada apalah. Jemput minum dulu, Changbin," pelawa Pak Sooman lalu mengambil tempat di atas bangsal, diikuti Changbin sebaik saja dipelawa orang tua itu.

"Eunbi, kamu nak ke mana pula?" Soal Pak Sooman sebelum sempat anak gadisnya mengorak langkah.

"Err, masuk rumahlah. Kenapa Ayah tanya?" Eunbi mengerutkan kedua keningnya hairan. Pelik dengan soalan ayahnya sedangkan sebelum ini dia akan terus masuk ke dalam rumah selepas menghantar minuman.

"Duduklah sini, dulu. Ambil angin sekali. Asyik memerap dekat dapur je, tak bosan ke. Mari sini, duduk sebelah Ayah." Pak Sooman mengesot sedikit, memberi ruang untuk anaknya duduk. Changbin yang menyaksikan dua beranak itu tidak pula hanya mendiamkan diri. Apa salahnya kalau Eunbi menyertai perbualan mereka berdua.

"Lembut betul donut ni. Beli mana, Pak Sooman?" Tanya Changbin dalam keadaan mulut penuh. Tepi bibirnya juga comot dengan gula yang disadur pada donut.

"Buat apa beli kalau Eunbi boleh buat lagi sedap dari kedai. Kalau ada kuih dalam rumah tu, memang Eunbi lah tukang buatnya. Sedap kan?" Ujar Pak Sooman.

"Wah! Eunbi yang buat donut ni?? Fuh! Memang sedap!" Puji Changbin dengan bersungguh. Kedua ibu jarinya juga diangkat sebagai tanda berpuas hati. Sudahlah mulut penuh dengan makanan, nasib baik tidak tersembur saja.

Eunbi mula tersipu malu apabila lelaki yang diminatinya menyukai kuihnya. "Terima kasih." Perlahan saja suara gadis itu sewaktu mengucapkan perkataan itu.

"Lain kali, kalau kamu nak makan kuih ke, kek ke, beritahu je Pak Sooman. Nanti Pak Sooman suruh je si Eunbi buatkan untuk kamu tapi bukan free lah. Kamu kena sponsor bahan," seloroh Pak Sooman kemudian tertawa perlahan.

"Ayah ni..," marah Eunbi apabila ayahnya berkata begitu.

"Setakat beli barang, apa salahnya. Awak betul-betul tak kisah ke kalau saya nak minta tolong awak buatkan kuih ni?" Tanya Changbin pula yang menginginkan kepastian. Sudahlah dia memang penggemar berat makanan manis begitu. Jejaka berbadan sasa itu mula tersenyum meleret sebaik saja melihat anggukan Eunbi.

"Ouh ya, kebetulan pula esok birthday Seungmin. Dia suka betul dengan kek batik... Bolehlah saya tempah dengan awak je. Awak free ke esok?" Soal Changbin lagi.

"Lah ya ke? Hari lahir yang ke berapa tahun? Tak silap Pak Sooman, Seungmin lebih kurang umur kamu dengan Eunbi, kan?" Pak Sooman mencelah. Dengar saja ayahnya menyebut nama Seungmin, Eunbi mula risau kalau ayahnya akan membuka mulut soal hendak jodohkan dirinya dengan Seungmin ketika itu.

"Hari lahir yang ke- 25 tahun. Ya lah, kita orang kan satu sekolah. Selalu juga saya tengok Eunbi rehat dengan kawan dekat tepi taman masa zaman sekolah dulu," beritahu Changbin manakala Eunbi pula sedikit terkejut dengan kenyataan itu kerana selama ini dia tidak tahu pula Changbin ada memerhatikannya.

"Ha betul lah... cuma Pak Sooman keliru. Seungmin macam mana sekarang, dah okey?" Tanya lelaki tua itu. Alang-alang sudah sebut nama Seungmin, terbayang pula wajahnya.

"Dia okey... Dah pergi kerja pun tapi dari luaran lah. Tak tahu pula dalam hati dia macam mana," ujar Changbin.

"Tak apalah kalau macam tu. Pak Sooman saja tanya," kata Pak Sooman.

Changbin letak semula cawan ke piringnya. Sudah masanya untuk dia beransur terlebih dulu. "Saya balik dulu, Pak Sooman. Kereta ni saya terpaksa tinggal dekat sini dulu. Petang sikit saya datang semula dengan Seungmin," ujar Changbin.

"Baiklah... Ni tak apa ke jalan kaki?" Soal Pak Sooman.

"Tak apa... Hari pun tak adalah panas mana. Eunbi, esok kita pergi beli barang nak buat kek batik sama-sama, ya?" Eunbi yang sedang menyusun cawan ke dalam dulang, terkejut mendengarkan itu.

"Kita berdua?" Tanya Eunbi semula. Mana tahu dia tersalah dengar.

"Ya lah... Saya mana tahu nak beli apa jadi kenalah bawa awak sekali. Takkan Pak Sooman nak marah pula. Pergi pasaraya je pun, kan Pak Sooman?" Changbin bertanya pula lelaki separuh usia itu.

"Kamu pergi jelah sekali dengan Changbin esok. Senang sikit lagipun tengok muka Changbin pun dah tahu tak pernah jejak kaki dekat pasaraya. Nanti terkial-kial pula dia nak cari barang." Sempat Pak Sooman mengusik Changbin yang mana ketika itu berdiri di hadapannya.

"Memang betul pun, Pak Sooman. Okeylah, saya balik dulu." Changbin meminta diri untuk kali kedua.

✾✾✾✾✾

Lia membantu Seungmin mengemas bilik pengeringan. Tiada apa sangat melainkan menyusun kotak-kotak yang akan digunakan untuk menempatkan stok bunga yang sudah dikeringkan. Selesai saja mengemas, pasangan itu membuat keputusan untuk pulang memandangkan ada lebih kurang setengah jam sebelum waktu persekolahan Areum tamat.

Lia memandang Seungmin yang sudah pun menghidupkan enjin skuternya. Ada sesuatu yang ingin dikatakannya namun Lia ragu-ragu jika itu masa yang sesuai.

"Kenapa awak berdiri dekat situ?" Suara Seungmin membuatkan Lia tersentak lantas tersengih.

"Tak ada apa pun... Cuma sebenarnya, saya dah lama teringin nak bawa skuter. Nanti bila ada masa lapang, boleh tak awak ajarkan saya?" Tanya Lia.

Seungmin tergelak perlahan mendengarkan itu. Dia menyangka Lia memikirkan masalah besar sehingga tidak berganjak di tempatnya.

"Sekarang pun boleh. Cepat duduk dekat sini." Seungmin turun dari tempatnya lantas menyuruh Lia mengambil alih.

Dengan perasaan teruja, Lia segera menghampiri skuter milik Seungmin. Gadis itu mula menjerit kecil apabila tangannya menyentuh pegangan tangan skuter itu.

"Okey, mula-mula awak pulas kunci. Lepas tu, tekan brek kiri sambil pulas handle untuk hidupkan motor. Cuba awak buat macam yang saya ajar tadi," arah Seungmin.

Lia mula mengikut langkah-langkah yang diberitahu Seungmin. Dengan sekali cuba, dia berjaya menghidupkan motor dan kini dia perlu belajar cara membawanya pula.

"Bagus... Sekarang ni, awak letakkan kaki di sini." Seungmin menunjukkan tempat yang dimaksudkan dan Lia hanya mengikut tanpa banyak soal.

"Okey, awak pulas handle perlahan-lahan. Yang paling penting, awak kena pandai imbang badan, faham?" Lia mengangguk laju lantas tangannya memulas pegangan tangan perlahan. Oleh kerana tidak pernah menunggang, Lia gagal mengimbangkan badannya hingga menyebabkan skuter bergerak ke hadapan sebelum dia terjatuh ke atas tanah.

"Lia! Awak okey??" Tanya Seungmin sambil membantu gadis itu bangun. Skuter yang terbalik itu diangkat sebelum Seungmin tergelak kecil.

"Kan saya kata, imbang badan. Kenapa badan awak senget?" Soal Seungmin dalam tawanya yang masih tersisa.

Lia tersengih. "Saya bawa basikal pun tak pernah macam mana nak imbangkan badan. Hehe. Skuter awak ada calar ke? Sorry sebab jatuhkan skuter," ujar Lia dengan perasaan bersalah.

Seungmin menggeleng. Rambut Lia yang menutup wajah, dirapikan sebelum mencuit hidung gadis itu. "Skuter saya calar pun bukan dia rasa sakit. Tak apalah, lain kali saya ajar lagi. Awak tak ada luka mana-mana kan?" Tanya Seungmin lagi.

"Tak ada pun. Nasib baik ada rumput. Jomlah, balik. Nanti lambat pula awak jemput Areum di sekolah," ujar Lia. Kemudian skuter yang ditunggangi mereka berdua mula menghilang dari pandangan.

✾✾✾✾✾

"Ayah! Areum nak main dekat rumah Jinhee boleh?" Gadis kecil itu meminta izin terlebih dulu.

"Kerja sekolah dah siap belum? Nanti penat main, malam mula lah tidur awal lepastu tak siapkan kerja sekolah," tanya Seungmin.

"Alah... Kerja sekolah Areum tak banyak pun. Malam nanti Areum janji akan siapkan." Areum menunjukkan jari kelingking, tanda berjanji.

"Okey. Jangan balik lambat sangat. Pukul 6.15, Ayah nak Areum dah ada dekat rumah. Boleh?" Pesan Seungmin sekaligus meminta kepastian. Areum pantas mengangguk sebelum berlari keluar. Seungmin hanya tersenyum melihat gelagat anak perempuannya lalu menyambung kerjanya yang tergendala.




"Jinhee jadi nenek kebayan! Cepat kira!" Jerit Areum apabila kawannya dijumpai terlebih dulu.

Kanak-kanak bernama Jinhee itu tergelak kerana tempat persembunyiannya diketahui Areum. Kini gilirannya pula untuk mengira sementara kawan-kawan yang lain akan mencari tempat untuk menyorok.

Jinhee menutup wajahnya sambil memulakan kiraan. "Satu! Dua!...."

Areum berlari mencari tempat untuk dijadikan lokasi persembunyian. Ruangan kosong di sebalik pasu bunga besar, menjadi pilihan Areum lantas gadis kecil itu cepat-cepat menyorok di situ.

"Dua puluh! Jinhee cari ni!" Kedengaran suara kawannya yang sudah selesai mengira.

Areum hampir saja ditangkap apabila Jinhee melepasi tempat persembunyiannya. Oleh kerana rasa tidak selamat di situ, Areum bangun perlahan-perlahan sebelum lari ke tempat lain. Sedang berlari, Areum terjatuh apabila terlanggar seseorang.

"Ha! Jinhee dah jumpa Areum!" Jerit Jinhee yang melihat Areum yang ketika itu sedang menggosok dahinya yang terasa sakit kerana bertembung dengan seseorang.

"Areum?" Tanya orang itu yang mana membuatkan Areum mendongak, memandang wajah gerangan yang dilanggarnya sebentar tadi.

Daniel melutut di hadapan kanak-kanak perempuan itu bagi menyamakan ketinggian mereka berdua. Sekali pandang, dia sudah dapat tahu yang kanak-kanak itu merupakan anak perempuannya. Rupa gadis kecil itu sangat seiras dengan Minjee manakala tahi lalat di bawah mata kanannya, sama seperti dirinya. Wajah Areum dipandang lama sebelum dia menarik tubuh gadis kecil itu ke dalam pelukannya.

"Maafkan Papa..," ucap Daniel seraya mengelus lembut belakang kepala anaknya.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro