Bab 23: Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya
Balai Tadbir Utama
Ruangan Perdana Menteri
Bunyi ketukan membuatkan Tun Mahad berpaling ke arah pintu. Datuk Muzdamar berdiri di sana, segak dalam balutan busananya. Biasanya kalau tidak menyarung baju seragam, lelaki itu pasti sedang berada di luar istana.
"Tun memanggil?"
"Ya, Datuk Bentara. Ke marilah. Ada yang harus kita bincangkan bersama." Tun Mahad mengarahkan tangannya ke bahagian kanan ruang kerjanya, ke arah kumpulan kerusi dan meja kopi.
Datuk Muzdamar mengangguk akur. Dia menutup pintu sebelum mengambil tempat duduk di hadapan Perdana Menteri itu. Ketika itu, Tun Mahad sedang menuangkan secawan kopi untuknya.
"Apa pendapatmu tentang putera Tuanku?" Tun Mahad terus bertanya sebaik sahaja menurunkan teko.
Ada dengusan keras yang terlepas dari Datuk Muzdammar. Itu membuatkan Tun Mahad ketawa kecil. Cukuplah dengusan itu sebagai jawapan baginya.
Bentara Utama itu berdehem untuk mengumpulkan tenangnya kembali.
"Adakah perihal Tengku Putera yang Tun hendak bicarakan?" tanya Datuk Muzdammar. "Tun sendiri sudah bertemu dengan baginda, bukan?"
"Begitulah. Seperti yang datuk telah perkatakan, Tengku Putera tidak ingin menonjolkan diri. Berita kelakuannya sudah menggemparkan sekalian bangsawan." Tun Mahad menggeleng. "Kemana-mana saya pergi, semuanya mempertanyakan perihal putera itu."
"Lalu, bagaimana dengan rencana Tun, jika awal-awal lagi Tengku Putera sudah bertingkah sebegini? Tengku Putera juga mengelak untuk bertemu dengan kerabat bondanya, gemulah Ratu Cenderakasih."
"Soal putera itu, tiadalah yang perlu kita bimbangkan."
Tun Mahad mencapai sebemban kertas berikat benang merah di atas meja, lalu menyuakannya kepada Datuk Muzdammar. Bentara Utama itu mengerutkan dahi ketika menyambut huluran itu.
Setelah membiarkan Datuk Muzdammar membelek isi dokumen itu buat seketika, barulah Tun Mahad bersuara, "Itu adalah soalan-soalan yang saya sediakan untuk menguji kemampuan putera itu. Lihatlah soalan-soalan yang dijawab, dan soalan-soalan yang dibiarkannya kosong."
Kerutan dahi Datuk Muzdammar semakin dalam apabila dia mengimbas sekali lalu isi kandungan itu.
"Jawapan yang diberikan cukup cemerlang, Tun. Tetapi mengapa pada persoalan tertentu sahaja? Perdagangan, sejarah, pentadbiran wilayah, pertahanan..." Makin pantas Datuk Muzdammar menyelak kertas-kertas soalan itu. "Adakah ini disengajakan?"
"Seperti harimau yang menyembunyikan kukunya, bukan? Tengku Putera hanya menjawab soalan-soalan yang berkaitan bidang kuasanya sebagai putera Inderagana sahaja."
Tun Mahad tersenyum, "Bagaimana menurutmu? Inilah putera yang dibesarkan oleh keluarga Dharman, Datuk Bentara. Sedikit sebanyak, putera itu pasti terikut-ikut pendirian keluarga itu. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya."
Datuk Muzdammar diam membaca jawapan yang dituliskan oleh Putera Zulkarnain. Tulisan tangan putera itu rapi, rapat-rapat dan condong ke kanan. Hujahnya ringkas dan padat dengan bukti dan rujukan. Menunjukkan putera itu mempunyai penguasaan yang baik tentang soalan yang diajukan.
"Kalau Tun Megat sendiri mendidik Tengku Putera, semoga akal dan hati Tengku sudah berada di tempat yang betul sebagai pewaris takhta," kata Datuk Muzdammar sambil menurunkan kertas sebemban itu di atas meja kopi.
"Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi, Datuk Bentara? Tengku Putera itu seperti ayahandanya juga. Kalau ikutkan, boleh sahaja putera itu menjadi kacang yang lupakan kulit. Larikan diri. Tetapi, baginda memilih untuk kembali dan terus membenamkan diri dalam tugas pentadbiran. Sekurang-kurangnya, itulah bukti masih ada kasihnya pada tanah airnya sendiri."
Tun Mahad mencapai kertas sebemban itu. Ditimang-timangnya di tangan kanan.
"Sempat saya khuatir jika kita sudah terlambat, Tun. Tengku Putera kembali ke pangkuan kita ketika sudah besar panjang. Sedangkan, masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur," luah Datuk Muzdammar. Pertemuannya dengan Putera Zulkarnain tidaklah setenang mana.
"Soal pemberontakannya itu, usahlah dirisaukan. Belakang lading kalau diasah lama-lama tajam juga. Di mata orang tua ini, Tengku Putera itu seperti anak yang baru dibedung."
Datuk Muzdamar hanya mengangguk teragak-agak. Perkataan Tun Mahad bermakna ganda dan dia tidak tahu yang mana satu yang dimaksudkannya. Adakah Tun Mahad melihat tindakan Putera Zulkarnain sekadar amukan anak-anak? Ataukah, Tun Mahad yang yakin dapat melenturkan pendirian Putera Zulkarnain?
"Kami serahkan saja kepada Tun untuk meluruskan keengganan Tengku Putera," ucap Datuk Muzdammar, mengambil keputusan untuk bersangka baik.
"Kerisauan kita bukan pada putera itu, Datuk Bentara. Kita tetap akan meletakkan pewaris takhta yang layak di atas takhta, apa pun caranya." Nada Tun Mahad bertukar serius. "Namun, penghalang terbesar matlamat kita ketika ini ialah keris kebesaran diraja. Tanpa keris itu, usaha kita hanya akan menemui jalan buntu."
Apabila disebut tentang keris itu, wajah Datuk Muzdammar bertukar keruh.
Keris kebesaran diraja yang dimaksudkan ialah keris sakti turun temurun yang diwariskan dari raja pertama Inderagana. Pertabalan raja Inderagana tidak dapat dilakukan tanpa keris itu.
Sebagai Bentara Utama, dia seharusnya menjadi penjaga alat-alat kebesaran diraja. Namun, artifak yang paling berharga disedari hilang setelah pelantikannya.
Seperti mengetahui apa yang tersirat di dalam fikiran lelaki itu, Tun Mahad menyambung, "Datuk Bentara, pelantikanmu itu adil. Setelah Tun Megat meletakkan jawatan dan menghilangkan diri, hanya dirimu yang layak menggantikannya. Namun, soal keberadaan keris itu, tiada orang lain yang boleh dituduh selain Tun Megat. Tuanku Raja juga tutup mulut apabila ditanya tentang keris itu, seolah-olah bersubahat."
Bagi Datuk Muzdammar, itu sama sahaja dengan Raja Zulaqram tidak mengakui dirinya sebagai Bentara Utama. Namun, dia tidak akan menzahirkan hal itu.
Tun Mahad merenung tajam Datuk Muzdammar.
"Kita tidak boleh biarkan kuasa memilih pewaris takhta yang seterusnya terjatuh dari tangan kita, Datuk Bentara. Jika keris sakti itu disalahguna, entah apa akan terjadi pada masa depan Inderagana. Sebelum apa-apa yang tidak terduga terjadi, kita harus cari keris itu!"
"Tentu sahaja, Tun. Tentu sahaja." Datuk Muzdammar menggangguk. Dia mencengkam erat penumbuknya. Dia ada misi besar yang harus dilaksanakan.
Laluan beratap, menuju Gerbang Sri Wibawa.
Istana Purnama Windu.
Pagi
"Tengku, tidak mengapakah anggota Satria Tengku berlari di dalam hujan seperti ini? Mereka sudah berlatih sejak awal pagi lagi..." Alang menyaingi langkah pantas Putera Zulkarnain. Hanya itu peluangnya berbicara dengan putera itu ketika Dang Anum dan Srikandi-srikandi yang mengekori mereka tertinggal agak jauh di belakang.
Apabila sekali lagi Alang memanggilnya dengan suara lirih, Putera Zulkarnain akhirnya berhenti melangkah. Dia memandang Alang, sebelum mengarah mata ke arah yang dituding remaja itu.
Sayup-sayup di kejauhan, ada tujuh batang tubuh sedang berulang-alik berlari anak di lereng Bukit Agung. Hanya ada mereka. Tidak pula kelihatan Satria-satria Istana yang lain sedang membuat latihan.
Pada ketika itu, hujan belum ada tanda-tanda untuk berhenti. Angin laut juga bertiup deras, membawa tempias air hujan membasahi susur gajah. Walaupun dengan pakaian yang berlapis dan memakai kain layang, Alang jelas kelihatan sedang menggigil.
Putera Zulkarnain spontan meletakkan tangannya pada ubun-ubun Alang, berniat untuk menyalurkan kuasa Karunianya. Namun, Alang terlebih dahulu menangkap tangan Putera Zulkarnain, menghalang tindakannya itu. Perlahan-lahan, dia menurunkan tangan putera itu.
"Tengku..." Alang resah, melihat antara Putera Zulkarnain dan anggota Satria Putera yang masih berlari dalam hujan.
"Mereka Satria-satria sedang dilatih, Alang. Apa masalahnya?" jawab Putera Zulkarnain.
"Tapi..." Alang masih ingin mengatakan sesuatu, tetapi dia sedar perbualannya degan Putera Zulkarnain sedang berada di tengah-tengah alam, menjadi tatapan dan perhatian semua.
"Jika engkau merasa latihan mereka itu keras, keras lagi latihan yang dihadapi Satria Bayang. Beta juga melaluinya. Apalah sangat berlari di dalam hujan?" Putera Zulkarnain membalas dengan nada yang sama rendah.
Alang mendesah resah. Wajar Putera Zulkarnain tidak melihat keadaan itu sebagai sesuatu yang aneh. Putera itu sendiri sudah alah bisa tegal biasa dengan latihan yang keras sejak kecil.
"Tapi, tengku. Keras-keras bagaimanapun latihan yang tengku telah lalui dengan Satria Bayang... luka diubati, lapar dikenyangkan, haus dilegakan dan penat direhatkan. Tapi latihan yang dikenakan ke atas mereka bertujuh sudah di luar nalar, Tengku..." kata Alang.
Putera Zulkarnain diam. Hanya melihat tujuh anggota Satria Putera itu tanpa reaksi. Alang tahu dia harus menekan lagi untuk menggerakkan hati Putera Zulkarnain.
"Adakah Tengku Putera lupa? Sebelum mereka itu Satria Inderagana, mereka tetap rakyat jelata Inderagana, rakyat jelata Tengku. Patik memohon belas dan simpati Tengku pada mereka." Alang mengangkat sembah, dan sembahnya kekal di ubun-ubunnya.
Putera Zulkarnain mendengus perlahan lalu menggeleng. Dia meraih koceknya, mengeluarkan uncang kain kecil. Acuh tidak acuh, dia menghulurkan uncang itu kepada Alang. Mata bundar Alang kembali berseri-seri menerima uncang itu.
"Lakukanlah apa yang engkau mahu, beta tidak peduli.Tetapi, jangan diganggu latihan mereka. Mereka itu di bawah pemantauan Bentara Utama."
"Menjunjung kasih, Tengku!" balas Alang riang. Dia menggenggam uncang yang kecil tetapi berat itu rapat ke dada.
Berek Satria Putera,
Malam.
"Kita sampai!" Berpadu jeritan tiga pemuda menggegar berek itu.
Pintu utama berek itu dirempuh dengan badan-badan mereka. Nasir, Guntur dan Bakti hanya lajak beberapa langkah sebelum mereka terjelopok di atas lantai kayu. Mereka berbaring di sana sambil mengekeh ketawa sesama mereka. Lanang menyusul di belakang. Air menitik-nitik dari pakaian mereka yang basah, membentuk lopak di setiap langkah mereka yang gontai.
"Bagaimana kalian masih ada tenaga untuk bergurau begini?" Lanang menggeleng melihat kelakuan mereka bertiga. Dia mengambil tempat di sebelah Guntur. Ketika merebahkan diri, dia berdesis perlahan menahan sengal dan kesakitan di seluruh tubuhnya.
"Badan kalian baik-baik saja?" tanya Guntur.
"Tidak sama sekali! Sakit, pegal, lenguh, bisa, sejuk..." Bakti menyebut sambil membilang. Tiba-tiba, perutnya ikut menyahut dengan bunyi keroncong yang kuat. Bakti merengek, "Dan, aku lapar..."
Bingit tawa mereka bersatu. Namun, dengan cepat juga ketawa mereka itu mati, bertukar dengan erangan dan gerutu. Mereka lambat menyelesaikan larian mereka tadi, menyebabkan mereka terlepas waktu makan. Dewan Makan Satria sudah lama tutup. Kempunanlah mereka.
"Ah... celaka mereka semua! Memang nak bunuh kita agaknya. Tak cukup nak membantai kita dalam latihan, sengaja pula buat kita kebuluran!" Bakti bangun dari pembaringan lalu melepaskan baju. Dia membelek badan sendiri.
"Ini boleh jadi biru ni, Bakti." Nasir ternampak kesan lebam bulat lonjong di rusuk kanan Bakti. Memerah dan membengkak, ketara kesan dihentak dengan senjata tumpul. Dia segera bangun lalu duduk bersila di belakang Bakti.
"Aduh!" Tersentak Bakti ketika Nasir menyentuh lebam itu. "Bisa sungguh! Bila masa aku kena?"
"Kenapa tu?" tegur Athari yang baru melangkah masuk. Di tangannya ada kain samping yang sudah bergulung selepas diperah. Hairan dia melihat Bakti terpusing-pusing membelek diri sendiri.
"Kau tengok ni, Athari! Badan Bakti lebam membiru seperti ini," lapor Nasir bersungguh-sungguh. "Bagaimana kau tidak perasan, Bakti?"
"Aih, manalah aku tau... Dalam keadaan kita semua kena bertarung dengan ramai orang serentak, mana ada masa aku nak ingat pukulan siapa yang hinggap di badan aku?"
"Bagi aku tengok." Athari melutut di depan Bakti.
Bakti mengilas punggung untuk menunjukkan belakang badannya kepada Athari. Selain lebam yang diberitahukan Nasir, kulit Bakti ditandai kesan birat-birat yang lain. Bakti tersentak-sentak dan menggeliat apabila Athari menekan perlahan pada beberapa tanda membiru itu.
"Biasalah begini. Habis guna hikmat kebal, barulah sakitnya datang serentak," ulas Athari. "Esok aku akan cuba minta ubat sapu dari tabib istana. Kalau dibiarkan nanti takutnya melarat pula. Bagaimana pula dengan kalian?"
"Buka baju kalian cepat. Kita tengok siapa paling banyak luka!" Bakti tiba-tiba mencabar. "Siapa yang banyak luka, tandanya pertahanannya mudah bolos!"
"Ini yang aku pantang ni!" Guntur terus duduk, menarik laju hujung bajunya. "Siapa paling banyak luka, kena jerang air panas!"
"Setuju!" Nasir terus melepaskan bajunya.
"Kenapa sampai jadi pertandingan pula?" Lanang menggeleng. Dia kekal berbaring memerhatikan ketiga-tiga pemuda itu mula membilang luka di badan sendiri. Benda sebegitu pun boleh dijadikan bahan gurauan.
Athari mengangguk setuju dengan wajah yang pasrah.
Walau bagaimanapun, Athari tetap memeriksa kecederaan mereka. Menurut perkiraan, Nasir mendapat kesan lebam paling banyak, diikuti oleh Bakti, dan akhir sekali Guntur.
Sebagai antara pertarung barisan hadapan pasukan mereka, Athari fikir Guntur yang akan dapat mendapat banyak luka.
Rupanya, sangkaannya meleset.
Guntur sengaja memperaga otot lengannya, berlagak angkuh atas 'kemenangannya' itu. Secepat itu juga, dia diterkam Bakti dan Nasir. Tunggang-terbalik mereka bertiga gelut beracah-acah.
"Athari, tolong aku!" Guntur terkapai-kapai di bawah tindihan Nasir.
"Semoga selamat, saudaraku," balas Athari selamba, menyebabkan Lanang tersembur ketawa. Tidak cukup kudrat Athari hendak melayan tiga serangkai itu. Perangainya cukup kebudak-budakkan, tidak padan dengan umur.
"Eh, apa yang abang-abang buat di sini?" Arjuna yang baru masuk terkejut melihat mereka berlima berhimpun di tengah-tengah ruang. "Tidak terus berganti baju?"
"Nak menghilang penat, Arjuna. Nanti kami naiklah. Lagipun baju masih basah," jawab Lanang.
'Begitu..." jawab Arjuna terangguk-angguk. "Abang Nasir, saya naik dulu, ya?"
Belum sempat Nasir membalas, Arjuna sudah berlari menaiki tangga ke tingkat atas. Seperti lipas kudung sahaja lagaknya. Nasir yang ditinggalkan terpinga-pinga.
Perhatian mereka berlima teralih ke muka pintu apabila mendengar bunyi tapak kaki. Jallal muncul, masih lencun dengan air hujan. Dia mengangkat kening melihat mereka di situ. Walau bagaimanapun, Jallal tidak berkata apa-apa pada mereka.
"Abang Jallal!" Derap kaki berlari kedengaran lagi. Arjuna menerpa Jallal, menyuakan kain sarung yang berlipat kepada pemuda itu. "Nah!"
"Tak payah."
Air muka Arjuna serta-merta berubah. Jallal tidak peduli. Dia terus berjalan melepasi Arjuna, memanjangkan langkah ke biliknya.
Namun, semua yang ada di situ dapat melihat pincangnya cara berjalan pemuda itu. Apabila Jallal masuk ke biliknya, Nasir segera bangun mendapatkan Arjuna.
"Abang Nasir..." Arjuna merintih perlahan. "Apa yang perlu saya lakukan? Abang Jallal disebat kerana saya..."
"Bukan salahmu. Kalau aku jadi Jallal, aku pun akan buat benda yang sama," jawab Nasir. Tangannya menepuk-nepuk perlahan bahu rakan sebiliknya itu.
Arjuna hanya mampu mengorak senyum tawar. Matanya masih tidak lepas memandang pintu bilik Jallal yang tertutup rapat. Jelas bahawa pujukan Nasir tidak berjaya menenangkan kegundahannya.
"Dia mempertahankanmu, tandanya dia sebenarnya peduli, Juna. Mungkin orangnya saja agak... canggung. Biar aku yang berbicara dengannya," tambah Nasir lembut. "Mahukah kau menolongku menjerang air panas untuk mandian semua orang?"
"Boleh, boleh!" Secepat itu wajah Arjuna bertukar ceria. Dengan cadangan Nasir, dia masih boleh membalas hutang budinya pada Jallal. Mereka bertujuh sudah berlari di dalam hujan untuk waktu yang lama. Supaya tidak jatuh sakit, mereka harus mandi sekali lagi. Dengan cuaca sesejuk ini, air suam amatlah dialu-alukan.
"Abang gunalah kain sarung saya ini dulu untuk bersalin baju." Arjuna menghulur kain sarung kering di tangannya kepada Nasir.
Nasir menyambut pemberian Arjuna itu dengan senang hati. Remaja itu pula mengagih-agihkan pula kain sarungnya untuk anggota pasukan yang lain. Sementara itu, Nasir terus bersalin. Lega yang teramat apabila seluar yang basah dan sejuk berganti dengan kain yang kering dan bersih.
Arjuna menyertainya semula.
"Kain Arjuna tu jangan buat harta sendiri, tahu?" pesan Nasir, buat-buat garang sebelum mengajak Arjuna ke ruang belakang.
"Taulah!" balas Guntur sambil ketawa. Dia melaung, "Terima kasih, Arjuna!"
Arjuna menayang sengihan.
Setelah pemergian Nasir dan Arjuna ke ruang belakang, Athari, Lanang, Bakti dan Guntur mula menukar pakaian mereka yang basah. Sambil mengetatkan ikatan kain sarung milik Arjuna itu ke pinggang masing-masing, mereka mula terbayang kembali kejadian yang telah berlaku.
Arjuna satu-satunya anggota yang masih belasan tahun dalam kalangan mereka bertujuh, menjadikan dia anggota termuda. Itu juga menjadikan dia sasaran mudah penganiayaan anak-anak buah Tuan Daik.
Seperti baling batu sembunyi tangan, ada sahaja perbuatan khianat yang mereka harus hadapi dari anak-anak buah Tuan Daik. Mereka tiada bukti, tiada juga yang akan membela. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa selain bersabar.
Rupanya, Jallal yang mereka sangka kera sumbang pasukan yang meletus dahulu.
Untuk tuduhan yang tidak masuk akal, Arjuna dihukum tekan tubi. Belakang badannya dipijak lelaki dewasa yang dua kali ganda saiz tubuhnya. Ketika dan saat itu juga, Jallal melayangkan tendangannya. Persetankan perbezaan pangkat, Jallal menempelak ketidakadilan mereka itu dalam setiap serangannya yang bertubi-tubi.
Sekelip mata, pergaduhan berlaku. Mereka berlima spontan ikut serta, tidak mahu Jallal dan Arjuna dibelasah beramai-ramai begitu sahaja.
Pergaduhan itu berakhir kerana Tuan Daik ada di situ. Jallal disebat hanya kerana dia yang menyerang dahulu. Tentu sahaja Tuan Daik tutup mata dengan kekejaman yang anak-anak buahnya lakukan.
"Mujur latihan kita dengan Tuan Daik tamat hari ini. Selepas ini, kita akan berlatih bersama pasukan Satria Raja dan Permaisuri di bawah pengawasan Tuan Jamdar pula," gumam Lanang perlahan.
"Aku harap Tuan Jamdar tidak busuk hati seperti Tuan Daik." Bakti mencemik, "Tuan Daik itu bukan bangsawan. Tapi, 'bangsat'-wan!"
Lanang mahu membuka mulut, tetapi Guntur memintas dahulu. "Lanang, biarkan kami mencemuh. Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Bangsawan seharusnya melindungi marhaen seperti kita, bukannya malah menganiaya. Sekarang hanya kita di sini, apa salahnya meluah?"
"TIdak, aku bukan mahu melarang," Lanang menggeleng. Tiga pemuda di hadapannya itu kehairanan. Selama ini, Lanang sentiasa cepat melarang mereka untuk tidak biadap di depan Satria keturunan bangsawan.
Hampir setiap masa, seperti itulah tabiatnya.
'Jadi, apa yang kau mahu katakan?" tanya Athari.
Wajah Lanang tiba-tiba bertukar serius, "Semoga semua yang menganiaya kita jatuh tersembam dalam tahi kuda atau celah kelangkang diterajang keldai. Terutama sekali, Tuan Daik."
"Uish!" seru Bakti. Dia laju-laju menggosok tengkuknya. Meremang bulu romanya melihat perubahan Lanang yang sekelip mata. Seram!
Guntur sudah ketawa berdekah sampai terbongkok-bongkok. Athari pula terbeliak memandang Lanang. Terkejut melihat sahabatnya yang selama ini lunak bahasanya boleh bertutur sebegitu.
Lanang kekal tenang. Senyumannya yang manis berlesung pipit itu seolah-olah tidak berdosa, seperti bukan dia yang baru sahaja menyumpah kecelakaan pada orang
"Abang-abang! Ke mari lekas! Ada orang sediakan makanan untuk kita!"
Jeritan Arjuna membuatkan kepala mereka berempat terpusing serentak ke ruang belakang. Arjuna ada di sana, melambai-lambai dengan teruja, menggamit mereka datang.
Tanpa tangguh, mereka berempat memecut ke situ. Arjuna menunjuk ke ruang di sebelah kanan. Berpadu jeritan gembira mereka melihat salah satu meja makan di situ dipenuhi dengan hidangan.
Nasir sedang mengaut nasi. Apabila melihat kedatangan mereka, dia menepuk meja dan meletakkan pinggan yang membukit nasinya. Tidak perlu dijemput, mereka semua terus mengambil tempat duduk dan makan.
"Makan, makan! Tak perlu gelojoh. Banyak lagi ni!" Nasir menambah nasi ke pinggan Guntur yang sudah luak separuh. "Air panas sudah dijerangkan, dan ada ubat-ubatan disediakan. Itu, di sana! Aku tengok ubat-ubatan itu ada tanda dagang tabib terbaik Inderagana!"
Mendengarkan itu, Athari terus bangun dan memeriksa raga yang dituding Nasir. Memang benar, raga itu lengkap berisi ubat-ubatan, kain kasa dan peralatan-peralatan untuk merawat luka.
Athari menoleh semula pada Nasir, "Siapa yang sediakan? Adakah kalian terlihat dayang atau awang tadi?"
"Tak tahu, semasa kami datang, semua sudah ada!" jawab Arjuna. "Kami cuba cari, tapi tak jumpa sesiapa."
"Kalian makan dulu. Aku nak panggil Jallal." Nasir berlari keluar dari ruang makan itu.
Athari meletakkan semula botol kaca berisi ubat ke dalam raganya. Melihat anggota sepasukannya makan dengan lahap, dia menyisihkan kecurigaannya. Namun, dia tetap tertanya-tanya, gerangan siapa yang menyediakan semua ini untuk mereka.
Putera Zulkarnain?
Mustahil.
Putera itu sekalipun tidak pernah menjenguk mereka selepas pertemuan tempoh hari.
Jadi, siapa?
Maksud Peribahasa:
"Seperti harimau menyembunyikan kuku."
[Maksud: Orang berpengetahuan yang menyembunyikan pengetahuannya.]
"Bagaimana acuan begitulah kuihnya."
[Maksud: Seseorang anak itu akan mengikut perangai bapa atau ibunya.]
"Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi?"
[Maksud: Baik buruk ibu bapa sedikit sebanyak turun kepada anaknya.]
"Kacang lupakan kulit"
[Maksud: Orang yang lupa akan asalnya (orang yang telah menolongnya dan lain-lain) setelah menikmati kesenangan dan lain-lain.]
"Masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur."
[Maksud: Diajar dan dididik semasa kecil dan jangan ditangguh sampai sudah besar.]
"Seperti anak yang baru dibedung."
[Maksud: Orang yang lurus dan agak bodoh]
"Alah bisa tegal biasa."
[Maksud: Perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.]
"Baling batu, sembunyi tangan."
[Maksud: Berbuat jahat kepada orang, lalu pura-pura tidak tahu.]
"Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru."
[Maksud: Kejahatan yang besar itu tidak dapat disembunyikan.]
Hai, Niemza di sini!
Sebenarnya... hari ini hari jadi saya.(ʘᴗʘ✿)
Jadi, bab ini istimewa sikit sebab lebih panjang dari biasanya. Harap suka!
Nak tanya...
Apa pendapat korang tentang Tun Mahad dan Datuk Muzdammar? Korang rasa, mereka ni orang baik atau sebaliknya?
Kali ini, saya memperkenalkan lebih lanjut tiga watak Satria yang muncul kemudian iaitu Nasir, Jallal dan Bakti. Apa pendapat korang tentang mereka?
Adakah Putera Zulkarnain bertindak kejam kepada Satria bertujuh itu, atau korang boleh faham tindakannya?
Ada nak komen lain? Bagitau je!
Oh, ya! Jangan lupa undi dan kongsi Kronika Inderagana juga, ya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro