Bab 4 : Makan Hati, Berulam Jantung
Istana Purnama Windu tepat berada di tengah-tengah Kota Mahkota, kota besar yang menjadi pusat pentadbiran Inderagana. Kedudukannya yang terletak di atas bukit menjadikan istana megah itu sudah dapat dilihat dari kejauhan. Empat lapis atap pucuk nibung yang menjadi puncak tertinggi di kota itu ialah atap kediaman yang menjadi tempat bersemayamnya keluarga diraja.
Selepas selapis benteng yang melindungi kompleks istana di puncak bukit larangan itu, terdapat pula bangunan-bangunan pentadbiran mengelilingi bukit, masing-masing menghadap ke selatan, timur, utara dan barat. Di kaki bukit pula ialah kampung bangsawan. Selepas selapis lagi benteng, barulah diikuti lingkungan kawasan penempatan rakyat jelata dan kawasan perdagangan. Dari empat arah mata angin, akan ada sebatang jalan utama yang menghubungkan gerbang istana hingga ke gerbang benteng paling luar
“Kota ini sudah jauh berubah kali terakhir adinda melihatnya, ayunda.” Putera Zulkarnain mengamati hamparan pemandangan Kota Mahkota. Ketika itu, mereka berdua menelusuri beranda terbuka di tingkat kedua Istana Purnama Windu. Di belakang mereka, para srikandi dan dayang-dayang mengekori agak jauh untuk memberikan ruang adik-beradik diraja itu berbicara.
“Tentu sahaja. Kota Mahkota simbol kemakmuran Inderagana.” jawab Puteri Zulaikha sambil memerhatikan ke mana arah mata Putera Zulkarnain melayang. Sepasang mata itu redup namun tanpa tumpuan, seperti banyak yang berlegar di fikiran.
“Tunggulah apabila matahari terbenam nanti. Seluruh kota akan bercahaya seperti langit malam penuh bintang yang terpantul di permukaan bumi.”
“Bolehkah jika adinda turun bermain di antara ‘bintang-bintang’ itu?” tanya Putera Zulkarnain bersahaja. Apabila dia menoleh, pandangannya bertemu dengan renungan Puteri Zulaikha.
Setelah beberapa ketika, Puteri Zulaikha menghela nafas. “Andai kanda ingin melarang sekalipun, belum tentu adinda akan menurut, bukan?”
Soalan itu berbalas senyum nipis dari Putera Zulkarnain. “Adinda sudah merasa manisnya kebebasan, ayunda. Mana mahu adinda hidup bagai terpasung kaki.”
“Ayunda mengerti. Sekurang-kurangnya, betahlah tinggal di istana dahulu barang sekejap. Hangatkan dahulu kamar adinda yang berada di sayap kanan istana. Sudah lama kekosongan tanpa tuannya,” ujar Puteri Zulaikha.
“Baiklah, ayunda.”
Setelah itu, Puteri Zulaikha tidak lagi mengatakan apa-apa, hanya membiarkan derap langkah mereka bergema beriringan di lorong istana yang luas dan panjang. Putera Zulkarnain mengisi khali antara mereka itu memerhatikan hiasan-hiasan berseni di seluruh penjuru istana. Dia dapat melihat pelbagai jenis ukiran kayu dapat dilihat dari langit-langit, sehingga hiasan kambi dan lantai. Ada yang berwarna kuning emas, ada yang dibiarkan kekal dengan warna perang alami kayu itu. Cahaya matahari petang menerobos masuk dari jendela, menjadikan lorong itu kelihatan redup. Pada masa yang sama, mewah, megah dan indah.
"Suasana di sini terlalu tenang dan sunyi," getus hati Putera Zulkarnain.
"Kemarilah, adinda." Suara Puteri Zulaikha mempasak kembali perhatian Putera Zulkarnain. Terus dia teringat pada tujuan ayundanya membawa dia ke sini. Mereka kini berada di hadapan pintu besar sebuah kamar yang berada di titik tengah dan paling dalam di seluruh istana ini.
Kamar Raja.
Dua orang Satria Istana yang berdiri tegak di kiri dan kanan pintu kamar itu serentak meletakkan tangan yang tidak memegang tombak ke dada lalu menunduk hormat.
"Tengku Puteri Zulaikha dan…" Satria Istana yang berada di kanan menoleh pada Putera Zulkarnain. Wajah yang separuh bertutup topeng perak mencetuskan kehairanan pada hulubalang berdua itu. Tertanya-tanya mereka akan identiti pemuda yang berdiri di belakang Puteri Zulaikha.
“Adakah tuan muda ini…”
"Satria Jamdar dan Satria Kersani. Perkenalkan ini adinda beta, Putera Zulkarnain Shah Indera."
"Oh, Tengku Putera!" seru mereka hampir serentak. Sekali lagi, mereka tunduk memberi hormat pada Putera Zulkarnain. Wajah kedua-duanya tampak gembira. Putera Zulkarnain sekadar mengangguk, kekok dengan keterujaan yang ditujukan padanya tanpa dia tahu sebabnya.
“Adakah ayahanda dan bonda ada di dalam?” Puteri Zulaikha bertanya.
“Ada, Tengku Puteri. Baginda raja dan permaisuri ada di dalam, sudah lama menanti kedatangan Tengku. Baginda raja berpesan kepada kami untuk mempersilakan sahaja Tengku berdua masuk.”
Satria Jamdar mengetuk pintu besar itu berirama. Tidak lama kemudian, pintu itu dibuka, menampilkan dua orang dayang istana. Mereka membuka luas pintu itu seluas-luasnya, membebaskan semerbak bau ubat-ubatan yang menerpa deria hidu mereka yang berdiri di luar.
Serta-merta dahi Putera Zulkarnain berkerut. Dia memaksa otot wajahnya untuk kembali neutral ketika para dayang-dayang, awang-awang, dua tabib istana serta pembantunya berderet keluar dari kamar raja. Mereka semua tertib berbaris di belakang Satria Jamdar dan Satria Kersani.
Putera Zulkarnain merenung tabib-tabib istana ketika mereka lalu di hadapannya. Tertunduk dua orang tua itu kerana panahan mata putera itu. Cemas mereka menanti kata-kata yang akan terpacul dari mulut Putera Zulkarnain. Namun, putera muda itu mengekori ayundanya melangkah masuk ke dalam kamar tanpa mengatakan apa-apa.
Pintu besar itu tertutup di belakang Puteri Zulaikha dan Putera Zulkarnain. Seorang wanita separuh baya yang anggun dengan persalinan sutera dan songket nan mewah menoleh memandang mereka berdua.
“Anakanda Puteri Zulaikha dan Putera Zulkarnain!” Wanita itu serta-merta bangkit dari duduknya. Wajahnya tampak begitu girang.
“Permaisuriku, adakah putera-puteri kita sudah tiba?”
Ada suara yang garau bertanya dari balik tirai kelambu yang menutupi katil besar di tengah-tengah bilik itu. Putera Zulkarnain pantas memejam mata ketika suara yang cukup lemah itu menyapa pendengarannya.
“Kami menghadap ayahanda, Tuanku Raja Zulaqram Shah Indera dan bonda, Tuanku Permaisuri Laila Sukmawati. Sembah kami harap diampun.” Puteri Zulaikha merendahkan tubuh lalu bertekuk lutut di hadapan katil itu. Putera Zulkarnain juga melutut dan ikut merafakkan sembah di belakang ayundanya.
Permaisuri Laila membantu Raja Zulaqram untuk bangun dari pembaringannya. Disusun bantal-bantal untuk menopang sandaran Raja Zulaqram. Setelah memastikan raja itdapat duduk menyandar dengan selesa, barulah permaisuri itu menarik tali yang tergantung. Tirai kelambu bergerak menyisih lalu menyerlahkan susuk tubuh Raja Zulaqram.
“Terima kasih permaisuriku. Seharusnya biar dayang sahaja melakukan tugas ini.”
“Ah, hal sekecil ini apa salahnya dinda yang berbakti, kanda,” balas Permaisuri Laila lembut. Senyuman yang penuh kasih itu masih menghiasi bibirnya ketika menoleh pada Puteri Zulakha dan Putera Zulkarnain. Raja Zulaqram turut memandang mereka berdua yang masih melutut tertib di hadapannya.
“Bangun dan berdirilah wahai anakanda-anakanda beta,” titah Raja Zulaqram. "Kemarilah. Beta ingin melihat wajah-wajah cahaya mata beta."
"Menjunjung titah, ayahanda." Sekali lagi, Puteri Zulaikha bersuara mewakili mereka berdua. Dia mencapai tangan Putera Zulkarnain lalu menuntun adindanya itu menaiki tiga anak tangga untuk berdiri di sebelah katil besar itu. Meskipun tanpa rela, Putera Zulkarnain mengikut sahaja.
Raja Zulaqram menggamit Putera Zulkarnain untuk duduk di kerusi kedua di sisi Permaisuri. Puteri Zulaikha sempat menggenggam erat pegangannya sebelum mempersilakan Putera Zulkarnain untuk duduk di kerusi itu.
"Ayahanda, bonda." Putera Zulkarnain sekali lagi dia mengangkat sembah pada Raja Zulaqram dan menunduk hormat pada Permaisuri Laila. Dia kemudiannya berkata, "Anakanda ada mendengar dari ayunda yang ayahanda jatuh gering sejak bulan lalu. Adakah ada perubahan dengan kesihatan ayahanda ketika ini?”
"Beta semakin membaik, tetapi masih belum dapat bangun menyambung tugas-tugas pentadbiran. Tubuh beta sudah sememangnya lemah. Tiada apa yang perlu terlalu dikhuatirkan."
Ada batuk kering yang memotong bicara Raja Zulaqram.
"Bagaimana hidup anakanda di Empayar Ardalisia?"
Putera Zulkarnain diam sejenak sebelum bertentang mata dengan Raja Zulaqram. Dia berkata, "Seperti yang Tuanku Raja dan Permaisuri dapat lihat, putera ini baik-baik sahaja. Berkat usaha ayundanya, dia dapat menyambung hayat dengan selamat di bawah bayang payung Tuan Putera Mahkota Mizan di Empayar Ardalisia. Dalam masa lima tahun itu, putera ini telah mendapat didikan selayaknya menjadi putera raja, bahkan lebih banyak dari seluruh usianya sejak kecil."
"Adinda!" Puteri Zulaikha menegur dengan suara yang ditekan. Ada belati sindiran tajam yang berselindung di sebalik nada rendah dan sopan Putera Zulkarnain.
Wajah Raja Zulaqram dan Permaisuri Laila juga berubah riak kerana mengerti makna tersirat dari bicara putera itu. Untuk Putera Zulkarnain tiba-tiba membahasakan dirinya dari pihak ketiga, seolah-olah dia mengecualikan wujud dirinya dari mereka semua. Seolah-olah, dia orang asing.
"Kerana itulah, Tuanku Raja tidak perlu risau akan tugas-tugas pentadbiran. Walaupun putera ini masih banyak kekurangan, sedaya upaya dia akan melakukan yang terbaik untuk membalas jasa. Apatah lagi kepada ayundanya yang telah menanggung tohmahan orang tanpa pembelaan.”
“Anakanda Zulkarnain, apakah maksud perkataanmu?” Permaisuri Laila mula merasa tidak senang. “Anakanda Zulaikha, siapakah yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa?”
“Ah, bonda. Sungguh tidak ada apa-apa.” Puteri Zulaikha cepat-cepat mencelah. “Kata-kata orang-orang yang tidak penting. Usah difikirkan.”
“Beta tahu.” Raja Zulaqram tiba-tiba bersuara. Perhatian mereka teralih pada lelaki tua separuh abad itu. Kepada puteranya, dia berkata, “Adakah anakanda berang ayundamu dituduh oleh para bangsawan dan menteri menghantarmu ke Empayar Ardalisia sebagai tawanan, sedangkan hal itu tidak benar?”
“Tentu sahaja, Tuanku.” Putera Zulkarnain menjawab tegas. Ada percikan amarah yang ketara pada matanya dan dia tidak segan menunjukkan itu kepada Raja Zulaqram.
“Bukan beta tidak membela puteri beta, tetapi kerana beta tahu puteri beta ialah seorang srikandi yang tangguh, yang berani. Tidak perlukan orang lain untuk membela. Apatah lagi seseorang yang lemah seperti beta. Beta hanya akan membataskan puteri beta untuk terbang lebih jauh.”
“Ayahanda…” Puteri Zulaikha tidak pasti bagaimana dia harus bertindak dalam keadaan itu. Samada harus merasa terharu dengan kata-kata ayahandanya atau merasa risau dengan adindanya yang kelihatan masih kekal beradu pandang dengan ayahandanya.
“Anakanda beta, Zulkarnain.”
Tiada balasan dari putera itu.
“Bolehkah anakanda memaafkan beta yang lemah dan mempunyai begitu banyak kekurangan ini?”
Khali.
“Mana saya berani, tuanku,” Putera Zulkarnain kedengaran bergetar. “Mana saya berani membuatkan seorang raja meminta maaf. Siapakah yang berani menggelar Tuanku seorang raja yang lemah? Adakah antara para bangsawan, atau para menteri? Ataukah ada rakyat jelata yang menderhaka?”
“Beta bertanya kepadamu, puteraku. Dapatkah anakanda dapat memaafkan kelemahan beta?”
“Saya tidak perlu memberi maaf, dan tuanku juga tidak perlu meminta maaf jika ia sesuatu yang auta. Maka, tumpukanlah perhatian Tuanku untuk kembali sihat dan membuktikan pada seluruh semesta bahawa raja negeri ini masih teguh dan kekar memayungi seluruh Inderagana.”
Putera Zulkarnain bangkit dari duduknya, seraya mengangkat sembah. “Maka itu, tidaklah saya mahu mengganggu istirahat tuanku. Sehingga tuanku kembali sihat, saya akan sedaya upaya untuk menyokong ayunda mentadbir negeri. Kerana saya masih berdarah setampuk pinang, izinkanlah saya mengundur diri supaya dapat bersedia menggalas tugas sebagai putera Inderagana bermula esok hari.”
“Baiklah, beta perkenankan,” titah Raja Zulaqram setelah berdiam diri sejenak.
“Menjunjung kasih, Tuanku.” Putera Zulkarnain menunduk penuh susila sambil mengundur ke belakang, menuruni tiga anak tangga pelantar ruang beradu Raja Zulaqram. Setelah menapak ke belakang lagi sebanyak sepuluh langkah, Putera Zulkarnain mengangkat sembah sekali lagi. Barulah dia membalikkan tubuh dan berjalan keluar dari kamar itu.
Puteri Zulaikha berkata cemas, “Ayahanda, ampunilah kelakuan adinda. Sesungguhnya dia…”
“Zulaikha.” Raja Zulaqram memotong bicara Puteri Zulaikha. “Wajar jika Zulkarnain masih mahu makan hati berulam jantung. Ayahanda mengerti…”
Hanya itu yang Putera Zulkarnain sempat dengar sebelum daun pintu tertutup dan memisahkannya dari kamar raja. Tajam helaan nafas Putera Zulkarnain. Apa yang ayahandanya telah mengerti? Mengerti bahawa kelakuannya yang lancang ialah kerana bersumber amarah hatinya atau niat Puteri Zulaikha yang ingin membela dirinya?
“Dapatkah anakanda dapat memaafkan kelemahan ayahanda?”
“Mana mungkin aku mampu…” desis Putera Zulkarnain sendiri. Penumbuknya bergementaran kerana cuba menahan perasaan yang bergelora di dalam diri.
Sama sekali dia tidak menyangka permohonan maaf yang terpacul dari mulut Raja Zulaqram. Permohonan maaf yang dia fikir selama-lamanya dia tidak akan dapat. Maka, lebih mudah untuknya berdendam dari cuba memahami keputusan yang diambil Raja Zulaqram 20 tahun lalu.
Tapi, dia sudah mendapat permintaan maaf itu tadi. Raja Zulaqram pula mengakui kelemahannya. Mengapa begitu mudah? Marahnya masih belum habis terbakar.
“Tengku putera?” Satria Jamdar akhirnya menegur. Tersentak Putera Zulkarnain. Dia mengangkat wajah lalu menayangkan senyuman nipis kepada hulubalang istana itu. Penumbuknya pantas disembunyikan di belakang badan.
“Ya?”
Mendengarkan nada Putera Zulkarnain biasa-biasa sahaja, Satria Jamdar membatalkan niatnya untuk bertanya. Mana dia tidak merasa prihatin apabila tiba-tiba sahaja putera muda itu keluar sendirian. Lalu, diam pula di hadapan pintu kamar raja. Adakah Putera Zulkarnain baik-baik sahaja atau tidak?
Mungkin hanya perasaannya, tapi dapat merasakan ada hawa dingin berolak di situ.
“Nampaknya Tengku sudah selesai menghadap Tuanku Raja. Adakah Tengku ingin beristirahat di kamar Tengku? Jika benar, patik boleh menemani,” cadang Satria Kersani.
“Jika Tuan Satria tidak keberatan, sungguh beta akan senang hati. Segan beta mengaku, tapi beta belum mengerti selok-belok Istana Purnama Windu ini.” Putera Zulkarnain menggosok tengkuknya sambil tersenyum.
“Usahlah Tengku merasa segan untuk bertanya pada kami para satria, dayang dan awang. Istana ini akan menjadi tempat tinggal Tengku mulai hari ini, maka jika ada apa-apa yang Tengku perlukan, kami akan sedia melayani,” ujar Satria Kersani, mesra. Satria Jamdar serta dayang-dayang yang masih berada di situ ikut mengangguk mengiakan kata-kata hulubalang itu.
“Terima kasih, beta amat menghargainya. Beta akan mengharap pertolongan kalian mulai hari ini. Mungkin esok atau lusa, beta ingin ditemani meneroka seluruh ceruk istana. Hari ini, beta masih letih kerana baru habis mengembara.”
“Tentu sahaja, Tengku! Tentu sahaja. Bila-bila masa sahaja yang Tengku inginkan, kami bersedia.”
“Kalau begitu, marilah ikut dengan patik Tengku. Ampunkan kami kerana membuatkan Tengku berlama-lama di sini.”
“Tidak mengapa. Tunjukkanlah beta jalan ke kamar beta.” Putera Zulkarnain mempersilakan Satria Kersani untuk berjalan di hadapannya.
Satria itu mengangkat sembah lalu berjalan dahulu, setelah memastikan Putera itu mengekori di belakangnya. Seisi istana tahu kamar mana yang telah dikhaskan untuk Putera Zulkarnain. Setelah lama kosong, kali ini kamar itu akan terisi.
“Barulah terasa lengkap,” getus hati Satria Kersani. Baginda Raja dan Permaisuri bersemayam di bahagian tengah istana, Putera Zulkarnain di sayap kanan manakala Puteri Zulaikha di sayap kiri. Melihat dari tutur bahasa dan perilaku Putera Zulkarnain yang menawan walaupun bercakap dengan mereka, lelaki yang sudah lama menjadi hulubalang istana itu gembira. Mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi? Raja Zulaqram dan Permaisuri Laila juga terkenal dengan kelembutan hati mereka.
“Tengku, selamat pulang.” Satria Kersani menoleh sebentar sebelum kembali memandang ke hadapan.
“Terima kasih, Tuan Satria.” Kedengaran balasan perlahan Putera Zulkarnain.
Tanpa Satria Kersani tahu, wajah Putera Zulkarnain telah berubah keruh di belakangnya.
"Makan hati, berulam jantung"
[Maksud: Bersusah hati kerana perbuatan orang lain yang menyedihkan hati.]
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro