Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6 : Hilang Adat Tegal Muafakat

"Ayunda kagum, adinda!" Puteri Zulaikha menghamparkan skrol dari Putera Mahkota Mizan di atas meja.

Senyuman gembira menghiasi paras rupawan itu. "Ayunda sudah menjangkakan sebuah perjanjian yang berat sebelah dari mereka, tapi ini ialah sebuah tawaran yang adil dan saksama. Apa yang telah adinda lakukan?"

Putera Zulkarnain tenang menghirup teh panasnya sebelum menjawab, "Adinda belajar dari ayunda. Hanya membuat perjanjian apabila kedua-dua pihak dapat memberi dan menerima dengan risiko yang sama besar.”

Dia meletakkan cawan itu kembali ke atas meja. "Putera Mahkota Mizan memerlukan sokongan lebih besar untuk menenggelamkan calon-calon pewaris takhta yang lain. Kita ada apa yang dia perlukan."

“Maksud adinda?” Puteri Zulaikha menopang dagu, menantikan jawapan Putera Zulkarnain dengan penuh minat. Putera Mahkota Empayar Ardalisia baru ditabalkan 3 tahun lalu. Adakah adindanya ini terlibat dalam hal itu?

“Tengku Putera Mizan perlu menawan diplomat dari negeri-negeri luar untuk mengukuhkan pengaruhnya. Baginda ingin menenggelamkan pengaruh calon-calon pewaris yang lain. KIta pula memerlukan kebenaran empayar untuk mengukuhkan perniagaan kita di tanah mereka. sekaligus menjaga kebajikan rakyat kita di sana.”

“Jadi, kehendak kita selari?”

“Tepat sekali.” Putera Zulkarnain mengangguk. “Kita mempunyai hubungan baik dengan negeri-negeri lain, hasil hubungan perdagangan. Memperlihatkan bahawa hubungan erat Inderagana dengan Putera Mahkota Mizan dapat memberikan sokongan dan perlindungan yang ampuh kepada kita, mereka akan meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Putera Mahkota Mizan untuk mendapatkan manfaat yang serupa.”

“Ah, jadi begitu rupanya adinda mengikat Tengku Putera Mizan. Dengan meletakkan sokongan para diplomat yang lain di belakang Inderagana, Tuan Putera Mizan harus jujur atau sebarang kesilapan akan memberi cela kepadanya di hadapan negeri-negeri lain.”

“Kita juga mempertaruhkan rangkaian perniagaan kita di empayar, ayunda. Ayunda harus memastikan sesiapa yang menggantikan tempat adinda kekal jujur dan telus dengan semua pihak tapi pada masa yang sama kekal waspada dengan percaturan siasah yang berlaku di empayar.”

Puteri Zulaikha mencatat sesuatu sambil berkata, “Tentu sahaja. Sebagai ganti, kita harus mempamerkan bunga-bunga hasil perjanjian ini untuk meyakinkan rakan-rakan sekutu kita agar mempercayai Tuan Putera Mizan. Ayunda sudah melatih pengganti jawatan adinda di sana. Walaupun, kecemerlangan reputasi adinda akan memberikan tekanan kepadanya.”

Putera Zulkarnain mengangguk puas hati. Tentu sahaja ayundanya dapat mengerti apa yang harus dilakukan seterusnya tanpa dia harus mengatakannya. Dia kembali menghirup baki tehnya yang kini sudah suam-suam kuku.

“Barulah ayunda mengerti mengapa Tuan Putera Mizan ingin menjadi beripar dengan adinda.”

“Pfft!” Ketika itu juga Putera Zulkarnain nyaris tersembur. Bunyi cawan seramik berlaga membuatkan Puteri Zulaikha mengangkat wajah. Puteri itu terpinga-pinga melihat saudaranya itu kalut menekup sapu tangan ke mulutnya. Setelah mengerti apa yang baru berlaku, Puteri Zulaikha tidak segan melepaskan tawanya.

“Ayunda… adinda minta janganlah diungkit hal itu lagi. Apatah lagi di hadapan para bangsawan atau menteri," kata Putera Zulkarnain dalam selang-seli batuk kerana tersedak.

Putera Zulkarnain kembali membaiki postur tubuh. “Adinda tidak mahu dikahwinkan atau ditunangkan kepada sesiapa. Ayunda sendiri mengelak mengahwini Putera Mahkota Mizan dahulu, takkan sampai hati menjual adinda pula?”

Meletus lagi tawa Puteri Zulaikha. Benar, dia pernah dijodohkan dengan putera sulung Empayar Ardalisia itu.

Lumrah seorang puteri kerajaan, mereka tidak dapat menentukan pasangan pilihan mereka sendiri. Selalu perkahwinan mereka menjadi alat diplomasi untuk mengukuhkan kerajaan masing-masing.

Puteri Zulaikha juga nyaris mengalami nasib yang sama. Namun, Puteri Zulaikha ialah puteri yang mempunyai cita-cita dan cinta yang lebih besar untuk negerinya, Inderagana.

Rombongan perkahwinan ke Empayar Ardalisia pulang semula dengan kejayaan menjalinkan hubungan perdagangan di bawah pimpinan Puteri Zulaikha.

“Ayunda…”

Nada serius Putera Zulkarnain memaksa Puteri Zulaikha mematikan tawanya. “Maafkan ayunda. Tapi, jika ayunda boleh bertanya… mengapa adinda enggan menerima lamaran Tengku Putera Mizan? Adinda puterinya ialah seorang gadis yang elok pekerti, rupawan pula.”

“Adinda tidak mahu jadi penghalang ayunda menjadi pewaris takhta.”

Tajam tarikan nafas Puteri Zulaikha. Dia meletakkan penanya di lalu membawa tangannya tercantum di bawah meja. Menggeletar tangan yang terkepal erat.

“Adinda bersungguh? Ucapan adinda itu bukan sesuatu yang dapat dilafazkan sebagai gurauan.”

“Sungguh, ayunda.” Jawapan yang pendek namun tegas itu membuatkan Puteri Zulkarnain terdiam lama. Melihatkan itu, Putera Zulkarnain bangun lalu mendekati Puteri Zulaikha. Dia melepaskan tengkoloknya.

“Adinda!” seru Puteri Zulaikha, terkejut apabila Putera Zulkarnain tiba-tiba bertekuk lutut di hadapannya. Namun, Putera Zulkarnain lebih dahulu menangkap tangan kanan Puteri Zulaikha. Dia tunduk, mempertemukan belakang tangan Puteri Zulkarnain dengan ubun-ubun kepalanya.

Puteri Zulaikha cukup terpempan.

Perbuatan Putera Zulkarnain ialah simbolik penghormatan, lambang menjunjung martabat orang lain lebih tinggi daripadanya. Inilah ttanda kesediaan untuk mengabdikan diri padanya. Perlakuan yang hanya dilakukan seorang hamba sahaya kepada tuannya, seorang anak kepada orang tuanya atau seorang satria kepada rajanya.

“Di antara kita berdua, ayundalah yang telah lebih lama dan lebih tekun menempa diri agar menjadi pemimpin yang sempurna. Di antara kita berdua, lebih besar kasih ayunda pada Inderagana. Jadilah Raja Perempuan negeri ini, ayunda. Adinda akan menyokong sepenuh raga.”

Puteri Zulaikha menggeleng. “Bukan begitu, adinda. Ada adat lembaga yang menentukan siapa pewaris takhta. Martabat adinda lebih tinggi dari ayunda. Adinda anak gahara ayahanda dan gemulah bonda Ratu Cenderakasih Aulia. Adinda pewaris sakti murni Karunia diraja, sedangkan ayunda…”

“Kesaktian yang adinda miliki tidak menjamin adinda akan menjadi raja yang lebih baik, ayunda!” potong Putera Zulkarnain. “Jika ditolak ke tepi soal Karunia, adinda bukan siapa-siapa berbanding ayunda. Lagipula, hilang adat tegal muafakat. Inderagana sudah banyak berubah setelah kudeta. Negeri ini tidak memerlukan raja yang sakti, tetapi pemimpin yang bijak bestari. Apa salahnya melanggar benang hitam sekali lagi? Kita hanya perlu yakinkan cukup orang bahawa ayundalah pewaris takhta yang seterusnya.”

Puteri Zulaikha merenung mata Putera Zulkarnain, cuba menilai ketelusan kata-kata saudaranya itu. Pelbagai perasaan bergejolak ingin melimpah keluar. Namun, dia tahankan. Puteri itu akhirnya menadah telapak tangan kiri, meminta tengkolok Putera Zulkarnain. Diberikan tanpa soal.

“Bangunlah dahulu.”

Apabila mereka berdua berdiri, tentu sahaja Putera Zulkarnain lebih tinggi dari Puteri Zulaikha walaupun mereka berbeza umur tiga tahun.

Puteri Zulaikha menyelak anak rambut Putera Zulkarnain lalu memasangkan gubahan kain songket seumpama mahkota itu ke kepala saudaranya itu.

“Meski adinda tidak mengatakan hal itu, ayunda sudah bersedia untuk membuktikan diri bahawa ayunda layak jadi pewaris takhta dengan kekuatan ayunda sendiri, walaupun ayunda ialah seorang wanita atau tidak memiliki semua sakti Karunia.”

“Adinda tahu. Jikalau tidak, ayunda tidak akan bangkit berjuang. Lagi pula, buat apa kita bertengkar? Bukankah sejarah keturunan kita sudah cukup bermandi darah, ayunda? Jika bukan kita, pasti ada anasir-anasir luar yang cuba membuatkan kita bercakaran,” kata Putera Zulkarnain. Dia duduk di bucu meja kerja Puteri Zulaikha sambil merenung jauh ke hadapan tanpa fokus yang jelas.

“Adakah perseteruan putera-puteri Empayar Ardalisia telah menggentarkanmu?”

“Ya. Tidak perlu kita terlibat dalam perseteruan yang sia-sia. Adinda bukan anjing yang menggigit tangan yang telah memberinya makan. Bukankah dengan adinda mengundur diri, maka lebih mudahlah ayunda mencapai cita-cita?”

Puteri Zulaikha menghela nafas panjang. Lama dia menilik wajah Putera Zulkarnain sebelum dia akhirnya memilih untuk jujur. Dia berkata, “Baiklah, ayunda harus mengaku, memang ayunda mendambakan takhta. Tapi, sebagai ganti… beritahulah ayunda apa pula hajat dan cita-cita adinda?”

“Adinda ingin mengembara, ayunda.”

“Mengembara?”

“Adinda ingin menjadi pelayar. Merentas lautan melihat negeri orang. Menuntut ilmu dan membawa kemajuan pulang untuk menjadikan Inderagana negeri yang lebih baik untuk semua orang.”

Puteri Zulaikha ingin bersumpah itulah kali pertama dia melihat sinar keterujaan pada wajah Putera Zulkarnain.

“Adinda juga ingin mendalami ilmu perubatan supaya… supaya sekurang-kurangnya satu nyawa dapat diselamatkan.” Secepat itu juga keterujaan itu sirna, dicemari kekeruhan. Puteri Zulaikha kembali duduk. Dari posisi itu, dia cuba untuk mengintip riak pada wajah Putera Zulkarnain yang menunduk.

“Tapi, para menteri dan bangsawan tidak akan semudah itu membenarkan adinda mengundur diri. Lihat sahaja keramaian yang dijalankan untuk adinda seorang dan besarnya sayembara untuk mengumpul satria-satria khas untuk adinda.”

“Hah…” Putera Zulkarnain melepaskan keluhan. “Tahulah adinda menangani mereka, ayunda.”

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro