❦19
Jessica tidak dapat meneruskan kerja apabila sibuk memikirkan keberadaan Minjee buat masa sekarang. Orang suruhannya juga masih belum memberi sebarang info tentang dan sangat meresahkannya. Dia sudah bertanya kepada Lia namun jawapan adiknya bukanlah yang ingin didengarkan. Kalau difikirkan perkampungan Seo-guk itu, ianya bukanlah kawasan yang besar sebaliknya hanyalah pendalaman terpencil.
Komputer riba dibuka. Jari runcingnya mula menaip sesuatu sebelum Jessica membaca semula maklumat tentang ladang kamomil yang terletak di perkampungan Seo-guk. Sedang menelaah, mulut Jessica yang tadinya terkumat-kamit membaca setiap bait perkataan, berhenti apabila terlintas sesuatu di fikirannya.
Info tentang keberadaan Minjee di perkampungan Seo-guk, formula produk berasaskan kamomil dan juga satu-satunya ladang bunga yang terletak di kampung itu membuatkan Jessica menyedari sesuatu lantas tertawa sendiri. Kenapa dia tidak perasan tentang itu sejak awal lagi? Kebetulan pada masa itu, orang upahannya memunculkan diri di muka pintu pejabatnya. Kehadiran jejaka itu tepat pada masanya.
"Maaf, bos. Buat masa ni, saya masih lagi tengah menggali maklumat Minjee di kampung itu. Saya rasa, dia tukar nama yang mana menyukarkan pencarian," maklumnya seraya menunduk tanpa memandang majikannya.
"It's okay..." Perkataan yang keluar dari mulut Jessica membuatkan jejaka itu perlahan-lahan mengangkat wajahnya.
"Sekarang ni, aku nak kau fokuskan pada rumah hijau yang ada di kampung Seo-guk. Cari maklumat tentang pemilik ladang bunga tu termasuklah ahli keluarga dia sekali. Pastikan kali ni kau buat kerja betul-betul tanpa sebarang alasan. Faham?" Jessica memberi arahan.
"Baik, bos," jawabnya.
✾✾✾✾✾
Lia yang baru pulang dari mengambil barang mekapnya di rumah, menghentikan langkah apabila melihat Ok Soon sedang tidur. Rasanya dia tidak mengambil masa yang lama hingga membuatkan orang tua itu menunggunya sampai tertidur.
"Areum... Cuba kejutkan Nek Yang." Lia menolak bahu gadis kecil itu, menyuruhnya menapak masuk ke dalam bilik.
"Tak naklah... Takut," balas Areum seraya menggeleng laju. Walaupun moyangnya sedang sakit tapi itu tidak bermakna dia berani mengejutkan moyangnya dari lena.
"Ish! Tak apalah. Biar Makcik je yang solek Nek Yang. Areum pergi main jauh-jauh." Lia sengaja mengugut supaya Areum melakukan apa yang disuruhnya.
Mendengarkan itu, Areum mencebik kerana terpaksa mengalah. Lia yang berdiri di belakangnya mula tersenyum menang apabila taktiknya berjaya. Gadis kecil itu perlahan-lahan mengorak langkah menghampiri katil ayahnya.
Wajah Ok Soon ditilik lama sebelum menelan liurnya kerana berasa gerun melihat wajah moyangnya. Tangan Ok Soon digoyang perlahan supaya orang tua itu tidak terkejut.
"Nek Yang..," panggil Areum dengan nada separuh berbisik namun tiada tanda-tanda moyangnya membuka mata. Areum berpaling ke belakang, memandang Lia yang berdiri tidak jauh darinya.
"Kuat sikit," ujar Lia tanpa mengeluarkan sebarang suara. Areum mendengus tidak puas hati apabila Lia tidak memberinya sebarang bantuan.
"Nek Yang, bangun." Kali ini Areum bersuara seperti biasa dan barulah Ok Soon terjaga dari tidurnya.
Lia menarik nafas lega kerana Ok Soon tidak marah sebaliknya mula menyandarkan kepala pada kepala katil. Kaki mula menapak masuk menghampiri nenek bersama beg alat mekap yang dibawanya.
"Kenapa Nenek nak bersolek pula?" Tanya Lia kehairanan.
"Seungmin sedih bila tengok muka Nenek pucat, sebab itu Nenek suruh kamu rias muka Nenek supaya tak nampak pucat," beritahu Ok Soon dan Lia tersenyum lantas mengangguk faham.
Botol penyegar dikeluarkan sebelum dituang pada kapas. Dengan lemah lembut, Lia menyapu wajah nenek dengan kapas tadi. Kemudian, serum pula dipakaikan pada wajah lalu menepuk lembut menggunakan hujung jarinya. Areum yang sudah hafal langkah penjagaan kulit Lia, menghulurkan krim pelembap pula.
"Wangi juga bau dia, ya?" Ujar Ok Soon sementara membiarkan saja Lia melakukan tugasnya.
"Mestilah! Kalau Nenek nak tahu, ni semua syarikat Lia yang keluarkan. Jadi, Nenek jangan risau sebab tak ada bahan kimia. Tengok kulit Lia, cantik kan?" Sempat Lia memuji dirinya sendiri. Ok Soon pula hanya mengangguk, mengiyakan saja pada yang dikatakan gadis itu.
"Ayah tak pakai apa pun, kulit cantik sebab Ayah kata, kalau nak kulit nampak sihat kena bangun awal pagi dengan tidur awal supaya kulit kita dapat rehat. Lagi satu, kalau tidur lambat, nanti mata kita ada eyebag. Macam Makcik Cantik." Areum mencelah sekaligus mengutuk Lia tanpa sedar.
Ok Soon tertawa perlahan kerana geli hati mendengar celoteh Areum. Dari bicaranya saja, kedengaran cerdas. Lia yang sibuk menghias muka wanita tua itu, menjeling tanpa bersuara kerana apa yang dikatakan Areum itu ada benarnya.
Selesai meletakkan bedak pada wajah, Areum menghulurkan pula pelembap bibir yang berwarna lembut kepada Lia untuk dioleskan pada bibir moyangnya. Melihat hasil tangannya, Lia tersenyum puas lantas cermin kecil diberikan kepada Ok Soon.
Ok Soon tersenyum kecil apabila melihat pantulan wajahnya pada cermin. Walaupun perubahannya tidaklah jauh ketara namun masih ada kelainan. "Cantik, terima kasih Lia, Areum," ucapnya seraya mengusap kepala dua gadis di hadapannya.
Dengar saja bunyi pintu rumah dibuka dari luar, Areum bangun dari tempatnya lantas terus berlari menuju ke ruang tamu untuk menyambut kepulangan ayahnya. Lia hanya menggeleng perlahan menyaksikan keterujaan Areum setiap kali Seungmin balik dari ladang bunga. Barang-barang yang digunakan, disusun semula ke dalam begnya.
Seungmin tersenyum manis sebaik saja pintu rumah dibuka. Badan anak perempuannya didakap erat. "Makcik Lia mana?" Soal Seungmin.
"Dalam bilik, dengan Nenek," beritahu gadis kecil itu sebelum menarik tangan ayahnya menuju ke bilik. Tidak membantah, Seungmin membiarkan saja Areum menariknya.
Seungmin terdiam sejurus dia memandang wajah Ok Soon. Wanita yang sangat disayanginya itu kelihatan sangat berbeza dengan kali terakhir dia meninggalkan rumah tadi. Lia yang duduk di hujung katil dipandang dan tahulah dia bahawa gadis itu yang menolong nenek. Apatah lagi beg yang bersaiz sederhana di samping Lia mencuri perhatiannya.
"Nenek nampak cantik," puji Seungmin bersertakan senyuman gembira. Untuk seketika, dia melupakan masalah yang menghantui fikirannya sepanjang hari. Ok Soon kelihatan lebih berseri dari sebelum ini.
"Terima kasih, Lia." Seungmin tidak melupakan untuk mengucapkan itu pada Lia kerana semua ini juga kerana pertolongan gadis itu. Areum pula sudah membawa dirinya ke beranda untuk sambung bermain dengan anak patungnya.
"Nenek dah makan?" Soal Seungmin sebaik saja mengambil tempat di sebelah Ok Soon.
"Makan roti je sebab Nenek tak selera nak makan nasi. Kuah sup pula Nenek hirup macam itu je," jawab Ok Soon manakala Seungmin mengangguk faham. Sekurang-kurangnya roti juga dapat mengenyangkan daripada tidak menjamah apa-apa langsung.
"Awak dah makan?" Kali ini Seungmin bertanya pada Lia pula memandangkan gadis itu hanya mendiamkan diri sejak dia melangkah masuk.
Seungmin tertawa perlahan setelah melihat Lia sedang berusaha menutup beg mekapnya hingga dengan mulut sekali dimuncungnya. Kasihan melihat Lia masih belum dapat menutup zip, Seungmin mengambil beg itu dari tangan Lia yang membuatkan gadis itu mengangkat wajahnya.
Lebihan benang beg yang terlekat pada zip dileraikan sebelum Seungmin menutup beg mekap dengan berhati-hati. "Nah," hulur Seungmin semula.
"Awak dah makan?" Seungmin bertanya untuk kali kedua oleh kerana soalannya sebentar tadi tidak didengari Lia disebabkan sibuk dengan begnya.
"Belum, hehe. Saya tunggu awak." Selamba saja Lia menjawab. Ok Soon yang memerhatikan gelagat pasangan itu menyimpulkan satu senyuman.
"Lia nak berlatih jadi isterilah tu. Tadi dia siap panaskan sup lagi untuk Nenek. Ajak makan sekali, dia kata nak tunggu kamu balik... Makan dengan kamu," beritahu Ok Soon.
Seungmin tersengih mendengarkan itu. Selepas mereka meluahkan perasaan masing-masing tempoh hari, mereka jarang meluangkan masa bersama dan juga kurang berbual kerana sibuk menjaga nenek. Jika sebelum ini, Lia akan datang ke rumah hijau tetapi sekarang tidak lagi. Jadi, perihal itu seperti dilupakan sejenak.
"Awak nak makan dah ke? Biar saya pergi hidangkan makanan," soal Lia sambil tersipu malu kononnya. Padahal, benarlah apa yang diberitahu nenek tadi. Alang-alang duduk di rumah, apa salahnya jika dia berlatih membuat kerja yang selalunya dilakukan sang isteri sementara menunggu suami pulang dari kerja.
"Okey. Awak pergilah hidang dulu, saya nak berbual dengan Nenek sekejap," kata Seungmin. Selepas mendengarkan itu, Lia terus keluar dari bilik untuk melakukan tugasnya.
"Kamu macam mana dengan Lia?" Soal Ok Soon sebaik saja bayang gadis itu menghilang dari pandangan.
"Kita orang macam yang Nenek tengok tadi lah," jawab Seungmin. Tangan Ok Soon diletakkan pada pipinya seraya tersenyum kecil.
"Baguslah... Nenek tak naklah sebab Nenek, kamu berdua kurang bercakap sesama sendiri. Kamu faham kan maksud Nenek?" Ujar Ok Soon dan cucunya mengangguk faham.
"Nenek janganlah cakap macam tu. Seungmin tak suka," getusnya.
Seungmin mengerti apa yang cuba dikatakan neneknya namun dia tidak bersetuju jika nenek mengatakan semua itu kerana nenek. Apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang dapat diramalkan. Dia mengakui yang dia kurang bersama dengan Lia tetapi tidak bermakna hubungan mereka terus berubah kekok. Gadis itu juga memahami situasi sekarang.
Lia menjengahkan kepala di sebalik pintu bilik Seungmin. "Awak, jom makan," ajaknya sebelum jejaka itu bangun dari katil.
Tidak sempat Lia mencapai senduk nasi, Seungmin terlebih dulu mengambilnya. Dua senduk nasi diletakkan ke dalam satu pinggan sebelum diberikan kepada Lia yang ketika itu duduk berhadapan dengannya.
"Alah, saya baru nak tolong senduk kan nasi untuk awak," ujar Lia sambil mencebik tidak puas hati.
"Tak apalah... Awak kan dah tolong hidang. Biar saya tolong letakkan nasi dengan lauk untuk awak pula. Baru lah adil, kan?" Lembut saja Seungmin memujuk gadis itu. Senyuman juga tidak lupa dipamerkan seperti biasa.
Lia menguntumkan senyuman apabila Seungmin berkata begitu. Dia tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk. Sikap prihatin Seungmin mampu membuatnya berdebar tanpa sebab. Tambahan pula jejaka itu murah dengan senyuman hingga kadang-kadang dia cemburu kalau Seungmin senyum kepada orang lain walaupun orang itu ialah Makcik Goonja yang hampir seusia dengan Nenek.
Peha ayam diambil lalu diletakkan ke dalam pinggan Lia bersama beberapa senduk kuah sup. Dia tahu yang gadis itu menggemarkan bahagian peha kerana setiap kali Nenek ataupun dirinya memasak lauk ayam, Lia akan mengambil bahagian itu.
"Wah, awak tahu saya suka bahagian peha? Hebat betul..," puji Lia dengan rasa kagum. Tidak sangka pula yang Seungmin memerhatikannya sehingga tentang itu juga Seungmin mengambil tahu.
"Mestilah." Pendek saja jawapan Seungmin tetapi sepatah perkataan itu jugalah yang membuatkan hati Lia berbunga.
Mereka berdua menikmati makan tengahari di dapur. Suasana agak sepi oleh kerana tiada topik yang ingin dibualkan namun itu tidak bermakna pasangan itu berasa janggal. Lebih kepada melayan perasaan masing-masing.
Selesai saja makan, Seungmin membantu Lia mengemas meja makan. Lauk yang masih berbaki di dalam mangkuk, ditukar kepada bekas yang lebih kecil supaya meja tidak terlihat penuh. Sementara Lia membasuh apa yang ada di dalam sinki, Seungmin menyusun pinggan cawan yang sudah kering ke dalam kabinet bagi mengosongkan tempat yang dikhaskan untuk mengeringkan pinggan mangkuk yang baru dibasuh.
Suara guruh mula kedengaran manakala hari sudah gelap menandakan hujan akan turun. Seungmin yang baru saja hendak mengelap meja, lantas bangun semula apibla teringatkan cadar dan baju nenek yang dijemur di ampaian. Lia yang menyedari langkah Seungmin, menghentikan kerjanya lantas mengekori Seungmin.
"Biar saya tolong awak," pelawa Lia sebelum mengangkat jemuran baju di ampaian tepi rumah. Seungmin pula mengambil cadar dan selimut di ampaian belakang sekali.
Lia masuk terlebih dulu untuk meletakkan pakaian yang diangkat lalu keluar semula untuk membantu Seungmin yang masih lagi berada di luar. Baru saja hendak menyarungkan selipar, hujan mula turun dengan lebatnya yang mana membuatkan Lia terus berlari ke arah Seungmin.
"Ha! Cepat, Seungmin!" Lia menjerit kecil sambil menyatukan selimut dalam cadar. Setelah bersusah payah, akhirnya mereka berdua masuk melalui pintu dapur.
Seungmin sudah basah lencun manakala Lia hanya basah di bahagian bahu saja oleh kerana Seungmin melindungi kepalanya dengan kain cadar nenek. Tidak mengambil tempat di kerusi, Lia naik ke atas sebelum turun ke dapur semula bersama tuala kering.
"Habis awak basah. Saya ingatkan hujan renyai je, sekali hujan lebat," kata Lia sementara tangannya mengelap rambut Seungmin.
"Eh, kejap. Tilam Nenek!" Seungmin terus berlari ke luar, meninggalkan Lia terkontang-kanting di dapur.
"Yah! Seungmin!" Lia mencampakkan tuala ke atas kerusi sebelum mengekori Seungmin.
Tidak sempat menyarungkan selipar, Lia menarik nafas terkejut apabila tangannya ditarik Seungmin yang ketika itu bersembunyi di luar pintu. Lia mengelipkan matanya beberapa kali apabila titisan air hujan mengenai badannya manakala Seungmin sudah tertawa riang.
"Awak kata nak angkat tilam Nenek!" Marah Lia sebelum turut tertawa bersama. Tahulah dia yang jejaka itu sengaja mengenakannya untuk mengumpannya bermain hujan bersama.
Areum yang bermain di beranda rumah, mengintai di sebalik penghadang ruang beranda apabila terdengar suara orang bercakap yang datang dari tepi rumah. Mukanya mula berkerut bersama mulut yang muncung sedepa sebaik saja melihat Seungmin dan Lia sedang bermandi hujan. Tidak mahu ketinggalan, gadis kecil itu turut turun untuk menyertai pasangan itu.
"Eh, Areum! Cepat main sekali dengan Makcik!" Ajak Lia yang teruja melihat kanak-kanak itu menghampiri mereka berdua.
"Ya Tuhan! Main hujan?? Seungmin, kamu pun sama??" Bebel Ok Soon yang menjenguk dari tingkap bilik.
"Dia yang tarik Lia, Nenek!" Adu Lia bersungguh. Ok Soon hanya mampu menggeleng sebelum tersenyum. Dia tiada hak untuk menghalang mereka bertiga oleh kerana Seungmin sendiri yang memulakan semua itu.
Dentuman guruh membuatkan mereka bertiga terkejut lantas berlari masuk ke dalam rumah secara serentak. Sebaik saja melangkah masuk, mereka tertawa kerana berasa lucu sebelum terdiam selepas teringatkan sesuatu.
"Kejap, sekarang ni siapa yang naik ambilkan tuala? Semua basah ni... Nenek tahu, habis kena marah nanti," ujar Seungmin.
"Biar Areum tolong ambilkan untuk Makcik Cantik dengan Ayah. Areum kecil lagi, jadi Nek Yang tak marah." Kanak-kanak itu mencelah.
"Okey... Pergi cepat." Lia menolak perlahan badan Areum menuju ke anak tangga yang menghubungkan ruang atas dengan dapur.
Seungmin mengambil tuala yang digunakannya sebentar tadi lantas mengelap rambut Lia. "Sementara tunggu, kesat rambut awak," ujar Seungmin tanpa mengetahui betapa kencangnya degupan jantung Lia akibat tindakan spontannya.
Wajah Seungmin diperhatikan lama tanpa disedari jejaka itu yang sibuk mengeringkan rambut Lia. Sedang hanyut dalam perasaan sendiri, Lia menjerit kuat yang membuatkan Seungmin membulatkan matanya kerana terkejut.
"Eh, maaf," ucap Seungmin sambil tangannya cuba meleraikan rambut Lia yang terlekat pada subang telinga gadis itu. Berkerut wajah Lia dibuatnya kerana menahan perit. Selama ini tidak pernah sekalipun subang telinga yang dipakainya tersangkut pada mana-mana tuala termasuklah rambutnya sendiri. Ketika itu jugalah, ia mengganggu momen terindahnya.
"Ayah! Nah tuala!" Laung Areum walaupun masih belum menuruni tangga.
Seungmin yang mendengar suara anaknya, cepat-cepat melepaskan tuala di atas kepala Lia begitu saja sebelum kelakuannya disaksikan Areum. Lia mula mendengus geram kerana kali ini budak kecil itu pula yang datang menganggu. Tuala yang tersadai di atas kepalanya, diambil sebelum digumpal menjadi bulatan. Ingin saja dia membaling gumpalan tuala itu ke mana-mana bagi menghilangkan rasa geramnya.
✾✾✾✾✾
Hujan lebat mula berhenti dan digantikan dengan hujan renyai-renyai. Lia mengambil angin di beranda sambil memerhati suasana malam ditemani suara katak diselang dengan suara cengkerik yang menjadi bunyi latar belakang. Lampu jalan dipandang dan di situ dapat dilihat dengan jelas titisan halus air hujan. Sekali pandang, tidak ubah seperti salji.
Seungmin menjenguk luar rumah sebelum duduk di sebelah Lia. Dia menyangka yang gadis itu sudah pulang ke rumahnya memandangkan hujan sudah reda.
"Tak sejuk ke duduk luar?" Seungmin memulakan perbualan di antara mereka berdua.
"Tak.. lagipun saya dah biasa dengan suhu macam ni," jawab Lia manakala matanya masih ralit memerhati kawasan lapang di hadapan rumah.
Seungmin bermain dengan jarinya sementara memikirkan cara untuk menyampaikan apa yang difikirkannya sejak dari ladang bunga lagi.
"Erm... Awak lama lagi ke duduk di kampung ni?" Soal Seungmin.
"Entahlah, kalau nak ikutkan Jessica... Dia tak bagi saya balik sampai saya dapatkan persetujuan kontrak dengan awak. Mula-mula, saya pun nak percepatkan semua ni dan balik ke Gangnam semula tapi, lepas saya dapat tahu keperibadian awak... Saya rasa bersalah sebab pernah berfikir macam tu. Kenapa awak tanya? Macam nak menghalau je," seloroh Lia lalu tergelak kecil apabila Seungmin menggeleng laju.
"Pasal kontrak tu... Saya dah fikirkan masak-masak," beritahu Seungmin.
"Kenapa awak teragak-agak nak beritahu saya? Kalau awak tak bersetuju pun, saya tak kisah sebab itu hak awak. Lagipun, lepas apa yang Jessica buat pada awak... Saya faham sangat-sangat." Lia menyampuk tanpa membiarkan Seungmin menghabiskan kata-katanya.
"Eh, bukan macam tu. Saya bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat awak," jelas Seungmin.
Lia terdiam sejenak mendengarkan itu. Benarkah apa yang dikatakan Seungmin? Dia bersetuju untuk menjadi pembekal kamomil tetap dengan syarikat kosmetiknya walaupun sudah mengetahui perangai buruk ketua pegawai eksekutif syarikat itu?
"B-betul ke?" Soal Lia tidak percaya dan Seungmin mengangguk tanda mengiyakan. Melihat jawapan jejaka itu, perasaan dia mula bercampur baur. Dirinya tidak pasti jika dia perlu gembira kerana tugasan yang diberikan sudah selesai ataupun bersedih kerana itu bermaksud dia akan segera pulang ke Gangnam.
Seungmin menghulurkan sebuah buku kepada Lia. Buku itulah yang membuatkan dia mempersetujui kontrak. Tidak berkata apa-apa, Lia mengambil buku tadi lalu menyelak helaian muka surat untuk membaca kandungan yang tertulis pada kertas itu.
"Kalau awak nak tahu, ini buku Minjeong. Sebelum dia meninggal, dia pernah beritahu saya yang dia teringin nak buat produk berasaskan kamomil. Dia pernah bercadang dengan syarikat di mana dia bekerja tapi cadangan dia ditolak. Semasa menetap di kampung ni, Minjeong lah yang mulakan tanam kamomil sampai wujudnya rumah hijau tu," beritahu Seungmin manakala Lia tidak memberi sebarang jawapan kerana sibuk membaca formula lengkap yang ditulis dalam buku itu.
"Selama dia duduk di sini, saya tak pernah pun tunaikan apa-apa hajat dia. Jadi, saya rasa dengan bersetuju dengan kontrak syarikat awak... Sekurang-kurangnya saya dapat tunaikan hajat dia. Awak rasa macam mana?" Seungmin meminta pendapat.
"Saya setuju dengan awak tapi, formula ni... Minjeong yang buat sendiri?" Tanya Lia dan Seungmin mengangguk.
Muka surat terakhir buku itu menarik perhatian Lia. Di hujung kertas, ada tertera nama yang sangat dikenalinya. Lia mula berkerut hairan sekaligus berasa keliru.
"Lee Minjee?" Tutur Lia yang mana membuatkan Seungmin menoleh ke arahnya.
"Lee Minjee tu nama sebenar Minjeong. Selepas dia menetap di kampung, dia buat keputusan untuk tukar nama dia. Bila saya tanya kenapa, dia kata sebab dia tak nak terkenangkan masa silam dia dan mulakan hidup baru dengan nama Minjeong," jelas Seungmin.
Lia tergamam saat mengetahui kebenaran yang pernah diraguinya dahulu. Bermakna, Minjeong ialah bekas pekerja di syarikatnya dan sebab Jessica mencari semula gadis itu sudah jelas. Semuanya kerana formula yang ditulis Minjeong.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro