Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦22

Jessica melambai perlahan, memanggil Daniel yang baru saja tiba di sebuah galeri sepertimana yang dijanjikan. Jessica menyimpulkan senyuman kecil seraya memandang sebuah lukisan yang digantung pada dinding.

Daniel memandang sekitar situ dan tiada seorang pun pengunjung melainkan hanya mereka berdua. Malas hendak membuang masa dengan memikirkan hal itu, dia mempercepatkan langkah menghampiri Jessica.

"Kau jangan risau... Galeri ni, aku punya. Jadi aku dah minta staf untuk kosongkan tempat pada hari ni. Ouh ya, kau nampak segak... Ada blind date?" Jessica berbasa-basi.

"Please straight to the point... Kau kata ada sesuatu nak beritahu aku tentang Minjee. Kau dah jumpa dekat mana dia sekarang?" Tanya Daniel. Melihat kelakuan Jessica yang sengaja melambatkan masa membuatkan dia berasa sedikit sakit hati kerana seolah-olah wanita itu mempermainkan dirinya.

"Ya, aku dah tahu dekat mana dia sembunyikan diri selama ni tapi malangnya, kita dah terlambat. Minjee dah meninggal dunia empat tahun yang lepas sebab kanser. Jadi, aku rasa dah tak ada apa lagi yang boleh kau buat memandangkan Minjee dah tiada," beritahu Jessica.

Daniel terkedu mendengar berita yang disampaikan wanita itu. Dalam pada masa yang sama, dia teringatkan kata-kata terakhir yang pernah diucapkan Minjee sebelum gadis itu membawa dirinya. Rasa bersalah mula menyelubungi diri. Gadis yang dicintai sepenuh hatinya kini sudah pergi buat selama-lamanya tanpa sempat dia menunaikan janji yang pernah termeterai antara mereka berdua. Janji untuk hidup bahagia bersama.

"Macam mana dengan anak kita orang? Kau ada apa-apa maklumat tentang dia?" Tanya Daniel lagi.

Jessica mengetap giginya sambil tersenyum sinis. Dia sudah mengagak yang Daniel akan bertanyakan hal anaknya tetapi tidak  semudah itu dia akan memberitahu tanpa sebarang ganjaran.

"Mestilah aku tahu... Kau tahu kan aku jenis cari benda yang aku nak sampai dapat tapi... Maklumat tu bukan percuma, kau faham kan maksud aku?" Ujar Jessica selamba.

"Kan aku bersetuju untuk berikan kontrak eksklusif? Apa lagi yang tak cukup?" Daniel mula mempersoalkan tentang itu. Jessica memang seorang wanita yang suka mengambil kesempatan.

"Kontrak tu untuk maklumat Minjee... Tentang anak kau pula, kau tak ada beri apa-apa. Sekarang ni, kau nak tahu atau tak tentang anak kau? Dengar cerita dia membesar dengan baik walaupun tanpa ibu di sisi." Sengaja Jessica memanaskan lagi suasana hati Daniel. Lagipun, apa salahnya kalau dia berbuat begitu oleh kerana Daniel tidak menyumbang sebarang bantuan dalam mencari Minjee melainkan menawarkan sehelai kontrak.

Daniel menarik nafas dalam, cuba menahan marahnya. Jika dia tidak mengawal emosinya, tidak mustahil peluang untuk dia mengetahui tentang anaknya terkubur begitu saja. "Apa yang kau nak supaya kau beritahu aku tentang anak aku?" Daniel mengalah.

Jessica tersenyum menang. Rambut yang dilepaskan, diselitkan belakang telinga. "Tak banyak pun. Aku cuma nak kau tambah satu lagi syarat dalam kontrak tu. Syarat yang kontrak antara company kita tak akan terbatal melainkan aku sendiri yang minta. Macam mana, kau setuju?" Jessica meminta kepastian. Dengan rasa terdesak, akhirnya Daniel mengangguk setuju.

Melihat jawapan yang diberikan jejaka itu, Jessica mengeluarkan sebuah fail dari beg tangannya lalu dihulurkan kepada Daniel. Tidak menunggu lagi, Daniel terus membuka fail yang diberikan. Sekeping gambar yang diletakkan di dalamnya, dikeluarkan sebelum kedua keningnya berkerut hairan.

"Itu Kim Seungmin, lelaki yang jaga anak kau selama ni. Kalau kau nak tahu, aku pernah jumpa dia secara berdepan dan pada pendapat aku... Dia senang je nak bawa berbincang kalau kau pandai ambil hati. So, good luck," ujar Jessica.

"Ouh ya, dalam fail tu aku dah masukkan semua maklumat lengkap termasuk gambar anak kau. Kalau tak ada apa-apa, kau bolehlah pergi. Lagipun, tak kanlah aku nak tinggalkan kau seorang diri di sini," kata Jessica lagi dan Daniel kemudiannya meminta diri terlebih dulu.

Jessica menghantar Daniel dengan lirikan ekor matanya. Tidak sangka jejaka itu terlalu bodoh dalam hal begitu. Tidak mustahil juga kalau jejaka itu terlalu terdesak hingga sanggup bersetuju dengan apa saja yang dimintanya.

"Biarlah... Bukan aku buat jenayah pun," gumamnya sendiri.

✾✾✾✾✾

Changbin menapak selangkah, menghampiri Seungmin yang tidak sedar dengan kehadirannya ke situ. Boleh dilihat yang keadaan kawannya seorang itu sudah beransur baik. Mungkin kerana sudah melepaskan semuanya petang semalam.

"Banyak lagi ke benih yang kau nak tanam?" Soal Changbin yang membuatkan Seungmin tersentak kerana terperanjat.

"Ish, terkejut aku. Kenapa kau tanya, nak tolong?" Tanya Seungmin semula dengan nada sindiran. Bukan baru kali pertama Changbin bertanya begitu.

"Err... Tak. Hehe... Kau dah makan?" Changbin mengintai wajah Seungmin yang ketika itu sibuk melakukan kerjanya.

Seungmin hanya menggeleng. Buat masa itu, dia belum berasa lapar lagi. Tunggulah petang nanti. Itupun kalau dia rasa hendak makan. Selesai meletakkan beberapa biji benih, Seungmin mengambus semula dengan tanah menggunakan kedua tapak tangannya sebelum menggali lubang yang lain pula.

Changbin sedikit risau melihat Seungmin begitu. Tingkah lakunya, sama seperti empat tahun yang lepas. Tahun di mana Minjeong meninggal dunia. Seungmin akan menyibukkan dirinya dengan pelbagai kerja hingga diri sendiri tidak terjaga. Kini, perkara itu berulang semula selepas pemergian neneknya. Changbin menapak beberapa langkah, mengekori Seungmin.

"Berhentilah dulu, makan. Kalau asyik buat kerja je, tak ada tenaga nanti." Changbin memberanikan dirinya untuk memujuk walaupun peluangnya berjaya tipis.

"Tak apa, aku belum lapar," jawab Seungmin tanpa menoleh ke arah Changbin yang berdiri di sebelahnya.

"Alah, berhentilah dulu. Aku ada bawa makanan untuk kau ni, nak makan sama-sama dengan kau. Jomlah..," rengek Changbin.

Seungmin mengetap bibirnya apabila Changbin terus menggoyangkan tangannya yang mana menyukarkan untuk dia meletakkan biji benih ke dalam tempatnya. Mendengar Seungmin mendecit, Changbin perlahan-lahan melepaskan pegangan tangannya lantas tersengih-sengih.

"Sorry... Jomlah makan dulu. Nanti dah sejuk, tak sedap lauk ni. Cepatlah... Kau kan kawan aku? Tak kanlah kau sanggup biarkan aku makan seorang diri." Lelaki berbadan sasa itu meneruskan pujukannya. Dia sudah bertekad untuk memastikan Seungmin menjamah makanan walaupun sedikit.

"Hmm, ya lah." Akhirnya Seungmin mengalah. Jika terus mendiamkan diri, selagi itu lah Changbin akan terus merengek. Sekali dengar, tidak ubah seperti lalat yang menghurung makanan.

Seungmin menanggalkan sarung tangannya lalu diletakkan di tepi terlebih dulu. Baru hendak bangun berdiri, pandangannya berubah gelap diiringi denyutan yang terasa kuat di kepalanya yang membuatkan Seungmin terjatuh ke tanah.

"Seungmin! Kau okey tak ni??" Soal Changbin cemas. Mana tidaknya, dia baru saja hendak membuka penutup bekas bekal makanannya sebelum melihat Seungmin sudah pun terjatuh ke tanah.

Sedang membantu Seungmin untuk bangun semula, Changbin terkejut setelah menyentuh dahi kawannya yang panas membahang. Padanlah wajah jejaka itu kelihatan pucat sebentar tadi.

"Kenapa kau pergi kerja juga, dah tahu demam? Dahlah aku ajak makan, kau tak nak. Aku tahu kau masih sedih tapi jangan seksa diri sendiri boleh tak? Kalau kau terus macam ni, sakit... Siapa nak uruskan Areum? Tak kanlah kau nak harapkan pada Lia? Sedar lah, Seungmin... Aku tak suka tengok kau macam ni. Aku rindukan kau yang dulu," bebel Changbin dengan nada sebak. Tunggu masa saja untuk airmatanya mengalir.

Seungmin pula hanya mendiamkan diri, membiarkan dirinya dimarahi Changbin. Benar apa yang dikatakan lelaki itu. Mengapa dia perlu menyeksa dirinya sendiri sedangkan semua itu tidak boleh memutarkan masa kembali seperti dulu.

"Dah... Sekarang ni biar aku hantar kau balik," ujar Changbin. Baru saja Seungmin hendak berdiri, dia terlebih dulu mengangkat badan Seungmin di atas belakangnya.

"Weh, kau tak payahlah macam ni sekali. Aku boleh jalan lagi," marah Seungmin namun semua itu tidak dipeduli kerana Changbin tetap melangkah.

"Ah, tak ada maknanya. Kalau kau tiba-tiba pengsan dekat tengah jalan, aku juga yang angkat kau... Bukan orang lain. Sekarang ni kau diam sebelum aku campak kau dalam ladang bunga," ugut Changbin sementara Seungmin tertawa perlahan.

✾✾✾✾✾

Lia ternganga melihat Seungmin yang digendong Changbin ketika itu lantas menuruni anak tangga untuk bertanya apa yang berlaku sehingga Changbin terpaksa membawa Seungmin di belakangnya.

"Kenapa ni, Changbin?" Soal Lia risau seraya memeriksa kaki Seungmin, kalau-kalau ada tercedera hingga tidak boleh berjalan.

Seungmin diturunkan terlebih dulu sebelum menjawab soalan Lia. "Dia demam lepastu acah-acah sihat, pergi kerja. Nasib baik saya ada dekat rumah hijau tadi. Kalau saya tak pergi sana, dia pengsan pun tak ada orang tahu," jelas Changbin dengan nada bersungguh.

Lia memandang Seungmin yang seperti tiada perasaan saat itu. Belakang tangan dilekapkan pada dahi jejaka itu untuk merasakan suhu badan. "Saya tak tahu pula awak ni pun degil. Dah tahu badan tak sihat, pergi paksa diri juga buat kerja. Haish, ni kalau Areum tahu... Mesti dia tak nak dengar cakap awak lepas ni sebab awak pun dua kali lima sama degil dengan dia." Kali ini giliran Lia pula berleter.

Changbin mengangguk saat Lia berkata begitu. Biar benak otak Seungmin mendengar bebelan mereka berdua. "Okeylah, saya beransur dulu. Kalau ada apa-apa, call je saya," pesannya dan dibalas dengan anggukan dari Lia. Seungmin pula sudah masuk ke dalam rumah terlebih dulu untuk membersihkan dirinya.





Eunbi tersenyum ketika menjenguk dapur di sebalik pintu. Dia berkunjung ke situ selepas Lia menelefonnya untuk meminta bantuan. Bantuan apa, dia sendiri tidak pasti kerana Lia tidak memberitahu selebihnya.

"Saya baru nak call awak... Ingatkan tak jadi datang," kata Lia selepas mempelawa kawannya masuk.

"Maaflah sebab lambat. Tadi ada tolong Ayah buat kerja sikit. Awak nak saya tolong apa?" Soal Eunbi.

"Hehe... Tolong saya masak. Boleh? Bukan apa... Seungmin demam jadi saya nak masak sup rumpai laut untuk dia. Kalau tak, saya rebus je mi segera tu, mudah," beritahu Lia.

"Lah... Masak ke? Boleh sangat tapi awak dah beli ke bahan semua tu?" Eunbi meminta kepastian. Untuk memasak sup rumpai laut, mudah saja tetapi jika terkurang satu bahan, sup itu akan berasa kurang sedap.

"Dah. Saya cari resepi dalam Google tadi. Nak ikut cara dalam YouTube, takut jadi lain pula... Sebab itu saya minta tolong dengan awak," ujar Lia dengan nada teruja. Tidak sabar pula dia hendak menyiapkan hidangan itu untuk Seungmin.

Setelah menyediakan segala bahan untuk sup rumpai laut, Eunbi memulakan tugasnya dalam mengajar Lia memasak hidangan tradisional itu. Sesekali dua gadis itu ketawa sesama sendiri kerana terhibur dengan cerita yang dibualkan.





"Terima kasih, Eunbi!" Ucap Lia seraya melambaikan tangannya ke arah kawannya. Kalau ikutkan, Lia tidak membenarkan Eunbi pulang lagi oleh kerana bosan namun gadis itu ada kerja yang perlu dilakukan dan terpaksa balik awal. Oleh kerana itu, Lia tidak boleh berkata apa selain akur.

"Jangan lupa bagi Pak Seman rasa sup tu!" Jerit Lia sebelum Eunbi tertawa dari jauh.

"Pak Sooman, Lia! Bukan Pak Seman!" Laung Eunbi semula, membetulkan nama ayahnya.

Mendengarkan itu, Lia tertawa sekali sehinggalah Eunbi menghilang dari pandangan. Perut yang terasa senak akibat terlalu banyak ketawa, dipegang lantas kerusi ditarik untuk melepaskan penat.

Sup rumpai laut yang masih di atas dapur gas, ditutup terlebih dulu memandangkan Seungmin masih tidur selepas selesai mandi tadi.

"Makcik Cantik! Areum dah balik!" Lia terus tersenyum apabila mendengar suara gadis kecil itu setelah seharian dia pergi bermain di rumah kawannya yang berhampiran dengan rumah Seungmin.

"Amboi, ingatkan dah sesat," perli Lia. Mana tidaknya, matahari hampir terbenam barulah kanak-kanak itu pulang ke rumah.

"Sebenarnya Areum dah nak balik awal tapi Pakcik Besar belanja kita orang air boba. Sebab tu lambat sikit," maklumnya.

"Ouh... Tak tanya pun." Lia sengaja berkata begitu untuk melihat reaksi Areum.

"Eleh... Malas kawan dengan Makcik Cantik." Areum menyilangkan kedua tangannya tanda merajuk kerana Lia berkata begitu.

"Hahahaha! Alololo, merajuk lah tu. Makcik Cantik ada buatkan sup rumpai laut. Areum nak makan tak?" Tanya Lia, cuba memujuk semula.

Areum yang tadi kononnya merajuk, serta merta tersenyum lebar sebaik saja Lia menyebut makanan kegemarannya. "Nak!" Jawabnya bersungguh.

Lia tertawa kecil kerana semua itu sudah dijangkanya. Untuk memujuk Areum bukanlah perkara susah. Sebutlah apa saja nama makanan, pasti kanak-kanak itu akan ceria seperti biasa. Mangkuk yang tersusun di rak pinggan, diambil bagi meletakkan sup rumpai laut untuk Areum.

Hidangan yang masih panas itu, sangat sesuai dimakan pada musim hujan seperti sekarang. Lia menunggu Areum memberi komen bagi sup rumpai laut hasil air tangannya. Melihat Areum menikmati sup itu begitu asyik sekali, Lia sudah tahu yang masakannya itu menjadi.

"Ayah tak balik lagi ke? Areum tengok skuter Ayah tak ada pun dekat depan," tanya Areum sambil mulutnya sibuk menghirup kuah.

"Dah balik... Pakcik Besar hantar Ayah tadi sebab Ayah demam. Skuter tinggal dekat rumah hijau lah tu," beritahu Lia seraya menongkat kedua tangan pada dagunya, menunggu Areum selesai makan.

"Makcik Cantik, tak rindukan Nek Yang?" Soalan Areum membuatkan Lia tergamam seketika sebelum menjawab soalan gadis kecil itu.

"Mestilah rindu... Areum?" Tanya Lia semula dan kanak-kanak itu mengangguk. "Rindu tapi Areum tahu yang sekarang Nek Yang ada dengan Mak dekat syurga. Jadi, Areum tak sedihlah," jawab Areum.

Lia tersenyum. Tidak sangka pula kanak-kanak berusia tujuh tahun seperti Areum boleh berfikir jauh begitu sekali. Selama ini, dia menyangka yang Areum tidak begitu terkesan dengan pemergian nenek namun siapa tahu itulah yang difikirkan kanak-kanak itu selama ini.

✾✾✾✾✾

Wajah Seungmin berkerut apabila merasakan sesuatu yang sejuk menyentuh dahinya. Kelopak matanya dibuka meskipun terasa berat. Melihat Ok Soon yang tersenyum ke arahnya membuatkan Seungmin terkedu tidak bersuara.

"Awak dah bangun?" Soal Lia apabila melihat jejaka itu sudah celik mata. Baru saja hendak bangun untuk ke dapur, langkah Lia terhenti sebaik saja tangan Seungmin merangkul pinggangnya.

"Nenek..," panggil Seungmin sementara tangannya masih erat memeluk badan Lia.

"Seungmin rindukan Nenek..," luahnya seraya menangis perlahan. Lia pula sudah keras di tempatnya, sedikit pun tidak bergerak. Tahulah dia yang ketika itu Seungmin sedang mengigau kerana mengalami demam panas.

Seungmin mengangkat wajahnya, memandang tepat ke arah Ok Soon, yang mana sebenarnya itu ialah Lia. Kerana terlalu rindukan susuk tubuh neneknya, Seungmin memegang wajah Ok Soon bagi melepaskan rasa rindunya.

"Kenapa Nenek tak kata apa-apa?" Soal Seungmin sayu apabila Ok Soon hanya memandangnya tanpa bersuara.

Lia sudah buntu untuk melakukan apa ketika wajahnya dipegang Seungmin. Hendak menghalang, jejaka itu bukannya sedar jadi dia hanya biarkan saja Seungmin tanpa berkata apa-apa. Nafas ditarik sedalamnya sebaik saja Seungmin mengeratkan lagi pelukannya.

Dalam beberapa minit menunggu, jejaka itu diam tidak bersuara. Lia mengerling ke arah Seungmin dan rupanya dia sudah pun tertidur semula selepas merapu. Dengan lemah lembut, Lia melepaskan pegangan tangan Seungmin lantas bangun dari tempatnya.

Lia menghela nafas lega sebaik saja melangkah keluar dari bilik. Jantungnya masih lagi berdegup laju kerana tindakan Seungmin sebentar tadi. Tangannya memegang dada bagi menenangkan dirinya yang cuak kerana dipeluk Seungmin secara tiba-tiba

"Makcik Cantik... Pakcik Besar datang," beritahu Areum yang berlari masuk ke dalam rumah.

Mendengarkan itu, Lia mengabaikan perasaannya lantas pergi mendapatkan Changbin yang menunggu di luar.

"Saya menganggu ke?" Tanya Changbin sebaik saja melihat Lia muncul di muka pintu. "Tak adalah." Pendek saja jawapan gadis itu.

Changbin mengangguk faham sebelum menghulurkan satu plastik putih kepada Lia.  "Ni ubat demam untuk Seungmin. Saya keluar ke pekan tadi, alang-alang tu singgahlah ke farmasi. Dalam tu ada kunci skuter Seungmin. Lupa pula nak beri dia tadi," beritahunya sebelum gadis itu bertanya.

"Seungmin macam mana? Dah okey?" Soal Changbin ingin tahu memandangkan sebelum ini Seungmin hanya demam sehari dua saja sebelum pulih semula.

"Entahlah... Sama je panas dia. Tak nak bawa ke hospital ke?" Ujar Lia risau. Kalau suhu tinggi begitu berlanjutan, bahaya juga jika dibiarkan.

Changbin menggeleng. "Seungmin jarang demam teruk macam sekarang. Ini masuk kali kedua... Sebelum ni, masa Minjeong meninggal. Bukan apa, kalau bawa ke hospital agak leceh sebab kena tunggu giliran semua tu. Buat penat badan dia je. Awak jangan risaulah," gumam Changbin dan Lia hanya mengangguk faham.

"Kesian Seungmin... Sekarang dia dah tak ada sesiapa selain Areum sebagai ahli keluarga dia. Jadi, saya faham kenapa dia demam macam tu sekali. Saya harap dia bertabah dalam hal ni," ujar Lia. Teringatkan tentang itu saja mampu membuatkannya sebak.

"Itulah... Ujian dia berat tapi semuanya dia dapat hadapi. Awak lama lagi ke duduk di kampung ni?" Tanya Changbin.

"Tak tau lagi bila saya balik ke Gangnam semula. Tengah cari masa yang sesuai. Saya pun rasa berat hati nak tinggalkan kampung, ya lah... Dekat sini lagi banyak kenangan dari duduk bandar," jelas Lia.

"Ouh macam tu ke. Hmm... Kalau dah tak ada apa-apa, saya balik dulu lah. Esok kalau ada masa, saya datang lagi." Changbin meminta diri.






Seungmin terjaga lalu melihat jam loceng yang terletak di hujung kepala katil. Waktu sudah menunjukkan pukul 3.15 pagi dan ketika itu jugalah perutnya berbunyi minta diisi. Kain basah di atas dahinya, dialihkan ke tepi sebelum turun dari katil.

Pintu bilik dikuak perlahan, tidak mahu penghuni rumah terjaga memandanhkan sudah larut malam. Suis lampu dapur dibuka sebelum kaki melangkah menuju ke arah meja makan. Tudung saji dibuka dan ada semangkuk besar sup rumpai laut dibawahnya.

"Huargh!!" Seungmin menjerit terkejut apabila menoleh ke arah tangga. Nasib baik dia tidak membaling senduk ke arah Lia yang ketika itu berdiri tegak di atas tangga.

"Lia... Kenapa awak tak tidur lagi??" Soal Seungmin seraya memegang dadanya. Berderau darah dibuatnya.

"Saya tengok drama lepas tu baru teringat yang saya belum simpan sup dalam peti. Tengok-tengok awak ada dekat dapur, tak sangka pula awak terkejut. Hehe, sorry." Lia tersengih.

"Awak nak makan? Biar saya temankan awak." Lia mempelawa. Tidak menunggu Seungmin bersuara, dia terlebih dulu pergi mengambil mangkuk dan juga sudu untuk Seungmin.

"Eh, tak payahlah panaskan." Seungmin menghalang Lia lantas menarik tangan gadis itu duduk di sebelahnya.

"Lah, tak sedaplah makan sejuk. Sekejap je, saya panaskan. Tunggu ya." Lia tetap berdegil. Mangkuk sup yang berada di atas meja diambil kemudian isi di dalamnya dituangkan ke dalam periuk untuk dipanaskan. Seungmin pula menunggu di meja oleh kerana Lia terlalu rajin untuk menghangatkan semula sup untuknya.

Kurang dari lima minit, Lia menapak ke meja bersama mangkuk sup pada tangannya. Beberapa senduk kuah diceduk ke dalam mangkuk yang bersaiz kecil lalu dihulurkan kepada Seungmin.

"Awak masak sendiri ke?" Tanya Seungmin sementara menunggu sup sedikit sejuk sebelum dijamu.

"Ya... Saya minta tolong Eunbi ajarkan petang tadi. Macam mana, apa komen awak?" Soal Lia apabila melihat Seungmin sudah pun menjamah sup masakannya. Tidak menjawab pertanyaan Lia, Seungmin menyuakan sudu ke arah gadis itu.

"Awak rasalah sendiri... Kalau awak kata sedap, saya akan cakap sedap," ujar Seungmin seraya tersenyum. Dengan perasaan terharu, Lia pun membuka mulutnya untuk merasa sup hasil air tangannya sendiri lantas tergamam. Kuah sup ditelan perlahan sebelum memandang ke arah Seungmin.

"S-sedapnya! Oh my god !" Lia sudah teruja di tempatnya kerana tidak percaya yang masuk ke dalam mulutnya itu ialah masakannya sendiri lantas menghirup sesudu lagi.

"Lia..," panggil Seungmin lantas gadis itu menoleh ke arahnya.

"Boleh tak awak terus menetap dekat sini?" Tanya Seungmin, membuatkan Lia yang ketika itu sedang mengunyah rumpai laut, terkedu hingga kuah meleleh keluar semula dari mulutnya.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro