Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 20: Semanis-manis Gula Berpasir Juga

Seminggu kemudian,
Kem Satria Istana, Berek Khas Pasukan Satria Putera

"Langit! Berhenti hujan!" jerit Guntur tiba-tiba. Lurus telunjuknya menunjuk tingkap.

"Engkau ini, buat orang terkejut sahaja!" Lanang terus menghempuk buku di tangannya ke bahu pemuda itu. Bakti yang berbaring di katilnya hanya mengekeh ketawa. Guntur pula tidak memberikan sebarang reaksi. Duduknya seperti orang yang lemah longlai segala sendi otot, sebelum tumbang baring menelentang di lantai.

Athari pula tergelak kecil. Dari awal lagi berkenalan dengan Guntur, ada sahaja perangainya yang sentiasa mencuit hati. Ada masanya, tenaga Guntur meledak seperti kembang api. Athari merasa harinya makin meriah apabila dia berkongsi bilik dengan Guntur, Bakti dan Lanang.

"Kenapa dengan engkau, Guntur? Adakah ada yang engkau tidak fahami?" tanya Athari lembut. Dia turun dari katilnya lalu menyertai Guntur dan Lanang yang berbaring melata di atas lantai. Lanang mengengsot ke sisi untuk memberi ruang Athari untuk duduk bersila. Athari mencapai buku milik Guntur yang bertelangkup. Muka suratnya terbuka dalam bab baru mengenai tatacara dan adat istiadat istana.

"Bukan. Aku tiada masalah untuk memahami buku ini. Aku hanya... jemu? Sejak beberapa hari ini, kita hanya disuruh menelaah dan menghafal buku ini. Hendak pulang ke rumah juga tidak boleh, hendak keluar berlatih juga tidak boleh. Boleh keras tulang aku kalau terus begini!" Guntur meluah beremosi.

"Tulang engkau memang keraslah, pintar!" sanggah Bakti pantas.

“Ah, benar juga.” Guntur menggaru kepala. “Tapi, engkau tahu maksudku! Aku jelak terperap di sini tidak dapat berbuat apa-apa!”

Athari, Lanang dan Bakti sekadar ketawa sahaja mendengar bebelan Guntur.

"Tapi, sebenarnya aku juga setuju…” Bakti menyampuk. Dia berkalih menghadap mereka lalu menopang kepalanya. Sambungnya, “Putera raja yang seorang itu nampaknya benar-benar mengotakan kata-katanya, tidak menginginkan pengawal peribadi. Jika begitu, apalah gunanya kita jauh-jauh datang ke kota ini?"

“Bersabarlah dahulu. Bentara Utama yang mengarahkan kita tunggu di sini. Kalau pun bukan untuk Tengku Putera, kurang-kurang kita dapat menjadi sebahagian Satria Istana…” jawab Lanang. Namun, suara yang yang merendah di hujung menunjukkan dia sendiri tidak pasti.

Athari hanya diam, tidak menyampuk perbualan mereka bertiga. Dia mengusap-usap bucu buku yang dipegangnya untuk menimbang-nimbang sesuatu perkara.

"Jadi... Adakah kalian terfikir untuk mundur sahaja? Selain kita dan beberapa orang Satria lain, sudah ramai pulang ke pasukan masing-masing. Tiada ruginya kita menerima pelawaan Tengku Putera. Kalau orang sudah tak ingin, tidakkah kita tinggal di sini pula masih tersorong-sorong?" tanya Guntur.

"Aku akan tunggu dan lihat dulu apa yang Tengku Putera mahu lakukan. Terlalu jauh untuk aku berpatah balik sekarang," ujar Athari. Dia meletak buku milik Guntur di kepala katilnya. Belum ada tanda tuan buku itu akan menelaah buku itu buat masa sekarang.

"Begitu juga aku..." Lanang meraup wajah sambil mendesah panjang.

Ada keheningan yang menyelit antara mereka berempat di dalam bilik kecil itu. Hanya titik-titik renyai hujan dari luar yang menemani. Hari mendung menyumbangkan juga kesuraman.

‘Tang! Tang! Tang!’

Bunyi loceng tiba-tiba menggegar dinding. Tersentak mereka.

“Satria-satria yang ada di dalam bangunan ini, berkumpul di ruang tengah berek, sekarang!” Suara lantang yang menggegar jantung pula menyertai bunyi loceng itu.

Serta-merta, mereka berempat meloncat untuk mencapai destar dan kain samping yang tersidai di kepala katil masing-masing. Tergopoh-gapah mereka mengemaskan diri sebelum berebut keluar dari bilik itu.

“Satu!”

Ketika mereka keluar, penghuni lain juga sama-sama mencurah dari bilik masing-masing untuk turun ke ruang tengah. Ada yang memilih untuk melompat sahaja dari tingkat dua kerana anak tangga yang ada sedang sesak. Datuk Muzdamar bersama dua orang Satria dan seorang Srikandi Istana sedang berdiri di hadapan pintu utama berek.

“Dua!”

Athari, Lanang, Guntur dan Bakti menyertai tiga barisan yang terbentuk.

“Tiga!”

Senyap dan sunyi serta-merta mendarat di ruangan itu.

Mencerlung mata Bentara Utama itu sambil mengira kepala di dalam barisan. Datuk Muzdamar mendengus perlahan lalu menggerutu, “Dari 30 orang, tinggal 16 sahaja?”

Satria-satria pemenang sayembara itu saling menoleh memandang sesama sendiri. Benar, bilangan mereka sudah jauh lebih kecil sejak kali terakhir mereka dikumpulkan. 

“Satria Jamdar, saya serahkan kepada tuan,” kata Datuk Muzdamar sambil mendengus. 

Lelaki yang berdiri yang berdiri di belakang Datuk Muzdamar melangkah untuk mengambil alih tempatnya berdiri. Manakala, Datuk Muzdamar pula beredar ke sudut ruangan dan duduk di bangku yang ada di situ sambil memeluk tubuh.

“Terima kasih, Datuk Bentara Utama,” ucap Satria Jamdar. Datuk Muzdamar sekadar mengangguk sekali. Berbeza dengan riak wajah pemimpinnya yang garang membengis itu, Satria Jamdar menawarkan riak wajah yang lebih tenang dan mesra.

“Selamat pagi, tuan-tuan sekalian. Saya Satria Jamdar, Bentara Kanan untuk pasukan Satria Raja. Saya yang akan memantau pelatihan dan penyerapan tuan-tuan sekalian sebagai anggota Satria Putera. Sebelum itu, ada pesanan dari Tengku Putera Zulkarnain untuk tuan-tuan.”

Ada keriuhan yang tercetus. Hampir seminggu mereka diabaikan terperap di berek ini. Baru sekarang mereka mendengar berita dari Putera Zulkarnain. Mereka kembali senyap kerana suara dehem dari Datuk Muzdamar.

Jamdar menyambung, “Pertama sekali, Tengku Putera mengirim permintaan maaf buat tuan-tuan Satria sekalian. Tempoh masa yang diperlukan oleh baginda untuk menyesuaikan diri dengan tugasnya dalam urusan-urusan pentadbiran rupanya mengambil masa lebih lama dari yang Tengku jangkakan.”

Seorang Satria mengangkat tangan. Dia berada di barisan kedua dari depan. Jamdar tersenyum sambil mengangkat kening.

“Adakah Tengku Putera akhirnya memutuskan untuk menerima kami? Keberadaan kami di istana ini tidak jelas sehingga kini. Saya tidak mahu terus menjadi orang larat di sini, tuan.” Ada keluhan yang tersulam dalam pertanyaannya. Beberapa orang di dalam baris mengangguk perlahan tanda bersetuju.

“Tentang itu, Tengku berhajat ingin menemui tuan-tuan esok pagi. Sebelum itu, ada beberapa perkara yang harus kita selesaikan.”

Srikandi yang berdiri di belakang Jamdar memberi isyarat kepada awang-awang yang sedang menunggu di luar. Mereka pun berbaris masuk dengan tertib, masing-masing membawa kotak besar berbalut kain yang diikat kemas. Mereka meletakkan 16 bungkusan itu bersusun di atas bangku kayu panjang yang ada di kanan ruang tengah itu. Setelah selesai, mereka berundur, keluar semula.

“Saya pasti tuan-tuan sekalian sedia maklum bahawa Tengku Putera… lebih menggalakkan tuan-tuan mencurahkan khidmat dan setia terus kepada Inderagana, bukan semata-mata kepada baginda.” Jamdar tampak berhati-hati menyusun ayatnya.

Serta-merta, ada keluhan dan dengusan yang kedengaran.

“Tawaran Tengku Putera masih berlaku. Jika tuan-tuan mengambil keputusan untuk pulang ke Teras Satria asal tuan-tuan, maka ambillah bingkisan ini.” Jamdar menganjurkan tangannya kepada susunan bungkusan itu. “Buatlah keputusan sebelum matahari terbenam. Sama ada tuan-tuan memilih untuk menerima cadangan Tengku putera, atau menyertai kami Satria Istana.”

“Datuk Muzdamar, bolehkah Tengku Putera berbuat begini? Katakanlah sesuatu sebagai pemimpin Satria Istana!” desak seorang pemuda.

Datuk Muzdamar melepaskan dengusan nafas yang panjang sebelum berdiri. Dia bercekak pinggang, mengamati wajah-wajah Satria-satria yang berada di hadapannya sebelum berkata, “Seperti yang kalian sedia maklum, pembentukan pasukan Tengku Putera ialah keadaan khas dan di luar kebiasaan. Satria Istana ialah satu dari empat teras Satria yang dikhaskan untuk berkhidmat sebagai bentara untuk menjaga keselamatan keluarga diraja, mengawal kawasan istana dan mengangkat istiadat-istiadat istana. Satria Istana juga teras dengan kekuatan yang paling kecil jika dibandingkan dengan empat lagi teras Satria yang lain. Oleh itu, tentu sahaja kami mengalu-alukan kedatangan lebih ramai anggota baru.”

“Walau bagaimanapun, sekadar kuat tidak cukup. Menjadi Satria Istana harus tahu serba-serbi adab dan adat. Untuk itu, sesiapa yang memilih untuk tinggal, harus menjalani latihan semula untuk menjadi Satria Istana. Jika kalian memilih untuk tinggal, lupakan segala peraturan, pangkat dan kebiasaan kalian dari teras lama. Untuk menjadi pengawal peribadi Putera Zulkarnain pula satu hal lain. Ada ujian yang harus kalian tempuhi untuk membuktikan jika kalian layak atau tidak menjadi pengawal peribadi Putera Zulkarnain atau tidak.”

"Ah, sudah aku sangka semua ini terlalu muluk untuk menjadi nyata!”

“Seharusnya kita yang tahu, saudara-saudara. Tiada jalan singkat menyertai Teras Satria. Pelanduk yang dekat ditinggalkan, rusa yang jauh dikejar. Kita yang rugi kerana percaya janji manis.”

“Hah, sedangkan semanis-manis gula berpasir juga!”

Mulai ada suara-suara tidak berpuas hati yang timbul dalam kalangan para Satria itu. Athari, Lanang, Bakti dan Guntur yang berdiri sebelah-menyebelah di dalam baris mulai saling berpandangan.

Dehem keras dari Datuk Muzdamar sekali lagi berjaya membungkamkan keriuhan itu.

Satria Jamdar menyambung, “Itu sahaja yang kami ingin sampaikan. Sekali lagi, buatlah keputusan sebelum malam menjelang. Selepas itu, kami menganggap siapa yang tidak mengambil bingkisan ini bersetuju untuk menyertai Satria Istana.”

“Sahaja aku ingin ingatkan sekali lagi. Setelah matahari terbenam, dan kalian tidak mengambil bingkisan itu, kalian akan menjadi bawahanku. Segala pangkat dan kedudukan kalian di teras lama, lupakan!” laung Datuk Muzdamar mencelah.

“Untuk sesiapa yang memiih untuk kekal, Tengku Putera Zulkarnain berhajat untuk bertemu tuan-tuan yang esok pagi. Mohon berkumpul di Gerbang Sri Wibawa setelah sarapan pagi.” Jamdar cepat-cepat memotong sebelum Datuk Muzdamar menghambur lebih lanjut. Huru-hara yang berlaku sejak kebelakangan ini telah menjadikan pemimpin Satria Istana itu lebih bengis dari biasanya.

“Bersurai!”

"Orang larat"
[Maksud: Maksud: Pengembara atau orang yang tiada tempat tinggal yang tentu]


"Semanis-manis gula berpasir juga"
[Maksud: Pujukan manis tetapi berniat tipu]

"Pelanduk yang dekat ditinggalkan, rusa yang jauh yang dikejar"
[Maksud: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan]

p/s: Macam tak ada pula benda yang menarik ada dalam bab ni, ahaha. Tapi, saya tetap nak tanya. Athari, Lanang, Bakti dan Guntur ini ialah empat watak yang saya dah perkenalkan sebelum ini.

Apa pendapat dan 'first impression' korang pasal mereka ni? Siapa yang jadi kegemaran korang?
Athari?
Lanang?
Bakti?
Guntur?

Jangan lupa komen, undi dan kongsi!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro