❦16
Patung koala kesayangan dipeluk erat dalam keadaan mata yang tertutup rapat. Bibir pula mengukirkan senyuman gembira sebelum tersentak dek jam loceng yang berbunyi. Lia membuka mata secara mengejut sebelum tergolek jatuh dari katil. Punggung yang terasa sakit akibat terhentak digosok perlahan.
Kipas siling yang berpusing dipandang lama sementara cuba memproses semula fikirannya. Kenapa dia berada di dalam bilik tidurnya? Lia menggaru kepala lantas teringatkan semula kenangannya bersama Seungmin di rumah hijau. Kaki mula menendang katil kerana tidak puas hati kerana luahan perasaan Seungmin padanya hanyalah mimpi semata-mata!
"Haaa! Kenapa mimpi?? Huarghhh!!!" Lia membenamkan wajahnya ke tilam sambil menjerut sekuat hatinya.
"Aku benci semua ni..," rungut Lia. Pelukan hangat Seungmin masih lagi dirasainya termasuklah belaian lembut jejaka itu. Pipi ditampar perlahan supaya kembali ke alam nyata dan menerima hakikat yang itu sekadar mimpi.
Seungmin yang menunggu Lia keluar dari rumahnya, mula tersenyum gembira sebaik saja bayang gadis itu kelihatan di muka pintu. Senyuman pada wajah tampannya mula mengendur selepas melihat riak wajah muram gadis itu.
Tidak menunggu Lia menghampirinya, Seungmin terlebih dulu mengorak langkah menuju ke arah Lia.
"Selamat pagi, awak," ucap Seungmin, cuba untuk menceriakan suasana.
Lia memandang Seungmin atas bawah dan pakaian jejaka itu kelihatan lain dari sebelumnya. Ke manakah Seungmin ingin pergi pada waktu pagi sebegitu? Perasaan hampa yang masih tersisa ditolak ke tepi terlebih dulu sebelum Lia membuka mulutnya.
"Selamat pagi, Seungmin. Awak nak pergi ke mana pakai cantik macam ni?" Soal Lia dengan nada mendatar. Matanya pula kelihatan redup seperti memikirkan sesuatu.
Seungmin mengerut wajah mendengarkan soalan Lia. Ke mana hilangnya sifat ceria gadis itu hingga nada suaranya kedengaran berbeza. Kedua pipi Lia disentuh lembut, cuba mencari apa-apa masalah di sebalik wajah mendung milik Lia.
"Kenapa awak tanya macam tu? Semalam kan kita dah berjanji nak ke pekan, beli barang dapur sama-sama?" Ujar Seungmin.
"Semalam?" Lia cuba mengingat semula tetapi mengapa yang muncul di fikirannya hanyalah babak mesra mereka di ladang bunga.
"Ya, semalam di rumah hijau saya ajak awak ke pekan sebab hari ni Makcik Goonja datang melawat Nenek. Awak lupa?" Beritahu Seungmin lagi.
Mata Lia membulat sebaik saja Seungmin berkata begitu. Bermakna, semuanya ialah benar dan bukan hanya sekadar mimpi? Bibir mungil Lia mula menguntumkan senyuman lebar sebelum tertawa perlahan. Seungmin agak terkejut dengan reaksi diberikan Lia. Sudah mengapa pula gadis itu tertawa sedangkan tiada perkara yang lucu.
"Ouh, ya lah... Saya ingatkan saya bermimpi yang awak confess dekat saya semalam. Sorry... Dah tunggu apa lagi? Jom kita bertolak sekarang," ajak Lia dengan penuh bersemangat. Tangan Seungmin ditarik menuju ke skuter yang diparkir di tepi rumah.
Langkah Lia terhenti apabila Seungmin tidak berganjak dari tempatnya. "Apa maksud awak confess?" Tanya Seungmin kehairanan.
Perlahan-lahan Lia melepaskan pegangan tangan Seungmin sebaik saja jejaka itu berkata demikian. Liur yang ditelan terasa pahit ketika itu. Maknanya, benarlah yang itu hanya mimpi indahnya? Dia mula keliru.
"Ouh, tak ada ke?" Ungkap Lia seraya menahan malu.
"Hahaha! Gurau je... Saja nak usik awak. Nampak blur lain macam pagi ni." Seungmin tertawa senang kerana dapat menyakat Lia. Terhibur hatinya melihat wajah resah gadis itu. Dia mula melangkah terlebih dulu kerana tidak mahu Lia memukulnya.
"Yah! Seungmin! Tak kelakar lah!" Lia menjerit kerana tidak puas hati dirinya dipermainkan jejaka itu sebelum mengejar Seungmin yang tidak jauh darinya.
✾✾✾✾✾
Kehadiran seorang lelaki yang berusia 20-an itu membuatkan Jessica berhenti menaip memandangkan kedatangannya bukanlah dengan tangan kosong.
Pemuda itu menundukkan sedikit kepalanya sebelum bersuara. "Saya dah dapat maklumat yang bos minta," ujarnya dengan yakin.
"Bagus, aku harap benda tu bukan perkara remeh," balas Jessica manakala pemuda tadi menggeleng tanda menafikan.
"Saya dapat tahu yang kali terakhir Minjee menetap ialah di sebuah perkampungan yang agak jauh dari Gangnam. Buat masa ni, saya belum kenalpasti perkampungan mana. Saya janji akan usaha lebih lagi seperti yang diminta bos," maklum pemuda itu.
Jessica tidak memberi sebarang respon kerana agak kurang berpuas hati tetapi dia faham yang bukan mudah untuk menjejak langkah orang yang sudah lama menghilangkan diri. Sekurang-kurangnya lelaki itu sudah melakukan yang terbaik untuk tugasan yang diberikannya.
"It's okay... Ouh ya, untuk memudahkan kerja kau... Ini lagi satu maklumat tambahan untuk kau." Jessica menghulurkan sehelai kertas yang tertulis tentang kewujudan anak Daniel. Sedikit sebanyak, orang suruhannya itu boleh mencari dengan lebih senang.
"Kau kena pastikan yang keluarga di kampung tu ada seorang kanak-kanak yang menetap dengan mereka. Lelaki atau perempuan, aku tak pasti tapi aku nak kau siasat tentang ini juga. Faham?" Arah Jessica dan pemuda tadi mengangguk faham.
"Baik, bos. Saya minta diri dulu." Jessica mengangguk kecil seraya matanya memerhatikan gerak langkah orang suruhannya. Kepala disandarkan pada kerusi pejabatnya seraya memejamkan kedua matanya.
"Kenapa susah sangat nak jejak kau, Minjee?" Gumamnya sendirian.
✾✾✾✾✾
Lia memandang keadaan pasar basah dengan pandangan yang tidak selesa ditambah dengan bau hanyir yang datang dari makanan laut segar. Seungmin yang berjalan di hadapannya berpaling apabila tiada suara gadis itu kedengaran.
"Lia, kenapa muka awak macam tu?" Soal Seungmin sambil tertawa perlahan. Jejaka itu turut menoleh ke arah yang ditumpukan Lia dan barulah dia memahami kenapa gadis itu berasa tidak selesa.
"Awak tak suka ke tempat ni?" Tanya Seungmin lagi dan kali ini Lia mengangguk tanpa ragu-ragu. Tangan gadis itu diraih supaya mereka berdua jalan beriringan.
"Tak apa saya faham yang awak tak biasa datang ke sini. Jadi, saya akan selalu bawa awak ke pasar ni sampailah awak dah selesa dan boleh berkawan dengan ikan-ikan dekat sini," ujar Seungmin yang mana membuatkan Lia tergelak kecil.
"Saya tak tahu pula awak pandai merepek. Patutlah kadang-kadang Areum mengadu dekat saya yang dia tak faham dengan apa yang awak cakap," kata Lia sebelum mengekori langkah Seungmin dari belakang.
"Gaaahhhh!!" Seungmin mengangkat seekor sotong lalu diberikan kepada Lia. Terkejut dengan saiz sotong yang sepanjang lengan Seungmin, Lia mula menjerit hingga menjadi tumpuan orang ramai di pasar.
Tidak mempedulikan orang sekeliling, Seungmin tergelak besar sebelum meletakkan semula sotong ke tempat asalnya. Geram dengan kelakuan Seungmin, Lia memukul bahu jejaka itu sekuat hatinya. Seungmin tidak pula memarahi gadis itu sebaliknya masih tertawa kerana geli hati. Kemudian Seungmin berhenti di bahagian yang menjual ikan bersaiz besar untuk mencari ikan siakap yang akan dijadikan lauk tengahari mereka sekeluarga nanti.
"Saya nak masak ikan siakap kukus, makanan kegemaran Areum. Mesti dia suka bila tahu saya nak masak lauk ni," beritahu Seungmin dan Lia hanya mengangguk perlahan. Dia tidak kisah kerana dirinya juga gemar akan makanan laut. Hidangan itu juga selalu dimakan semasa berada di Gangnam sebelum ini jadi tiada masalah baginya.
Areum sudah menunggu di meja makan meskipun hidangan belum lagi siap dimasak. Seperti yang dikatakan Seungmin, anaknya gembira apabila mendapat tahu tentang hidangan tengahari mereka. Lia yang turut berada di dapur mengambil tugas menyusun pinggan. Sempat dia mengusap kepala Areum sebelum mengambil gelas yang tersusun di dalam kabinet.
"Nek Yang makan sekali dengan kita ke?" Soal Areum setelah mengira bilangan pinggan dan gelas yang disusun di atas meja. Setahunya, Lia akan menghantar makanan berasingan untuk moyangnya.
"Ya... Nek Yang kan degil, macam Areum," ujar Lia lalu tersenyum mengejek apabila gadis kecil itu mencebik tidak puas hati.
Seungmin menutup dapur gas setelah ikan yang dikukus sudah masak sepenuhnya. Dengan berhati-hati, dia meletakkan ikan yang masih panas itu ke dalam mangkuk bersaiz besar. Beberapa bahan yang dikukus bersama ikan seperti hirisan halia, bawang putih, daun sup kemudiannya dituang bersama kuah ke dalam mangkuk.
Melihat Seungmin membawa mangkuk besar, Areum memberi ruang untuk ayahnya menempatkan mangkuk itu ke atas meja makan. Areum menepuk tangan teruja selepas melihat lauk kegemarannya sudah pun tersedia.
"Kejap, saya pergi ambil Nenek," ujar Lia dan Seungmin hanya mengangguk. Sementara menunggu, jejaka itu menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Kerana anak perempuannya sudah lama menunggu, dia menghulurkan nasi untuk Areum terlebih dulu.
Melihat Lia mengiringi langkah Ok Soon, Seungmin bangun untuk menghulurkan bantuan dari tangga. Tangan neneknya dipegang sementara Lia memegang bahu orang tua itu. Hendak buat bagaimana lagi, neneknya tetap berkeras untuk makan bersama mereka di dapur dengan alasan tidak berselera makan seorang diri di ruang tamu. Mahu menjamu selera di ruangan atas, meja terlalu kecil untuk mereka berempat.
Tanpa disuruh, Areum menarik kerusi untuk moyangnya memandangkan Seungmin dan Lia sama-sama memimpin Ok Soon.
"Terima kasih, Sayang," ucap Seungmin dan Areum tersengih apabila dipuji ayahnya.
Setelah semua sudah mengambil tempat, Seungmin menghulurkan pinggan nasi kepada Lia dan neneknya. Isi ikan diletakkan ke dalam pinggan Ok Soon terlebih dulu kemudian barulah diberi kepada Areum dan Lia. Ikan masin Ok Soon pula menjadi hidangan tambahan mereka tengahari itu.
"Lia, bila pula kamu nak memasak? Asyik makan masakan Seungmin je... Nenek nak rasa juga air tangan kamu." Suara Ok Soon memecahkan kesunyian di meja makan. Mendengarkan itu, Seungmin terus memandang ke arah Lia yang duduk berhadapan dengannya.
"Lia mana pandai ma-"
"Yang Nenek ajar masak kari ayam hari tu, takkan dah lupa?" Ok Soon mencelah tanpa sempat Lia menghabiskan ayatnya. Gadis itu mula tersengih sumbing sebaik saja teringatkan hal itu.
"Tapi ayam kampung kan dah tak ada... Hari tu pun Nenek pergi sembelih John semata-mata nak suruh Lia masak," Lia memberi alasan.
"Eleh, dekat pasar kan banyak ayam? Nampak sangat Makcik Cantik tak ingat apa yang Nek Yang ajar." Areum yang asyik menikmati makanan juga turut menyampuk yang membuatkan Seungmin tergelak di situ sebelum dia menutup mulutnya dengan tangan.
Lia mengetap giginya menahan geram. Areum suka mencelah di saat yang tidak tepat. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia mencubit lengan Areum ketika itu juga.
"Macamlah Areum pandai masak... Areum ejek Makcik, Areum tahu ke macam mana nak masak? Sibuk je," marah Lia namun tetap menyuap nasi ke dalam mulutnya.
"Mana tahu... Hari tu pun Nek Yang minta tolong ambil daun kari je. Makcik Cantik kenal tak daun kari macam mana?" Areum membalas semula yang membuatkan Lia menarik nafas dalam.
"Areum, kenapa cakap macam tu dengan Makcik Lia? Habiskan nasi tu cepat." Kali ini Seungmin terpaksa bersuara kerana tidak mahu anaknya terus berkelakuan kurang sopan dengan orang yang lebih dewasa darinya.
Lia mencebik bibir, mengejek Areum pabila Seungmin membelanya. Gadis kecil itu menjeling sebelum menghabiskan makanannya seperti yang diarahkan Seungmin tanpa bersuara lagi. Ok Soon hanya mampu menggeleng kepala. Rasanya dia hanya meminta Lia untuk memasak sahaja. Tidak sangka perkara itu berlarutan sehingga ke daun kari.
Selesai makan tengahari, Seungmin mula bersiap-siap untuk ke ladang bunga. Dia mencari kelibat Areum apabila tidak mendengar suara anak gadisnya. Pintu bilik dibuka dan kelihatan Areum sedang nyenyak kerana kekenyangan. Tidak mahu mengganggu, Seungmin menutup semula pintu sebelum menuju ke ruang tamu.
Lia yang ketika itu sedang mengurut kaki Ok Soon, berasa sedikit teruja sebaik melihat Seungmin memegang fail kontrak yang pernah diberikan kepada lelaki itu tidak lama dulu.
"Awak dah tandatangan ke kontrak tu?" Tanya Lia ingin tahu.
Seungmin memandang fail kertas sebelum menggeleng. Lia mula menarik muncung kerana sangkaannya salah. Nasib baiklah dia sudah meminta izin Jessica untuk menetap lebih lama di kampung. Kalau diikutkan rancangan asal, esok dia akan pulang ke Gangnam semula bersama fail kontrak itu.
"Saya belum baca lagi. Kalau ada masa, saya baca di rumah hijau nanti," ujar Seungmin. Ok Soon yang hanya mendiamkan diri, mula mencelah perbualan pasangan itu.
"Kamu berdua cakap pasal apa ni?" Soal Ok Soon yang tidak tahu apa-apa tentang perkara yang dibualkan Seungmin dan Lia.
"Kontrak eksklusif dengan syarikat kosmetik Lia. Kakak Lia hantar Lia ke sini untuk dapatkan persetujuan Seungmin sebab ladang kamomil tu kan Seungmin punya. Itu Lia tanya tapi Seungmin ni tak baca lagi padahal dah lama Lia bagi dekat dia," adunya.
"Eh, bukan awak kata tak nak paksa ke?" Ujar Seungmin. Dia masih ingat yang Lia memberitahunya untuk tidak tergesa-gesa dalam hal itu.
"Ha baguslah tu... Daripada kamu jaga ladang bunga tu saja-saja, lebih baik kamu bekerja dengan syarikat Lia. Ada juga hasil selepas penat kamu jaga ladang tu selama ni. Takkanlah kamu nak berharap pada kafe boba itu je," kata Ok Soon yang merasakan perkara itu bukanlah benda yang perlu dirisaukan malah lebih menguntungkan kedua pihak.
"Kan, Nenek?" Lia mula tersenyum menang apabila Ok Soon membela dirinya.
Seungmin hanya diam tidak berkata apa-apa. Dia juga memikirkan perkara yang sama tetapi ada sebab kenapa dia mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan kontrak itu.
"Apa keuntungan yang saya dapat kalau saya tandatangan kontrak ni?" Soal Seungmin seraya memandang ke arah Lia.
"Kim Seungmin, soalan awak tu dah ada dalam fail yang saya bagi tu. Jadi, sila baca sampai habis... Okey?" Balas Lia dengan senyuman yang dibuat-buat.
"Hmm, nanti saya baca. Lagipun saya kurang faham sebab tu kena ambil masa yang lama untuk bersetuju. Okeylah, saya pergi dulu." Seungmin meminta diri.
Ok Soon memerhati tingkah laku Seungmin yang agak berbeza sebelum menoleh ke arah Lia yang ketika itu mengurut kakinya. Masing-masing tersenyum sendiri walaupun tiada perkara yang perlu digembirakan.
"Lain macam je Nenek tengok kamu berdua ni. Ada apa-apa yang Nenek tak tahu ke?" Tanya Ok Soon.
Mendengar pertanyaan nenek, Lia mengangguk lantas bercerita tentang apa yang terjadi di rumah hijau semalam. Sepanjang mendengar celoteh Lia, Ok Soon terus tersenyum lebar kerana berasa gembira untuk keduanya.
✾✾✾✾✾
Changbin membaca satu persatu perkataan yang tertera pada setiap helaian kertas. Sesekali riak wajahnya berkerut kerana terlalu fokus. Sedikit sebanyak dia berasa agak terkejut dengan ganjaran yang akan diberikan syarikat kosmetik itu kepada ladang kamomil milik Seungmin.
"Macam mana? Kau ada pendapat?" Soal Seungmin selepas selesai menyusun beg baja di dalam bilik pengeringan. Alang-alang Changbin berkunjung ke situ, dia sengaja menyuruh kawannya membaca kontrak itu terlebih dulu memandangkan Changbin mahir dalam bisnes.
Soalan Seungmin dibiarkan sepi oleh kerana dia belum habis membaca helaian muka surat terakhir. Selepas beberapa minit kemudian, barulah Changbin mengangkat wajahnya lantas menyandar pada kerusi.
"Weh, serius aku kata... Memang untung besar kalau kau bersetuju dengan kontrak ni. Kau tahu tak? Syarikat Beauté tawarkan empat puluh peratus dari keuntungan penjualan produk untuk kau. Kalau aku jadi kau, tak payah banyak fikir, terus setuju," ujar Changbin bersungguh. Mana tidaknya, rahangnya terasa sakit kerana ternganga terlalu lama disebabkan syarat yang disenaraikan.
Seungmin tidak menunjuk sebarang riak kagum seperti Changbin sebaliknya kekal bersahaja. Tanaman kamomil yang tumbuh mekar dipandang lama.
"Banyak ke empat puluh peratus tu?" Soal Seungmin polos.
Changbin menghela nafas panjang. Kali ini, kebodohan Seungmin agak terserlah berbanding sebelumnya tetapi dia faham kerana jejaka itu bukanlah dari bidang bisnes untuk memahami setiap perkataan yang tertera termasuklah peratusan yang diberitahunya tadi.
"Banyaklah... Selalunya, syarikat besar macam ni akan tawarkan sekurang-kurangnya dua puluh lima peratus, tahu tak? Kau bayangkan produk Beauté ni dah sampai ke pemasaran Jepun, tak tahulah banyak mana keuntungan yang diorang dapat. Serius, kau tak perlu menyesal. Percaya cakap aku," jelas Changbin sekaligus meyakinkan Seungmin dengan keputusannya.
"Entahlah... Aku rasa berbelah bagi sebenarnya. Kau tahu kan maksud aku?" Ujar Seungmin.
Changbin terdiam sebelum mengangguk perlahan. Semestinya dia memahami apa yang dirisaukan Seungmin ketika itu. Apa lagi kalau bukan berkenaan bunga kamomilnya.
"Aku dah ikhlaskan pemergian Minjeong dan dah terima Lia dalam hidup aku cuma... Tak tahulah. Aku rasa sayang nak korbankan bunga yang aku dah jaga selama tujuh tahun. Memanglah bunga akan tumbuh semula tapi nak tunggu tu, memakan masa yang lama. Lagi-lagi, bunga ni bahan utama untuk produk tu... Mesti nak digunakan dalam jumlah yang banyak." Seungmin meluahkan isi hatinya.
Changbin menepuk bahu Seungmin perlahan. "Aku yakin kalau Minjeong ada lagi sekarang ni, dia akan terima keputusan ni dengan senang hati. Bukan kau pernah cerita pada aku yang Minjeong berhajat nak buat produk kecantikan menggunakan bunga kamomil? Jadi inilah peluang yang kau perlu ambil," pujuk Changbin.
"Tapi tadi kau ada cakap yang kau dah terima Lia dalam hidup kau... Maksudnya?" Changbin mengubah topik.
"Aku dah beritahu Lia yang aku sukakan dia semalam dan dia pun simpan perasaan yang sama. Harap kau tak frust menonggeng dekat dalam bilik," sindir Seungmin lalu tertawa jahat apabila Changbin sudah menjeling tajam ke arahnya.
"Ini lah kau... Aku beria pujuk tapi kau tak hargai pun, siap ejek aku lagi. Aku tahulah aku ni tak hensem macam kau." Changbin memeluk tubuhnya seraya membuang pandangan ke arah lain.
Mendengarkan itu, semakin kuat suara tawa Seungmin. Sifat mengada memang tidak dapat dipisahkan dari Changbin meskipun dia seorang lelaki. Tidak dapat dia membayangkan jika Lia menerima Changbin. Sudahlah perangai Lia lebih kurang dengan Changbin. Kalau salah seorang merajuk, tidak tahu siapa yang akan memujuk.
"Eleh buat ayat sedih. Padahal kau sendiri cakap yang kau lelaki paling hensem dalam kampung ni. Tak payahlah merajuk. Eunbi kan ada? Cantik apa, pandai masak, lemah lembut... Sesuailah dengan kau," ujar Seungmin sambil tertawa.
"Tak nak! Kau ambil lah si Eunbi tu!" Bantah Changbin.
"Aku dah ada Lia..," balas Seungmin dengan nada mengejek. Changbin mendengus geram apabila jejaka itu tidak habis-habis menyakatnya sedangkan sudah maklum yang hatinya lembut bak tisu.
✾✾✾✾✾
Jessica menjawab panggilan daripada orang suruhannya. Dia pasti yang pemuda itu ingin memaklumkan sesuatu padanya. Bibir merahnya mula meleret setelah mendengar apa yang disampaikan orang suruhannya melalui panggilan yang dibuat.
Sebaik saja panggilan ditamatkan, Jessica mengekek ketawa kerana geli hati. Selepas tawanya reda, wanita itu mengambil nafas semula.
"Perkampungan Seo-guk? Are you kidding me?" Jessica berkata sendirian. Tidak sangka dunia begitu kecil kerana bekas setiausaha yang dicari selama ini berada di perkampungan yang sama, di mana dia menghantar Lia ke situ.
Jari mendail nombor seseorang sebelum gerangan itu menjawab panggilannya.
"Ambil saya di company sekarang." Jessica memberi arahan.
Sebuah kereta mewah mula memasuki perkarangan rumah hijau. Seungmin yang ketika itu sedang membawa plastik sampah, terjatuh ke tepi apabila seseorang membuka pintu kereta secara tiba-tiba sebelum seorang wanita keluar dari perut kereta
Yang lebih menyakitkan hati, wanita itu terus menuju ke rumah hijaunya tanpa meminta maaf atas kesalahannya.
Bengang dirinya diperlakukan begitu, Seungmin bingkas bangun dari tempatnya lalu menghentikan langkah wanita tadi. Tidak pernah dia berjumpa dengan manusia angkuh sebegitu sepanjang dia menetap di situ.
"Kau siapa dan buat apa kau datang ke sini?" Soal Seungmin. Tiada sapaan diberikan memandangkan wanita itu mencari pasal dulu.
Cermin mata hitam ditanggal sebelum disimpan ke dalam beg tangannya. Seungmin yang berdiri di hadapannya, dipandang atas bawah.
"Saya Jessica Jung, pemilik syarikat Beauté. Boleh saya berjumpa dengan pemilik tempat ni?" Jessica memperkenalkan dirinya tanpa mengetahui orang yang dicari ialah Seungmin sendiri.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro