Bab 18: Gunting Makan di Hujung
“Tidak mengapakah Srikandi Dang Anum menjadi pembantu Tengku? Sedangkan wanita itu orang kanan Tengku Puteri…”
Soalan Alang hanya terbiar berlalu dibawa angin.
“Tengku!”
Zulkarnain tersentak, kembali sedar ke realiti. Pandangannya yang tadi menerawang singgah pada wajah Alang yang penuh kerisauan. Putera itu sekadar senyum segaris sebelum kembali mengemaskan bunga dan lipatan kain sampingnya yang terbengkalai lama kerana lamunan.
“Apa yang Tengku fikirkan?” tanya Alang perlahan.
Tiada jawapan dari Putera Zulkarnain. Seolah-olah lupa yang Alang ada bersama di dalam bilik persalinan itu, setia menatang talam berisi kelengkapan busananya. Gerakan Putera Zulkarnain terhenti lagi.
Terlepas desahan dari mulut Alang. Dia sudah lama bersama dengan putera ini. Meski dari riak wajah yang mendatar itu, dia tahu putera itu kembali tenggelam dalam fikiran untuk menimbang sesuatu. Putera Zulkarnain sudah seperti ini sejak dia masuk untuk membantu tuannya itu bersiap sebelum fajar menyinsing lagi.
Dengan kembalinya Tun Mahad ke istana, perintah berkurung yang dikenakan ke atas Putera Zulkarnain akan ditamatkan. Bergantung keputusan Tun Mahad, Putera Zulkarnain bakal berhadapan dengan akibat pemberontakannya. Dalam erti kata lain, sepatutnya hari ini ialah permulaan perang panjang buat Putera Zulkarnain dalam medan siasah Inderagana.
Tetapi, tuan badannya pula tampak seperti terganggu fikirannya.
“Tengku, tangan patik lenguh…” Alang cuba mengadu untuk mendapatkan perhatian.
Barulah putera itu terbebas semula dari jadi patung cendana. Putera Zulkarnain mencapai butang perak berangkai tiga yang terakhir ada di dalam dulang. Alang lega memerhatikan Putera Zulkarnain memasang butang-butang itu ke kolar bajunya dengan lancar kali ini.
“Alang, beta mendapat warkah dari Jagad Dharman.” Begitu sahaja Putera Zulkarnain menjatuhkan kenyataan itu.
Hampir terlepas dulang yang dipegang Alang. “A… apa?”
Putera Zulkarnain mengemaskan kolar bajunya. Setelah memeriksa penampilannya buat kali terakhir pada biasan cermin, dia berjalan menuju ke meja yang terletak di sudut ruang persalinan itu. Ada sekeping kertas berlipat yang ditindih di bawah keris. Kertasnya sebesar telapak tangan, jelas ada kesan renyuk yang telah diratakan.
“Baca.” Pendek saja arahan Putera Zulkarnain sambil menyuakan kertas itu pada Alang.
Alang pantas meletakkan dulang yang dipegangnya di atas permukaan yang berdekatan dan terus mencapai kertas itu. Bulat mata remaja itu rakus menelusuri patah demi patah tulisan yang kemas dan sedikit berangkai.
Kehadapan Tengku Putera Zulkarnain Shah Indera, pewaris hikmat dan karunia pahlawan-pahlawan sakti yang diamanahkan oleh pemilik sekalian buana untuk menaungi dan menjaga negeri bertuah Inderagana.
Patik merafakkan sembah yang pertama, semoga Tengku sudi memberi ampun. Adapun patik bernama Jagad, anak kandung kepada Tun Megat dari keluarga Dharman.
Dari bawah teduhan panji-panji negeri ini, adapun niat patik menghantar warkah ini semata-mata untuk menjunjung adat dan tradisi keluarga patik yang sejak dari turun temurun menjadi satria di sisi keluarga diraja Inderagana. Tangungjawab ini telah patik pikul sejak patik lahir hampir serentak dengan kelahiran Tengku.
Tuanku Raja Zulaqram bertitah telah kepada orang tua patik untuk menjaga keselamatan putera-puteri baginda. Walau bagaimanapun, kerana ada api dalam sekam, buat masa ini patik memohon kebenaran Tengku agar patik melaksanakan tugas patik sambil kekal berada di dalam bayang.
Ada masanya, patik akan menzahirkan diri menghadap Tengku, selagi nyawa masih dikandung jasad patik.
“Bila Tengku mendapat warkah ini?” Itu soalan pertama yang terpacul dari mulut Alang sebaik sahaja dia mengangkat kepala. “Bila dan bagaimana?”
Putera Zulkarnain mengangkat sehelai bulu pelepah burung di hadapan Alang. Bulu pelepah itu berwarna kelabu dengan hujungnya menghitam. Sesekali ada kilatan hijau zamrud padanya. Alang mengenali itulah bulu burung yang telah digentel-gentel Putera Zulkarnain awal pagi tadi sambil termenung keluar jendela.
“Ini pelepah bulu burung merpati, Alang. Burung ini masuk ke dalam kamar beta waktu tengah malam. Burung itu terbang lari apabila bekas pada badannya beta lepaskan. Adakah engkau tahu apa ertinya apabila seekor merpati datang tepat ke kamar ini?”
Alang mengerutkan dahi. Dia ada membaca tentang bagaimana burung merpati dapat digunakan untuk menghantar surat kerana kebolehan alaminya. Spesies burung ini ada kebolehan untuk pulang ke sarangnya, walau sejauh mana ia dilepaskan.
“Jadi, maksud Tengku, ada yang telah membesarkan dan melatih burung merpati ini di sini, di kamar Tengku?”
“Tepat sekali.” Putera Zulkarnain mengangguk. “Kamar ini telah dikhaskan untuk beta. Tetapi, beta tidak pernah mendiami bahagian istana ini sehingga sekarang.”
“Tengku! Kalau benar begitu, ertinya ada dalam kalangan pesuruh istana ialah orang-orang Jagad Dharman! Siapa lagi kalau bukan para dayang dan awang? Kalau kita dapat mengesan mereka, kita mungkin dapat mencari di mana Jagad berada!” Alang mula tidak tentu arah.
“Bertenanglah, Alang…” Putera Zulkarnain menghela nafas. “Beta dan ayunda beta juga telah sekian lama mencari Jagad dan keluarganya. Tetapi, jejak mereka tidak terkesan sehingga kini. Engkau fikir mudah mencari mereka hanya dengan petunjuk ini?”
Alang terdiam.
Putera Zulkarnain mengusap-usap hulu keris yang ditimang-timang sedari tadi.
"Terlalu banyak perkara yang beta mahu tanyakan kepada mereka. Mengapa mereka meninggalkan beta setelah terdedah bahawa beta pewaris Karunia? Mengapa juga Tun Megat meninggalkan ayahanda beta sejak lima tahun lalu?" Suara Putera Zulkarnain semakin merendah ke hujung kata, nyaris berbisik sendiri.
Alang memanggil perlahan, “Tengku…”
“Shh…” Putera Zulkarnain berdesis memintas cakap Alang. “Abaikan ucapan beta. Fikir panjang masa sekalipun, beta tidak akan mendapat jawapan kecuali dari mulut mereka sendiri. Terlalu awal untuk beta membuat kesimpulan. Terang lagi bersuluh keluarga Dharman mengetahui sesuatu yang kita tidak tahu. Seperti gunting makan di hujung, pasti ada yang mereka sedang lakukan dalam diam. Sekurang-kurangnya, kita tahu yang mereka berada di pihak kita.”
“Bagaimana dengan Tengku Puteri? Jika Tengku Puteri tahu mengenai warkah ini, tidakkah Tengku Puteri akan memikirkan perkara yang sama dengan kita, lalu segera mencari anak-anak buah Jagad dalam kalangan pesuruh-pesuruh istana?” tanya Alang sambil menghulurkan kertas sekeping itu kembali pada Putera Zulkarnain.
“Beta sendiri akan beritahu ayunda. Tetapi, andai Dang Anum atau srikandi lain menghidu soal ini, engkau boleh memberitahu mereka beta menemui kertas ini terselit antara barang-barang bawaan beta.”
“Mengalihkan kecurigaan mereka ke luar. Patik faham, Tengku.”
Perbualan mereka terbantut apabila mereka mendengar bunyi ketukan. Sayup-sayup mereka mendengar suara perempuan memanggil nama Putera Zulkarnain. Kuat dan tegas suaranya dari luar.
“Itu pasti Dang Anum.” Putera Zulkarnain menyisipkan keris di pinggangnya sambil melangkah keluar dari ruang persalinan itu. Dia sempat menyambar topeng peraknya di atas katil lalu memakainya sebelum berjalan ke pintu utama kamarnya itu.
“Tengku, ini Dang Anum. Adakah Tengku sudah jaga? Tengku…” Suara Dang Anum semakin jelas di balik pintu ketika Zulkarnain berjalan mendekat. Ketukan masih berdegar-degar ketika Putera Zulkarnain menguak daun pintu luas-luas.
“Selamat pagi, Srikandi Dang Anum. Tidak perlu dirobohkan pintu kamar beta. Beta pandai celik sendiri bahkan sebelum fajar menyinsing lagi.” ujar Putera Zulkarnain tenang.
“Oh?” Dang Anum segera mengalihkan tangan yang mengetuk pintu, terus hinggap ke pipinya. Dia melentokkan kepala ke sisi sambil tersenyum. “Manalah patik tahu, Tengku. Sudah tahu, sejuk hati patik. Teringat pula akan pahlawan kecil patik di rumah. Susah benar hendak bangun pagi.”
Putera Zulkarnain memeluk tubuh lalu berkata, “Beta tahu engkau setia pada ayunda, tetapi rendah sungguh beta di pandanganmu sampai engkau bandingkan dengan anak kecil?”
Dang Anum ketawa kecil, “Oh, Tengku jangan salah sangka. Patik baru hendak mengenal hati budi Tengku mulai hari ini. Kalau sesalin tak tumpah dengan Tengku Puteri Zulaikha, bertambah mulialah Tengku di mata patik.”
Lancang.
Dalam erti kata lain, Dang Anum berkias menyatakan bahawa dia masih was-was dengan Putera Zulkarnain. Hormatnya pada putera itu akan bergantung perbandingannya dengan Puteri Zulaikha sebagai kayu ukur.
Kelmarin semasa pertemuan mereka, Zulkarnain berjaya memecah tembelang Dang Anum. Tujuan wanita ini mengajukan diri untuk membimbingnya selok-belok kerja-kerja pemerintahan juga bermuslihat untuk memerhatikan jika dirinya benar-benar tidak mengancam Puteri Zulaikha.
Putera Zulkarnain hanya tersenyum sambil menggeleng. Meski lancang srikandi yang satu ini, tetapi dia tidak terasa hati. Dia memahami wanita di hadapannya ini setianya tumpah pada Puteri Zulaikha, bukan pada dia.
“Silakan memperhatikan beta jika itu membuatkanmu hilang was-was. Beta tiada apa yang perlu dibuktikan atau disembunyikan. Hanya sahaja… bukankah sepatutnya kita saling akur kerana kita akan bekerjasama mulai hari ini, wahai pembantu kanan sementara beta?”
“Benar, Tengku. Patik akan cuba sebaiknya,” balas Dang Anum sambil menunduk hormat. Nadanya sopan dan lemah-lembut. Tetapi, jika dibandingkan dengan yang semalam, bicara Dang Anum jelas sudah kurang lapik berkias, alang-alang pekung di dadanya sudah terkuak.
“Adakah Tengku sudah bersiap?”
‘Tentu sahaja. Wajarkah kita berangkat ke bangunan pentadbiran sekarang?”
“Tengku.” Alang muncul menyerahkan tengkolok kepada Putera Zulkarnain.
Semasa putera itu menyarung gubahan kain bak mahkota itu di kepalanya, Dang Anum memperhatikan penampilan Putera Zulkarnain. Benar putera itu segak orangnya, tetapi Dang Anum menilai pilihan gayanya terlalu sederhana, sekadar cukup memenuhi adat berbusana anak bangsawan. Tidak sesuai status dan martabatnya sebagai seorang putera raja.
“Benarkah Tengku… sudah bersiap?”
“Apa maksudmu?” tanya Putera Zulkarnain. Kali ini, jelas nada tidak senang pada suaranya.
“Ampunkan patik, Tengku. Bukan patik bermaksud untuk mempertikai.” Cepat-cepat Dang Anum menerangkan, “Tetapi, semasa patik datang kemari, pintu kamar Tengku masih tertutup dan rombongan dayang-dayang berkampung di depan gerbang utama. Kerana itulah, patik fikir Tengku belum jaga.”
“Ada dayang-dayang di depan gerbang?” Putera Zulkarnain terus menoleh pada Alang. Tiada pun remaja itu mengatakan apa-apa tentang hal itu sejak tadi?
Seperti baru teringat, mata Alang terbuntang. “Ada, Tengku. Ramai. Katanya, mereka dihantar oleh Tuanku Permaisuri Laila Sukmawati untuk membantu Tengku…”
“Bolehkah Tengku membenarkan mereka masuk? Mereka sudah menunggu lama,” tanya Dang Anum.
Putera Zulkarnain mengangguk teragak-agak.
Dang Anum menghantar isyarat kepada dua Srikandi yang berdiri di hujung lorong itu. Mereka membuka gerbang. Tidak semena-mena, berpuluh-puluh orang dayang masuk memenuhi lorong. Masing-masing membawa bungkusan-bungkusan dan dulang-dulang yang banyak.
Masuk para dayang-dayang itu tertib, berbaris sepanjang dinding. Ambil masa juga untuk riuh mereka itu sepenuhnya reda. Alang melopong memandang mereka semua.
“Apa maknanya ini, Dang Anum?” Perlahan Putera Zulkarnain bertanya.
“Ini hadiah untuk Tengku…”
“Beta tidak perlu.”
“...dari Tuanku Permaisuri.” Rupanya ucapan Dang Anum terpotong.
Keras desahan Putera Zulkarnain di sebalik tangan yang meraup wajah. Alang sudah nampak susah hati melihatkan tuannya itu berkelakuan begitu. Dang Anum pula yang rasa serba-salah.
“Alang, beritahu Dang Anum,” perintah Putera Zulkarnain. Alang terus mendekati wanita itu dan membisikkan sesuatu. Terbeliak mata Dang Anum meminta kepastian.
“Ada sebabnya mengapa hanya Alang yang beta kekalkan bersama beta, sedangkan pesuruh-pesuruh beta yang lain, beta beri rehat. Bukan beta berniat menolak pemberian Bonda Permaisuri. Tetapi, engkau boleh mengerti sebab tindakan beta, bukan?”
“Patik faham, Tengku.” Dang Anum mengangguk. Dia melihat Putera Zulkarnain bercekak pinggang. Bahang yang berpusar di ruang antara mereka cukup memberi amaran kepadanya, putera itu sedang marah.
“Kalau begitu, biarlah semua pemberian ini disimpan di dalam salah satu kamar dahulu, sementara dayang-dayang ini dikembalikan. Boleh, Tengku?” cadang Dang Anum.
“Terpulang. Asalkan jangan ada sesiapa masuk ke kamar beta,” tegas Putera Zulkarnain. Alang pula menutup pintu kamar di belakangnya.
“Baik, Tengku.”
"Seperti gunting makan di hujung"
[Maksud: Mencapai sesuatu dengan diam-diam]
P/s:
Saya sebenarnya berhutang dengan korang satu Nota Pengarang. Agak-agak, korang nak tahu apa pasal kerja belakang tabir dalam proses penulisan Kronika Inderagana?
Cuba komen! Sambil-sambil tu jangan lupa undi dan kongsi!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro