Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 22 : Ibarat Telur Sesangkak

Balai Tadbir Inderagana
Tengah hari.

Ketika matahari mulai meninggi, pemuda bertujuh itu menelusuri lorong-lorong Balai Tadbir Inderagana bersama dua orang Srikandi. Apabila kini mereka menyarungkan seragam Satria Istana, banyak mata yang mengekori langkah mereka. Disorot sedemikian rupa, mereka bertujuh keresahan. Berkali-kali mereka memeriksa pakaian masing-masing. Takut-takut kalau tanjak mereka senget, kolar terkelepet atau kain samping hendak terlondeh.

Mereka tiba ke suatu lorong yang mempunyai lebih ramai pengawal daripada tempat-tempat lain. Tiada bangsawan, menteri atau pegawai kerajaan dibenarkan masuk ke sana. Hanya mereka. Srikandi-srikandi yang menuntun mereka ke hadapan sebuah pintu jati beesar sebelum berpaling memandang mereka bertujuh.

“Ini ruangan yang dikhaskan untuk Tengku Putera Zulkarnain. Tunggu di sini sebentar,” pesan salah seorang dari mereka. Ketukan mereka pada pintu jati itu berirama. Disahut seseorang dari dalam, melaung menyuruh masuk. Dua Srikandi itu menghilangkan diri di sebalik pintu, meninggalkan mereka bertujuh di lorong itu.

“Adakah kalian fikir Tengku Putera akan menolak kita sekali lagi?”

Perhatian merek abertujuh teralih pada pemuda yang bertanya itu. Orangnya tinggi lampai, bahkan paling tinggi antara mereka. Dialah yang menerima sepakan dari Tuan Satria Daik semalam.

“Tengku Putera tidak mengenali kita, begitu juga dengan kita. Tinggi kemungkinan, kita juga akan dihantar pulang.” Satu suara garau menyampuk. Pernyataan itu dikeluarkan oleh pemuda pipi berparut yang sedari tadi berjalan paling belakang.

“Jika kita akan disingkirkan lagi, mengapa semalam kita diberikan baju seragam ini? Lengkap pula dengan perlengkapannya.” Lanang pula bersuara perlahan. Dia mengemaskan hujung kain samping kuning pinangnya. “Sekurang-kurangnya, ini jaminan kita tidak akan dibuang begitu sahaja, bukan?”

Keriut pintu kayu jati tiba-tiba kedengaran. Spontan mereka tegak berdiri.

Seorang Srikandi memunculkan diri di sebalik pintu. Dia menyerlahkan senyuman lembut sebelum berkata, “Maaf kerana buat kalian menunggu. Tengku Putera sudah mempersilakan kalian untuk menemuinya.”

Athari melangkah dahulu memasuki ruang pejabat itu, baru diikuti enam pemuda yang lain. Pemandangan pertama yang terhidang buat mereka ialah tumpukan kertas dan berkas-berkas dokumen meninggi dan memenuhi setiap permukaan meja di sekeliling ruangan itu.

Susuk Putera Zulkarnain berada di belakang meja paling besar di ruangan itu.

Srikandi itu meletakkan telunjuknya tegak di depan bibir lalu mempersilakan mereka berbaris sejajar di hadapan meja Putera Zulkarnain. Mereka melangkah dengan senyap.

Dang Anum mengangguk sekali untuk menyambut kedatangan mereka bertujuh. Dia mengerling Putera Zulkarnain di sisinya. Entah sedar entah tidak putera itu akan kehadiran tetamu-tetamunya itu.

“Tengku." Dang Anum menyerahkan sebemban kertas kepada Putera Zulkarnain. Ada bisikan terima kasih terbit dari bibir putera itu walau matanya masih terpaku pada hamparan kertas.

"Tolong hantarkan dokumen ini kepada ayunda beta. Ada sesuatu yang beta ingin rujuk padanya. Sudah beta tulis catatannya di dalam." Putera Zulkarnain menyerahkan pula dokumen lain yang berkulit keras kepadanya. “Kalian bertiga boleh berehat.”

"Sekarang, Tengku?" soal Dang Anum agak teragak-agak..

Apabila Putera Zulkarnain mengangguk dan  merenung tepat ke matanya, Dang Anum mengalah. Dia bersama dua lagi Srikandi itu pun mengangkat sembah, tunduk dan menapak keluar pejabat itu. 

Sebaik sahaja pintu itu terkatup, kesunyian serta-merta menyebar di dalam ruangan itu. Hanya kedengaran bunyi kertas diselak dan kersik-kersik pakaian Putera Zulkarnain. Pemuda bertujuh itu masih menanti dengan sabar. Mereka kekal berdiri tertib sedang putera itu masih menyibukkan diri dengan kertas-kertas di tangannya.

Sekali-sekala, mata mereka meliar memerhatikan ruangan itu. Pada dinding sebelah kanan ruangan itu, terpampang luas peta Inderagana yang tercanting pada kain putih. Titik-titik yang mewakili kota, pekan dan kampung di peta itu ditanda paku halus. Sebagiannya diikat dengan benang merah yang disambungkan dengan kertas-kertas yang dipakukan di sekeliling peta kain itu.

Seorang remaja lelaki yang memakai seragam awang istana sedang ralit membaca di sudut itu sambil dikelilingi timbunan buku.

“Mengapa kalian masih kekal di sini?” Tiba-tiba Putera Zulkarnain bersuara, menyentakkan mereka bertujuh. Setelah mencalit titik noktah pada kertasnya, Putera Zulkarnain akhirnya mengangkat wajah. “Jika kalian mengharap untuk menjadi pengawal peribadi Raja Inderagana yang seterusnya, beta katakan awal-awal… bukan beta.”

“Ampunkan patik, Tengku.” Lanang mengangkat sembah. “Andai hajat kami sememangnya ingin berbakti kepada bumi pertiwi ini selayaknya seorang Satria, adakah Tengku akan melarang?”

“Tidak juga. Selagi kalian berpegang teguh kepada prinsip kalian sebagai Satria Inderagana, beta tidak akan melarang.” Putera Zulkarnain sekilas mengerling Lanang. Setelah meletakkan pena, Putera Zulkarnain menanggalkan sarung tangannya lalu mengelap kesan tinta yang terpalit dengan kain kecil. Putera itu bangkit, mengitari mejanya, lalu berdepan mereka bertujuh mata ke mata.

Putera itu memerintah, “Lafazkan Sumpah Satria Inderagana.”

“Sumpah Satria, Tengku?” tanya Bakti. Putera Zulkarnain sekadar mengangguk. Dia santai menyandar pada mejanya, menanti tindakan mereka.

“Angkat!” Guntur yang terlebih dahulu mengarah. Dia mengangkat tangan kanannya, bersedia untuk berikrar. Pemuda-pemuda yang lain mengikuti perbuatannya walaupun masih dalam kebingungan.

“Kami, Satria-satria Inderagana…” Mereka mengajuk setiap perkataan yang diucapkan Guntur. “Kami bersumpah, akan mendahulukan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan Inderagana, tanah tumpah darah kami. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, setia biar bertempat, canggah biar berhemat.”

“Setia biar bertempat, canggah biar berhemat,” ulang Putera Zulkarnain. “Pegang teguh pada falsafah sumpah itu. Dengan itu, beta tidak akan memusuhi kalian.”

“Kalau benar Tengku tidak memusuhi kami, bolehkah kami meminta penjelasan atas tindakan Tengku selama ini?” Kali ini, pemuda yang berparut di pipi pula bertanya. Nada suaranya bergelombang, bagai membendung rasa kesal.

“Siapa namamu?” tanya Putera Zulkarnain.

“Nama patik Jallal, merafak sembah pertama pada Tengku Putera. Harap sembah patik mendapat ampun.”

Walaupun nadanya mendatar dan renungannya tajam, pemuda berparut di pipi itu rupanya masih patuh pada adab pertama kali bersua anggota keluarga diraja.

Putera Zulkarnain menerima sembah separuh hati Jallal itu dengan tenang. Dia menarik tali kain yang mengikat topengnya, lalu menanggalkan kepingan perak berukir yang menutupi separuh wajahnya itu. Itulah kali pertama mereka bertujuh dapat melihat wajah sebenar Putera Zulkarnain. Elok rupa parasnya, masih segar dengan kesan keremajaan.

“Maafkan beta, jika kalian terasa hati. Penolakan beta ke atas pasukan ini bukanlah bermakna beta ingin bermusuh dengan kalian. Pasukan ini pula dibentuk Majlis Pembesar-pembesar tanpa persetujuan beta. Jika kalian berada di tempat beta, tidakkah kalian prasangka? Bagaimana jika ada antara kalian sebenarnya gunting dalam lipatan?”

“Teng… Tengku!” Pemuda yang tinggi lampai tiba-tiba jadi tidak tentu arah. “Aku… ah, bukan! Patik bersumpah patik tidak berniat jahat dengan Tengku! Patik berada di sini dengan usaha patik sendiri! Patik hanya ingin mengais rezeki dengan jujur dan terhormat. Mana patik berani….”

Putera Zulkarnain mengangkat tangan, membungkamkan pemuda tinggi lampai itu. Dia bertanya, “Siapa namamu?”

“Nasir! Nasir nama patik. Sembah pertama patik pinta diampunkan.” Tergopoh-gapah Nasir mengangkat sembah. Bakti yang berada di sebelahnya menepuk-nepuk belakang badannya, untuk membantu sahabatnya itu menenangkan diri.

“Apa yang harus kami lakukan agar Tengku mempercayai kami?” Pemuda yang berdiri di hujung barisan bertanya. Suaranya perlahan, hampir tidak kedengaran. Apabila Putera Zulkarnain menjongketkan kening kepadanya, dia segera mengangkat sembah pertama lalu berkata, “Nama patik Arjuna, Tengku…”

“Soal percayakan kalian atau tidak, itu keputusan beta. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika kalian bukan musuh beta, maka buktikan,” balas Putera Zulkarnain tenang. Riak wajah Arjuna berubah mendung dengan gundah, manakala pemuda-pemuda yang lain saling berpandangan.

“Lalu, apa yang akan terjadi kepada kami, Tengku? Biarlah jelas siapa kami di dalam istana ini, jangan biar kami tergantung-gantung di awangan.” Jallal bersuara lagi.

Putera Zulkarnain tidak terus menjawab, sebaliknya memperhatikan wajah mereka bertujuh satu-persatu.

“Pasti ada sesuatu yang kalian inginkan sehingga kalian tegar bertahan sehingga ke hari ini. Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang?” Putera Zulkarnain mendepang tangan, bagai memperagakan dirinya sendiri. “Sejujurnya, apa yang kalian inginkan dari orang yang berada di hadapan kalian ini? Pangkat? Kedudukan? Harta? Kemuliaan?”

Soalan yang dilontarnya hanya bertembung khali. Wajah mereka bertujuh bercampur antara terkejut, bingung dan tersinggung. Putera Zulkarnain sudah menduga reaksi itu. Jarang orang mahu membuka pekung di dada sendiri dengan rela.

Dia berjalan ke kerusinya semula. Jemarinya menyentuh kotak putih di atas meja, berisi cop mohor yang diberikan oleh Tun Mahad.

“Beta tidak merancang untuk lama duduk di kerusi ini. Cukuplah adanya ayunda beta, Tengku Puteri Zulaikha Sri Indera. Beta hanya kembali sebentar untuk menjalankan tanggungjawab yang tertangguh. Setelah ayunda beta menaiki takhta, beta akan kembali menghilang seperti sebelumnya.”

“Ah, Tengku… kami belum pun mula berkhidmat sebagai Satria Istana, Tengku sudah khabarkan pembubaran. Seperti kayu buruk sahaja nasib kami. Buruk dek panas, reput dek hujan,” Guntur tiba-tiba mengeluh. Tidak berlapik-lapik dia meluahkan isi hati Muncung bibirnya dan bahunya yang dijatuhkan. Longlai sahaja lagaknya.

“Guntur!” Athari spontan menyiku Guntur. Terkejut dia dengan ‘kejujuran’ sahabatnya itu.

Serentak, ada tawa yang meletus.

Putera Zulkarnain mengerling orang yang berani ketawa itu. Awang muda yang dari tadi mendiamkan diri, serta-merta mengemam mulut. Perlahan-lahan dia tunduk dan cuba mengecil, seolah-oleh mahu bersembunyi di sebalik buku yang diangkat separas wajah.

“Tidaklah beta sekejam itu. Kalian sudah sah menjadi sebahagian Satria Istana. Sementara kalian berkhidmat untuk beta, kebajikan kalian beta yang jamin. Gunakan segala peluang yang ada untuk mempertingkatkan nilai diri kalian, selagi tidak melampaui batas. Supaya beta tiada nanti, kalian boleh diterima di mana-mana saja.  Jadilah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.”

“Tengku, ampunkan patik jika ini lancang. Katakanlah Tengku Puteri mewarisi takhta, mengapa Tengku memilih untuk menghilangkan diri lagi?” tanya Guntur.

“Negeri ini sudah terbiasa dengan ketiadaan putera rajanya. Wujud, tapi tidak pernah kenal bayangnya. Apa salahnya terus menganggap beta tidak pernah ada?” Putera Zulkarnain menjawab acuh tidak acuh.

Walau bagaimanapun, jawapan itu mengundang rasa sebak, menyelinap ke dalam relung hati mereka yang mendengar. Apa yang menyebabkan putera di hadapan mereka teguh pendiriannya itu?

“Itu urusan beta. Usah difikirkan.” Putera Zulkarnain melambaikan tangan, menghalau kekok yang tiba-tiba datang. “Perkara yang lebih penting, kalian harus melepasi beberapa siri latihan dan ujian dahulu. Barulah kalian rasmi menjadi anggota Satria Putera, pasukan pengawal peribadi beta.”

“Ujian?” Mereka bertujuh saling bertukar pandang.

Padang Latihan Satria Istana
Petang.

“Ah… perutku memulas. Aku pulang sebentar…” Bakti awal-awal sudah berpusing arah. Guntur segera memaut lehernya sambil ketawa.

“Kita ini sudah umpama telur sesangkak, Bakti. Pecah sebiji pecah semua. Bukankah kita sepasukan? Susah senang biarlah sama-sama!” Bakti hanya mampu merengek apabila dia diheret Guntur menyertai semula anggota-anggota pasukan yang lain. "Arjuna! Cepatlah."

Arjuna kalut mempercepatkan langkah. Mereka meneruskan perjalanan menuju padang latihan seperti yang diarahkan oleh Datuk Muzdammar, Bentara Utama.

Bahagian barat Bukit Agung yang rata merupakan kawasan Kem Satria Istana. Di situlah terletaknya berek besar, padang latihan, gudang senjata dan seumpamanya. Berek pengawal-pengawal peribadi setiap keluarga diraja pula dibina terasing, lebih hampir dengan kediaman tuan masing-masing. Berek mereka sebagai pengawal Putera Zulkarnain serba-baru kerana belum lama diubah-suai dan dibaiki.

“Adakah hanya untuk melatih kita bertujuh perlukan seramai ini?” tanya Lanang perlahan, tidak percaya dengan apa yang dilihat di depan mata. Athari hanya mampu menggeleng.

“Ramainya guru kita…” Nasir cuba berseloroh, namun gelaknya tidak disambut sesiapa. Wajah masing-masing tegang dengan kewaspadaan.

Dari jauh, mereka sudah dapat melihat segerombolan besar Satria-satria Istana lain memenuhi padang latihan itu. Seperti mereka bertujuh, gerombolan itu semuanya memakai baju kutang hitam, baju tanpa lengan yang memang dikhaskan untuk latihan. Dipadankan pula dengan seluar paras keting.

Suam-suam matahari petang tiba-tiba tidak terasa di kulit mereka yang terdedah. Ada rasa tidak sedap hati mula mencengkam tengkuk, menaikkan bulu roma. Lebih-lebih lagi, apabila kehadiran mereka di situ disedari oleh khalayak itu. Dalam ramai-ramai itu, mereka melihat kehadiran Tuan Daik. Senyum sinis lelaki itu sama sekali tidak menyenangkan.

“Celaka…” Jallal menyumpah sendiri.

Maksud Peribahasa;

"Bagai gunting dalam lipatan."
[Maksud: Musuh yang ada dalam kalangan sesuatu kumpulan tanpa disedari.]

"Jika tidak kerana angin, masakan pokok bergoyang."
[Maksud: Tentu ada sebabnya maka terjadi sesuatu hal.]

"Membuka pekung di dada."
[Maksud: Pekung merupakan sejenis penyakit kulit yang teruk dan berbau busuk. Tiada orang boleh mengetahuinya jika anda berbaju cantik and menutupnya. Tetapi jika anda membuka kepada orang lain lihat, anda adalah mendedahkan keburukan diri, atau sengaja mencari malu (kesusahan).]

"Umpama kayu buruk. Buruk dek panas, reput dek hujan."
[Maksud: Nasib malang yang tak dapat dielakkan lagi.

"Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau."
[Maksud: Yang baik itu biar di mana pun tempatnya akan tetap baik juga.]

"Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semuanya."
Maksud: Orang yang semuafakat itu sama hidup sama mati dan tidak berubah setianya

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro