Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 28: Seperti Berjejak Atas Bara

“Tanah runtuh…” Putera Zulkarnain merenung keras Fajar yang masih tidak sedarkan diri. Dia mula membayangkan peta besar Inderagana yang di ruang kerjanya.

Kampung Bhumija Hijau ada di arah barat laut dari ibu kota. Namun, untuk ke wilayah itu, jalan utama yang menghubungkan kota ke kota harus melencong agak jauh kerana harus melalui hutan dan kawasan berbukit.

Jika tanah runtuh telah berlaku, misi penyelamatan harus dilakukan segera. Persoalannya, berapa banyak masa yang mereka ada? Putera Zulkarnain meramas-ramas baju Fajar. Kainnya lembap-lembap kerana air hujan. Pasti remaja itu meredah hujan tengah malam semalam untuk bergegas ke mari.

“Lanang, berapa lama jarak perjalanan antara kampungmu dengan istana?”

Tiada jawapan dari Lanang. Dia masih terpegun, dek baru dihempas badai berita yang dibawa Fajar. Athari harus menepuk bahunya dua tiga, baru dia tersentak sedar.

“Du… dua hari, satu malam dengan pedati lembu, Tengku,” jawab Lanang, masih terperangah tiba-tiba disoal.

“Terlalu lama. Jika kita berkuda ke sana, engkau tahu jalan singkat?”

Laju Lanang mengangguk. “Ada! Ada jalan singkat yang merentas bukit. Kalau berkuda, paling cepat boleh sampai sehari semalam, Tengku!”

Derap larian kuda membantutkan perbualan mereka. Jallal datang memacu kuda dari hujung jalan. Putera Zulkarnain bangkit berdiri apabila melihat pemuda itu memegang seruas buluh di tangan kirinya.

“Utusan kecemasannya, Tengku.” Jallal menyerahkan buluh seruas itu pada Putera Zulkarnain sebaik sahaja turun dari kuda. Dia masih tercungap-cungap, berusaha mengumpul nafas untuk menyambung, “Tercicir di jalan. Kuda utusan itu masih terlepas… tapi para petani sedang mengejarnya.”

“Tidak mengapa. Itu boleh diuruskan kemudian. Kerja bagus,” kata Putera Zulkarnain sambil menepuk bahu Jallal. Tidak sukar untuk menangkap kuda yang sudah keletihan. Perkara paling penting sekarang, isi surat di dalam buluh itu. Dia harus tahu bila tanah runtuh itu berlaku.

Tanpa tangguh, Putera Zulkarnain memulas gabus penutup ruas buluh itu dan mengeluarkan kertas bergulung di dalamnya. Anggota  Satria Putera diam, berdebar-debar menanti Putera Zulkarnain membaca utusan itu.

Putera Zulkarnain mengangkat wajah yang tegang. “Tanah runtuh itu berlaku malam semalam. Masa kita suntuk. Kembali ke istana sekarang juga!”

“Baik!”

Ketika mereka sampai ke gerbang kota, nyaris mereka ditahan oleh satria yang berkawal. Putera Zulkarnain cukup memperaga kuasa Karunia untuk mengesahkan identitinya. Para pengawal gerbang tiada pilihan lain selain membenarkan rombongan itu merempuh masuk. Terkulat-kulat mereka mendapati putera raja yang sepatutnya berada di dalam istana datang dari luar kota.

Sebaik sahaja tiba di Istana Purnama Windu, Putera Zulkarnain bergegas mencari Puteri Zulaikha. Guntur diarahkan untuk menghantar Fajar ke tabib istana untuk dirawat. Anggota pasukan yang lain pula diarahkan untuk menyiapkan bekalan perjalanan. Hanya Lanang, Alang dan Arjuna yang dibawa masuk untuk berjumpa dengan Puteri Zulaikha.

Meskipun terkejut dengan berita yang dibawa adindanya, Puteri Zulaikha dengan pantas mengatur rencana dan mengeluarkan perintah.Tidak lama kemudian, Alang dan Arjuna keluar pula bersama lima orang srikandi. Mereka berpecah ke serata arah melaksanakan tugasan masing-masing.

Tidak sampai setengah jam, anggota Satria Putera berkumpul di dataran di hadapan gerbang utama istana bersama dua puluh orang Satria-satria Istana yang lain. Di sisi mereka sudah ada seekor kuda yang lengkap dengan bekal perjalanan. Keberadaan Satria Kanan Jamdar di barisan hadapan menandakan bahawa pasukan penyelamat itu terdiri daripada anggota Satria Permaisuri.

Perhatian!” Satria Jamdar melaung lantang. Para Satria Istana sentak berdiri tegak dan tertib, bersedia.

Kedua-dua saudara diraja itu menaiki pentas kecil yang ada di hadapan para Satria Istana itu. Penampilan Putera Zulkarnain yang kini berkelubung dalam kain layang yang labuh menarik perhatian semua yang hadir. Ada sesuatu yang dibisikkannya putera itu kepada saudarinya sebelum puteri itu melangkah ke hadapan.

“Malapetaka tanah runtuh berlaku di Kampung Bhumija Hijau. Pasukan ini akan memberikan bantuan pertama, berkaitan misi pencarian dan penyelamatan. Beta akan menghantar bantuan keperluan asas untuk mangsa menyusul kalian secepat mungkin.”

Puteri Zulaikha menyambung, “Namun, harus beta ingatkan, ketika kalian menyelamatkan orang kampung, beta sama sekali tidak ingin ada antara kalian pula yang kehilangan nyawa. Pergi dan kembali dengan selamat.”

“Baik, Tengku!” Seia-sekata jawapan para Satria.

Putera Zulkarnain sedar Puteri Zulaikha sedang mengerlingnya dari ekor mata. Dia segera mengerti bahawa ucapan itu bukan hanya ditujukan kepada Satria-satria Istana, tetapi pada dirinya juga. Putera Zulkarnain meletakkan tangan ke dada dan menunduk.

‘Adinda mengerti, ayunda.’

Pasukan bantuan pertama untuk menyelamatkan mangsa bencana tanah runtuh Kampung Bhumija Hijau, bertolak dari istana pagi itu.

Lanang mengetuai larian rombongan berkuda itu di hadapan. Perjalanan yang biasanya mengambil masa dua hari satu malam, harus dipendekkan dengan kadar yang segera, walau mengambil jalan singkat yang lebih berbahaya. Kuda-kuda mereka dikerahkan untuk bekerja dengan maksimum, tidak peduli hujan atau panas. Mereka hanya berehat beberapa kali hanya untuk memastikan haiwan-haiwan itu tidak sekarat. 

Mereka hampir sampai ke kampung itu pada waktu malam. Titis air hujan yang dingin, begitu tajam menimpa wajah mereka semua. Semakin bisa kerana mereka memacu kuda mereka dengan laju.

“Kita hampir sampai!” jerit Lanang dalam sela-sela hujan. Matanya lebih fokus untuk mencari arah pulang menuju kampungnya. Denai, papan tanda, pagar bambu dan liang-liuk api kecil dari lampu pelita di pinggir jalan sahaja menjadi petandanya untuk meredah kegelapan dan kabus nipis itu.

"Lanang! Tunggu!"

Dia mendengar jeritan Bakti memanggil namanya, tapi tenggelam timbul antara dentum guruh. Ada rasa bersalah yang menyuruhnya untuk memperlahankan pacuan kudanya, tetapi rasa cemas lebih memaksa dia untuk terus berlari ke hadapan.

Lanang sudah melihat pagar kayu balak bersusun panjang yang menjadi benteng kampung. Dalam jarak sepelaung, dia sudah nampak gerbang masuk. Sayup-sayup api obor menerangi menara-menara pemerhati di kiri dan kanan gerbang itu.

"Kita sampai!" Lanang menjerit sekuat-kuat hati. Dia memberi isyarat berhenti apabila sampai di hadapan pintu gerbang yang tertutup rapat.

"Pengawal! Bukakan pintu gerbang!" laung Lanang pada menara pengawal.

"Siapa kalian? Perkenalkan diri!" Seorang remaja lelaki yang berkawal di atas gerbang balas melaung. Lanang kenal suara itu. Suara adik lelakinya.

"Nayan! Ini aku, Lanang! Bukakan pintu gerbang!"

“Eh, Abang Lanang?” Remaja yang bernama Nayan terkejut. “Siapa yang datang dengan abang?”

“Kami datang dari istana!” Putera Zulkarnain pula melaung dari sisi Lanang. Mendengarkan itu, Nayan termasuk pengawal-pengawal yang berjaga di atas kelam-kabut menuruni menara penjaga itu.

Tidak lama kemudian, gerbang dibuka. Remaja-remaja lelaki menjengul dari kiri kanan daun pintu gerbang itu. Lanang turun dari kudanya lalu menarik kain kelubung yang menutupi kepalanya. Seorang remaja meluru lalu memeluk Lanang.

“Bagaimana abang boleh balik? Abang tahu apa yang dah berlaku?” Nayan bertanya bertalu-talu sebaik sahaja meleraikan pelukan.

Lanang mengangguk. “Fajar sampai ke istana. Mana ayah? Bantuan dari istana sudah sampai.”

“Bantuan dari istana?” Riak wajah Nayan berubah gembira. “Adakah maknanya abang berjaya jadi Satria Istana?”

Namun, kegembiraannya itu dengan cepat menghilang. Nayan menggeleng, segera menukarkan ekspresinya kepada serius. “Ah, sekarang bukan masanya. Orang kampung semua berkumpul di rumah kita. Tapi, masih ramai orang kampung kita yang hilang...”

Getar pada suara Nayan menambahkan gundah dalam hati Lanang. Kalau sampai budak-budak remaja yang disuruh untuk menjaga gerbang, bererti para pemuda dan orang dewasa semua dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa.

“Jangan risau. Bangsawan-bangsawan dari istana akan bantu kita.” Lanang mengikut arah pandangan Nayan yang takjub memerhatikan rombongan Satria Istana di belakangnya. Lanang mengusap kepala Nayan, lalu berkata, “Mari, ikut abang naik berkuda. Carikan ayah kalau sampai di rumah.”

Nayan mengangguk laju. Lanang mengangkat tubuh adik lelakinya itu naik ke atas kudanya. Dia menepuk belakang Nayan, menyuruhnya untuk menunggu sebentar sebelum mendapatkan Putera Zulkarnain yang sedang menunggu. Di sisinya ada Satria Jamdar.

“Tengku…” Lanang mengangkat sembah.

“Naim. Tuan Muda Naim,” Putera Zulkarnain membetulkan. “Bagaimana?”

“Adik saya mengatakan orang kampung berkumpul di rumah saya. Tapi, mungkin kami tidak dapat menyediakan tempat berehat yang layak untuk tuan-tuan semua….” Suara Lanang merendah di hujung, tidak berani bertentang mata dengan Satria Jamdar. Dia cukup segan dengan ketua pasukan Satria Permaisuri itu.

“Usah risaukan itu, Satria Lanang,” Satria Jamdar mencelah. “Kami datang untuk membantu. Bukan diminta untuk dilayan seperti tetamu. Cukuplah tempat untuk berteduh dari hujan.”

“Benar. Tunjukkan jalan,” arah Putera Zulkarnain. Lanang mengangkat sembah, lalu segera mendapatkan kudanya. Ketika itu, Nayan sedang memberi arahan kepada remaja-remaja yang lain. Tanpanya, kawan baiknya pula yang akan mengetuai pasukan pengawal gerbang itu. 

Lanang menyentak tali kekang kudanya, lalu sekali lagi mengetuai rombongan itu menuju ke rumahnya. Dia terpaksa menepis perasaan nostalgia yang mengusik relung hati ketika melintasi jalan-jalan yang terlalu biasa baginya. Rumah-rumah orang kampung kelam, tidak seperti biasanya.

Semakin dekat ke halaman rumahnya, semakin ramai kelibat orang yang berkumpul di kawasan sekitar. Kolong rumah jiran-jirannya terang-benderang, menjadi tempat berteduh orang-orang dari hujan yang masih renyai-renyai.

Lanang turun dari kudanya di luar pagar. Laman luas rumahnya yang dahulu menjadi gelanggang berlatih seni bela diri kini sesak dengan khemah-khemah yang didirikan. Raungan, rintihan dan jeritan yang bertindan-tindan di serata arah terasa menyesakkan dadanya. Kehadiran rombongan di belakangnya tentu sahaja menarik perhatian. Ramai yang tertinjau-tinjau.

“Nayan, pergi. Cari ayah, ibu atau abang Deramang.” Lanang menurunkan Nayan dari kuda. Adiknya itu mengangguk. Dia berlari lalu menghilang antara kerumunan di laman itu.

“Kau baik-baik sahaja, Lanang?” Suara Athari menegur. Apabila Lanang menoleh, anggota pasukannya sudah berkumpul mengelilinginya. Putera Zulkarnain juga ada bersama mereka, hanya diam sambil memerhatikan kawasan persekitaran dengan serius. Lanang sejujurnya hampir lupa tentang mereka dalam keserabutan fikirannya.

“Sakit jangan ditanggung seorang diri. Dari tadi aku tengok kau seperti berjejak di atas bara.” Deras tepuk Guntur di belakangnya. Rasa pedas tepukan itu serentak menyegarkan Lanang. Diikuti tepuk-tepuk dari anggota pasukannya yang lain, seolah-olah memberi kekuatan kepadanya untuk tegak.

“Aku tak apa-apa…” kata Lanang perlahan. Sedaya upaya dia cuba mengorakkan senyum. Namun, ketara yang dia gagal mengurangkan rasa simpati yang terpasang pada wajah anggota pasukannya.

Athari memaut bahu Lanang. Ada cahaya malap berdenyut malap pada tangannya. Lanang tidak sempat menolak. Di setiap kesempatan yang ada, Athari semakin kerap menyalurkan kuasa penyembuhannya itu pada Lanang.

“Ayah! Cepatlah, ayah!”

Dari kerumunan orang, Nayan muncul semula sambil menuntun tangan seorang lelaki tua. Orangnya kurus cengkung dan sedikit bongkok udang. Apabila terlihat rombongan berkuda yang menanti di dalam hujan renyai-renyai, tergopoh-gapah lelaki itu mempercepatkan langkah.

“Tuan-tuan sekalian, itu ayah kami,” umum Lanang, sekadar cukup didengar orang-orang di sekitarnya.

Putera Zulkarnain menarik kelubungnya lalu bergerak ke belakang Satria Jamdar. Mata mereka bertembung seketika. Lelaki itu mengangguk faham isyarat senyap putera itu. Seperti yang mereka persetujui, orang dengan pangkat tertinggi dalam kalangan pasukan penyelamat ini ialah Satria Jamdar, bukan Putera Zulkarnain.

Satria itu melangkah ke hadapan, menanti ayah Lanang.

“Adakah benar… adakah benar tuan-tuan semua datang dari istana?” Bergeletar suara lelaki tua itu bertanya.

Satria Kersani menjawab, “Benar. Kami dihantar oleh Tengku Puteri Zulaikha untuk…”

“Hamba minta ampun!” Tidak semena-mena, ayah Lanang rebah melutut.

“Ayah!”

"Seperti berjejak di atas bara"
[Maksud: resah gelisah]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro