Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

❦1

Beberapa orang pekerja sibuk melakukan tugas masing-masing di dalam sebuah syarikat produk kecantikan yang terkenal. Ruang pejabat dipenuhi dengan deringan panggilan telefon termasuklah suara manusia yang bercakap sesama sendiri. Bunyi mesin cetakan dan fotostat juga tidak lekang dari telinga.

Dalam kesibukan menyelesaikan kerja, derapan kasut tumit tinggi kedengaran dari pintu masuk ruang pejabat. Suasana bilik serta merta bertukar hening dan pandangan mereka dihala kepada satu arah. Seorang demi seorang menundukkan kepala memberi tanda hormat sebaik saja ketua pengurus mereka menampakkan diri. Libasan rambut yang diikat satu, berhayunan seiring dengan langkah kakinya manakala senyuman manis dilemparkan kepada setiap pekerja yang menyapa.

"Good morning everyone... Have a nice day! No stress no stress, okay? ", ucapnya dengan nada ceria meskipun dia tiba lewat ke tempat kerja. Mendengar jawapan mereka yang begitu bersemangat, gadis itu tersenyum bangga sebelum melangkah masuk ke dalam pejabatnya yang terletak di hujung ruang tingkat yang sama.

Beg tangan bersaiz kecil diletakkan di atas meja sejurus mengambil tempat di kerusi. Kaki disilangkan sebelum jari runcingnya meleret skrin telefon pintar menekan aplikasi Instagram yang popular di golongan orang muda. Ketukan pintu kedengaran sebelum seorang perempuan berpakaian agak kemas, masuk ke dalam pejabat bersama beberapa fail pada tangannya.

"Selamat pagi, Ketua Choi. Ini laporan kerja yang diminta Ketua Choi semalam." Fail tadi dihulurkan kepada ketua pengurusnya.

"Terima kasih, Cik Dalhee..," ucap Lia disertakan senyuman. Helaian kertas diselak bagi membaca isi kandungan yang tertera di dalamnya. "Ada apa-apa lagi? Jadual saya hari ni macam mana?" Tanya Lia minta kepastian.

"Erm... Sebenarnya, Ketua Choi... ada meeting dengan CEO Jung bersama pengarah syarikat yang lain tapi, meeting tu dah bermula lima belas minit yang lepas," beritahu setiausaha dengan nada bersalah.

Dengar saja nama Jessica, mata Lia membulat lantas bangun secara mengejut dari kerusinya. Jika perjumpaan yang diadakan hanya dengan pengarah, dia masih boleh memberi alasan, tidak seperti Jessica yang sangat pantang dengan orang tidak berdisiplin seperti dirinya dan tiada sebarang alasan akan diterima.

"Kenapa awak tak call saya??" Lia sudah cemas di tempatnya. Helaian laporan segera disusun di atas meja sebelum ke bilik perjumpaan.

"Saya dah call Ketua Choi pukul tujuh pagi tadi tapi Ketua Choi rejected call saya," beritahunya. Lia menggaru kepalanya bila teringatkan yang dia sengaja tidak menjawab panggilan Dalhee kerana masih terbaring di atas katil. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia berdepan dengan ketua pegawai eksekutif syarikat yang sangat digeruninya iaitu Jessica Jung.




Semua pengarah dan ketua pengurus yang terlibat dalam perjumpaan sudah berkumpul di bilik mesyuarat. Mereka hanya perlu menunggu kehadiran Jessica untuk memulakan perbincangan. Ketika itu, dua kerusi kelihatan tidak berpenghuni dan mereka yang berada di situ sudah maklum kerusi-kerusi itu kepunyaan siapa.

Lia berlari tidak cukup tanah menuju ke bilik perjumpaan yang berada di tingkat kedua paling tinggi dalam syarikat itu. Sebaik saja tangan mencapai pemegang pintu, nafasnya terhenti sebelum perlahan-lahan kepala menoleh ke kanan apabila melihat Jessica berdiri di sebelahnya.

"Eh CEO Jung... Hehe." Lia sudah mati akal hendak berkata apa lagi. Dia berada sedikit lega bila renungan yang diberikan wanita itu tidak setajam yang dibayangkannya tadi.

"Cepat masuk, semua dah tunggu dekat dalam tu," arah Jessica, kemudian dibalas dengan anggukan dari Lia.

Sebaik saja menjejakkan kaki ke dalam bilik itu, Lia segera berlari kecil menuju ke arah kerusinya. Pandangan yang diberikan kepadanya tidak diendahkan. Kot yang tersarung pada badan, dibetulkan bagi menghilangkan rasa malu.

Seorang lelaki yang memegang jawatan sebagai ketua pemasaran melangkah ke hadapan bagi membentangkan perkara yang akan dibincangkan ketika itu. Lampu bilik itu ditutup sebaik saja projektor yang siap disambung pada komputer riba sudah dipasang. Dengan sekali tekan, terpapar graf penjualan di skrin layar besar.

"Selamat tengahari saya ucapkan untuk ketua pegawai eksekutif syarikat sekaligus pengasas produk kecantikan Beauté, CEO Jung... Pegawai kewangan, Tuan Lee... Pegawai pemasaran, Cik Oh dan semua pengarah-pengarah yang hadir untuk pembentangan hari ini. Seperti yang dilihat, penjualan bagi Beauté, produk kecantikan yang dikeluarkan dari syarikat semakin merosot dari sebelum ini. Penjualan produk kurang mendapat sambutan hangat di pasaran dan ramai pelanggan telah menarik diri dari langganan sebagai ahli tetap sejak kebelakangan ini..," ujar Encik Jeon sebelum menyambung semula hujahnya.

"Saya, selaku ketua pemasaran sedikit gusar dengan perkara yang berlaku. Oleh kerana itu saya adakan perjumpaan pada tengahari ini untuk meminta pendapat tentang apa yang akan dilakukan bagi menaikkan semula graf penjualan produk Beauté. Ada apa-apa cadangan yang ingin diusulkan?" Soalnya seraya memandang ke arah tetamu yang hadir.

"Saya ada cadangan." Jessica mengangkat tangan. Kelakuan spontannya membuatkan mereka semua sedikit kaget memandangkan sebelum ini wanita itu hanya mendiamkan diri dan hanya mendengar cadangan dari orang lain. Lia yang duduk berhadapan dengan Jessica hanya mendiamkan diri, menunggu apa yang ingin dikatakan Jessica.

"Apa kata kali ni, kita gunakan bahan semulajadi untuk kandungan produk Beauté... Saya tak kata sebelum ni kita gunakan bahan kimia ataupun bahan terlarang tetapi, dengan bahan semulajadi, ia boleh membuatkan produk kita lebih mesra pengguna. Macam mana, ada bantahan?" Tanya Jessica ingin persetujuan. Melihatkan respon orang lain, dia tersenyum apabila semua menerima cadangannya.

Encik Jeon mengangguk perlahan mendengarkan itu. "Saya setuju dengan cadangan CEO Jung tapi, boleh CEO Jung klarifikasi kan bahan semulajadi yang ingin digunakan?"

Jessica diam sejenak sebelum bersuara semula. "Bunga kamomil... Pada masa sekarang pelbagai produk kosmetik banyak menggunakan bahan semulajadi seperti madu, bunga ros, bunga candelula dalam produk mereka. Untuk bagi kelainan, saya cadangkan bunga kamomil yang mana selalunya digunakan untuk rawatan dalaman."

Lia ternganga bila Jessica memberi cadangan bunga kamomil. Sedikit sebanyak dia berasa cemburu dengan kebijakan Jessica dalam menguruskan hal begitu berbanding dirinya yang hanya menunggu cadangan orang lain.

"Baiklah kalau begitu yang CEO Jung cadangkan. Saya rasa kita tak perlu lagi minta persetujuan memandangkan tiada bantahan. Untuk mewujudkan produk ni, saya akan arahkan beberapa orang pekerja untuk mencari supplier bunga kamomil yang akan bekerjasama dalam projek kali ni." Encik Jeon mengakhiri pembentangannya lalu mengambil tempat semula di kerusi.

Bilik perjumpaan kembali terang sebaik saja pembentangan ditamatkan. Kini semua yang berada di situ duduk menghadap Jessica bagi membubarkan mesyuarat.

"Selepas pasukan Encik Jeon menemui supplier, saya sebagai pemberi cadangan akan memilih salah seorang pekerja sebagai wakil syarikat untuk berunding. Encik Jeon, sebaik saja ada maklumat terus maklumkan pada saya. Mesyuarat pada pagi ini ditamatkan, terima kasih untuk semua yang hadir." Jessica bangun dari kerusinya diiringi yang lain.

Lia yang baru saja ingin melangkah, tersentak apabila bahunya disentuh dari belakang. "Ketua Julia Choi, nak pergi ke mana? Sila ke pejabat saya sekarang... Rasanya ada perkara yang perlu kita bincangkan," ujar Jessica sebelum melangkah keluar dari situ. Lia menelan liurnya yang tiba-tiba terasa pahit. Sangkanya dia sudah terlepas namun sebaliknya yang berlaku.

Jessica mengeluh perlahan apabila melihat rambut Lia di sebalik ruangan pintu yang terbuka. "Buat apa tercegat dekat situ, masuklah," arahnya.

Lia tersengih sepanjang langkahnya. Dia berdoa di dalam hatinya supaya Jessica tidak memberi hukuman atas kelewatannya hari itu dan memberi peluang kedua untuk menebus kesalahannya. Kerusi ditarik untuk dijadikan tempatnya melabuhkan punggung.

"Kenapa Kakak nak jumpa Lia?" Soalnya. Memandangkan mereka berdua adik beradik seibu, Lia lebih selesa menggunakan panggilan 'kakak' apabila hanya berduaan dengan Jessica di pejabat.

"Kenapa kau tanya? Pukul berapa datang ke company tadi?" Tanya Jessica sementara dua tangannya disilangkan menandakan dia tidak main-main dengan soalan yang diberikan.

"Sepuluh." Pendek saja jawapannya. Jessica mengangkat keningnya sebaik saja Lia bersuara. Adakah adik perempuannya itu tidak tahu yang dia tiba di syarikat pada waktu yang disebutkan Lia sebentar tadi.

"Are you sure, Julia? Kalau Kakak dapat tahu kau menipu.. faham-fahamlah," ugut Jessica.

"Alah... Pukul sebelas... Setengah. Lia bukan sengaja pun datang lambat... Jam tak berbunyi sebab tu Lia terlajak tidur. Minta maaf lah, hari ni last Lia buat salah... Please..," rayu gadis itu bersungguh.

Jessica tidak memaparkan sebarang reaksi. Itulah alasannya setiap kali melakukan kesalahan. Jam tidak berbunyi, telefon kehabisan bateri dan segala perkara yang berkaitan jam telefonnyanya akan dikaitkan. Peluang demi peluang diberikan namun Lia tetap tidak berubah. Jessica bangun dari tempat duduknya lalu menghampiri adik perempuannya. Tangan kanan dihulur seakan-akan minta sesuatu yang mana membuatkan Lia terpinga-pinga.

"Beri Kakak kunci kereta, kad kredit, kad debit dan semua cash yang ada pada kau sekarang," pinta Jessica dengan nada serius.

"Kakak!" Lia menjerit kecil tanda tidak percaya. Permintaan kakaknya sangat tidak masuk akal. Jika Jessica meminta semua itu daripadanya, bagaimana dia hendak pulang nanti? Tidak mungkin dia akan berjalan kaki ataupun terpaksa bermalam di pejabat tanpa tilam empuk kesayangannya.

"No excuses... Ini saja cara untuk kau sedar. Cepat serahkan semua sebelum Kakak rampas beg tangan kau." Nampaknya tiada cara lagi untuk Lia memujuk Jessica. Wanita itu sudah berkeras dengan pendiriannya. Dengan rasa berat hati, Lia menyerahkan semua barang yang diminta Jessica sebentar tadi.

Semua barang yang dimintanya tadi kini sudah berada pada tangan. Beberapa not wang kertas dihulurkan pada Lia. "Sepuluh ribu Won? Mana cukup nak bayar teksi..." Lia mengeluh dengan harapan Jessica akan menambah lagi wang.

"Siapa suruh naik teksi? Naik bas... Duit tu bukan cukup nak balik rumah saja, pergi kerja esok pun boleh. Kalau tak nak, terpulanglah kau nak tidur mana malam ni," ujar Jessica selamba. Tidak menunggu lebih lama, dia meninggalkan pejabatnya tanpa sempat Lia bersuara. Duit yang berada dalam genggamannya dipandang kosong.

✾✾✾✾✾

Ucapan terima kasih diucapkan kepada penjual kedai sebelum melangkah keluar dari kedai bunga. Seungmin tersenyum kecil melihat sejambak bunga melati yang dibelinya tadi. Tumbuhan berwarna putih itu akan dijadikan sebagai pewangi rumahnya apabila dibawa pulang nanti.

Kaki terus mengorak langkah menuju ke perhentian bas. Tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia melihat seorang gadis sedang menangis bersendirian di situ tanpa mempedulikan orang yang memerhatikannya. Timbul rasa simpati di dalam hatinya namun tidak pula dia menghampiri gadis itu untuk bertanya keadaannya.

Lia melepaskan segala rasa tidak puas hatinya dengan menangis sepuas-puasnya. Biarlah dia menjadi tumpuan di tempat awam asalkan hatinya tidak tersimpan sebarang dendam yang mungkin akan memudaratkan kesihatannya di usia muda. Hingus yang mengalir perlahan dihembus sekuatnya hingga membuatkan orang sekeliling memandang serong ke arahnya.

Sebaik saja bas tiba, Lia segera bangun lantas melangkah masuk tanpa beratur terlebih dulu. Apa yang difikirkan ketika itu hanyalah tilam empuk untuk merehatkan badan dan juga patung koala kesayangan sebagai peneman setia waktu tidurnya. Kerusi berkembar yang terletak di bahagian kedua terakhir dipilih sebelum kerusi di tepi tingkap dijadikan tempat duduknya.

Riak tidak selesa terpapar pada wajahnya apabila seseorang mengisi tempat kosong di sebelahnya. "Boleh awak duduk dekat lain tak?" Soalnya.

Seungmin yang terkejut dengan teguran gadis itu, tidak jadi melabuhkan punggung. Dia membuat keputusan untuk bertolak ansur memandangkan gadis itu merupakan gadis yang sama menangis di perhentian bas sebentar tadi. Melihatkan tiada lagi tempat kosong, Seungmin terpaksa duduk semula.

Merasakan lelaki tadi tidak mengendahkan kata-katanya, Lia berpaling dengan perasaan geram. "Awak tak faham-..." Lidah Lia tiba-tiba menjadi kelu melihat wajah tampan milik lelaki yang duduk di sebelahnya.

"Saya memang nak bangun tapi tak ada tempat kosong... Kalau awak tak selesa, saya boleh tukar tempat dengan orang lain," ujar Seungmin dengan penuh hemah.

"Awwww... Gentleman mana ni?? Oh my god, oh my god!"

Lia menggeleng laju bersertakan senyuman di wajah. "Eh tak apa! Duduklah." Tersentak Seungmin dibuatnya dengan suara Lia yang agak bersemangat.

Sepanjang perjalanan, Seungmin tidak menyedari yang Lia asyik menatap wajahnya. Lelaki tampan bukanlah perkara asing baginya namun aura lelaki di sebelahnya terasa begitu asing dan unik hingga dia tidak dapat mengalihkan pandangannya ke mana-mana. Deringan telefon Seungmin membuatkan Lia cepat-cepat memandang ke luar tingkap sebelum jejaka itu menyedari kelakuannya. Sempat Lia mengintai nama yang tertera pada skrin telefon dan tiada apa yang dapat dilihatnya selain bentuk hati yang terletak di hujung tulisan.

"Ya, sayang... Dah dalam bas ni. Lebih kurang dua puluh minit lagi sampai..," kata Seungmin sebaik saja telefon dilekapkan pada telinga.

Mata Lia terbuka seluas-luasnya manakala mulutnya mencebik apabila mendengar perkataan yang sangat sensitif bagi golongan bujang sepertinya. Harapan yang tercipta sebentar tadi perlahan-lahan menghilang sebelum sempat dia menggunakannya.

"Bunga? Ya, takkanlah lupa... Okay, jangan nakal-nakal tau, sayang? Bye..." Panggilan jangka pendek itu ditamatkan. Seungmin merapikan bunga pada tangannya lalu menoleh ke arah Lia. Kelihatan gadis itu mengeras di tempatnya tanpa bersuara hinggalah Seungmin menghulurkan sepaket tisu padanya.

"Ambil lah... Sebenarnya saya nampak awak menangis dekat bus stop tadi," ujar Seungmin. Tanpa menunggu lama, Lia segera mengambil tisu tadi seraya menunduk. Sehelai tisu dikeluarkan lalu dia mengelap bahagian hidungnya. Risau jika ada tersisa hingus yang tidak dilap dengan sempurna.

Seungmin menggaru hujung keningnya melihat kelakuan Lia. Hatinya terasa serba salah untuk menegur tetapi lebih baik dia memberitahu Lia sebelum gadis itu pulang dengan wajah sebegitu dan menjadi tatapan ramai. "Ermmm, awak... Bawah mata awak comot dengan maskara. Saya rasa sebab awak menangis tadi agaknya."

Mulut Lia tiba-tiba terasa payah untuk berkata-kata manakala kepala pula sudah terkunci pada satu tempat hingga tidak mampu memusingkannya ke arah lain akibat rasa malu yang bukan kepalang.

"Awak janganlah segan sebab menangis tu perkara biasa. Saya tak tahu apa masalah awak sampai awak rasa sedih macam tu sekali tapi saya harap awak dapat hadapi semuanya dengan baik." Seungmin memberi kata-kata semangat pada Lia untuk menghilangkan rasa malu gadis itu. Senyuman kecil juga turut diberikan.

Sesungguhnya pada ketika itu, Lia terasa ingin menjerit sekuat hatinya! Kalau jejaka di sebelahnya mengetahui punca dia menangis disebabkan kunci kereta dirampas kakaknya sendiri, adakah dia akan berkata sama seperti itu? Rasanya tidak.

✾✾✾✾✾

Kepulangan Lia disambut pembantu rumah sebaik dia melangkah masuk. Jessica yang pulang lebih awal memandang hairan ke arah adiknya yang berjalan terhuyung-hayang seakan-akan orang mabuk. Untuk memastikannya, Jessica menghampiri Lia sebelum gadis itu masuk ke dalam bilik.

"Kau mabuk ke? Tapi tak ada bau alkohol..." Jessica mengerut dahinya sambil memandang Lia yang masih tersengih sendiri.

"Bukan mabuk, Kak... Lia... Huarghhh!!" Belum sempat mengakhiri katanya, dia sudah berlari menuju ke bilik tidur yang terletak di tingkat atas meninggalkan Jessica yang masih tertanya-tanya dengan kelakuan anehnya.

"Tak kan lah suruh naik bas pun boleh jadi gila?" Jessica meraut dagunya.

Pintu bilik dikunci manakala beg tangannya terus dicampak ke atas kerusi. Oleh kerana tidak dapat menahan perasaan terujanya, Lia menjerit keriangan sambil melompat-lompat di atas katil. Pertemuan singkat bersama jejaka misteri di dalam bas tadi berjaya membuatkan hatinya tidak keruan. Lia merebahkan badannya seraya memandang siling tinggi bilik. Patung koala kesayangan segera dipeluk erat. Suara, wajah dan juga senyuman jejaka itu sudah tersemat di ingatannya. Sedang melayan perasaan, Lia mencebik.

"Tapi... siapa 'sayang' tu? Tak mungkin isteri... girlfriend? Ah, mungkin adik dia. Kejap, Nama dia! Kenapa aku tak tanya nama dia!! Haaaaa!!!" Lia mengusutkan rambutnya lantas bangun dari pembaringannya.

"It's okay... Tak tahu nama, aku akan beri nickname. Hmm... Nama apa yang sesuai untuk dia." Lia memejamkan mata, cuba untuk mengingat semula wajah lelaki tadi sambil mencari inspirasi.

"I got it... Mong-mong... arghhh! Comelnya! Mr. Mong-mong, Hahahaha!" Lia tertawa sendiri sebaik saja mendapat gelaran yang sesuai. Di dunia kecil ini, dia sangat berharap dapat berjumpa jejaka itu untuk kali kedua dan bertekad tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

✾ 𝔹𝕖𝕣𝕤𝕒𝕞𝕓𝕦𝕟𝕘 ✾

▶︎yugf_kim
▶︎ahgase_forever_
▶︎Icvelyyxx
▶︎uzmairaa

It's been a while 🌚🌚

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro