Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2 : Rambut Sama Hitam, Hati Lain-lain

Geliung Empayar Ardalisia yang besar dan megah itu akhirnya merapat dan selamat berlabuh di dermaga. Empat buah kapal layar milik Angkatan Satria Laut Inderagana pula tidak merapat ke dermaga, hanya mengawal dari jauh.

Sauh dijatuhkan dan layar pun digulung. Satria Laut yang menanti di daratan bekerjasama dengan awak-awak kapal untuk menurunkan tangga dan menambat geliung itu. Sementara itu, kawasan sekitar semakin dikerumuni oleh sekalian rakyat Inderagana. Berduyun-duyun mereka berkumpul di belakang Satria Kota yang berkawal, demi melihat putera raja mereka yang baru pulang itu.

Tidak lama kemudian, ada seorang pemuda memunculkan diri di atas geladak. Baju layang dan baju hiasnya yang berona gelap berkibaran ditiup angin. Topeng perak yang menutupi separuh wajah, berkilau terkena sinar matahari.

Di sisinya, muncul ada seorang lelaki yang bertubuh tegap dan tinggi. Dari pakaian mereka, rakyat biasa di situ dapat meneka pemuda itu ialah bangsawan asal Inderagana. Manakala lelaki itu pula ialah seorang anggota ketenteraan berpangkat tinggi yang berasal dari Empayar Ardalisia.

"Adakah pemuda itu Putera Zulkarnain?"

"Nampak dari gayanya, benarlah pemuda bertopeng itu putera raja kita."

"Ini pertama kali saya melihat baginda. Selama ini, seperti ghaib sahaja kewujudannya."

"Tapi, mengapa Tengku Putera memakai topeng?"

Kerumunan rakyat Inderagana semakin riuh-rendah, memperkatakan pemuda bertopeng perak itu sesama mereka.

Manakala, Puteri Zulaikha serta golongan tertinggi istana, bangsawan dan menteri yang berada di situ pula tahu siapa gerangannya mereka berdua itu. Pemuda itu sememangnya Putera Zulkarnain. Namun, orang yang datang mengiringi putera itu pula bukan calang-calang orangnya.

"Adakah Tengku tahu Panglima Dilamad, panglima terkenal Empayar Ardalisia sendiri akan mengiringi Tengku Putera?" bisik Dang Anum. Puteri Zulaikha hanya menggeleng.

“Tapi, mungkin lebih baik begini.”

Putera Zulkarnain bercakap sesuatu dengan Panglima Dilamad yang membuatkan lelaki itu tertawa. Tangannya bergerak mempersilakan putera itu turun dahulu. Putera Zulkarnain menunduk hormat.

Tidak semena-mena, dia meloncat turun dari kapal melangkaui titian kayu yang disediakan. Terlepas jeritan dari hadirin yang terkejut.

Seperti dedaunan yang gugur, Putera Zulkarnain melayah turun lalu mendarat ringan di atas dermaga. Ketika semua orang terpempan dengan aksi itu, Puteri Zulaikha menapak ke hadapan.

"Selamat pulang, adinda."

"Ya, ayunda. Saya pulang." Putera Zulkarnain merekahkan senyuman lalu menghulurkan tangannya. Puteri Zulaikha menyambut huluran tangan itu sambil mengerling reaksi para menteri dan bangsawan dari ekor matanya.

Pegangan Putera Zulkarnain yang berbalut sarung tangan terasa kejap. Apabila saudaranya itu tunduk mengucup tangannya, Puteri Zulaikha perasan wajah Datuk Jendaya dan pengikutnya bertukar masam mencuka.

Puteri Zulaikha mengalihkan perhatian kepada Putera Zulkarnain yang kembali tegak berdiri.

"Nampaknya adinda putera sudah menjadi anak teruna. Sudah membesar jadi jauh lebih tinggi lampai dari kali terakhir ayunda melihat adinda. Tapi, mengapa masih menyembunyikan... ketampananmu?"

Putera Zulkarnain mengelus bucu topeng peraknya sebelum berkata, "Dari kecil saya disuruh memakai topeng ini, ayunda. Sudah terbiasa. Lagipun, bukankah ini perlindungan yang ayahanda titahkan kepada saya?"

“Tapi…” Puteri Zulaikha membatalkan niatnya apabila Putera Zulkarnain memandang tepat ke matanya. "Terpulanglah jika itu katamu."

"Nampaknya hubungan Tuan Puteri dengan Tuan Putera Zulkarnain begitu baik," tegur Panglima Dilamad.

Tetamu dari Empayar Ardalisia itu sedang menapak turun dari titian kayu. Beberapa orang prajurit dan orang suruhan berdiri mengekori panglima itu di belakangnya. Puteri Zulaikha meletakkan tangan ke dada lalu menunduk untuk menyambut kedatangan Panglima Dilamad.

"Tentu sahaja. Bagaimana beta tidak kasih, tuan panglima? Ayunda betalah yang telah melindungi dan mendidik beta sejak kecil," jawab Putera Zulkarnain. Sama sekali Puteri Zulaikha tidak menjangkakan pengakuan itu, namun dadanya terasa hangat kerana terasa dihargai.

"Ya, patik percaya Tuan Puteri Zulaikha seorang yang penyayang dan mulia hati. Padanlah Tuan Putera Zulkarnain tidak bersabaran hendak melunas rindu. Sampai sanggup melompat turun dahulu," ujar Panglima Dilamad sambil ketawa. Kata-katanya membuatkan Puteri Zulaikha tersenyum manakala Putera Zulkarnain hanya menunduk tersipu-sipu.

"Adakah adinda beta melaksanakan tugasnya dengan baik, Panglima Dilamad?" Puteri Zulaikha mencelah.

“Ini ialah perkataan dari Tuanku Putera Mahkota sendiri. Putera Zulkarnain sangat cekap dan cepat mempelajari sesuatu. Urusan siasah antara Inderagana dan Empayar Ardalisia menjadi sungguh lancar sejak 5 tahun kebelakangan ini. Putera Zulkarnain sungguh bijaksana, Tuan Puteri.”

“Pujian itu harus dikembalikan kepada Putera Mahkota Mizan sendiri. Beta banyak terbantu kerana tunjuk ajarnya.” Putera Zulkarnain merendah diri.

“Jika begitu, Adakah Tuan Putera boleh menerima lamaran…”

“Maaf, tidak,” tegas Putera Zulkarnain memotong awal. Panglima Dilamad tergelak sementara Puteri Zulaikha mengangkat kening. Adakah sesuatu telah terjadi di Empayar Ardalisia tanpa pengetahuannya?

"Tampak gayanya, Tuanku Putera Mahkota Mizan harus kecewa kehilangan rakan sekutu yang terpercaya. Tuan Putera Zulkarnain tidak akan kembali ke Empayar Ardalisia dalam masa terdekat, benar?"

"Benar. Beta akan diam dahulu di tanah tumpahnya darah beta." Putera Zulkarnain menoleh ke belakang sebentar sebelum kembali memandang Panglima Dilamad. "Ada banyak perkara yang perlu dilangsaikan."

“Jemputlah singgah ke istana. Ketika ini, sebuah keramaian di kota mahkota sedang berlangsung dan sebuah sayembara dalam kalangan Satria-satria Inderagana sedang diadakan.” Puteri Zulaikha menunjukkan barisan kuda-kuda terbaik yang ditambat. “Lagipula, beta yakin banyak perkara dapat kita bincangkan dengan selesa di istana.”

“Tentu sahaja, tentu sahaja! Pasti keramaian ini untuk menyambut kepulangan Tuan Putera Zulkarnain. Namun begitu, hamba tidak ingin jadi penghalang pertemuan Tuan Putera dengan baginda Raja Zulaqram Shah Indera dan Permaisuri Laila Sukmawati. Sekalian rakyat jelata Inderagana juga pasti ternanti-nanti kehadiran putera tunggal mereka setelah sekian lama.”

Panglima Dilamad memberi isyarat kepada seorang prajurit yang tegak berdiri di belakangnya. Prajurit itu mengeluarkan sebuah kota kayu lalu menyuakannya kepada panglima itu.

“Tuan Puteri, ini ialah utusan yang Tuanku Putera Mahkota Mizan ingin sampaikan kepada Tuan Puteri. Patik akan menyusul kemudian dan datang ke Istana Purnama Windu setelah melangsaikan urusan dengan wakil duta dari Empayar Ardalisia. Jika ada sebarang kegusaran, bertanyalah pada Tuan Putera. Patik mengharapkan akan ada jawapan menggembirakan dapat kami bawa pulang ke tanah air.”

Gulungan skrol yang diserahkan Panglima Dilamad Bertukar tangan. Ketika Puteri Zulaikha melirik adindanya, Putera Zulkarnain sekadar mengangguk.

“Terima kasih, Tuan Panglima. Beta akan menelaah skrol ini sesegera mungkin. Jika perlukan apa-apa, jangan segan untuk meminta dengan orang-orang suruhan istana Inderagana. Beta akan tinggalkan dayang-dayang bersama Satria-Satria Istana di sini untuk membantu memudahkan urusan tuan selama singgah di negeri ini.”

“Patik sungguh berterima kasih.”

Setelah itu, Puteri Zulaikha memberikan arahan pada srikandi-srikandinya, separuh lagi rombongan dari istana yang berada di pelabuhan itu pun bersiap untuk pulang, manakala separuh lagi tinggal untuk melayan tetamu besar dari kerajaan besar yang berasal di seberang laut itu.

Dua saudara diraja itu menunggang kuda beriringan sambil mengetuai rombongan dari istana itu pun berangkat pulang ke Kota Mahkota.

Ketika melintasi hutan nipis sebelum sampai ke gerbang kota, Puteri Zulaikha membawa kudanya merapat dengan kuda tunggangan Putera Zulkarnain. Adindanya itu terus mendiamkan diri seperti hilang suara sebaik sahaja Panglima Dilamad hilang dari pandangan.

“Apakah ada gendala di pelayaran? Adinda telah melewati sayembara pemilihan satria-satria pengawal adinda.” Puteri Zulaikha bertanya perlahan.

“Tidak juga. Adakah ayunda murka akan kelewatan adinda?” tanya Putera Zulkarnain sambil sekilas menoleh pada saudara perempuannya itu.

“Bukan ayunda. Tetapi para menteri dan petinggi kerajaan. Bukan calang-calang besar sayembara yang diadakan, sampai melanggar tradisi dan peraturan, semata-mata untuk membentuk pasukan satria adinda. Tapi, segala-galanya sia-sia kerana orang yang diraikan tidak ada.”

Putera Zulkarnain ketawa kecil. “Aduh, ayunda. Apalah yang dapat adinda perbuatkan lagi, jika Putera Mahkota Mizan keberatan untuk melepaskan adinda pulang?”

“Putera Mahkota Mizan seorang yang arif dan bijaksana. Ayunda tidak percaya baginda akan berbuat demikian.” Puteri Zulaikha menjongket kening. “Adinda yang sengaja pulang lambat.”

Telunjuk Putera Zulkarnain menegak menyentuh bibirnya yang tersenyum. Puteri Zulaikha yang mengerti lalu mula ketawa kecil. Sangkaannya tepat.

“Berani sungguh adinda berbuat ulah!”

“Adinda bersetuju untuk pulang ke Inderagana seperti yang diminta mereka. Tetapi, sekalipun adinda tidak pernah bersetuju untuk pulang pada tarikh yang sekian-sekian, apatah lagi menghadiri sayembara itu. Adinda tidak berbuat salah apa-apa, ayunda.”

Puteri Zulaikha hanya menggeleng. Antara kagum dan terhibur. Tidak menjangka sama sekali tindakan Putera Zulkarnain yang satu ini. Setelah habis tawanya, Puteri Zulaikha membuang pandangan ke hadapan. Gerbang kota sudah kelihatan.

Dengan suara yang perlahan, Puteri Zulaikha berkata, “Apa-apapun yang adinda lakukan, berhati-hatilah. Rambut sama hitam, hati lain-lain, adinda.”

Pendek sahaja pesan ayundanya itu tapi Putera Zulkarnain tahu bahaya apa yang dimaksudkan. Bahaya yang mengintainya sejak dia lahir. Bahkan, ada perangkap besar sedang menantinya di istana.

“Adinda tahu, ayunda… adinda tahu.”

"Rambut sama hitam, hati lain-lain"
[Maksud: Tiap-tiap orang itu berlainan pendapatnya.]

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro