Bab 8 - Gudang Senjata
Dua hari kemudian…
Mawar menyelak lukisan-lukisan Safira, kali ini di atas kertas-kertas berkualiti tinggi yang telah diberikannya dua hari yang lepas. Pandangan Mawar yang tegas dan mencerlung itu membuatkan Safira rasa gementar. Suasana di dalam rumah besar Tok Penghulu ketika itu juga seperti diam, ikut menanti dalam debar seperti Safira.
“Kerja yang bagus. Sekurang-kurangnya, kerjamu ini sudah boleh ditunjukkan kepada para bangsawan.” Akhirnya, Mawar meletakkan lukisan Safira di atas meja. Dia mencapai kipasnya.
“Terima kasih!” Safira menghembuskan nafas lega. Dia berusaha memendam kegembiraan di dalam hati. Sangkanya, sebelum menaiki tangga rumah Tok Penghulu, Safira sudah awal-awal menjangkakan kemungkinan ada antara tujuh dari lukisan-lukisan yang dibuatnya akan ditolak oleh Kak Mawar. Tetapi, wanita muda itu hanya meneliti hasil kerjanya tanpa berkata apa-apa.
“Kak Mawar! Oh, kak!” Ada laungan dari tanah kedengaran. Safira dan Mawar terus menoleh ke arah tingkap. Suara remaja lelaki yang garau-garau baru nak pecah itu sangat dikenali Safira. Damiras. Belum sempat Safira bertanya pada Mawar, wanita muda itu sudah bangkit dari duduknya lalu menjenguk ke tingkap.
“Ha, ya! Engkau dah siap buat apa yang aku suruh, Damiras?” tanya Mawar sambil menyandar pada birai tingkap. Safira segera ikut menjenguk di tingkap itu.
“Ya, sudah!”
Di halaman, memang benar ada Damiras di situ. Dia sedang memgacak-acakkan rambutnya yang bersawang. Baju hitam yang dipakai lencun dengan peluh. Dia menarik lengan pendek bajunya supaya melipat di bahu, barulah dia mendongak.
“Oh, Safira! Engkau ada di sini juga rupanya!” tegur Damiras apabila ternampak Safira di sebelah Mawar. Lain semacam keterujaannya.
“Apa yang akak suruh dia buat?” Safira menoleh pada Mawar sambil menjongket kening.
“Kemas gudang senjata.” Mawar membalas selamba. “Engkau yang mahu melihat baju zirah, bukan? Pergilah. Ikut Damiras.”
“Turun cepat, Safira! Kau mesti nak tengok baju zirah tu. Nampak begitu gagah dan perkasa!” gesa Damiras, tidak sabar-sabar lagi.
“Kami boleh melihatnya, kak?” tanya Safira dengan mata yang membuntang.
“Iya...” Mawar mengangguk acuh tidak acuh. Safira terus memusing bebola kaki, lalu menyambar begnya di atas kerusi.
“Jangan berlari di dalam rumah…”
Serta-merta, langkah besar Safira menjadi langkah kecil-kecil. Ayu dia melenggang menuju ke pintu. Sebaik sahaja dia berada di luar, Safira menayang sengihan pada Mawar. Matanya terkedip-kedip gedik sebelum menghilang sebalik dinding.
“Mana dia, Damiras? Tunjukkan cepat!” Terpelanting suara nyaring Safira ke merata penjuru halaman Tok Penghulu. Damiras mengekek. Dia memulakan pecutan apabila Safira hampir mendekatinya.
Mawar hanya menggeleng melihat dua sekawan itu berkejaran menuju ke gudang senjata yang berada di bahagian selatan rumahnya, tepat di sebelah gelanggang latihan seni bela diri.
“Tak ada manisnya anak dara yang seorang itu, haih…”
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro