❦11
Para pekerja wanita mula tersenyum sesama sendiri apabila majikan mereka melangkah masuk ke dalam pejabat. Sapaan demi sapaan diberikan dan pemuda itu hanya membalas dengan sekadar anggukan tanpa bersuara. Senyuman turut dilemparkan bagi menjaga hati pekerja yang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan mereka.
Seongwoo, selaku setiausaha Daniel mengiringi langkah jejaka itu untuk melaporkan jadual pada hari itu. Beg bimbit diletakkan di bawah meja seraya menunggu Seongwoo bersuara.
"Hari ini Tuan Kang tiada sebarang jadual mesyuarat dan hanya perlu ke Itaewon untuk merasmikan pembukaan farmasi pada pukul 5 petang hari ni memandangkan Ademán Healthcare yang menjadi supplier utama." Daniel mengangguk perlahan sebagai maksud yang dia tiada masalah dengan hal itu.
Baru saja Seongwoo hendak melangkah keluar, dia teringatkan sesuatu lantas muka surat terakhir buku notanya diselak untuk melihat perkara yang ditulis. Daniel yang menyangka setiausahanya sudah selesai, memandang hairan.
"Sebenarnya, pukul 3.50 petang ni ada orang buat appointment untuk berjumpa dengan Tuan. Katanya pengerusi syarikat Beauté... Kalau Tuan tak bersetuju, saya boleh batalkan appointment tu," ujar Seongwoo sambil setia menunggu jawapan dari majikannya.
Daniel agak terkejut mendengar nama yang disebut Seongwoo. Setelah beberapa tahun, itu kali pertama dia mendapat janji temu dengan Jessica Jung, ketua eksekutif syarikat kosmetik terkenal yang mana pernah menjadi rakan perniagaannya.
"Saya perlu ke Itaewon pukul 5 petang, bukan?" Soal Daniel semula dan Seongwoo mengangguk tanda mengiyakan.
"Kalau macam tu, okey... Biarkan saja appointment tu." Sekali lagi setiausahanya mengangguk lalu meminta diri.
Keningnya terangkat sebaik saja mulut menuturkan nama syarikat itu. Kenapa sekarang baru Jessica memunculkan dirinya? Adakah wanita itu ingin memujuknya supaya menjadi rakan perniagaannya semula? Komputer riba dibuka sebelum jarinya laju menaip satu persatu perkataan. Senyuman sinis terukir apabila membaca artikel terkini tentang Beauté Cosmetics.
"Nak bankrup baru cari aku?" Daniel tertawa sendiri memikirkan tentang itu.
✾✾✾✾✾
Seungmin melihat barang-barang yang dijual di pasaraya. Tengahari itu dia mengambil tugas memasak oleh kerana Ok Soon tidak dapat balik tengahari disebabkan banyak kerja perlu dilakukan di kedai ikan masin.
Kaki melangkah menuju ke bahagian sayuran. Segala jenis daun hijau itu dipandang sambil mencari sayur yang sesuai untuk dimasak sebagai hidangan tengahari. Sayur kailan yang kelihatan segar berjaya menarik perhatian Seungmin. Teringatkan ikan masin buatan neneknya, Seungmin membuat keputusan untuk membeli beberapa ikat sayur kailan sebelum diletakkan ke dalam troli.
"Agak-agak Lia makan tak sayur kailan?" Seungmin menyoal sendiri sebaik saja teringatkan gadis itu. Langkahnya terhenti seketika setelah menyedari dia menyebut nama Lia.
Jantungnya mula berdebar sebaik wajah ceria gadis itu bermain di fikirannya. Kepala digeleng supaya fokus kepada barang yang ingin dibeli. Troli ditolak ke arah bilik sejuk beku pula bagi mencari makanan laut yang sesuai digandingkan dengan kailan ikan masin.
Setelah mengambil masa selama sejam, Seungmin akhirnya tiba di kaunter untuk membuat bayaran. Sedang meletakkan barangan di atas kaunter, matanya tertumpu pada selipar yang terletak di bahagian luar pasaraya.
"Cik, saya nak ambil satu barang lagi. Kalau lambat, berilah dulu orang belakang buat bayaran," kata Seungmin dan juruwang itu hanya mengangguk faham.
Pelbagai jenis selipar dibelek satu persatu hinggalah sepasang selipar jenis sarung berwarna merah jambu ditemukan. Sedikit sebanyak warna cerah itu mengingatkan Seungmin pada kasut tumit tinggi Lia yang rosak tempoh hari. Tidak membuang masa, selipar itu diambil.
"Lia pakai saiz apa?" Seungmin menggaru pipinya. Selipar tadi diletakkan bersebelahan kakinya untuk menganggar saiz kaki Lia. Jika hendak mengikut ketinggian sederhana gadis itu, kemungkinan dia memakai antara saiz tujuh atau saiz lapan.
Tidak mahu membuang masa, Seungmin mengambil selipar yang bersaiz lapan. Tidak mengapa jika besar sedikit saiznya. Itu lebih selesa dari menyarungkan selipar yang lebih kecil dari saiz sebenar.
Plastik barangan dapur diletakkan terlebih dulu untuk membuka selak kunci pintu dapur. Nasib baiklah Ok Soon mengunci pintu itu dari luar jadi dia tidak perlu masuk menggunakan pintu hadapan.
Selipar Lia yang diasingkan ke plastik lebih kecil, ditaruh ke atas kerusi sementara menyusun barang kering di tempatnya.
"Baru balik?" Soal Lia yang baru saja muncul. Seungmin menjenguk di sebalik pintu kabinet yang menghalang wajahnya sebelum menghampiri Lia yang ketika itu sedang membelek plastik barang yang masih belum diusik.
"Haah, baru nak susun barang. Awak datang dari mana?" Seungmin bertanya pula.
"Dari rumah, temankan Areum siapkan kerja sekolah dia lepastu dia tidur dekat ruang tamu. Areum cakap yang Nenek tak balik tengahari ni, awak yang masak. Betul ke?" Soal Lia ingin kepastian kerana tidak begitu percaya dengan kata-kata budak kecil itu.
"Betul lah tu. Ouh ya sebelum terlupa... Nah untuk awak." Plastik berwarna merah dihulurkan kepada Lia. Gadis itu tidak bertanya terlebih dulu apabila dia sudah pun melihat isi dalamnya.
Dada disentuh dengan penuh rasa terharu. Sikap ambil berat Seungmin padanya hampir saja membuatnya ingin memeluk jejaka itu. Dengan perasaan teruja, Lia terus menyarungkan selipar yang dibeli Seungmin pada kakinya. Gadis itu mula tersenyum lebar kerana saiz yang dipilih tepat dengan tapak kakinya. Lia berjalan ke hulur hilir bagi memperagakan selipar barunya hingga membuatkan Seungmin tergelak kecil.
"Macam mana awak tahu saiz saya? Nampaknya jodoh kita begitu kuat, Seungmin," ujar Lia dengan nada selamba manakala Seungmin hanya diam kerana menganggap gadis itu hanya berjenaka.
"Erm, saya agak-agak je tadi. Tak sangka pula betul. Nanti pakai tau selipar ni, jangan simpan pula," pesan Seungmin.
Lia mengangguk sebelum meletakkan seliparnya di luar pintu. Gadis itu kemudiannya masuk semula ke dalam rumah.
"Awak nak masak apa?" Tanya Lia sementara matanya melihat beberapa bahan yang dibeli Seungmin di atas meja.
"Udang masak merah dengan sayur kailan ikan masin. Awak makan je kan?" Soal Seungmin minta kepastian sebelum tersengih melihat anggukan Lia. Disebabkan risau gadis itu mempunyai alergi terhadap makanan laut, dia membeli sedikit isi ayam sebagai persediaan. Selepas Lia berkata begitu, bolehlah ayam itu disimpan untuk dimasak kemudian hari.
"Saya nak tolong awak, boleh?" Lia menawarkan dirinya memandangkan Seungmin akan memasak sendirian tanpa bantuan sesiapa.
"Tak apalah, saya dah biasa buat semua ni sendiri. Nanti bila dah siap, saya panggilkan awak dengan Areum makan sekali." Seungmin membuat keputusan untuk menolak pelawaan Lia. Lagipula, hidangan untuk makan tengahari tidaklah menggunakan banyak bahan.
"Okey... Kalau macam tu, saya pergi jalan-jalan dulu lah. Bye!" Beritahu Lia lantas kakinya menyarung selipar barunya dengan perasaan gembira.
"Jalan-jalan dekat mana?" Soal Seungmin kerana ingin tahu.
"Kafe Changbin," jawab Lia seperti tiada apa-apa yang berlaku di antara mereka berdua sedangkan baru semalam Changbin menangis di hadapannya kerana cintanya ditolak.
Lia menarik nafas terkejut apabila lengannya ditarik Seungmin. Tidak sempat hendak membuka mulut, jejaka itu terlebih dulu bersuara.
"Jangan jumpa Changbin," halang Seungmin. Dia tidak boleh membiarkan gadis itu selalu berjumpa dengan kawannya memandangkan lelaki itu hampir merampas Lia daripadanya. Jadi, tidak mustahil jika Changbin akan berusaha sehingga Lia berubah hati padanya semula.
Senyuman nakal mula terukir di wajah kecil gadis itu. Kaki menapak selangkah ke hadapan sebelum wajahnya menatap mata Seungmin. "Awak jealous ya kalau saya jumpa Changbin?" Sakat gadis itu sebelum Seungmin melepaskan pegangan tangannya.
"Bukan macam tu tapi-" Seungmin mengalih pandangannya ke arah lain lalu plastik yang berisi sayur kailan dihulurkan kepada Lia.
"Tadi awak kata nak tolong kan? Pergi basuh sayur ni bersih-bersih. Lepas dah siap, sejat dalam bakul." Seungmin memberi arahan. Tidak membantah, Lia mengambil saja plastik tadi lalu menuju ke sinki untuk melakukan tugasnya.
"Jangan risau Seungmin... Saya dah rejected dia pun... Sekali ditolak, pasti tidak akan diterima lagi. Lagipun, okey apa jadi kawan baik. Bukan senang tau nak berkawan dengan Julia Choi a.k.a pewaris syarikat Beauté," ujar Lia penuh yakin.
Pandangan yang kabur kembali jelas setelah matanya dikelip beberapa kali. Pipi ditampar perlahan untuk menghilangkan rasa pelik yang hadir di hatinya. Tidak mahu menangguh waktu, Seungmin segera mengeluarkan udang dari plastik untuk dibersihkan.
Lia menutup mulutnya kerana kagum melihat kepandaian Seungmin dalam memasak. Aroma bawang yang digoreng membuatkannya tidak sabar untuk merasa hidangan udang masak merah hasil air tangan Seungmin.
"Macam mana awak pandai masak? Hebatlah..," tanya Lia sekaligus memuji jejaka itu.
"Saya belajar dengan Nenek... Saya kan duduk dengan Nenek dari sekolah rendah lagi. Masa tu, Nenek macam sekarang ni lah... Sibuk jual ikan kering dengan ikan masin dekat kedai depan jalan besar tu. Jadi, saya pun belajar memasak supaya senang nak berdikari, tak harapkan Nenek," beritahu Seungmin. Dapur gas ditutup lalu lauk udang masak merah yang sudah siap dimasak, diletakkan ke dalam mangkuk sederhana.
Kuah udang diambil sedikit sebelum menyuakan ke mulut Lia. "Rasalah..," ujar Seungmin.
"Wah! Sedapnya! Nak lagi!" Pinta Lia dengan perasaan teruja.
"Boleh, tapi kena makan dengan nasi. Tunggu Nenek, kejap lagi balik lah tu. Sementara tu, awak pilih nak kemas meja ke basuh semua barang dalam sinki?" Seungmin memberi pilihan.
Lia mengangguk kecil manakala matanya memandang sinki yang penuh dengan bakul yang digunakan untuk sejat udang dan sayur tadi. Papan pemotong di tepi sinki dan dua kuali yang masih di atas dapur dipandang lama. Sekarang tidak perlu difikirkan lagi tugas mana yang mahu dipilih.
"Kemas meja lah... Hehe," jawab Lia.
"Okey... Pergilah. Biar saya basuh semua ni. Lepas awak dah siap kemas meja, panggil Areum ya," pesan Seungmin.
Kain buruk yang dikhaskan untuk meja makan diambil. Walaupun permukaan meja itu tidaklah kotor mana, Lia tetap melakukan itu sambil matanya melirik ke arah Seungmin yang berdiri di depan sinki. Kaki dihentak perlahan manakala senyuman meleret hingga ke telinga apabila jejaka itu menyinsing lengan baju hingga paras siku.
"Hensem gila.... Huarghhh!!! Mama, tolong Lia!!"
"Ha, Makcik Cantik kenapa tersenyum-senyum tu??" Tegur Areum yang baru muncul di situ. Lia membulatkan matanya apabila gadis kecil sengaja mengusiknya.
"Habis tu, takkan nak menangis pula, Sayang..." Ujar Lia dengan nada yang ditekankan hingga membuatkan Areum tertawa di situ.
Seungmin yang mendengar perbualan dua orang itu hanya tersenyum sendiri sambil tangannya sibuk menggosok kuali menggunakan berus dawai.
"Ayah... Kelmarin kan Ayah ada janji dengan Areum nak pergi ladang bunga bila Makcik Cantik dah sihat. Lepas makan boleh tak kita pergi?" Tanya Areum.
"Mestilah boleh... Lia, awak tak kisah kan?" Soal Seungmin pula. Manalah tahu jika gadis itu hanya ingin menghabiskan masanya di rumah.
"Ajakan awak tak akan saya tolak, Seungmin," jawab Lia yang ketika itu sibuk menyusun mangkuk lauk di atas meja.
"Yeay! Tak sabarnya!" Areum bersorak gembira. Akhirnya dia dapat keluar bersama Seungmin dan Lia, seperti yang diinginkannya sebelum ini.
✾✾✾✾✾
Lia dan Areum terlebih dulu berlari masuk ke dalam rumah hijau. Lagak mereka seperti itu kali pertama menjejakkan kaki ke situ membuatkan Seungmin menggeleng perlahan.
"Makcik Cantik! Datang sini cepat!" Panggil Areum seraya melambai ke arah Lia. Melihat keterujaan kanak-kanak itu, Lia terus berlari kecil menghampirinya.
"Wah! Ladybird ! Comelnya!" Puji Lia sebelum mencebik kerana kumbang itu sudah pun terbang jauh.
Seungmin mengambil dua botol penyembur lalu diserahkan kepada Lia dan Areum. Dari tidak melakukan apa-apa, lebih baik mereka berdua menyembur tanaman yang baru hendak berbunga di situ.
Pada mulanya semua berjalan seperti yang diinginkan sebelum botol penyembur itu digunakan untuk saling menyembur air antara satu sama lain. Lia dan Areum mula kejar mengejar di sekeliling ladang kamomil sambil tertawa riang. Seungmin yang tidak mampu menghalang, hanya mengurut dahi perlahan. Sangkanya dengan kehadiran Lia, gadis itu dapat menjaga Areum tetapi sebaliknya pula berlaku.
"Makcik Cantik... Jangan beritahu Areum dekat sini tau.." Jari telunjuk diletakkan di bibir sebelum gadis kecil itu bersembunyi di sebalik tanaman yang tingginya lebih kurang dengan ketinggian badannya. Lia mengangguk faham seraya jarinya menunjukkan tanda 'okey'.
Seungmin terpaksa berjalan merentasi ladang kamomil untuk mencari Lia dan Areum. Sedang matanya melilau mencari bayang mereka berdua, Seungmin berlanggar dengan Lia yang ketika itu bangun secara tiba-tiba sebelum dia kehilangan imbangan badannya. Kedua tangannya sempat menahan badan supaya tidak menghempap Lia yang sudah terbaring di atas tanah.
Nafas terhenti manakala matanya terbeliak apabila hidung mereka bersentuhan dengan jarak wajah yang hanya jauh beberapa inci sahaja. Dalam beberapa saat kemudian, Seungmin tersedar dari lamunan lantas bangun dari situ manakala Lia masih mengeras di tempatnya terjatuh tadi.
"Lia, saya minta maaf sangat-sangat. Awak ada sakit dekat mana-mana?" Soal Seungmin seraya menarik tangan gadis itu, membantunya bangun. Daun kering yang melekat pada rambut panjang Lia, segera dibuang lalu merapikan rambut yang sudah kusut masai.
"Saya okey..." Perlahan saja Lia menjawab. Pipinya disentuh dan dapat dirasakan yang ketika itu suhu badannya menaik secara mendadak selepas adegan yang tidak disengajakan berlaku di antara mereka berdua.
"Alah, lambatlah Ayah ni jumpa Areum! Penat Areum menyorok," rungut kanak-kanak itu lalu berjalan menghampiri Lia dan Seungmin yang tidak jauh dari tempat persembunyiannya.
"Areum, kan Ayah dah banyak kali pesan, jangan main dalam ladang bunga." Seungmin memarahi anaknya dengan nada lembut. Areum yang perasan Lia sedang tersengih seorang dipandang pelik.
"Makcik Cantik... Kenapa ni?" Soal Areum kehairanan. Sejak dari rumah tadi lagi, Lia sering tersenyum sendiri tanpa mengetahui puncanya.
"Tak ada apa... Makcik okey." Lia masih lagi tersenyum ketika menjawab soalan Areum.
"Saya minta maaf sekali lagi," ucap Seungmin dan Lia hanya menggeleng. "Tak apa, bukan awak sengaja pun," ujar gadis itu.
Areum mula berasa bosan kerana Seungmin dan Lia tidak melayannya yang berdiri di tengah-tengah mereka. Idea nakal mula terlintas di fikirannya sebelum gadis kecil itu memulakan lakonan yang pernah diajar Lia tidak lama dulu.
"Ayah... Cuba tengok dalam mata Areum ni ada apa," pinta gadis kecilnya seraya menggosok mata kanannya beberapa kali.
Seungmin melutut bagi menyamakan ketinggian badan anaknya. Mata Areum dilihat. Tiada apa-apa namun dia tetap meniup perlahan mata Areum. Lia pula duduk bersila sambil perhatikan tingkah laku Seungmin.
"Wah! Ada Makcik Cantik dengan Ayah lah dalam mata Areum!" Ujar Areum sebelum tergelak. Pada mulanya Lia tidak memahami apa yang cuba disampaikan Areum sebelum dia juga tertawa. Nampaknya taktik yang diajarkannya, telah digunakan sebaiknya.
Seungmin terkebil-kebil apabila Lia dan Areum ketawa. Ada apa-apa yang dia tidak fahamkah?
"Dahlah Areum... Ayah tak faham lawak kita. Jom, Makcik belanja air boba." Lia menarik tangan Areum meninggalkan Seungmin di situ.
Langkah dua gadis itu dipandang lama sebelum dia menyedari sesuatu. "Boba? Changbin??" Seungmin segera mengejar mereka berdua dari belakang.
Areum menolak pintu gelangsar kafe Jutdae, menyuruh Lia masuk terlebih dulu. Changbin mengukirkan senyuman apabila menerima kehadiran Lia. Walaupun perasaannya masih belum terubat sepenuhnya, dia akan cuba sedaya upaya untuk melayan Lia seperti sebelum ini meskipun berasa kekok.
"Pakcik Besar!" Laung Areum diiringi suara tawa Lia. Changbin mengetap giginya menahan malu apabila pelanggan yang ada di situ sudah memandang ke arahnya. Pekerja-pekerja juga sudah menahan tawa di sebalik kaunter.
"Areum... Lama tak nampak," tegur Changbin. Kepala kanak-kanak itu diusap perlahan. Kehadiran Seungmin membuatkan Changbin tidak jadi menegur Lia yang berdiri di sebelah Areum ketika itu.
"Seungmin, Areum... Pergilah duduk dulu. Biar saya yang order kan air," ujar Lia lalu melangkah menuju ke kaunter.
Selepas air yang dipesan dihantar ke meja, Areum segera menyedut minuman itu. Sudah lama dia tidak merasa air manis yang menjadi kegemarannya.
"Stok kamomil kau banyak lagi kan?" Seungmin membuka perbualan. Dia faham situasi agak canggung selepas apa yang berlaku di antara Lia dan Changbin petang semalam.
"Bolehlah... Nanti aku call kau bila nak tambah stok," jawab Changbin dengan nada bersahaja. Dia tersenyum kecil melihat Areum yang bersungguh mengunyah pearl hitam.
"Disebabkan Areum dah lama tak datang, Pakcik belanja satu lagi air untuk Areum. Pilihlah nak air apa," ujar Changbin yang mana menggembirakan hati gadis kecil itu. Tidak melengahkan masa, dia terus berlari ke kaunter untuk membuat pesanan minuman.
"Areum je? Saya tak nak belanja ke?" Soal Lia. Seungmin agak terkejut dengan permintaan Lia yang selamba itu. Benar lah seperti yang dikatakan Changbin, gadis itu jarang dijumpai pada zaman sekarang.
"Amboi, lepas rejected saya... Suruh belanja pula. Pergi bayar sendiri. Huh!" Bebel Changbin tidak puas hati. Tidak pernah dibuat orang, menyuruh orang yang ditolak cintanya untuk membelanja. Kebanyakannya, hubungan akan bertambah kekok namun itu tidak berlaku bagi Lia.
Lia ketawa mendengarkan itu. Nampaknya Changbin masih merajuk dengan hal semalam. "Alah, janganlah merajuk... Tak hensem tahu tak? " Pujuk Lia sambil memicit lengan berotot Changbin.
"Argh, tak ada maknanya... Stay away from me!" Marah Changbin dan dibalas dengan gelak tawa gadis itu.
Seungmin yang duduk berhadapan mereka berdua, mengemam bibirnya melihat kemesraan Lia dengan Changbin. Keramahan gadis itu membuatkan dia ragu-ragu dengan perasaannya sendiri. Adakah dia tersalah faham dengan layanan mesra Lia terhadapnya selama ini?
✾✾✾✾✾
Daniel menguntumkan senyuman sebaik saja Jessica melangkah masuk ke dalam pejabatnya diiringi setiausahanya. Selepas memastikan tiada apa-apa yang diinginkan, Seongwoo meminta diri terlebih dulu.
Jessica menghulurkan tangan namun Daniel hanya memandang kosong, yang mana membuatkan wanita itu menarik semula tangannya. Berjabat tangan bukanlah perkara yang perlu dijadikan isu besar.
Daniel menjemput Jessica untuk mengambil tempat di sofa pejabatnya. Seongwoo yang menghantar dua cawan kopi segera beredar kerana tidak mahu mengganggu perbualan majikannya.
"Long time no see... Ada apa?" Daniel memulakan perbualan. Dia tidak mempunyai banyak masa untuk melengahkan perbincangan.
Jessica menghirup sedikit air kopi lalu sebelum menjawab soalan Daniel. Dia pasti yang pemuda itu pasti tertanya-tanya dengan kunjungannya pada petang itu.
"Apa khabar? Dah semakin segak aku tengok kau sekarang ni." Jessica berbasa-basi.
"Kenapa kau tiba-tiba datang jumpa aku? Selepas tujuh tahun ya, CEO Jung... Bukan tujuh hari ataupun tujuh bulan. Aku tak ada masa nak berborak kosong dengan kau. Jadi, jelaskan apa yang kau nak sebenarnya," jelas Daniel.
Jessica tertawa perlahan apabila pemuda itu mula kehilangan sabarnya. "Kenapa kau pula yang nak marah aku sedangkan yang batalkan kontrak eksklusif syarikat ialah kau sendiri, Kang Daniel. Apa salahnya aku datang melawat. Bisnes kau macam mana?" Soal Jessica dengan nada sinis.
"Makin maju... Aku dengar Beauté Cosmetics dah kurang dapat sambutan akhir-akhir ni. Biar aku teka... Ha! Kau nak aku jadi business partner company kau semula kan?" Tebak Daniel sebelum dia mengerut hairan melihat gelengan Jessica.
"Tujuan aku datang ke sini untuk bertanya tentang bekas setiausaha aku tujuh tahun yang lepas, Lee Minjee." Akhirnya Jessica memberitahu niat sebenarnya berkunjung ke syarikat Ademán.
Daniel yang tadinya tersenyum mengejek, perlahan-lahan air mukanya berubah serius apabila Jessica menyebut nama yang pernah mengubah hidupnya.
"Lee Minjee?"
✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro