Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 24 : Kayu Besar di Tengah Padang

Ruang kerja Putera Zulkarnain tenang dan hening, sama seperti hari-hari yang lalu. Hanya dihiasi dengan bunyi kertas-kertas diselak, biji sempoa berdetak-detak dan langkah-langkah senyap tiga Srikandi yang dihantar untuk membantu putera itu.

Putera Zulkarnain sedang menekuni laporan kutipan cukai wilayah utara Inderagana yang bertarikh tiga tahun lalu. Dahinya berkerut dalam, membandingkan dua dokumen di tangannya. Kiraan kutipan cukai tampak sempurna tiada cacat cela, namun ia tidak selari dengan laporan masalah berbangkit yang melanda daerah itu.

Ada kesilapan atau ada penyelewengan?

Putera itu mencapai kertas baru. Namun, ada sesuatu yang membantutkan pergerakan tangannya. Ada getaran lain yang dihantar oleh lantai yang dipijak. Bukan langkah srikandi-srikandi di dalam ruangan itu, ataupun pengawal-pengawal di luar. Derap langkah mereka ramai dan sedang menuju ke sini. Putera Zulkarnain menoleh pada Dang Anum yang duduk tidak jauh darinya.

"Dang Anum," panggilan Putera Zulkarnain menyentakkan wanita itu. Apabila Dang Anum menoleh, barulah putera itu menyambung, "Adakah sesiapa cuba bertemu dengan beta lagi hari ini?"

"Untuk hari ini tiada, Tengku. Semua yang memohon pertemuan dengan Tengku, sudah ditolak awal-awal."

"Jadi, rombongan siapa yang sedang datang ke mari?" Putera Zulkarnain bingkas berdiri, lalu memanjangkan langkah ke jendela.

Dang Anum kehairanan dengan kelakuan Putera Zulkarnain. Belum sempat bertanya, tiba-tiba sahaja pintu terkuak luas.

"Adinda!" Puteri Zulaikha menyeru riang sambil melangkah masuk. Di belakangnya, beberapa orang srikandi dan dayang-dayang mengekori, masing-masing membawa raga. Srikandi-srikandi yang ada di ruangan itu segera mengangkat sembah untuk menyambut kedatangannya.

"Ayunda?" Putera Zulkarnain terkejut. “Ada hajat apa ke mari?”

Ini pertama kali Puteri Zulaikha melawat ke ruang kerjanya. Datangnya pula tidak berisytihar. Biasanya, hanya orang suruhan yang berulang-alik menyampaikan pesan antara mereka. Jarang mereka dapat bertemu siang hari kerana masing-masing sibuk.

"Hanya ingin mengunjungi adinda," jawab Puteri Zulaikha sambil matanya itu melilau ke serata arah.

Puteri itu ketawa kecil sambil menjongket kening pada Dang Anum, mempersoalkan mengapa ruangan itu ketandusan hiasan-hiasan penyerinya. Masakan ruang kerja putera raja sepolos dan sesederhana ini? Hanya barang-barang penting dan berguna sahaja tinggal.

Dang Anum dan tiga orang srikandi itu hanya tersenyum sumbing sambil menggeleng. Bukan salah mereka. Mereka berempat serentak menoleh ke satu arah. Membawa pandangan Puteri Zulaikha hinggap pada Putera Zulkarnain.

"Adinda, kenapa duduk di jendela?" Puteri Zulaikha bercekak pinggang pada pemilik ruangan itu. Putera Zulkarnain yang masih terpaku, sedang duduk sangkil di ambang jendela.

"Tengku Putera nak melompat keluar, Tengku Puteri!" Dang Anum menyahut cepat.

"Lompat keluar? Adinda, ini di tingkat tiga!" seru Puteri Zulaikha. Dia segera memanjangkan langkah untuk mendapatkan saudaranya itu.

"Tengku Putera suka melompat keluar kalau ada bangsawan mencarinya, Tengku Puteri!" sampuk Dang Anum, membuatkan mata Puteri Zulaikha makin bulat.

"Dang Anum!" Putera Zulkarnain separuh menjerit. Srikandi ini, mulut tempayan! Pijar wajahnya apabila para srikandi dan dayang yang ada di ruangan itu mulai mengekek antara satu sama lain.

"Jadi, inilah sebabnya bangsawan-bangsawan tidak dapat bertemu langsung dengan adinda? Adinda lari sampai terjun jendela?" Puteri Zulaikha ketawa sambil menggeleng. Dia menarik lembut pergelangan tangan saudara lelakinya itu. Seperti layang-layang ditarik talinya, Putera Zulkarnain akur turun dari jendela lalu terus masuk ke dalam dakapannya.

"Nakalnya putera Inderagana yang seorang ini."

Saudaranya itu merengus halus, memprotes. “Mereka tidak faham bahasa, ayunda. Sudah orang tidak sudi, masih dipaksa-paksa.”

Dakapan mereka hanya sebentar bila Putera Zulkarnain yang meleraikan dahulu. Kehangatan dakapan itu dengan pantas meruap, meninggalkan sedikit rasa hampa di sudut hati Puteri Zulaikha. Namun, puteri itu pantas menampal senyuman.

"Ada apa ayunda sampai datang ke mari? Terjadi sesuatu?" tanya Putera Zulkarnain setelah tunduk menyalam tangan saudarinya itu.

"Tidak… tiada apa-apa berlaku. Hanya saja, ada burung kecil berbisik, tuannya lupa memberinya makan. Takut dia mati kebuluran." Puteri Zulaikha mengerling ke belakang.

Di situ, ada Alang. Remaja itu segera menyorok di belakang seorang dayang apabila menerima jegilan Putera Zulkarnain. Kalau bukan dia, siapa lagi yang berani mengadu dengan Puteri Zulaikha? Rupanya itu kerjanya menghilang sebentar tadi!

"Ayunda dengar adinda turun dari istana awal, sebelum mentari terbit lagi. Adinda ada mengalas perut atau tidak sebelum bekerja?" soal Puteri Zulaikha lagi.

“Tentulah adinda ada makan dan minum, ayunda. Alang yang hidangkan. Lima cawan teh dan sepiring kuih cara berlauk!”

“Itu tidak dikira, wahai adindaku sayang. Kalau belum menjamah nasi, maknanya belum kenyang!” bidas Puteri Zulaikha. “Mujurlah Alang datang mengadu dengan ayunda. Kalau tidak, dia pun makan kuih dari pagi sampai petang sebab tuannya sendiri lupa makan!”

Putera Zulkarnain akhirnya tertawa. Memang betul dia lupa makan. Jadi, dia tidak akan menang berhujah dengan Puteri Zulaikha. Jika bukan kerana kedatangan saudarinya itu, dia mungkin tidak sedar matahari sudah tegak di atas kepala.

“Sudikah adinda bersantap bersama ayunda?”

"Tentu sahaja, ayunda. Tentu sahaja." Putera Zulkarnain menjawab lembut. “Kalau sudah berair kerongkongan, rugilah adinda andai menolak pelawaan.”

Dari ekor mata, Putera Zulkarnain nampak Alang menjulang tangannya kegirangan. Di sebalik senyum manisnya, Putera Zulkarnain sudah membayang keinginan untuk memiat pipi remaja itu. Nanti dia! Alang sudah pandai berhelah melibatkan Puteri Zulaikha!

Sementara para dayang menghidangkan juadah di atas meja yang kosong, Putera Zulkarnain menemani Puteri Zulaikha berkitar di ruang kerjanya itu sebentar. Panjang perbicaraan dua bersaudara diraja itu di hadapan peta besar Inderagana yang terpajang di dinding. Kadang santai, kadang serius dan sekali-sekala diselangi tawa halus. Putera-puteri itu seakan-akan lupa akan kewujudan orang lain yang masih ada di situ.

Para dayang sudah siku-menyiku antara satu sama lain, tergedik-gedik mencuri pandang susuk Putera Zulkarnain. Maklum, bukan senang melihat orangnya walaupun sama-sama tinggal di istana.

Para srikandi pula saling bertukar pandang, tidak percaya dengan pemandangan yang dilihat. Sepanjang mereka membantu Putera Zulkarnain, payah untuk melihat hatta seulas senyum pada bibir putera itu. Bercakapnya hanya bila perlu, itupun pada Dang Anum. Tetapi, bila dengan Puteri Zulaikha, mereka dapat menyaksikan sisi Putera Zulkarnain yang jauh berbeza.

Selesai hidangan dan segala kelengkapannya tersusun rapi di atas meja, para dayang dan srikandi mengundurkan diri untuk memberi ruang buat putera-puteri itu bersantap bersama. Hanya berdua dengan saudarinya, barulah Putera Zulkarnain menanggalkan topeng peraknya.

“Sebenarnya, ayunda sememangnya ada hajat lain bertemu dengan adinda.” Puteri Zulaikha akhirnya bersuara di hujung santapan mereka. “Tentang Satria Putera, pasukan pengawal adinda.”                  

“Kenapa dengan mereka?” tanya Putera Zulkarnain. Dia menurunkan kendi air basuhan tangan ke bekas tadahannya semula. “Jika ayunda ingin bertemu, adinda akan bertemu dengan mereka pukul dua nanti.”

“Adinda tidak tahu kejadian yang berlaku di istana pagi tadi?”

Bila Putera Zulkarnain menggeleng kebingungan, Puteri Zulaikha hanya terkidum-kidum sendiri. Bila ditanya, tidak pula puteri itu mahu menjelaskan kejadian apa yang dimaksudkannya. Putera Zulkarnain menyerah, menganggap tiada kejadian yang mustahak untuk dia ketahui. Lagi-lagi, bila melihat Puteri Zulaikha terhibur begitu.

“Apa rencana adinda bertemu dengan mereka setelah ini?” Puteri Zulaikha menukar arah perbualan. “Adakah adinda akhirnya akan menerima mereka sebagai pengawal-pengawal adinda?”

“Kalau adinda menolak, ke mana hendak pergi layang-layang itu? Talinya di tangan kita,” jawab Putera Zulkarnain acuh tidak acuh. “Mereka sudah sah dilantik menjadi sebahagian Satria Istana, sudah menjadi bawahan adinda, ayunda. Lagi pula….”

Ada jeda pada ucapan Putera Zulkarnain. Dia menoleh ke arah pintu yang tertutup, tempat Alang bersama para Srikandi dan dayang-dayang menunggu di luar. Putera Zulkarnain menyambung perlahan, “Sejujurnya, ada yang pernah menyentak adinda. Bagaimanapun juga, para Satria itu… terlebih dahulu menjadi rakyat jelata negeri ini sebelum menjadi Satria.”

Sedari tadi, Puteri Zulaikha sebenarnya memerhatikan saudaranya itu. Tanpa topeng perak yang menyembunyikan sepasang matanya, mudah menebak rasa yang tersirat di sebalik perkataan Putera Zulkarnain. Saudaranya itu sedang jujur, walaupun masih dibayangi ragu-ragu.

“Benar, adinda. Sudah seharusnya adinda berfikir sedemikian. Kita ini adatnya mesti menjadi pohon besar di tengah padang. Tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan untuk rakyat jelata kita,” ujar Puteri Zulaikha lembut. Dia mencapai dan menggenggam erat tangan Putera Zulkarnain.

“Walau bagaimanapun, teduhan kasih ayunda lebih teguh dan redup berbanding adinda. Ayunda yang bakal menjadi masa depan negeri ini.” Putera Zulkarnain mengucup tangan Puteri Zulaikha.

Tergamam Puteri Zulaikha dibuatnya.

“Mereka tidak akan lama dengan adinda. Namun, selagi mereka masih bersama adinda, adinda akan cuba melatih mereka sampai setara Srikandi-srikandi ayunda.”

“Mak… maksud adinda?”

“Adinda tidak berniat untuk membiarkan mereka sekadar menjadi patung cendana. Mereka mesti ada kebolehan selain menjadi pengawal.” Putera Zulkarnain menuding tumpukan dokumen di sudut ruang itu lalu menjawab, “Adinda mahu mereka bantu adinda dengan semua ini.”

Ke mana hendak pergi layang-layang itu, talinya di tangan kita.
[Maksud: Orang yang lemah itu tidak akan lepas daripada hukuman orang yang berkuasa (orang yang berhutang itu tidak akan lari kalau jaminan ada pada kita)]

Berair kerongkongan.
[Maksud: Ada rezeki]

Kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan
[Maksud: Pemimpin yang menjadi tempat rakyat mengadu nasibnya]

p/s: Hai! I'm back!
Jangan marah tau sebab lama menghilang. Berbulan lepas sibuk dengan aktiviti penulisan Inkfinity. Tau-tau kali terakhir update bulan 3, hahhaha. Insha Allah, urusan ni tak lama lagi selesai, aku pun dah ada masa senggang untuk fokus cerita sendiri. Tolong orang menulis, takkan sendiri pun tak menulis, kan?

Itu baru namanya 'anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusukan'!

Macam biasa, jangan lupa komen, kritik, undi dan kongsi!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro