Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2 - Peti di dalam Bangsal

     Langkah Safira ringan menelusuri jalan menuju ke rumahnya. Sekali-sekala, dia akan menyahut sapaan orang-orang kampung yang berselisih dengannya. Riang benar wajahnya. Sampai sahaja ke halaman rumahnya, dia tidak terus memanjat tangga, sebaliknya dia terus menonong ke kolong rumah, melintasi kakaknya yang sedang memasak di dapur

    “Apa lagilah yang hendak dibuat budak ini…” rungut Nilam sambil meninjau adiknya melalui tingkap. Dia nampak kelibat Safira memasuki bangsal di belakang rumah. 

    “Safira! Apa yang kau buat di sana tu?” jeritnya.

    Tersentak Safira kerana kuatnya suara kakaknya. Dia menjawab, “Ada yang saya nak tengok, kak!”

    “Cepat sikit! Tolong sapu halaman nanti!”

    “Baik!” Itu sahaja jawapan Safira sebelum menyelinap masuk ke dalam bangsal itu. Dia terus menuju ke meja berdebu di sudut bangsal. Tanpa sengaja, dia meletakkan raganya di atas meja, menyebabkan debu-debu berterbangan. Terbatuk-batuk dia. Dia mengibas wajah dengan tangan untuk mengelakkan debu dari memasuki rongga hidungnya. Dia segera mengikat selendangnya untuk menutupi hidung dan mulut.

    Barang yang dicari oleh Safira ialah kotak kayu yang berada di bawah meja kayu itu, tersembunyi di belakang barang-barang yang lain. Dengan sabar, dia mengalihkan satu persatu bekas anyaman daun mengkuang yang entah apa isinya ke tempat lain. JIka dia membuat sepah di dalam bangsal itu, jika bukan ibunya, kakaknya yang akan menyinga. 

    “Beratnya!” Dia mengeluh ketika kota kayu itu hanya bergerak seinci. Safira mendengus, manarik nafas. Dia membuka kuda-kuda, merendahkan badannya dan memautkan kedua-dua belah tangannya ke pemegang peti itu.

    Dia menghitung, “Satu… dua… tiga… iyahh!” 

    Kotak kayu yang berat itu akhirnya menggelongsor juga keluar dari bawah meja. Safira menyeka peluh, puas hati. Tanpa bertangguh, dia terus membuka peti itu.

    Di dalam peti itu penuh dengan gulungan-gulungan kertas, daun nipah kering dan kepingan-kepingan bahan yang berbagai jenis. Safira duduk bertinggung di sisi peti itu lalu mengeluarkan kertas-kertas yang ada di situ.

    “Sudah lama sekali aku tidak melihat semua ini…” getusnya sendiri. Imbasan memori datang menerpanya apabila dia memerhatikan lukisan-lukisan yang bersepah. Berapa lama sebenarnya dia telah melakukan ini? Dia hanya ingat beberapa tahun yang lalu. 

    “Safira.. apa yang kamu buat lama di dalam…” Suara Nilam membuatkan Safira mengangkat wajah.

    Jujur, Nilam terkejut apabila mendapati adiknya berada di sisi peti itu lagi, meramas-ramas kertas-kertas lukisan yang Nilam fikir telah lama adik perempuannya itu lupakan. Serta-merta, hati Nilam menjadi lembut.

    Nilam bertanya, “Mengapa kamu menyelongkar peti itu lagi, Safira?”

    “Aku ingin melihat rekaanku yang dulu. Tidakkan kakak mendengar di pekan tadi? Istana sedang menganjurkan sayembara mereka cipta baju kebal!

    Panjang nafas yang dihela Nilam. Dia menggaru pelipis kepala. “Suka hati engkaulah, Safira. Cepatlah keluar dari sini. Sapu halaman rumah sebelum hari gelap.”

    Hanya gumaman yang diterima Nilam dari adiknya itu. Mata Safira sudah tertancap dan tergam pada lukisan-lukisan di dalam kertas lusuh. Nilam hanya bercekak pinggang sambil menggeleng. Jika adiknya sudah begitu, gajah lalu pun mungkin dia tidak sedar.

    “Cepat sikit!”

    “Oh, ya! Saya datang.” Safira mencapai sebanyak mungkin kertas yang dapat dibawanya dari dalam peti itu. Setelah menutup peti itu hanya dengan kuisan kaki, Safira tergopoh-gapah mengekori kakaknya. 

(506 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro