Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 19 : Salin Tak Tumpah

Balai Tadbir Utama Inderagana

Hanya mereka berdua berada di dalam ruangan itu. Dari sebalik dinding, Putera Zulkarnain memandang ke luar tingkap sambil memeluk tubuh, manakala Alang setia berdiri di sebelahnya. Ralit putera itu memerhatikan gelagat orang yang ke hulu-hilir di perkarangan bangunan pentadbiran itu. Sekalian bangsawan, ilmuwan, pedagang, rakyat jelata dan Satria sibuk dengan urusan masing-masing. Untungnya pagi itu tenang, pagi yang jarang-jarang singgah di Inderagana ketika musim tengkujuh.

"Tengku membongkarkan sendiri tentang warkah itu jauh lebih awal dari yang patik sangka." Alang ketawa kecil.

"Situasi yang mendesak." Putera Zulkarnain membalas acuh tidak acuh. "Di mana Dang Anum?"

"Segera kembali ke istana, Tengku."

Putera Zulkarnain hanya mengangguk.

Setelah menghantar Putera Zulkarnain ke ruangan ini, Dang Anum tergesa-gesa meminta izin untuk keluar sebentar. Tetapi, keluarnya Dang Anum sudah tidak sebentar. Jika benar srikandi itu kembali ke Istana Purnama Windu, tidak lain tidak bukan, niatnya ialah untuk bertemu dengan Puteri Zulaikha.

Ketika ini, pasti para srikandi telah dikerahkan untuk menyiasat asal-usul warkah dari Jagad Dharman. Putera Zulkarnain dan Alang telah memberi kenyataan, warkah itu ditemui dalam barang-barang bawaan putera itu. Itu membuatkan lebih ramai orang yang boleh disyaki. Hatta anak-anak kapal Empayar Ardalisia.

"Mengapa Tengku berniat menyembunyikan perihal burung merpati itu dari ayunda Tengku?"

"Beta bukan berahsia dengan ayunda beta, tapi berahsia dengan mata-mata yang mungkin bercampur-baur dalam kalangan pengikut ayunda. Jika tidak, mengapa selama ini ayunda tidak dapat lagi menjejaki pemuda itu?" Putera Zulkarnain mengembalikan soalan itu dengan soalan.

"Oh!" Mulut Alang membulat, kemudian dia terangguk-angguk faham sendiri. "Benar juga."

Putera Zulkarnain tersenyum, terhibur dengan gelagat Alang. Mudah benar panas hatinya surut kerana Alang. Dia kembali melontar pandangan ke saujana, melepasi balai-balai di dalam benteng gerbang Sri Kesuma, lalu melayah di atas pemandangan kota Mahkota di kaki Bukit Agung.

Ada ketukan bergema dari pintu. Alang spontan merapat ke dinding dan berdiri tegak.

"Masuk!" laung Putera Zulkarnain. Seorang Satria Istana menguak daun pintu lalu mengangkat sembah.

"Tengku Putera, Perdana Menteri berhajat untuk masuk menghadap."

"Beta memperkenan." Putera Zulkarnain membetulkan postur tubuhnya dan memperkemaskan busana yang dipakai.

Satria itu mengundur diri ke luar pintu, lalu mempersilakan rombongan yang sudah menanti di luar untuk masuk. Tidak lama kemudian, seorang lelaki berumur lebih separuh abad menapak masuk ke dalam ruangan itu. Di belakangnya, ada seorang pemuda membawa seberkas kayu berukir, diikuti dua orang dayang yang menatang dulang berisi sajian ringan.

Putera Zulkarnain sekadar menampal senyuman untuk menyambut kedatangan mereka. Diam-diam dia meneliti wajah lelaki tua yang bergelar Perdana Menteri itu. Sebelum ini, mereka tidak pernah bersua secara berdepan, lantas sosoknya hanya samar-samar di ingatan.

Namun, melihat dari cara lelaki tua di hadapannya ini membawa diri dan busana yang melambangkan ketinggian statusnya, Putera Zulkarnain tahu inilah Tun Mahad Riadin.

"Khadam tua ini menghadap Tengku Putera Zulkarnain," sapa Tun Mahad. Dia hanya dapat menunduk hormat dengan tangan kanan di dada kerana tangan kirinya menopang tubuh dengan tongkat bersepuh perak. Dia menyambung, "Patiklah yang bernama Mahad Riadin. Adakah patik telah membuatkan Tengku tertunggu-tunggu?"

"Tidak sama sekali, Tun. Beta juga baru tiba," jawab Putera Zulkarnain sopan. Dia mengarahkan tangan ke kerusi yang bertentangan dengannya. "Duduklah, Tun."

"Menjunjung kasih, Tengku."

Sebaik sahaja Tun Mahad duduk, dayang-dayang yang datang bersamanya segera menghidangkan dua cawan kopi bersama kudapan ringan. Setelah selesai, dua dayang itu minta diri untuk keluar. Tinggallah Putera Zulkarnain, Tun Mahad dan pembantu masing-masing di situ.

Tun Mahad menghirup kopinya sedikit dan memakan potongan kecil kuih terlebih dahulu untuk menunjukkan makanan dan minuman itu selamat.

"Jemputlah merasa, Tengku. Kuih-muih ini air tangan orang rumah patik."

Menyambut pelawaan itu, Putera Zulkarnain juga memakan kuih yang dihidangkan. Setelah itu, dia menghirup kopinya. Tawar dan pahit. Putera Zulkarnain mencapai beberapa ketul kiub gula tebu lalu lambat-lambat mengacau kopinya.

"Bagaimana pelayaran Tengku pulang dari Empayar Ardalisia? Adakah lautnya bergelora?" tanya Tun Mahad setelah meletakkan cawannya semula.

"Agak terlambat sehari dua dari yang dirancangkan tetapi semuanya lancar, Tun. Langit dan laut masih berdamai sepanjang pelayaran beta."

"Baguslah jika begitu. Sebenarnya, patik teringin menjemput Tengku di dermaga. Tetapi, ada urusan yang mendesak patik pulang ke wilayah tadbir patik. Gelisah benar hati khadam tua ini jika Tengku belum pulang sebelum musim tengkujuh bermula."

"Benarkah?" Putera Zulkarnain hanya tersenyum segaris. "Beta berterima kasih atas keprihatinan itu, Tun. Melihat laut bergelora sejak kebelakangan ini, beta juga tidak dapat mengusir rasa sedap hati."

"Mengapa yang demikian, Tengku?"

"Bayangkan beta terlambat seminggu dua. Mungkin pelayaran beta bertembung celaka di dalam badai. Ada utusan penting Empayar Ardalisia yang berlayar sama mengiringi beta. Tapi, beta segerakan jua pulang kerana seruan dan desakan dari menteri dan pembesar Inderagana," keluh Putera Zulkarnain berbaur sinis dan sindiran halus.

Tun Mahad menjawab tenang, "Usah gundahkan sesuatu yang sudah berlalu dan tidak akan berlaku, Tengku. Hakikat yang lebih penting, Tengku selamat kembali ke Inderagana. Kembali pula dengan kejayaan mengukuhkan hubungan antara Inderagana dan Empayar Ardalisia. Kabullah jua hasrat hamba tua ini untuk akhirnya dapat melihat Tengku di depan mata. 20 tahun patik rindu dendam, Tengku. Begitu juga kiranya dengan para petinggi kerajaan."

"Terharu beta mendengarnya." Putera Zulkarnain cuba kedengaran lebih ikhlas. Serangannya yang pertama nampaknya tidak berjaya. "Tetapi, bukankah lima tahun lalu kita sudah pernah bersua, Tun?"

Tun Mahad termenung seketika, menggali semula memori.

"Ah, benar. Walau hanya dapat melihat dari kejauhan, sungguh Tengku sudah besar panjang berbanding dulu." kata Tun Mahad sambil ketawa kecil.

Putera Zulkarnain hanya tersenyum sebelum menghirup kopinya. Dahinya berkerut pada hirupan pertama. Tidak lagi tawar, tetapi masih pahit. Dia mencapai ketulan gula lagi.

"Malang sekali patik tidak dapat melihat Tengku membesar di depan mata seperti Tengku Puteri Zulaikha. Tidakkah sekurang-kurangnya Tengku boleh membenarkan hamba tua ini melihat wajah Tengku? Supaya patik kenal yang mana satu pewaris Karunia Inderagana, mana yang bukan?"

Tersiratnya, Tun Mahad sedang meragui identiti Putera Zulkarnain.

"Tentu sahaja boleh, Tun. Apa salahnya?" Putera Zulkarnain meletakkan cawannya di atas meja. Ikatan tali topeng peraknya ditarik dan topeng perak itu pun jatuh ke atas ribaannya.

"Bagaimana?" Putera Zulkarnain menayang senyum sambil menongkat dagu. "Ayunda mengatakan wajah beta salin tak tumpah dengan iras wajah gemulah Bonda Ratu Cenderakasih Aulia. Tun pasti kenal benar dengan bonda. Lagi pula, bukankah Tun yang mengaturkan pernikahan ayahanda dan bonda... walaupun ayahanda sudah ada Bonda Permaisuri Laila Sukmawati?"

Sekali lagi Putera Zulkarnain menyulam sindiran halus dalam bicaranya namun ekspresi wajah Tun Mahad kekal setenang kopi di dalam cawan.

"Ah, benar. Kalau patik tilik-tilik wajah Tengku, memang jelas ada kilasan wajah gemulah Ratu Cenderakasih. Tiadakah yang mengatakan bahawa Tengku putera seorang yang tampan rupawan?" balas Tun Mahad. Kelembutan nada dan manis bicara Tun Mahad pula yang menggugat ketenangan Putera Zulkarnain. Putera itu menghela nafas itu mengukuhkan sabar.

Namun, rupanya Tun Mahad masih ada yang ingin diperkatakan. "Tapi, mengapa terus memakai topeng, Tengku? Apakah ada rahsia yang Tengku harus sembunyikan di sebalik topeng itu?"

"Beta tidak berselindung apa-apa, Tun. Jika ada yang ingin berahsia, ayahanda betalah orangnya. Ini titah ayahanda yang beta harus taati sejak kecil. Ayahanda hanya berniat untuk memelihara keselamatan beta," jawab Putera Zulkarnain.

Apa yang dia luahkan ialah sebuah kebenaran, walaupun dia sendiri enggan untuk menerima walau apa pun alasan Raja Zulaqram. Dia mengelus topeng perak yang berada di pangkuan, menelusuri corak ukiran yang sudah dia kenal benar.

Dia telah disuruh dan dibiasakan untuk memakai topeng ini sepanjang ingatannya. Pengasuh-pengasuhnya, pengawal-pengawalnya dan semua orang di sekelilingnya memakai topeng, lalu topeng perak itu telah menjadi sebahagian dirinya. Sehinggalah kejadian itu.

Putera Zulkarnain segera menghalau imbauan kenangan yang tiba-tiba datang bertandang. Dia ada pertempuran di depan mata yang harus dihadapi. Sama sekali dia tidak boleh lengah.

"Sayangnya... ketika beta berumur 15 tahun, pertama kali beta pulang ke istana, istana diserang. Usaha dan pengorbanan ayahanda sia-sia begitu sahaja. Angkara siapa sebenarnya, Tun? Begitu banyak nyawa Satria yang berguguran pada malam itu."

"Tragedi itu amatlah kami kesali, Tengku."

"Adakah dalang sebenar sudah tertangkap?"

"Kami telah melakukan yang terbaik tetapi serangan lima tahun lalu itu begitu tersusun dan nekad. Semua tali barut dan orang-orang yang mencurigakan juga telah disiasat dan dihukum."

"Menyoal siasat tali barut, tapi akhirnya tidak berjaya membawa penyiasatan itu ke mana-mana? Tali barut bukan dalangnya, Tun. Ertinya mereka masih bebas di luar sana, bukan? Golongan sisa-sia kudeta yang ingin menghapuskan beta sekeluarga?" Kali ini, Putera Zulkarnain gagal mengawal nada dan ketajaman kata-katanya.

"Benar. Mereka ialah golongan pelampau yang berbahaya. Kerana itulah, ramai yang mengkhuatirkan keselamatan Tengku. Tetapi, kenapa Tengku menolak Satria-satria yang dibentuk khas untuk Tengku?"

Putera Zulkarnain menghela nafas dalam. Soalan itu sebenarnya kritikan ke atas tindakannya empat hari lepas. Sudah pasti perkara ini telah sampai ke telinga Tun Mahad lebih cepat daripada sesiapa.

"Lima tahun lalu, para pelampau itu dapat menyelinap masuk ke dalam istana dan sampai sekarang masih gagal ditumpaskan. Ataukah, ada yang membiarkan mereka berkeliaran untuk menjerat leher kami? Sebenarnya Tun, untuk apa kami dibiarkan hidup setelah kudeta? Adakah demi kurniaan ini?"

Tidak semena-mena, dua belah kepak api membuak di belakang Putera Zulkarnain. Pemuda yang berada di belakang Tun Mahad terkejut sampai jatuh terduduk. Walau bagaimanapun, Tun Mahad nampak tenang bersahaja. Dia tetap tegar bertentang mata dengan Putera Zulkarnain, menilik riak wajah anak raja itu.

Putera Zulkarnain melenyapkan sayap apinya. Walaupun hanya sebentar, bahang terasa mengepung bilik itu.

"Bagaimana beta tahu kalau kawan beta bukannya lawan, Tun?"

"Belajarlah dari nenda Tengku." Pendek sahaja jawapan Tun Mahad namun cukup untuk menghapus segala kesan emosi dari wajah Putera Zulkarnain.

"Dendam para pelampau yang membenci Tengku dan keluarga Tengku... berakar dari kekejaman dan tiraninya raja sebelum Tuanku Raja Zulaqram. Kudeta yang telah berlaku pula menjadikan mereka tidak waras. Mereka nekad untuk melihat istana Inderagana runtuh seruntuhnya."

Melihatkan putera itu hanya diam, Tun Mahad menyambung, "Pada hemat khadam tua ini, tariklah rakyat jelata ke sisi Tengku. Buatlah mereka mengakui keluarga diraja Inderagana yang sekarang ini, sudah tidak seperti yang dulu, tetapi masih mendapat mandat dan amanah Pemilik Sekalian Alam untuk memegang tampuk pemerintahan Inderagana."

Tun Mahad mencapai berkas kayu di sampingnya. Sebemban kertas dikeluarkan. Kertas-kertas itu dijahit bersama dengan benang merah, untuk membentuk buku sementara yang senang dilerai jika perlu.

Sambil membelek-belek isi kandungan buku itu dia berkata, "Patik yakin, Tengku tahu mengapa Tengku digesa untuk pulang."

"Membantu dan menyokong ayunda," sahut Putera Zulkarnain.

Ada jeda dari Tun Mahad sebelum dia menyambung, "Patik menganggap itu juga bermaksud Tengku bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab Tengku sebagai putera Inderagana."

Lelaki tua itu meletakkan buku sebemban kertas itu di hadapan Putera Zulkarnain. Barulah jelas kulit depannya ada bertulis 'rahsia mustahak'.

"Tengku seharusnya menjalani pendidikan sebagai calon pewaris takhta seawal umur tiga tahun dan latihan pentadbiran bermula umur 12 tahun, seperti Tengku Puteri Zulaikha. Tetapi, takdir mengatakan lain yang terjadi. Tengku harus membesar dalam jagaan keluarga Dharman.

Maka, patik perlu membuat penilaian. Dokumen yang patik persembahkan kepada Tengku ini ialah tugas-tugas yang perlu Tengku selesaikan agar patik tahu tahap kemampuan Tengku. Patik tidak tahu bentuk pendidikan yang Tengku terima sepanjang 20 tahun itu."

'Pendidikan untuk menjadi putera palsu yang sempurna,' getus Putera Zulkarnain di dalam hati namun sama sekali dia tidak akan menzahirkan hal itu kepada Tun Mahad.

Putera Zulkarnain mencapai dokumen itu dan membeleknya secara rambang. Sejarah, siasah, falsafah, ilmu alam, ilmu mantik, pengiraan cukai, undang-undang darat, undang-undang laut, taktik perang dan sebagainya. Putera Zulkarnain hanya tersenyum memandang.

"Patik mendengar Tengku Puteri telah melatih Tengku menguruskan perdagangannya di Empayar Ardalisia?"

"Benar."

Kali ini, Tun Mahad menyorongkan kotak kayu putih gading ke hadapan Putera Zulkarnain. Bucunya dibalut dengan ukiran dari perak. Di dalamnya ada tiga objek yang putera itu dapat kenali sebagai cap mohor. Dia pernah terlihat cop mohor yang hampir serupa di atas meja Puteri Zulaikha.

"Ini ialah cap-cap mohor khas untuk Tengku. Memandangkan Tengku sudah berpengalaman menguruskan sendiri perdagangan berskala besar seperti yang digerakkan oleh Tengku Puteri, patik yakin Tengku sudah dapat dipertanggungjawabkan untuk menggunakan sebahagian perbendaharaan negara untuk membantu rakyat jelata."

Putera Zulkarnain mencapai ketiga-tiga cop mohor itu. Batang pemegangnya selesa menyelit antara celah jari-jemarinya. Bila dibalik, pada setiap kepingan besi segi empat itu ada ukiran 'Diluluskan', 'Ditolak' dan 'Disemak' bersama ukiran nama penuhnya.

"Segala dokumen yang Tengku sahkan akan menjadi tanggungjawab Tengku. Perbelanjaan yang memerlukan pengeluaran dan perbelanjaan perbendaharaan negara perlu dibentangkan dalam Majlis Pembesar-pembesar Inderagana setiap tiga purnama. Oleh itu, molek Tengku merujuk sebarang musykil Tengku dengan patik."

'Sama sahaja keputusan akhir bukanlah di tangan kami,' getus Putera Zulkarnain di dalam hati. Tapi, itu bukan masalah untuknya kecuali satu perkara.

"Tidakkah Tun memberikan cap-cap mohor ini kepada beta terlalu cepat? Beta baru kembali ke Inderagana selepas bertahun-tahun tidak melaksanakan tugas beta sebagai seorang putera raja. Jika dibandingkan dengan ayunda yang sudah lama menabur bakti, tidakkah Tun sedang bertindak berat sebelah? Adakah keputusan ini dibuat hanya kerana beta anak gahara ayahanda?"

Kali ini, jeda Tun Mahad lebih panjang sebelum dia akhirnya bersuara. "Hanya satu jawapan patik. Bukan Karunia yang menentukan raja-raja Inderagana dijulang atau dibuang. Namun, tanpa adanya pewaris Karunia, Inderagana bakal ditimpa celaka."

Kedengaran tarikan tajam nafas Alang dalam hening yang tercipta antara Putera Zulkarnain dan Tun Mahad.

"Apa maksudmu, Tun?"

Tiba-tiba, pintu terkuak luas.

"Datuk!" Ada lengan kecil melingkari leher Tun Mahad. Kepala seorang budak lelaki lingkungan umur 12 tahun menjenguk dari belakang kerusi Tun Mahad sambil menayang sengihan lebar. Serta-merta, wajah Tun Mahad bertukar lembut penuh kasih.

"Mirhad!" Muncul pula seorang pemuda lalu segera menarik budak kecil itu ke sisinya. "Tidakkah engkau melihat datukmu sedang ada tetamu? Tidak sopan tingkahmu!"

Wajah ceria Mirhad dengan pantas bertukar panik apabila menyedari dia telah menerjah pertemuan Tun Mahad dengan orang lain. Mata bundar itu mulai berkaca-kaca.

"Tidak mengapa, urusan kami sudah selesai." Putera Zulkarnain memintas. Dia segera bangkit berdiri sambil mengenakan semula topeng peraknya. Dia mencapai dokumen dan kotak kayu itu di atas meja lalu menyerahkannya kepada Alang yang setia menanti.

"Patik memohon ampun atas tindak-tanduk anak dan cucu patik, Tengku." Tun Mahad mengangkat sembah.

"Tidak mengapa. Beta telah mengambil terlalu banyak masa Tun Mahad. Beta yakin, sebagai Perdana Menteri, Tun pasti sangat sibuk." Putera Zulkarnain mengukir senyuman nipis.

"Tengku? Ayah, adakah... adakah gerangan tuan muda ini, Putera Zulkarnain?"

"Benar." Tun Mahad mengagguk. "Tengku, perkenalkan ini anak sulung patik, Malik Riadin dan yang kecil itu cucu patik, Mirhad Riadin."

Mirhad cepat-cepat mengangkat sembah dengan tangan tembamnya apabila dicuit Malik.

"Tentu sahaja beta kenal. Tuan Muda Malik, bukankah jika mengikut susur galur, kita juga berkerabat?" Putera Zulkarnain menghulur jabat tangan.

"Suatu kehormatan besar bagi patik bila Tengku putera mengakui kita bersaudara." Malik menyambut huluran itu. Matanya spontan membesar apabila genggaman tangan Putera Zulkarnain tiba-tiba terasa begitu kejap sebelum dilepaskan.

"Beta pergi dahulu." Tanpa menunggu jawapan Tun Mahad, Putera Zulkarnain dan Alang beredar menuju pintu.

"Tengku." Panggilan Tun Mahad membuatkan Putera Zulkarnain terbantut langkah di ambang pintu. Dia menoleh.

"Tentang persoalan terakhir Tengku itu tadi, patik minta Tengku mencari jawapannya. Jika sudah puas mencari, barulah datang kepada patik. Namun, tengku harus satu mengabulkan permintaan patik untuk jawapan itu."

'Bukan Karunia yang menentukan raja-raja Inderagana dijulang atau dibuang. Namun, tanpa adanya pewaris Karunia, Inderagana bakal ditimpa celaka.'

Kata-kata Tun Mahad sebelum cucunya menerpa masuk terngiang-ngiang semula di minda Putera Zulkarnain. Putera Zulkarnain sekadar mengangguk antara faham dan tidak. Dia tidak ingin berfikir panjang lagi soal itu.

Pemergian putera itu bersama pembantunya diperhatikan tiga sekeluarga itu. Tun Mahad menjeling cawan yang ditinggalkan. Tidak bersentuh sama sekali tetapi kiub gula sudah luak.

Dia mengelus jambangnya, berfikir.

"Salin tak tumpah"
[Maksud: Dua orang yang sangat serupa]

P/s: 'Salin' yer korang. Bukan 'saling' Selama ni saya ingat peribahasa ni 'saling' tak tumpah. Rupanya salah. Jadi, kalau anak sama macam mak, anggaplah macam anak tu dapat semua genetik dan dna mak, sebab mak tuang sikit pun tak hilanglah?😂😂😂

Tiber tak banyak pulak peribahasa dalam bab ni. Padahal Putera Zulkarnain pun cakap dengan bangsawan. Tun Mahad kot.

Apa-apa pun, jangan lupa undi, komen dan kongsi!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro