Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 5 - Penilaian Damiras

     Keesokan harinya.

    “Hmm…” Lama Damiras menggumam. Berkali-kali dia menyelak kertas-kertas lukisan Safira. Tukang lukisnya pula menanti dengan debaran. Damiras berkata, “Kalau aku cakap kau takkan menangis, kan?”

    “Mestilah tidak!” Safira mencebik. “Tapi, janganlah terlalu jahat…”

    “Lukisan kau dah cantik, aku tidak menyangkal. Tapi, dalam hal mereka cipta baju kebal ini, engkau kena fikirkan rekaannya tidak mengganggu pergerakan. Jangan sampai ia menjadi penghalang pemakainya pula.”

    “Maksudnya?”

    “Engkau ini… seperti tidak pernah ternampak orang berlatih seni bela diri. Pegang!” rungut Damiras sambil menyerahkan kertas-kertas itu semula pada Safira. 

    Dia melompat turun dari bangsal tanpa menyarungkan alas kakinya. Di halaman bangsal yang sekangkang kera itu, Damiras membuat regangan badan ringan. Matanya melilau memandang persekitarannya. Matahari tegak di atas kepala kerana terik waktu tengahari, jadi kawasan jalan keluar masuk kampung ketika itu memang agak lenggang. Setelah memastikan tidak ramai orang, dia menghadap Safira semula.

    “Lihat sini. Pertama, baju kebalmu jangan mengganggu bukaan kekuda.” Damiras menarik sedikit kain samping bersama seluar paha kanannya. Barulah dia memasakkan kekudanya. Dia membengkokkan lutut lalu merendahkan tubuh. Tumit kakinya berkisar untuk membuatkan bukaan kakinya luas dan tubuhnya stabil. “Engkau pun tahu bahawa kekuda ini asas dalam seni bela…”

    “Oh! Betul juga! Kenapalah aku tidak cakna hal ini!” Safira segera mencapai batang arang yang dijadikan pensel. Dia tunduk mencatat seseuatu. “Jadi, baju kebal ini tidak boleh melebihi lutut? Supaya tidak hadkan bukaan kaki?”

    “Aku cadangkan kau pendekkan sahaja rekaan baju kebalmu itu sehingga pinggang sahaja. Aku tengok ada beberapa lukisan yang panjang sehingga menyentuh lutut. Ketat pula.”

    “Yang mana satu, ya?” Safira kalut menghamparkan lukisannya di sekelilingnya. “Oh, yang ini! Tapi, memang tidak boleh kekalkankah? Untuk melindungi perut, celah kangkang dan paha?”

    “Itu terpulang engkaulah. Tapi, kau ambil perhatian untuk pergerakan-pergerakan seperti ini.” Damiras menendang ke hadapan, ke sisi kiri dan kanan. Tangkas juga juga dia membuat sepakan yang melompat tinggi dan berpusing. 

     Bila dia mendarat di tanah semula, tepukan dan sorakan dari Safira menyedarkan dia. Tahu-tahu, dia telah membuat seluruh rutin latihannya di hadapan Safira. Dia tersipu-sipu.

    “Hmm, kalau begitu, memang tak boleh ada bahagian yang berjuntai melebihi pinggang…” Safira mengurut dagunya. Dia menarik satu persatu lukisan yang rekaan baju kebalnya mempunyai ciri-ciri itu. Damiras kembali berdiri ke posisi asal sambil membiarkan Safira sibuk dengan catatannya. 

     “Ada lagi?” tanya Safira sambil mengangkat wajah. Damiras diam berfikir sejenak. Kemudian, dia menggerakkan lengannya serata arah. Sekejap mengepak seperti burung, sekejap membuat tumbukan, sekejap seperti mencangkul tanah. Safira mengekek kelucuan.

     “Lengan pun tidak boleh menghalang pergerakan,” gumam Safira sambil menulis catatan. “Jadi, boleh berlengan atau tidak berlengan?”

     “Aku suka tidak berlengan. Mudah hendak menyarung.”

      “Tapi, kalau begitu… baju kebal itu tidak akan banyak melindungi…” Safira mengeluh. Jika juntaian melebihi pinggang tidak boleh, lengan juga tidak perlu, bahagian yang boleh ditutupi oleh baju kebalnya hanya bahagian abdomen badan.

     “Oh, ya! Terima kasih banyak!” Safira mengangkat ibu jari sebelum kembali tunduk mencoret entah apa. 

    “Sama-sama. Ingatkan engkau akan lupa.” Damiras ketawa kecil.

     “Sudah aku yang meminta, sudah semestinya aku berterima kasih.” Safira membalas tetapi tetap tekun dengan kerjanya. 

      Damiras melangkah mendekati semula pondok itu, menjenguk kerja Safira. Dia bertanya, “Semasa sayembara ini diuar-uarkan, apa lagi yang utusan itu katakan? Sebenarnya, mengapa sayembara ini dianjurkan istana?”

    “Semasa aku datang ke sana, aku hanya mendengar sebahagian sahaja. Katanya, sayembara ini dianjurkan oleh Tengku PuterI Zulaikha untuk menaiktaraf pakaian seragam satria.”

    Aneh sebenarnya, fikir Damiras. Mengapa perlu dianjurkan sayembara melibatkan orang awam sedangkan pihak istana lebih dari mampu untuk melantik orang-orang yang berpengalaman untuk mereka cipta baju kebal itu?

    “Kerana itu aku sangat gembira, Damiras… aku gembira membayangkan baju kebal ini akan dapat melindungi lebih ramai Satria. Dari tusukan senjata tajam, dari pukulan menghentam dan… dari peluru terakul dan istinggar.” Safira mengelus lukisan-lukisannya. Redup matanya memandang setiap satu helaian kertas-kertas itu. Ada mutiara jernih yang mulai bergenang di tubir matanya.

    Luahan hati Safira itu membuatkan Damiras mengatup mulutnya rapat-rapat. Melihatkan temannya itu sedang dibuai perasaan, dia membatalkan niat mengucapkan kemusykilannya. Takut jika persoalannya bakal mematahkan semangat Safira. Jadi, dia pendam sahaja jauh di sudut hatinya.

    “Damiras, tendanganmu tadi tampak begitu hebat! Gagah dan bentuknya juga cantik!” kata Safira, mengacukan kedua-dua ibu jari. Tergamam Damiras diterpa pujian yang tiba-tiba itu.

    “Engkau rasa begitu?”

    Safira mengangguk bersungguh-sungguh.

    “Tetapi, jika dibandingkan tendangan aku dengan Abang Waja, gerak sepak terajangnya jauh lebih hebat. Kau tahu, aku pernah terpelanting makan penyepaknya.”

    “Sakit?” 

    “Senak, tapi sekejap saja.” Damiras mengangkat bahu.

    “Wajarlah Abang Waja kuat. Dia Satria berpangkat Sulung. Sudah pernah bertugas dengan bangsawan pula. Bila engkau sudah dewasa, kau pasti boleh jadi meenjadi lebih hebat!”

     “Sudah pasti!” Damiras menggenggam penumbuknya. “Aku akan jadi Satria yang hebat sehingga Abang Waja juga mengakui kekuatanku!”

      Safira tersenyum. “Aku tak mampu bertarung seperti kau. Aku juga tidak mampu menjadi perawat. Tapi, jika ada sesuatu yang aku ingin lakukan untuk berjuang bersamamu, aku akan mencipta baju kebal yang akan memastikan kau dapat pulang dengan selamat. Baju kebal yang kalis tikam dan kalis peluru!”

     Mendengarkan kata-kata Safira, serta-merta Damiras diterpa rasa bersalah kerana ada secebis keraguan akan kemampuan Safira mereka cipta baju kebal itu. Ketika Safira menyokong cita-citanya, tidak adil jika dia meremehkan punya cita-cita temannya itu.

    “Kalau begitu, apabila aku sudah naik pangkat menjadi Satria Sulung, engkau harus pastikan aku akan memakai baju kebal itu.”

    “Tentu sahaja!”

     “Tapi, bagaimana engkau nak memastikan yang baju kebal itu kalis peluru?”

     “Aku… tak tahu?” Seketika itu juga, wajah Safira bertukar menjadi pucat. Damiras tepuk dahi.

(904 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro