❦15
Jessica mengangkat keningnya sebelum tersenyum senget apabila dimaklumkan setiausahanya tentang kedatangan Daniel ke pejabat. Kemungkinan pemuda itu ada sebarang maklumat tentang Minjee ataupun sebaliknya. Tidak mensia-siakan peluang yang ada, Jessica mengarahkan setiausahanya untuk mengiringi Daniel masuk. Tidak membantah, wanita berusia 30-an itu mengangguk faham selepas mendapat arahan majikannya.
Tangan diangkat separa telinga konon mengalu-alukan kehadiran Daniel. Jessica bingkas bangun dari kerusi pejabat sebelum mempersilakan Daniel mengambil tempat di sofa.
"Ya, ada apa datang ke sini? Rasanya hari tu kau kata dah tak ada apa-apa untuk dibincangkan lagi." Sengaja Jessica bermain tarik tali. Tidak seronok jika dia berterus terang tentang masalahnya kerana dia pasti Daniel punya sebab tersendiri hingga sanggup menjejakkan kaki di syarikatnya.
"Kau dah tahu sekarang Minjee ada di mana?" Soal Daniel dengan nada terdesak.
Jessica yang tadinya tersenyum perlahan-lahan mengubah riak wajahnya. Sudah kenapa jejaka itu datang ke situ semata-mata untuk bertanyakan tentang Minjee kepadanya? Kaki disilangkan seraya tangan menongkat dagu. Nampaknya, Daniel juga mempunyai masalah sendiri hingga mencari tahu di mana Minjee sekarang sedangkan tujuh tahun sudah berlalu.
"Kalau aku tahu sekalipun, kenapa kau perlu tahu? Bukan kau kata yang kau dah tak ada apa-apa hubungan dengan Minjee?" Jessica cuba menggali rahsia yang disimpan Daniel. Mana tahu, ianya dapat menyumbang kepada syarikatnya.
Daniel menarik nafas dalam. Dia tidak tahu jika menceritakan masalah peribadinya kepada Jessica itu perlu tetapi dirinya juga dalam keadaan terdesak. Ayahnya memberi masa untuk dia bawa anaknya bertemu dengan kedua orang tuanya sebagai bukti.
"Sebenarnya... Papa aku nak aturkan perkahwinan dengan anak kawan dia. Aku tak nak sebab perkahwinan bukan atas dasar cinta sebaliknya lebih kepada untuk mendapat pewaris," cerita Daniel.
Tidak menunggu jejaka itu menghabiskan katanya, Jessica sudah dapat mengagak apa yang sedang dirunsingkan Daniel. Posisi badan dibetulkan sebelum bersuara.
"Maksudnya... Kau ada anak dengan Minjee dan sebab itu kau cari dia sekarang?" Jessica meneka lantas tersenyum apabila Daniel mengangguk tanda mengiyakan.
"Panjang ceritanya untuk aku beritahu semua sekali tapi apa yang penting buat masa ni, aku kena cari Minjee dan juga anak kami berdua. Aku akan usahakan supaya Papa membenarkan kita orang untuk berkahwin. Aku tahu semuanya sudah terlambat tapi aku tetap akan tunaikan janji aku pada Minjee dulu..," sambung Daniel lagi.
Jessica tertawa sendiri setelah mendapat tahu yang Daniel seorang lelaki yang tidak tahu malu. Setelah membuang Minjee dalam hidupnya, semudah itu saja dia ingin merayu pada gadis itu sendiri selepas apa yang dilalui Minjee seorang diri. Meskipun gadis itu dibuang dari syarikatnya, itu bukanlah kerana sebab peribadi sebaliknya kecuaian gadis itu ketika bekerja.
"Apa ganjaran yang aku dapat kalau aku tolong kau cari Minjee dengan anak kau?" Jessica cuba berunding memandangkan ini peluang yang baik dan sayang jika dilepaskan begitu saja.
"Aku akan buat kontrak eksklusif untuk syarikat kita berdua... Macam mana?" Ujar Daniel. Dia tidak peduli tentang hal itu memandangkan sebelum ini produk kesihatannya pernah berkolaborasi dengan produk kecantikan Beauté.
Jessica mengemam bibirnya mendengarkan itu memandangkan perkara itulah yang diharapkannya. Kopi yang dihidangkan setiausahanya disisip perlahan, cuba mengawal perasaan terujanya.
"Okey, aku terima. Jadi, seperti yang kau cakap tadi... Kau nak cari Minjee dengan anak kau kan?" Daniel mengiyakan pertanyaan Jessica.
"Memandangkan kau berdua dah berpisah tujuh tahun yang lepas, bermakna anak kau juga berusia tujuh tahun sekarang ni. Cuma jantina saja tak dapat dipastikan oleh disebabkan kau tinggalkan Minjee terlalu awal." Sempat Jessica menyindir namun Daniel tidak mengambil kisah tentang itu. Asalkan Jessica sanggup membantunya, itu sudah cukup baginya.
"Okey... Nanti aku bagikan maklumat ni pada pengintip yang aku upah. Apa-apa, aku akan inform pada kau dengan syarat kau datang semula dengan kontrak yang kau janjikan tadi. Setuju?" Jessica meminta kepastian.
"Ya, aku setuju," jawab Daniel.
✾✾✾✾✾
Selepas Seungmin meninggalkan rumah, Lia masuk semula ke dalam. Ok Soon masih lagi tidur di ruang tamu dan Lia membuat keputusan untuk ke dapur bagi menjamu sarapan yang dimasak Seungmin. Suasana rumah agak sepi memandangkan Areum sudah ke sekolah.
Lempeng pisang diambil sekeping sebelum dijamahnya. Sebenarnya itu kali pertama dia merasa lempeng yang menggunakan pisang sebagai bahan utama kerana sebelum ini dia hanya tahu tentang lempeng kelapa. Nasib baiklah acuan tepung dan pisang itu menepati seleranya. Habis sekeping, Lia mengambil lagi satu lagi dan meninggalkan dua keping untuk Ok Soon yang masih tidur.
"Hmm... Bosannya." Lia merungut sendiri. Hendak bermain telefon, dia sudah muak kerana hampir setiap malam dia akan menghadap gajet itu. Lempeng yang dimasukkan ke dalam mulut, dikunyah perlahan seiring otaknya berfikir aktiviti yang ingin dilakukan.
Sinki kosong dipandang lama. Nampaknya Seungmin sudah pun membasuh semua peralatan yang digunakan hingga tiada tertinggal satu pun pinggan ataupun cawan kotor. Sifat rajin jejaka itu sedikit sebanyak dicemburui. Kadang-kadang dia teringin untuk dibesarkan dalam suasana kampung seperti Seungmin. Selesai mengisi perut, Lia menaiki anak tangga menuju ke ruang tamu dan kelihatan wanita tua itu sudah bangun.
"Nenek, nak pergi tandas ke?" Soal Lia dan Ok Soon mengangguk. Selepas terjatuh di pasar, wanita tua itu perlukan bantuan seseorang untuk bangun.
Tidak melengahkan masa, Lia segera menolong Ok Soon. Bahu orang tua itu dipegang erat sebelum perlahan-lahan mengangkat tubuh Ok Soon. Nasib baiklah tubuh nenek Seungmin lebih rendah darinya yang mana memudahkan untuk Lia memapahnya.
Ok Soon mengambil tempat di kerusi makan selepas keluar dari tandas. Lia mengambil botol teh kamomil yang ditinggalkan Seungmin untuk neneknya. Botol air itu digoncang perlahan sebelum dituang ke dalam cawan.
"Tangan Nenek sakit lagi?" Tanya Lia apabila melihat Ok Soon tidak banyak menggerakkan tangan kirinya.
"Hmm... Rasalah kebas tu," jawab Ok Soon sambil menyuapkan lempeng pisang ke dalam mulutnya. Lia tersenyum kecil melihat wanita tua itu menikmati sarapan dengan begitu selera.
Warna teh kamomil yang dibancuh Seungmin kelihatan sedikit berbeza daripada yang dijual di kafe Changbin. Melihatkan itu, membuatkan Lia teringin untuk mengetahui rasanya.
"Nenek, Lia nak rasa air teh tu sikit boleh?" Tanya Lia selamba. Ok Soon tidak berkata apa-apa selain mengangguk. Setakat satu hirup, bukan luak mana pun.
Sebaik lidahnya merasai air teh itu, serta merta wajah Lia berkerut. Dia bernasib baik kerana tidak tersembur di situ juga. Bukan saja warna bahkan rasanya juga jauh berbeza.
"Kenapa rasa dia macam alat solek?" Soal Lia sebelum meminum air kosong bagi menghilangkan rasa aneh pada lidahnya. Bagaimana Ok Soon boleh meneguk air itu tanpa perasaan.
"Memanglah... Ini air untuk berubat, bukan untuk hilang dahaga. Kamu belum rasa air ketum lagi. Kalau rasa, tak tahulah tu," ujar Ok Soon.
"Air ketum? Nenek minum ke? Tapi tak pernah nampak Nenek khayal pun??" Soal Lia dengan penuh rasa hairan.
Ok Soon hanya mampu bersabar setiap kali berbual dengan gadis itu. "Khayal tu sebab diorang pergi campur benda lain... Air ketum tu bagus buat ubat. Kamu kena duduk sini lama lagi, biar belajar sikit ilmu dekat kampung ni," kata Ok Soon dengan maksud yang tersirat.
Nampaknya kebodohan Lia dalam memahami kiasannya lebih teruk dari Seungmin dalam menyedari perasaannya sendiri.
"Kamu betul-betul sukakan Seungmin?" Soal Ok Soon tanpa berselindung lagi. Penat untuk dia terus berteka teki sendiri.
Lia tersengih seraya mengangguk. Tiada sebab untuk dia menafikan perasaan yang sudah terpampang jelas. Otaknya mula berfikir macam-macam memandangkan Ok Soon sendiri yang bertanyakan hal itu padanya. Adakah nenek akan menjodohkan dirinya dengan Seungmin? Itu lebih baik fikirnya.
"Baguslah macam tu... Nenek penat sebenarnya nak tengok korang ni senyum-senyum macam orang gila. Kan senang kalau jujur je terus. Nenek harap kamu bersabarlah dengan Seungmin... Maklumlah ni kali pertama dia jatuh cinta," ujar nenek seakan memberi semangat untuk Lia.
"Minjeong??" Gadis itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kali pertama? Bukankah sebelum ini Seungmin hampir berkahwin dengan Minjeong tetapi tidak sempat kerana gadis itu sudahpun menghadap sang pencipta.
"Ouh kamu mesti keliru kan? Memang Seungmin sayangkan Minjeong tapi bagi Nenek, kamulah perempuan yang buatkan Seungmin jatuh cinta sebenarnya tanpa sebarang alasan. Faham tak?" Jelas Ok Soon.
"Ha okey Lia dah faham... Hehe." Suara perempuan yang kedengaran dari luar menghentikan perbualan dua beranak itu. Lia meninggalkan dapur untuk melihat gerangan yang berkunjung.
Bibir Lia terus menguntumkan senyuman apabila gerangan itu ialah Eunbi. Pasti gadis itu dimaklumkan Pak Sooman tentang keadaan nenek oleh kerana orang tua itu yang membantu. Tidak melengahkan masa, Lia menjemput Eunbi masuk ke dalam.
"Ni, saya ada bawa sedikit lauk untuk korang sekeluarga. Ayah ada beritahu yang Nenek tak sihat jadi mesti tak ada orang nak masak. Ya lah, Seungmin kan sibuk dengan ladang bunga dia." Eunbi menghulurkan mangkuk tingkat bersaiz kecil kepada Lia.
"Jomlah ke dapur, Nenek tengah makan tu," pelawa Lia dan Eunbi hanya mengikut saja.
Ok Soon tersenyum melihat kehadiran anak dara Pak Sooman di rumahnya. Gadis berambut hitam itu mengambil tempat di hadapannya. Mangkuk tingkat yang ada pada Lia dipandang sekilas sebelum menggeleng perlahan. Memang itu kewajipan Eunbi setiap kali datang ke rumahnya.
"Nenek apa khabar?" Tanya Eunbi.
"Macam ni lah Eunbi... Nak ke tandas pun kena orang papah. Nasib baik Lia ada menolong, kalau tak terpaksalah mengharap pada Seungmin," balas Ok Soon.
"Kenapa tak hospital je Nenek? Dah sampai nak bangun pun tak boleh, risau pula Eunbi takut ada cedera dekat dalam badan," ujar gadis itu risau.
Lia mengangguk mengiyakan kata-kata Eunbi. Pada mata kasar mungkin hanya cedera pada kaki dan tangan sahaja tetapi bahagian dalaman, tiada siapa yang tahu.
"Malas lah... Kalau dah ajal, sekarang pun boleh mati. Sejak bila pula kamu berdua ni rapat?" Ok Soon mengubah topik lain. Tidak mahu bertelagah soal hospital lagi.
"Sejak Lia pergi kedai runcit... Eunbi yang ajak Lia berkawan dulu," beritahu Lia.
"Baguslah kalau macam tu. Lauk apa yang kamu bawa tu Eunbi? Siap letak dalam mangkuk tingkat lagi. Banyak betul kamu masak," tanya Ok Soon seraya menunggu Lia membuka penutupnya.
"Kurma Ayam dengan sayur campur. Tak banyak pun, saja masak lebih untuk bagi Nenek. Nak makan? Biar Eunbi tolong hidangkan untuk Nenek," pelawa gadis itu namun melihat gelengan Ok Soon, dia duduk semula.
Ok Soon menolak kerana perutnya masih kenyang. Sudah dua keping lempeng pisang dilahapnya jadi biarlah tunggu petang sikit untuk menjamah nasi pula.
"Lia, nanti tengahari sikit bawalah lauk ni untuk Seungmin. Tak payah dia berulang-alik balik ke rumah, banyak kerja pula jadinya," arah Ok Soon.
"Nenek? Tinggal sorang?" Soal Lia minta kepastian. Risau pula Seungmin akan memarahinya kerana meninggalkan nenek seorang diri di rumah.
"Eunbi kan ada... Bolehlah dia teman Nenek sementara kamu pergi hantar makanan tu pada Seungmin," ujar wanita tua itu. Lia menoleh ke arah Eunbi dan kelihatan kawannya mengangguk setuju.
Eunbi tidak kisah kerana dia juga tiada ketja untuk dilakukan. Kedai runcit ditutup hari itu sementara menunggu stok barang sampai petang itu. Oleh kerana Eunbi pun bersetuju, Lia tiada sebab untuk menolak arahan nenek.
✾✾✾✾✾
Changbin menarik muncung bila Seungmin tidak membalas senyumannya namun itu tidak menghalang Changbin terus melangkah masuk. Seperti biasa, kawannya akan melakukan rutin yang sama. Contohnya menyembur bunga yang baru mekar, menanam biji benih dan juga mengeringkan bunga untuk dijadikan stok.
"Sampai hati kau tak balas senyuman manis aku," rungut Changbin dengan nada merajuk.
"Lah, kau senyum ke? Aku tak perasan pula." Selamba saja Seungmin menjawab.
Changbin mengerut hairan mendengarkan jawapan Seungmin. Rasanya jejaka itu menoleh ke arahnya sebentar tadi sebelum fokus pada kerjanya semula.
"Eh, aku nampak kau pandang aku. Apa yang tak perasannya? Kalau kau benci aku, jujur je... Aku akan terima dan usaha sampai perasaan benci kau pada aku hilang." Changbin mula menuturkan ayat dramatis yang mampu membuatkan Seungmin menahan sabar. Airmata halimunan diseka menggunakan jari telunjuknya.
"Entahlah, aku rasa aku rabun lah sebab dari jauh aku nampak lubang hidung kau je," seloroh Seungmin sebelum tertawa bila melihat Changbin mengembangkan lubang hidungnya.
"Betul-betul lah... Kau rabun? Sejak bila? Bawa skuter elok je aku tengok... Jatuh pun tak pernah," soal Changbin tidak puas hati.
Seungmin mendengus geram bila Changbin menggoyangkan bahunya sehingga biji benih pada tangannya terjatuh ke atas tanah. Menyedari kesalahannya, Changbin segera mengangkat tangan seraya tersengih sumbing.
"Memanglah kau tak tahu sebab kau bukan kategori kawan baik. Dah lama pun aku perasan yang aku rabun, cuma malas nak ke bandar. Lagipun pakai cermin mata ni leceh nak buat kerja. Bagus juga, tak adalah aku menyampah pandang muka tak bersalah kau tu," kata Seungmin.
"Betapa teganya kamu berkata begitu pada diriku ini tapi kan... Sampai sekarang aku pun tak faham dengan diri aku kenapa sanggup berbual dengan kau walaupun menyakitkan hati. Aku rasa, aku dah terminum air baja bunga kau lah." Changbin meloyar buruk.
Seungmin hanya tersenyum kecil. Dirinya juga berasa hal yang sama. Kenapa dia melayan Changbin begitu sedangkan jejaka itulah yang banyak menolongnya dari dulu. Mungkin dengan cara itu dia membalas kebaikan kawan sekolahnya.
"Nenek macam mana? Aku ada dengar yang Nenek jatuh dekat pasar," tanya Changbin. Sebenarnya itulah sebab kenapa dia datang ke situ tetapi terlupa kerana sibuk berdrama.
"Okey je cuma kena orang papah kalau nak ke mana-mana. Nasib baik ada Lia, bolehlah dia tolong tengokkan Nenek dekat rumah," beritahu Seungmin.
Changbin mengangguk perlahan manakala matanya ralit memandang Seungmin. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan tetapi dalam masa yang sama, dia risau jika Seungmin akan mengheretnya keluar dari rumah hijau.
"Erm, Seungmin... Aku nak tanya sesuatu boleh?" Changbin menyoal dengan penuh berhati-hati sebelum menarik nafas lega apabila Seungmin hanya mengangguk.
"Kau sukakan Lia? Jangan halau aku!" Changbin menjauhkan dirinya beberapa langkah sebaik saja Seungmin menoleh ke arahnya. Tangan juga dijadikan sebagai alat perlindungannya.
Seungmin memberi pandangan kosong melihat Changbin ketika itu. Dia diam sejenak sebelum bersuara. "Kalau aku cakap ya... Kau nak buat apa?" Ujar Seungmin.
"Ha! Maknanya betul lah sebelum ni kau sukakan dia tapi tak nak mengaku!" Seungmin terpaksa menutup telinganya kerana bingit dengan suara Changbin yang lantang.
Changbin berdehem perlahan apabila menyedari Seungmin sudah mengetap gigi seraya menjeling ke arahnya. Sudah tahu nasib yang bakal menimpanya, Changbin menundukkan kepalanya.
"Aku balik dulu... Jumpa lagi." Jejaka berbadan sasa itu terlebih dulu meminta diri sebelum kawannya meletakkan tanah ke dalam mulutnya.
Seungmin tertawa perlahan sebaik saja Changbin menghilang dari pandangan. Terhibur hatinya dengan gelagat Changbin.
✾✾✾✾✾
Suara Lia membuatkan Seungmin yang ketika itu sedang berehat di meja, berpaling ke arahnya.
"Eh, awak datang sini? Nenek tinggal dengan siapa?" Soalan pertama yang keluar dari mulut Seungmin.
Lia mengeluh perlahan kerana sudah agak Seungmin akan bertanyakan hal itu terlebih dulu. Dua bekas makanan diletakkan ke atas meja.
"Jangan risau, Eunbi ada di rumah teman Nenek. Lagipun Nenek yang suruh saya hantar makanan untuk awak," jelas Lia.
"Ouh,terima kasih. Awak baliklah dulu... Nanti saya makan," balas Seungmin namun itu tidak dipedulikan Lia apabila gadis itu mengambil tempat di kerusi hadapannya.
"Nenek suruh saya teman awak makan sampai habis sebab awak selalu lupa nak bawa balik bekas makanan semula. Jadi, saya akan tunggu di sini ya, Kim Seungmin." Lia mengukirkan senyuman ketika memberitahu tentang itu. Penutup bekas dibuka sebelum diberikan kepada Seungmin.
Mahu tidak mahu, Seungmin hanya akur lalu menjamah makanan yang dibawa gadis itu. Lia menongkat dagunya seraya tersenyum sendiri melihat Seungmin menikmati hidangan yang dibawanya.
"Seungmin, sepanjang saya berkenalan dengan awak kan... Saya tak pernah tahu hobi awak apa." Lia memulakan perbualan memandangkan suasana agak sepi.
"Macam yang awak tengok lah... Bekerja, balik rumah. Tak ada apa-apa yang menarik pun tentang saya." Seungmin tetap menjawab meskipun pada masa itu dia sedang makan.
"Siapa kata macam tu? Awak menarik sebab personaliti awak, Seungmin. Saya pernah cakap kan sebelum ni, saya tak pernah jumpa lelaki baik macam awak," kata Lia dengan maksud yang tersembunyi.
Seungmin berhenti mengunyah apabila Lia berkata begitu. Air kosong yang dibawa sebagai bekal, diteguk beberapa kali sebelum dia menghabiskan baki makanan yang tersisa. Jantungnya terasa berdebar ketika itu oleh kerana Lia berhadapan dengannya. Tentang perasaannya pada gadis itu bermain di fikirannya semula. Adakah ini masa yang sesuai?
Lia mengambil bekas makanan yang sudah kosong dari Seungmin sebelum disusun semula ke dalam plastik untuk dibawa pulang. Seungmin mula tidak duduk diam melihat Lia yang bersiap-siap ingin pulang ke rumah.
Kaki yang baru ingin mengorak langkah, terhenti apabila Seungmin memegang tangannya. Mata Lia membulat kerana terkejut dengan tindakan spontan Seungmin.
"Lia..." Seungmin menyebut nama gadis yang dicintainya. Dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya seraya memandang wajah Lia lama. Seungmin bangun dari kerusi sebelum berdiri di hadapan Lia.
"Saya sukakan awak." Akhirnya perkataan itu terluah juga dari mulut Seungmin setelah bermacam perkara yang menghalangnya.
Lia ternganga mendengarkan pengakuan Seungmin hingga pipinya mula terasa bahang.
"Awak sukakan saya?" Seungmin inginkan kepastian. Dia tidak mahu berasa lega terlebih dulu kerana risau yang perasaannya hanya bertepuk sebelah tangan.
"Erm... Tak," jawab Lia sebelum memusingkan badannya membelakangkan Seungmin. Senyuman nakal mula kelihatan pada wajahnya sambil menunggu reaksi jejaka itu.
Seungmin terdiam kerana keliru dengan jawapan yang diberikan Lia. Perasaan sedih mula menyelubungi dirinya kerana merasakan dirinya sudah terlambat. Bibir diketap perlahan sebelum bersuara lagi.
"Kenapa? Sebab saya miskin dan tak sesuai dengan status diri awak?" Soal Seungmin kerana masih belum berpuas hati.
"Saya tak sukakan awak tapi saya cintakan awak... Dua perkataan tu benda yang berbeza kan?" Soal Lia sebelum memandang wajah Seungmin yang kelihatan agak buntu ketika itu.
"Maksudnya-"
"Ya, saya sukakan awak, saya sayangkan awak, saya cintakan awak. Ish! Patutlah Nenek suruh saya bersabar dengan awak, sekarang baru saya faham." Lia terpaksa memotong kerana tidak tahan dengan Seungmin yang agak lembap dalam hal begitu.
Seungmin serta merta mengukirkan senyuman manisnya setelah menangkap maksud yang cuba disampaikan Lia. Kerana terlalu teruja cintanya terbalas, Seungmin terus menarik tangan Lia lalu memeluk erat tubuh gadis itu seraya mengelus lembut rambut Lia.
"Terima kasih sebab sudi terima diri saya, Lia," ungkap Seungmin manakala Lia yang berada di dalam dakapannya tidak berkata apa-apa selain hanya mengangguk perlahan.
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro