Bab 26: Tiada Dibawa Orang Sehilir Semudik
Berek Satria Putera
Seminggu kemudian...
Ketika Athari menuruni tangga awal pagi itu, Guntur sudah ada di ruang tengah, sedang bersila di atas bangku. Baju kurung hitam hanya disarungkan ala kadar di badan. Serabai, seperti dipakai terburu-buru. Kain samping, destar kuning pinang dan kelengkapan seragamnya pula dihampar di atas meja bersama sesisir pisang. Guntur begitu ralit membaca buku di pangkuan. Tatkala Athari menghampirinya pun, pemuda itu masih tidak sedar.
"Apa yang engkau tilik dalam buku tu? Sedikit masa, boleh tembus aku tengok," tegur Athari. Barulah Guntur mengangkat wajah.
"Oh, Athari! Tepat masa kau datang. Boleh kau tolong aku?" Guntur menayang sengih.
"Tolong apa?"
"Boleh kau jelaskan aku maksud perenggan ni?" Guntur menyua bukunya pada Athari. Tangannya ikut mencapai pisang. "Nah, pisang. Makan, buat pelincir otak."
Athari tergelak kecil menerima pemberian Guntur. Dia memulas sebiji dari sesisir pisang itu lalu melabuh punggung di sebelah Guntur. "Mana kau dapat pisang ni? Dewan Makan belum buka lagi."
"Aku menang bertaruh dengan Tengku Puteri!" jawab Guntur bangga, dengan pisang penuh di mulut. Dia menghabiskan kunyahannya sebelum menyambung, "Kami bertaruh, tengok siapa yang betul. Hari ni aku dapat soalan lain. Jadi, aku kena kaji betul-betul sebelum menjawab!"
"Hebat, hebat..." Athari menggeleng, antara takjub dan tidak percaya. "Berani betul engkau dengan Tengku Puteri."
"Pantang anak jantan berundur kalau dicabar!" Guntur mendabik dada.
Athari tergelak lagi. Kalau dia, tidak tercapai akal untuk beradu mulut dengan seorang puteri raja. Berbeza dengan Guntur. Berkali-kali pemuda itu hampir membuat mereka kena serangan jantung setiap kali dia buka mulut.
Guntur itu jenis bergeliga. Jadi, ada sahaja jawapannya pada Puteri Zulaikha. Bila yang keras kepala jumpa yang tidak mahu kalah, ada sahaja adegan debat dan balas mengusik. Dang Anum hanya mampu menggeleng, tidak larat menegur. Putera Zulkarnain tidak pula melarang, seperti diam-diam terhibur sama.
Buat seketika, Athari cuba memahami perenggan di muka surat yang terbuka. Namun, ada sesuatu yang memberatkan fikirnya, sehingga dia gagal untuk menumpukan perhatian. Dia menggetap bibir, menimbang-nimbang itu menzahirkan perkara itu pada Guntur, atau tidak.
“Guntur.” Athari meramas-ramas bucu buku. “Kau… tak tersinggung denganku?”
Terhenti tangan Guntur yang sedang membutangi kolar bajunya. Dia menoleh pada Athari dengan kening yang terjongket. “Ada apa-apa yang perlu aku rasa tersinggung padamu?”
“Tentang… diriku?”
“Oh,” Guntur tampaknya mengerti. Dia mencapai perisai ringan pelindung dadanya di atas meja lalu menyambung, “Engkau seorang bangsawan. Lalu?”
“Aku sudah tidak jujur pada kalian?”
“Tidak jujur?” Mata Guntur mengecil dan keningnya hampir bertaut ketika memandang Athari. Gelisah Athari dibuatnya. Pandangan Guntur seolah-olah hakim yang sedang mempertimbangkan adakah dia pesalah atau tidak.
Guntur mengubah duduknya pada bangku panjang itu supaya berhadapan dengan Athari.
“Mengapa kau tidak jujur kepada kami? Adakah supaya engkau boleh mempermain-mainkan dan mempergunakan kami? Bila kami leka, engkau akan tikam dari belakang?”
“Guntur! Aku tak akan melakukan semua itu!” Athari mencengkam bahu Guntur dalam panik. “Sumpah, aku tidak pernah terlintas! Aku sudah anggap kalian seperti saudaraku!”
“Maka, itu cukuplah bagiku.” Guntur tersengih. Lunak dia menyambung kata-kata, “Engkau orang baik, Athari. Seperti abang sulung, kau cuba menjaga dan membela kami. Padahal, kita tiada talian darah, bahkan dari kasta yang berbeza. Jika itu bukan kasih yang lahir dari keluhuran budi, apa lagi?”
Longlai Athari. Pada bahu Guntur dia berpaut. Rendah dia tertunduk seperti kehilangan tenaga. Tuduhan yang dilemparkan pemuda itu begitu menakutkan. Ternyata, Guntur hanya menduga.
Sejak identitinya terdedah, suasana di dalam berek itu juga berubah. Jika bertembung di ruang legar atau lorong, mereka sekadar menyapa dalam senyap. Tidak lagi seperti dulu.
Paling Athari terkesan, Lanang juga menyisih. Dia tidak menyalahkan Lanang, kerana sejak awal pertemuan, ketara yang Lanang tidak senang dengan golongan bangsawan.
“Lagipula… Belum cukup sepurnama kita berkenalan. Apakah suatu kesalahan jika aku tidak tahu segala-galanya tentang dirimu? Engkau juga belum kenal benar siapa aku,” kata Guntur. Dia menyodorkan buku limanya pada dada Athari, tepat di jantung. Tidak kuat, sekadar menolak Athari untuk tegak semula.
Benar juga. Mereka mungkin rakan sebilik dan sepasukan. Tapi, hayat perkenalan mereka masih pendek. Sehingga saat ini, mereka tidak sempat untuk menarik nafas, apa lagi berbicara panjang berkongsi tentang diri masing-masing.
“Aku… telah dihantar ibuku untuk menjadi anak angkat saudaranya yang tidak berzuriat. Pamanku pembesar jauh daerah di ceruk tenggara negeri. Namun, setelah kedatanganku, mereka berputera.” Athari tersenyum kelat. “Aku punya ramai saudara kandung, ada dua pasang orang tua, tapi aku… tiada dibawa orang sehilir semudik.”
“Begitu…”
Athari meramas-ramas tangannya, gentar untuk menyaksikan reaksi Guntur. Timbul juga rasa menyesal. Bagaimana jika dia sudah terlanjur kata? Guntur tidak bertanya, mengapa dia harus bercerita?
Ada suara dehem di belakangnya. membuatkan Athari sentak menoleh. Lanang ada di situ, bersama Bakti. Ada jeda yang kekok antara mereka.
“Ayahku penghulu Kampung Bhumija Hijau. Aku anak tengah dari tiga beradik, semua lelaki. Yang sulung akan warisi posisi penghulu, manakala yang bongsu masih remaja,” kata Lanang perlahan. Dia menghulur jabat tangan, “Aku hanya pemuda biasa-biasa, tapi… bolehkah kita kekal bersahabat?”
Tidak bertangguh, Athari menyambar tangan Lanang dan menariknya ke dalam dakap. Lanang membalas dakapan itu, erat. Bakti mendekat dari belakang Lanang, menawarkan senyuman pahit. Dari gerak bibir, pemuda itu juga membisikkan permohonan maaf.
Mereka melerai pelukan selepas beberapa ketika. Masih ada beberapa perkara yang belum terluah. Tapi, cukuplah untuk masa ini. Guntur sekadar menepuk-nepuk belakang Athari sambil menyapa Nasir dan Arjuna yang baru turun dari tingkat dua.
“Adakah kalian sudah selesai?” suara garau Jallal menyentakkan mereka berempat. Mereka mendapati pemuda berparut itu bercekak pinggang, beberapa langkah dari pintu biliknya. Dia memandang Athari, “Apa jadual pergerakan kita hari ini?”
Athari berdehem, mengumpulkan tenangnya semula. “Kita akan ada latihan gabungan dengan pasukan Satria Raja sehingga tengahari. Petang, kita akan bertugas mengawal Tengku Putera.”
“Aaa… Kita ada pertukaran rencana,” Tiba-tiba, ada suara yang menyampuk. Serentak mereka bertujuh menoleh ke arah pintu. Alang, remaja suruhan Putera Zulkarnain sedang terpacak di depan pintu sambil menawarkan senyuman secerah mentari. “Selamat pagi, abang-abang Satria!”
“Alang! Buat apa di sini?” sapa Lanang.
“Saya mengirim pesan. Hari ini, Tengku Putera ingin ke luar istana. Jadi, abang-abang Satria sekalian, bertukarlah ke pakaian biasa. Tengku di menanti di kandang kuda di belakang,” kata Alang pendek sebelum menghilang.
Mereka bertujuh saling pandang antara satu sama lain, masih mencerna maksud pertuturan Alang.
“Mohon bersegera, sebelum hari jadi makin terang!” Alang menjengul di tingkap sebelum menghilang semula.
“Kalau kita diminta bertukar ke pakaian biasa…” Ayat Nasir tergantung begitu sahaja.
“Ertinya, Tengku mahu menyamar dan merahsiakan perjalanan ini. Takkan itu pun masih tidak mengerti?” Jallal mendengus sambil melonggarkan butang seragamnya. Sebaik sahaja degar pintu bilik Jallal bergema, Satria-satria yang lain terus bergegas ke bilik masing-masing.
“Aku baru selesai memakai seragamku!” rungut Guntur bergema, mencetuskan tawa rakan sebiliknya.
Gara-gara pertukaran jadual yang tidak disangka itu, ketujuh-tujuh Satria itu kelam-kabut bertukar pakaian. Menyedari mereka akan keluar menyamar bersama Putera Zulkarnain, mereka perlu mencari cara untuk menyembunyikan senjata dan perisai ringan mereka di sebalik pakaian biasa sehari-hari.
Ketika mereka sampai di kandang kuda yang berada di belakang berek itu, Putera Zulkarnain sudah berada di sana. Dia santai mengelus seekor kuda putih yang sedang meragut rumput di hadapan kandang kuda itu.
“Oh, kalian sampai lebih cepat dari yang beta kira,” tegur Putera Zulkarnain. Dia hanya memerhatikan dari ekor mata penampilan ketujuh-tujuh satrianya itu. Ada yang mampu datang dengan kemas dan seadanya, manakala ada yang masih terkial-kial mengemaskan pakaian ketika berlari anak.
Guntur yang datang paling terakhir memandang Putera Zulkarnain dan rakan-rakan sepasukannya silih berganti. “Wah, kalau dilihat-lihat… hanya Athari yang kelihatan seperti tuan muda kaya dalam kalangan kita.”
Athari terus menyiku Guntur, sampai merengkuk pemuda itu. Geram dia dengan keceluparan Guntur. Namun, dia juga tidak dapat menyangkal. Memang benar hanya dia yang menonjol dengan pakaian yang ketara dari kain bermutu tinggi. Sedangkan, Putera Zulkarnain sendiri tampak seperti orang kebanyakan dengan mengenakan baju dari kain yang pudar warnanya.
“Patutkah… patik bertukar pakaian, tengku?”
“Tidak perlu. Mungkin ada baiknya begini.” Putera Zulkarnain tersenyum nipis. “Di luar nanti, panggil beta dengan nama Naim, hanya pengawal biasa Tuan Muda Athari Gandarya. Kita menyamar. Mengerti?”
“Mengerti…” jawab para Satria itu terkidum-kidum, kecuali Athari yang meraup wajah. Telinganya merah padma.
Mereka mendapatkan seekor kuda seorang satu dan memakai kain layang yang disediakan oleh Alang. Dalam gelap-gelap awal pagi itu, mereka berjalan menuju gerbang utara yang berada di dalam hutan nipis. Di setiap lapisan pertahanan istana, akan ada seorang srikandi atau satria, orang-orang suruhan Puteri Zulaikha yang membantu mereka menyelinap keluar.
Setelah tiba di kaki Bukit Agung, mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di benteng terakhir. Gerbang kota di utara itu biasanya digunakan oleh para petani atau pemburu untuk pergi ke kawasan pertanian dan hutan yang berdekatan. Lantas, laluan keluar di gerbang itu tidak begitu sibuk seawal pagi itu.
Rombongan mereka dibenarkan keluar dengan mudah, cukup Putera Zulkarnain menayangkan plak besi berlambang Satria Istana. Mereka meneruskan perjalanan ke arah barat laut. Sekali lagi, mereka memasuki hutan nipis. Denai yang mereka telusuri semakin lama semakin menanjak, menaiki tanah tinggi.
Ketika matahari pagi sudah semakin menerangi langit, mereka sudah jauh dari tembok batu yang mengelilingi kota. Puncak tertinggi Istana Purnama Windu kelihatan sayup-sayup antara rimbunan daun.
“Kalau patik boleh bertanya, kenapa tengku tiba-tiba mahu keluar dari istana?” Athari akhirnya bertanya. Dia sebenarnya mewakili musykil rakan-rakannya yang lain.
Putera Zulkarnain hanya menoleh seketika pada Athari sebelum menjawab, “Beta tidak akan mendapat rehat yang sebenar-benar rehat jika beta kekal di istana. Terlalu ramai yang akan mencari beta. Sesak.”
“Tapi… bukankah hari ini kerabat sebelah gemulah bonda Tengku ingin datang berkunjung?”
“Tepat sekali.” Putera Zulkarnain mendesah, lelah. “Beta tidak ingin menemui sesiapa. Noktah.”
Ada lagi yang ingin Athari pertanyakan, dia pilih untuk membungkam. Rombongan itu diselubungi khali. Hanya diisi oleh bayu yang berdesir dan redup rimbunan dedaunan pokok membawa tenang ke dalam diri.
“Beta akan kerap lakukan ini lagi di masa hadapan. Jadi, jangan pernah lupa bawa senjata dan perisai ringan kalian.” Putera Zulkarnain menyambung. Dia menoleh lalu melemparkan senyum segaris. “Ramai yang mengincar nyawa beta.”
Para Satria serentak menggenggam erat senjata masing-masing.
Anak jantan
[Maksud: lelaki yang berani]
Tikam dari belakang
[Maksud: Belot]
Tiada dibawa orang sehilir semudik
[Maksud; Tersisih dari pergaulan]
P/s: PBAAKL2024 dah tamat, ertinya sekarang penerbit dah strat planning dan mulakan kerja untuk PBAKL tahun depan pula. Pada masa yang sama, aku pula ada 6 bulan je lagi untuk siapkan Kronika Inderagana kalau aku nak debut tahun depan. Aku nak bantai siapkan draft ni secepat mungkin, jadi kalau aku lambat update atau kualiti setiap chapter aku tak seberapa, aku minta maaf awal-awal, ya... Dan, doakan aku dapat rezeki ilham dan dipermudahkan urusan berjuang nak terbit ni, hehehe.
Jadi, amatlah dihargai kalau korang sudi undi, tinggalkan komen atau kongsi link dengan orang lain! Terima kasih~~~
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro