Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 17: Angin Bersiru Kami Tahu

Sepeninggalan Alang, Srikandi-srikandi yang berkawal di luar menunggu dalam senyap. Dang Anum dan Citra berdiri di depan gerbang manakala dua srikandi lagi mengawal di hujung lorong. Keheningan yang mencurigakan itu membuatkan  Dang Anum mengerutkan dahi.

Dia bertanya kepada Citra, “Tiada orang lain yang keluar masuk dari sini, bukan?”

Citra mengangguk perlahan. “Selama saya berkawal di sini, selain Alang, tiada orang lain. Tapi, di luar…”

Dang Anum spontan menolak pintu gerbang. Tetapi, tangannya terhenti ketika melihat kelibat Alang bersama Putera Zulkarnain di antara celah pintu. Dua Srikandi itu terpempan seketika kerana ini pertama kali mereka melihat putera itu tanpa topengnya. ‘Tampan’ ialah perkataan pertama yang terpacul di minda, meskipun penampilan putera itu polos, ringkas dan agak serabai.

“Tukar baju dahulu.” Mendatar suara Putera Zulkarnain mengarah. Kitab berkulit tebal diketuk-ketuk ke tengkuknya.

“Tapi, Srikandi Dang Anum ingin bertemu dengan Tengku! Patik perlu siapkan… Ah!” Bangkangan Alang terhenti apabila kepalanya dicengkam Putera Zulkarnain.

Seketika itu juga ada cahaya kuning menyerlah dari tangan putera itu lalu meresap masuk ke tubuh remaja itu. Angin kuat tiba-tiba berpusar di sekeliling Alang. Haba hangat sampai menampar wajah dua Srikandi yang sedang mengintip jauh di balik pintu gerbang. Pakaian Alang yang tadi lembap-lembap kini kering sepenuhnya.

“Tengku!” Alang merengek.

“Engkau makin besar makin suka melawan kata.” Putera Zulkarnain menggoyang kepala remaja itu. “Pergi minta makanan dari dapur. Bawa ke ruang tamu kecil.”

Panjang muncung Alang tanda masih mahu memprotes. Bila Putera Zulkarnain menjegil mata, mencicit budak remaja itu lari ke lorong belakang yang menyambung ke dapur. Putera Zulkarnain menggeleng sambil ketawa kecil sepeninggalan Alang.

Dia menghilang masuk ke kamarnya. Tidak lama kemudian, putera itu muncul di lorong itu semula. Kali ini, Putera Zulkarnain mengenakan topeng peraknya semula. Anak rambutnya ada kesan sudah bercecah air dan dikemaskan. Baju hias biru laut kini sudah melapisi baju polos yang dipakai, sepadan dengan kain samping yang dikenakan. Kitab tebal tadi masih dibimbitnya.

Putera itu menghilang semula ke dalam sebuah kamar lain.

Dang Anum menepuk bahu Citra. Bagai tersentak Srikandi itu dari pukauan.

“Tak manis anak dara mengintai anak teruna. Anak teruna raja pula itu. Lapor Tengku Puteri baru tahu,” usik Dang Anum sambil mencucuk pipi Citra. Terus merah padma wajah gadis itu.

“Ah, kakak yang mula dahulu! Kalau Tengku Putera hilang melarikan diri semasa saya berjaga, saya yang kena!”

“Samalah. Saya pun sekadar memeriksa.” balas Dang Anum bersahaja. Dia mengenyit mata pada Citra, dibalas dengan jelingan sebal. Mereka berdua kembali berdiri tegak di tempat mereka berkawal tadi. Ada persetujuan dalam senyap berlaku antara mereka berdua apabila kedua-duanya kembali memasang wajah serius.

“Rasanya… mengapa Tengku Putera memakai topeng itu?” Citra tiba-tiba memecahkan sunyi.

“Siapalah yang tahu?” Dang Anum membalas perlahan.

Serta-merta, dia teringat kembali kali pertama dia melihat kelibat Putera Zulkarnain di dermaga. Topeng perak itu melekap sudah di wajah putera itu.. Dia dapat melihat Puteri Zulaikha hairan, namun tidak mengatakan apa-apa tentang tabiat aneh adindanya itu. Maka, dia tidak boleh menzahirkan sebarang syak prasangka.

Nyatanya, Putera Zulkarnain seorang yang rupawan. Tiada pula ada parut yang melintang mencacatkan wajah sehingga perlu disembunyikan. Adakah hanya di khalayak putera itu akan memakai topeng, tetapi tidak memakainya jika bersendirian? Timbul rasa bersalah pula kerana terpandang wajah putera itu tanpa topeng, dan tanpa izinnya.

Setelah beberapa minit berlalu tenggelam dalam fikiran masing-masing, dua srikandi itu akhirnya menangkap bunyi tapak kaki berlari ke arah mereka di sebalik pintu gerbang. Tidak lama kemudian, kepala Alang menjenguk keluar bersama sengihnya yang seperti kerang busuk.

“Kakak-kakak Srikandi! Maaf kerana lambat. Tengku Putera sudah menunggu di dalam.” Alang membuka luas pintu gerbang itu.

Dang Anum bertukar anggukan dengan Citra. Setelah Dang Anum melepasi pintu gerbang, Citra menutupnya di belakang Dang Anum dan Alang. Kedengaran selak kunci bergeser dari luar. Alang berlari anak mendahului langkah Dang Anum, memimpinnya menuju salah sebuah ruangan yang ada di lorong itu.

Remaja itu membukakan pintu untuk Dang Anum.

Ketika melangkah masuk ke ruangan itu, Dang Anum terpana seketika. Dia menemui Putera Zulkarnain sedang tunduk membaca. Bibir yang tiada segaris senyum membuatkan putera itu tampak seperti arca tanpa emosi. Seolah-olah pemuda yang mereka intai sebentar tadi hanyalah ilusi.

“Adapun patik menghadap Tengku Putera Zulkarnain. Sembah patik harap diampun.” Dang Anum merafak sembah, mengumumkan kedatangannya.

Barulah Putera Zulkarnain mengangkat wajah dari pembacaannya.

Dang Anum menyambung, “Nama patik Dang Anum, Srikandi Kanan Tengku Puteri Zulaikha. Harap kunjungan patik ini tidak mengganggu istirahat Tengku?”

“Tidak sama sekali. Duduklah.” Putera Zulkarnain mengarahkan tangan kanannya pada  sofa di hadapannya. Kitab tebal di pangkuannya ditutup dan diserahkan kepada Alang. Dengan tertib Alang menyambut kitab yang dihulurkan itu lalu diletakkan di atas meja kecil di sisi Putera Zulkarnain.

Ketika Dang Anum melabuh punggung, Alang sudah dengan tangkas menyusun cawan dan menuangkan teh hangat ke dalam dua cawan. Setelah selesai, remaja itu berdiri tertib di belakang Putera Zulkarnain. Setelah dijemput minum, Dang Anum hanya membasahkan bibir. Fikirannya lebih tertumpu untuk menyusun kata yang akan disampaikan pada putera itu.

“Jadi, beta dengar saudari membawa utusan dari ayunda beta?” tanya Putera Zulkarnain, tidak berbasa-basi.

“Benar. Patik mewakilkan Tengku Puteri untuk membincangkan beberapa perkara dengan Tengku.”

Dang Anum menghela nafas. “Pertama sekali, patik ingin Tengku tahu… Perdana Menteri, Tun Mahad Riadin sudah kembali ke kota ini. Bermakna hukuman tahanan ke atas Tengku akan tamat tidak lama lagi.”

“Oh? Datuk Bendahara Inderagana sekarang benar-benar dikenali sebagai Perdana Menteri?”

Dang Anum mengangguk perlahan, antara mengiakan dan hairan. Takkanlah putera ini sama sekali tidak tahu hal ehwal Inderagana selama membesar dalam persembunyian?

“Ada… ada apa yang salah, Tengku?”

“Tiada apa-apa.” Putera Zulkarnain menggeleng sambil ketawa kecil. “Beta hanya takjub. Inderagana sudah jauh berubah, tetapi masih ada yang sama seperti dulu.”

“Maksud Tengku?”

Putera Zulkarnain tidak terus menjawab. Dia meletakkan cawannya sebelum memandang tepat ke mata Dang Anum. Dia berkata, “Beta ambil maklum hal itu. Selain daripada itu, ada apa-apa lagi yang beta harus tahu?”

Seperti terlalu cepat pula Putera Zulkarnain ingin mengubah tajuk perbualan. Dang Anum memaksakan senyum.

“Patik rasa Tengku juga sudah tahu. Selain Tuanku Raja dan Permaisuri, Tun Mahad bertanggungjawab di atas pendidikan Tengku. Setelah ini, Tengku juga akan memulakan tugas sebagai putera Inderagana di bawah pemantauan beliau. Bermakna, tindakan Tengku tempoh hari juga akan diadili oleh Tun Mahad.”

“Beta tahu. Beta bersedia bertanggungjawab dengan apa-apa yang terjadi nanti.” Putera Zulkarnain mengangkat, bahu acuh tidak acuh. “Berani buat, berani tanggung.”

Balasan Putera Zulkarnain membuatkan Dang Anum mengemam bibir. Tidakkah Putera Zulkarnain terlalu memandang ringan hal ini? Dari mana datang keyakinan itu? Sudahkan putera di hadapannya ini habis fikir kesan perbuatannya dari segala aspek?

“Patik tidak akan mempersoalkan apa yang telah tengku lakukan. Patik hanya berniat memperingatkan. Sebagai Perdana Menteri dan pemangku raja, Tun Mahad itu pangkat dan kedudukannya paling hampir dengan Tuanku sementelah kerusi pewaris takhta yang seterusnya masih kosong. Tengku… masih perlu akur pada Tun Mahad.”

Putera Zulkarnain hanya senyum segaris. “Beta hargai keprihatinan saudari. Tapi, sungguh beta tidak perlu dikhuatirkan. Ada matlamat yang beta harus capai, dan beta tahu untuk mendapatkannya, beta harus membayar natijah perbuatan beta sebagai galang ganti.”

Ketika itulah, Dang Anum baru terdetik di dalam hati. Dia lupa sesuatu. Putera Zulkarnian ‘berbeza’.

“Baiklah kalau begitu. Mungkin patik yang takut akan bayang-bayang sendiri. Melihat segala yang telah berlaku, yakinlah patik ini semua dalam rencana Tengku,” ucap Dang Anum dengan nada yang lebih rendah. Mengalah.

“Lalu, apa hajat saudari sebenarnya? Beta yakin saudari tidak ke sini semata-mata memperingati beta tentang Tun Mahad?” Putera Zulkarnain menopang dagu bersangga penumbuk kanan, santai menanti perkataan Dang Anum seterusnya.

Dang Anum mencapai cawan tehnya, sengaja mengulur sedikit waktu buat menyusun perkataan. Dengan Putera Zulkarnain, nampaknya dia tidak perlu banyak helah berkias.

“Kalau patik boleh jujur, patik perlukan beberapa hari ini untuk memahami maksud perbuatan Tengku. Tengku Puteri tidak pula memberi sebarang jawapan bila ditanya. Selepas melihat apa yang terjadi, barulah patik yakin bahawa Tengku adalah kawan, bukan lawan.”

Putera Zulkarnain masih diam, memberi laluan untuk Dang Anum sambung berbicara.

“Maka dari itu… patik menawarkan diri menjadi pembantu kanan Tengku.”

“Pembantu kanan beta?” soal Putera Zulkarnain, dibalas anggukan yakin dari Dang Anum. Barulah Dang Anum dapat melihat ada reaksi dari gerak tubuh Putera Zulkarnain. Putera itu meluruskan duduknya, bagai menunjukkan minat.

“Alang-alang berminyak biarlah licin. Tawaran patik ini bukan sekadar untuk menunjukkan kepada khalayak bahawa persaudaraan Tengku berdua damai-damai sahaja. Tetapi, patik benar-benar ingin membantu Tengku dalam urusan pentadbiran. Selain patik boleh menjadi penghubung antara Tengku dan Tengku Puteri, patik yakin dengan kemampuan patik sebagai pembantu kanan,” hujah Dang Anum.

Putera Zulkarnain bertukar pandang dengan Alang, jelas tampak ragu-ragu. Dang Anum tahu dia harus mengukuhkan hujahnya untuk memujuk dan meyakinkan putera itu.

“Lagipula… tidak semua maklumat penting terkandung di dalam buku, Tengku.” Kerlingan mata Dang Anum membawa Putera Zulkarnain menoleh pada kitab tebal di sisinya. Spontan putera itu melarikan jemarinya pada tetulang buku, menyentuh tajuknya yang diukir tenggelam.

‘Hukum Kanun Inderagana.’

“Apa yang salah jika beta menekuni kitab ini?”

“Tiada salahnya, Tengku. Namun, patik berani mengatakan bahawa kitab itu sudah menjadi suatu pelajaran sejarah. Sejarah yang kita wajar tahu. Namun… buat masa sekarang, cukuplah hanya sekadar tahu. Ketika kitab itu selesai ditulis, Inderagana sudah mengalami era perubahan sejak empat dekad yang lalu. Sekali air bah, sekali pantai berubah, Tengku.”

“Sejak empat dekad lalu, ya?”

Dang Anum sekadar mengangguk. Matanya tajam memerhatikan setiap bahasa tubuh Putera Zulkarnain, sementelah riak wajah putera itu tidak dapat ditilik. Dia melihat jari Putera Zulkarnain berkitar pada ukiran tahun kitab itu diterbitkan.

Pasti perkataannya sedang bermain di benak putera itu.

Putera Zulkarnain menyandar lalu memeluk tubuh. “Kalau pun Inderagana sudah banyak berubah, ada Khutub Khanah Agung menyimpan semua maklumat itu saban tahun. Adakah saudari sedang mendakwa saudari lebih tahu dari para ilmuwan dan sejarawan negara?”

“Benar, Tengku mampu mendapatkan semua itu. Namun, yang tercatat hanyalah apa yang tersurat. Namun, bagaimana dengan yang tersirat? Lima tahun Tengku menetap jauh di Empayar Ardalisia. Selama itu juga, Inderagana mengalami begitu banyak perubahan dari pelbagai sudut. Untuk menghadapi hari ini dan esok, Tengku perlu menguasai perkembangan negara yang terkini. Patik boleh menjadi sumber maklumat itu buat Tengku.”

“Beta kira, itu sebuah tawaran yang baik. Tapi, demi apa?” Putera Zulkarnain tersenyum nipis. “Ayunda sudah banyak makan asam garam, sudah lama bergelut di gelanggang siasah Inderagana. Sedangkan beta? Yakinkah saudari mahu menuntun putera yang baru setahun jagung ini?”

“Kerana itulah, patik menawarkan diri untuk membantu Tengku. Biarpun hanya sementara. Sekurang-kurangnya sehingga Tengku dapat menemui dan melantik pembantu kanan Tengku sendiri. Tengku seharusnya mempunyai pembantu, ilmuan, penasihat, pengawal untuk membantu Tengku dengan tugas pentadbiran. Seperti Tengku Puteri.”

Lama diam Putera Zulkarnain, seperti menimbang perkataan Dang Anum. Srikandi itu menyembunyikan rasa gelisah menanti jawapan dengan menghirup tehnya. Sudah suam-suam kuku.

“Srikandi Dang Anum.” Putera Zulkarnain menyebut nama penuhnya, dengan nada rendah yang menghantar gerun yang tidak dijangka.

“Ini mungkin pertemuan pertama antara kita. Namun, sebenarnya… beta seakan-akan mengenali saudari melalui warkah-warkah ayunda sejak lapan tahun lalu. Hubungan saudari dengan ayunda beta dapat diibaratkan bagai aur dengan tebing. Saudari bukan sahaja ketua pasukan Srikandi, saudarilah juga setia rahsia ayunda.”

“Benar…” Dang Anum mengangguk perlahan-lahan. Dia ternanti-nanti. Ke mana arah tuju perbualan ini dikemudi Putera Zulkarnain?

“Selama ini juga beta tahu, saudari jugalah yang paling kuat menyokong ayunda untuk naik takhta. Untuk naik takhta, halangan yang paling besar pula beta. Namun, tiba-tiba saudari datang kepada beta, menawarkan diri mahu menjadi pembantu kanan? Angin bersiru kami tahu, saudari.”

Ketika itu juga, Dang Anum merasakan jantungnya gugur.

‘Teng… Tengku! Patik…”

“Namun, tidak mengapa.” Putera Zukarnain mengangkat tangan, membungkamkan Dang Anum. “Beta faham dan mengerti. Saudari hanya setia kepada ayunda. Selama saudari tidak berpaling tadah, silakan lakukan yang saudari mahu. Kita mempunyai niat yang sama, maka selagi kita tidak saling tikam belakang, tidakkah kita harus bekerjasama?”

Dang Anum melepaskan ketawa. Pecahlah tembelang yang dipasangnya sebentar tadi. Ternyata putera di hadapannya ini lebih cekap menilik niat hatinya. Ah, mungkin sepatutnya dia menghantar Citra untuk mengawasi pergerakan Putera Zulkarnain. Dia yang salah langkah kali ini.

“Kerana Tengku sudah tahu, maka haruslah patik meminta ampun terlebih dahulu.” kata Dang Anum setelah tawanya surut. “Memang benar, niat patik bercabang dua. Patik ingin membantu, pada masa yang sama patik mahu memerhatikan Tengku. Selama Tengku tidak pula memusuhi Tengku Puteri, maka patik tidak pula akan memusuhi Tengku.”

“Itulah yang sebaiknya,” balas Putera Zulkarnain sambil memberi isyarat kepada Alang. Dengan pantas, remaja itu mengisi cawan-cawan mereka berdua. Wangian teh mengapung ke udara bersama wap panasnya.

“Adakah ini tandanya Tengku setuju menerima huluran tangan patik?”

“Kecil tapak tangan, nyiru beta tadahkan.”

Putera Zulkarnain mengangkat cawannya. Dang Anum turut melakukan perkara yang sama. Mereka pun bersulang meraikan kerjasama yang baru terpatri antara mereka.

Barulah Dang Anum dapat merasa manis gula nira di dalam tehnya.

"Bagai aur dengan tebing"
Maksud: Tolong-menolong di antara satu sama lain.

"Sekali air bah, sekali pantai berubah"
Maksud: Apabila pembesar atau pemerintah berganti, maka peraturan-peraturannya pun akan berubah.

"Setia rahsia"
Maksud: Pembantu peribadi

"Angin bersiru kami tahu"
Maksud: Kami sudah tahu bahawa hal (niat) seseorang telah berubah

"Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan."
Maksud: Menyatakan sangat berterima kasih atas nasihat atau pertolongan orang

P/S:
Fuhh! Paling penatlah nak menulis dialog antara watak bangsawan.Tengok berapa banyak peribahasa kena pakai. Tapi kan... korang faham tak apa isi perbualan Putera Zulkarnain dan Dang Anum?

Jangan lupa undi, komen dan kongsiz!



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro