❦10
Bantal kekabu ditepuk beberapa kali sebelum Seungmin mengalas kepalanya. Mata dipejam namun sedikit pun dia tidak boleh terlelap. Kata-kata Changbin di rumah hijau petang tadi masih menganggu fikirannya. Angka jam yang sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi membuatkan Seungmin mendengus geram.
"Kenapa aku perlu terganggu dengan perkara yang tak penting?" Dahi dipukul perlahan dengan harapan fikirannya dapat dikosongkan tetapi semua itu sia-sia.
"Sebenarnya, aku nak confess dekat Lia yang aku sukakan dia. Sebelum tu, aku ajaklah dia minum di kafe aku dulu. Kalau petang esok, okey kan?"
Seungmin membenamkan wajahnya ke bantal dalam keadaan menonggeng. Sekali pandang, tidak ubah seperti Areum apabila merajuk kerana tidak diberikan gula-gula. Hampir sepuluh saat, jejaka itu mengangkat wajahnya semula.
"Aku kena ambil angin dekat luar," ujarnya lalu turun dari katil.
Kedua keningnya berkerut sebaik saja mendapati pintu rumah tidak dikunci dari dalam. Nasib baiklah dia yang menyedari hal itu. Jika Ok Soon, dari pagi sampai malam belum tentu bebelannya akan tamat. Mengabaikan tentang selak kunci, Seungmin membuka pintu secara perlahan kerana tidak mahu mengejutkan penghuni rumah yang sudah lena.
Krek....
"Huarghhh!!!!" Seungmin menjerit kerana terperanjat apabila kelibat seorang gadis berambut panjang yang berpakaian putih kelihatan sedang duduk bertenggek di tangga.
"Seungmin! Awak tak tidur lagi??" Soal Lia separuh berbisik. Untung saja dia tidak tersembam ke tanah kerana terkejut mendengar jeritan jejaka itu tadi.
Nafas lega dihembus perlahan setelah memastikan tiada siapa yang terbangun. Seungmin menapak ke arah Lia bersama wajah cuak.
"Tak kisahlah saya tidur ke belum. Masalahnya kenapa awak duduk macam tu?? Dekat depan tangga pula tu... Nasib baik saya tak ketuk kepala awak guna penyapu," bebel Seungmin. Dapat dirasakan degupan jantungnya dua kali ganda lebih laju kerana masih terkejut.
"Saya nak main Tiktok tapi line dekat dalam rumah lambat, itu yang saya keluar. Duduk dekat kerusi pun video tersekat-sekat... Bila duduk di tangga barulah laju. Sorry lah kalau buat awak terkejut..," jelas Lia.
Seungmin hanya mengangguk faham memandangkan sebelum ini gadis itu pernah memberitahu yang waktu tidurnya bukan pada waktu itu. Kusyen kerusi kayu diturunkan untuk dijadikan tempat duduk. Melihat tindakan Seungmin, Lia turut melakukan hal yang sama.
"Kenapa tak tidur lagi? Rasanya awak masuk bilik awal tadi," soal Lia oleh kerana tiada tajuk yang ingin dibualkan.
"Erm... Entahlah kenapa saya tak boleh lelap mata malam ni. Kadang-kadang mata ni kabur tapi tetap tak boleh nak tidur," beritahu Seungmin.
Suasana terasa kekok apabila mereka berdua mendiamkan diri. Lia melirik ke arah Seungmin dalam diam sebelum meroyan di dalam hatinya. Kenapalah dia tidak boleh meluahkan perasaan ketika itu sedangkan waktu itulah masa yang sesuai memandangkan hanya mereka berdua saja di situ.
"Kaki awak rasa sakit lagi?" Seungmin memulakan bicara setelah lama membisu.
"Tak dah, hehe. Pandai juga Nenek mengurut kan?" Kata Lia supaya suasana tidak kembali hambar.
"Memanglah. Dekat kampung ni, kalau nak mengurut... Mesti panggil Nenek. Bukan tak ada orang lain yang pandai mengurut tapi diorang lagi suka Nenek yang urutkan. Biasalah tangan orang tua ni, rasa lain sikit," ujar Seungmin sambil menyimpulkan senyuman kecil yang cukup menambahkan lagi kemanisan wajahnya.
Menyaksikan itu, Lia memalingkan wajahnya ke arah lain seraya menghentakkan kaki perlahan. Kenapa? Kenapa Seungmin selalu membuatnya tidak keruan walaupun hanya dengan senyuman kecil yang kelihatan di bawah samar-samar cahaya lampu jalan.
Seungmin yang duduk di sebelah memandang Lia dengan pandangan pelik apabila gadis itu memasukkan buku limanya ke dalam mulut. Melihatkan itu, teringat pula kata-kata Changbin yang mengatakan gadis itu kerasukan makhluk halus ketika pengsan tempoh hari.
"Awak, okey tak ni?" Soal Seungmin. Risau pula dibuatnya.
Dengan senyuman, Lia berpaling menghadap wajah Seungmin. Pipinya mula terasa bahang apatah lagi mata mereka bertentangan antara satu sama lain.
"Mestilah okey. Nampak saya macam orang gila ke?" Tanya Lia selamba.
Seungmin tertawa kecil mendengar soalan mengarut gadis itu. "Kelakar lah awak ni. Okeylah, saya masuk dulu. Jangan tidur lewat sangat. Anak dara tak elok duduk luar lama-lama," ujarnya.
"Selamat malam, sweet dreams," ucap Seungmin sebelum menepuk perlahan kepala gadis itu.
Lia hampir merebahkan diri di situ juga. Langkah Seungmin diperhatikan dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kepalanya disentuh perlahan sebelum kusyen dipeluk bagi menenggelamkan jeritannya.
"Dia tak sedar ke yang dialah mimpi indah aku setiap malam. Argh! Dasar itu lelaki buat aku meroyan pagi-pagi buta macam ni," rungut Lia sambil menumbuk kusyen yang dipeluknya tadi.
Seungmin melangkah menuju ke arah Ok Soon yang sedang menyediakan sarapan di dapur. Nasi goreng kampung yang sudah tersedia di atas meja mampu membuatkan Seungmin kecur liur. Pinggan yang tersusun di rak segera diambil sebelum menyendukkan nasi goreng kampung itu.
"Pergi ke ladang bunga lagi ke hari ni?" Tanya Ok Soon sebelum mengambil tempat bersebelahan cucunya.
"Pagi ni nak potong rumput di kebun Makcik Goonja. Semalam dia ada minta tolong dengan Seungmin. Lepas mesin rumput baru pergi ke rumah hijau. Itupun kalau tak penatlah," beritahu Seungmin lalu menyuapkan sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
Ok Soon tersenyum melihat cucunya berselera dengan hidangan yang disediakan. "Semalam Nenek terdengar orang menjerit. Yang peliknya, suara lelaki pula tu. Kamu ada dengar tak? Ke Nenek mimpi?" Soal Ok Soon apabila teringatkan suara jeritan yang menyebabkan dia terjaga dari tidur.
Nasi goreng dikunyah perlahan apabila neneknya bertanyakan tentang itu. Makanan itu ditelan terlebih dulu sebelum menjawab soalan Ok Soon.
"Tak ada... Mimpi lah tu. Siapa pula yang nak menjerit Nek?" Seungmin berbasa-basi.
"Ya lah kot. Kamu tutup nasi goreng ni nanti bila dah siap makan. Nenek nak jemur baju dekat luar kejap." Seungmin mengangguk faham sebelum menarik nafas lega. Kuat sangatkah jeritannya sehingga neneknya yang duduk di bilik hujung boleh tersedar? Seungmin tertawa sendiri apabila teringatkan semula kejadian itu.
Lia merungut sendiri kerana tiada selipar yang ingin dipakai memandangkan kasut tumit tingginya sudah rosak. Changbin sudah berjanji dengannya untuk membawa dia jalan-jalan pagi itu.
"Kenapa muncung tu?" Tegur Seungmin yang mana menyebabkan Lia tersenyum kecil.
"Tak ada selipar... Saya nak keluar jalan-jalan dengan Changbin. Nenek ada selipar lebih tak?" Soal Lia tanpa menyedari air muka Seungmin berbeza dari hari sebelumnya. Nampaknya, kata-kata Changbin semalam bukanlah sekadar gurauan yang mana membuatkan Seungmin sedikit kecewa.
Selipar yang tersusun di dalam rak, dikeluarkan lalu diberikan kepada Lia. "Pakailah selipar saya dulu lagipun kasut saya dah kering," ujar Seungmin sambil tersenyum.
"Wah! Terima kasih!" Lia sudah teruja ketika menyarungkan selipar pada kakinya. Walaupun saiznya sedikit besar namun itu tidak dapat mengurangkan kegembiraan dalam hati gadis itu. Melihat reaksi comel Lia, Seungmin tertawa perlahan.
"Sama-sama. Saya pergi dulu... Sebelum itu, tahniah." Lia tercengang mendengar ucapan Seungmin yang tiba-tiba itu. Tahniah sebab apa? Tingkah laku jejaka itu juga terasa lain dari hari sebelumnya. Lia menggaru kepala tanda buntu.
"Mungkin sebab aku perempuan pertama yang pakai selipar dia? Auchh... Sweet betul!" Lia membuat andaiannya sendiri tanpa memahami maksud di sebalik ucapan Seungmin kepadanya tadi.
✾✾✾✾✾
Ketukan pintu kedengaran dan seorang wanita berusia 30-an melangkah masuk. Jessica yang sibuk memeriksa sesuatu di komputer ribanya, memandang sekilas sebelum kerjanya dibiarkan seketika.
"Ni yang Puan minta." Beberapa helai kertas dihulurkan menggunakan kedua tangannya. Jessica memeriksa isi kandungan lalu menunggu setiausahanya bersuara.
"Kali terakhir Minjee berada di Gangnam ialah lebih kurang tujuh tahun yang lepas. Tiada rekod ke luar negara ditemukan, bermakna Minjee masih ada di Korea. Cuma saya tak dapat nak jejak sekarang dia menetap di mana," lapor setiausahanya.
Jessica hanya diam tidak memberi sebarang respon kerana itu bukanlah perkara yang ingin didengarnya.
"Satu lagi, sebelum Minjee meletak jawatan di syarikat ni... Dia pernah jalinkan hubungan dengan pengasas produk kesihatan. Saya rasa Puan Jung mesti kenal lelaki tu sebab syarikat Beauté pernah berkolaborasi dengan syarikat dia, Ademán Healthcare." Sekeping gambar diberikan pula. Tidak banyak soal, Jessica terus melihat lelaki yang dikatakan setiausahanya.
"Kang Daniel? Seriuslah Minjee pernah jalinkan hubungan dengan lelaki ni?" Soal Jessica tidak percaya sekaligus tertanya-tanya.
"Ada apa-apa lagi maklumat yang awak dapat tentang hubungan mereka? Macam mana diorang boleh berjumpa?" Jessica bertanya lagi. Nampaknya peluang untuk mengetahui keberadaan Minjee sekarang masih ada.
Setiausahanya menggeleng perlahan. Sudah puas dia mencari tentang perkenalan pasangan itu tetapi tidak berjaya menemukan apa pun. Untuk mengetahui tentang itu, Jessica perlu bertemu dengan Daniel dan bertanya secara langsung.
"Ouh, kalau macam tu... Saya nak awak buat appointment dengan setiausaha dia. Kalau boleh, saya nak berjumpa dengan Kang Daniel secepat mungkin." Jessica memberi arahan. Setiausahanya mengangguk faham lantas meminta diri untuk melakukan kerja yang diberikan kepadanya.
Gambar Daniel dipandang lama sebelum dahinya berkerut kerana memikirkan sesuatu. "How can a low-class girl like Minjee, can have a relationship with Daniel?" Jessica berteka teki sendirian.
Mana tidaknya, Daniel pernah diaturkan janji temu dengan Lia di sebuah restoran tetapi bagaimana pula Minjee boleh berkenalan dengan Daniel sekaligus menjalinkan hubungan cinta. Riak wajah Jessica bertukar mendatar setelah dapat menebak sesuatu yang tidak mustahil akan dilakukan oleh adik perempuannya.
"Minjee yang gantikan tempat Lia?" Jessica membuat andaian sebelum tersenyum sinis. Sekarang punca Ademán Healthcare membatalkan kontrak eksklusif dengan syarikat mereka, sudah jelas.
✾✾✾✾✾
Changbin yang selalu berceloteh tiba-tiba membisu yang mengundang rasa hairan Lia. Ada ulser mulut kah hingga membuatkan jejaka itu tidak bersuara.
"Kenapa awak ni? Tersenyum-senyum macam orang gila. Dahlah senyap je bawa kereta. Selalu banyak sangat cerita awak," bebel Lia apabila tidak lagi dapat menahan keadaan itu antara mereka. Suara DJ radio tidak cukup untuk menghilangkan kesepian di dalam kereta.
"Nantilah... Memang saya ada benda nak cakap dengan awak pun," jawab Changbin dengan senyuman masih lekang pada wajahnya.
Lia menyandarkan kepalanya di tingkap kereta sambil memandang ke hadapan. "Hmm, ya lah..." Itu saja yang mampu dia ungkapkan memandangkan Changbin berkata demikian.
Setelah meluangkan masa di pekan, kereta Changbin memasuki perkarangan sebuah tempat. Jika mengikut perancangannya, Changbin ingin meluahkan perasaannya di kafe tetapi selepas memikirkan mereka berdua akan menjadi tumpuan orang, dia menukar destinasi.
Lia meregangkan badannya sebaik saja keluar dari perut kereta sebelum berlari ke arah pantai. Rambut yang sedikit kusut kerana angin, diselit belakang telinga. Sudah lama dia tidak melihat pemandangan laut biru itu.
Changbin berasa lega kerana Lia kelihatan gembira apabila mereka berkunjung ke pantai. Kaki mengorak langkah menuju ke arah Lia yang sedang bermain pasir pantai dengan beberapa orang kanak-kanak di situ.
"Awak, saya terlupa lah nak ambil barang di bonet kereta... Boleh tolong tak?" Ujar Changbin. Mendengarkan itu, Lia menarik muncung.
"Alah... Pergilah ambil sendiri." Lia memberontak kecil sambil mengorek pasir pantai. Sekumpulan kanak-kanak yang turut berasa di situ, sedikit buntu dengan pergaduhan antara pasangan itu.
"Nanti saya belanja awak Darkeu Boba... Awak kan suka air tu?" Changbin cuba mengumpan dan usahanya berjaya apabila Lia terus bangun dari tempatnya.
"Janji ya?" Changbin mengangguk. "Dekat bonet kan? Kejap." Lia berlari dalam keadaan berkaki ayam menuju ke kereta.
Tiba di kereta, Lia membuka bonet seperti yang dikatakan Changbin tadi. Senyuman pada wajahnya perlahan-lahan menghilang apabila melihat bouquet bunga dan coklat yang diletakkan di situ.
"Awak suka tak?" Lia menoleh apabila suara Changbin menyapa dari belakang. Matanya dikelip-kelip beberapa kali kerana masih belum faham dengan keadaan sebenar. Bukankah bouquet sebegitu hanya untuk diberikan kepada kekasih?
"Erm, apa maksud awak sebenarnya ni, Changbin? Saya tak faham." Lia minta penjelasan dari jejaka itu.
Tidak menjawab soalan gadis itu, Changbin menarik tangan Lia lalu matanya menatap lama wajah kecil gadis itu sebelum menarik nafas dalam.
"Saya sukakan awak... Sudi tak kalau awak jadi girlfriend saya?" Luah Changbin dengan nada serius.
Jantung Lia berhenti berdegup untuk beberapa saat setelah mendengarkan luahan hati Changbin yang langsung tidak dapat dibacanya. Tidak lama kemudian, Lia teringatkan Seungmin mengucapkan tahniah kepadanya pagi tadi. Adakah ini sebabnya? Tangan yang dipegang Changbin, ditarik perlahan.
"Saya bukan nak buat awak terasa tapi saya tak sukakan awak, Changbin. Saya anggap awak ni sebagai kawan baik saja, tak lebih dari tu. Saya yakin ada perempuan lagi baik yang sesuai untuk awak," ujar Lia sambil menepuk perlahan bahu Changbin yang sudah mencebik kecewa.
Changbin cuba riak bersahaja walaupun airmatanya sudah mengalir di pipi. Bibir dipaksa untuk mengukirkan senyuman walaupun hakikatnya terlalu perit. Dirinya ditolak untuk kali pertama dia meluahkan perasaan pada seorang gadis yang disukainya.
"Tak apalah... Saya terima. Kawan baik pun kawan baiklah." Pasrah saja nadanya. Lia mula berasa kasihan pada Changbin. Adakah kata-katanya terlalu kasar? Kalau nak dibandingkan menipu perasaan sendiri kerana simpati terhadap Changbin, itu lebih menyakitkan. Bukan saja Changbin, dirinya juga akan merasakan perkara yang sama.
Bouquet bunga dan coklat tadi diambil dengan senyuman manis. "Yang ni awak belikan untuk saya kan? Jadi saya ambil sebagai tanda persahabatan kita. Okey?" Lia cuba memujuk hati Changbin yang sudah retak seribu itu.
"Okey... Terima kasih, Lia sebab sudi jadi kawan baik saya," ujar Changbin dengan senyuman redha. Mendengar jawapan jejaka itu, lengan kekarnya ditarik menuju ke pantai.
"Sekarang, kita makan coklat dekat tepi pantai. Budak-budak tu pun ada, bolehlah kongsi-kongsi kan?" Kata Lia selamba.
"Aku tengah broken, boleh pula dia pergi kongsi coklat tu dengan anak orang.. Apalah nasib aku..."
Lia pulang rumah dengan perasaan gembira. Changbin yang berada di dalam kereta, dilambai dengan penuh bersemangat. Selepas kereta jejaka itu meninggalkan perkarangan rumah, Lia masuk ke dalam rumah.
"Amboi, siapa bagi bunga besar gedabak tu?" Tanya Ok Soon yang kebetulan sedang melipat baju di bangsal belakang rumahnya.
Mendengar teguran Ok Soon, Lia menukar haluannya ke situ. Bouquet bunga yang diberikan Changbin turut dibawa bersama untuk berkongsi coklat yang disimpan untuk mereka tiga beranak.
"Changbin bagi.. Nenek ambil lah coklat ni. Sedap, Lia simpan untuk Nenek." Coklat berjenama Toblerone dihulurkan kepada Ok Soon.
"Kenapa pula dia bagi kamu bunga ni? Kamu berdua bercinta ke apa?" Soal wanita tua itu kehairanan. Sampul coklat dibuka sebelum dimasukkan ke dalam mulut.
Lia tergelak apabila Ok Soon berkata begitu. "Sebenarnya, Changbin beritahu Lia yang dia sukakan Lia... Sebab itu dia bagi bunga ni dekat Lia," cerita gadis itu.
"Tapi Lia tak setuju pun sebab dah tak suka, buat apa nak terima kan? Jadi, Lia ambil bunga ni sebagai tanda persahabatan... Tak adalah dia terasa sangat," sambung Lia lagi.
"Kesian pula dekat budak Boba tu. Tak apalah, nanti ada lah jodoh yang sesuai dengan dia... Baik pun baik budaknya," ujar Ok Soon dan Lia mengangguk setuju.
"Mana Areum? Selalunya ada je suara dia," soal Lia sebaik menyedari ketiadaan kanak-kanak itu.
"Dia main dengan kawan-kawan lah tu sebab kamu tak ada di rumah. Selalunya kamu yang bermain dengan dia," jawab Ok Soon. Lia mencebik mendengarkan itu apabila teringatkan Areum meninggalkannya sendirian di rumah petang semalam. Tidak mungkin kanak-kanak itu sudah bosan bermain dengannya.
"Makcik Cantik!" Baru saja menyebut nama, terus muncul bayangnya. Baru saja Lia ingin memberinya coklat, Ok Soon terlebih dulu bersuara.
"Pergi mandi! Kamu main apa sampai berpeluh macam ni?? Budak bertuah betul!" Marah Ok Soon apabila melihat Areum yang bermandi peluh dengan baju yang penuh dengan kesan bola.
Lia tergelak besar melihat gelagat Areum yang berlari lintang-pukang kerana dihambat moyangnya masuk ke dalam rumah.
✾✾✾✾✾
Telinga Seungmin menangkap suara orang menangis yang kedengaran di rumah hijau. Dia yang ketika itu sedang membungkus stok bunga kamomil, perlahan-lahan melangkah keluar bagi mencari punca bunyi itu.
Wajahnya yang kerisauan serta merta bertukar hairan apabila melihat Changbin sedang menangis di atas meja yang selalu digunakannya untuk menulis hasil penjualan. Jejaka itu menapak ke arah Changbin untuk bertanyakan hal yang membuatkan dia sedih begitu sekali.
Bahu lebar milik Changbin disentuh sebelum jejaka berbadan sasa itu mengangkat wajahnya. Hampir saja Seungmin menghamburkan tawanya di situ juga kerana tidak tahan melihat wajah Changbin yang comot dengan air mata.
"Weh, kenapa kau ni?" Soal Seungmin sambil mengawal nada suaranya. Meskipun Changbin selalu membuatnya marah, hati lelaki itu masih perlu dijaga.
Mendengar soalan Seungmin, Changbin kembali menangis namun kali ini ditambah dengan raungan kuat yang mana membuatkan Seungmin terkejut dengan kelakuannya.
"Kalau nak menangis pun, kenapa perlu kau datang sini? Aku banyak lagi tahu tak kerja yang nak dibuat, tak pasal-pasal aku kena hadap muka buruk kau tu," bebel Seungmin namun tangannya tetap menepuk bahu Changbin bagi menenangkan perasaannya.
"K- kau buat je lah kerja tu... Biarkan aku menangis dekat sini," ujar Changbin dalam keadaan teresak-esak.
Gigi diketap menahan geram. Sesuka hati dia saja hendak memekak di rumah hijaunya. Masih banyak lagi tempat yang boleh untuk Changbin meraung sekuat mana pun. Ingin saja dia mengheret badan jejaka itu keluar tetapi disebabkan belas ihsan yang masih ada dalam dirinya, dibiarkan saja.
"Beritahu lah kenapa menangis ni? Aku tak faham betul lah... Tak pernah aku jumpa lelaki sebaya kita menangis macam ni... Hodoh betul muka tu, ya ampun." Seungmin menutup wajahnya dengan tapak tangan sambil menahan ketawa. Bersabar sajalah.
"Lia rejected aku, wei!! Dia cakap dia anggap aku sebagai kawan baik dia je.. huaaaaa!! Lepastu dia pergi kongsi coklat yang aku bagi dengan budak-budak yang main dekat pantai! Simpan makan dekat rumah sudahlah! Huaaa!! Aku tak pernah lagi jumpa perempuan macam Lia, wei!!" Adu Changbin yang berselang dengan tangisan.
Setelah mendapat tahu tentang perkara sebenar, entah kenapa Seungmin berasa gembira lalu tersenyum tanpa sedar. Changbin yang menyedari hal itu lantas memarahinya. "Kenapa kau senyum??"
"Mana ada aku senyum, aku tengah sedih lah ni... Bertabahlah, Changbin. Bunga bukan sekuntum... Tengok bunga kamomil aku, banyak kan? Pilihlah satu buat peneman," seloroh Seungmin seraya jarinya menunjuk ke arah ladang bunganya kamomil yang memutih.
"Tak sekarang ni, kenapa menganjing aku? Sepatutnya kau pujuk!" Bentak Changbin di situ juga.
"Okey-okey, aku pujuk..," ujar Seungmin sebelum memeluk badan Changbin. Entah kenapa dia berasa gembira mendengarkan berita sedih itu dari kawannya. Adakah dia sudah kehilangan akal sihatnya?
✾𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘✾
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro