Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦14

Seungmin terus berlari masuk ke dalam rumah mencari neneknya sebelum menghela nafas lega. Tidak menyapa Pak Sooman yang berdiri di muka pintu rumahnya, Seungmin menghampiri Ok Soon untuk melihat sendiri keadaan wanita tua itu. Lia yang baru naik ke beranda, membuntuti langkah Seungmin.

"Macam mana boleh jatuh, Nek?" Tanya Seungmin seraya matanya memandang tangan dan juga kaki Ok Soon yang berbalut. Dari situ, dia dapat mengagak yang neneknya tidak pergi ke hospital sebaliknya terus pulang ke rumah.

"Lantai licin baru basuh... Peniaga dah letakkan papan tanda tapi Nenek yang tak perasan, itu terjatuh. Tak ada apalah, jatuh macam ni dah biasa," ujar Ok Soon sebelum terbatuk-batuk.

"Puas Pak Sooman ajak ke klinik sebab nenek kamu bukan nak pergi hospital tapi sama je, membazir katanya. Berkeras juga nak balik ke rumah. Itupun Makcik Goonja yang datang tolong urut dengan balut tadi." Pak Sooman mencelah. Nasib baiklah dia turut berada di pasar ketika kejadian. Betapa terkejutnya apabila orang ramai berkerumun untuk membantu Ok Soon bangun dari tempat jatuhnya. Dia tidak dapat membayangkan orang tua itu terhantuk kepala pada mana-mana.

Seungmin tidak tahu memberi reaksi apa selain menggeleng perlahan. Kedegilan memang sudah sebati dalam diri neneknya.

"Aku bukan apa... Malas nak ke hospital, kau tahu faham-faham sajalah. Kena x-ray lah, kena itu kena ni... Banyak pula kerja nak buat. Lagipun, sekejap je ni... Bukan teruk sangat pun." Ok Soon membela dirinya sendiri sebelum Seungmin meleterinya.

"Nenek boleh bangun tak ni?" Lia yang tadi hanya berdiam diri, bersuara. Kalau dilihat keadaan wanita tua itu dengan mata kasar, Ok Soon jatuh secara mengiring memandangkan tangan dan kaki kirinya tercedera. Mendengar soalan Lia, Ok Soon menggeleng perlahan. Soal itu dia tidak boleh menafikannya.

"Tak apalah, Pak Sooman balik dulu. Ni ada beli ubat tahan sakit dekat farmasi tadi. Apa-apa, beritahulah, Pak Sooman ada je di rumah tu." Orang tua itu meminta diri selepas menyerahkan plastik ubat.

Seungmin masih memandang Ok Soon sejak dari tadi. Kalau boleh diangkat neneknya, ketika itu juga dia akan mengusung wanita tua itu ke hospital malangnya dia tidak boleh melakukan demikian sebarangan. Lia mendongak apabila Seungmin mengangkat punggung dari tempatnya.

"Saya pergi ke pasaraya kejap. Awak tolong jagakan Nenek, ya?" Pinta Seungmin dan Lia hanya mengangguk faham.





Kaki yang terasa lenguh sedikit sebanyak terasa lega setelah diurut Lia dan Areum. Cucu lelakinya pula sibuk memasak sup ayam untuk makan malam mereka.

Ok Soon menyedari yang Lia banyak mendiamkan diri. Ditanya sepatah, dijawab sepatah tidak seperti sebelum ini. Wajah cantik Lia yang selalu dihiasi senyuman manisnya, kelihatan muram tetapi tangannya tetap mengurut kaki Ok Soon.

"Kenapa kamu ni, Lia? Sakit tangan ke sebab urut kaki Nenek?" Seloroh Ok Soon.

"Tak adalah... Lia cuma sedih tengok Nenek macam ni." Gadis itu menjelaskan sebab dia berkelakuan begitu.

"Apa yang nak sedihnya? Masa kamu terseliuh dulu tak ada pun Nenek nak sedih macam kamu ni. Dah, jangan nak beremosi sangat," marah Ok Soon sebelum Lia menarik muncung.

Jika hendak dibandingkan dirinya dengan Ok Soon, memang jauh berbeza. Dia masih muda manakala nenek sudah berusia yang mana macam-macam kesan sampingan boleh berlaku pada tubuh Ok Soon. Tidak sempat beberapa minit, Seungmin membawa dulang yang berisi sup ayam untuk dihidangkan kepada neneknya.

Areum yang sudah teruja melihat hidangan itu, segera turun ke dapur untuk mengambil nasi sebelum gadis kecil itu naik ke ruang tamu untuk makan bersama moyangnya.

"Nenek makan ni sampai habis... Lepas siap, makan ubat pula. Tak boleh mengelat," pesan Seungmin awal-awal kerana dia sudah masak dengan perangai neneknya yang payah hendak menelan sebarang pil.

"Ya lah..," perlahan saja Ok Soon menjawab. Seungmin tersenyum kecil mendengarkan itu. Nasi yang masih panas diletakkan ke dalam sup ayam bagi memudahkan pergerakan Ok Soon memandangkan kali ini neneknya makan menggunakan sudu.

"Lia, awak tak nak makan?" Soal Seungmin sebaik saja melihat gadis itu sibuk memerhatikan Ok Soon.

"Tak apalah, tunggu Nenek siap makan dulu," balas Lia.

"Okey... Nanti kita makan sekali, ya?" Pelawa Seungmin dan Lia mengangguk setuju.

Ok Soon yang menikmati kuah sup ayam, dalam diam memerhatikan tindak tanduk pasangan itu. Adakah cucunya sudah melakukan seperti yang dicadangnya?

"Seungmin... Kalau saya nak tolong jagakan Nenek boleh?" Tanya Lia selepas lama memikirkan hal itu. Areum yang berada di depan mereka, terus mengangguk teruja.

"Bolehlah, Ayah... Nanti Makcik Cantik boleh tolong Areum buat kerja sekolah Bahasa Inggeris sekali," celah gadis kecil itu sebelum mengundang tawa Seungmin. Bukan main lagi anaknya membodek kalau perkara berkaitan makcik kesayangannya.

"Bukan apa... Saya teringatkan mendiang Mama saya masa koma dulu. Saya tak sempat nak jaga di hospital memandangkan sibuk bekerja jadi saya tak nak rasa menyesal untuk kali kedua," tutur Lia tanpa menyedari kata-katanya membuatkan orang sekeliling salah tafsir.

Ok Soon yang ketika itu sedang menggigit tulang ayam, hampir saja tersembur. Sudu yang dipegangnya serta merta mendarat di atas kepala Lia. "Kau nak suruh aku mati ke sekarang ni?" Soal Ok Soon tidak puas hati.

Lia lantas menggeleng tanda menafikan perkara yang diungkapkan Ok Soon. Kepala yang masih lagi terasa sakit, diabaikan. "Bukan macam tu! Macam mana Lia nak jelaskan? Menyesal? Rasa bersalah? Macam tu!" Lia sudah tidak duduk diam kerana risau wanita tua itu terasa hati dengannya.

Seungmin tertawa perlahan melihat interaksi dua orang yang disayanginya itu. Sebelum perkara itu berlarutan, lebih baik dia mencelah.

"Ha ya... Saya faham maksud awak. Nenek, janganlah garang sangat." Seungmin bersuara.

"Saya tak kisah pun kalau awak nak bermalam di sini. Nenek? Tak kisah kan?" Seungmin meminta kepastian neneknya pula. Jejaka itu tersenyum puas apabila Ok Soon mengangguk walaupun masih bengang dengan Lia.



Seperti yang dipersetujui, Lia pulang ke rumahnya untuk mengambil bantal dan selimutnya oleh kerana dia akan bermalam di rumah Seungmin. Telefon pintar yang terletak di atas meja solek, diambil dan ketika itu dia melihat tarikh yang tertera pada skrin telefonnya. Barulah dia menyedari yang masanya untuk berada di situ hanya berbaki beberapa hari lagi.

Jarinya meleret skrin bagi mencari nama Jessica yang tersimpan di daftar kenalan. Hanya itu saja jalan penyelesaiannya untuk terus menetap di situ. Butang panggilan ditekan lalu telefon ditekap pada telinga, menunggu kakaknya menjawab panggilannya.

"Kakak... Lia ada something nak beritahu." Lia memulakan bicara sebaik saja suara Jessica kedengaran di hujung talian.

"Boleh tak kalau Lia nak tambah lagi sebulan untuk menetap di sini?" Soal Lia.

"Are you serious, Julia Choi? Bukan haritu bukan main lagi kau merayu tak nak ke situ.... Ada apa-apa yang kau sembunyikan dari Kakak?"

Lia menggulingkan bola matanya mendengar sindiran kakaknya tetapi itu semua ditolak ke tepi kerana dia memang benar-benar ingin menetap di situ lebih lama lagi.

"Kakak sendiri kata kan, selagi tak dapat tandatangan kontrak... Selagi tu Lia kena usaha sampai dapat. Itulah apa yang Lia tengah buat sekarang ni. Lagipun, ada masalah yang berlaku. Macam mana, Kakak setuju tak dengan permintaan Lia?" Gadis itu sedikit hairan apabila tiada suara yang kedengaran. Telefon dialihkan dari telinga namun panggilan masih lagi berlangsung.

"Okey kalau itu yang kau nak... Tapi Kakak harap sebelum cukup waktu sebulan tu kau dah balik ke Gangnam dengan kontrak tu... Kalau tak, Kakak terpaksa campur tangan."

"Yeah... I got it. Lia letak dulu." Panggilan dimatikan. Lia berasa lega kerana Jessica tidak banyak soal seperti biasa. Tidak melengahkan masa, gadis itu meninggalkan rumahnya menuju ke rumah Seungmin.

✾✾✾✾✾

Daniel tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya ketika mesyuarat bersama para pekerjanya. Segala yang dibentangkan salah seorang pekerja hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sesekali dia mengangguk meskipun tidak berapa faham dengan apa yang dibincangkan.

Seongwoo, yang menyedari kelainan tingkah majikannya menepuk perlahan bahu bidang jejaka itu. Daniel tersentak sebelum menoleh ke arah setiausahanya.

"Ya?" Soal Daniel lantas bangun dari kerusinya apabila pengarah dan beberapa pegawai pengurusan syarikatnya sedang menunggunya untuk memberi kata akhir memandangkan mesyuarat sudah pun tamat.

Beberapa ucapan disampaikan dan mereka yang menghadiri perjumpaan pada pagi itu mula beredar dari bilik mesyuarat. Seongwoo melangkah menghampiri Daniel yang masih belum berganjak dari tempatnya.

"Tuan okey ke?" Tanya Seongwoo untuk memastikan kesihatan majikannya. Daniel yang mendengar soalan itu mengangguk kecil.

"Saya okey... Hari ni awak boleh pulang awal sebab saya ada hal dengan keluarga saya. Apa-apa, saya akan maklumkan semula pada awak," ujar Daniel dan dibalas dengan tundukan hormat dari Seongwoo sebelum pemuda itu meminta diri terlebih dulu. Daniel menghela nafas perlahan lalu meninggalkan bilik mesyuarat.

Ruangan pejabat diperhati lama. Entah mengapa kehadiran Jessica tempoh hari mengganggu rutin hariannya. Bukan kerana wanita itu sebaliknya mengenai bekas kekasihnya, Minjee. Sofa kulit yang terletak di dalam pejabatnya dijadikan tempatnya melabuhkan punggung. Kepala disandarkan pada badan sofa seraya memejamkan matanya, mengenang semula kenangan bersama Minjee.

Masih segar di ingatannya wajah sembap gadis itu saat datang bertemu dengannya buat kali terakhir tujuh tahun lepas. Berita tentang kandungan Minjee membuatkan dia terkedu tidak percaya. Pada usia yang masih mentah, bertanggungjawab sebagai seorang bapa, bukanlah perkara senang dan itu menyebabkan dirinya membuat keputusan paling bodoh seumur hidupnya.

"Daniel, awak dah janji dengan saya yang awak tak akan tinggalkan saya... Kenapa awak buat macam ni pada anak awak sendiri??" Soal Minjee dalam tangisannya. Tangan lelaki yang dicintainya dipegang erat, cuba memujuk hati jejaka itu.

"Minjee, saya sayangkan awak tetapi untuk simpan kandungan ni bukan keputusan yang tepat memandangkan kita masih belum bersedia untuk jadi ibu bapa. Awak gugurkan kandungan ni sebelum Papa saya dapat tahu. Awak dah sedia maklum kan? Apa yang akan terjadi pada saya? Papa tak akan teragak-agak untuk buat perkara yang bahaya pada awak, Minjee. Kalau awak tetap berkeras nak jaga kandungan tu, kita terpaksa berpisah." Kata-kata yang keluar dari mulut Daniel membuatkan gadis itu perlahan-lahan melepaskan pegangan tangannya. Tidak percaya yang Daniel lebih mementingkan dirinya daripada bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan.

Airmata yang mengalir laju di pipi dibiarkan bersama rasa sakit yang terasa di lubuk hatinya. Sanggup Daniel menyuruhnya membunuh anak mereka sendiri. Jika ditawarkan satu juta sekalipun, dia tidak akan melakukan perkara kejam begitu pada anak yang tidak bersalah. Rasa terkilan mendorong diri Minjee untuk menampar pipi Daniel sekuat hatinya. Jejaka itu tidak membalas apatah lagi bersuara untuk membela dirinya.

"Kalau macam tu, biar saya bawa diri... Awak jangan sesekali pernah cari saya lagi. Walau saya mati sekalipun, saya akan pastikan berita tu tak sampai pada awak supaya awak menyesal seumur hidup awak, Kang Daniel." Minjee mengakhiri bicaranya sebelum melangkah pergi.

Pemergian Minjee diekori Daniel dari belakang. Melihat gadis itu sudah pun menahan sebuah teksi, Daniel melintas jalan sebelum dirinya terlibat dalam kemalangan tanpa diketahui Minjee.

Daniel membuka matanya dan dalam pada masa yang sama, cecair jernih turut mengalir dari tubir matanya. Parut lama di dahi akibat kemalangan yang ditimpanya seakan berdarah kembali. Perasaan menyesal mula menyelubungi dirinya hingga dia sendiri tertanya-tanya di manakah gadis itu berada sekarang. Kad bisnes Jessica yang masih tidak terusik di atas meja, diambil.

✾✾✾✾✾

Seungmin menyusun sepinggan bihun goreng dan juga air teh kamomil ke dalam dulang untuk dibawa ke ruang tamu sementara Lia membantu Areum bersiap-siap untuk ke sekolah.

"Cepat buka mulut tu, biar Seungmin suapkan Nenek," ujar Seungmin manakala tangannya sudah bersedia untuk menyuapkan bihun ke dalam mulut neneknya.

"Alah, Nenek boleh lagi guna tangan sendiri nak makan." Ok Soon bersuara namun itu tidak dapat menghalang kelakuan Seungmin yang sudah bersemangat untuk memberi makan kepada neneknya. Malas hendak bertekak, Ok Soon menganga sebelum bihun goreng masuk ke dalam mulutnya.

Seungmin tersenyum puas melihat neneknya menikmati masakannya. "Sedap tak? Ni first time Seungmin goreng bihun... Sebelum ni tengok Nenek je," beritahu Seungmin.

"Sedap... Kamu kan cucu Nenek, dah semestinya air tangan pun menurun ke kamu. Areum dengan Lia mana? Takkan tak bangun lagi?" Tanya Ok Soon apabila menyedari suasana rumah agak sunyi tanpa celoteh dua gadis itu.

Tidak lama selepas itu, mula kedengaran suara gelak Lia dari dalam bilik diiringi rengekan Areum sebelum gadis kecil itu muncul di ruang tamu dengan wajah yang cemberut. Seungmin tertawa kecil sebaik saja melihat wajah Areum yang terlalu putih dek bedak yang disapu pada muka anaknya. Tahulah dia yang itu merupakan kerja Lia memandangkan suara tawa gadis itu kedengaran sebentar tadi.

"Tengok Makcik Cantik khianat Areum!" Adunya tidak puas hati manakala Seungmin pula meratakan tompokan bedak pada wajah anaknya.

"Hei! Areum yang suruh Makcik bedakkan muka Areum, Makcik tolonglah tapi- Hahahahaha!" Lia tergelak sebelum sempat menghabiskan ayatnya. Mana tidaknya bukan saja pada wajah sebaliknya anak rambut Areum turut terkena tempias bedak.

"Ha! Lepas tu kan... Makcik Cantik cakap rambut Areum macam Nek Yang sebab warna putih!" Gadis itu sambung mengadu kerana tidak puas hati.

Lia serta merta menghentikan tawanya sebaik saja mendengar aduan Areum. Ok Soon pula sudah memandang tajam ke arahnya. Dia berdehem beberapa kali sebelum bersuara.

"Bukan macam tu, Nenek... Lia... Err..." Lia menggaru kepalanya cuba mencari ayat untuk membela dirinya.

"Tak apalah, bukan Makcik Lia sengaja pun... Dah pergi ambil bihun di meja dapur. Ayah dah letakkan untuk Areum tadi... Cepat, nanti tak sempat pula sarapan," ujar Seungmin sekaligus menyelamatkan Lia dari menjadi mangsa neneknya.

Areum mencebik apabila ayahnya tidak menyebelahi dirinya. Lia yang baru saja duduk di atas kerusi terpaksa bangun semula kerana Areum menarik tangannya menuju ke dapur. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia mengikut saja kehendak gadis kecil itu. Seungmin tersenyum melihat keakraban Lia dengan Areum.

"Senyum-senyum... Bukan jadi apa pun," sindir Ok Soon.

"Alah Nenek ni... Semalam sikit lagi Seungmin nak beritahu Lia yang Seungmin sukakan dia tapi Pak Sooman telefon beritahu Nenek terjatuh di pasar. Terbantutlah niat Seungmin," keluhnya perlahan.

"Habis, kamu nak salahkan Nenek lah sebab terjatuh dekat pasar? Macam tu??" Soal Ok Soon dengan nada bengang.

Seungmin pantas menggeleng tanda menidakkan kata-katanya. "Tak, bukan nenek tapi salah Pak Sooman... Hehe," dalihnya seraya tersengih.

Selepas pulang dari menghantar Areum ke sekolah, Seungmin mengambil beberapa alat menukang untuk dibawa ke rumah hijau. Sempat dia menjenguk neneknya yang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.

"Awak nak pergi dah ke?" Soal Lia yang baru keluar dari bilik Areum.

"Kalau ikutkan saya tak nak pergi hari ni tapi Nenek paksa... Jadi, kalau ada apa-apa, call saya. Selalunya Nenek waktu sakit macam ni, banyak mengidam nak makan. Saya tak nak lah awak susah-susah keluar ke kedai," pesan Seungmin sementara tangannya mengikat tali kasutnya.

Lia mengangguk faham sambil tersenyum sendiri. Entah kenapa dia berasa begitu gembira sedangkan hubungannya dengan Seungmin belum dipastikan lagi. Berdasarkan keadaan sekarang, dia membayangkan dirinya sebagai isteri manakala Seungmin pula berperanan sebagai suaminya yang ingin bertolak ke tempat kerja. Dapat berimaginasi begitu pun sudah membahagiakan hatinya.

"Okey, saya pergi dulu." Seungmin meminta diri. Lia menghantar Seungmin hingga ke tangga beranda dan sempat dia melambai kecil ke arah jejaka itu.

"Hati-hati!" Seungmin mengangguk sebelum bayangnya menghilang dari pandangan Lia.

✾✾✾✾✾

Sebuah kereta yang memasuki garaj sebuah banglo mengundang rasa gembira buat penghuninya. Pintu dibuka terlebih dulu sebelum berlari ke arah pemilik kereta tadi kerana rasa teruja yang hadir dalam dirinya.

"Daniel... Mummy ingatkan kamu tak balik makan tengahari dengan family kita," ujar Kim Yoojin, ibu kepada Daniel.

"Mummy yang ajak, takkan Daniel nak abaikan saja. Lagipun kan Mummy kata ada sesuatu nak bincang... Papa mana?" Soal Daniel berbasa-basi. Jika bukan kerana ibunya, jangan harap dia akan menjejakkan kaki ke rumah itu lagi selepas apa yang dilakukan ayahnya.

Yoojin tersenyum lantas mengiringi anak bongsunya masuk ke dalam rumah. Tiba di meja makan, Daniel menunduk hormat bagi menyapa ayahnya dan juga kakak sulungnya yang turut ada bersama. Melihat senyuman sinis kakaknya, Daniel mendengus perlahan sebelum mengambil tempat di sebelah kakaknya.

"Lama tak balik, ingatkan dah lupa jalan rumah." Sunghoon menyambut kepulangan Daniel dengan kata sindiran. Bukan dia tidak tahu apa masalah anak lelakinya hingga jarang sekali menampakkan batang hidungnya.

"Abang ni... Anak kita dah balik, cakap macam tu pula. Please, jangan mulakan pergaduhan," tegur Yoojin yang kurang senang dengan kelakuan suaminya.

Sunghoon mendiamkan diri selepas ditegur isterinya. Pembantu rumah mula menghidangkan hidangan makan tengahari mereka sekeluarga. Daging masak merah yang mana merupakan hidangan kegemaran Daniel, diletakkan ke dalam pinggan bersama lauk sampingan yang lain.

"Tujuan Papa ajak semua berkumpul hari ni bukan saja-saja melainkan ada perkara yang perlu dibincangkan. Memandangkan semua dah ada, biar Papa mulakan bicara," ujar Sunghoon.

Youngji terus melirik adiknya sebaik saja ayah mereka bersuara memandangkan dia tahu apa yang akan dibincangkan kerana sudah dimaklumkan ayahnya terlebih dulu. Dia pasti yang Daniel tidak akan bersetuju yang mana membuatkan dirinya berasa gembira.

"Dan semestinya perkara ni berkaitan dengan Daniel, selaku pewaris syarikat Ademán," sambung Sunghoon sambil memotong kepingan daging menjadi kecil. Sedikit pun dia tidak memandang wajah anak lelakinya.

"Papa dah aturkan janji temu kamu dengan anak perempuan kawan bisnes Papa hujung bulan ni. Papa tak nak ada sebarang alasan," kata Sunghoon yang mana memeranjatkan Daniel.

"Untuk apa? Syarikat kita masih dalam keadaan baik tanpa perlukan sokongan dari mana-mana pihak. Kenapa Papa buat keputusan terburu-buru ni tanpa beritahu Daniel dulu?" Jejaka itu mula membantah. Dia bukan lagi budak kecil sehingga ayahnya mengatur kehidupannya sesuka hati. Yoojin memegang tangan Daniel bagi menenangkan anaknya.

"Ini dikira sebagai berbincang, Kang Daniel. Kalau tidak, Papa akan terus aturkan perkahwinan kamu berdua. Jadi jangan nak banyak soal dan ikut saja. If you still don't want to, serahkan jawatan pengerusi kamu kepada Youngji. Setiap keluarga yang ada bisnes besar perlukan pewaris dan macam mana kamu nak beri pewaris kalau kamu tak berkahwin?" Ugut Sunghoon.

Daniel terus memandang ke arah kakaknya yang sudah tersenyum menang di sebelahnya. Sangat jelas yang itu merupakan rancangan licik kakaknya untuk merampas syarikat Ademán daripadanya sedangkan Youngji sudah pun mewarisi pusat beli belah ibunya.

"Maksudnya, Papa buat semua ni semata-mata nak pewaris selepas Daniel... Macam tu?" Daniel meminta kepastian dan Sunghoon mengangguk tanpa ragu.

Rahangnya diketap menahan geram. Perkahwinan bukanlah perkara yang mudah apatah lagi jika ianya bersama orang yang tidak dicintainya. Daniel teragak-agak untuk memberitahu tentang perkara sebenar namun melihat senyuman sinis kakak dan ayahnya membuatkan dirinya lantas bersuara.

"Sebenarnya Daniel dah ada anak," beritahunya yang membuatkan masing-masing yang berada di meja kehilangan kata-kata.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro